Thursday, February 4, 2010

Lelaki bunuh ayah cederakan abang

2010/02/03

KUALA TERENGGANU: Bapa terbunuh manakala anak lelakinya cedera parah ditikam oleh seorang lagi anaknya dalam kejadian di Kampung Duyong Wan Su di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Md Jamil berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, bapa berkenaan berusia 51 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya berusia 30 tahun, cedera parah selepas ditikam dengan pisau Rambo berukuran 32 sentimeter.

"Kejadian berlaku semasa abang suspek tidur di rumahnya. Suspek secara tiba-tiba bertindak menikam abangnya sendiri," katanya.

"Sebaik ditikam, abang suspek menjerit meminta tolong menyebabkan kedua ibu bapanya keluar dari bilik untuk melihat keadaan. Mereka kemudiannya melihat abang suspek berada keadaan berlumuran darah sambil menahan sakit.

"Suspek juga dilihat dalam keadaan badannya yang berlumuran darah memegang sebilah pisau di tangannya," katanya kepada pemberita di sini.

Hamzah berkata, terkejut dengan kejadian itu, bapa suspek cuba merampas pisau daripada suspek, tetapi malangnya beliau juga ditikam oleh suspek di bahagian perut dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ayah mati ditikam anak sendiri


IRWAN dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kuala Terengganu selepas cedera parah ditikam oleh adik lelakinya semalam. Gambar kecil, Zainun.





KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda berusia 20 tahun terkedu melihat badannya berlumuran darah setelah menikam ayahnya sehingga mati manakala abangnya cedera parah akibat perbuatannya yang didakwa dilakukan tanpa disedari.

Lelaki itu bertindak demikian selepas mendakwa terdengar bisikan suara seorang gadis bernama Siti Aishah yang menyuruhnya menikam ayahnya, Che Mat Nik, 51, dan abang sulungnya, Irwan Affandi, 30.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Duyung Wan Su, Duyong Besar dekat sini, suspek hanya menyedari jenayah yang dilakukannya selepas dia mendengar suara ibunya, Zainun Hassan, 50 (gambar).

Mengikut Zainun, sebelum kejadian, suspek tidur bersama adiknya Mohd. Zulkifli, 13, di tingkat bawah manakala dia dan suami serta Irwan tidur di dua bilik di tingkat atas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Anggota polis disyaki samun pelajar

2010/02/03

SUBANG JAYA: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan kerana disyaki menyamun empat pelajar wanita sebuah universiti swasta di kawasan Bestari Jaya, Batang Berjuntai, lewat malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata anggota polis berusia 26 tahun itu disyaki menyamun wang tunai dan telefon bimbit -pelajar berkenaan, bersama dengan seorang lagi rakannya yang berusia lingkungan 20-an.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam tadi, anggota polis dari Balai Polis Shah Alam bersama rakannya itu dipercayai mengekori kereta yang dinaiki empat pelajar berkenaan selepas menahan dan menyamun mereka.

"Keempat-empat pelajar wanita itu kemudiannya membuat laporan polis, dan tindakan pantas polis berjaya membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek itu berhampiran dengan tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mesyuarat exco Persatuan Keselamatan Profesional Asia (APSA) 2010 di sini, hari ini.

Khalid berkata polis berjaya menemui beberapa telefon bimbit serta wang tunai yang dianggar bernilai lebih RM100, dan menurutnya polis akan mendapatkan perintah reman bagi menahan kedua-dua suspek hari ini.

Pukau sambil minta setem

2010/02/03

ALOR GAJAH: “Saya hanya ingat dia kata ‘Adik...nak setem 50 sen dua keping’.

Ketika itu saya langsung tidak melihat mukanya dan hanya memandang komputer. Sebaik mengoyakkan dua setem lalu terus meletakkannya di atas kaunter.


“Ketika itu saya terpandang matanya dan selepas itu saya tidak ingat apa-apa,” kata kerani, Norhidayah Nordin, 19, yang dipercayai menjadi mangsa pukau di Pos Mini Berkomputer Simpang Ampat, dekat sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa bertugas sendirian di pos mini itu dan leka mengira wang hasil kutipan yang akan diserahkan kepada polis bantuan untuk dihantar ke pejabat juruwang di Pos Besar Melaka seperti kebiasaan.


Norhidayah berkata, ketika asyik mengira, seorang pelanggan lelaki masuk dan menuju kaunter sebelum berdiri di hadapan kaunter sambil meminta untuk membeli dua setem.


