Sunday, June 7, 2009

Lelaki mengaku bunuh isteri

SYDNEY: Seorang jurujual Amerika Syarikat mengaku bersalah membunuh tanpa niat isterinya ketika percutian bulan madu di Terumbu Karang Besar Australia, lebih lima tahun lalu.

Siasatan mendapati seorang rakan penyelam melihat tertuduh memeluk isterinya ke dasar laut sebelum naik ke darat tanpa mangsa.

David Gabriel Watson yang dikenali sebagai Gabe mengaku atas dakwaan berkenaan ketika perbicaraan mahkamah Brisbane berhubung dengan kematian isterinya, Christina, 26, pada Oktober 2003.

Watson, 32, dalam percutian bulan madu bersama isteri barunya itu apabila mangsa lemas ketika menyelam di Townsville, kira-kira 11 hari selepas perkahwinan mereka di Amerika Syarikat.

Seorang jurulatih selam menemui Tina Watson yang baru belajar menyelam skuba terbaring di dasar laut selepas Gabe, seorang penyelam terlatih meminta bantuan.

Pada pertengahan 2008, satu siasatan mendapati Watson membunuh isterinya dengan membawanya ke dasar laut dan menutup bekalan udara isterinya itu.

Watson mengaku di mahkamah bahawa dia membunuh tanpa niat. Pendakwa, Brendan Campbell menerima pengakuan berkenaan. - AFP

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090606011650/Article/

Jepun hasilkan vaksin H1N1


TIGA pelajar membawa bunga dalam satu majlis kesyukuran selepas mereka pulih daripada virus H1N1.

TOKYO: Jepun merancang mengeluarkan vaksin selesema H1N1 yang cukup untuk merawat 20 juta orang menjelang akhir tahun ini, lapor akhbar Yomiuri, semalam.

Jepun memiliki 410 kes disahkan selesema bentuk baru itu walaupun kebanyakannya sudah pulih dan tiada pesakit menunjukkan tanda serius, kata Kementerian Kesihatan.

Ketika kebanyakan kes selesema H1N1 di seluruh dunia sederhana, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara terbabit supaya bersedia menghadapi jangkitan lebih serius jika virus itu bermutasi.

Setakat ini, 20,000 kes selesema babi dicatatkan di seluruh dunia dengan 126 kematian. Pengeluar ubatan Jepun akan mula mengeluarkan vaksin selesema jenis baru itu seawal Julai dengan vaksin boleh diperoleh mulai November, kata akhbar.

Menteri Kesihatan, Yoichi Masuzoe, berkata Jepun memerlukan lebih banyak masa bagi membuat keputusan berhubung perincian pengeluaran dos vaksin terbabit.

"Institut Penyakit Berjangkit Nasional akan berupaya memberi pengeluar vaksin awal sekitar 10 Jun ini," kata Masuzoe kepada media apabila diminta mengulas laporan akhbar.

Namun, beliau juga berkata: "Kita perlu melihat WHO dan negara lain membuat perancangan mereka, jadi saya fikir ia akan mengambil lebih banyak masa."

Hanya ada empat pengeluar ubat di Jepun yang dapat mengeluarkan vaksin itu, kebanyakannya pertubuhan penyelidikan dan bukan syarikat farmasi besar.

Untuk mengeluarkan vaksin virus baru itu, mereka perlu memperuntukkan beberapa sumber dari pengeluaran vaksin bagi selesema bermusim biasa.

Akhbar Yomiuri memetik seorang pegawai Kementerian Kesihatan sebagai berkata pihaknya membuat keputusan supaya pengeluar benih mula menghasilkan vaksin virus baru bulan ini selepas anggaran menunjukkan vaksin selesema bermusim cukup untuk merawat 30 hingga 40 juta penduduk.

Ketua Setiausaha Kabinet, Takeo Kawamura, pula memberitahu sidang media bahawa masih terlalu awal bagi Jepun mengisytiharkan tamatnya wabak selesema baru, menolak gesaan dari Kementerian Pengangkutan di tengah kebimbangan wabak itu menjejaskan sektor pelancongan. - Reuters

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090606011518/Article/

Perjanjian Hatyai..1989



Article 3-Residence in Malaysia

60 pasukan futsal tertipu

Oleh SARAH ZULKIFLI
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 pasukan yang menyertai sebuah kejohanan futsal yang dijadualkan berlangsung hari ini terkilan apabila menyedari mereka menjadi mangsa penipuan selepas penganjur dipercayai menghilangkan diri.

Difahamkan, kejohanan futsal pertama kali yang dianjurkan tiga lelaki bergelar Datuk itu menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM45,000 bagi kategori lelaki dan RM15,000 bagi kategori wanita.

Disebabkan hadiah lumayan itu, ramai peminat sukan futsal mendaftar untuk menyertai kejohanan dengan membayar wang pendaftaran RM200 bagi setiap pasukan.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila gagal menghubungi penganjur sebelum dimaklumkan pertandingan itu dibatalkan kerana pengurusnya tidak dapat dihubungi.

Menurut seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zabrina, 30-an, pasukannya membayar wang pendaftaran RM200 kepada urusetia kejohanan sebelum tarikh tutupnya pada Rabu lalu.

“Saya cuba menghubungi urusetia kejohanan hari ini (kelmarin) melalui petugas yang menguruskan pendaftaran peserta. Namun, petugas itu memaklumkan kejohanan itu dibatalkan kerana penganjurnya menghilangkan diri.

