Thursday, February 12, 2009

Cegah tinggal secara haram di UK

Cegah tinggal secara haram di UK


KUALA LUMPUR: Malaysia kekal antara 10 negara teratas yang disenaraikan oleh kerajaan British bagi kesalahan tinggal melebihi tempoh dan melanggar undang-undang imigresen di United Kingdom (UK) disebalik komitmen kerajaan Malaysia untuk menangani masalah itu.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Boyd McCleary semalam berkata, kerajaan Malaysia perlu terus menguatkuasakan langkah pencegahan lebih ketat dan kerajaan British bersedia bekerjasama dengan Malaysia dalam perkara itu.

“Kerajaan Malaysia sudah memberikan maklum balas konstruktif dan mengambil komitmen serius untuk menangani isu ini. Tetapi kami berharap kerjasama penguatkuasaan antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan lagi,” katanya pada kempen di sini untuk mencegah rakyat Malaysia daripada tinggal melebihi tempoh di UK. 

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil ialah dengan meningkatkan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan proses lebih ketat dalam menapis dan menghalang pelawat yang tidak sah.

Malaysia dan UK juga dijangka menandatangani memorandum persefahaman untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam isu imigresen antara kedua-dua negara.

McCleary berkata, tahun lepas sahaja menyaksikan penurunan ketara berbanding tahun sebelumnya di mana hanya 847 rakyat Malaysia dilarang memasuki UK di pelabuhan dan lapangan terbang.

“Ini adalah penurunan sebanyak 36 peratus daripada tahun 2007 dan 48 peratus berbanding pada 2006. Rakyat Malaysia yang ditahan kerana bekerja tanpa permit di UK juga menurun kepada purata 200 sebulan berbanding hampir 300 sebulan pada 2006,” katanya.

Kempen anjuran Border Agency (UKBA), yang mengawal sempadan di UK dan imgresen di UK, menonjolkan tindakan tegas yang akan diambil terhadap mereka yang tinggal melebihi tempoh dan pendatang tanpa asing di UK, termasuk penalti, penghantaran pulang, penjara dan dilarang daripada memasuki semula UK.

Kempen itu diadakan selepas Malaysia lulus Ujian Pengecualian Visa dalam semakan oleh kerajaan British tahun lepas yang melibatkan 11 negara bukan Eropah. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212090239/Article/index_html

Hasrat arwah suami tercapai

Hasrat arwah suami tercapai

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

buku biografi mengenai Azizan." title="PENGHARGAAN...Abdullah bersama Noor Ainee ketika pelancaran
buku biografi mengenai Azizan." height="331" width="300" border="0">
PENGHARGAAN...Abdullah bersama Noor Ainee ketika pelancaran 
buku biografi mengenai Azizan.

PUTRAJAYA: “Arwah pernah berhasrat menulis mengenai pengalamannya sebagai pegawai kerajaan, malah rakan selalu menggalakkannya menulis,” luah Puan Sri Noor Ainee Che Teh, isteri kepada bekas Pengerusi Petronas, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin yang meninggal dunia 14 Julai 2004 selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas.

Malah, Noor Ainee berkata, arwah sudah mula menulis beberapa nota, bagaimanapun keterbatasan waktu akibat sibuk dengan tugas menyebabkan beliau tidak sempat membukukan pengalaman yang diperoleh sepanjang menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

“Arwah juga pernah berhasrat membukukan ucapannya selain menulis mengenai Putrajaya. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam penulisan buku ini, terutama Azam Aris.

“Buku ini amat bermakna dalam hidup kami sekeluarga, apatah lagi ia ditulis oleh seseorang yang rapat dengan kami,”
katanya pada pelancaran buku biografi ‘The Quintessential Man: The Story of Tan Sri Azizan Zainul Abidin di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama, isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican dan penulis buku terbabit, Azam Aris.

Azizan pernah menjadi Pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Pemergiannya disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara kerana arwah memberikan sumbangan begitu besar terhadap kemajuan dan perkembangan industri petroleum negara.

Noor Ainee berkata, arwah pernah meluahkan hasrat mempunyai yayasan untuk membantu golongan miskin dan anak yatim memandangkan beliau pernah menjalani hidup sebagai anak yatim ketika kecil.

“Dia angan-anganlah kerana masa kecil dulu dia banyak melalui cabaran, tak ada mak, tak ada ayah, miskin dan menumpang rumah orang, jadi arwah berangan-angan.

“Dia kata jika orang tidak melaluinya, (mereka) tidak memahami bagaimana anak yatim piatu dan miskin hidup. Dia tahu dia tak boleh buat... bukan macam Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang boleh tubuhkan yayasan,”
katanya.

Buku 385 muka surat itu pengkisahan riwayat hidup Azizan sebagai anak yatim piatu di Pulau Pinang.

Anak Datuk dikehendaki

Anak Datuk dikehendaki




yang dilarikan kepada Chong" title="DITIPU...Ahmad (kanan) menunjukkan nombor plat Mercedes
yang dilarikan kepada Chong" height="248" width="300" border="0">
DITIPU...Ahmad (kanan) menunjukkan nombor plat Mercedes 
yang dilarikan kepada Chong


KUALA LUMPUR: Bermodalkan janji manis, seorang penjenayah menyamar sebagai hartawan dan pemilik syarikat kenderaan import terpakai didakwa melarikan kereta mewah milik pelanggan selepas berjanji kononnya berupaya menjual kereta mangsa pada harga menguntungkan.

Suspek berusia 38 tahun yang juga suami kepada bekas isteri seorang penyanyi rock diburu polis selepas melarikan beberapa kereta mewah milik pelanggan yang meminta bantuan menjual kereta mewah berkenaan.

Suspek dipercayai dalang sindiket penipuan kereta mewah di ibu kota diletakkan dalam senarai penjenayah paling dikehendaki polis berikutan beberapa laporan polis dibuat mangsa sebelum ini. 

Salah seorang mangsa Ahmad Fuzi Hashim, 53, berkata, dia turut ditipu lelaki berkenaan selepas Mercedes Benz bernombor pendaftaran WBP 8436 miliknya diserahkan kepada suspek untuk dijual.

Beliau yang juga pesara pegawai tentera mendakwa menjadi mangsa selepas diperkenalkan rakannya kepada lelaki itu yang didakwa pemilik syarikat menjual kereta terpakai terkemuka di ibu kota.

Suspek yang juga anak Datuk didakwa bukan hanya menjual kereta mewah BMW dan Mercedes Benz malah turut menjual kereta mewah import pelbagai model antaranya Jaguar dan Porche.

“Saya memiliki Mercedes Benz bercadang menjual kereta berkenaan menggunakan khidmat lelaki itu.

“Pada pertengahan Julai tahun lalu, saya menyerahkan kereta untuk dijual di syarikat lelaki berkenaan di Kampung Baru,”
katanya.

Menurutnya, suspek berjanji meletakkan kereta mewah miliknya itu di bilik pameran syarikat dan berjanji menjual kereta itu pada harga tinggi sehingga RM180,000. 

Namun selepas hampir sebulan menanti, lelaki berkenaan didakwa langsung tidak menghubunginya menyebabkan dia mula tidak sedap hati dan berusaha mencari suspek.