“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya tidak ingat apa-apa selepas melihat mata lelaki itu. “Dalam dua hingga tiga minit selepas itu baru saya sedar apabila melihat setem masih ada di atas kaunter. Saya hairan lelaki itu tidak mengambil setem itu dan terus memeriksa wang dalam laci.


“Saya terperanjat kerana wang sudah hilang lalu berlari keluar dan cuba mencari lelaki tadi, namun dia tidak kelihatan. “Saya juga bertanya kepada penjual tebu di hadapan kedai dan mereka juga tidak perasan pelanggan saya maksudkan,” katanya ketika di temui, di sini, semalam.


Menurutnya, dia kemudian menghubungi bapanya, Nordin Bentong, 55, dan mereka membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat berhubung kejadian itu.


“Sepanjang setahun dua bulan beroperasi, ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku menyebabkan saya amat takut dan trauma.


“Siapa tahu selepas ini lelaki terbabit akan datang lagi untuk melakukan perkara sama. Namun, saya bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.


Norhidayah berkata, disebabkan kejadian berlaku dengan cepat menyebabkan dia gagal mengecam wajah lelaki terbabit.


Katanya, dia hanya dapat mengingati lelaki itu memakai jaket hitam dan bercakap dalam loghat Indonesia.


“Sebelum kejadian, pada sebelah pagi ada beberapa pelanggan datang dan saya kemudian mengira not RM50 yang diletakkan dalam laci. Wang berkenaan berjumlah RM5,800 iaitu hasil kutipan semalam (kelmarin) dicampur dengan baki wang pada hari Sabtu sebanyak RM1,400.


“Ketika mengira wang, lelaki itu sampai dan saya terus menyimpannya semula dalam laci. Saya rasa lelaki itu perasan wang itu,” katanya.


Difahamkan, tiga pegawai Pos Malaysia datang ke pos mini berkenaan serta mengambil beberapa dokumen berkaitan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.


Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukausambilmintasetem/Article

Cinta orang tua

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/02/03

JOHOR BAHRU: Meskipun usianya menjangkau 50-an, seorang lelaki kelihatan seperti hero Melayu pada pandangan gadis remaja hingga sanggup menjalin hubungan percintaan, gara-gara menggunakan sejenis ilmu hitam.

Perkara berkenaan dibongkar ibu bapa seorang gadis bawah umur didakwa menjadi mangsa lelaki berkenaan hingga melarikan diri bersamanya lebih sebulan selepas ahli keluarga tidak merestui hubungan percintaan pasangan terbabit.


Malah, kejadian itu didakwa bukan kali pertama berlaku kerana lelaki berkenaan juga didakwa pernah melarikan gadis sama pada pertengahan Ogos lalu sebelum mangsa berkenaan ditemui semula di Kuala Kangsar oleh saudara-maranya dalam tempoh seminggu.


Bapa gadis yang akan mencapai usia 16 tahun pada November ini, Tarmedi Jamaluddin, 42, berkata keluarganya khuatir nasib anaknya yang taksub dengan hubungan percintaan dengan pemandu jentera berat itu hingga mengambil keputusan berjauhan dengan keluarga sejak 18 Disember lalu.


Menurutnya, keluarganya pelik dengan cinta luar biasa Nurul kerana lelaki itu yang pernah tinggal berjiran beberapa tahun lalu tidak sesuai dengan anak gadisnya memandangkan jarak usia terlalu jauh iaitu kira-kira 30 tahun selain lelaki itu sudah berkeluarga dan bergelar datuk pada seorang cucu.


“Tambahan pula, sebelum ini semua anak saya biasa menggelarnya sebagai pak cik dan tidak dijangka lelaki berkenaan menaruh perasaan cinta terhadap Nurul.


“Hati saya remuk apabila Nurul yang menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga mengakui dia sudah jatuh hati terhadap lelaki yang tidak sepadan dengannya, selain memuji lelaki itu kacak, gagah dan penyayang sedangkan pada mata kami dia hanya sederhana tidak beza seperti lelaki 50-an lain.


“Malah, Nurul juga umpama anak patung kerana menuruti kehendak lelaki itu dan menghampakan kami kali kedua apabila menghilangkan diri bersama lelaki berhidung belang itu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 4 Januari lalu.


Tarmedi berkata, keluarganya bertambah bimbang dengan keselamatan anaknya kerana difahamkan lelaki berkenaan pernah memerangkap gadis belasan tahun dengan menggunakan ilmu hitam.