“Malah, petugas pendaftaran itu juga mendakwa mereka turut ditipu kerana tidak dibayar gaji oleh pihak penganjur terbabit,” katanya.

Sabrina bersama lebih 20 pasukan lain serta petugas pendaftaran kemudian membuat laporan polis terhadap penganjur di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, malam kelmarin.

Sementara itu, jurucakap gelanggang yang bakal digunakan untuk kejohanan itu berkata, pihaknya tidak terbabit dalam urusan mengendalikan pertandingan futsal itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090607052355/Article/index_html

Pemandu mati ketika tidur dalam kereta

SHAH ALAM: Misteri sebuah kenderaan yang tidak bergerak berhampiran sebuah stesen minyak di Seksyen 25, di sini, sejak kira-kira jam 4 pagi semalam menimbulkan tanda tanya pekerja sebelum mereka membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa meninggal dunia.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi, pekerja stesen itu curiga apabila sebuah kereta yang diletakkan di kawasan itu tidak bergerak, menyebabkan mereka ke kenderaan itu bagi mendapatkan kepastian.

Bagaimanapun, sebaik menjenguk ke dalam kereta, pekerja terbabit tergamam selepas melihat keadaan mangsa yang tidak bernyawa sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 57 tahun meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.

Menurutnya, polis turut menemui beberapa jenis ubat di dalam kereta milik mangsa, dipercayai untuk kegunaan sakit jantung.

“Mangsa dipercayai memasuki kawasan premis berkenaan kira-kira jam 4 pagi untuk berehat sebelum tertidur.

“Pemeriksaan polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),”
katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai kerani bengkel membaiki kereta di Meru, Klang.

Sarimah, Amir pisah

Oleh IZWAN MOHAMAD
metahad@hmetro.com.my

Namun, dalam pelayaran itu ada pasangan tidak mampu meneruskan pelayaran kerana karam di pertengahan jalan.

Begitu juga dengan nasib pelakon dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim, 31, yang terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi bahawa jodohnya dengan suami tercinta tidak dapat dipertahankan sehingga menuju persimpangan berbeza.

Disember 2008 menjadi titik noktah kepada hubungan wanita berdarah Melayu-Irish ini dengan jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah, 38, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga walaupun beberapa bulan sebelum itu berpisah sementara.

“Saya dan Amir berpisah sementara sebelum mengambil jalan bercerai penghujung tahun lalu untuk menimbulkan rasa rindu, sekali gus memperbaiki hubungan kami.

“Namun jodoh kami hanya sampai di situ dan kami terpaksa berpisah,” kata anak kelahiran Dublin, Ireland ini yang menafikan wujud orang ketiga dalam hubungan mereka.

Menurut Sarimah, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghebahkan cerita rumah tangganya kepada khalayak, apatah lagi pasti ada yang menuding jari menyalahkan seorang daripada mereka menjadi punca kepada perceraian itu.

Malah, mereka mengambil keputusan itu atas dasar tiada lagi keserasian antara mereka dan memikirkan itu jalan terbaik supaya tidak terus dibelenggu perbezaan cara hidup yang mereka lalui.

“Memang perit apabila terpaksa menerima hakikat kami tidak lagi bersama, namun saya yakin ada hikmah di sebalik peristiwa ini.

“Kami sama-sama berusaha menyelamatkan hubungan ini, namun ternyata jodoh kami tidak panjang dan saya akur dengan ketentuan Tuhan,”
kata Sarimah.

Menjawab persoalan mengapa dia tidak memberitahu orang ramai mengenai perceraian itu, apatah lagi bekas suaminya turut kelihatan ketika Sarimah mengendalikan Konsert Akhir Akademi Fantasia 7 baru-baru ini, Sarimah mengakui masih berhubung dengan Amir dan berkawan dengannya.

Menurutnya, hubungan persahabatan selama sembilan tahun yang terjalin menyebabkan kedua-dua pihak merasakan tidak perlu bermasam muka, apatah lagi memutuskan tali silaturahim.

“Kami saling mengenali dan memahami hati budi, termasuk apa yang kami suka atau tidak, sebab itu kami berkahwin.

“Cuma jodoh kami sebagai suami isteri yang tidak panjang, jadi usah menganggap yang bukan-bukan mengenai perceraian kami kerana setiap orang mengimpikan kebahagiaan,”
kata anak sulung empat beradik ini.

Walaupun bersedih dengan kejadian menimpa rumah tangganya, ternyata wanita ini bukan calang-calang, apatah lagi dia mengendalikan pelbagai program televisyen selepas perceraiannya, termasuk rancangan Katanya... dan 50 episod Diari AF7, selain 10 episod Diari INT yang memerlukan komitmen tinggi.

Tiada siapa menyangka ketika itu dia bertarung dengan perasaan dukacita, malah sentiasa tersenyum mengendalikan setiap program yang menampilkannya sebagai pengacara, termasuk aksi ‘gila-gila’ yang ditampilkan.

Malah dalam tempoh itu, Sarimah yang pernah membintangi filem Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak Khas 3 langsung tidak menunjukkan ciri-ciri bersedih atau terbelenggu dalam kemurungan berbanding wanita senasib dengannya, apatah lagi terpaksa memikul gelaran janda.

