Tuesday, May 5, 2009

Kakitangan kerajaan China diarah merokok bagi lariskan jualan


SEORANG lelaki menghisap rokok di sebatang jalan raya di Beijing semalam.



BEIJING - Semua kakitangan awam di daerah Gong'an, Hubei, tengah China diarah menghisap rokok bagi melariskan jualan hampir suku juta kotak rokok buatan tempatan setahun jika tidak mahu didenda.

Menurut akhbar Global Times, kerajaan di wilayah Hubei mengarahkan kakitangannya menghisap rokok bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut akhbar itu, jabatan kerajaan yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan akan didenda.

"Peraturan itu akan meningkatkan ekonomi tempatan melalui cukai rokok," kata seorang anggota pasukan pemantauan pasaran rokok Gong'an, Chen Nianzu.

Menurut akhbar tersebut, peraturan itu dikuatkuasakan sebagai usaha melariskan jenama rokok tempatan seperti Huanghelou yang menghadapi persaingan daripada rokok keluaran wilayah Hunan.

China mempunyai 350 juta perokok namun sebanyak sejuta orang meninggal dunia pada setiap tahun kerana menghisap rokok. - AFP

2 beradik lelaki kahwin 2 beradik wanita


WAYNE (kiri) memilih Laura (dua dari kiri) manakala Sonny (dua dari kanan) berkahwin dengan Kerry.



WINFRITH - Sepasang adik-beradik lelaki berkahwin dengan dua beradik wanita dalam majlis perkahwinan yang diadakan secara serentak di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam majlis itu, Sonny Mabey, 30, berkahwin dengan seorang guru, Kerry Hamilton, 27.

Adik Sonny, Wayne, 27, memilih adik Kerry, Laura yang berumur 24 tahun sebagai pasangan hidupnya.

Majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah gereja di Winfrith, Britain pada Sabtu lalu.

"Laura dan Wayne membuat keputusan kira-kira setahun lalu untuk mendirikan rumah tangga manakala Sony dan saya sudah mengikat tali pertunangan selama sembilan tahun. Pada satu malam ketika kami berbual, kami mendapat idea mengadakan majlis perkahwinan secara serentak dan ia kemudian menjadi realiti," kata Kerry.

Bapa Kerry, Hamilton berkata: "Saya berdiri dengan diapit oleh kedua-dua anak saya (di gereja). Saya berasa bertuah kerana tidak ramai bapa yang berpeluang melakukannya."

Kedua-dua pasangan pengantin baru itu kini berbulan madu di Edinburgh.- Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm


3 rakyat Singapura diperiksa A H1N1

SINGAPURA - Singapura semalam mengenakan kuarantin terhadap tiga orang pada hari pertama Perintah Kuarantin Dalam Negeri yang dikuatkuasakan bagi mencegah penularan Influenza A H1N1 di negara bandar raya ini.

Sehingga pukul 7 malam ini, satu perintah dikeluarkan kepada penduduk asing dan dua kepada warga Singapura, menurut Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan perintah itu, pelancong yang memasuki Singapura dengan sejarah perjalanan ke Mexico sejak tujuh hari lepas akan dikuarantin selama tujuh hari apabila mereka memasuki Singapura dari lokasi terakhir mereka di Mexico.

Perintah itu, yang dikeluarkan mengikut Akta Penyakit Berjangkit kepada orang yang dijangkiti dan disyaki dijangkiti virus itu, bertujuan membataskan wabak itu daripada menular dalam kalangan penduduk tempatan.

Kementerian itu berkata, tiada kes tambahan untuk disiasat di Singapura setakat malam ini. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Tiga pelajar Thai dikuarantin


TIGA daripada pelajar Thailand yang pulang dari Mexico dikuarantin di sebuah hospital di Bangkok semalam.


BANGKOK - Tiga pelajar Thai dikuarantin di sebuah hospital di sini semalam kerana disyaki menghidap influenza A H1N1 selepas mereka menunjukkan gejala demam setelah kembali dari Mexico, kata beberapa pegawai kanan.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Paijit Warachit berkata, ketiga-tiga mereka merupakan sebahagian kumpulan 14 pelajar dan guru yang menyertai program pertukaran lawatan ke Mexico.

