Sunday, October 17, 2010

Ku Li tolak jadi calon Galas



Abdul Rahim Sabri
Okt 15, 10
12:40pm

Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan Umno bahagian Gua Musang - yang mengadakan mesyuarat khas petang semalam - supaya bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Cadangan tersebut dikemukakan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ghani dan disokong oleh ahli jawatankuasa bahagian yang menghadiri mesyuarat khas itu di pejabat Umno bahagian selama kira-kira dua jam mulai 5 petang.

Ketika dihubungi
Malaysiakini, Mat Yusoff mengesahkan beliau membuat cadangan tersebut dan mendapat sokongan para AJK bahagian.

NONEBagaimanapun, katanya, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang dan ketua bahagian berkenaan, meminta mereka memilih calon lain daripada beliau dan dua ADUN dalam Parlimen Gua Musang - Nenggiri dan Paloh.

Mat Yusoff berkata, mesyuarat khas itu turut meneliti senarai calon yang dicadangkan oleh kalangan AJK bahagian, yang turut mengandungi nama Tengku Razaleigh.

Katanya, turut dijemput menghadiri mesyuarat khas petang semalam termasuk di kalangan wakil kerajaan, pegawai lantikan politik, penggawa di bahagian berkenaan.

"Tengku Razaleigh telah memberi kebebasan kepada AJK bahagian untuk menentukan calon BN di Galas.

"Dan calon pilihan mereka itu akan diserahkan kepada pihak pusat untuk diputuskan.

"Beliau kata walaupun perdana menteri mahu beliau (Tengku Razaleigh) sendiri yang memilih calon, tetapi beliau mahu perdana menteri yang memutuskannya," katanya.

Menurut Mat Yusoff lagi, senarai calon tersebut turut diedarkan kepada mereka yang menghadiri mesyuarat khas semalam untuk mencadangkan calon yang sesuai.

"Dua tiga hari lagi kita tahulah keputusannya," tambah beliau.


Galas adalah antara tiga DUN dalam parlimen Gua Musang. Kerusi tersebut kosong selepas kematian ADUN dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September, kerana barah usus.

Che Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 2008 dengan mengalahkan Mohd Saufi Deraman dari BN, dengan majoriti 646 undi.


http://www.malaysiakini.com/news/145419

Nazri: Umno mampu atasi pengaruh PERKASA


Salhan K Ahmad & Regina Lee
Okt 15, 10
12:58pm



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz percaya Umno akan dapat bertahan dalam menghadapi kemaraan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa semakin berpengaruh di kalangan anggota parti itu.





Katanya, Umno pernah menghadapi ujian yang lebih getir ketika menghadapi pengaruh gerakan Islam dalam Umno yang membentuk PAS, Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah, malah daripada penyokong Datuk SeriAnwar Ibrahim yang membentuk PKR.

“(Umno) telah diserang dari kiri dan kanan tapi kami masih di sini. Anda fikir PERKASA akan dapat buat lebih baik daripada Semangat 46, PKR atau PAS?” katanya ketika bercakap dalam satu wawancara dengan
Malaysiakini.

Nazri juga bertegas bahawa PERKASA merupakan satu gerakan ekstremis, namun tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menghalangnya.

Dalam kewajaran itu juga, anggota Umno bebas untuk menganggotai PERKASA, kata Nazri.

“Sebab itulah saya katakan, saya mahu PERKASA didaftarkan sebagai satu parti
politik, kemudian barulah kita tahu sama ada anggota Umno benar-benar menyokong mereka," tambahnya.





Jelasnya, apabila PERKASA menjadi parti politik, anggota Umno akan berada dalam kedudukan terpaksa untuk membuat pilihan.

"Biar saya bagi tahu, kalau mereka daftar (sebagai parti politik), itu akan menjadi petanda kemusnahan mereka," kata Nazri yang tidak begitu yakin dengan pengaruh PERKASA.

“Berapa ramai (presidennya Datuk Ibrahim Ali) dapat kumpul di Kelantan? Saya boleh kumpul lebih ramai lagi.” katanya lagi.

PERKASA yang mendapat sokongan daripada mantan perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad menimbulkan persepsi berbeza terhadap kewibawaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sekarang.





Pandangan seolah-olah Dr Mahathir masih lagi berkuasa, dengan sokongan gerakan seperti PERKASA yang giat mengutarakan pandangan yang bertentangan dengan usaha liberalisasi Najib.

Ketika ditanya, Nazri sekadar menepis pandangan tersebut dengan berkata "ia satu persepsi semata-mata."