“Saya kuat kerana ada teman rapat sudi berkongsi masalah, malah merekalah meniupkan semangat supaya saya terus berjuang dalam dunia seni.

“Begitu juga rakan media yang terus memberi sokongan sepanjang 13 tahun saya menapak sebagai anak seni, jadi saya harapkan sokongan sama walaupun terpaksa melalui jalan sukar ini.

“Saya juga berharap peminat dan masyarakat memberi ruang kepada saya selain tidak menyalahkan saya dan Amir atas perpisahan ini,”
kata Sarimah.

Sarimah dan Amir diijabkabulkan di Masjid Dublin, Ireland, pada 13 Mei 2006.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Mutakhir/20090607060001/Article

Ajaran sesat ayah

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Usianya baru 13 tahun dan sepatutnya menghabiskan masa di sekolah, namun sungguh mengejutkan kerana dia mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, sebaliknya ‘sekolah’nya selama ini ialah premis mesin judi haram.

Tidak kira siang atau malam, di situlah remaja itu yang hanya mahu dikenali dengan nama Irwan ‘bersekolah’ dan ‘gurunya’ pula mesin judi kuda, ‘jackpot’, ‘badut’, ‘kungfu’ serta meja snuker sehingga dia mampu ‘mencari makan’ dengan permainan judi snuker ‘lucky ball’.

Selama dua minggu wartawan Metro Ahad memantau gerak-geri Irwan di kawasan sekitar Puchong sebelum berjaya mendekatinya hingga bersedia ditemubual.

Menurut Irwan, dia tidak pernah bersekolah dan menetap bersama bapanya yang tidak bekerja.

“Saya ‘anak terbiar’. Bapa saya juga seperti saya... menghabiskan masa di premis mesin judi. Kami menyewa bilik, tetapi biasanya saya tidur di pusat judi,” katanya.

Irwan mengakui dia buntu memikirkan masa depannya dan seboleh-bolehnya tidak mahu terus hidup begitu.

“Saya teringin sangat hendak bersekolah, tetapi nak buat macam mana. Kebanyakan kawan saya juga ‘rosak’ sebab sepenuh masa dihabiskan di premis mesin judi.

“Tiada siapa mahu membimbing saya. Saya tidak tahu saya akan jadi apa apabila dewasa nanti,”
katanya.

Irwan berkata, dia mula mengenali mesin judi dan snuker sejak berusia 10 tahun apabila kerap mengikuti ayahnya ke premis judi.

“Saya tidak sekolah, lalu apa yang boleh saya buat melainkan ikut ayah ke tempat seperti itu. Sejak itu saya mula mengenali mesin judi dan snuker.

“Apabila ayah beri wang, saya mencuba nasib. Kadangkala jika ayah ada duit lebih, dia beri saya wang dan suruh saya main,”
katanya.

Menurut Irwan, sejak itu dia menjadi ketagih bermain mesin judi terutama judi kuda, kerana modalnya hanya RM1.

“Menang main kuda tidaklah banyak. Masuk RM1 kalau kena pilihan dapatlah RM4. Kadangkala kalau pilihan bagus boleh kena sehingga RM500.

“Menang besar, main pula mesin lain seperti ‘jackpot’, ‘badut’ dan ‘kungfu’. Masuk RM10 atau RM20 sekali jalan. Kalau nasib baik boleh dapat untung sehingga RM200,”
katanya.

Irwan berkata, dari usia 10 hingga 13 tahun begitulah rutin hariannya sehingga dia mahir bermain snuker dan mencari makan dengan permainan itu.

“Saya mampu mengalahkan orang dewasa. Jika bermain judi snuker ‘lucky ball’, saya selalu menang dan kadangkala ambil upah mainkan untuk orang,” katanya.

Menurut Irwan, lumrah berjudi, dia selalu kalah daripada menang sehingga terpaksa meminta simpati orang lain untuk makan dan minum.

“Kadangkala wang ada RM2, semua dihabiskan ke mesin kuda. Kesudahannya, nak makan pun tiada wang. Harapkan ayah, ayah tak peduli sebab dia selalu tiada wang dan jika ada wang, semuanya lebur di mesin judi. Kami dua beranak memang mencari ‘rezeki’ dengan bermain mesin judi,” katanya.

Irwan berkata, selain mencari wang dengan berjudi, dia juga sanggup menjadi kuli pelanggan premis mesin judi.

“Saya sedia disuruh membeli rokok atau makanan. Kalau ada pelanggan yang baik, saya dapat upah, tetapi jika yang buat tak tahu saja, upahnya adalah lebihan wang yang diberi dalam jumlah beberapa sen saja.

“Wang upah itulah saya gunakan untuk membeli makanan dan minuman, tetapi biasanya wang itu lebur dibuat berjudi,”
katanya.

Spekulasi tragedi AF447

Ahli keluarga mangsa pesawat Air France yang terhempas masih belum berpuas hati dengan laporan mengenai punca nahas.


JURUTERBANG Angkatan Tentera Brazil, Celio Galvao diasak perbagai soalan daripada pihak media yang kini agresif memburu maklumat.


Satu operasi laut besar-besaran untuk mencari mayat 228 penumpang pesawat Air France AF447 yang terjunam di Lautan Atlantik minggu ini telah dipersetujui selepas usaha mencari sebelum ini gagal.

