Thursday, September 23, 2010

Polis Klasifikasi Kes Ahli Perniagaan India Hilang Sebagai Kes Bunuh

Khamis September 23, 2010

KUALA LUMPUR: Polis kini mengklasifikasikan kes kehilangan ahli perniagaan warga India Allal Kathan Muthuraja, 34, sejak awal tahun ini, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis kini menyiasat kehilangan mangsa yang tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya sahkan siasatan kes itu telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan berdasarkan petunjuk dari siasatan yang dijalankan.

"Berdasarkan dari itu kita telah 'upgrade' kertas siasatan dari orang hilang kepada kes bunuh bagaimanapun kita harap tiada sebarang spekulasi memandangkan kes ini dalam siasatan,"
katanya ketika menghubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengulas tentang perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.

Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain setelah dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas.

Isteri ahli perniagaan itu, S Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/23/mstar_berita/20100923104242&sec=mstar_berita

Saintis buktikan Nabi Musa belah laut


LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) 'berpusing' dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.

--------------------------------------------------------------------------------


BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0923&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Kembar, rakan ditemui di P. Pinang

Oleh: NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my


NURULAIN (kanan) dan Nurulashiqin bersama Suhaili (dua dari kanan) bersama dua remaja lelaki ditahan di Balai Polis Air Itam, Pulau Pinang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


GEORGE TOWN - "Kami tidak mahu pulang."Demikian kata-kata pasangan kembar, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin, 14, kepada polis yang menemui mereka di sebuah pangsapuri di Paya Terubong di sini semalam selepas keluar dari rumah di Taman Sentosa, Kampar, Perak pada raya kedua lalu.

Keputusan itu dibuat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Kampar itu sebaik sahaja ditahan bersama rakan, Suhaili Abdul Razak, 14, dan teman lelaki mereka, Mohd. Akmal Halim Ismail, 19, dan Shahrizan Zakaria, 20.

Kesemua mereka termasuk teman lelaki Nurulain, Khairul Azhar Anuar atau Roy yang kini sudah pulang ke Kampar, menumpang di rumah pasangan suami isteri yang berkerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurut polis, ketika serbuan pada pukul 8.20 pagi, kesemua remaja perempuan berkenaan tidur di atas sofa di ruang tamu manakala remaja lelaki yang merupakan bekas pengawal keselamatan berada di lantai sebuah bilik tidur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Nasib ditentukan bulan depan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

2010/09/23


KUALA LUMPUR: Nasib seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP) yang didakwa merogol seorang gadis terencat akal di sebuah bilik stor kedai runcit, tujuh tahun lalu akan diketahui 29 Oktober ini apabila Mahkamah Tinggi di sini, membuat keputusannya.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai memberikan hujah masing-masing dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan tertuduh, Matsusah Sadikin daripada tuduhan itu di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Matsusah, 68, yang juga bekas pegawai kanan polis Cawangan Khas Bukit Aman, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik stor kedai runcit di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini, antara jam 4 petang hingga jam 7 malam antara 1 Oktober hingga 31 Oktober 2003.

Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.


Sementara itu, pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin berhujah walaupun mangsa menyukai seks dan merelakannya namun disebabkan keadaan mentalnya kurang sempurna, dia tidak menyedari kesan dan akibat perbuatannya itu.


Tambah Aidatul pakar psikologi dalam keterangannya ketika perbicaraan utama sebelum ini menyatakan mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun adalah terencat akal yang mempunyai pembelajaran tahap rendah ditambah dengan keterangan kakak mangsa bahawa adiknya itu sukar memahami percakapan orang lain kecuali diterangkan dalam bahasa yang mudah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili Matsusah berhujah Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam membuat keputusan itu.


“Hakim (Mahkamah Sesyen) dalam penghakimannya mendapati mangsa mampu membuat keputusan dan pilihan sama ada membenar atau merelakan hubungan seks dengan tertuduh.


“Mangsa juga dapat menjawab soalan yang dikemukakan dengan jelas dan baik ketika memberikan keterangannya di mahkamah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nasibditentukanbulandepan/Article

Hadapi tuduhan rogol

2010/09/23

GEORGETOWN: Dua lelaki yang ditahan bersama tiga remaja perempuan termasuk dua beradik kembar yang dilaporkan hilang di Kampar, Perak sejak Aidilfitri kedua lalu akan didakwa kerana kesalahan merogol mangsa yang masih bawah umur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, berdasarkan siasatan dan keterangan tiga remaja perempuan itu, mereka mengaku mengadakan hubungan seks beberapa kali dengan kedua-dua suspek.