“Sebagai sebuah negara Timur, kita masih hormati bekas pemimpin yang telah berkorban untuk negara. Jadi saya rasa sokongan yang dilihat itu hanya disebabkan rasa hormat (terhadap Dr Mahathir),” katanya.

Dr Mahathir pada Mei 2008 lalu pernah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu kerana tidak yakin dengan penggantinya Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi.





Dr Mahathir turut mencadangkan ketua-ketua Umno cawangan dan bahagian keluar parti beramai-ramai sehinggalah memaksa Abdullah letak jawatan.


Bagaimanapun, Dr Mahathir mengubah keputusannya kira-kira setahun kemudian selepas Najib secara rasminya menjadi perdana menteri.

"Itu menunjukkan (Umno) kuat, itu saja. Beliau tidak akan kembali jika kita tidak kuat," kata Nazri.


http://www.malaysiakini.com/news/145425

Demokrasi PKR jemput jembalang

Hishamuddin Rais
Okt 4, 10
4:44pm


Saya memerhatikan dengan penuh teliti apa yang sedang cuba dilakukan PKR. Apa yang saya maksudkan ialah percubaan PKR untuk membawa dan merayakan demokrasi kepada semua ahli-ahlinya melalui konsep 'satu ahli satu undi'.

Sekali imbas kelihatan ia amat radikal. Radikal dalam konteks kewujudan demokrasi di Malaysia. Untuk pertama kalinya ahli parti PKR boleh memilih ketua dari ranting, cabang hingga ke pucuk pimpinan pusat. Memang radikal.

Syabas! Tahniah! Kerana memiliki niat untuk merayakan demokrasi dalam parti. Syabas kerana memiliki niat untuk memperkasakan ahli-ahli dengan hak pengundian mereka.

Tetapi dalam hidup ini, niat yang baik tidak semestinya membawa kebaikan. Niat sahaja tidak mencukupi. Obama juga berniat baik apabila dia bersetuju untuk menambahkan lagi bala tentera Amerika di Afghanistan. Najib Razak juga berniat baik apabila dia menikahi seorang janda.

Niat bukan hakikat. Niat tidak memiliki apa-apa makna. Berniat hendak pergi ke Mekah untuk menunaikan haji, bunyinya baik dan gah. Tetapi kalau tidak menyimpan duit atau memohon pasport antarabangsa - niat ini tidak memiliki apa-apa makna.

Masalah yang dihadapi oleh PKR ialah pucuk pimpianannya cuba membawa demokrasi dengan membezakan diri mereka dengan demokrasi yang diamalkan oleh musuh
politik mereka. Ini adalah kesilapan besar. Mereka ingin 'meng-ada-kan' atau mencipta demokrasi.

Kewujudan demokrasi bukan melalui perbandingan dengan musuh politik. Demokrasi wujud bukan kerana adanya fasisme. Demokrasi wujud bukan kerana adanya diktator. Sistem satu ahli satu undi dalam PKR seharusnya diwujudkan bukan kerana United Malays National Organisation menjalankan sistem undi perwakilan dalam pemilihan pimpinan mereka.

Jika kerana ingin berbeza dari United Malay National Organisation maka itu hanya reaksi. Demokrasi bukan reaksi. Kalau demokrasi sebagai langkah reaksi maka ini bukan demokrasi tapi 'reaksionari'. Demokrasi adalah wadah yang diajukan di mana idea, pandangan akan didebat dan dicanai secara terbuka.

Jadi parti taukeh

Demokrasi bercita-cita untuk mewujudkan warga yang memiliki ketrampilan intelek dan keilmuan untuk berfikir, berhitung dan mengambil tindakan serta keputusan secara rasional setelah menilai semua fakta.

Sayugia diingatkan pemilihan satu undi untuk satu ahli ini belum menjamin kelahiran demokrasi. Bunyinya memang lunak, satu ahli dapat memilih dari bawah hingga ke atas. Hebat!

Apakah ini hakikat atau hanya satu ilusi?

Pada hemat saya, amat jelas kesongsangan pemahaman tentang apa itu demokrasi. Pengundian ini hanyalah satu manifestasi dari jalur demokrasi. Kalau hak mengundi wujud dalam sesebuah persatuan atau kumpulan bukan bermakna persatuan itu mengamalkan demokrasi.

Jangan lupa Hitler juga diundi untuk dijadikan Cancelor Jerman. Jangan lupa Mussolini juga diundi untuk memimpin National Fascist Party. Jangan lupa barisan Najib-Rosmah yang mentabir Malaysia hari ini juga diundi untuk ke Putrajaya.

Pengundian tidak menjamin demokrasi. Pengundian sahaja tidak memiliki makna yang hakiki.