Sebagai meningkatkan usaha mencari, sebuah kapal selam nuklear Perancis dilaporkan sedang menuju ke zon carian yang terletak 1,000 kilometer di timur laut Brazil dengan misi mencari kotak hitam pesawat malang yang terbang dari Rio de Janeiro ke Paris Isnin lalu.

Turut serta dalam operasi itu ialah dua kapal milik tentera laut Brazil yang terlibat dalam usaha mencari Jumaat lalu dan tiga kapal tentera lain yang diterbangkan menggunakan 12 pesawat tentera Brazil dan Perancis.

Menurut Ketua Kawalan Trafik Udara yang bertugas di lokasi terbabit, Brigadier Brazilian Ramon Cardoso, belum ada sebarang penemuan bahan di sekitar lokasi dipercayai tempat pesawat terjunam.


TUANE ROCHA, 26, gagal mengawal emosinya di Rio de Jeneiro apabila tiada berita tentang teman hidupnya, Andrey Keselev, yang menaiki pesawat AF447.


“Beberapa barang yang dijumpai terapung di sekitar kawasan ini tidak berkaitan dengan insiden tersebut. Ditambah pula dengan cuaca buruk yang mengehadkan penglihatan dan arus yang berubah haluan, tiada sebarang penemuan dapat dilakukan,” katanya.

Pegawai Brazil berkata, pihaknya yang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap terhadap barangan yang ditemui mendapati ia hanya sampah sarap yang mungkin dibuang oleh kapal-kapal yang melalui kawasan tersebut.

Berpandukan petunjuk awal yang ditemui Selasa dan Rabu lalu iaitu kerusi penumpang dan komponen lain, para penyelamat yakin mereka berada di lokasi tragedi yang betul.

Cardoso berkata, serpihan pesawat mungkin telah tenggelam di dasar laut, di mana kotak hitam kapal terbang dipercayai berada. Namun, tanpa sebarang petunjuk daripada bangkai pesawat atau data dalam kotak hitam itu, timbul spekulasi tentang punca kemalangan itu berlaku.


TENTERA Perancis tiba di Brazil untuk menyertai misi mencari dan menyelamat, namun mereka juga tidak terlepas daripada pertikaian mengenai keberkesanan operasi itu.


Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Perancis, Herve Morin memberitahu wartawan di Paris, beliau belum mengetepikan penglibatan pengganas dalam insiden itu walaupun tiada sebarang ancaman diterima sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Perancis pula, Dominique Bussereau berkata, operasi mencari perlu dilakukan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut walaupun ia terpaksa mengambil banyak masa.

Ketua Pengarang Flight International, David Learmont pula berkata, tanda amaran yang dikeluarkan pesawat bukan panduan tepat untuk para menyiasat tahu apa sebenar yang terjadi tetapi ia dilihat sebagai petunjuk bagi kemalangan yang berlaku sebelum ini.

“Apa yang dikatakan oleh Airbus ialah apa jua keadaan yang dihadapi oleh juruterbang, mereka tidak boleh menguruskannya. Kita tidak tahu situasi sebenar yang mereka hadapi tetapi hanya mengetahui serba sedikit mengenai keadaan yang mereka alami,” katanya kepada AFP.


LOKASI ini merupakan laluan yang lazim dilintasi pesawat dari Rio de Jeneiro ke Paris.


Sementara menunggu hasil siasatan dan petunjuk, ahli keluarga mangsa pesawat malang itu melahirkan rasa kecewa dengan penemuan bukti yang menyebabkan mereka kehilangan orang tersayang selamanya.

Sekumpulan saudara-mara kepada 10 warga Brazil yang menjadi mangsa telah diterbangkan ke pusat operasi mencari di Recife pada Jumaat lalu untuk bercakap dengan juruterbang yang terlibat dalam operasi mencari itu.

Mereka meninggalkan pusat operasi tersebut tanpa bercakap dengan media dan kembali semula ke Rio de Janeiro untuk menghadiri satu upacara memperingati kematian penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Sementara itu, Pertubuhan Peguam Rio mengutuk ‘gangguan berterusan’ yang dilakukan saudara-mara mangsa dan warga asing yang berbaur tuntutan mahkamah untuk mengaut keuntungan daripada tragedi tersebut.

Mana-mana peguam Brazil yang cuba mendaftar kes berkenaan tragedi itu akan dihukum dan mana-mana peguam asing yang menandatangani visa pelancong untuk melobi sokongan perniagaan yang membelakangkan undang-undang juga bakal berdepan dengan tindakan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Lambaian Homestay Kachong Darat

Oleh Nurulfatiha Muah
bhnita@bharian.com.my


JALAN masuk ke perkampungan Homestay Kanchong Darat.

Panorama indah selain pelbagai hidangan menarik yang disajikan pasti memikat pengunjung, pelancong

RIMBUNAN bunga orkid pelbagai warna yang tumbuh mekar dilihat cantik menghiasi kediaman, seolah-olah mendiami rumah yang dikelilingi taman bunga. Ia pasti mampu memikat sesiapa saja yang memandangnya ditambah pula dengan oksigen segar yang dibebaskan oleh bunga-bungaan itu.

Panorama indah ini dapat dilihat di perkampungan Homestay Kanchong Darat, Banting, Selangor, satu lokasi pelancongan keluarga yang wajar dikunjungi untuk merehatkan minda selepas penat bekerja.

Terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Banting, nama Kanchong Darat bermaksud bekas air yang diperbuat daripada buluh. Perkampungan homestay yang mampu menempatkan 80 orang pada satu-satu masa itu membabitkan 38 rumah dengan 95 peratus penduduk terdiri daripada masyarakat Jawa.

