Wednesday, May 26, 2010

Kishu Dan Keluarga Diberi Masa 48 Jam Untuk Bayar Denda RM200,000

Selasa Mei 25, 2010

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memberi tempoh sehingga Khamis ini untuk bekas pemilik gedung membeli-belah, Globe Silk Store, Tan Sri Kishu Tirathrai dan keluarganya membayar denda RM200,000 kerana menghina mahkamah atau berdepan dengan hukuman penjara tiga bulan.

Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, yang mengetuai panel tiga hakim, membenarkan rayuan keluarga itu untuk mengenepikan hukuman penjara tiga bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menggantikan dengan denda RM50,000 setiap orang atau hukuman penjara tiga bulan.

Kishu, 69, isterinya Puan Sri Mona Kishu, 67 dan dua anak lelaki mereka - Vinod, 40, dan Bushan, 37, dikenakan hukuman penjara tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai, 2007, kerana campur tangan dan menghalang perintah penjualan bangunan membeli-belah itu.

Abu Samah dan Hakim Datuk Ramly Ali dan Datuk Mohamed Apandi Ali, bagaimanapun, membenarkan permohonan untuk menangguhkan perintah itu sehingga pukul 3 petang pada Khamis ini.

Peguam keluarga Kishu, T. Gunaseelan, memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan perintah itu untuk seminggu bagi membolehkan mereka mendapatkan jumlah wang itu.

Katanya Kishu dan isteri diisytiharkan muflis manakala kedua-dua anak lelaki mereka turut mengalami nasib yang sama tetapi mendapat perintah mahkamah untuk menangguhkan perintah muflis tersebut.

Peguam Bank HSBC, Benjamin Dawson, berkata pihaknya tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan keluarga itu untuk menangguhkan perintah itu.

Terdahulu itu, Gunaseelan memberitahu mahkamah anak guamnya memohon maaf dan tidak mahu meneruskan rayuan terhadap sabitan tetapi sebaliknya hanya mahu memohon kepada mahkamah untuk mengenepikan hukuman penjara.

Dawson berkata pihak bank tidak akan mendesak untuk hukuman penjara terhadap empat ahli keluarga itu jika mereka insaf, bertaubat dan memohon maaf serta tidak meneruskan dengan rayuan tersebut.

Keempat-empat mereka kini bebas dengan jaminan RM10,000 setiap orang dengan seorang penjamin sementara menunggu penyelesaian kes rayuan itu.

Globe Silk Store, yang diasaskan pada 1930, telah mendirikan bangunan 12 tingkat di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, pada 1977.

Bank HSBC telah memulakan prosiding menghina mahkamah pada 2004 terhadap syarikat keluarga itu, Tiratharai Sdn Bhd dan empat pengarahnya apabila mereka ingkar perintah mahkamah dengan meletakkan empat kaveat, satu cubaan injunksi dan dua perintah injunksi 'ex-parte' ke atas bangunan Globe Silk Store.

Kaveat dan perintah menghalang itu semuanya berkuatkuasa dalam masa beberapa hari selepas cadangan lelong oleh bank berkenaan, menyebabkan proses lelong ditangguhkan sebanyak empat kali. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/5/25/mstar_mahkamah/20100525184611&sec=mstar_mahkamah

Isteri lari termakan hasutan

2010/05/26

KUALA TERENGGANU: Termakan hasutan jiran tetangga, seorang suri rumah warga Indonesia yang baru lepas berpantang nekad melarikan diri bersama anak sulungnya berusia dua bulan dalam kejadian disedari suaminya pagi Sabtu lalu.

Suaminya, Awang Embong, 54, berasal dari Kampung Tetambah, Manir, dekat sini berkata, sebaik pulang ke rumahnya di Kampung Mak Cili, Kemaman, kira-kira jam 8 pagi Sabtu lalu, dia mendapati isterinya Mariani, 32, tiada di rumah bersama anaknya, Nurshafikah.


Menurutnya, sebaik memeriksa keseluruhan ruang rumah, dia mendapati beg serta pakaian isterinya juga lesap bersama dokumen peribadi dan barulah dia sedar isterinya sudah melarikan diri bersama anak perempuan hasil perkahwinan dengan isteri keduanya itu.