Katanya, berdasarkan pengakuan mereka, kejadian dikatakan berlaku ketika mereka menginap di sebuah hotel bajet di Jalan Pintal Tali, di sini, selepas tiba dari Kampar kira-kira jam 9.30 malam 14 September lalu.


Katanya, tiga remaja itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan koyak lama pada anggota sulit dipercayai hasil hubungan seks dan tiga remaja itu masih dirawat di HPP.


“Berikutan pengakuan dan pengesahan mereka selepas berkenalan dengan suspek sejak sebulan lalu, laporan polis dibuat terhadap suspek yang berusia 19 dan 20 tahun kerana merogol gadis bawah umur. “Siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 30 tahun serta sebatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, semalam.


Katanya, ketika ini, suspek berasal dari Kampar dan Teluk Intan serta bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan itu direman hingga 28 September ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hadapituduhanrogol/Article

Ibu geram lihat gambar

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

2010/09/23

GEORGETOWN: “Ini pertama kali saya tengok gambar dua budak lelaki ini. Jika dapat dua budak ini, saya kenakan depa cukup-cukup, hidup anak saya musnah kerana mereka,” kata Che Noriah Che Hat, 48, ibu kepada Suhaily Abdul Razak, 14, yang menghilangkan diri bersama rakannya, pasangan kembar berusia 14 tahun, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin sejak Aidilfitri kedua lalu.

Che Noriah dan Harlizah Damah, 44, ibu kepada pasangan kembar berkenaan mulanya tidak bercadang pergi melihat anak mereka yang hilang sejak 18 September lalu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan hanya mahu menunggu polis membawa mereka pulang ke Kampar, Perak.

Bagaimanapun, naluri keibuan membuatkan mereka mengambil keputusan menemui anak mereka, lewat malam kelmarin di HPP.


Dua wanita itu bertolak dari Kampar kira-kira jam 7.30 malam kelmarin sebelum tiba di HPP kira-kira jam 10.30 malam dan selepas meluangkan masa bersama anak masing-masing, wanita berkenaan yang ditemani Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira jam 12 tengah malam.


Harian Metro difahamkan, dua wanita itu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit dan akibat keletihan, mereka lebih banyak berdiam diri ketika ditemui di luar balai berkenaan.


Bagaimanapun, selepas mereka melihat gambar kekasih kepada Nurulashiqin dan Suhaily, mereka mulai berang dan menyumpah dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu.


Harlizah berkata, mereka tidak mahu anak mereka menjalin sebarang hubungan dengan dua lelaki itu dan akan mempertimbangkan untuk bertemu keluarga dua lelaki berkenaan.


“Saya tidak akan membenarkan anak kembar saya menjalin hubungan dengan lelaki yang menghancurkan hidup mereka, apatah lagi membenarkan mereka mengikat tali perkahwinan dengan mereka.


“Kini, saya hanya berharap anak saya sedar dengan kesilapannya dan balik ke pangkal jalan, kami akan memberi sokongan penuh kepada mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga seperti sedia kala,”
katanya.


Menurutnya, dia dan keluarga juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap dua lelaki itu dan kini menunggu hingga siasatan polis selesai.


Tiga remaja perempuan itu yang dilaporkan hilang selepas beraya di rumah rakan pada Aidilfitri kedua lalu ditemui polis di sebuah rumah pangsa di Taman Green Garden, Paya Terubong, di sini, kelmarin.



Nurulashiqin dan kembarnya, Nurulain serta Suhaily ditemui di rumah itu bersama dua lelaki terbabit.


Tiga remaja perempuan yang masih bawah umur itu kini menjalani pemeriksaan lanjut di HPP, manakala dua remaja lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut termasuk berkaitan kesalahan merogol.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibugeramlihatgambar/Article

Kedai ubat reput tulang

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/23

KUALA LUMPUR: Puluhan peniaga kedai ubat-ubatan tradisional haram dan produk kecantikan tidak berdaftar hanya mampu ‘terkejut beruk’ apabila premis mereka sepanjang Jalan Chow Kit di sini, ‘digempur’ puluhan pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi semalam.

Operasi kira-kira pada jam 11 pagi itu, kebanyakan peniaga terbabit langsung tidak dapat menghidu kehadiran pegawai penguat kuasa farmasi KKM yang melakukan pemeriksaan serentak terhadap 11 kedai di kawasan berkenaan.