Sistem baru yang sedang dicuba oleh PKR ini amat jelas bukan mengembangkan demokrasi malah menguncupkan demokrasi. Kalau sebelum ini ahli-ahli PKR memilih pimpinan mereka melalui perwakilan, kali ini pengundian di seluruh negara, di setiap cabang. Seharusnya demokrasi dilihat berkembang. Hakiktnya mengempis.

Saya berani berkata sedemikian kerana dari apa yang saya perhatikan, besar kemungkinan PKR akan menjadi parti tauke - parti orang-orang kaya. PKR akan menjadi parti untuk mereka yang memiliki dana dan modal. Rintik rintik dan awan hitam ini telah mula kelihatan dimana PKR berkemungkinan akan dibajak.

Watak reject dan recon

Pasti ada ahli PKR atau gedebe PKR akan menganggap kenyataan saya ini lucah. Kenyataan kurang ajar dari seorang NGI (Individu Bukan Kerajaan) yang bermazhab Marxist Groucho. Mungkin saya dianggap kurang siuman kerana berani menulis sedemikian. Biar saya berikan hujah-hujah kenapa saya berpendapat sedemikin.

Sistem pemilihan PKR yang sedang diperkenalkan hari ini amat terbuka. Keterbukaan ini dihebohkan sebagai merayakan demokrasi. Ini silap. Sebenarnya keterbukaan ini hanya telah membawa masuk ramai ahli-ahli baru dalam PKR. Ini memang di alu-alukan. Dalam masa yang sama keterbukaan ini telah juga menjemput masuk pelbagai jenis hantu dan jembalang dalam PKR.

Watak-watak reject danrecon kelihatan banyak diterima masuk untuk menjadi ahli PKR. Janjinya cukup enteng, asalkan berkeupayaan mengeluarkan dana 'lumayan' sebanyak RM2 untuk membayar yuran keahlian, maka mereka saheh menjadi ahli. Apa garis parti, apa perlembagaan parti dan apa perjuangan parti tidak ditimbulkan. Terbuka di sini didefinisikan sebagai merayakan demokrasi.

Hasilnya, keterbukaan ini telah membawa masuk pelbagai gedebe, kaki pukul atau kaki buang kerusi. Para gedebe ini masuk dengan membawa penyokong-penyokong mereka. Ini samalah seperti Don Barzini dari South Bronx datang berjumpa Don Vito Corleone di Lower Manhattan dengan menjanjikan kaki pukul dan penyokong yang baru.

Kerana ingin berbeza daripada musuh politik, maka PKR tidak menapis kemasukkan ahli ahli baru ini. PKR telah membenarkan ahli-ahli yang tidak dikenali hujung pangkal, tidak diduga kesetiaan dan jauh sekali pemahaman tentang perjuangan untuk mengundi dalam sistem satu ahli satu undi.

Hasilnya, laporan di media dan laman web adalah manifestasi daripada sistem keterbukaan ini. Melalui sistem pemilihan baru ini , watak-watak
reject dan recon dan para gedebe yang sedang bergelawak (berkeliaran) dan berkuntau (berlawan) untuk berebut kuasa. Justeru kemungkinan PKR akan dibajak tidak mustahil.

Pemilihan yang sedang berjalan sekarang ini akan dibayar dengan harga yang mahal. Dalam erti kata lain, dengan ringgit dan sen. PKR akan mengeluarkan dana yang banyak untuk memastikan pengundian satu ahli satu undi ini berjalan lancar. Untuk saya ini satu kesanggupan yang wajib kita semua hormati.

PKR sedang mengajukan politik baru. Dalam politik baru ini, warga wajib sedar dan sanggup membayar dengan nyawa dan darah untuk merampas ruang demokrasi dan memperkasa hak kita sebagai individu.

Pelaburan kaum pemodal

Tetapi, apa yang ingin saya huraikan bukan bab ini, tetapi bab perbelanjaan berkempen untuk ahli-ahli PKR yang ingin menawarkan diri sebagai calon. Satu ahli satu undi memang kedengaran romantik, tetapi hakikatnya tidak seromantik bunyinya.

Sistem satu undi untuk satu ahli ini menjadi beban yang mahal. Dengan menyenaraikan nama sebagai calon dan berharap akan dipilih adalah kerja politik gila dalam budaya terkini PKR. Bakal calon wajib menonjol diri dengan berkempen. Berkempen di seluruh Malaysia belanjanya bukan kecil. Malah untuk dipilih menjadi ketua cabang juga memerlukan dana.

Akhirnya hanya mereka yang memiliki dana yang cukup sahaja yang boleh berkempen ke hulu ke hilir. Lihat dan saksikanlah, cita-cita untuk meluaskan ruang demokrasi kini telah dibajak oleh mereka yang kaya, yang berduit.