Menurutnya, 11 yang lain akan diletakkan dalam pengawasan di hospital yang sama di pinggir Bangkok.

"Ketiga-tiga mereka diasingkan setelah mereka didapati mengalami demam," katanya.

Kerajaan Thai meningkatkan langkah pengawasan virus A H1N1 pada tahap tertinggi Sabtu lepas dengan mesin-mesin pengimbas suhu badan beroperasi 24 jam bagi memeriksa semua pelawat yang tiba di lapangan terbang utama negara itu.

Setakat ini, tiada laporan kes influenza A H1N1 yang disahkan.

Thailand akan menjadi tuan rumah persidangan Menteri Kesihatan ASEAN bersama rakan dialog iaitu Jepun, China dan Korea Selatan pada Jumaat ini.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Penghuni Hotel Metro Park mulai bosan


SEORANG tetamu mempamerkan sebuah akhbar Jerman yang menunjukkan tajuk berita berhubung virus influenza A H1N1 dari sebuah bilik Hotel Metro Park di Hong Kong semalam.



BEBERAPA pekerja dan penghuni melambaikan tangan 
ke arah jurugambar di pintu masuk Hotel Metro Park di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Urusan perniagaan yang terbengkalai dan perasaan bosan memakan hidangan nasi merupakan sebahagian daripada aduan penginap-penginap Hotel Metro Park di sini semalam yang ditutup hampir seminggu kerana dikuarantin akibat jangkitan influenza A H1N1.

Hotel Metro Park di Hong Kong menjadi lokasi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing sejak ia ditutup Jumaat lepas setelah seorang warga Mexico yang menginap di hotel itu didapati positif virus tersebut.

Orang ramai yang melalui kawasan itu tidak melepaskan peluang merakamkan gambar petugas-petugas kesihatan yang memakai pakaian perlindungan kuman keluar dan masuk hotel berkenaan.

Suasana seperti itu dianggap ganjil kerana lokasi tersebut sebelum ini terkenal sebagai tempat hiburan tarian bogel.

Bagaimanapun, setelah hampir seminggu terasing dari dunia luar, kebosanan mula melanda sebahagian daripada 300 tetamu dan kakitangan Hotel Metro Park yang dikuarantin.

"Sebaik sahaja anda bersarapan dan membersihkan diri, anda akan kembali pada rutin harian iaitu mengira tanda-tanda hitam dan kotoran pada dinding," kata seorang ahli perniagaan Britain, Leslie Carr.

"Hidangan pilihan harian ialah nasi yang dihidangkan dengan peha ayam," tambahnya.

Seorang jurucakap kerajaan memberitahu, setiausaha kerajaan Hong Kong menghantar sekotak coklat kepada setiap tetamu yang dikuarantin di hotel itu sebagai tanda terima kasih di atas kesabaran mereka.

Menurutnya, semua kos bilik penginapan dan perbelanjaan sepanjang tempoh kuarantin itu ditanggung oleh kerajaan Hong Kong. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Ketua badan antirasuah Indonesia ditangkap


ANTASARI (tengah) berjalan menuju ke ibu pejabat polis di Jakarta semalam.


JAKARTA - Ketua Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK), Antasari Azhar ditangkap semalam kerana menjadi perancang pembunuh seorang ahli perniagaan, Nasrudin Zulkarnaen.

Ketua Polis Jakarta, Wahyono berkata, Antasari diisytiharkan sebagai seorang suspek selepas dia disoal siasat selama beberapa jam berhubung kes pembunuhan Nasrudin.

Nasrudin ialah seorang bekas saksi KPK dan ketua sebuah syarikat milik kerajaan.

Dia ditembak di bahagian kepala di luar padang golf di pinggir Jakarta pada Mac lalu.

Media membuat spekulasi bahawa pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan cinta tiga segi melibatkan Antasari dan Nasrudin dengan seorang gadis berumur 22 tahun yang menjadi kedi golf.

"Antasari ditangkap dan ditahan pada waktu pagi," kata Ketua Jenayah Awam Polis, Muhammad Iriawan.

