Wednesday, May 20, 2009

Bekas krew program TV dihantar ke Tg. Rambutan


AZWANIZAM terlepas hukuman gantung atas tuduhan bunuh isteri.


KUALA LUMPUR - Seorang bekas krew syarikat produksi televisyen terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mengesahkan tertuduh tidak waras ketika membunuh isterinya tiga tahun lalu.

Mohd. Azwanizam Mat Desa, 30, yang sentiasa tersenyum sepanjang prosiding kemudian diarahkan ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta bagi menjalani rawatan setelah mendakwa sebelum dan selepas kejadian dia kerap mendengar suara ghaib mengatakan isterinya curang.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah ketika membacakan penghakiman bertulisnya berkata, mahkamah berpuas hati dengan keterangan 19 saksi pendakwaan yang membuktikan tertuduh menyebabkan kematian Azmah Mohamad, 27.

Sehubungan itu, tertuduh disabitkan bersalah pada akhir kes pendakwaan dan dipanggil membela diri bagi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Namun, jelas beliau, keterangan bersumpah tertuduh menunjukkan sebelum dan ketika kejadian berlaku, dia kerap menghadapi ilusi dan mendengar suara-suara yang membisikkan perkara-perkara jahat ke dalam telinganya.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemerhatian selama dua bulan di bawah jagaan Dr. Rabiah Mohd. Salleh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Gas bocor: Guru, murid sesak nafas


Anggota bomba melakukan pembersihan dan membaiki sistem saluran paip gas yang bocor di Bukit Kemuning, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seramai 20 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Ladang Emrald, Bukit Kemuning di sini pengsan akibat sesak nafas ekoran Stesen Pengagihan Gas yang terletak kira-kira 500 meter dari sekolah itu bocor semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi, murid yang pengsan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Poliklinik Komuniti Shah Alam.

Selain murid yang pengsan, 50 lagi murid sekolah itu bersama tiga guru turut dihantar mendapat rawatan di hospital selepas mereka mengadu sesak nafas teruk, pening, muntah dan sakit tekak.

Bagaimanapun, kesemua murid dan guru itu telah dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.

Guru Besar sekolah tersebut, K. Chethraselvan berkata, semasa kejadian beliau tidak ada di sekolah kerana berkursus di Shah Alam.

"Saya yang pergi ke HTAR dan Poliklinik Komuniti terkejut melihat ramai murid sedang dirawat," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Menurut beliau, kejadian tersebut merupakan kes pertama berlaku sejak sekolah itu dibuka dua tahun lalu.

Tambahnya, sekolah tersebut dibuka seperti biasa hari ini.

Sementara itu, seorang murid tahun dua, T. Hemalatha berkata, dia tiba-tiba rasa pening, sakit tekak dan muntah sebelum pengsan di dalam kelas setelah terhidu bau gas yang terlalu busuk.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Pelesit rempit boleh dibuang


KERATAN muka depan Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran memberi lampu hijau kepada mana-mana sekolah untuk membuang pelajar mereka yang didapati terbabit dalam masalah disiplin seperti gejala pelesit rempit.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, tindakan itu boleh dilaksanakan sekiranya Jawatankuasa Tertib Disiplin sekolah bermesyuarat dan sebulat suara bersetuju dengan hukuman itu.

Ekoran itu, beliau menggesa semua Pengarah Pelajaran negeri supaya memberi perhatian serius terhadap usaha membendung gejala sosial yang kian membimbangkan itu.

"Kita pandang serius hal ini dan untuk mengatasinya, kita ada lima peraturan khusus dalam menghukum pelajar-pelajar yang bermasalah.

"Yang pertama kita bagi amaran lisan kemudian amaran bertulis. Ini disusuli dengan hukuman rotan, gantung sekolah dan jika terlalu kronik, sekolah boleh jalani hukuman buang sekolah setelah mengadakan beberapa rundingan," katanya.

Alimuddin mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam berhubung perlakuan kira-kira 30 pelajar lelaki yang ponteng sekolah dan berkeliaran dengan menunggang motosikal ala pelesit rempit di kawasan perumahan Permatang Badak dan Bukit Rangin di Kuantan.

Sambil menganggap para pelajar yang terlibat dalam gejala tidak sihat itu sebagai musuh negara kerana turut mengancam keselamatan awam, beliau berkata, hukuman rotan juga boleh dilaksanakan terhadap pelajar berkenaan jika perlu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Ikan keli kena sijil halal


KERATAN Kosmo! 18 Mei 2009.



KERATAN Kosmo! semalam.


PETALING JAYA - Pengusaha ternakan ikan keli di negara ini perlu mempunyai sijil halal yang sah kerana mereka juga bertindak sebagai pembekal yang memasarkan produk itu kepada pihak lain seperti peruncit.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin berkata, walaupun permohonan sijil halal di kalangan penternak ikan tidak diwajibkan namun sebagai pembekal, mereka seharusnya bertanggungjawab mendapatkan sijil berkenaan.

"Sebagai pembekal, mereka mesti ingat kalau mereka tak ada sijil halal, tidak boleh bekalkan sesuatu barang itu kepada para peruncit yang menyediakan bahan-bahan halal," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai 10 kolam ternakan ikan keli di Ipoh yang didakwa penduduk dicemari dengan air sisa kumbahan dari ladang ternakan babi berhampiran.

Jamil bagaimanapun memberitahu, pihaknya bersedia untuk melakukan siasatan di tapak 10 kolam ternakan ikan keli tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

41 pelatih Akademi JPJ keluar hospital


PELATIH Akademi JPJ (dari kiri) Zulkefli, Mohamad Farid dan Mohamad Harris gembira ketika diiringi petugas kesihatan keluar dari Hospital Besar Melaka semalam.


MELAKA - Negeri ini diisytihar bebas daripada jangkitan bakteria meningitis setelah kesemua 41 pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini yang dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Melaka (HM) baru-baru ini dibenarkan keluar semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol berkata, tiga pelatih itu ialah Mohamad Farid Khamis, 22, Mohamad Harris Abu Jazid, 27, dan Zulkefli Din, 22, menjadi kumpulan terakhir yang dibenarkan keluar semalam.

"Tiada lagi pelatih yang dirawat akibat jangkitan bakteria meningitis sejak 4 Mei lalu dan Melaka isytihar bebas daripada jangkitan ini," katanya pada sidang akhbar di Hospital Melaka semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman.

Jangkitan bakteria itu mula dikesan melanda negeri ini pada 4 Mei lalu selepas kematian seorang pelatih akademi berkenaan, Mohd. Hafiz Zainuddin, 24, yang berasal dari Kelantan manakala tiga pelatih dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HM.

Sebanyak 85 orang daripada kira-kira 300 pelatih akademi berkenaan juga terpaksa dikuarantin dan dipantau oleh pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan.

Serentak dengan itu, Norpipah berkata, pihak pengurusan Akademi JPJ telah menarik balik tempoh kuarantin ke atas kesemua 85 pelatih terbabit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...