Katanya, isteri mudanya berasal dari Belawan, Sumatera, Indonesia, dipercayai melarikan diri ke ibu negara dan kali terakhir dihubungi isterinya kira-kira jam 9 pagi Ahad lalu memberitahu sudah menaiki feri untuk pulang ke kampung asalnya.


Awang berkata, selepas menyedari isterinya melarikan diri, dia bersama saudara terdekat dan kenalan rapat terus mencari isterinya itu sehingga ke Pahang, bagaimanapun menemui jalan buntu kerana tidak dapat menjejakinya.


“Saya kurang pasti sebab sebenar dia (isteri) melarikan diri kerana antara kami tidak pernah berlaku pertengkaran sehingga menyakitkan hatinya.


“Namun, daripada pengamatan, saya merasakan dia termakan hasutan seseorang sehingga mengambil jalan pintas melarikan diri meninggalkan saya,”
katanya kepada Harian Metro semalam.


Menurutnya, setiap kali teringatkan anak kecilnya, dia akan menangis kerana bimbangkan keselamatannya dan berikutan kehilangan isteri bersama anak perempuannya, dia membuat laporan polis kira-kira jam 10.15 pagi kelmarin di Balai Polis Kuala Terengganu.


Awang berkata, dia kini buntu memikirkan nasib anaknya kerana isterinya turut membawa anak mereka untuk pulang ke Indonesia menerusi perbualan telefon terakhir dua hari lalu.

Awang berkata, dia berharap orang ramai yang melihat dan mengetahui lokasi isterinya kini berada boleh menghubunginya di talian 010-9116927. Katanya, dia sudah memaklumkan kepada Jabatan Imigresen mengenai kehilangan isterinya itu untuk tindakan lanjut.


sekiranya terserempak dengan mereka di pintu sempadan negara sekiranya isterinya betul-betul melarikan diri ke negara asalnya.


Menurutnya, isterinya itu baru selesai pantang dua bulan lalu selepas melahirkan anak sulung mereka dan membuatkan dirinya semakin gelisah kerana keadaan anaknya yang masih kecil dan tidak sepatutnya dibawa lari serta bersembunyi dalam keadaan tidak selesa.


“Sekiranya benar dia berada di Indonesia, saya berharap mendapat bantuan pihak kedutaan bagi membawanya pulang dan juga memohon bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membantu membawa anak saya pulang semula ke tanah air,” katanya.

Awang berkata, dia berharap orang ramai yang melihat dan mengetahui lokasi isterinya kini berada boleh menghubunginya di talian 010-9116927.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterilaritermakanhasutan/Article

Wang Tabung Haji RM10,000 lesap

2010/05/26

KUALA LUMPUR: Modus operandi sindiket ‘gores dan menang’ amat mudah, tetapi licik. Pekerja mereka pula kebanyakannya berusia 18 hingga 24 tahun dan kerap diletakkan di lokasi strategik terutama di depan institusi kewangan serta kawasan meletak kenderaan ternama di pusat membeli-belah di ibu negara.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rashidah, 48, dari Rawang berkata, dalam kejadian 18 Mei lalu kira-kira jam 9.30 pagi, dia didekati dua remaja yang menawarkan peraduan gores dan menang.

Dia mulanya enggan melayani mereka, tetapi tiba-tiba tertarik dengan tawaran itu apabila menjanjikan kereta berjenama terkenal. “Saya yang ketika itu sedang mengeluarkan wang sebanyak RM7,000 untuk menebus barang di kedai pajak gadai terkejut apabila disapa dua remaja terbabit. Saya disuruh untuk menggores kupon yang diberikan, dan diberitahu memenangi wang sebanyak RM300 selain empat tilam berharga RM72,000,” katanya.

Rashidah berkata, dia dimaklumkan remaja berkenaan sekiranya mahu wang dan hadiah berkenaan, dia dikehendaki mengikut mereka ke pejabat syarikatnya di Jinjang, Kepong. “Mereka menaiki kereta saya dan menunjuk arah jalan. Setiba di pejabat mereka, saya disuruh memberikan RM7,000 untuk dicatatkan nombor siri.