"Kes itu disiasat di bawah Artikel 340 yang boleh membawa hukuman mati," tambahnya.

Polis memberitahu, sembilan orang dinamakan sebagai suspek berhubung kes pembunuhan Nasrudin.

Nasrudin merupakan ketua firma Putra Rajawali Banjaran yang ditembak mati dalam satu serangan oleh beberapa lelaki bersenjata.

Agensi KPK ditubuhkan pada 2003 dan menjadi terkenal kerana reputasinya sebagai sebuah pertubuhan yang memerangi gejala rasuah. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Yuran kolej UKM naik




KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bimbang dengan nasib mereka apabila pihak pengurusan kolej di universiti itu berhasrat untuk menaikkan yuran asrama daripada RM490 kepada RM600 bagi setiap semester bermula sesi depan.

Kenaikan yuran tersebut kini menjadi perbualan hangat di kalangan pelajar kerana mereka sudah dibebani dengan kenaikan yuran pengajian sejak tahun lalu.

Malah, kesan kenaikan yuran asrama itu akan turut dirasai oleh 4,000 hingga 5,000 pelajar baru yang dijangka memulakan pengajian mereka tidak lama lagi.

Kosmo! difahamkan, kenaikan yuran asrama itu melibatkan lapan buah kolej kediaman iaitu Kolej Ibrahim Yaakub, Datuk Onn, Aminuddin Baki, Ungku Omar, Burhanuddin Helmi, Rahim Kajai, Ibu Zain, Idris Al Marbawi, Tun Syed Nasir, Tun Dr. Ismail dan Tun Hussein Onn.

Bagaimanapun, pelajar yang menginap di dua buah kolej lagi iaitu Kolej Za'ba dan Keris Mas bakal menikmati penurunan yuran sebanyak RM90 ekoran penyelarasan yuran yang dilaksanakan oleh UKM.

Salah seorang pelajar fakulti undang-undang universiti itu yang cuma mahu dikenali sebagai Munirah mempersoalkan kenaikan yuran tersebut kerana mutu perkhidmatan yang disediakan kepada pelajar masih rendah.

"Kalau dilihat dari segi keselamatan, keselesaan, kemudahan Internet masih lagi mengecewakan pelajar di sini. Kalau nak naikkan yuran pun kena pastikan semua itu dipenuhi dahulu baru pelajar tidak akan mempersoalkan kenaikan ini,'' katanya ketika dihubungi Kosmo!semalam.

Menurut beliau, kesan kenaikan yuran pengajian pada tahun lalu masih lagi dirasai oleh kebanyakan pelajar dan ditambah lagi dengan bebanan baru ini menyebabkan ramai pelajar merungut.

"Tahun lepas pelajar baru kena bayar yuran pengajian sebanyak RM750 untuk satu semester berbanding sebelum ini cuma RM550. Sekarang nak naik lagi, saya yakin ramai yang akan pening kepada," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang cuma ingin dikenali sebagai Faizal meminta pihak pengurusan universiti mempertimbangkan semula kenaikan tersebut ekoran kemelesetan ekonomi dunia yang turut melanda negara ini.

"Saya merayu kepada pihak universiti pertimbangkan keputusan yang bakal dilaksanakan itu. Kalau boleh kami juga ingin tahu perincian sebenar yuran yang dibayar pada setiap semester supaya ada ketelusan di antara pelajar dan pihak pengurusan universiti,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Mangsa kurung kedua ditemui


RUCKSHAN (dua dari kiri) dan Sharmila (dua dari kanan) semasa dibawa ke IPD Sepang semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang lagi mangsa tawanan sindiket yang mengurung remaja Sri Lanka, Dil Ruckshan, 14, dibebaskan malam kelmarin selepas polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes tersebut.

Mangsa kedua yang diselamatkan polis ialah seorang kanak-kanak perempuan juga dari Sri Lanka yang dikenali sebagai Sharmila, 9.

Sharmila, 9, ditemui pada pukul 9 malam kelmarin di sebuah perhentian bas di Puchong selepas dia dibiarkan di situ oleh anggota sindiket tersebut.