Bagaimana pula untuk mereka yang memiliki ciri dan watak pemimpin yang unggul dan telah terduga dalam pejuangan tetapi tidak memiliki modal untuk berkempen? Sosok dan watak sebagini yang amat diperlukan oleh PKR. Tetapi tanpa modal dan dana, sosok ini akan terpinggir dan tersisih.

Tunggu sebentar! Nanti dahulu! Jika sosok yang tidak memiliki dana tetapi masih ingin menawarkan diri maka sosok ini wajib bertemu dengan para tauke dan tuan besar yang memiliki dana. Sosok ini mesti sanggup merendah diri untuk menjadi kuda tunggangan para tauke, tidak kiralah tauke judi atau tauke 'lendir' China Doll. Pasti ada tuan-tuan besar yang berbini besar yang sanggup menaja. Di sinilah berlakunya pembajakaan.

Bagi kaum pemodal dan orang kaya-kaya, dana yang dihulurkan kepada orang politik ini adalah perlaburan masa depan mereka. Kaum pemodal, dalam sistem ekonomi kapitalis akan menaja sesiapa sahaja untuk memastikan lurah peniagaan mereka tidak dihalang.

Justeru dimanakah demokrasi yang cuba diperkenalkan oleh PKR? Pusing pusing sampai ke situ juga.


*Bahagian ke-2 artikel ini akan menyusul.

Nazri Aziz, wira tak didendang Umno

Salhan K Ahmad & Regina Lee
Okt 16, 10
2:55pm

Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan dirinya sebagai seorang ahli politikyang berpandangan bebas. Menteri di jabatan perdana menteri itu berkata beliau langsung tidak peduli dengan pelbagai label yang dilemparkan terhadap dirinya, mahupun pandangan daripada golongan yang skeptis dengan pendiriannya.

Nazri sebelum ini sering kali mengambil pendirian yang bertentangan dengan bekas perdana menteri Tun DrMahathir Mohamad sehingga menyebabkan beliau diberi jolokan sebagai 'hatchetman' kepada perdana menteri kemudiannya, TunAbdullah Ahmad Badawi.

Begitu juga selepas beliau dilantik ke kabinet Datuk Seri Najib Razak. Tanpa diminta, beliau terus ke hadapan untuk mempertahankan Najib apabila timbul isu melibatkan Biro Tata Negara.

Tindakannya sering meletakkan beliau dalam keadaan yang tidak selari dengan aspirasi pemimpin lain dalam BN yang mempertahankan BTN, walapun modul latihannya didakwa memupuk perkauman.

Dalam reaksinya, Nazri yang mula dilantik ke kabinet Dr Mahathir sejak 11 tahun lalu itu berkata tindakannya itu hanyalah sekadar menggunakan haknya untuk menjawab pandangan daripada bekas ketuanya itu.

"Orang melihat saya sebagai tidak menghormati dan tidak berterima kasih (kepada Dr Mahathir). Tapi saya rasa, jika Tun boleh buat kenyataan kepada umum, saya juga ada hak untuk menjawab.

"Orang selalu kata, 'kenapa mesti Nazri (yang menjawab)? Kenapa tidak orang lain?' Biar saya beritahu -- Saya seorang menteri di jabatan perdana menteri. Apabila PM diserang, anda tidak tunggu PM untuk jawab, tapi menteri di jabatan perdana menteri (patut jawab).

"Kalau anda tidak mahu saya buka mulut, letak saya di kementerian lainlah," katanya lagi dan menambah, beliau menjawab isu tersebut kerana ia ditimbulkan di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, beliau tidak melihat isu berkenaan satu isu peribadi antara beliau dan Dr Mahathir.

"Ia cuma tugas saya. Saya tidak mahu menjadi hero. Bila Tun menjadi PM, Pak Lah (Abdullah Badawi) jadi PM, saya yang mempertahankan mereka. Saya cuma pertahankan PM.

"Selagi saya tahu perkara itu benar, saya akan terus perkatakannya," katanya lagi.

Satu lagi isu yang menyeret beliau ke kancah kontroversi ialah apabila menyahut cabaran penasihat DAP Lim Kit Siang supaya menyatakan bahawa beliau mengutamakan kedudukan sebagai 'bangsa Malaysia' dan bukannya sebagai 'bangsa
Melayu.'

Beliau merupakan satu-satunya pemimpin Umno yang berani berbuat demikian, setelah dicabar oleh Lim untuk membuktikan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Najib.

Katanya, beliau tidak kisah walaupun rakan-rakan sejawatannya yang lain tidak mengikut rentak langkahnya.