“Yang hairannya, saya seperti dipukau, terus saya berikan kepada mereka. Remaja itu kemudian meminta lagi RM10,000 kononnya untuk dicatat nombor siri,” katanya. Kerana percaya dengan remaja itu, dia dan ibunya ke pejabat Tabung Haji dan mengeluarkan RM10,000 sebelum menyerahkan kepada remaja berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WangTabungHajiRM10_000lesap/Article

Isteri, kekasih sama-sama hamil

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/26

PUTRAJAYA: Seorang lelaki ‘mata keranjang’ yang isterinya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hamil di Precint 9, di sini, kelmarin.

Teman wanita terbabit baru menamatkan pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat ini. Tembelang kakitangan awam lingkungan 30-an terbabit dipercayai bersekedudukan dengan ‘isteri luar nikah’ berusia awal 20-an itu terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jawi, menyerbu kediaman lelaki terbabit, selepas menerima aduan daripada penduduk yang curiga dengan kehadiran wanita mengandung di rumah terbabit.


Siasatan mendapati, lelaki sudah berumah tangga itu menghantar isterinya yang juga kakitangan kerajaan ke kampung kerana wanita berkenaan akan melahirkan anak pada bila-bila masa.


Kesempatan itu digunakan lelaki terbabit membawa kekasih gelap ke rumah dan menjalani kehidupan seperti suami isteri yang sah.


Sumber berkata, maklumat diperoleh mendapati lelaki terbabit sudah berumahtangga dan mempunyai seorang isteri dan anak. “Bagaimanapun, isteri lelaki itu yang sarat mengandung dan dihantar suaminya pulang ke kampung untuk bersalin di sana.


“Kami percaya kesempatan itu membuka ruang lelaki terbabit membawa kekasih gelap yang juga sedang mengandung hasil persetubuhan haram mereka untuk tinggal di rumah berkenaan,”
katanya, semalam.


Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, penguat kuasa Jawi menyerbu rumah itu dan menahan pasangan terbabit yang mengaku bukan suami isteri.


Menurutnya, lelaki terbabit mengaku pasangannya sudah mengandung tujuh bulan, begitu juga isterinya yang bakal melahirkan anak bila-bila masa di kampung.


“Memang tidak ada individu lain di rumah itu dan pasangan terbabit seolah-olah hidup macam pasangan suami isteri.

“Lelaki terbabit memberi alasan dia kini dalam proses penceraian dengan isterinya walaupun pada waktu sama memiliki kekasih yang sudah mengandung.


“Malah, lelaki terbabit mendakwa hubungan dengan kekasihnya itu mendapat tentangan keluarga wanita berkenaan,”
katanya.


Sumber itu berkata, siasatan juga mendapati, gadis terbabit turut bertugas di sebuah jabatan kerajaan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat.


Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit bersekedudukan untuk tempoh agak lama sehingga menyebabkan kekasihnya mengandung.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isteri_kekasihsama-samahamil/Article

Ibu rayu pulih anak

2010/05/26

KUALA LUMPUR “Saya mohon mahkamah hantar anak saya ke Sekolah Henry Gurney untuk pemulihan, saya dah tak boleh kawal dia,” kata seorang ibu pesalah juvana di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Rayuan itu dibuat di hadapan Majestrit Juvana Suhaily Samsudin selepas pesalah juvana itu mengaku bersalah atas tuduhan meragut dilakukan bulan lalu.


Mahkamah dalam keputusannya memerintahkan penganggur berusia 17 tahun itu menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun dari tarikh jatuh hukum.


Suhaily turut mengenakan bon jaminan tanpa cagaran RM1,000 selama tiga tahun beserta syarat lawatan sebulan sekali kepada ibu pesalah juvana.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Iburayupulihanak/Article

Lelaki Malaysia mudah dipikat

2010/05/26

KUALA LUMPUR: Gelagat lelaki Malaysia yang gemar mencari gadis dari seberang, ditambah ciri ‘istimewa’ pada mereka membuatkan sesiapa saja mudah cair dan terpikat, sekali gus tidak berfikir panjang untuk berkahwin.

Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia, Khairuddin Harahap, berkata, sepanjang kajian pihaknya mendapati lelaki dari negara ini selalu bercuti ke pelbagai destinasi di Indonesia.