SEORANG lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes mengurung Ruckshan dan Sharmila di IPD Sepang semalam.



KERATAN Kosmo! 3 Mei.


Ketika ditemui, Sharmila memakai baju Punjabi berwarna kuning cair kelihatan kebingungan seolah-olah baru melihat dunia.

Mangsa mendakwa dia dikurung selama setahun di rumah sama dengan Ruckshan.

Sharmila kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk diambil keterangannya sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan fizikal.

Satu sumber berkata, nasib Sharmila sama seperti nasib Ruckshan apabila dia dikurung di sebuah rumah di Sentul selepas penerbangannya dari Colombo, Sri Lanka sepatutnya sampai di Paris, Perancis telah melencong ke Malaysia.

Perjalanan Sharmila diatur oleh satu ejen yang diupah oleh ibunya yang mahu anaknya itu tinggal bersama seorang saudaranya di Paris.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, jumlah upah dan siapa ejen yang membawa Sharmila masih dalam siasatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Kes SMSTSSS disahkan demam biasa


KERATAN Kosmo! 30 April.


BUTTERWORTH - Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengesahkan kes 100 pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) jatuh sakit minggu lalu hanyalah demam biasa.

Pengarahnya, Dr. Teh Lei Choo berkata, tiga pelajar yang dimasukkan ke wad Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas pemeriksaan kesihatan Selasa lalu telah dibenarkan pulang dua hari kemudian kerana beransur pulih.

Katanya, keadaan di sekolah itu kini kembali seperti biasa manakala 94 pelajar yang dikuarantin di asrama sekolah kerana menghidap sindrom yang sama telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hujung minggu lalu setelah pulih.

Justeru, beliau meminta ibu bapa agar tidak terlalu bimbang mengenai perkara itu kerana ia disahkan tidak berbahaya.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya masih menunggu laporan ujian darah yang dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, Selangor untuk mengetahui punca demam tersebut.

Makan 2 kali seminggu - FOMCA mahu pengguna tunjuk kuasa kawal harga ayam

KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan orang ramai berpakat mengawal turun-naik harga ayam dengan mengurangkan pengambilan makanan itu kepada hanya dua kali seminggu.

Menurut Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah, sekarang adalah masa terbaik untuk pengguna menggunakan kuasa beli mereka bagi mengawal harga pasaran.

"Tindakan pihak berkuasa menetapkan harga siling ataupun harga maksimum tidak semestinya menjamin pematuhan di seluruh negara.

"Pengguna membeli daripada peruncit tetapi pihak sebenar yang ada kuasa menentukan harga selama ini ialah pemborong," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas polemik di antara kerajaan dan persatuan penternak ayam dalam menentukan harga ternakan itu yang ketika ini dinaikkan tanpa sebarang sebab munasabah.

Jelas Muhammad Shaani, kenaikan harga ayam berpunca daripada sistem pengedaran yang dimonopoli pihak tertentu yang turut bertanggungjawab menentukan harga ternakan tersebut.

"Banyak saranan dan cadangan untuk membanteras kesan manipulasi pasaran tidak berjaya dilaksanakan kerana harga naik yang bermusim dan ketiadaan satu agensi yang dapat menembusi rangkaian pasaran dan pengedaran hasil ternakan ini," ujarnya.

Tambah beliau, pengeluaran ayam negara kini 1.3 juta ekor sehari dan 110,000 ekor pula dieksport.

"Anggaran kos purata ayam adalah sekitar RM3.70 sekilogram dan harga ladang pula RM4 sekilogram.

"Daripada keseluruhan hasil daging ayam, sebanyak 70 peratus dijual melalui pasar-pasar basah," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Membesar tanpa ibu bapa

Ramai ibu bapa di China berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, namun mereka terpaksa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan saudara-mara.


PROGRAM yang diperkenalkan oleh pakar sains sosial di China memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak di wilayah Anhui, China.