"Saya percaya dengan apa yang saya buat, dan saya (bertindak) dengan betul. Kalau anda main bola sepak sebagai striker, anda tidak akan tanya kenapa pemain pertahanan atau sayap kanan tidak menjaringkan gol.

"Saya tidak mahu peduli tentang orang lain, sebab ia akan buatkan kita berasa serba salah. Jadi kenapa saya perlu peduli? Saya cuma tumpukan kepada gol saya," katanya lagi.

"Saya tak peduli sedikitpun apa yang orang akan kata. Saya percaya ini adalah cara untuk kita maju ke hadapan selepas lebih 50 tahun (merdeka).

Tambahnya, beliau tidak mendukung pegangan yang ultra dalam mengutarakan isu-isu kaum dan beliau konsisten dalam hal ini semenjak menjadi ahli pergerakan pemuda Umno.

Malangnya, beliau tidak dapat mengulangi slogan "Malaysian first" itu di Perhimpunan Agung Umno memandangkan beliau kini dalam majlis tertinggi parti.

Nazri menjelaskan, lebih baik sekiranya beliau hanya seorang ketua bahagian kerana itu akan memberikannya lebih lebih berpeluang untuk bercakap dalam mesyuarat itu.

Namun itu tidak akan menyekat beliau untuk terus bercakap mengenai agenda anti-perkauman, katanya.

"(Pemain skuasy dan badminton negara, Datuk ) Nicol David dan (Datuk) Lee Chong Wei menang pingat emas apabila mereka bermain untuk negara. Mereka bukannya bermain untuk China tetapi Malaysia. Mereka dijulang sebagai hero.

"Tapi bila mereka pulang, apa yang (kumpulan) rasis ini beritahu mereka? 'Masyarakat kamu tidak diterima di sini.' (Orang) rasis ini tidak sepatutnya menerima apa-apa dari Malaysia.

"Jadi saya akan terus memerangi mereka," tegasnya.

Penduduk bantah surau, pusat asuhan diroboh

Okt 16, 10 4:28pm

Lebih 100 penduduk kampung mengadakan tunjuk perasaan secara aman di hadapan masjid Bukit Katil petang semalam kerana membantah tindakan kerajaan negeri Melaka yang bercadang mengambil tanah sebuah pusat asuhan tunas Islam dan surau di kampung berkenaan untuk pembinaan sebatang jalan raya.

Demonstrasi itu anjuran badan bertindak perobohan pusat asuhan tunas Islam (PASTI) dan Surau Bukit Katil.

Menurut pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, penduduk kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah pusat asuhan dan surau berkenaan.

"Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.

“Di sana ada tanah kosong yang boleh diambil untuk buat jalan mengapa tanah di sini yang diambil sedangkan tanah kosong tersebut lebih sesuai tidak melibatkan surau, PASTI dan rumah rakyat," katanya dengan berang.

Menurut Abdul Ghani, tindakan kerajaan itu disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.

Tunjuk perasaan secara aman ini bagaimanpun diarahkan oleh polis supaya dihentikan kerana didakwa mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit.

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata penguakuatsaan Akta Tanah yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan telah melucutkan hak rakyat.

"Rakyat sudah tidak ada kuasa dan hak ke atas tanah milik mereka sendiri, bila-bila masa kerajaan boleh ambil dan ianya sukar dicabar di mahkamah,"katanya.

Tunjuk perasaan ini juga dihadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat Melaka yang lain. Antara mereka ialah pengerusi DAP, Goh Leong San; ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; ADUN Bachang, Lim Jak Wong; ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.

Mereka kemudian bersurai tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Tidak perlu pertikai ekuiti bumiputera, kata Khairy

Okt 16, 10 9:44pm

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, dasar ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam sektor ekonomi tidak perlu dibangkit atau dipertikaikan oleh mana-mana parti komponen BN demi menjaga perpaduan dan keharmonian parti.

Berasaskan faktor itu juga katanya, parti komponen BN tidak harus mempertikaikan beberapa isu lain termasuk kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC).

“Sama juga seperti Perkara 153 Perlembagaan negara, (perkara) yang tak masuk Perlembagaan seperti ekuiti 30 peratus, kita perlu ada hormat terhadap aspirasi masing masing.

"Saya tak akan pertikai SJKC tapi pada masa sama mereka (parti komponen) perlu letak kaki dia dalam kasut kita. Sekiranya kita mengamalkan pendekatan itu semua dan menjaga aspirasi masing-masing saya rasa tak ada masalah,” katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda BN mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada perhimpunan agung parti itu Ahad lalu yang sekali lagi menyentuh isu ekuiti bumiputera.