“Orang Malaysia selalu ke Indonesia, biasanya ke Medan dan Padang. Petang Jumaat mereka berlepas dan petang Ahad kembali semula ke negara ini.


“Jadi, dalam kunjungan beberapa hari itu, ramai di kalangan mereka terpikat dengan gadis Indonesia, mengambil keputusan berkahwin,”
katanya, diminta mengulas dakwaan mengenai segelintir wanita Indonesia ‘mencuri’ suami dari negara ini.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan, kemunculan kumpulan gadis ‘parasit’ dari tanah seberang yang kepingin bersuamikan lelaki dari negara ini sebagai jaminan untuk menikmati hidup mewah sehingga sanggup menggunakan sindiket nikah haram mengikat lelaki tempatan.


Kebanyakan gadis gedik itu menggelarkan kegiatan mereka sebagai ‘kerja lerong’ dengan mereka menyasarkan lelaki tempatan yang agak berusia dan berpendapatan lumayan untuk digoda sebelum diajak berkahwin menggunakan khidmat sindiket yang dianggotai kalangan warga asing.


Lebih menggemparkan ada mendakwa gadis terbabit dinikahkan satu sindiket diupah konco lerong itu bagi memudahkan mereka mengikis harta dan bermewah di negara ini.


Kegiatan tidak bermaruah itu menyebabkan ramai lelaki tempatan yang berumah tangga menjadi gila bayang sehingga sanggup mengabaikan isteri dan anak gara-gara penangan cinta ‘cewek’ seberang.


Perkara itu didedahkan seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Salma, 40, menderita selepas suami dikahwini sejak 24 tahun lalu tiba-tiba kemaruk berkahwin dengan gadis seberang hanya selepas perkenalan singkat.

Khairuddin berkata, gadis Indonesia memiliki ciri ‘istimewa’ tersendiri, yang sukar dicari pada perempuan lain, namun tidak sekali-kali menggunakan sebarang jampi bagi mengikat mana-mana lelaki.


“Gadis Indonesia seperti berketurunan Jawa dan Minang mempunyai tarikan tersendiri, namun tiada jampi digunakan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LelakiMalaysiamudahdipikat/Article

Suami terbuang

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my
2010/05/26

KUALA TERENGGANU: Akibat kemaruk cinta warga asing, seorang isteri bukan saja sanggup menduakan suaminya, malah turut merampas perniagaan yang dibina bersama selama 11 tahun selepas kemungkarannya terbongkar.

Lebih memilukan, si suami yang setia kini bukan saja hidup merempat kerana dibuang isteri, malah terpaksa berkongsi kesedihan itu bersama enam anaknya.


Suami itu yang hanya mahu dikenali sebagai Che Wan, 45, dari Kampung Ladang di sini, mendedahkan kisahnya selepas tidak tahan dengan penderitaan dilaluinya. Katanya, kerana terlalu sayangkan isteri yang dikahwini sejak 27 tahun lalu, dia menuruti semua permintaan, termasuk menamakannya sebagai pemilik harta merangkumi semua aset perniagaan bernilai lebih RM250,000.


Namun, selepas kecurangan itu terbongkar, isterinya bukan saja biadab memaki-hamunnya, malah memperkecilkan kehebatannya di ranjang dan membandingkannya dengan warga asing yang menjadi buah hatinya.


Katanya, dia terkilan warga asing itu yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikatnya mengkhianati kepercayaannya.


“Kepercayaan terhadap isteri yang sebelum ini berjanji sehidup semati, diragut selepas dia yang kini berusia 40 tahun bermain kayu tiga.


“Hati mana tidak remuk melihat isteri bermesra dengan lelaki lain, tambahan pula warga asing. Patutlah setiap kali saya keluar daerah menguruskan perniagaan, rakan mengadu isteri sering bermesra dengan lelaki itu.


“Pada mulanya saya tak percaya dan memarahi mereka kerana memfitnah isteri, tapi alangkah terkejut apabila saya sendiri terserempak mereka bermesra,” katanya.


Katanya, sebelum kecurangan itu disaksikan sendiri, isterinya sering menolak permintaannya untuk mengadakan hubungan kelamin. “Setiap kali saya meminta, dia mengelak. Malah, isteri mula berdandan dan mencantikkan diri dengan berkunjung ke pusat kecantikan.