Operasi diketuai oleh ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Farmasi KKM, Ahmad Zaki Ramli bersama 50 anggota selepas pihaknya mendapati kawasan terbabit masih menjadi lokasi ‘panas’ pengedaran ubat tradisional seludup serta tidak berdaftar.


Kehadiran serentak pegawai penguat kuasa farmasi berkenaan menimbulkan kehairanan peniaga kebanyakannya warga Indonesia yang sebelum ini menggunakan khidmat tonto bagi memberikan amaran awal kepada mereka.


Operasi terbabit disasarkan terhadap puluhan jenis ubat tradisional yang kebanyakannya diseludup masuk dari Indonesia membabitkan jamu, pil rangsangan seks, ubat sakit tulang dan sendi dan puluhan jenis produk tidak berdaftar.


Difahamkan walaupun ubat sakit sendi atau tulang terbabit didakwa dihasilkan menggunakan herba atau ginseng, namun ujian makmal sebelum ini mendapati ubat terbabit sebaliknya dicampur dengan kimia kodein dan steroid yang boleh menyebabkan reput tulang jika digunakan berlebihan.


Malah produk ubat-ubatan seks yang dirampas bukanlah dihasilkan dari sumber tumbuh-tumbuhan melainkan ia hanya mengandungi kimia berbahaya seperti sildenafil atau pelbagai kimia asing antaranya plumbum atau merkuri yang turut boleh memberi kesan kepada kesihatan.


Turut dirampas adalah produk melangsingkan tubuh jenama Lami yang diharamkan KKM berikutan mengandungi kimia sibutramine yang boleh merosakkan sistem saraf tubuh.


Zaki yang ditemui berkata, operasi terbabit kerap kali dilakukan berikutan penjual dan pemborong ubat seludup di kawasan terbabit ingkar dengan amaran pihaknya supaya tidak menjual produk kesihatan tidak berdaftar. “Hasil daripada pemeriksaan dilakukan pegawai farmasi menemui lebih 50 jenis ubat tidak berdaftar yang kebanyakannya diseludup dari negara jiran.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebanyakan produk kesihatan haram terbabit menawarkan khasiat untuk menyembuhkan sakit sendi dan sakit kepala, menguatkan tenaga batin, mengurus tubuh dan membesarkan payu dara.

Antara jenama jamu yang dirampas pula adalah Pil Tupai Jantan, Jaya Asli Anrat, Flu Tulang dan Cicungya, Busterin, Super Tetra, Kapsul Super Tenaga, Jamu Pendang, Maajun Kuat, Maajun Putra Acheh Cap Keris, Jamu Monalisa, Ubat Kuat Madu Pasak Bumi, Pil Pria Perkasa dan Pil Asrirapat.

Selain produk dari negara jiran itu, pegawai farmasi turut merampas beberapa jenis produk ubat-ubatan tidak berdaftar buatan tempatan antaranya air ikan Haruan, maajun 2 istimewa, Raja Ubat Resdung dan pelbagai jamu pil papan yang diharamkan sejak sekian lama penjualannya.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan pemilik syarikat boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. “Malah tindakan sama boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1985. Individu yang melakukan kesalahan mengikut peraturan itu boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya,” katanya.


Sementara itu, pegawai penguat kuasa farmasi yang menjalankan pemeriksaan rapi turut menemui satu stor tersembunyi yang digunakan oleh salah seorang peniaga warga Indonesia untuk menyembunyikan pelbagai jenis ubat-ubatan dan produk tidak berdaftar.



“Pihak penguat kuasa farmasi menganggarkan semua produk yang dirampas berkenaan boleh mencecah sehingga RM200,000 mengikut nilai pasaran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kedaiubatreputtulang/Article

Samun, bogel mangsa

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/23

HULU SELANGOR: Perbuatan tidak berhati perut apabila dua pemandu teksi tergamak menculik dua wanita tukang jahit sebelum mangsa dirompak dan ditinggalkan di dalam keadaan telanjang bulat di dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Felda Gedangsa.

Lebih menyedihkan apabila mangsa, warga Kemboja terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di negara asal untuk menghantar wang yang diperoleh hasil bekerja sebagai tukang jahit di Johor sejak dua tahun lalu.

Mangsa yang merantau jauh dari negara asal dengan niat untuk membantu ahli keluarga bagaimanapun tidak sempat untuk menyerahkan wang diperoleh kepada ahli keluarga selepas disamun pemandu teksi ‘syaitan’, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kedua-dua wanita yang juga sahabat karib, sebelum itu didapati menaiki bas dari Johor ke hentian bas sementara di Bukit Jalil kerana mahu pulang ke Kemboja memandangkan pasport mereka akan tamat tempoh semalam.