“Lelaki itu memberi pelbagai alasan tidak munasabah sambil meminta saya bersabar dan suspek tiba-tiba lesap bersama kereta sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak menjual kereta milik mereka jika masih mempunyai baki hutang dengan bank.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212090831/Article/index_html

Selangor Ambil alih 4 syarikat air

Ambil alih 4 syarikat air

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersedia membuat tawaran sebut harga mengambil alih aset dan ekuiti dimiliki empat syarikat konsesi air selepas mendapat persetujuan Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam bersetuju mengeluarkan surat dalam tempoh dua hari kepada empat syarikat konsesi iaitu Konsortiom ABASS Sdn Bhd; Puncak Niaga (M) Sdn Bhd; Syarikat Pengeluaran Air Selangor Holding Berhad (SPLASH) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menurutnya, kerajaan negeri serius bagi memastikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor selepas enam bulan dibuat membabitkan rundingan dengan semua pihak.

“Sebelum keputusan ini dibuat, kerajaan negeri melalui panel khas yang ditubuhkan mengkaji proses penyusunan semula industri air di Selangor membuat kajian terperinci menilai aset dan ekuiti semua syarikat.

“Kami berpandangan tawaran dibuat kepada semua syarikat konsesi berpatutan selepas mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri berharap penstrukturan semula perkhidmatan air dapat dibuat sebelum 31 Mac ini mengikut ketetapan diberi Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Kami membuat penjelasan kepada rakyat berhubung perkara ini, tetapi tarikhnya diumumkan kelak.

“Ia bertujuan menjelaskan maklumat yang diberikan kepada pemegang saham dalam negeri terutamanya disebabkan isu berkenaan memerlukan beberapa analisis kompleks dan penjelasan,” katanya.

Menurutnya, taklimat itu akan diberi mereka yang terbabit dalam industri air di Selangor termasuk mereka daripada beberapa industri yang bergantung kepada bekalan air, pembuat dasar sama ada di peringkat kerajaan negeri, pusat, badan awam dan pertubuhan pengguna dan sektor swasta.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212090856/Article/index_html

Dua Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong

Tindakan perundangan jika MB gagal selesai


AMPANG: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan diambil tindakan mahkamah sekiranya tidak menyelesaikan segera kemelut mengenai kedudukan Undang Luak Sungai Ujong dalam tempoh terdekat.

Mohamad didakwa secara cuai menangguhkan usaha menyelesaikan masalah yang berlaku hingga keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila kini terdapat dua Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong itu.

Datuk Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata pihaknya sudah beberapa kali menghantar surat untuk bertemu dengan Mohamad bagi membincangkan masalah itu, tetapi tiada sebarang jawapan diterima mengenainya.

Menurutnya, pihaknya juga sudah memaklumkan pemecatan Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang Datuk Klana Petra Undang Sungai Ujong selepas Ibu Soko (ibu pusaka) dan anak waris melalui empat kerapatan (mesyuarat agung) mendapati dia melakukan salah laku adat.

Katanya, pihaknya turut memaklumkan kepada Menteri Besar itu mengenai pelantikan Datuk Kelana Petra Undang Sungai Ujong yang baru.

“Saya selaku Datuk Lembaga Kanan dan Datuk Seri Diraja Maharaja sudah mengisytiharkan dan memasyhurkan, Othman Ismail sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-11 mengikut Artikel 14(1) Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 selepas dipilih sebulat suara Ibu Soko dan anak waris.

“Othman diisytiharkan menyandang jawatan itu pada 8 Februari lalu dan pelantikannya sudah dimaklumkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media khas di kediamannya di sini, semalam.

Awal bulan lalu, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menolak keraguan pelantikan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong kerana mendakwa ia tetap dilakukan mengikut adat istiadat dan perisytiharan lantikan dibuat Datuk Shahbandar Luak Sungai Ujong, Datuk Shaari Hassan, pada 29 Disember 1993.

Setiausaha dewan itu, Datuk Jemal Zainal Kasim berkata, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada mesyuarat khas 19 Ogos 2002 membincangkan isu pelantikan itu dan membuat keputusan Mubarak kekal menyandang pusaka Datuk Klana Petra ke-10 Undang Luak Sungai Ujong.

Bagaimanapun, keputusan itu dipertikaikan kerana didakwa bukan sahaja pelantikannya tidak sah, malah sudah dipecat mengikut Artikel 14 (1) dan 32 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 serta Artikel 71 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, Mubarak kini didakwa tidak mempunyai kuasa mencampuri urusan adat termasuk permasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada akhir Disember lalu.

Mengikut Adat Pepatih di Negeri Sembilan, Datuk Undang Luak Sungai Ujong adalah pengerusi kepada tiga lagi Datuk Undang Luak yang terdapat di negeri itu iaitu Jelebu, Johol dan Rembau.

Proton Waja Tiba-tiba meletup

Tiba-tiba meletup




akibat masalah enjin." title="MUSNAH...Proton Waja yang meletup dan terbakar
akibat masalah enjin." height="195" width="300" border="0">
MUSNAH...Proton Waja yang meletup dan terbakar 
akibat masalah enjin.


GEORGETOWN: Orang ramai gempar apabila Proton Waja tiba-tiba meletup dan musnah terbakar ketika diletakkan di hadapan kondominium mewah di Jalan Sultan Ahmad Shah, berhampiran cawangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), malam tadi. 

Kebakaran dipercayai bermula jam 7.50 malam itu menyebabkan letupan beberapa kali, dipercayai berpunca daripada masalah enjin yang ditinggalkan di kawasan berkenaan sejak lewat petang, semalam.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan berada dalam kenderaan berkenaan dan pemiliknya tidak dapat dikesan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd Khairi Baharuddin, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8 malam dan tiba lima minit kemudian, namun 90 peratus daripada kereta terbabit didapati rentung.

Katanya, sebaik menerima panggilan, tujuh anggota dengan satu jentera bergegas ke tempat kejadian sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya 15 minit kemudian. 

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik dan punca kereta terbabit terbakar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212091142/Article/index_html

Tergoda tawaran jutawan segera

Tergoda tawaran jutawan segera

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

pelaburan antarabangsa dalam bahasa Jepun dan salinan
laporan polis dibuatnya." title="TERTIPU...Lee (kiri) dan Tay menunjukkan sijil keahlian sindiket
pelaburan antarabangsa dalam bahasa Jepun dan salinan
laporan polis dibuatnya." height="248" width="300" border="0">
TERTIPU...Lee (kiri) dan Tay menunjukkan sijil keahlian sindiket 
pelaburan antarabangsa dalam bahasa Jepun dan salinan 
laporan polis dibuatnya.

JOHOR BAHRU: Gara-gara terpikat dengan kata-kata manis pujukan seorang amoi menerusi telefon, seorang ahli perniagaan yang tergoda dengan tawaran menjadi jutawan segera daripada syarikat pelaburan atas angin dari Jepun, terpaksa berputih mata apabila kehilangan RM57,532.

Menceritakan kejadian itu, pengurus pembangunan perniagaan syarikat rangkaian telekomunikasi, Lee Wei Wah, 38, berkata skim berkenaan kononnya berupaya membantu usahawan mengejar cita-cita menjadi jutawan kerana menjanjikan pulangan 100 peratus dalam tempoh singkat.

Menurutnya, cara pelaburan berkenaan dilakukan dengan membeli saham syarikat itu yang dikatakan berpusat di Jepun dan jumlah minimumnya RM50,000.

“Saya seperti dipukau apabila mudah mempercayai kata-kata gadis yang menghubungi saya pada awal Jun lalu.

“Dia memperkenalkan dirinya sebagai Chan dan bekerja sebagai ejen di syarikat pelaburan antarabangsa.