Bermula sebagai perkampungan homestay pada 1998, pengunjung pasti terpesona dengan kehijauan alam semula jadinya, di samping menikmati udara segar dan menerima layanan mesra penduduk.

Senyuman mesra tidak lekang di bibir mereka menyambut kunjungan pelancong tempatan, mahupun luar negara.

PENDUDUK Kanchong Darat, Lailiah Samingan membakar bahulu dengan menggunakan arang.

Menariknya, pelancong boleh memilih untuk berkampung di sini berdasarkan kehendak mereka di kediaman yang disediakan untuk perkampungan homestay itu dan menyertai aktiviti desa bersama pengusaha dengan bayaran berpatutan.

Pelancong dapat merasai pengalaman manis, selain menjalin hubungan akrab dengan penduduk Kampung Kanchong Darat yang peramah melalui aktiviti yang dijalankan, di samping menjamah hidangan ala Jawa yang disajikan.

Bagi mereka yang ingin mendalami budaya masyarakat Jawa, perkampungan homestay itu mampu memberikan pengalaman manis hidup dalam kepompong masyarakat ini dengan tradisi perkahwinan mengikut adat dan makanan tradisi termasuk nasi ambeng, emping, bahulu dan makanan berasaskan ubi seperti 'lemet' dan 'ketiwol'.

Pengunjung akan disajikan dengan hidangan nasi ambeng yang menjadi satu kemestian. Ia dihidangkan dalam dulang bersama lauk pauk seperti ayam masak kicap, serunding, sayur-sayuran dan ikan masin, untuk dinikmati empat atau lima orang.

TAMAN rekreasi di Homestay Kanchong Darat.

Keenakan hidangan nasi ambeng ini menjadi tarikan utama bagi pelancong yang tidak pernah merasai nikmat makan beramai-ramai, sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara penduduk kampung dan pelancong.

Pengurus Homestay Kampung Kanchong Darat, Mahyuddin Bakar, 64, berkata perkampungan homestay itu ditubuhkan bagi menyuburkan tradisi masyarakat Jawa yang semakin dilupakan selain memajukan perusahaan kecil seperti membuat kerepek, tempe, bahulu dan emping.

Katanya, kebanyakan pengusaha masih menggunakan cara lama dalam menghasilkan kuih tradisional.

"Dalam membuat kuih bahulu misalnya, sabut kelapa dan arang masih digunakan untuk membakar berbanding bahulu yang banyak terdapat di pasaran kini, yang menggunakan ketuhar.

"Pelancong juga berpeluang membuat bahulu tradisional di sini, selain melihat proses pembuatan emping melinjau. Emping melinjau berasa sedikit pahit, tetapi enak dimakan sebagai makanan ringan seperti kerepek," katanya.

Kulit buah melinjau yang berwarna merah dikupas dan diambil bijinya. Kemudian bijinya akan digoreng tanpa menggunakan minyak. Selepas masak, kulit luar biji melinjau akan dikupas sekali lagi lalu ditumbuk menggunakan penukul untuk dijadikan kepingan emping, seolah-olah membentuk kepingan kerepek. Ia kemudian dijemur sebentar sebelum digoreng dan sedia dimakan.

'Lemet' adalah lepat yang diperbuat daripada ubi yang diparut manakala keharuman aroma daun pisang yang membalutinya pasti membangkitkan selera sesiapa saja untuk menikmati makanan tradisi ini.

Mahyuddin berkata, 'ketiwol' adalah makanan masyarakat Jawa, yang diperbuat daripada tepung ubi, dengan disirami air, membentuk seperti adunan kulit karipap yang tidak cukup air dan dikukus sebelum digaulkan bersama parutan kelapa dan gula.

Selain makanan, perkampungan homestay ini turut menyediakan permainan desa seperti tarik upih, gasing, ting-ting, batu seremban dan galah panjang.

Homestay Kampung Kanchong Darat mula dikenali selepas rumah contoh milik Misnan Kariyo, 68, dan isterinya Tuminan Mokri, 63, memenangi banyak anugerah seperti landskap terbaik anjuran pengurusan homestay dan Kementerian Pelancongan.

Katanya, pengusaha homestay dilatih dan diberi kursus untuk program homestay ini bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan kembali semula ke perkampungan itu pada masa akan datang. Beliau berharap usaha perkampungan homestay itu dapat dipertingkatkan, di samping membentuk keharmonian masyarakat yang lebih padu, dan mendapat perhatian kementerian untuk menaikkan taraf pengusaha kecil supaya lebih berdaya maju.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20090530101608/Article/

Selera hidangan Barat

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my




Sajian ringkas bagi makan tengah hari

BAGI ahli perniagaan dan golongan korporat, waktu makan tengah hari adalah antara masa yang sesuai serta sering digunakan untuk berbincang atau bertukar-tukar pandangan. Sambil duduk menjamu selera, masing-masing akan rancak berbual dan berbincang mengenai pelbagai perkara.

Justeru, tempat yang sesuai diperlukan untuk berbuat demikian. Menyedari keperluan itu, Oswego Wine Bar di Hotel & Spa Impian KLCC menawarkan promosi, Carvey Lunch khusus untuk ahli perniagaan dan warga korporat untuk menikmati makan tengah hari di tempat lebih selesa serta memenuhi keperluan mereka.