Beliau berkata, dari Bukit Jalil, mangsa menyewa sebuah teksi untuk ke hentian bas Bukit Tinggi di Klang dan merancang menaiki bas ke Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kemboja.


“Teksi dinaiki mangsa bagaimanapun tidak menghantar mereka ke lokasi dikehendaki, sebaliknya membawa mereka ke ladang sawit Felda Gedangsa di Hulu Selangor.


“Sebaik tiba di ladang berkenaan, pemandu teksi dan pembantunya menyamun kedua-dua mangsa sebelum membogel dan meninggalkan mereka di situ,”
katanya.


Beliau berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an bernasib baik apabila ditemui orang awam yang membawa mereka ke balai polis untuk membuat laporan.


“Berdasarkan laporan dibuat, mangsa memaklumkan suspek turut melarikan pasport, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM900 dan AS$6,000 dolar (RM18,564),” katanya.


Beliau berkata, hasil laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan JSJ dari IPD Cheras menangkap seorang suspek di Pantai Dalam, kira-kira jam 3 pagi semalam.


Beliau berkata, suspek berusia lingkungan 30-an ditangkap dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Samun_bogelmangsa/Article

Polis tahan tunang gadis

2010/09/23

HULU SELANGOR: Kejadian kejam seorang gadis remaja didera hingga menyebabkan bayi kandungannya berusia tujuh bulan mati hampir terjawab apabila polis bertindak memberkas tunang gadis berkenaan yang disyaki memukul mangsa hingga mengakibatkan keguguran.

Sumber polis berkata, tunang mangsa berusia 30-an yang bekerja sebagai kontraktor ditahan polis dan direman selama empat hari selepas disyaki memukul mangsa yang berusia 18 tahun hingga cedera teruk.

Menurutnya, siasatan polis mendapati mangsa sebelum ditemui berlumuran darah dalam bilik air di rumahnya di Batang Kali, di sini, jam 4 pagi, Jumaat lalu.


“Mangsa yang menggelupur kesakitan dan turut dipercayai menghidap sakit sawan diangkat ahli keluarga sebelum dibaringkan di katil.


“Mereka dipercayai berusaha mengeluarkan bayi dalam kandungan terbabit yang sudah mati. Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut,”
katanya.


Menurutnya, kejadian itu sekali gus menolak tanggapan awal bahawa pihak doktor di Hospital Selayang melakukan pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan bayi di dalam kandungan terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Polistahantunanggadis/Article

'Tidak sayang'

Oleh Murni Wan Omar

2010/09/23

HULU LANGAT: “Lega semuanya sudah berakhir, kini saya mahu beri tumpuan kepada anak-anak dan masa depan kami. Saya rela tidak makan asalkan mereka tidak merasa kesusahan,” kata Julia Daud, 29, yang juga bekas isteri kepada pelakon Badrul Muhayat ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya, bercampur baur sedih dan gembira. Sedih kerana rumah tangga dibina selama ini terputus di tengah jalan dan bukan kehendak saya untuk jadi begini. Gembira kerana ia selesai secara baik selepas masalah ini memang menjadi beban hidup saya.

“Selepas ini saya mahu cari pekerjaan yang lebih baik untuk tanggung anak-anak, sebelum ini pergerakan saya terbatas. Saya mahu cari rumah lebih selesa dan tidak mahu diganggu,” katanya.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah, Julia yang memfailkan permohonan cerai melalui kebenaran mahkamah dengan Badrul, 42, pada 14 Julai 2010, mengakui ia dibuat selepas mereka sudah tidak lagi sefahaman.

Julia memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2007 dan dikurniakan dua cahaya mata.


Menjawab pertanyaan Abdul Halim, Julia sempat memaklumkan bahawa wang hantaran berjumlah RM7,777.77 masih belum dijelaskan Badrul.

ABDUL HALIM: Kenapa kamu mahu bercerai? Melalui afidavit ini kamu nyatakan tidak sefahaman lagi. Boleh jelaskan kepada mahkamah secara tepat supaya mahkamah mempunyai merit untuk memutuskannya?



JULIA: Kami selalu bergaduh dan dia ada memukul saya. Dia (Badrul) juga tidak mampu menyara nafkah saya dan anak-anak.

ABDUL HALIM: Kamu sudah fikir betul-betul?

JULIA: Ya.

ABDUL HALIM: Adakah kamu masih sayangkan dia?

JULIA: Tidak (sambil menggelengkan kepala).