“Gadis terbabit bertindak licik memujuk saya menyertai skim berkenaan dengan alasan memudahkan seseorang individu mencapai impian masing-masing termasuk melangsaikan hutang, membantu keluarga, menambah simpanan selain bagi menjalani kehidupan lebih mewah,” katanya.

Lee berkata, dia juga sanggup menuruti setiap arahan gadis terbabit termasuk membayar wang pendahuluan RM850 untuk mendapatkan keahlian skim pelaburan berkenaan.

Selepas bayaran dimasukkan ke akaun peribadi seorang ejen syarikat terbabit bernama Teo, dia menerima sijil keahlian sindiket terbabit dalam bahasa Jepun selain syarat perjanjian ditulis menggunakan bahasa Cina pada 12 Jun 2008 yang difaks ke pejabatnya di Jalan Songket 2, Taman Sentosa di sini.

Katanya, syarat perjanjian itu agak pelik kerana setiap pelabur perlu merahsiakan skim pelaburan berkenaan.

“Sekiranya ingkar, mereka tidak akan dibayar keuntungan seperti dijanjikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini pada 20 Oktober lalu.

Lee berkata, dia kemudian diminta memasukkan wang ke akaun peribadi beberapa ejen syarikat berkenaan termasuk seorang ejen yang dikatakan berasal dari Tokyo.

“Saya memasukkan wang itu enam kali mulai awal Jun hingga akhir Jun dan jumlah keseluruhannya RM56,682. Pulangan yang sepatutnya diterima RM113,364.

“Bagaimanapun, saya mula sangsi dengan gadis terbabit mahupun ejen lain yang pernah berurusan dengan saya kerana enggan menjawab panggilan telefon dan menamatkan perkhidmatan telefon masing-masing.

“Usaha bertemu mereka juga buntu apabila mendapati kumpulan ejen terbabit tidak berada di alamat pejabat diberikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada Julai tahun lalu,” katanya yang mengadu penipuan sindiket berkenaan kepada Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Michael Tay di Jalan Maju, Taman Pelangi di sini, semalam.

Tay berkata, orang ramai tidak seharusnya dikaburi sikap tamak sehingga sanggup melabur ribuan ringgit tanpa menyelidik syarikat berkenaan.

Menurutnya, orang ramai perlu mengabaikan sebarang panggilan telefon yang menawarkan skim pelaburan menyerupai skim cepat kaya kerana ia boleh mengundang kerugian.

“Kami menasihati orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya mengetahui atau menjadi mangsa sindiket pelaburan seumpama itu, “ katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092353/Article/index_html

Komisen tipu

Komisen tipu




dan laporan akhbar New Straits Times mengenai
sindiket yang sama di Kuala Lumpur." title="TERPEDAYA...Shaiful Hafez menunjukkan SMS yang diterimanya
dan laporan akhbar New Straits Times mengenai
sindiket yang sama di Kuala Lumpur." height="234" width="300" border="0">
TERPEDAYA...Shaiful Hafez menunjukkan SMS yang diterimanya 
dan laporan akhbar New Straits Times mengenai 
sindiket yang sama di Kuala Lumpur.

GEORGETOWN: Akibat terpedaya dengan komisen bulanan yang lumayan, seorang juruteknik sebuah kilang di sini kerugian hampir RM30,000 selepas membuat pelaburan dengan membeli sebuah mesin.

Shaiful Hafez Hanafi Khairuddin, 36, tertarik dengan tawaran itu yang menjanjikan komisen bulanan RM1,000, dengan membeli sebuah mesin RM19,888.

Mesin itu seakan-akan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang membolehkan orang ramai membuat bayaran bil utiliti termasuk membeli kad tambah nilai prabayar, dikatakan sesuai ditempatkan di kompleks beli-belah dan restoran. 

Menurutnya, syarikat yang menjalankan kegiatan penipuan itu mendakwa pembesar negara merasmikan mesin terbabit pada 2007.

Shaiful berkata, dia menerima tawaran itu menerusi satu panggilan telefon oleh seorang wanita daripada sebuah syarikat pada 14 Jun tahun lalu, yang memintanya menghadiri seminar perniagaan.

Katanya, dia bersetuju menghadiri seminar itu yang kononnya diadakan di cawangan syarikat berkenaan di Seberang Jaya pada hari yang sama dengan keluarganya, apabila diminta berbuat demikian.


“Setibanya di sana, kira-kira lima keluarga turut diberi penerangan cukup terperinci mengenai perniagaan ini yang dikatakan baru diperkenalkan di Pulau Pinang selain sudah popular di Kuala Lumpur.

“Saya terpegun dengan penerangan itu bersetuju membeli mesin berkenaan dengan bayaran RM11,667 menggunakan kad kredit,”
katanya di sini, semalam.

Baki bayaran pembelian mesin itu kemudian dibuat menerusi pinjaman bank di cawangan Kuala Lumpur yang diuruskan sepenuhnya oleh sindiket berkenaan.

Shaiful berkata, sejurus semua bayaran itu selesai sepenuhnya dalam tempoh sebulan, syarikat itu berjanji membayar komisen bulanan RM1,000 pada bulan berikutnya walaupun mesin itu masih belum diterima. 

Katanya, semua hadiah sampingan yang ditawarkan bersama pembelian mesin itu seperti tiket penerbangan ke beberapa destinasi luar negara didapati tidak sah. 

“Selepas dua bulan, mesin dan komisen masih belum diterima malah lebih malang, apabila saya ke cawangan syarikat itu di Seberang Jaya ia sudah ditutup termasuk beberapa ‘cawangannya’ di Kuala Lumpur,” katanya.

Shaiful membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya pada 30 November lalu bersama semua mangsa yang ditipu sindiket sama.

Katanya, kini dia terpaksa menanggung hutang bank RM29,000 dan perlu membuat bayaran bulanan sebanyak RM483.17 selama lima tahun bermula Ogos lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092539/Article/index_html

Rahsia gadis ponteng sekolah terbongkar

Rahsia gadis ponteng sekolah terbongkar


GOMBAK: Rahsia seorang gadis tidak hadir ke sekolah sejak dua minggu lalu akhirnya terbongkar apabila dia didapati mengikut teman lelakinya sebelum dirogol dalam satu kejadian di Taman Usaha Jaya, Kepong, Isnin lalu.

Gadis berusia 15 tahun itu dikatakan tidak hadir ke sekolah selepas cuti Tahun Baru Cina dan perbuatan itu akhirnya diketahui apabila guru sekolah terbabit dikatakan memaklumkan perbuatan gadis berkenaan kepada ibunya.

Difahamkan, selepas didesak ibunya, gadis itu kemudian menceritakan yang dia selama ini ponteng sekolah kerana mengikut teman lelaki yang berusia 17 tahun.

Menurut sumber, gadis itu turut membuat pengakuan mengejutkan kepada ibunya apabila mendakwa melakukan hubungan seks berkali-kali dengan remaja lelaki terbabit sepanjang mereka keluar bersama dalam tempoh dua minggu itu.

“Tidak berpuas hati dengan pengakuan yang dibuat anaknya itu ibu gadis terbabit kemudian membuat satu laporan polis.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu baru berkenalan sejak Januari lalu dan remaja lelaki terbabit adalah seorang penganggur,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

“Sehubungan itu polis sudah menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan dalam kes terbabit dan dia kini direman sehingga 16 Februari ini.

“Gadis itu mungkin termakan pujuk rayu teman lelakinya yang menabur pelbagai janji manis dan akhirnya mereka terjebak dalam perbuatan tidak bermoral itu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092732/Article/index_html

Tukang paip rupa-rupanya...

