Showing posts with label Ikan Keli dan Penternakkan. Show all posts
Showing posts with label Ikan Keli dan Penternakkan. Show all posts

Wednesday, May 20, 2009

Ikan keli kena sijil halal


KERATAN Kosmo! 18 Mei 2009.



KERATAN Kosmo! semalam.


PETALING JAYA - Pengusaha ternakan ikan keli di negara ini perlu mempunyai sijil halal yang sah kerana mereka juga bertindak sebagai pembekal yang memasarkan produk itu kepada pihak lain seperti peruncit.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, walaupun permohonan sijil halal di kalangan penternak ikan tidak diwajibkan namun sebagai pembekal, mereka seharusnya bertanggungjawab mendapatkan sijil berkenaan.

"Sebagai pembekal, mereka mesti ingat kalau mereka tak ada sijil halal, tidak boleh bekalkan sesuatu barang itu kepada para peruncit yang menyediakan bahan-bahan halal," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai 10 kolam ternakan ikan keli di Ipoh yang didakwa penduduk dicemari dengan air sisa kumbahan dari ladang ternakan babi berhampiran.

Jamil bagaimanapun memberitahu, pihaknya bersedia untuk melakukan siasatan di tapak 10 kolam ternakan ikan keli tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Tuesday, May 19, 2009

Keli zat babi haram



KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Ikan keli yang diternak di 10 kolam ternakan di Perak yang didakwa menggunakan air sisa kumbahan ladang ternakan babi adalah haram dan tidak boleh dimakan oleh umat Islam.

Menurut penceramah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah, ikan keli tersebut secara automatik telah memakan pelbagai sisa najis babi daripada air sisa kumbahan yang disalurkan terus ke kolam ternakan itu.

Katanya, apabila warna, rasa dan rupa air tersebut telah berubah, maka air tersebut sudah menjadi najis Mughallazah iaitu najis paling berat dalam Islam.

"Jika jumlah kolam yang terima air sisa kumbahan dari ladang babi itu banyak, maka ikan yang hidup di dalam kolam dan seterusnya memakan sisa kumbahan itu adalah secara automatik haram dimakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pengusaha ternakan ikan keli di Perak yang didakwa menggunakan air kumbahan dari ladang ternakan babi untuk ternakan ikan itu di 10 buah kolam miliknya.

Sisa dan air kumbahan yang disalurkan ke kolam itu dipercayai mendap ke bawah dan menjadi makanan ikan manakala mendapan itu pula menyebabkan permukaan kolam seolah-olah diselaputi lumut.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pula berkata, ikan keli itu akan menjadi haram jika makanan ikan peliharaan itu sejak dari kecil hingga dewasa terdiri daripada sisa kumbahan babi.

"Jika itu keadaannya, ia sudah menjadi darah daging kepada ikan-ikan tersebut dan hal ini diputuskan haram kerana sukar untuk dipisahkan antara najis dan ikan-ikan tersebut," tegas beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Monday, May 18, 2009

'Kita hanya jual di luar Perak' - Ternak ikan keli untuk ‘membersihkan’ air kumbahan dari ladang babi


SEORANG penduduk, Azmi Yunus menunjukkan salah satu kolam ternakan ikan keli yang menggunakan air kumbahan babi di sebuah kawasan dekat Ipoh semalam.





IPOH - Sanggupkah anda menjamah hidangan ikan keli yang membesar dengan zat air kumbahan dari ladang babi?

Jika tidak, anda harus memastikan ikan keli yang dimakan selepas ini bukan diternak di salah satu daripada 10 kolam ternakan itu yang diusahakan bersebelahan sebuah ladang ternakan babi di negeri ini.

Bagi penduduk berhampiran, penternakan ikan keli oleh pengusaha ladang tersebut tidak lebih sekadar untuk 'membersihkan' air sisa kumbahan babi sebelum ia dilepaskan ke saliran utama berhampiran beberapa kawasan perumahan di situ.

Wartawan dan jurugambar Kosmo! yang berjaya memasuki ladang tersebut semalam, terkejut melihat air kolam-kolam ternakan itu berwarna hijau lumut dan keadaannya jauh berbeza dengan air kolam ternakan ikan keli di tempat lain.

Menurut seorang lelaki yang mendakwa pemilik ladang babi tersebut, ikan-ikan keli yang diternak di kawasan seluas empat hektar itu bukan untuk pasaran tempatan sebaliknya untuk dijual di luar Perak.

"Kita tidak jual sini, semua luar Perak. Sini susah, orang dekat sini sudah bising pasal ladang (babi)," katanya yang enggan dikenali.

Dia enggan menjelaskan di mana ikan keli terbabit dipasarkan tetapi mengakui benih-benih ikan itu diperoleh daripada seorang pemborong di sini.

"Kenapa banyak tanya, saya kata kita tidak jual kepada orang sini (tempatan), awak kalau mahu, beli di tempat lainlah,'' katanya sebelum meminta kami beredar.




Berdasarkan tinjauan, setiap kolam berkenaan mempunyai dua paip saliran, paip masuk dan keluar yang berfungsi mengalirkan air kumbahan kandang babi yang kemudiannya terus ke dalam parit di sebelah ladang terbabit.

Sisa dan air kumbahan yang disalurkan ke dalam kolam dipercayai mendap ke bawah dan menjadi 'makanan' ikan manakala mendapan itu pula menyebabkan permukaan kolam seolah-olah diselaputi lumut.

Dianggarkan lebih 100,000 ekor ikan keli diternak di 10 kolam yang dikawal rapi dan tidak boleh dimasuki pihak luar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...