Wednesday, December 1, 2010

Isteri minta izin balik kampung kena belasah

KUALA LUMPUR: Hanya kerana meminta izin pulang menziarahi keluarganya di kampung, seorang wanita berusia 25 tahun cedera dibelasah suaminya di kediaman mereka di Ampang Permai, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa memberitahu suaminya berusia 26 tahun untuk pulang ke kampungnya di Pahang bagi menziarahi keluarganya, namun ia menimbulkan kemarahan suspek menyebabkan berlaku pertengkaran.


Menurut sumber, pertengkaran berlaku lebih 10 minit sebelum suaminya hilang pertimbangan dan memukul mangsa.

“Mangsa mendakwa ditampar dan ditendang beberapa kali pada seluruh tubuh sehingga terjatuh. Mangsa berulang kali merayu supaya suaminya menghentikan perbuatannya itu.


“Suspek bagaimanapun, berhenti memukul mangsa selepas melihat isterinya terdiam. Lelaki terbabit yang panik segera memeriksa keadaan isterinya itu.


“Dia (suspek) meninggalkan rumah berkenaan selepas mendapati isterinya masih bernyawa dan hanya cedera ringan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian bergegas ke Hospital Ampang (HA), di sini, untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Ampang mengenai insiden berkenaan.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterimintaizinbalikkampungkenabelasah/Article/index_html

Ribut salji ganjil di London


DUA orang berjalan di sebuah kawasan diliputi salji tebal di Croydon, selatan London semalam.


LONDON - Ribut salji yang berlaku buat pertama kali di luar musim sejuk melanda bandar raya ini semalam telah menjejaskan jadual penerbangan, ratusan sekolah ditutup dan menyebabkan dua mati manakala perlawanan bola sepak Liga Scotland terpaksa ditangguhkan.

Seorang pegawai ramalan kaji cuaca, Tom Morgan memberi amaran bahawa suhu akan kekal berada antara satu darjah Celsius hingga dua darjah Celsius dengan tiupan angin yang kuat.

Dua kematian berlaku dalam ribut itu melibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun yang maut apabila sebuah trak penunda melanggar dua kenderaan lain di lebuh raya berdekatan Concater di utara England.

Seorang lagi lelaki maut apabila keretanya terbabas ke dalam parit di Lincolnshire, timur England.

Lapangan Terbang London dilaporkan membatalkan dan menunda beberapa penerbangan namun lapangan terbang tersibuk Britain, Heathrow meneruskan operasinya seperti biasa.

Anggota-anggota polis dan seorang petani turut menyelamatkan kira-kira 60 buah kenderaan yang terkandas di kawasan sama. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

AS kawal ketat maklumat


HILLARY CLINTON memberi komen mengenai skandal pembocoran maklumat diplomatik Amerika Syarikat (AS) pada sidang akhbar di Jabatan Negara AS, Washington kelmarin.


WASHINGTON - Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) kelmarin menyatakan ia amat kesal dengan pendedahan sebarang maklumat rahsia dan akan mengetatkan kawalan keselamatan bagi menghalang pembocoran maklumat seperti pendedahan kabel diplomatik Jabatan Negara AS oleh WikiLeaks.

Lebih 250,000 kabel diplomatik diperoleh laman web berkenaan yang kemudian diserahkan kepada akhbar New York Times dan kumpulan media lain.

Pendedahan tersebut membawa kepada penyiaran berita mengenai urusan dalaman diplomatik AS termasuk penilaian yang melucukan dan memalukan terhadap pemimpin-pemimpin dunia.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menyatakan pembocoran ratusan ribu maklumat diplomatik itu merupakan satu serangan ke atas masyarakat antarabangsa selain AS.

Beliau yang membuat komen pertama mengenai pembocoran maklumat oleh WikiLeaks itu menyatakan pemberi maklumat kepada laman itu bertindak secara haram.

Menurutnya, pentadbiran Presiden Barack Obama sedang mengambil beberapa langkah agresif untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab mencuri maklumat tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Harga RON 97 naik lagi 15 sen


ORANG ramai berpusu-pusu mengisi minyak setiap kali tersebar berita kenaikan harga bahan api itu. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Harga petrol RON97 dinaikkan sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter mulai tengah malam tadi, menurut sumber semalam. Bagaimanapun, harga petrol RON95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.

Bernama melaporkan, harga petrol tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak semasa dunia.

Pada 1 November lepas, harga petrol RON97 dinaikkan lima sen menjadi RM2.15 seliter.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

'Iza harus pergi'

'Iza harus pergi'

Oleh Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

BIMBANG...Zuhaili menunjukkan laporan polis  dan gambar adiknya, Nur Afiza.
BIMBANG...Zuhaili menunjukkan laporan polis dan gambar adiknya, Nur Afiza.
BUKTI...lelaki yang disyaki membawa Nur Afiza ke India.
BUKTI...lelaki yang disyaki membawa Nur Afiza ke India.

