Tuesday, July 5, 2011

Himpunan Bersih 2.0 ke stadium

Selasa, 05 Julai 2011 13:45
Ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob

Selepas mengadap Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) bersetuju untuk berdemontrasi di stadium pada Sabtu ini, tetapi masih belum menentukan stadium pilihan.

Presidennya Datuk S Ambiga berkata "ya", keputusan tersebut disifatkannya sebagai "tolak-ansur" demi menjunjung titah khas khas Seri Paduka.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin (presiden Jamaah Islah Malaysia, JIM) turut menyertai delegasi tersebut. Tidak kelihatan seorang pun pemimpin Pakatan Rakyat turut menyertai delegasi tersebut.

Mereka dipercayai khalayak mahu menjelaskan hasrat murni Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman pada Sabtu ini di ibunegara bermula 1.30 petang tadi.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sehubungan dengan titah itu, Ambiga berkata gabungan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Seri Paduka.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/bersih-20-mengadap-agong-di-istana.html

Empat sasterawan negara gesa bebas semua tahanan BERSIH

Selasa, 05 Julai 2011 12:51
Ditulis oleh Nujumraja

Empat sasterawan negara tampil menggesa semua yang ditahan menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadual Sabtu ini dibebaskan segera.
Dalam kenyataan bersama Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata mereka juga berharap pintu rundingan sentiasa dibuka.

"Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan," kata mereka.

Mereka berkata, sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.

Setakat hari ini, sekurang-kurang 23 orang masih ditahan polis berkaitan perhimpunan BERSIH dengan enam daripadanya bawah ordinan darurat.

Sementara itu, keempat-empat mereka turut membela seorang lagi rakan mereka Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (atas, kanan sekali) yang disiasat polis ekoran bacaan puisinya "Unggun-Bersih" yang dibacakan dalam majlis pelancaran BERSIH 2.0 sebelum ini.

"Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi.

"Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini," katanya.


http://www.penangdaily.com/index.php/Politik/empat-sasterawan-negara-gesa-bebas-semua-tahanan-bersih.html

Bersih 2.0: Mahaguru Gayong nasihat Omardin ingat Allah

Khamis, 30 Jun 2011 00:40
Ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob

Kenyataan pendiri Pertubuhan Seni Silat Lincah Lincah Malaysia (PSSLM) Mahaguru Tan Sri Omar Din Mauju mengancam 300,000 rakyat yang dijangka menyertai perhimpunan aman pada 9 Julai di ibu negara ditegur sendiri oleh rakan seperguruannya.

Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa berkata, pengamal silat yang sebenar tidak akan bermegah-megah dengan ilmunya dan mengancam keselamatan orang lain, sebaliknya hanya mempergunakan ilmu yang dipelajari untuk manfaat agama, bangsa dan negara.

Malah, mana-mana pengamal silat yang dengan sengaja menakut-nakutkan orang lain untuk menunjukkan kekuatan, pasti akan menerima balasan daripada Allah.

"Orang yang hendak buat kacau kita tidak galakkan. Kalau mereka hendak tunjuk megah, Allah Taala akan bagi balasannya," ujarnya, dipetik dari blog Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Omardin berkata, "Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut."

Penangdaily difahamkan, Omardin mengeluarkan ugutan kepada Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan supaya menghentikan hasrat mengadakan perhimpunan aman tersebut kerana khuatir tidak dapat mengawal 'emosi' anak-anak didiknya jika mereka 'bertembung' pada perhimpunan itu nanti.

Kenyataan Omardin itu disiar akhbar milik Umno, Utusan Malaysia beberapa hari lalu.

Bercakap lebih lanjut, Cikgu Majid berpendapat tujuan Bersih adalah berhimpun secara aman untuk menuntut keadilan, justeru tidak ada sebab mana-mana pertubuhan silat memusuhi peserta himpunan itu.

"Kita tak berfikir yang mereka (Bersih) akan menimbulkan masalah. Kita tak anggap begitu. "Apa-apa tindakan yang kita mahu ambil hendaklah berpaksikan keadilan yang sebenarnya," kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid juga memberi jaminan bahawa penuntut Silat Gayung Pusaka sendiri tidak akan mengancam dan menakut-nakutkan orang lain daripada menyertai mahupun menghindari perhimpunan tersebut.