ABDUL HALIM: Bagaimana dengan persetujuan mengenai nafkah, mutaah dan hak jagaan?

JULIA: Tidak ada.

ABDUL HALIM: Mahkamah harap kamu dapat berbincang dan menyelesaikan secara baik. Jika tidak ada penyelesaian, failkan di mahkamah.

Badrul ketika itu mencelah memaklumkan bahawa dia mahu diberikan hak untuk melawat anaknya.

ABDUL HALIM: Kamu boleh lihat anak kamu pada bila-bila masa. Walaupun hubungan suami isteri terputus, hubungan dengan anak kekal sampai akhir hayat. Saya lihat perkahwinan ini tidak wajar diteruskan. Ini kerana simbolik sesuatu perkahwinan adalah kasih sayang. Jadi dengan ini mahkamah meluluskan permohonan cerai dengan talak satu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidaksayang/Article

7 lelaki diberkas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/09/23


GOMBAK: Misteri pembunuh kejam seorang lelaki yang disumbat di dalam guni sebelum mayatnya dicampak ke tepi jalan berhampiran Taman Perindustrian Ehsan Jaya, di sini, terbongkar selepas polis memberkas tujuh lelaki termasuk dua warga Indonesia kerana disyaki membunuh mangsa terbabit.

Suspek dipercayai anggota kumpulan gengster membunuh mangsa beramai-ramai menggunakan parang sebelum mayat mangsa dimasukkan ke dalam guni dan dibuang di kawasan pembuangan sampah pada 30 Ogos lalu,
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah yang dihubungi berkata, semua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Batu Caves, Selayang, Subang Jaya dan Klang bermula jam 11.45 malam kelmarin sehingga 6 pagi semalam.

“Hasil siasatan lanjut, semua suspek mengaku membunuh mangsa dan seorang daripada mereka membawa polis ke tempat mangsa dibunuh.


“Suspek sama turut menunjukkan tempat mereka membuang dua parang yang digunakan untuk menetak mangsa,” katanya. Beliau berkata, suspek pertama berusia 22 tahun ditangkap di sebuah pangsapuri di Jalan A/2D, Taman Seri Murni, Selayang, Batu Caves, pada pukul 11.45 malam kelmarin.


Pada pukul 12.30 tengah malam pula, katanya, seorang lagi suspek berusia 40 tahun diberkas di sebuah rumah di Taman Selayang Bahagia, Batu Caves.


“Susulan itu, kami memberkas lima lagi suspek. Antaranya ialah suspek berusia 23 tahun di Taman Selayang Jaya pada pukul 1.45 pagi semalam.


“Ia diikuti tangkapan seorang lagi suspek berusia 24 tahun di Plaza Tol Seafield, USJ5, Subang Jaya, pada pukul 5.30 pagi dan rakannya berusia 23 tahun di sebuah rumah di Jalan Yusuh Shahbudin Off Jalan Raja, Taman Sentosa, Klang, pada pukul 6 pagi,” katanya.


Beliau berkata, hasil siasatan, semua suspek yang menganggotai satu kumpulan penjenayah itu dipercayai terbabit kes pembunuhan seorang lelaki, Borhan Sulong, 20-an yang dibunuh dengan kejam di Taman Perindustrian Ehsan Jaya.


Selain itu, katanya, suspek sama juga dipercayai terbabit kes samun sebuah lori kargo di stesen minyak Shell di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), pada Rabu lalu.


Pada 30 Ogos lalu, seorang kontraktor sampah berasa curiga lalu menghubungi polis apabila menemui satu guni yang kelihatan seperti berisi mayat ketika memeriksa sampah Taman Perindustrian Ehsan Jaya, di sini.


Polis yang membuat pemeriksaan menemui mayat seorang lelaki dibunuh kejam dengan kesan tetakan di kepala, muka, badan dan lengan.



Siasatan mendapati mayat yang masih berpakaian lengkap kemeja-T dan seluar panjang itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di situ.


Menurut Abdul Rahim, hasil siasatan, seorang suspek turut membawa polis ke sebuah kawasan semak di belakang Blok F, Pangsapuri Intan Baiduri, yang membawa kepada penemuan dua parang yang masih mempunyai kesan darah dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/7lelakidiberkas/Article

Keluarga sorok wanita dinikah tanpa tauliah diserang

2010/09/23

KUALA LUMPUR: Satu sindiket nikah palsu di Sungai Besar, Sabak Bernam, dikesan mencetak kad perakuan nikah dengan meletakkan nombor siri pasangan lain bagi mengelak pasangan dinikahkan hadapi masalah.


