Thursday, July 7, 2011

BERSIH 2.0 tetap ke Stadium Merdeka Sabtu ini

BERSIH 2.0 tetap ke Stadium Merdeka Sabtu ini
Jul 7, 11 9:21am


Bersih 2.0 mengisytiharkan perhimpunan Sabtu ini tetap akan diadakan di Stadium Merdeka di sebalik segala halangan dan hambatan yang dikenakan ke atas mereka.

NONEDalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam, semua 14 anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara berkata "kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana".

Sambil menolak, amaran, ugutan dan hambatan yang dikenakan ke atas mereka dan juga rakyat yang menyokong tuntutan BERSIH 2.0 sejak dua minggu lalu, pertubuhan yang diwakili 62 NGO itu juga melahirkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnya kerana didakwa mengkhianati janji bagi membenarkan perhimpunan itu diadakan di sebuah stadium.

azlanApa sekalipun terjadi, ikrar mereka, BERSIH akan menggunakan hak perlembagaan untuk berkumpul secara aman dengan tujuan yang adil dan berpatutan dengan tidak akan berbelah bahagi.

"BERSIH 2.0 kecewa dengan cara Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet beliau berdolak dalik mengenai tawaran untuk menyediakan stadium bagi perhimpunan aman kami.

"Sebagai ahli masyarakat madani, kami setia berpegang kepada prinsip integriti dan kami dengan sepenuh hati akan menuruti titah dan nasihat Tuanku DYMM SPB YDP Agong untuk berhimpun di stadium untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

"Kami memilih Stadium Merdeka sebagai tempat yang terbaik untuk acara ini kerana ia simbolik dan terletak di lokasi yang munasabah. Kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana," kata kenyataan itu.

Menurut gabungan itu jika Perdana Menteri seorang yang boleh dipegang katanya, beliau akan membuat tindakan yang sewajarnya agar perhimpunan Sabtu ini dapat dilaksanakan secara aman di Stadium Merdeka.

NONEKata BERSIH 2.0, kenyataan akhir yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara yang 'menasihatkan' rakyat supaya tidak "berbuat apa-apa selain daripada duduk di rumah masing-masing" sebenaranya percubaan menakut-nakutkan orang ramai.

"Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahukan hak kami untuk memilih pemimpin kami dengan cara yang demokratik. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil.

"Tanggungjawab pertama kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak kami. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip-prinsip keadilan.

Kenyataan itu diakhir dengan ayat berikut:

"Kami rakyat Malaysia akan tetap berkumpul secara aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai, 2 petang. Kami akan datang untuk berkumpul beramai-ramai, dan bersama-sama kita membina Malaysia."

Kenyataan penuh BERSIH 2.0:

BERSIH 2.0 kecewa dengan cara Perdana Menteri dan ahli-ahli kabinet beliau berdolak dalik mengenai tawaran untuk menyediakan stadium bagi perhimpunan aman kami.

Sebagai ahli masyarakat madani, kami setia berpegang kepada prinsip integriti dan kami dengan sepenuh hati akan menuruti titah dan nasihat Tuanku DYMM SPB YDP Agong untuk berhimpun di stadium untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Kami memilih Stadium Merdeka sebagai tempat yang terbaik untuk acara ini kerana ianya simbolik dan terletak di lokasi yang munasabah. Kami tidak akan sekali-kali akan berubah niat dan tetap akan membuat himpunan yang aman di sana.

Jikalau Perdana Menteri seorang yang boleh dipegang katanya, beliau akan membuat tindakan yang sewajarnya agar acara ini dapat dilaksanakan secara aman di Stadium Merdeka.

Sama ada kerajaan berpegang kepada prinsip-prinsip mereka atau tidak, kami sebagai rakyat Malaysia akan berpegang kuat kepada prinsip-prinsip kami. Semangat kami untuk menggunakan hak perlembagaan kami untuk berkumpul secara aman dengan tujuan yang adil dan berpatutan tidak akan berbelah bagi.

Kenyataan-kenyataan akhir yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara menunjukkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan terhadap kami sekiranya kami berbuat apa-apa selain daripada duduk di rumah masing-masing.

Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahukan hak kami untuk memilih pemimpin kami dengan cara yang demokratik. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil. Tanggungjawab pertama kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak kami. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip-prinsip keadilan.

Kami rakyat Malaysia akan tetap berkumpul secara aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai, 2 petang. Kami akan datang untuk berkumpul beramai-ramai, dan bersama-sama kita membina Malaysia.

Kenyataan daripada, Ahli Jawatankuasa Induk Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)

Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada: Dato' Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato' Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato' Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.


http://malaysiakini.com/news/169167


Sosilawati ajak anak sulung ke Banting jumpa peguam

Jul 6, 11 8:46pm

Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau telah diajak menemani ibunya ke Banting untuk menemui peguam bernama 'Pathma' pada hari jutawan kosmetik itu dan tiga individu lain dilaporkan hilang.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, berkata ibunya meminta beliau berbuat demikian sekiranya pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin yang dipanggil 'Uncle Kamal' tidak hadir ke pejabat.

"Ibu cakap kalau Kamal tidak datang, saya kena ikut dia pergi ke Banting pada hari itu (30 Ogos 2010) kerana dia nak percepatkan tarikh cek sebelum Hari Raya. Uncle Kamal bagaimanapun datang ke pejabat kira-kira 4 petang dan ibu dalam keadaan nak cepat tinggalkan pejabat bersama Kamal menaiki kereta BMW X5 WTL11 untuk berbuka puasa di Banting," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Erni Dekritawati, yang juga dikenali sebagai Rita, memberi keterangan pada perbicaraan kes N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Erni Dekritawati berkata sebelum bertolak, ibunya turut memberitahu bahawa beliau akan ke Banting bersama-sama Ahmad Kamil dan Noorhisham.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin mengapa Sosilawati ke Banting untuk mempercepatkan tarikh cek, saksi ke-15 pendakwaan itu berkata: "Untuk kegunaan Hari Raya kerana cek itu mempunyai tarikh selepas Raya dan ibu nak beri bonus kepada pekerja serta beri (wang) pada adik-beradiknya."

Erni Dekritawati yang merupakan pengarah syarikat Novelles Beauty Centre Sdn Bhd, berkata beliau menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira 7.30 malam hari yang sama, setelah beberapa panggilan daripada ibunya tidak dijawab.

"Saya baca SMS ibu yang berbunyi 'Jangan bagi Kamal masuk rumah, dia tangkap gambar mak. Kalau ada apa-apa hubungi Bisah (Habishah Bahari).' Saya call balik ibu berulang kali tetapi ibu tidak jawab telefon dan terus masuk ke voice mail. Lepas itu saya call pemandu (Kamaruddin) juga tidak berjaya dihubungi.

"Saya cuba call mereka (berempat) tidak dapat. Saya kemudian terus balik rumah dan call Bisah untuk tanya tentang SMS ibu saya tetapi Bisah cakap tidak mungkin Kamal buat macam itu, saya pun tidak percaya Kamal buat macam itu. Saya syak kerana tidak pernah selama ini ibu dan Kamal bergaduh sampai macam itu
sekali," katanya.

"Adakah awak percaya Kamal ambil gambar itu?," soal Ishak.

"Saya tidak percaya Kamal akan buat macam itu kerana lepas saya call Bisah, saya pergi ke bilik ibu (untuk periksa sekiranya terdapat kamera yang disembunyikan) tetapi tiada apa-apa," jawab Rita.

Saksi itu berkata beliau kemudian terus menunggu Sosilawati di rumah kerana ibunya telah berjanji untuk pulang memandangkan adik-beradik jutawan kosmetik itu dari Johor Baharu akan datang ke Kuala Lumpur pada malam kejadian.

Erni Dekritawati berkata selepas gagal menghubungi ibunya dan tiga lelaki itu, beliau terus ke Shah Alam untuk mencari kereta Proton Perdana hitam milik Noorhisham yang diletakkan di sebuah kawasan di Seksyen 7 dan beliau kemudian mendapati kereta itu masih berada di sana.