“Sebagai ayah kepada enam anak berusia antara 12 hingga 27 tahun, saya bersabar tetapi selepas melihat banyak perubahan, saya mengesyaki sesuatu,” katanya.


Selepas mengintip, dia mendapati isterinya menyewa rumah bersama lelaki itu. Bagaimanapun ketika dia dan rakan memasang perangkap, pasangan itu berjaya lari melalui pintu belakang.


“Selepas kecurangannya terbongkar, isteri keluar dan tidak pulang. Malah, dia menurut semua kehendak teman lelakinya termasuk bercuti ke luar negara seperti suami isteri sah,” katanya sedih.


Berikutan semua hartanya atas nama isteri, Che Wan kini bukan saja dipecat daripada semua jawatan dalam perniagaannya, malah isterinya bercadang menjual rumah didiami tanpa mempedulikan nasib anak mereka.

“Kini saya tinggal sehelai sepinggang, mahu atau tidak terpaksa mengadu nasib kepada saudara dan sahabat untuk membantu menyediakan keperluan persekolahan anak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamiterbuang/Article

Ratah tubuh anak lumpuh

Oleh Zaid Salim dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
2010/05/26

KUALA TERENGGANU: Dia dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang warak apabila menjadikan masjid dan surau sebagai rumah kedua kerana kerap mengunjungi rumah Allah itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Namun, segala perilaku itu hanya topeng semata-mata apabila lelaki terbabit berkelakuan tidak ubah seperti binatang selepas menjadikan anak gadisnya berusia 15 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu gilanya.


Perbuatannya terbongkar, menyebabkan bapa berusia lingkungan 50-an itu hidup sebagai pelarian sejak diburu polis, selain anaknya sendiri kerana tidak menyangka perbuatan biadab lelaki berkenaan yang selama ini dianggap benteng keluarga.


Difahamkan, perbuatan haruan makan anak lelaki terbabit dipercayai dilakukannya sejak beberapa tahun lalu memeranjatkan penduduk kampung apabila gadis yang lumpuh dan bisu sejak lahir itu didakwa mengandung.


Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali sebelum memandikan mangsa di bilik air rumahnya.


Bagaimanapun, penderitaan gadis malang sepanjang menjadi ‘hidangan’ bapa sendiri terbongkar selepas doktor mengesahkan dia mengandung ketika mendapatkan rawatan kerana demam panas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal bulan ini.


Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki itu yang bekerja sebagai buruh binaan menimbulkan kemarahan anak lelakinya kerana tidak menyangka bapa diharapkan menjaga keselamatan bertindak sebagai gunting dalam lipatan apabila tergamak ‘meratah’ daging anak sendiri.


Sumber berkata, kerana terlalu marah dengan perbuatan bapa terbabit, anak lelakinya yang juga bekas anggota tentera membaling pasu bunga ke arah bapa berkenaan ketika pasangan anak-beranak itu bergaduh dalam rumah.


Katanya, balingan pasu bunga itu mengenai bahagian belakang bapa terbabit menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang dengan amukan anak lelakinya melarikan diri sebelum dia dipercayai bersembunyi di kampung berhampiran.

Sumber berkenaan berkata, ibu mangsa berusia lingkungan 40-an yang dimaklumkan mengenai keadaan anaknya enggan membuat laporan polis dengan alasan mahu menjaga nama baik suami dan ahli keluarganya, namun atas desakan anak lelakinya, dia nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.


Difahamkan, doktor yang membuat pemeriksaan lanjut mengesyaki remaja terbabit mengandung di luar rahim dan bercadang melakukan pembedahan. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhaimi Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa tidak mengandung.


“Mangsa menerima bantuan bulanan kategori orang kurang upaya (OKU) dirawat di HSNZ dan kami cuba mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan mangsa diletakkan di bawah penjagaan JKM di Pusat Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Katanya, polis memburu bapa mangsa yang menghilangkan diri selepas berlaku pergaduhan antara dia dan ahli keluarganya di kediamannya, kelmarin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ratahtubuhanaklumpuh/Article

Tamparan ‘maut’ guru

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
2010/05/26

KODIANG: Seorang murid tahun lima sebuah sekolah rendah di sini, berdepan risiko menjadi pekak selepas gegendang telinga kirinya pecah dipercayai akibat ditampar seorang gurunya, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, Mohd Khairul Azri Zulkifli, 11, murid Sekolah Kebangsaan Siputeh, Padang Sera, dekat sini, turut bengkak di dahi apabila kepalanya terhentak ke dinding selepas ditampar guru lelaki berusia 40-an itu.