"Saya pun tak akan izinkan anak-anak Gayung buat kacau pada perhimpunan begini," kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid adalah Pengarah dan Gurulatih Utama Pusaka Gayong Malaysia dan masih mengekalkan gelaran 'Cikgu" walaupun beliau sendiri sebenarnya bertaraf seorang mahaguru dalam dunia persilatan.

Cikgu Majid adalah murid kanan pengasas Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dan menuntut seni silat Melayu itu di Woodlands, Singapura.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/bersih-20-omar-din-dinasihat-ingat-allah.html

Marina Mahathir pertikai tindakan Polis tangkap 200 penyokong BERSIH

Isnin, 04 Julai 2011 19:27
Ditulis oleh Buraqs



Datin Paduka Marina Mahathir membidas tindakan polis menangkap hampir 200 penyokong Himpunan Aman Bersih 2.0 dengan menyifatkannya sebagai satu tindakan pihak yang takut tanpa bersebab.

“Hanya mereka yang takut akan menangkap orang yang memakai kemeja-T,” beliau memberitahu sidang media bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan Bersih.

Sejak minggu lalu, polis menangkap sesiapa sahaja yang memakai kemeja T kuning dengan logo Bersih atas alasan ia memudaratkan keselamatan negara. Tangkapan berlaku di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang.

Enam daripada mereka termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jeyakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Marina, anak sulung mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad kesal dengan tindakan polis melancarkan penangkapan beramai-ramai itu.

“Saya ingin bertanya kepada orang ramai, jika terserempak dengan sesiapa memakai kemeja -T yang tertera dengan perkataan Bersih, adakah mereka akan terdorong untuk keluar dan menimbulkan kacau bilau,” kata Marina.

“Kita pernah melihat perkataan yang jauh lebih teruk dicetak pada baju-baju di seluruh negara tetapi ia tidak pula mempengaruhi kita untuk menghisap ganja,” tambah beliau.

Marina ditanya mengenai rekod Tun Mahathir yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangkap puluhan orang dalam Operasi Lalang tahun 80an.

Marina mengaku ayahnya menggunakan ISA tetapi menegaskan Mahathir tidak menggunakan undang-undang zalim itu untuk menangkap orang semata-mata kerana memakai baju tertentu.



http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/marina-mahathir-pertikaikan-tindakan-polis-tangkap-200-penyokong-bersih.html

Hukum Memerangi Pemerintah Muslim

sinar3.jpg

Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang islam yang zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad yang diperintahkan agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan itu diharamkan oleh Islam?

Imran, Kuala Terengganu.

Jawapan DR MAZA:

Saudara, banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat Islam atau tokoh-tokoh Islam adalah mainan jahat pihak-pihak tertentu. Mereka ini samada mempunyai agenda politik tertentu, ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi mencemarkan imej Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan politik seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada sesetengah kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini sehingga mencetuskan keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras terhadap pemerintah yang zalim dan menyeleweng, maka ini fahami perkara berikut;

1. Perkara asas dalam hal ini boleh difahami daripada ingatan Nabi s.a.w.:

“Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim).

2. Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama. Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah muslim dengan senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi petunjuk bahawa pemerintah tersebut masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi pemerintah dengan senjata hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

3. Juga, perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai. Sebab itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut:

“kata ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat, atau pengharaman memeranginya kerana menyebab fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata” (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/40)

4. Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang ditegaskan oleh hadis. Sabda Nabi:

“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara. Maka justeru itu, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata.

6. Ini kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.

7. Arahan pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan tetap wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):

“Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357.)

Pendapat ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

8. Sekalipun kita dilarang memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi dalam pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (Riwayat Malik).

Juga sabda Nabi s.a.w:

“Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

9. Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.

10. Pengkaji politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah.

Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.


http://drmaza.com/home/?p=1172

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...