Tukang paip rupa-rupanya...

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Dia sebelum ini pernah membaiki paip tersumbat di banglo milik seorang ahli perniagaan di Perdana Heights di sini namun setelah mengetahui selok-belok rumah, dia menyamun mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM17,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari, suspek bersama dua lagi rakannya memasuki kediaman terbabit bersenjatakan pisau pemotong daging sebelum mengikat tangan mangsa manakala mulutnya ditutup menggunakan pita pelekat.

Sebelum kejadian, suspek bersama rakannya dikatakan pergi ke rumah itu untuk membaiki kerja paip yang tertangguh, bagaimanapun dia bertindak sebaliknya apabila mengarahkan mangsa, seorang warga emas berumur 65 tahun, suaminya yang lumpuh, seorang cucu berusia tiga tahun dan pembantu rumah warga Indonesia memasuki sebuah bilik sebelum dikurung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata suspek mengenali keluarga mangsa dan dia dikatakan membaiki paip di rumah itu akhir tahun lalu selepas diperkenalkan oleh seorang anak mangsa.

“Kita syak kesempatan itu digunakan suspek untuk membuat pakatan dengan rakannya sebelum bertindak menyamun mangsa.

“Sebaik mengurung dan mengikat mangsa, suspek terbabit menggeledah rumah itu kira-kira 20 minit sebelum melarikan lima gelang emas, tiga utas rantai emas, dua unit telefon bimbit dan satu loket emas,” katanya, semalam.

Berikutan itu, polis kini memburu seorang lelaki Mazlan Abdul Karim, kad pengenalan 800207-08-6231 dan alamat terakhirnya di Lot 2466 Lorong Rumbia, Batu 16, Sungai Plong, Sungai Buloh, Selangor. Dua lagi rakan suspek gagal dicam.

Nor Azam berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan ketika kejadian, kawasan terbabit sunyi kerana orang ramai keluar bekerja.

“Rumah mangsa juga tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) manakala ketika kejadian anak mangsa turut keluar bekerja.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Azrin Azhar dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092807/Article/index_html

Banting Raja akhirnya tewas

Banting Raja akhirnya tewas




semalam." title="TUMPAS...Khalid membuka pintu lori yang ditahan pihaknya,
semalam." height="200" width="300" border="0">
TUMPAS...Khalid membuka pintu lori yang ditahan pihaknya, 
semalam.


SEPANG: Seorang penjenayah berbahaya dikenali Banting Raja bertindak tidak berperikemanusiaan apabila mengikat dan menyumbat mulut seorang pemandu lori treler yang dirompak sehingga hampir mati akibat sesak nafas.

Mangsa yang tidak boleh bergerak dan susah bernafas dikurung di ruang sempit di belakang lori sejurus suspek menyerang hendap dan melarikan lori berkenaan pada awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata, suspek berusia 44 tahun bersama seorang lagi rakannya menyerang pemandu lori terbabit ketika mangsa berhenti di kawasan Rawat dan Rehat Dengkil di sini.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, suspek yang bersenjatakan objek tajam menyerang pemandu lori berkenaan sebelum mengikat tangan dan kakinya.

“Suspek yang berasal dari Kuala Langat itu kemudian menyumbat gumpalan kain ke dalam mulut mangsa sebelum mangsa diletakkan di bahagian belakang tempat duduk sempit di belakang kerusi pemandu.

“Suspek bersama rakannya yang berasal dari Kluang, Johor, kemudian melarikan lori berkenaan yang membawa muatan penuh bijih plastik dan gelung besi yang dianggarkan bernilai hampir RM375,000.

“Susulan maklumat diterima daripada orang ramai, satu pasukan Unit Tindakan Khas Operasi Kargo Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan dibantu polis daerah Rembau, Negeri sembilan dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Alor Gajah, Melaka segera menjalankan operasi bagi mengesan lori berkenaan.

“Lori treler dicuri itu yang dilarikan menuju arah selatan tanah air akhirnya dikesan berhampiran kilometer 205. Polis kemudian segera memintas lori berkenaan sebelum menahan dua suspek berkenaan,” katanya, semalam.

Khalid berkata, mangsa berusia 38 tahun yang hampir lemas sempat diselamatkan.

“Siasatan susulan mendapati seorang suspek yang dikenali sebagai Banting Raja amat dikehendaki polis kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya 14 kes jenayah sejak 2002 lagi.

“Suspek yang aktif melakukan rompakan di lebuh raya dikesan pernah terbabit dalam pelbagai kes lain antaranya samun bersenjata, rompakan selain pernah mendapat arahan tahanan di bawah Ordinan Darurat di Penjara Simpang Renggam, Johor,” katanya.

Menurutnya, rakan suspek pula didapati pernah terbabit dalam tujuh kes jenayah sebelum ini membabitkan kes rompakan dan samun lebuh raya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090212092835/Article/index_html

Sentuhan gay durjana


Oleh Mohamad Hussin dan Mohd Firdaus Ibrahim
mohamad@hmetro.com.my

AYER HITAM: Awas lelaki kacak berharta dan kedudukan tinggi kerana anda mungkin diperhatikan lelaki gila seks songsang yang menggunakan ilmu pukau untuk menjalinkan hubungan cinta sejenis dan mengikis harta anda.

Lelaki berusia 30-an itu dikatakan memiliki kebolehan luar biasa dengan hanya menyentuh bahu mangsa ketika berselisih di tempat awam untuk menjadikan mereka tempat melampiaskan nafsu songsangnya.

Sihirnya dapat mematikan nafsu mangsa terhadap wanita, termasuk isteri supaya dapat dijadikan kekasih sejenis.

Selepas beberapa bulan menjalin hubungan intim, kesempatan itu digunakannya untuk mengikis harta mangsa, termasuk tanah bagi membuktikan keutuhan percintaan mereka selain wang perbelanjaan setiap bulan.

Terbaru, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Murad, 40-an menjadi mangsa lelaki bernafsu syaitan terbabit.

Menurutnya, sebaik bersentuhan bahu di sebuah pasar raya dalam kejadian setahun lalu, dia terpukau dan mula terpikat kepada lelaki itu biarpun menyedari kaum sejenis.

“Ketika itu, perasaan ingin mengenalinya amat tinggi. Sebaik disapa, saya terus menjadi selesa dengannya biarpun baru mengenalinya.

“Setahu saya sebelum ini saya seorang yang agak pendiam dan jarang bertegur sapa dengan sesiapa, terutama individu tidak dikenali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Selepas beberapa bulan mengenali lelaki terbabit, Murad dipelawa ke rumahnya untuk berbual kosong.

Dia hanya menuruti permintaan itu tanpa berfikir panjang dan akhirnya terjerumus ke lembah kehinaan.

Malah, kata mangsa, dia langsung tidak mempedulikan perbuatannya menyalahi ajaran agama.

“Sejak hari itu, saya mula diperlakukan seperti kekasihnya dan terpaksa melayani nafsu buasnya.

“Peliknya, nafsu saya terhadap isteri dan perasaan sayang kepada keluarga, termasuk ketiga-tiga anak saya sudah hilang. Apa yang ada dalam fikiran saya hanyalah lelaki itu,” katanya yang mendedahkan perkara itu bagi mengelakkan kejadian sama menimpa orang lain.

Murad berkata, akibat terlalu mencintai lelaki itu, dia sanggup memberikan beberapa hektar tanah sebagai hadiah selain wang saku RM2,000 sebulan.