KESAL...(dari kiri) Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Roslan Dahaman; Ketua Ahli Majlis Negeri Wilayah Persekutuan, Norashikin Abdul Ghani, Ariffudin dan Masridzi menunjukkan laporan polis serta dokumen pernikahan palsu.
Kegiatan sindiket itu didedahkan bapa saudara seorang wanita yang ‘berkahwin’ dengan seorang mualaf, gara-gara hubungan cinta mereka dihalang keluarga.

Bapa saudara berkenaan, Ariffuddin Sam, 36, berkata, pada malam hari raya kedua lalu, anak saudaranya memberitahu keluarga dia sudah bernikah dengan lelaki terbabit.


Berikutan itu, katanya, keluarga memintanya menunjukkan kad perakuan nikah dan dia menunjukkan kad terbabit dan sijil perakuan nikah mereka.


Katanya, dia yang tidak berpuas hati merujuk kad berkenaan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan terkejut apabila diberitahu sijil serta kad nikah terbabit palsu kerana nombor siri yang tertera milik pasangan lain.


“Selepas dipaksa, anak saudara saya mendedahkan mereka menggunakan wali hakim dalam kariah sedangkan wali sebenar (ayah atau abang) masih ada. “Malah, tiada nama jurunikah yang bertanggungjawab serta terdapat dua saksi pernikahan mereka termasuk seorang anggota polis dari Balai Polis Sungai Besar,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) di sini, semalam.


Menurutnya, dia beranggapan ramai lagi pasangan muda di daerah itu dinikahkan sindiket terbabit.

“Kes ini memberi mudarat besar kepada keluarga kerana anak saudara saya kini mengandung empat bulan gara-gara ‘nikah tanpa tauliah itu’ dan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan.


“Malah, lelaki mualaf itu bersumpah dia tetap akan mencari anak saudara saya hingga ke lubang cacing. Kerana tidak puas hati keluarga sorokkan anak saudara, dia menghantar kumpulan samseng seramai 15 orang ke rumah saya pada Isnin lalu,”
katanya.


Mengimbas kembali kejadian ngeri itu, pada jam kira-kira 11 malam, sekumpulan 15 orang datang bertanyakan di mana mereka menyorokkan anak saudara yang berusia 24 tahun itu.

“Saya enggan memberitahu menyebabkan mereka menyerang saya dan keluarga.


“Dalam pergaduhan itu, saya dan adik diserang hingga mengakibatkan luka di muka, kepala dan lengan. Malah, ketika bergelut saya ditumbuk di muka dan belakang menggunakan objek keras, namun saya bernasib baik kerana jiran membantu meleraikan pergaduhan itu,”
katanya lagi.

Ariffuddin turut mendedahkan, dia dan keluarga kini trauma kerana setiap hari melihat ada saja kereta yang disyaki meronda kawasan rumah itu bertujuan untuk menakutkan keluarganya.


Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat mendesak pihak berkuasa terutama jabatan agama bertindak tegas menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit pernikahan palsu termasuk kesalahan memalsukan dokumen pernikahan menggunakan nama jabatan agama.

“Mereka (jabatan agama) perlu menyiasat dengan tegas seterusnya mendakwa pihak terbabit (sindiket nikah palsu) yang berpusat di Sungai Besar, Selangor, kerana jika tidak mungkin lebih ramai anak gadis yang akan mengandungkan anak luar nikah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargasorokwanitadinikahtanpatauliahdiserang/Article

'Arahan siasatan lanjut perkara biasa'


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Mohamad Hussin, Hadzlihady Hassan, Amir Abd Hamid, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Muhammad Apendy Issahak, Shamsul Munir Safini, dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/09/23

KUALA LUMPUR: “Tiada apa perlu diperbesarkan kerana ia proses biasa yang dilalui polis dalam mana-mana kes sebelum ini,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Bakri Mohd Zinin mengulas tindakan Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.


KAWAL...anggota polis membawa suspek utama kes pembunuhan Sosilawati ke HKL, semalam.


Kenyataan itu, sekali gus menjawab tuduhan pihak tertentu yang mempertikaikan kemampuan polis mendapat bukti kukuh kes berkenaan berikutan arahan Jabatan Peguam Negara itu.

“Pegawai penyiasat kes terbabit masih bertungkus-lumus menyiapkan laporan dan saya yakin ia mampu dilengkapkan tidak lama lagi,” kata Mohd Bakri melalui laman facebook PDRM.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, berkata pihaknya meminta polis melengkapkan kertas siasatan itu sebelum menghantar semula kepada pihaknya kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut.