- Bernama

'Laut biru Umno bunuh kawan-kawan'

Okt 17, 10 11:09am

Strategi 'laut biru' Umno yang mahu mengkaji semula sistem kuota dalam BN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang disambut sinis oleh lawan politiknya daripada PAS.

Bagi Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir, strategi itu sebenarnya "bermain-main" untuk merampas kerusi MCA, MIC dan GERAKAN, khasnya di kawasan-kawasan campuran.

Bekas setiausaha akhbar kepada presiden PAS Datuk Seri Abdull Hadi Awang itu berkata, berkata, pendekatan "rampas-merampas" itu kemudiannya akan mencetuskan ketegangan yang mengakibatkan "retak semakin membelah" dan hancur berkecai.

Bagaimanapun, tambahnya, Umno sudah lupa bahawa parti itu juga kecundang di beberapa kerusi campuran, termasuk kerusi majoriti
Melayu di Selangor seperti di Hulu Kelang (81 peratus) dan Gombak Setia (80 peratus).

"Hakikatnya bukan MCA, MIC dan GERAKAN silap, Umno lebih 'dajal' lagi. Mereka pun kalah dan kecundang tetapi yang mereka nampak adalah keburukan dan kelemahan kawan-kawan," coretnya dalam blog terbarunya pagi ini.

"Laut biru yang mahu dijadikan strategi itu membawa maksud lautan dalam, barangkali selain kita membuang tayar-tayar buruk untuk dijadikan tukun-tukun tiruan, maka sudah sampai masanya, lautan biru yang besar dan dalam itu dijadikan sekali tempat persemadian, Umno dan rakan-rakannya MCA, MIC dan Gerakan bersekali.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan BN perlu mengamalkan strategi 'laut biru' yang berpandangan jauh dengan mengkaji semula pembahagian kuota kerusi kawasan pilihan raya bagi membolehkan parti itu menang selesa pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kaedah pembahagian kuota kerusi sedia ada dilihat sudah tidak lagi praktikal dengan kehendak pengundi terutamanya selepas tsunami
politik pada Mac 2008.

Sebelum ini, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyarankan agar sistem kuota itu dikaji semula jika pengundi tidak selesa dan tidak suka dengan calon daripada parti komponen BN yang bertanding di sesuatu kawasan itu.

Cadangan tersebut kemudiannya disambut baik Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu semua parti komponen BN berlapang dada untuk mengkaji kelemahan masing-masing dan pada masa yang sama mempraktikkan sistem baru dalam soal pembahagian kerusi.

DAP: PM nyalakan 'api perkauman'

Okt 17, 10 4:10pm

DAP menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan "kepalsuan dan retorik" untuk orang mengapi-apikan kemarahan pegawai kerajaan daripada kalangan orang Melayu bagi memastikan mereka terus menyokong kerajaan.

"Perdana menteri menunjukkan sikap sebenarnya apabila beliau menghukum pegawai kerajaan yang tidak menunjukkan kesetiaan membuta tuli kepada Umno," kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada ucapan perdana menteri ketika melancarkan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya semalam.

Pua menuding kepada dua kenyataan Najib semalam yang didakwa membangkitkan prejudis kaum:

"Saya nak tanya siapakah yang mempersoalkan 153 Peruntukan dalam Perlembagaan? Hak keistimewaan orang Melayu, siapa yang persoalkan?

"Siapa yang wujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah? Siapa yang mahu buka UiTM (kepada bukan Melayu)? Bukan UMNO tapi orang sebelah sana," Najib dipetik sebagai berkata.

Pua yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Utara menyifatkan kenyataan Najib itu menggambarkannya "sebagai hulubalang PERKASA sebenar".

Ini, menurut Pua, antara sebab kenapa Najib mengambil tindakan tidak mengkritik PERKASA untuk "kedudukan ekstrim dan rasis yang berterusan" walaupun NGO itu didakwa meningkatkan etegangan antara kaum.

Ketua Pemuda Umno Kedah terkilan desakan letak jawatan

Okt 17, 10 4:22pm

Ketua Pemuda Umno Kedah Badrolhisham Hashim hari ini meluahkan rasa terkilan serta terkejut dengan tindakan sekumpulan individu, yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Badan Bertindak Selamatkan Kedah', mendesaknya meletakkan jawatan baru-baru ini.

Badrolhisham berkata, walaupun beliau sangat terbuka dalam menerima teguran serta kritikan, namun tindakan yang dilakukan kumpulan itu menunjukkan seolah-olah mereka parti pembangkang, dan beliau tidak akan berdiam diri.

"Dalam politik, tidak semua orang akan menyukai kita, tindakan yang dibuat oleh mereka tidak melemahkan saya kerana saya mendapat sokongan di semua bahagian.