Lebih dikesalinya, dia pernah menghalau isteri dan anak keluar rumah semata-mata untuk melayan nafsu lelaki berkenaan.

“Mana tidaknya, setiap kali melihat dia, gelora nafsu saya tidak mampu bertahan dan keinginan melakukan hubungan songsang dengannya makin menjadi-jadi.

“Namun, dengan bantuan ahli keluarga akhirnya saya pergi mendapatkan rawatan tradisional dan bersyukur kerana sudah sembuh daripada ‘penyakit’ itu,” katanya.

Kini dia sedang berusaha menyelamatkan rumah tangganya daripada kehancuran dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila terserempak dengan orang yang tidak dikenali.

Pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, berkata mangsa sebenarnya disihir lelaki terbabit.

“Dia turut diberi makan benda kotor yang dijampi bagi mematikan nafsunya terhadap isteri. Ini bukan kejadian pertama, saya sudah mengubati lebih 10 pesakit seumpama itu dan bersyukur kerana berjaya membantu mereka,” katanya.

Menurut Fadzil, perbuatan sihir itu mampu dihindari jika orang ramai tidak meninggalkan Rukun Islam selain mempunyai pendinding ketika meninggalkan rumah.

“Antara amalan yang boleh dijadikan sebagai pendinding adalah berwuduk selain mengamalkan ayat Kursi,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi berkata, perbuatan segelintir individu mengamalkan sihir bagi mendapatkan habuan haram di sisi agama.

“Tidak kiralah apapun tujuan penggunaannya ia tetap sesat. Mana tidaknya, sihir itu sendiri digunakan untuk tujuan salah semata-mata memerangkap mangsa bagi mendapatkan keuntungan sendiri.

“Orang ramai perlu meningkatkan keimanan selain tidak meninggalkan rukun Islam bagi mengelakkan diri daripada terkena sihir itu,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090212083815/Article

Kajian: Majoriti mahu DUN Perak dibubar


Kajian: Majoriti mahu DUN Perak dibubar


PETALING JAYA: Hampir dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu.

Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center, yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Hanya 21 peratus responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai "hak" untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.

"Malah, 62 peratus lagi responden merasakan bahawa peranan istana dalam kes ini (perubahan kerajaan) tidak mencerminkan kehendak rakyat negeri Perak," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Merdeka Center hari ini.

Hanya 29 peratus yang mengatakan peranan istana menggambarkan kehendak rakyat.

Pendapat umum itu dikendalikan oleh firma tersebut antara 6 dan 8 Februari lalu untuk mengukur percepsi pandangan orang ramai berhubung perkembangan politik di Perak.

Seramai 507 pengundi berdaftar di Perak dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, berusia 11 bulan, telah tumbang apabila tiga wakil rakyatnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk bertindak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Kini Pakatan Rakyat dan BN mempunyai anggota sama rata iaitu 28 orang.Menteri Besar Perak yang baru mengangkat sumpah Jumaat lalu manakala barisan exconya pula Selasa lalu.

Mengenai penyelesaikan kepada krisis politik ini, seramai 33 peratus responden mahu pilihan raya yang baru dilangsungkan, 35 peratus lagi mengatakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan yang ADUNnya keluar parti manakala 28 peratus mahu kerajaan baru dibenarkan terus memimpin negeri itu.

PM terperangkap dalam lif


PM terperangkap dalam lif

PUTRAJAYA: Perasmian majlis pelancaran sambutan Jubli Perkhidmatan Awam (JPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya terpaksa ditangguhkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terperangkap dalam lif selama kira-kira 30 minit di situ.

Turut sama terperangkap bersama beliau di dalam lif tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Ismail Adam.

Disebabkan insiden tersebut, Abdullah terpaksa membatalkan sidang akhbarnya yang dijadual diadakan selepas itu. Insiden tersebut juga menyebabkan majlis pelancaran itu turut tertangguh.

Majlis tersebut yang sepatutnya bermula jam 10.30 pagi tetapi telah tertangguh sehingga jam 11 pagi.

Beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bekejar ke pusat untuk membawa keluar kesemua mereka yang terperangkap dalam lif tersebut.

Menurut sumber, Abdullah kelihatan tenang meskipun terperangkap di dalam lif.

"Datuk Seri Abdullah kelihatan tenang sahaja, malah beliau sempat tersenyum kepada ke arah orang ramai yang berada di luar lif tersebut," kata sumber itu.

Bagaimanapun, Abdullah kelihatan terbatuk-batuk ketika menyampai ucapannya di majlis tersebut.

Ketua Pengarah JPA, dalam ucapannya, memohon maaf kepada Abdullah berhubung insiden terperangkap dalam lif tersebut.

Ekoran kejadian itu, Abdullah tidak hadir bagi merasmikan projek tebatan banjir Sungai Damansara di pejabat tapak projek RTB Sungai Damansara petang tadi.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212184522&sec=mstar_berita

ADUN Pelabuhan Klang nafi keluar PKR


ADUN Pelabuhan Klang nafi keluar PKR

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA:"Demam spekulasi lompat parti" merebak ke Selangor dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hari ini menafikan yang beliau akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Bercakap pada sidang media petang ini di Shah Alam, Badrul Hisham berkata, beliau akan tetap bersama PKR dan menyokong kepimpinan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, khabar angin yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu itu merupakan helah mereka bagi menimbulkan kekeliruan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya masih menjalankan tugas sebagai ADUN Pelabuhan Klang seperti biasa. Komitmen saya masih teguh dan tidak berbelah bagi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kepimpinan Pakatan Rakyat keseluruhannya khususnya di negeri Selangor," katanya.

Badrul berkata, beliau telah berjumpa dengan pucuk pimpinan parti dan telah menjelaskan semua isuisu yang ditimbulkan ke atasnya selama ini.

"Saya akan cuba memperbaiki segala kelemahankelemahan yang telah diutarakan dan komited untuk terus berkhdmat kepada rakyat," katanya.

Ketika menjawab mengenai dakwaan bahawa beliau seolah-olah "hilang" sejak kebelakangan ini dan sukar dihubungi atau ditemui oleh masyarakat di kawasan beliau, Badrul berkata:"Saya dekat kawasan saya."

Katanya beliau berada di pejabatnya setiap hari dan kadang-kadang melebihi waktu pejabat iaitu pukul 5 petang.

Apabila ditanya dakwaan beliau tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri dan kononnya beliau terlibat dengan kes khalwat, Badrul berkata: "Tak ada... saya tidak buat benda itu."

Ditanya sama ada beliau pernah ditawarkan untuk melompat parti, Badrul berkata tiada tawaran yang diberikan kepadanya dan beliau tidak terfikir pun untuk berbuat demikian.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengatakan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR negeri itu hari berhubung spekulasi bahawa mereka akan melompat BN.

Khalid, yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, beliau ia penting ekoran perkembangan di Perak minggu lalu.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya akan membincangkan isu-isu lain.

Minggu lalu, kerajaan negeri itu telah mengadakan taklimat untuk memperuntukkan dana tahunan RM150,000 kepada kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Selangor.

"Kita akan membincangkan sejauh mana peruntukan bagi ahli-ahli Parlimen dan ADUN boleh digunakan dengan sebaik yang mungkin.

Ketika ditanya mengenai Badrul Hisham yang dikatakan "hilang", Khalid memberitahu, wakil rakyat berkenaan dijangka hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan bahawa pengundi-pengundi di kawasan Port Klang telah mengadu tentang ketidakhadiran wakil rakyat dalam banyak majlis dan sukar untuk berhubung dengannya.