"Saya tahu tentang kereta Noorhisham kerana kira-kira pukul 7 malam sebelum itu (30 Ogos 2010) Kamil ada hubungi saya bertanyakan saya nak berbuka di mana dan ketika bercakap dengannya saya terdengar suara Noorhisham. Kamil kemudian memberikan telefonnya kepada Noorhisham dan Noorhisham memberitahu saya dia meletakkan keretanya di Shah Alam dan pergi ke Banting dengan menaiki kereta Kamil," katanya.

"Apa lagi yang diceritakan oleh Ahmad Kamil kepada awak," kata Ishak dan Erni Dekritawati menjawab:
"Saya tanya mereka buka puasa di mana dan Kamil jawab 'entah, mak kau bawak pergi hutan mana entah ni, pokok kelapa sawit je ada'.

Selepas itu saya tanya ibu ada di mana dan mereka cakap ibu ada dalam kereta di hadapan mereka."

Erni Dekritawati berkata pada 31 Ogos 2010, beliau yakin ibunya dan tiga lelaki itu masih belum pulang ketika beliau sekali lagi pergi ke Shah Alam dan mendapati kereta Noorhisham masih berada di sana.

"Selepas itu saya balik ke rumah dan rasa tidak sedap hati. Saya gelabah masa itu bila tidak dapat jumpa ibu saya dan tidak ada kekuatan untuk buat report apatah lagi saya fikirkan adik-adik lain di rumah jadi saya minta adik keempat saya (Erni Erinawati Sofia) buat laporan polis. Adik saya buat laporan polis sebanyak dua kali," katanya.

Erni Dekritawati berkata beliau dan bapanya ke Banting pada hari yang sama (31 Ogos 2010) untuk mencari firma guaman Pathma tetapi gagal ditemui.

Sementara itu, isteri Ahmad Kamil, Sabrina Adnan, 32, dalam keterangannya berkata suaminya menghubungi beliau kira-kira 4 petang 30 Ogos 2010, untuk memaklumkan bahawa dia tidak akan berbuka puasa bersama keluarga kerana perlu ke Banting bersama-sama Sosilawati dan Noorhisham untuk menguruskan hal tanah.

"Kemudian, kira-kira 7.50 malam (hari sama) suami call dalam keadaan tergesa-gesa memberitahu bahawa dia tidak balik selama tiga hari. Saya tanya kenapa dan dia cakap ada masalah, Kak Wati (Sosilawati) tengah menangis kerana driver Kamal ugut dia untuk sebar gambar tidak senonoh, jadi dia nak tolong selesaikan.

"Saya tanya suami dia nak pergi mana dan dia di mana sekarang tetapi dia tidak jawab. Saya juga dengar ada suara latar ketika suami saya bercakap seperti suara lelaki yang kedengaran garau. Ini bukan kebiasaan suami saya tidak menjawab soalan walaupun sesibuk mana pun dia. Selepas suami tamatkan perbualan saya ada cuba hubungi dia beberapa kali tetapi tidak dapat," kata saksi ke-14 pendakwaan itu.

Dalam prosiding itu juga, Sabrina, Pengarah di Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, yang kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan, turut mengesahkan barangan peribadi milik suaminya iaitu sebuah telefon bimbit jenis
Blackberry Bold berwarna putih dan jam tangan jenama 'Bell & Ross' edisi terhad yang dibeli dengan harga lebih RM16,000.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169157

PM: Perhimpunan di Stadium Merdeka bergantung pada polis

Jul 6, 11 8:25pm

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata keputusan untuk membenarkan perhimpunan diadakan di Stadium Merdeka pada Sabtu ini akan dibuat oleh pihak berkuasa terutamanya polis.

"Itu kita serah kepada pihak berkuasa terutamanya polis untuk tentukan keselamatan dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas melancarkan Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia di Klang.

Beliau berkata sekiranya ada permohonan rasmi daripada penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu ia perlu memenuhi syarat antaranya ialah pertubuhan itu mestilah berdaftar.

Selain itu, ia juga perlu mematuhi syarat-syarat keselamatan yang akan dikenakan oleh polis, katanya.

Menjawab soalan wartawan bahawa BERSIH 2.0 adalah pertubuhan haram, beliau berkata: "Bersih adalah haram, ia tidak pernah berdaftar."