Bapanya, Zulkifli Romli, 45, ketika ditemui berkata, pada hari kejadian anak bongsunya itu pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dan terus tidur.


Dia berkata, tidak lama kemudian, anaknya mengadu kepada ibunya, Che Waqi Baharom, 45, telinga kirinya sakit dan selepas diperiksa didapati ada kesan darah.


“Apabila ditanya, barulah dia mengaku ditampar guru di sekolah. Saya membawanya ke klinik di Arau, Perlis, sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar, kira-kira jam 9 malam.


“Namun, pihak hospital kemudian merujuk anak saya kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) keesokannya dan mereka mengesahkan gegendang telinga kiri Mohd Khairul Azri pecah. Pemeriksaan juga menunjukkan anak saya mengalami masalah dengan pendengarannya,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Menerung di sini, semalam.


Katanya, anaknya perlu menjalani rawatan susulan bulan depan dan sekiranya gegendang telinganya masih rosak, dia perlu menjalani pembedahan.


Mohd Khairul Azri ketika ditemui mengakui telinganya sakit selain masih mengalami masalah pendengaran.


Difahamkan, kejadian itu bermula apabila seorang guru wanita mengarahkan murid dalam kelas Mohd Khairul Azri berpindah dari tingkat dua ke tingkat bawah blok bangunan sekolah itu.

Kebetulan, kelas di tingkat bawah itu masih digunakan murid tahun tiga bersama guru lelaki terbabit. Difahamkan, tindakan Mohd Khairul Azri memasuki kelas bersama tiga rakannya ketika guru lelaki itu masih di dalam kelas berkenaan mengundang kemarahannya.


Zulkifli berkata, guru terbabit memarahi anaknya dan tiga murid terbabit sebelum menampar keempat-empat mereka. Difahamkan, seorang daripada rakan Mohd Khairul Azri turut cedera di mulut apabila terjatuh ke lantai selepas ditampar.


“Saya kecewa dengan tindakan kasar guru itu. Dia sepatutnya tidak berbuat demikian terutama di depan lebih 30 murid lain. Malah, kejadian itu juga berlaku di depan guru wanita itu yang sepatutnya melaporkan kejadian itu kepada guru besar,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kodiang, Ahad lalu.


Katanya, dia juga kecewa dengan pihak sekolah yang tidak memaklumkan kepadanya keputusan mesyuarat pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai kejadian itu, Ahad lalu.

Zulkifli berkata, walaupun masih sakit, anaknya tetap ke sekolah semalam dan kelmarin kerana perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun.


Sementara itu, guru besar sekolah itu ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat kanak-kanak itu di rumahnya, Sabtu lalu dan sudah pun meminta maaf.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tamparan__8216_maut__8217_guru/Article

Tiga polis peras ugut RM10,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/26

GOMBAK: Undang-undang tidak mengenal sesiapa apabila tiga anggota polis dicekup selepas dikesan cuba memeras ugut seorang pemilik rumah urut dengan meminta bayaran RM10,000.

Dalam kejadian terbaru itu, ketiga-tiga anggota polis terbabit dikesan menyamar pegawai polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman untuk meminta mangsa membayar wang suapan sekiranya tidak mahu diambil tindakan.


Sumber polis berkata, suspek pergi ke sebuah premis menawarkan urutan tradisional di Batu Caves, Selayang di sini.


Menurutnya, suspek yang memperkenalkan diri anggota polis dari D7 Bukit Aman berpura-pura melakukan pemeriksaan lesen terhadap pekerja di pusat urutan terbabit.


“Difahamkan, suspek mendakwa pekerja rumah urut terbabit melakukan pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat permit bekerja di negara ini. Difahamkan, anggota polis terbabit mendakwa gadis warga asing yang bekerja di premis terbabit melakukan kesalahan serius dan boleh ditahan.