KUALA LUMPUR: “Ia mungkin perkara paling bodoh dalam hidup saya, tapi percayalah, saya berjuang untuk mendapat yang terbaik. Saya sayangkan kamu semua, tetapi saya harus pergi.

“Ini mungkin hari paling sukar dalam hidup saya, tetapi saya tidak akan menoleh ke belakang,” luah seorang gadis dalam blognya sebelum menghilangkan diri dipercayai mengikut seorang pensyarah lelaki berusia lewat 50-an ke Kochi di negeri Kerala, selatan India.


Nur Afiza Mohd Mantali, 21, anak keempat daripada lima beradik menulis pesanan berkenaan di dalam blognya sehari sebelum dikesan meninggalkan negara ini dipercayai untuk bersama lelaki terbabit yang juga seorang bekas pensyarah perubatan warga India di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak.

Menurut abangnya, Zuhaili, 29, mereka sekeluarga kini kebimbangan berikutan adiknya yang mesra dipanggil Iza tidak dapat dihubungi sejak kehilangannya pada 1 November lalu.


Katanya, kegagalan untuk menelefon Iza juga menyebabkan mereka sekeluarga terfikir pelbagai kemungkinan buruk termasuk Iza dijadikan keldai dadah dan lebih teruk akidah gadis itu akan terpesong.


“Saya tak mengenali lelaki itu, tapi ibu (Hasimah Brahim, 48,) memberitahu Iza pernah membawa lelaki terbabit ke rumah di Kuching, Sarawak, pada bulan puasa lalu dengan memperkenalkannya sebagai kawan.

“Iza juga pernah memberitahu adik bongsu mengenai lelaki itu yang didakwanya seorang pensyarah kontrak di sebuah IPT di Sarawak dari tahun 2007 hingga 2009,” katanya yang ditemui di sini, semalam.


Menceritakan kejadian pada 1 November itu, Zuhaili berkata adiknya memberitahu mahu ke rumah kakaknya di Batu 7, Lundu, Sarawak.

“Ibu langsung tidak curiga kerana setiap bulan Iza akan menziarahi rumah kakak. Bagaimanapun, tiga hari kemudian, ibu bimbang Iza langsung tidak menelefon.


“Ibu menghubungi kakak Iza dan terkejut apabila mendapat tahu dia tidak ke rumah berkenaan,” katanya.


Menurutnya, bimbang keselamatan Iza yang ketika itu sudah lima hari tanpa khabar berita, ibunya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 5 November lalu.


Zuhaili berkata, dia melakukan pemeriksaan di terminal lapangan terbang dan Jabatan Imigresen sebelum pihak terbabit mengesahkan nama Iza ada dalam rekod senarai penerbangan keluar ke Kochi, India, sehari selepas meninggalkan rumah.


Pemeriksaan lanjut di blog Iza juga, katanya, mendapati gadis berkenaan ada meninggalkan pesanan seolah-olah akan pergi jauh.


Zuhaili berkata, dia juga cuba bertanya mengenai adiknya kepada lelaki itu di laman Facebooknya, tetapi tiada jawapan, malah akaun itu didapati sudah ditutup.


Katanya, bimbang keselamatan adiknya itu, dia merujuk perkara berkenaan ke Wisma Putra dan Kedutaan India di Malaysia, namun masih tiada perkembangan sehingga kini.


“Kami khuatir kesihatan Iza yang menghidap asma akan terjejas. Selama ini, tiada siapa yang tahu dia mempunyai masalah itu kerana Iza hanya rapat dengan ibu, malah masih tidur bersama ibu sehingga sebelum kehilangannya.


“Harapan kami semoga Iza kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. Itu saja. Kami difahamkan ada satu tempahan tiket yang dibuat atas nama Iza dari Kochi ke Kuching pada 8 April 2011, tapi tak tahu sejauh mana kebenarannya kerana setakat ini belum dapat berhubung dengannya secara langsung,” katanya.


Sehubungan itu, Zuhaili berharap pihak berkuasa membantu dia dan keluarganya membawa pulang adiknya ke negara ini dengan selamat. Sebarang maklumat boleh hubungi beliau di talian 012-8892184.

http://www.hmetro.com.my/articles/Izaharuspergi/Article

Ustaz’ tarik duit

Ustaz’  tarik duit

Oleh Mohd Nur Hafidz Nordin
am@hmetro.com.my

MANGSA...Amy ketika ditemubual wartawan Harian Metro.
MANGSA...Amy ketika ditemubual wartawan Harian Metro.

JOHOR BAHRU: Hanya kerana ingin hidup mewah, tiga lelaki di Kulaijaya di sini, kerugian RM18,000 selepas terpedaya dengan kelicikan seorang lelaki bergelar ‘ustaz’ yang kononnya mampu menjalankan proses tarik duit dalam satu kejadian, 15 November lalu.