Menurut Tun Abd Majid, Peguam Negara sudah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan dan polis turut diminta menyiasat kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin mengesahkan kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu termasuk laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Polis kini turut menyiasat empat kes lain yang membabitkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang dipercayai ada kaitan dengan dua peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Kes orang hilang itu membabitkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam terbabit di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Selain itu, peguam terbabit turut mempunyai kaitan dengan kes kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India, yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata pihaknya akan menghantar permohonan kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap empat daripada lapan suspek yang ditahan, hari ini.

Menurutnya, ini kerana tempoh reman keempat-empat suspek yang juga orang suruhan suspek utama itu akan tamat hari ini. Namun, permohonan untuk melanjutkan tempoh reman itu tidak membabitkan suspek utama iaitu peguam yang menggelarkan dirinya Datuk dan adik lelakinya.

“Suspek utama iaitu peguam dan adiknya tidak terbabit permohonan itu kerana tempoh tahanan reman mereka hanya akan tamat pada Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek ditahan mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Arahansiasatanlanjutperkarabiasa/Article

'Saya tetap sayang dia'


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/09/23


SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh Syafiah Humaira Sahari, 4, Februari lalu, namun ibu kanak-kanak itu, Siti Nurhanim Aziz, 25, berkata dia tetap sayangkan Mohd Fazli Azri, yang juga teman lelakinya.


BERSALAH...Mohd Fazli dihukum gantung sampai mati.

“Saya tak pernah marahkan dia (Mohd Fazli) sebab dia terlampau sayangkan anak saya, maka saya amat menyayanginya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah. Malah, sebelum Mohd Fazli digari semula untuk dibawa ke penjara, dia dilihat sempat mencium pipi Siti Nurhanim.

Sebelum itu, hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap Mohd Fazli yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-28 semalam selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Mendengar keputusan itu, ibu Mohd Fazli, Nur Haziah Yusof, 52, yang tidak dapat menahan emosi terus meraung dan berulang kali berkata: “Abang tak salah, biar mama yang mati” sebelum wanita itu pengsan dua kali di galeri awam.

Nenek Mohd Fazli yang dikenali sebagai Siti pula kelihatan tenang dengan keputusan itu berkata, keluarganya akan mengemukakan rayuan.

“Berpantang maut sebelum ajal,” katanya.

Mohd Fazli dituduh membunuh Syafiah Humaira di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, dekat Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selain Idham Abd Ghani, pendakwaan diwakili dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh.

Terdahulu, Mohtarudin dalam alasan penghakimannya berkata mahkamah tidak dapat menerima keterangan tertuduh ketika membela diri bahawa kecederaan kanak-kanak itu disebabkan jatuh motosikal dan terhantuk di dinding tandas.

Katanya, ia sama sekali bercanggah dengan keterangan dua ahli perubatan yang merawat dan melakukan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu.

Selain itu, katanya, kisah jatuh motosikal itu sama seperti cerita tertuduh bahawa mangsa muntah selepas makan ubat yang dibeli di kedai jamu tidak pernah diberitahu kepada sesiapa.

Menyentuh mengenai keterangan tertuduh ‘lalok’ di padang bola, Mohtarudin berkata ia bercanggah dengan keterangan saksi yang menunjukkan Mohd Fazli adalah waras pada masa kejadian.

Katanya, ini dikuatkan lagi apabila melihat fakta bahawa tertuduh boleh memandu teksinya untuk ke padang berkenaan.

“Keterangan ibu mangsa bahawa tertuduh berada dalam keadaan mabuk sepatutnya disoal balas pada peringkat pendakwaan,” katanya.

Menurutnya, undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa mabuk akibat perbuatan sendiri tidak boleh diterima dalam pembelaan kes jenayah.

Mohtarudin berkata, mahkamah juga menolak hujah pembelaan bahawa tertuduh tidak berniat mencederakan mangsa berdasarkan apa yang sudah dilakukannya terhadap kanak-kanak malang itu.