Nizar kosongkan kediaman MB dalam masa 10 hari


Nizar kosongkan kediaman MB dalam masa 10 hari
IPOH: Selepas lebih dua minggu mendiami kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini bersetuju untuk mengosongkan kediaman tersebut dalam tempoh 10 hari.

Bekas Menteri Besar Perak itu dalam sidang medianya di kediaman tersebut hari ini berkata, beliau mahu meninggalkan kediaman itu dengan penuh maruah.

"Saya dan keluarga akan menyewa di sebuah tempat di Ipoh berdekatan dengan sekolah anak-anak saya," katanya sambil menambah yang beliau membuat keputusan tersebut kerana mengikut undang-undang.

"Dengan meninggalkan kediaman ini, ia tidak akan membahayakan kes yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi esok," katanya.

Katanya, beliau dan exco Pakatan Rakyat akan beroperasi dari tempat yang akan disewanya itu nanti dan ibu pejabat Pakatan Negeri.

Menjawab satu soalan, Mohammad Nizar berkata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah menghubunginya semalam meminta beliau meninggalkan kediaman itu.

"Dengan cara hormat, saya bersetuju untuk meninggalkannya," katanya sambil menambah insiden minggu lalu telah merubah kediaman rasmi itu kepada simbol kerajaan Pakatan di Perak sebagai kerajaan yang sah.

Mohammad Nizar juga berkata, semua exco Pakatan akan meninggalkan 11 kereta Toyota Camry di kediaman rasmi itu Sabtu ini.

"Kami melakukannya kerana menghormati undang-undang yang kita ada," katanya.

Beliau berkata, exco Pakatan tidak lagi menggunakan kereta rasmi tersebut.

"Selepas menyerahkan kembali kereta itu, kami akan menggunakan kenderaan awam, motosikal dan kereta kami sendiri untuk tugas rasmi," katanya.

Ditanya mengapa bekas exco tidak menyerahkan kembali kenderaan tersebut kepada setiausaha negeri, Mohammad Nizar berkata: "Kami rasakan yang kediaman rasmi adalah tempat yang paling sesuai untuk mengembalikan harta rakyat."

Beliau menambah, terpulang kepada kerajaan negeri yang kini diterajui Barisan Nasional untuk datang dan menuntut kereta-kereta itu.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar menegaskan yang Pakatan tidak terlibat dalam menganjurkan perhimpunan bebasr-besaran di Kuala Kangsar, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau ada meminta penyokong-penyokongnya supaya tidak menghadiri perhimpunan itu, Mohammad Nizar berkata, ia adalah pilihan mereka.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata Mohammad Nizar telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau dan keluarganya akan mengosongkan rumah itu dalam masa terdekat.

Katanya, notis berkenaan dijangka akan dihantar kepada Mohammad Nizar esok.

Dr Abdul Rahman meminta Mohammad Nizar dan barisan exco sebelum ini supaya menyerahkan kenderaan rasmi masingmasing berserta kuncinya dengan segera di bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

"Notis meminta mereka menyerahkan kenderaan itu dikeluarkan Khamis lepas dan diserahkan seberapa segera. Kalau dua, tiga hari lewat tidak mengapa tapi ini sudah hampir seminggu. Lagipun kenderaan itu bukan perlu dibungkus tetapi hanya perlu dihidupkan dan dipandu ke bangunan pentadbiran," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada dua bekas Exco iaitu Zainuddin Mohd Yusof dan Tai Sing Ng yang telah memulangkan kenderaan rasmi yang digunakan sebelum ini kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata beliau akan menyerahkan kediaman itu dalam sama terdekat iaitu dalam tempoh sepuluh hari dari sekarang.

"Secara rasmi saya akan keluar dengan cara terhormat dari residensi ini. Selepas ini saya akan tinggal di sini (Ipoh) di kawasan berhampiran tempat anak saya bersekolah. Kita akur kerana ia adalah peraturan," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi itu di sini.

Mohammad Nizar juga berkata kesemua 11 kenderaan rasmi jenis Toyota Camry yang digunakan barisan Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini akan diserahkan dengan menempatkan kenderaan itu di dalam kawasan kediaman rasmi menteri besar.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan untuk menyerahkan kenderaan dan kediaman rasmi itu tidak akan menjejaskan apa-apa ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk menfailkan kes terhadap menteri besar yang baru Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exconya.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212170518&sec=mstar_berita

13 pegawai SPA Perak tiada kerja


13 pegawai SPA Perak tiada kerja

IPOH: Proses menemuduga pemohon bagi jawatan di kesemua 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak yang kini dijalankan sendiri oleh PBT terbabit perlu diambil alih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Perak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T.Murugiah.

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa ke perhatian Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk dipertimbangkan dalam masa terdekat memandangkan 13 pegawai SPA tidak mempunyai kerja dan ia menyebabkan pembaziran sumber manusia.

"PBT boleh tumpu kepada usaha pentadbiran dan pembangunan di kawasan mereka," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi SPA Perak Datuk Bahari Mohd Jabar di Pejabat SPA Negeri di Kompleks Islam di sini hari ini.

Murugiah berkata kerajaan membayar RM186,814 setahun kepada lima ahli lembaga SPA Perak.

"Itu bukan satu jumlah yang kecil untuk dibazirkan begitu sahaja," katanya.

Suruhanjaya itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Mengenai satu perkara lain, Murugiah berkata beliau akan mengarahkan Biro Pengaduan Awam menyiasat laporan sebuah akhbar tabloid mengenai kegiatan pihak tidak bertanggungjawab "menjual" warga asing khususnya warga Bangladesh kepada majikan tempatan.

Menurut laporan itu, berpuluh-puluh warga Bangladesh yang tidak mempunyai pekerjaan dilambak dalam sebuah rumah di ibu negara dan dijual pada harga RM1,000 setiap seorang kepada majikan berminat.BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212160455&sec=mstar_berita

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan mengenai pilihanraya Pensiangan

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan mengenai pilihanraya Pensiangan

KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangannya bagi kawasan Parlimen Pensiangan dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang bersidang bersama Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Abd Rahman, mengumumkan bahawa mahkamah akan memberikan penghakiman pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Peguam utama Kurup, Mariati Robert, telah meminta mahkamah tertinggi di negara ini supaya menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Pensiangan sebagai batal dan tidak sah.

Pada 11 Sept tahun lepas, Kurup telah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan dalam pilihan raya umum ke-12 selepas Pegawai Pilihan raya menolak kertas pencalonan Danny Anthony Andipai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang lagi calon.

Kurup kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Andipai kemudian mengemukakan petisyen ke mahkamah tinggi untuk membatalkan keputusan pilihan raya itu dan menamakan Kurup dan pegawai Pilihan Raya Bubudan OT Majalu sebagai responden.

Semasa memberikan penghakimannya pada 8 Sept tahun lepas, Wong memutuskan antara lain penolakan kertas pencalonan pempetisyen Andipai adalah salah dan melanggar hak perlembagaannya untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan undang-undang bertulis berkiatna pengendalian pilihan raya itu.

Dalam penghakiman 36 muka surat, Wong berkata keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah menerima kertas pencalonan Andipai adalah muktamad dan tidak boleh ditolak oleh Pegawai Pilihan Raya Bubudan OT Majalu, atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.

Wong memutuskan Timbalan Pengarah itu telah melaksanakan bidang kuasanya seperti diperuntukkan undang-undang dalam membuat keoputusan itu, kata Hakim yang turut memutuskan keputusan Bubudan untuk membenarkan bantahan itu merupakan keputusan yang salah.