"Tetapi saya berharap agar kumpulan individu itu jangan cuba mengucar-ngacirkan apa yang telah kita ada, kita tidak mahu parti bermasalah disebabkan orang-orang seperti ini," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Umno Kedah di Alor Setar.

Beliau berkata perkara itu akan dibangkitkan pada mesyuarat pengurusan parti agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Khamis lepas, kumpulan itu, yang diketuai pengerusinya Sobri Sudin, telah menghantar satu memorandum kepada Setiausaha Kerja Pemuda Umno Kedah Tahir Md Zain, bagi mendesak Badrolhisham melepaskan jawatan.

Desakan itu dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Badrolhisham yang didakwa gagal mengemudi pergerakan Pemuda Umno Kedah dengan berkesan.

--Bernama

Belasungkawa Yalal Chin: Perginya Guru Lakonan Yang Disegani

Ahad Oktober 17, 2010

ORANG terdekat dengan pelakon dan pengarah Yalal Chin, 67, menganggap pemergian beliau pada 12.15 pagi, Sabtu bagaikan suatu perkara yang tidak disangka.

Bagaikan baru semalam, mereka bergelak ketawa dan saling bergurau senda memandangkan sifat pemilik nama Yalal Abu Achin yang tak pernah duduk diam, peramah dan ceria ini.

Kini suara dan tingkah laku seumur hidup Allahyarham pasti disimpan dalam kenangan sampai bila-bila.

Yalal meninggal dunia kerana sakit jantung dan komplikasi pendarahan dalam otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Sebelum ini Allahyarham ditempatkan di Unit Rawatan Jantung (CCU) di HUKM sejak 3 Oktober lalu.

Jenazah Allayarham selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah, Melaka pada pukul 11.30 pagi, Sabtu.

Sepanjang pembabitan Allahyarham dalam industri seni tempatan, beliau tidak pernah kedekut ilmu lakonannya.

Beliau pernah bergelar pengarah, pengurus produksi dan jururunding skrip.

Bagaikan memahami situasi artis baru yang masih hijau dalam industri lakonan, beliau sering menasihat dan menurunkan ilmu yang ditimba dalam lakonan kepada pelakon yang pernah bekerjasama dengannya.

Malah, Allahyarham menyifatkan dalam banyak-banyak bidang profesional di dunia ini, bidang lakonan merupakan bidang yang paling sukar untuk dilakukan.

Yalal pernah muncul dalam filem Misteri Jalan Lama, Paloh dan Wanita Bertudung Hitam, telefilem Aku Yang Aku Cari, drama bersiri Ezora, Wadi Unung, Di Situ Ada Cinta, Abadi Sebuah Cinta, teater Puteri Gunung Ledang The Musical 3 dan Bangsawan Naga Chini.

Dalam berkarya, Allahyarham sanggup mengeluarkan duit sendiri tanpa pernah memikirkan tentang keuntungan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menjalankan sesuatu kerjanya di kalangan sahabat handai dalam industri.

Berbakat besar dalam dunia seni, setiap kerja yang dilakukan berlandaskan hati yang ikhlas tanpa meminta sanjungan populariti yang meninggi.

Pelakon Azhan Rani yang rapat dengan Allahyarham sejak tahun 1997 lalu menganggap Yalal merupakan guru yang baik, berbakat tetapi dipinggirkan.

“Walaupun tidak mengecapi populariti sekalipun, Allahyarham tidak pernah mengalah kerana dia lakukan bukan untuk popular.

“Pasti saya akan merindui lakonan Allahyarham. Kepada keluarganya, semoga tabah dan redha dengan pemergiaan beliau,” katanya yang sempat melawat jenazah Allahyarham ketika upacara mandikan jenazah di HUKM, awal pagi Sabtu.

Sementara itu, balu Allahyarham iaitu Suryani Mohd Yusof, 37, sempat berkongsi kenangan sepanjang bergelar isterinya.

“Arwah suka buat lawak dan penyayang. Saya akan ingat kasih sayang yang dia curahkan sampai bila-bila. Dia juga seorang yang suka duduk rumah dan makan masakan saya.

“Saya rasa semua hajatnya sudah tercapai dan dia pergi dengan tenang,” beritahunya dalam nada tenang ketika dihubungi.

Allahyarham juga pernah menjadi Pegawai Kebudayaan Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengajar seni persembahan di universiti tersebut.

Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/17/mstar_hiburan/20101016161024&sec=mstar_hiburan

Lima syarat penentu jenayah sihir




KUALA LUMPUR – Perbuatan sihir boleh dianggap perlakuan jenayah jika turut dilengkapi lima syarat.