Menurutnya, Nurul menunjukkan perubahan sikap hanya selepas mengenali lelaki berkenaan berbanding sebelumnya dia anak baik dan tidak pernah menghadapi masalah keluarga.


“Kami risau masa depan Nurul kerana dia menerima tawaran mengikuti kursus kemahiran di pusat latihan kejuruteraan di Kulaijaya dan seharusnya melapor diri pada 25 Februari depan.


“Kami puas mencarinya di pelbagai tempat dan ditambah pula isteri bertambah risau selepas menerima SMS pada 4 Januari lalu daripada nombor telefon bimbit yang tidak dikenali dan menyatakan lelaki berkenaan mengahwini Nurul dan meminta tidak mencari mereka.


“Diharap waris lelaki berkenaan termasuk anaknya difahamkan masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Batu Pahat menghubungi kami,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cintaorangtua/Article

Perogol seret masuk teksi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/02/03

KUALA LUMPUR: Seorang gadis berusia 17 tahun bagaikan berada ‘di neraka’ apabila menempuh pengalaman menakutkan lebih lima jam ketika diculik dan diperkosa seorang lelaki yang dipercayai bersekongkol dengan pemandu teksi, kelmarin.

Lelaki berhati binatang berusia lewat 20-an itu juga menghisap syabu lebih tiga jam dalam sebuah bilik hotel murah yang disewa sambil disaksikan mangsa bagi mendapatkan rasa ghairah sebelum memperkosa pekerja kilang berkenaan.


Sumber dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata, kejadian bermula kira-kira jam 8 malam ketika gadis itu menunggu abangnya di hadapan pusat beli-belah Kotaraya di sini.


Difahamkan, abang mangsa ketika itu menaiki bas dari Ipoh, Perak, untuk menemui gadis itu yang bekerja di Klang.


“Ketika menunggu, gadis itu dihampiri sebuah teksi sebelum seorang penumpang lelaki meluru keluar sambil memarahi dan menuduh dia mencuri telefon bimbit milik abangnya.


“Mangsa yang terpinga-pinga diseret lelaki terbabit masuk ke dalam teksi berkenaan yang cuba memerangkap mangsa dengan lakonan itu,” katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit memberi alasan ingin membawa gadis itu ke balai polis bagi menyelesaikan kes curi terbabit. Mangsa yang yakin tidak bersalah bersetuju mengikut lelaki terbabit ke balai polis bagi menyelesaikan kes itu.


“Pemandu teksi yang disyaki bersubahat dengan lelaki terbabit turut menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa gadis itu penumpang terakhirnya ketika telefon bimbit berkenaan hilang dari kenderaan itu.


“Tuduhan tidak berasas pemandu teksi terbabit menyebabkan gadis itu mula tidak sedap hati. Dia memberitahu tidak pernah melihat atau menaiki teksi berkenaan kerana menggunakan bas ketika datang dari Klang,” katanya. Menurutnya, lelaki terbabit yang menyedari gadis itu ketakutan memberitahu dia tak sampai hati menyerahkan mangsa kepada polis, sebaliknya menyuruh pemandu teksi menurunkan mereka di depan sebuah hotel di Jalan Haji Taib di sini.


“Dia memberi alasan kononnya mahu menunggu abangnya datang bagi menyelesaikan masalah terbabit secara baik sebelum memaksa gadis itu memasuki sebuah bilik yang disewa di hotel murah itu.


“Ketika berada dalam bilik hotel itu, lelaki terbabit mula menunjukkan taringnya apabila menghisap syabu sambil mengugut mangsa supaya tidak meninggalkan bilik tanpa kebenarannya,” katanya.


Menurutnya, ugutan itu menyebabkan mangsa mula ketakutan terutama dia diugut akan dipukul dengan batang besi oleh suspek yang khayal hampir tiga jam.


“Kerana takut dipukul, gadis itu hanya menangis. Penjenayah terbabit yang dalam pengaruh dadah kemudian merogol mangsa beberapa kali,”’ katanya.


Menurutnya, selepas puas memperkosa mangsa, lelaki terbabit membawa mangsa keluar dari bilik hotel itu sebelum dihantar semula di hadapan pusat beli-belah berkenaan dengan menaiki teksi lain. Lebih malang, apabila lelaki itu turut merampas telefon bimbit dan wang tunai RM30 miliknya.


“Mangsa menghubungi telefon bimbit abangnya menggunakan telefon awam sebelum dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk membuat aduan,” katanya.


Menurutnya, mangsa diambil keterangan sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perogolseretmasukteksi/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...