Sementara itu, peguam kanan Persekutuan Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam hujahnya hari ini berkata bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah gagal untuk membuat pemerhatian bahawa pempetisyen tidak mematuhi undang-undang pilihan raya apabila membantah Seksyen 32B Akta Kesalahan Pilihan raya.

Firoz berkata ia telah ditetapkan bahawa kertas pencalonan mesti dikemukakan di antara pukul 9 pagi dan 10 pagi tetapi Andipai telah mengemukakan kertas pencalonan pada 10.25 pagi yang melepasi waktu yang ditetapkan. BERNAMA

DAP anggap pelantikan tiga penasihat MB Perak salah guna kuasa

DAP anggap pelantikan tiga penasihat MB Perak salah guna kuasa

IPOH: DAP Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar yang didakwa oleh parti itu sebagai salah guna kuasa.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata pelantikan itu dibuat tanpa kelulusan exco kerajaan Perak dan juga melanggar peruntukan undang-undang tubuh negeri.

Semalam Zambry mengumumkan pelantikan Datuk Chang Ko Youn sebagai penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S.Veerasingam penasihat Hal Ehwal Masyarakat India dan Datuk Mohd Najmuddin Elias sebagai penasihat Hal Ehwal Agama. Beliau juga mengumumkan pelantikan Datuk Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak.

Mereka bukan bertaraf exco tetapi akan menikmati kemudahan sebagai seorang exco.

"Segala tindakan Datuk Zambry yang membawa implikasi kewangan kepada kerajaan negeri adalah tidak sah dan boleh dipandang sebagai satu bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa," kata Nga.

Pengarah SPRM Perak Bahari Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu pagi ini tetapi enggan mengulas lanjut.BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212161607&sec=mstar_berita

Komponen BN perlu patuh keputusan pemilihan calon - Najib


Komponen BN perlu patuh keputusan pemilihan calon - Najib

KUCHING: Kesemua 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) mesti akur dengan keputusan pucuk pimpinan mengenai calon yang dipilih untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil yang bakal diadakan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata perbezaan pendapat akan berlaku mengenai calon yang dipilih kerana setiap parti komponen yang terlibat merasakan wakil masing-masing mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

"Ini bukan perkara baru, lebih-lebih lagi jika kawasan itu mempunyai pengundi pelbagai bangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan di bawah pakej rangsangan ekonomi negara 2009 bagi sekolah bantuan kerajaan mubaligh negeri Sarawak dan Sabah di sini hari ini.

Najib, yang sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak, diminta mengulas mengenai pilihan raya kecil yang bakal diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (BN) Kedah kawasan Bukit Selambau ekoran peletakan jawatan penyandangnya V.Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan juga bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak setelah wakil rakyatnya Roslan Shaharum daripada PAS meninggal dunia Isnin lepas.

Bagi kerusi Bukit Selambau, pemimpin-pemimpin akar umbi Umno mahu kerusi itu, yang sebelum ini ditandingi oleh MIC, diberikan kepada parti itu memandangkan kawasan berkenaan mempunyai lebih ramai pengundi Melayu.

Ketika ditanya sama ada BN bersedia menghadapi dua pilihan raya secara serentak, Timbalan Perdana Menteri berkata jentera pilihan raya BN mampu bergerak pada bila-bila masa.

Mengenai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan pada 4 November tahun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan RM7 bilion dalam pakej itu telah diagihkan.

Katanya peruntukan itu kini dikendalikan oleh kementerian-kementerian yang akan melaksanakan projek bagi menggiatkan ekonomi yang lembab akibat krisis ekonomi global. BERNAMA

Pemuda BN anjur perhimpunan sokong institusi raja

Pemuda BN anjur perhimpunan sokong institusi raja

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan satu perhimpunan 'Himpunan Menjunjung Setia Daulat Tuanku!' secara besar-besaran di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis depan (19 Februari).

Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perhimpunan pada pukul 8 malam itu bukan bertujuan untuk mencipta atau bermusuh dengan mana-mana pihak tetapi sebagai langkah positif ke arah menyatukan suara hati generasi muda secara lebih tersusun dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedaulatan Institusi Raja-raja dan Sistem Raja Berperlembagaan.

"Senario politik terbaru di negeri Perak ternyata telah membuka lembaran baru kepada sejarah negara ini. Sehubungan dengan itu, Pemuda BN menyedari keadaan bahawa Institusi Raja ini tidak boleh dibiarkan bersendirian dalam menghadapi situasi krisis sebegini.

" Maka dengan rasa tanggungjawab perhimpunan ini akan diadakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai golongan masyarakat termasuk kelompok profesional, bukan profesional, pertubuhan politik, agama, kebajikan dan seni mempertahankan diri dijemput menyertainya.

Katanya adalah menjadi harapan Pemuda BN perhimpunan ini akan menjadi satu indikator kepada seluruh masyarakat bahawa kita semua boleh berpolitik dan berbeza pandangan dengan manamana pihak termasuk istana tetapi tidak boleh melampaui batasan.

"Secara tegas, perhimpunan ini berpendirian untuk mempertahankan kedaulatan institusi Raja dan akan mengambil tanggungjawab mempertahankan kemuliaan Sultan-sultan daripada sebarang bentuk yang mempertikai dan menghina institusi Raja oleh mana-mana pihak," kata Hishammuddin.

Kemelut yang membawa kepada pelbagai penganjuran perhimpunan termasuk daripada Pemuda BN ini tercetus ekoran keengganan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan Exco kerajaan negeri meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta setelah dititah oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sultan Azlan Shah menitahkan demikian pada 5 Februarui lepas setelah Pakatan Rakyat (PR) yang menerajui Perak tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) akibat tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka meninggalkan parti masing-masing sekaligus melihat kuasa pemerintahan kembali kepada BN.

Kemarahan rakyat negeri Perak juga memuncak apabila Pengerusi DAP Karpal Singh membuat kenyataan ingin menyaman Sultan Azlan Shah kerana menitahkan demikian. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212181558&sec=mstar_berita

MIC sudah ada calon tanding Bukit Selambau


MIC sudah ada calon tanding Bukit Selambau

PEKAN: MIC telah menyenaraipendek beberapa nama untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau yang akan diumumkan apabila tiba masanya.

Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata mengikut tradisi, kerusi DUN itu diperuntukkan kepada MIC tetapi kalau ada cadangan atau keputusan lain, mestilah dibincangkan pada peringkat kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya di Kilang Vacuumschmelze (M) Sdn Bhd di sini, hari ini, katanya jika dilihat dari segi tradisi, peluang untuk bertanding kerusi berkenaan sepatutnya diberikan kepada MIC namun pada masa sekarang terutamanya sebelum pemilihan calon, pelbagai permintaan akan diutarakan.

"Kita memang akan tuntut hak kita mengikut apa yang sudah jadi tradisi," kata beliau yang juga Menteri Sumber Manusia.

Sekiranya tradisi itu tidak dikekalkan, beliau menyifatkan perubahan itu sebagai satu perkara yang tidak baik dalam hubungan jentera BN.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau akan diadakan berikutan wakil rakyatnya V.Arumugan daripada PKR meletakkan jawatan pada Ahad lepas.

"Biasanya ia (tradisi) dikekalkan...apa-apa perubahan dalam hal ini satu perkara yang tidak baik dalam perhubungan jentera BN, ini satu bahagian saja, bukan satu negeri jadi saya tidak mahu ia dijadikan satu isu besar," katanya.