SEPERTI berjuta-juta kanak-kanak Cina lain, Song Yuedong, 16, hanya berpeluang menemui ibu bapanya sekali dalam setahun. Kehidupannya sama seperti seorang tentera China yang bekerja keras demi berbakti kepada bangsa dan negara. Kanak-kanak seperti Song hidup secara relatif, dia hanya menghubungi ahli keluarganya menerusi panggilan telefon.

Bersikap pemalu, Song yang mengenakan baju-T bercorak bola keranjang Amerika dan berkumis itu kelihatan seperti kebanyakan remaja lain di dunia ini.

Dia tinggal bersama datuk dan neneknya di ladang sayur di Mingchuan, wilayah Anhui, China, sebuah perkampungan termiskin sejak tahun 1970-an. Kini, ia merupakan kawasan utama pengeluaran buruh yang berjaya meningkatkan pertumbuhan negara.

Lebih 130 juta rakyat seperti keluarga Song meninggalkan ladang tersebut semata-mata untuk berhijrah dan mencari pekerjaan di bandar.

Mereka hanya kembali semula ke kediaman masing-masing sekali dalam setahun untuk menyambut Tahun Baru Cina, perayaan tradisi bagi menemukan semula ahli keluarga.

"Apabila mereka pulang, saya berasa begitu gembira kerana akhirnya saya berpeluang berjumpa mereka setelah sekian lama terpisah," ujar Song.

Datuknya, Yequan, 69, seorang yang begitu optimistik dan peramah memberitahu, keempat-empat anaknya telah meninggalkan ladang itu semata-mata ingin mencari nafkah untuk memastikan anak-anaknya hidup dengan baik.

"Dua cucu saya pergi ke sekolah, mereka membesar dengan saya. Selama ini saya yang menjaga dan membeli pakaian mereka," jelasnya. "Keluarga mereka membiayai kesemua tanggungan." Yequan mendidik cucu lelakinya itu ketika ketiadaan ibu bapanya di sisi.

Tetapi bukan semua orang bernasib baik kerana ramai yang menghadapi masalah psikologi berpunca daripada perpisahan dengan ibu bapa mereka.

Pakar sains sosial menggunakan modul bagi mencipta satu terma khas untuk kanak-kanak seumpama itu pada tahun lepas, iaitu liushou ertong atau kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa.

"Masalah psikologi atau emosi adalah perkara biasa kerana ia di bawah syarat-syarat normal, kanak-kanak memerlukan ibu bapanya untuk berkomunikasi bersama mereka," ujar Dain Chengrong, seorang pakar di People Universiti di Beijing.

"Mereka berpisah dan gagal untuk berkomunikasi. Sesetengah daripada kanak-kanak ini tidak pernah berjumpa ahli keluarga selama lima tahun dan kadang-kadang sepuluh tahun.

"Ini masalah yang serius dalam pembentukan tumbesaran kanak-kanak," jelas Dain bahawa jumlah kanak-kanak yang bermasalah yang dirujuk ialah sebanyak 58 juta pada tahun 2005, berbanding 23 juta pada tahun 2000. Setengah daripada mereka hilang keluarga.


RAMAI ibu bapa di China terpaksa berhijrah ke bandar semata-mata untuk menyara keluarga di kampung.


Di Anhui, pihak berkuasa telah membawa langkah-langkah itu kepada pakar menerusi pengenalan program liushou ertong.

Pada tahun 2004, sekolah Song mempunyai 14 peratus daripada 400 kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa. Ini adalah program pengenalan pertama yang dijalankan terhadap mereka.

Para pelajar menerima faedah daripada program penjagaan khusus dan pemerhatian daripada ketua-ketua keluarga sementara. Datuk atau nenek mereka juga telah menerima tawaran latihan, sekali gus dapat membantu kanak-kanak membuat kerja sekolah, dan kanak-kanak itu juga boleh menghubungi ahli keluarga sekiranya mereka inginkan.

"Sebelum ini kami menerima banyak masalah daripada para pelajar," kata Pengetua sekolah Song, Xie Xinzheng.

"Tetapi, sejak kami memperkenalkan program ini, kami melihat banyak perubahan yang berlaku dalam menyelesaikan permasalahan kanak-kanak ini." - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...