Saturday, September 19, 2009

Doa tak lekat di hati

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Ini tanda mak tidak banyak berdoa untuk anak dan anaknya tidak dapat merasai apa perasaan mak. Hubungan jiwa mereka sudah hilang, kosong, malah terputus,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Dr Rubiah Hamzah.

Beliau mengulas tindakan seorang anak lelaki yang sanggup meninggalkan ibunya yang uzur di pusat jagaan warga emas dan psikiatrik daripada membawa wanita malang itu pulang berhari raya.

Rubiah berkata, apabila doa seorang ibu hanya lekat di bibir tapi tidak di hati, malah tidak pula berdoa meminta kepada Allah untuk kesejahteraan menyebabkan hubungan jiwa antara dia, Tuhan dan anak hilang.

Katanya, meskipun fitrah manusia akan menyayangi ibu, namun kes tidak normal seperti itu (membiarkan ibu derita ditinggalkan) boleh berlaku akibat tidak cukup kasih sayang yang akhirnya menjadi sebahagian daripada fikirannya saja.

“Berdasarkan kes yang saya kendalikan sebelum ini, kebanyakan warga emas yang ditinggalkan mempunyai sejarah pahit tidak menerapkan kasih sayang secukupnya kepada anak tetapi melebihkan harta material semata-mata.

“Duit tidak boleh membeli kasih sayang...tak boleh, sebaliknya kita kena besarkan anak dengan kasih sayang. Sayangi mereka secukupnya dan daftarkan anak sebagai hamba Allah dengan mengajarnya mengucap kalimah Syahadah.

“Jika kita lakukan perkara ini semua, maka anak tidak akan memulangkan kembali apa yang kita buat dulu termasuklah sekiranya ada (ibu) yang meninggalkan anak, pilih kasih atau membiarkan mereka membesar di bawah jagaan orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro, kelmarin melaporkan seorang lelaki tergamak membiarkan ibu yang uzur berlari mengejar keretanya sambil menggendong bungkusan pakaian kerana mahu mengikut pulang menyambut Aidilfitri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090918093049/Article/index_html

Nafsu ayah luar tabii

Oleh Rashidi Karim dan Karimah Md Yusoff
am@hmetro.com.my


KANGAR: Terkutuk dan keji. Itu gambaran yang boleh diberikan kepada seorang duda muda yang berpisah dengan isteri sejak lebih setahun lalu apabila sanggup menjadikan anak perempuan sendiri yang berusia 10 tahun sebagai tempat melempias nafsunya.


Bapa berusia 28 tahun yang berkerja tukang paip dari Kampung Sentua, Utan Aji, dekat sini, dikatakan meliwat budak perempuan terbabit di rumah mereka sejak setahun lalu.


Lebih malang, perbuatan terkutuk bapa terhadap anak sulung daripada dua beradik itu yang sepatutnya menjadi pelindung turut diketahui adik lelaki suspek berusia 14 tahun iaitu bapa saudara mangsa yang turut mengambil kesempatan melakukan perbuatan sama dengan meliwat mangsa.

Dua beradik itu disyaki meliwat pelajar perempuan tahun empat itu sejak setahun lalu sebelum kegiatan mereka terbongkar dan diketahui ibu kepada kedua-dua suspek itu.

Berdasarkan maklumat, kegiatan keji dua beradik itu terbongkar berikutan pendedahan dibuat mangsa kepada seorang guru di sekolahnya yang melihat perubahan dirinya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu yang dibuat nenek mangsa berusia 60 tahun yang menetap bersama dua suspek di Kampung Sentua.

Katanya, kedua-dua suspek itu kini ditahan sejurus polis menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu ibu suspek berhubung perbuatan seks luar tabii terhadap cucunya, malam kelmarin.

“Buat masa sekarang, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

“Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek itu boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan,”
katanya di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090918074714/Article/index_html

Reda ibu, reda Allah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: “Umat Islam perlu sedar bahawa keredaan Allah terhadap seseorang bergantung kepada keredaan ibu terhadap dirinya,” kata Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin.

Menurut beliau, menghargai ibu bukan hanya sehari dua kerana jasa yang tidak ternilai dan perbuatan anak yang sanggup menjadi si tanggang hingga tergamak menyisihkan ibu, apa lagi pada bulan puasa tidak selari dengan kehendak agama.


“Sekiranya kejadian berkenaan benar, ia bermaksud seseorang anak itu melupai segala kepayahan yang diharungi ibu termasuk memikul beban mengandungnya selama sembilan bulan selain membesarkannya menjadi insan berjaya,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam, mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan seorang ibu tua berlari mengejar sejauh kira-kira 20 meter semata-mata mahu mengikutnya pulang beraya di rumah.

Wanita berusia 70-an yang menggendong bungkusan baju cuba mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Suasana itu menghancurkan impian warga emas berkenaan yang juga penghuni rumah jagaan warga emas dan psikiatri di Jalan Denai 1, di Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Menurut Mohd Tahrir, segala pengorbanan yang dilakukan ibu adalah terbaik dan bertujuan bagi memastikan cahaya matanya dapat menikmati kehidupan selesa dan menjadi insan berguna.

Katanya, pengorbanan ibu mahupun bapa seharusnya dijadikan pedoman dalam hidup kerana apabila sudah berjaya, tidak patut melupakan asal-usul.


“Sama ada ibu berkenaan kafir mahupun tidak, tanggungjawab seorang anak ialah memberi layanan baik padanya dan apa salahnya, memastikan Aidilfitri mampu membawa keceriaan kepada ibu tersayang,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan dan juga pengasas Persatuan Kebajikan Tiram, Dr Salina Abdullah, berkata ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ menunjukkan betapa pentingnya kedudukan ibu itu sendiri.

Menurutnya, sebagai anak kita seharusnya bersyukur kerana tanpa mereka tidak mungkin kita dilahirkan di dunia ini.

“Saya pernah mendengar cerita bagaimana ada ibu tunggal yang tidak berkemampuan sanggup melakukan kerja berat dan mengikat perut bagi memastikan dapat memenuhi hajat anak demi kasih kepada anaknya.

“Sempena Aidilfitri ini, kita seharusnya kembali menginsafi diri dan menghargai jasa ibu yang sanggup berkorban harta dan nyawa membesarkan kita,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090917072605/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...