Apa yang paling penting katanya, kemenangan harus berpihak kepada BN baik kerusi Bukit Selambau mahu pun Bukit Gantang, Perak yang turut akan menghadapi pilihan raya kecil berikutan kematian anggota Parlimennya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada Isnin lepas akibat sakit jantung.

"Yang paling mustahak adalah BN menang di kedua-dua kerusi, jadi kita akan bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan itu," kata Dr Subramaniam. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212161807&sec=mstar_berita

Pakatan tangguh saman, fail laporan di SPRM

Pakatan tangguh saman, fail laporan di SPRM

TANGGUH SAMAN... Bekas Exco Perak, Nga Kor Ming (dua dari kiri) bersama ahli Pakatan Rakyat memfailkan laporan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir kerana didakwa menyalahgunakan kuasa di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


IPOH: Pakatan Rakyat tidak memfailkan saman ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini seperti yang dijangka, tetapi akan melakukannya pada 'tarikh yang akan datang'.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan memfailkan saman bagi mengisytiharkan angkat sumpah Dr Zambry Jumaat lalu sebagai Menteri Besar sebagai tidak mengikut berpelembagaan dan tidak sah.

Menurut peguam Pakatan, Leong Cheok Keng, saman itu tidak dapat difailkan hari ini kerana panel peguam mereka masih sedang dalam proses menyiapkan dokumen.

"Ia akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh yang akan datang," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi, d sini.

Katanya, Pakatan tidak memfailkan saman itu di Perak "supaya tidak menyebabkan malu kepada hakim-hakim" di negeri itu dengan meminta mereka membuat pilihan.

Leong berkata, Dr Zambry akan dinamakan sebagai responden tunggal dalam saman yang akan difailkan Mohammad Nizar.

Pakatan bagaimanapun tidak akan mendapat khidmat daripada peguam berpengalaman yang juga Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana beliau merasakan saman tersebut perlu juga difailkan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebagai responden.

Sultan pada Khamis lalu menitahkan Mohammad Nizar supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan memperkenan pelantikan Dr Zambry menjawat jawatan itu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan keluar daripada parti, menyaksikan Pakatan dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi DUN negeri itu.

Sultan Perak mengisytiharkan BN mempunyai majoriti selepas seorang ADUN yang menyertai PKR kira-kira tiga minggu lalu kembali menyertai Umno Rabu lalu manakala tiga lagi menjadi ADUN Bebas tetapi berikrar menyokong Umno.

Karpal mendakwa Sultan telah berrtindak di luar bidang kuasanya.

"Sultan Perak boleh dihadapkan ke mahkamah atas kapasiti rasmi. Itu pandangan saya sebagai peguam. Tiada yang baru tentang itu," katanya.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin Pakatan berpendapat Sultan tidak harus disaman.

"Saya tidak bersetuju dengan itu (menyaman Sultan). Itu yang dimahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang). Biarkan saja.

"Mereka kata saya tidak menghormati Sultan. Saya hanya menyatakan tentang apa yang dinyatakan undang-undang. Saya berpegang kepada itu. Sedangkan pelajar undang-undang tahun pertama pun tahu yang Sultan boleh dihadapkan ke mahkamah."

Awal pagi ini, Pakatan Perak membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Dr Zambry kerana melantik tiga penasihat dengan status exco dan seorang Ketua Penerangan Kerajaan Negeri.

Bekas ahli exco Pakatan, Nga Kor Ming berkata, pelantikan keempat-empat mereka adalah tidak sah di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan akan melibatkan kos RM960,000 setahun.

Semalam, Dr Zambry mengumumkan pelantikan tiga penasihat kepada Menteri Besar iaitu Naib Presiden MIC, Datuk Dr Veerasingam; Pengerusi Gerakan negeri, Chang Ko Youn dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Najmudin Elias al-Hafiz.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri bukan berstatus exco tetapi diberi kemudahan exco.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/12/mstar_berita/20090212144237&sec=mstar_berita

Pakatan diminta letak tahanan ISA calon Bukit Selambau

Pakatan diminta letak tahanan ISA calon Bukit Selambau

K. Vasantha Kumar


PETALING JAYA: Empat pemimpin kumpulan Hindraf, yang kini berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mahu Pakatan Rakyat menimbangkan seorang lagi rakan mereka yang masih ditahan di Kamunting, untuk dipilih sebagai calon kerusi Bukit Selambau.

Empat pemimpin Hindraf tersebut ialah peguam M. Manoharan, 46, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah; P. Uthayakumar, 46; V. Ganabatirau, 40, dan R. Kenghadharan, 40, mengesyorkan bekas pegawai bank, K. Vasantha Kumar, 36, sebagai calon Pakatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual membincangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut yang terletak di Kedah, esok.

Ia kosong ekoran keputusan ADUNnya, V. Arumugam meletakkan jawatan tiga hari lalu.

Keempat-empat mereka menulis surat kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan diserahkan kepada beliau awal pagi ini.

Surat berasingan mereka telah dipanjangkan kepada Anwar kira-kira 1.30 pagi tadi selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar juga Penasihat PKR.

Isteri Vasantha Kumar, K. Vickneswary ketika dihubungi mStar Online memberitahu, keempat-empat mereka telah menyatakan sokongan agar suaminya dipertimbangkan untuk dijadikan calon atas beberapa sebab termasuk latar belakang beliau sebagai anak tempatan.

"Kandungan surat saranan kesemua empat mereka hampir sama dan mereka meminta agar Anwar dan Pakatan menimbangkan kemungkinan memilih suami saya (Vasantha Kumar) sebagai calon.

"Suami saya dilahirkan dan dibesarkan di kawasan itu dan mengenali bahagian ini dengan dekat.

"Lagipun kawasan ini pernah ditandingi oleh calon masyarakat India dan mereka merasakan adalah wajar diberikan kepada calon masyarakat India, lebih-lebih lagi kepada Vasantha Kumar," kata beliau yang menyerahkan surat itu kepada Anwar.

Vasantha Kumar merupakan salah seorang penyelaras kumpulan tersebut.

Turut hadir sama ialah V. Raidhu iaitu anggota Majlis Perbandaran Shah Alam dan Pengerusi DAP Taman Sri Muda.

Vickneswary berkata, beliau memperoleh surat tersebut petang semalam ketika mengunjungi mereka di Kamunting.

"Anwar berkata pihaknya akan meneliti syor ini walaupun Pakatan dan PKR mungkin ada calon untuk turut dihalusi," katanya.

Semalam, MIC dan Umno - dari Barisan Nasional mengatakan bahawa pihaknya mahu meletakkan wakil mereka di kawasan tersebut.

DAP juga dikatakan sedang mencuba untuk menurunkan wakil mereka.

Turut disebut-sebut hendak diletakkan oleh Hindraf, yang telah diharamkan November lalu ialah penyelaras pusatnya, T. S. Thenintharan.

Peguam kumpulan itu, N. Surendran juga menjadi perhatian.

Pagi semalam Mahkamah Persekutuan menolak usul untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menafikan kebebasan kelima-lima tahanan tersebut.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman yang bersidang bersama Hakim Datuk S. Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan bahawa usul yang dikemukakan oleh lima pemimpin itu tidak layak untuk semakan.

Lima pemimpin Hindraf tersebut ditahan di bawah ISA pada 13 Dis, 2007 selepas terbabit dalam demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur pada 25 Nov dan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...