“Perbuatan menutup pintu teksi sehingga terkena kepala mangsa, memijak perut dengan but bola dan menyepak kanak-kanak itu tidak dapat diterima sebagai tidak berniat,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula sejak 7 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 33 saksi, manakala tiga saksi pembelaan tampil memberikan keterangan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatetapsayangdia_/Article

Badrul Muhayat Kini Sah Bercerai


Published: Rabu September 22, 2010 MYT 11:16:00 AM
Updated: Rabu September 22, 2010 MYT 1:38:17 PM

Oleh AU YEONG HOW



Badrul Muhayat enggan ditemuramah selepas prosiding berakhir. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH

KAJANG: Pelakon kontroversi Badrul Muhayat Ahmad Jalani, pada pagi Rabu, sah melafazkan cerai talak satu ke atas isterinya, Julia Daud, di Mahkamah Syariah di sini.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah membenarkan permohonan cerai yang difailkan oleh Julia, 29, setelah mendapat persetujuan daripada Badrul, 42.

Abdul Halim membuat keputusan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas mendengar pengakuan Julia bahawa dia tidak menyayangi Badrul, lagi yang dikatakan sering memukulnya.

Selain itu, Julia memberitahu mahkamah bahawa nafkah yang diterima daripada suaminya tidak mampu menyara dirinya dan anak-anaknya.

"Saya lihat perkahwinan ini tidak wajar diteruskan. Ini kerana simbolik sesuatu perkahwinan adalah kasih sayang. Jadi dengan ini mahkamah meluluskan permohonan cerai dengan talak satu.

"Plaintif perlu beredah selama tiga kali suci,"
kata Abdul Halim.

Badrul yang berbaju batik berwarna biru gelap dan berbintik-bintik hadir bersama seorang kenalannya manakala Julia berbaju kurung dan bertudung serba putih. Masing-masing tidak diwakili peguam.

Julia dalam keterangannya kepada mahkamah memberitahu, dia membuat permohonan cerai itu pada 14 Julai lalu. Dia turut memberitahu dia dan suaminya tidak lagi tinggal bersama serta menjalin hubungan kelamin sejak itu.


Julia Daud akan mencari kerja selepas ini untuk mencari nafkah.

Ketika ditanya sama ada terdapat persetujuan bersama, mutaah, dan nafkah antara mereka berdua selepas perceraian termaktub, Julia berkata, mereka belum membuat apa-apa persetujuan mengenai perkara tersebut.

Sehubungan itu, Abdul Halim menasihatkan mereka berbincang terlebih dahulu selepas ini dan sekiranya tidak ada penyelesaian, mereka boleh merujuk perkara tersebut ke mahkamah.

Sementara itu, Badrul pula meminta mahkamah membenarkannya berjumpa dengan anak-anaknya.

Hakim berkata, mahkamah membenarkannya kerana dia tetap bapa mereka dunia dan akhirat.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Badrul enggan ditemuramah sambil keluar dari mahkamah dengan cepat.

"Tak boleh. Saya tidak berapa sihat." katanya ringkas.

Sementara itu, Julia yang turut ditemui selepas prosiding berakhir melahirkan rasa lega berikutan permohonannya telah selesai.

Kata Julia, perasaannya kini berbaur sedih dan gembira kerana masalah itulah yang sangat membebankannya selama ini.

"Siapa tak sedih apabila rumah tangga kita tidak berkekalan tetapi ia bukan kehendak kita," katanya yang akan mencari kerja selepas ini untuk menyara anak-anaknya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/22/mstar_hiburan/20100922111548&sec=mstar_hiburan

Bumi huru-hara 2013 kerana matahari


GAMBAR fail yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan nyalaan api di matahari pada 8 September lalu.

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Aktiviti nyalaan api yang meluap-luap di matahari akan mencetuskan huru-hara di seluruh dunia pada tahun 2013, lapor sebuah akhbar semalam.

Nyalaan api yang meluap-luap itu dijangka memutuskan bekalan elektrik dan komunikasi satelit selain menjejaskan penerbangan, perkhidmatan kewangan dan komunikasi radio di Bumi melibatkan tempoh sehingga beberapa bulan.

Maklumat itu didedahkan oleh Setiausaha Pertahanan Britain, Dr. Liam Fox semasa dia menyampaikan ucapan pada persidangan kelemahan grid elektrik di seluruh dunia di sini pada Ahad lepas.

Sebelum ini, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) memberi amaran nyalaan besar matahari itu akan menghasilkan tahap radiasi yang tinggi sehingga menyebabkan berlakunya ribut magnetik di Bumi sekali gus bakal memusnahkan teknologi manusia.

Nyalaan besar matahari membentuk lingkaran-lingkaran api dengan kuasa letupan 100 bom hidrogen yang boleh mencetuskan kemusnahan ekonomi 20 kali ganda lebih teruk berbanding Taufan Katrina yang melanda negeri Lousiana di Amerika Syarikat (AS) pada 2005. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...