Ustaz berusia 70-an berasal dari Indonesia itu pula ghaib selepas meminta dihantar ke pantai berhampiran dan beberapa hari kemudian sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mangsa memaklumkan dia sudah berada di negara berkenaan.


Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 31, berkata, dia terpedaya selepas kagum dengan perwatakan ustaz itu yang sering menggunakan ayat suci al-Quran sebagai dalil ketika menceritakan kisah keupayaannya menarik duit.

“Ustaz terbabit turut memaklumkan dia mahu kami menggunakan wang itu ke jalan kebaikan dan sesen pun tidak boleh digunakan untuk perkara mungkar.


“Ia menguatkan keyakinan kami bahawa ustaz terbabit memang ikhlas membantu dan kerana itu kami sanggup mengeluarkan RM6,000 setiap seorang sebagai modal,” katanya semalam.


Menurut Amy, pada hari pertama upacara yang diadakan di rumah seorang daripada mereka, ustaz terbabit memanggil seorang demi seorang ke dalam bilik gelap dan dikehendaki bersumpah untuk tidak mempersiakan wang diperoleh kelak bagi mengelak ditimpa musibah.

Ustaz terbabit meminta mereka supaya banyak berzikir bagi memudahkan usaha mendapatkan wang terbabit.


“Pada hari ketiga, kami dipanggil sekali lagi oleh ustaz dan terpegun kerana terdapat sejumlah besar wang di dalam balutan kain. Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan menyentuh atau mengambilnya.

“Keesokan harinya, dia meminta kami menghantarnya ke pantai berhampiran dengan memberi alasan mahu melakukan sedikit upacara sampingan dan meminta kami menjemputnya pada jam 5.30 petang, hari sama,” katanya.


Mangsa datang semula ke pantai itu pada masa dijanjikan, tetapi lelaki terbabit tiada dan mereka menghubunginya berkali-kali, tetapi telefon bimbitnya dimatikan.


Ketiga-tiga lelaki berkenaan pulang dan menunggu hingga hari ke-10 sebelum memecah masuk bilik dijadikan pusat operasi tarik duit.


“Kami terkejut selepas mendapati barangan digunakan dalam upacara tarik duit itu hangus dan mengeluarkan bau sangat busuk.


“Wang yang kami pegang dalam balutan kain itu juga sudah tiada, sebaliknya yang tinggal hanya lembaran surat khabar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ustaz__8217_tarikduit/Article

21 pengikut IJ dibebas

21 pengikut  IJ dibebas

DAKWA...sebahagian daripada pengikut IJ  dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.
DAKWA...sebahagian daripada pengikut IJ dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

KAJANG: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, membebaskan dengan jaminan semua 21 individu yang didakwa pengikut ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) bagi membolehkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan siasatan.

Masing-masing yang ditahan selepas solat Jumaat di Lot 34 dan 38 Jalan Sungai Tangkas, dekat sini, dibebaskan dengan jaminan antara RM1,500 hingga RM8,000 dan mahkamah menetapkan 28 Disember ini untuk sebutan semula.


Semua mereka, enam warga Indonesia, dua Bangladesh dan selebihnya rakyat tempatan berusia 30-an hingga 50-an disiasat mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu mengingkari kuasa yang sah, Seksyen 13 (1) iaitu mengembangkan atau menyebarkan ajaran Islam atau hukum syarak yang bertentangan dengan fatwa dan Seksyen 97(1)(2) Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor iaitu mendirikan bangunan untuk bersolat tanpa kebenaran Majlis.

Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah memerintahkan individu rakyat tempatan dijamin isteri atau keluarga masing-masing manakala warga asing perlu mengemukakan antara 10 hingga 12 penjamin selain perlu menyerahkan pasport masing-masing. Mahkamah turut dimaklumkan Pendakwa Syarie, Mat Isa bahawa sembilan suspek sudah diambil keterangan.


Semua suspek hadir dan kelihatan tenang ketika proses jaminan berjalan.


Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan penguatkuasa Jais menyelinap ke dalam kumpulan terbabit yang taksub mendengar khutbah dalam bahasa Arab dan selepas selesai bersolat, penguat kuasa Jais mengepung surau itu dan menahan 21 lelaki. Ajaran IJ difatwakan menyelewang oleh Kerajaan Selangor selepas berlaku penyelewengan yang memesongkan akidah termasuk menolak sumber hukum ijmak dan qias, najis mughallazah tidak perlu disamak, binatang yang mati di dalam perkampungan orang Islam Jamaah tidak perlu disembelih dan halal dimakan. Hasil risikan Jais, kira-kira 1,000 pengikut IJ dan kebanyakan mereka terdiri daripada kelas menengah.

http://www.hmetro.com.my/articles/21pengikutIJdibebas/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...