Kelima-limanya ialah peralatan yang digunakan, pelaku, perbuatan dan niat seseorang penjenayah sihir berkenaan.

Pensyarah Kanan Sekolah Pengajian Islam Kolej Antarabangsa Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail (gambar) berkata, elemen-elemen itu sama seperti yang terdapat pada perbuatan jenayah bukan sihir.

Jika kelima-limanya saling melengkapi ia boleh dijadikan rujukan utama dalam menguatkuasakan Akta Sihir, katanya.

“Dalam jenayah biasa, peralatan bermaksud alat yang digunakan untuk melaksanakan niat jahat seperti pistol, parang atau objek lain.

“Dalam pelaksanaan sihir pula alatnya ialah makhluk halus terdiri daripada jin, syaitan dan iblis yang menjadi ‘peluru’ yang ditembak ke arah mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

600 guru sandaran bakal hilang kerja


Sebahagian daripada 400 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) menunjukkan surat kontrak mereka tidak disambung di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Kira-kira 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini bakal kehilangan punca pendapatan setelah kontrak mereka ditamatkan oleh Kementerian Pelajaran secara berperingkat bermula 10 Oktober lalu.

Seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau di Sik, Amir Hamzah Harun, 33, berkata, setiap hari dia menunggang motosikal sejauh 150 kilometer dari Gurun untuk mengajar bagi menampung kehidupan bersama isteri, anak dan ibunya.

"Kalau kontrak ini ditamatkan, susah untuk saya menyara keluarga.

"Saya merayu kementerian agar menyambung kontrak guru GSTT kerana kebanyakan kami mempunyai pengalaman mengajar yang agak lama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri perjumpaan guru-guru sandaran dengan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Perginya seorang dramatis



YALAL Abu Chin merupakan pelakon berkaliber yang sangat disenangi dan segani rakan-rakan seperjuangannya.


BERITA Yalal Chin dimasukkan ke hospital sejak 3 Okober lalu dibalas dengan pertanyaan 'Yang mana satu Yalal?' oleh khalayak.

Bukanlah dia tidak terkenal tetapi kerana sering beradaptasi dengan watak dalam setiap drama, umum hampir terlupa nama sebenarnya.

Lalu apabila disebut si pembawa watak Patih dalam Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang, ingatan terus tertancap pada sosok yang membawa watak dengan cemerlang itu.

Teringat terus kepada seorang lelaki berwajah Cina dan berkaca mata.

Dramatis Yalal atau nama sebenar Yalal Abu Chin pasti diingati oleh penggemar drama Melayu kerana sering berlakon dalam produksi sebegitu.

Antara drama lakonannya ialah Ezora, Senja Permai, Intan Asmara dan telefilem Aku Yang Aku Cari serta filem Misteri Jalan Lama, Paloh dan Wanita Bertudung Hitam.

Yalal turut terlibat dalam produksi teater seperti Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dan Patah Sayap Terbang Jua.

Lelaki kelahiran Melaka ini pergi meninggalkan kita dan pentas seninya.

Semalam, tepat pukul 12.15 pagi, Yalal menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Jenazah dramatis berusia 67 tahun itu disembahyangkan di hospital pada pukul 3 pagi sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan. Bersemadilah dia di Alor Gajah buat selama-lamanya.

Bukan hanya berlakon, Yalal merupakan seorang pengarah, pengurus produksi dan jururunding skrip.

Berita Allahyarham dimasukkan ke hospital terdahulu disampaikan oleh pelakon Rosyam Nor.

Kata Rosyam, Yalal merupakan seorang teman yang baik dan pelakon yang berkaliber.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim sempat bertandang menziarah Yalal di PPUKM Rabu lalu dan memberi sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebanyak RM5,000 melalui Tabung Kebajikan Penggiat Seni di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan.

Difahamkan, pelakon tersebut mengalami masalah jantung dan pendarahan dalam otak.


WATAK Patih yang dibawakan Yalal dalam Teater Muzikal Puteri Gunung Ledangterpahat dalam ingatan khalayak.


"Boleh dikatakan suami saya telah lama mengalami masalah jantung iaitu sejak dia muda lagi.

"Dia pernah mendapatkan rawatan di sini," ujar isteri Yalal, Suriani Mohd. Yusof, 37.

Menurut Suriani, suaminya terpaksa dikejarkan ke hospital setelah mengadu sakit dada ketika hendak bangun mendirikan sembahyang Subuh.

Setia sepanjang waktu sihat dan sakit, kini air mata dan doa mengiringi pemergian suami tercinta.

Bunga doa dan dan untaian al-Fatihah buat dramatis Yalal Chin. Amin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...