Promosi itu bermula sejak April lalu dan sejak diperkenalkan ia mendapat sambutan yang agak menggalakkan. Memenuhi konsep diketengahkan tempat itu dilengkapi beberapa kemudahan seperti televisyen yang sentiasa menyiarkan saluran berita perniagaan, akhbar dan majalah tempatan serta luar negara, khusus berkaitan perniagaan. Menu hidangan makanan yang disediakan pula bersesuaian dengan konsep promosi berkenaan.

Chef Eksekutif, Steven Seow, berkata tempat itu menyediakan menu hidangan Barat yang akan bertukar setiap hari, namun hidangan istimewa ayam panggang, lemon-rosmary roasted whole chicken dan daging panggang, peppered roasted eye of beef, disajikan setiap hari kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung.

Seow berkata, menu hidangan Barat menjadi pilihan kerana didapati bukan saja digemari ramai, tetapi sesuai dinikmati bagi golongan ahli perniagaan dan warga korporat yang sibuk serta sentiasa ingin mengejar waktu serta lazimnya, inginkan makanan tengah hari lebih ringkas.



“Sebelum ini kami pernah menyediakan pilihan hidangan masakan tempatan dan keenakannya memang tidak dinafikan begitu sedap. Namun, memenuhi keperluan dan untuk menjimatkan masa pelanggan yang sentiasa sibuk, kami menukarkannya kepada menu hidangan Barat.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah makanan dihidangkan bukan saja dipastikan sedap dan mengenyangkan, tetapi juga mempunyai elemen makanan sihat serta seimbang. Pada masa sama, makanan dihidangkan mestilah senilai dengan harga dibayar oleh pelanggan,” katanya.

Hidangan setiap hari disediakan ialah hidangan sajian di atas troli, salad dan pembuka selera, sup, roti serta pemanis mulut. Harganya ialah RM28++ untuk seorang.

Seow berkata, untuk salad setiap hari lima jenis campuran disediakan dan hidangan itu dipastikan pilihan yang segar dan sihat iaitu mengandungi zat seperti karbohidrat, protein dan vitamin. Begitu juga hidangan sup sentiasa yang menambat selera dan antara yang menjadi pilihan ialah sup tomato Itali Rossini, sup Jepun, Miso, sup lobak krim, sup labu dan sup makanan laut.

Roti pula ada empat jenis pilihan, manakala untuk sajian di atas troli juga ada aneka seperti kentang parmesan, sayur-sayuran campuran, kentang panggang, ayam dan daging panggang serta banyak lagi. Untuk pemanis mulut selain dari buah-buahan tropika disediakan juga kek, jeli dan banyak lagi.

Dengan suasana yang tenang dan selesa, pengunjung akan berasa senang hati untuk menikmati hidangan disajikan. Pada masa sama, dapat berbual-bual atau memenuhi matlamat yang ingin dicapai ketika perbincangan diadakan. Untuk tempahan hubungi 03-21471111 atau e-mel info.impinaklcc@impiana.com.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20090606094552/Article/

Belanga: Raja tom yam

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my


AHMAD Zahidi (kiri) bersama petugas Eiman Tom Yam yang bersedia menyambut pelanggan menjamu selera di restoran berkenaan.

Eiman sedia pelbagai jenis masakan unik pikat pengunjung

KEENAKAN hidangan yang disajikan sering menjadi buah mulut pengunjung terhadap restoran yang dikunjungi. Selain itu, kebersihan, kecekapan kakitangan dan kemudahan asas seperti tandas serta surau juga antara faktor pendorong kepada pelanggan untuk membuat kunjungan ulangan ke restoran berkenaan.

Sehubungan itu, kombinasi sajian enak, sifat mesra pelanggan dan kemudahan awam seperti surau menjadi asas penting dalam perniagaan berasaskan makanan menyebabkan Restoran Tom Yam Eiman (Eiman) terus dikunjungi pelanggan di Taman Tun Dr Ismail Jaya, Shah Alam.

Pengurusnya, Ahmad Zahidi Ahmad Ramli, berkata sifat mesra pelanggan dan kemudahan asas yang disediakan pihaknya adalah bonus bagi mereka sekiranya diberi perhatian oleh pengunjung, tetapi berdasarkan perhatian beliau, sajian pelbagai jenis tom yam adalah daya penarik utama terhadap restoran berkenaan.

“Eiman menawarkan lebih 20 jenis tom yam. Antara yang sering dipesan pengunjung ialah tom yam Eiman dan tom yam urat keting. Kedua-dua jenis tom yam ini, saya kira berjaya mencuri perhatian pengunjung mungkin kerana keunikan nama menu itu selain bumbu istimewa yang kami gunakan,” katanya ketika ditemui di Eiman, baru-baru ini.

Manakan tidak, tom yam Eiman boleh dianggap raja tom yam di premis berkenaan kerana isinya yang pelbagai seperti udang, ayam, daging, sotong, ketam dan cendawan yang dicampur bersama bunga kobis, jagung serta bawang besar yang menimbulkan aroma menyelerakan lebih-lebih lagi apabila ditumis bersama pes tom yam.

TOM YAM Eiman yang dipenuhi pelbagai isi menarik perhatian pengunjung restoran itu.