“Suspek meminta penyelia rumah urut terbabit yang berusia 39 tahun menghubungi majikannya bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Difahamkan anggota polis terbabit menawarkan pelepasan sekiranya pemilik rumah urut terbabit sanggup membayar RM10,000 kepada mereka,”
katanya.


Menurutnya, pemilik rumah urut terbabit bagaimanapun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terhadap tindakan tiga suspek terbabit yang meminta wang suapan.


“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari IPD Gombak pergi ke rumah urut terbabit tidak lama kemudian sebelum memberkas semua suspek kira-kira jam 5.30 petang hari sama.


“Difahamkan ketiga-tiga mereka ditahan ketika menunggu majikan rumah urut terbabit datang membawa wang berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek diberkas sebelum dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut. Suspek kini direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dilakukan.


“Polis kini menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas jenayah pemerasan. Siasatan awal mendapati suspek anggota polis dari IPD Cheras selain anggota polis sukarelawan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TigapolisperasugutRM10_000/Article

Polis agama diberi 20,000 skirt

Polis agama diberi 20,000 skirt


FATIMA berbalah dengan seorang anggota polis agama selepas dia diminta menukar seluar jean yang dipakainya dengan skirt panjang di Kampung Lambalek, Aceh Barat semalam.


MEULABOH, Indonesia - Polis Islam di Aceh akan menerima 20,000 skirt panjang untuk diberikan kepada wanita yang melanggar etika pakaian Muslim, kata seorang pegawai, Ramli Mansur semalam.

"Mulai hari ini, saya akan menyerahkan kira-kira 20,000 skirt kepada polis syariah di Aceh Barat," katanya yang merupakan Ketua Daerah Aceh Barat.

Menurutnya, pesalah-pesalah wanita akan menukar seluar panjang dengan skirt panjang dan longgar jika polis syariah menangkap mereka.

Mansur berkata, pada suatu hari, dia terpaksa menjawab soalan daripada Tuhan apakah yang telah dilakukannya untuk menguatkuasakan undang-undang Islam.

"Kami akan meningkatkan serbuan terhadap pesalah undang-undang syariah di sini. Tuhan akan bertanya kepada saya untuk bertanggungjawab terhadap apa yang telah saya lakukan semasa saya berkhidmat di Aceh Barat," katanya.

Polis pencegah maksiat semalam menyoal 30 wanita mengenai pakaian yang dipakai mereka di sebuah kampung di Aceh Barat semalam.

"Apakah silapnya dengan pakaian saya? Undang-undang manakah yang telah saya langgar? Adakah saya seorang pengganas yang menyebabkan saya diminta menunjukkan kad pengenalan saya?" kata seorang wanita berumur 40 tahun, Fatima yang ditahan oleh polis agama.

Namun, protesnya tidak didengari dan dia menutup seluar jeannya dengan skirt yang dibawa dari rumah.

Polis agama itu tidak mempunyai kuasa untuk menangkap wanita kerana melanggar etika pakaian tetapi mereka diminta menukar pakaian yang tidak sesuai dengan ciri-ciri Islam. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Farid Kamil terima ijazah sarjana muda UiTM


FARID KAMIL bersama ibu bapanya melihat ijazah sarjana muda yang diterimanya pada Konvokesyen UiTM ke-72 di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Pengarah muda dan pelakon popular, Farid Kamil Zahari semalam menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) pada istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di Dewan Sri Budiman, di sini.

Farid, 29, yang hadir ditemani bapanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan, 58, dan ibu, Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah, 55, tersenyum bangga apabila segala usaha selama empat tahun mengejar ilmu sambil bekerja membuahkan hasil.

Dia yang juga menamatkan pengajian Seni Lakon Teater peringkat diploma di universiti yang sama bersyukur apabila berjaya mencapai cita-cita untuk mengarahkan satu filem sebelum bergelar graduan.

"Saya rasa bertuah kerana cita-cita itu tercapai apabila filem pertama arahan saya, V3 Samseng Jalanan menemui penonton sebelum majlis konvokesyen ini.

"Seterusnya, saya akan menemui penonton dengan filem terbaru lakonan saya, Lagenda Budak Setan sebelum kembali mengarah filem kedua bertajuk Kongsi hujung bulan ini," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...