Tom yam urat keting juga tidak mengecewakan bagi mereka yang mengetahui keenakan bahan berkenaan. Tidak terhad setakat itu, pengunjung boleh memesan tom yam daging, tom yam perut, tom yam limpa, tom yam paru dan aneka tom yam yang berperisa tempatan.

“Walaupun Eiman menghidangkan tom yam yang sering dikaitkan dengan masakan Thai, tom yam di Eiman berperencah tempatan disediakan tukang masak yang dilatih khusus dalam penyediaan masakan ala Thai. Paling penting, kami menggunakan bahan halal dan mendapat bekalan bahan masakan daripada pembekal yang diyakini,” katanya.

Menu lain yang mencuri selera pengunjung di restoran itu antara lain nasi goreng Pattaya yang ditampilkan dalam wajah baru iaitu menggunakan lauk berasingan yang disiram di atas bungkusan telur.

“Nasi Pattaya mengingatkan kita kepada nasi goreng bercampur isi ayam atau daging yang dibungkus di dalam telur dadar. Berbeza dengan nasi Pattaya yang sedia ada, nasi Pattaya Eiman disertakan dengan lauk tambahan seperti daging berkuah lada hitam atau ayam masak merah yang menyuntik kelainan pada hidangan itu.

SIAKAP masak masam manis begitu menyelerakan.

“Ada 55 jenis nasi goreng yang boleh dipesan pengunjung bergantung kepada selera masing-masing. Kami cuba sedaya upaya menyajikan yang terbaik untuk anda,” katanya.

Susun atur restoran yang didominasi warna hijau mencetus keselesaan kepada pengunjung lebih-lebih lagi dengan adanya binaan gazebo pada bahagian tengah restoran yang memberi pilihan kepada pengunjung sama ada ingin menikmati hidangan ala kampung secara bersila atau duduk di kerusi empuk.

“Situasi berkenaan sengaja kami wujudkan supaya pengunjung ada pilihan dan berasa selesa untuk menikmati hidangan bersama keluarga. Kadang-kadang ada pengunjung yang mencari nostalgia mengimbau kenangan di kampung makan bersama keluarga dalam suasana riuh rendah, itulah yang kami cuba terapkan,” katanya.

Ahmad Zahidi berkata, bayaran menggunakan kad kredit juga diterima, tetapi tertakluk kepada jumlah tertentu, manakala pemegang kad keahlian Eiman tom yam akan mendapat potongan harga 10 peratus pada setiap pembelian berharga RM50 ke atas.

INFO

Eiman Tom Yam House

Sajian:
Menyajikan pelbagai jenis tom yam dan nasi goreng.

Kemudahan: Selain tandas, terdapat surau berasingan untuk pengunjung lelaki dan wanita.

Kapasiti: 50 orang (aras bawah) 100 orang (aras atas)

Waktu perniagaan: 10 pagi hingga 12 malam (setiap hari)

Kapasiti: 160 pengunjung pada satu masa.

Lokasi: No 40 & 42, Jalan Opera LU 2/L, Taman TTDI Jaya, Seksyen U2, Shah Alam

Telefon: 016-2737360 atau 03-78422360

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20090606095047/Article/index_html

Akhil: Jadilah masyarakat yang mendekati dan bukan penghukum

Sabtu Jun 6, 2009

Ustaz Akil minta masyarakat tidak terus menghukumnya atas keruntuhan rumah tangganya. Foto THE STAR Oleh: CHAN TAK KONG.

SHAH ALAM: "Saya cuba tamatkan kemelut dengan cara terbaik dan bertawakal. Apa pun saya dengan kehidupan saya. Orang lain kena hormati.

"Tolong jadi masyarakat yang sentiasa mendekati dan bukan penghukum," ujar penyanyi dan pendakwah Ustaz Akhil Hayy ketika ditemui di Malam Kebudayaan Islam "Wacana Muzikal" di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Begitulah luahan Akhil mengenai kontroversi rumahtangganya sekarang.

Tambahnya, "Jika mengikut kehendak, ada kehendak manusia yang nak macam ni dan macam tu.

"Kita tak boleh memuaskan hati semua orang kerana kita bukan malaikat.

"Saya harap orang lain memberi ruang kepada orang yang ada masalah."

Akil bertawakal kepada Allah dalam menempuhi dugaan yang melanda dirinya

Akhil yang pada mulanya enggan ditemubual dan berkata 'lepas mahkamah' bijak menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

Ditanya apa yang dia akan lakukan untuk menjernihkan hubungan rumahtangganya, Akhil berkata: 'Saya tak kan komen apa-apa pasal rumahtangga.'

Hakikatnya, hidup mesti diteruskan dan Akhil hanya menerima setiap kritikan orang ramai dengan senyuman.

Menyentuh tentang kerjayanya, Akhil berkata dia sedang menyiapkan album baru sejak tiga bulan lalu.

"Saya selalu menghabiskan masa di studio untuk menyiapkan album dan menghabiskan rakaman program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang hanya tinggal satu babak.

"Rakaman program itu dilakukan di sekitar Shah Alam, Bukit Jelutong dan merata-rata tempat yang dramatik," ujarnya yang selesa bercakap mengenai kerjaya berbanding isu tak balik rumah dan keluarga.

Bercerita mengenai album yang dijangka akan diterbitkan dalam tahun ini, Akhil berkata sebanyak empat buah lagu berentak universal telah disiapkan.

Akil turut menyampaikan lagu dalam satu konsert khas yang diadakan sempena Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam.

"Saya juga telah berbincang untuk berduet dengan sahabat seperti Mawi, Ramli Sarip dan M. Nasir."Saya tidak terfikir untuk berduet dengan artis wanita," ujarnya yang menyanyikan sebuah lagu baru semasa persembahan sempena Muktamar PAS ke-55 semalam.

Kata Akhil, lagu baru berjudul Menangis itu mengisahkan tentang tangisan 'peribadi' dan 'umum' kerana apa yang berlaku di alam ini.

"Masyarakat menangis..ada yang menangis kerana stadium runtuh, pasaraya runtuh dan keluarga yang hampir runtuh," tuturnya.

Ketika sesi temubual bersama pengerusi majlis, Zaidi Rustam (Wildani), Akhil menjawab 'album di mahkamah' sebelum menyebut dalam nada sinis 'siapa ada masalah keluarga, rujuk-rujuklah media' sambil tergelak.

Akhil juga memberitahu yang lagu dalam album terbarunya diadaptasi dari aura yang tidak kondusif.

"Macamana keadaan seseorang itu diuji tetapi hasilnya ibarat orang yang dibaling batu-bata dan ambil untuk bina istana," ucapnya dengan penuh makna.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/6/mstar_hiburan/20090606163849&sec=mstar_hiburan

Kwai Chang Caine mati dek onani


TINGGAL NAMA...seorang wanita meniru gaya Marylin Monroe melihat bintang David Carradine di laluan Walk of Fame di Los Angeles, AS semalam.

BANGKOK: Kematian David Carradine yang mulanya disangka bunuh diri mungkin sebenarnya tidak disengajakan apabila polis menemui petunjuk baru pada mayatnya, semalam.

Ditemui kaku dalam almari dengan leher terikat kelmarin, bintang siri Kung Fu itu mungkin asyik melakukan onani dan menemui ajal tiba-tiba.

Andaian itu dibuat apabila polis menemui tali mengikat kemaluan Carradine, 72, selain seutas tali lain melilit lehernya.

Kedua-dua tali itu kemudian disambung dan digantung di dalam almari.

Komander polis Bangkok, Worapong Siewpreecha, berkata dalam keadaan begitu tidak dapat dipastikan Carradine sengaja membunuh diri.

“Ada kemungkinan dia mati akibat melancap,” katanya kepada media.

Mayat Carradine yang popular pada 1970-an melalui watak Kwai Chang Caine dalam siri Kung Fu itu ditemui kakitangan Hotel Nai Lert Park di Bangkok, kelmarin.

Dia berada di Bangkok untuk menjalani penggambaran filem terbarunya, Stretch.

Carradine turut popular apabila muncul dalam filem Kill Bill (2003) dan Kill Bill 2 (2004).

Laporan awal bedah siasat mendapati, Carradine mati akibat kekurangan oksigen tiba-tiba dan tiada sebarang kecederaan pada tubuhnya.

Sumber berkata, pihak forensik kini memeriksa kuku Carradine dan contoh tisu untuk membandingkan DNA itu dengan sampel diambil dari tali yang mengikat tubuh pelakon berkenaan.

“Jika sama, kemungkinan besar Carradine mengikat tali itu sendiri,” katanya.

Laporan penuh autopsi dijangka hanya diperoleh hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Forensik Hospital Chulalongkorn, Nanthana Sirisap, berkata kematian Carradine bukan disebabkan faktor semula jadi.

“Ujian dadah dan alkohol dilakukan,” katanya.

Pakar forensik di Jabatan Keadilan Thailand, Porntip Rojanasunan, pula berkata pelakon itu mungkin mati akibat kemalangan erotik.

“Ia bukan bunuh diri, tetapi dia mati selepas melancap,” katanya.

Sementara itu, stesen CNN melaporkan, isteri dan pengurus Carradine mengesyaki ada unsur jenayah dalam kes kematian aktor itu.

Pengurusnya, Chuck Binder, berkata dia diberitahu penerbit Stretch yakin ada unsur khianat terbabit.

Rakan Carradine, Michael Madsen, pula berkata, satu-satunya perkara yang ingin ditegaskan isteri mendiang, Annie Bierman, adalah ia bukan kes bunuh diri.

- AFP

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Global/20090606105642/Article/index_html


Malaysia sahkan kes selsema babi ketujuh

Malaysia mengesahkan kes ketujuh positif Influenza A(H1N1), membabitkan pelajar perempuan warga Australia yang datang ke Malaysia bersama ibunya untuk menziarah saudara mereka di negara ini.



Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mereka tiba

di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) dari Melbourne, Australia pada jam 7 pagi semalam melalui penerbangan Air Asia X D7 2723.

"Beliau didapati mempunyai suhu badan yang tinggi semasa saringan demam

menggunakan thermo-scanner di LCCT, dan daripada pemeriksaaan lanjut oleh

pasukan perubatan bertugas, beliau memberi riwayat mula demam, batuk dan sakit tekak sejak sehari sebelum tiba di Malaysia," kata Dr Mohd Ismail.



Katanya pelajar itu yang didapati mempunyai tanda jangkitan influenza

terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.15 pagi dan dimasukkan ke wad khas pada 9.50 pagi dan disahkan menghidap jangkitan influenza A(H1N1) itu pada jam 10.34 malam hari yang sama.



Menurut beliau, pelajar itu telah diberikan rawatan antiviral dan kini dalam keadaan stabil.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...