Ditanya bilakah pertemuan antara beliau dengan pengerusi perhimpunan itu, Datuk S.Ambiga, beliau berkata: "Saya tak kata akan jumpa Ambiga. Kerajaan boleh bermaksud orang lain yang boleh mewakili kerajaan...kerajaan tidak bermakna saya secara peribadi."

Najib juga berkata beliau masih belum menerima sebarang surat permohonan dari Bersih untuk bertemu dengan beliau berhubung perhimpunan tersebut.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169156

Rumah MB Kedah disimbah cat merah

Jul 6, 11 7:33pm

Beberapa buah rumah dan kereta pemimpin serta pusat khidmat wakil rakyat PAS termasuk rumah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak disimbah dengan cat dalam beberapa kejadian malam semalam dan awal pagi ini.

Selain itu, sebahagian daripada mereka juga menerima nota ugutan yang dibungkus dengan batu supaya tidak menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Dalam kejadian itu, selain rumah Azizan di Sungai Limau, Yan, kereta ahli parlimen Pendang Dr Hayati Othman dan Setiausaha PAS Kawasan Alor Setar Adnan Saad disimbah dengan cat merah manakala rumah yang terlibat adalah milik Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah Ridzuan Abu Bakar dan Anggota Jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Kuala Kedah Mohd Radi Said.

Turut disimbah cat merah adalah Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa.

Azizan berkata laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian-kejadian itu dan berharap polis dapat melakukan siasatan segera.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan budak-budak nakal yang cuba menimbulkan kontroversi.

"Polis dah pergi tengok. Biarkan polis menjalan tugas mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Setar, hari ini.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169150

Najib: Saya tak kata akan jumpa BERSIH

Najib: Saya tak kata akan jumpa BERSIH
Leven Woon Zheng Yang
Jul 6, 11
7:31pm


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tidak semestinya beliau yang akan bertemu dengan pemimpin BERSIH 2.0 untuk berbincang mengenai perhimpunan di stadium, kerana ada orang lain yang boleh mewakili kerajaan.

NONEKatanya, beliau tidak mengatakan yang beliau akan menemui BERSIH.

Semalam, katanya, beliau berkata kerajaan yang akan menemui
gabungan tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Klang petang ini, Najib berkata kerajaan tidak bermaksud beliau secara peribadi.

Beliau diminta mengulas cadangan pemimpin BERSIH untuk bertemu dengan beliau berhubung perhimpunan tersebut.

Najib juga berkata beliau masih belum menerima permintaan dari pemimpin BERSIH untuk bertemu dengannya.

Semalam, perdana menteri berkata beliau difahamkan yang BERSIH mahu mengadakan pertemuan dengan kerajaan mengenai perhimpunan di stadium "(dan) kita bersedia untuk bertemu dengan mereka."

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/169151

Peguam, peniaga didakwa milik baju-T BERSIH

Jul 6, 11 7:00pm

Seorang peguam dan seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan atas pertuduhan memiliki baju T tertera tulisan 'Bersih 2.0 menuntut pilihan raya bersih dan adil', yang memaparkan kepentingan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.

Mohd Fadzli Mohd Ramly, 33, yang juga timbalan pengarah PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman, dan Abdul Manaf Md Hassan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di Markas Pas Kampung Mentara, Rompin kira-kira 10.50 malam, 2 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Noradidah Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169147

Polis: BERSIH tidak penuhi kriteria untuk permit

Polis: BERSIH tidak penuhi kriteria untuk permit
Kuek Ser Kuang Keng
Jul 6, 11
6:32pm


Pihak polis mahu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memohon mendapatkan permit bagi perhimpunan yang dijadualkan pada Sabtu ini, tetapi mengakui pertubuhan itu tidak layak berbuat demikian.

NONETimbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini mengadakan sidang akhbar bagi menasihatkan BERSIH 2.0 supaya memohon permit.

"Setakat ini, tiada permohonan bagi mengadakan perhimpunan di stadium,” kata Khalid pada sidang akhbar di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, petang ini.

"Saya cadangkan (mereka) memohon permit dengan segera. Kita akan memprosesnya secepat mungkin.”

Apabila wartawan mengingatkan Khalid bahawa BERSIH 2.0 telah diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Kementerian Dalam Negeri dan tidak mungkin layak mendapatkan permit, Khalid hanya mengangguk.

Ditanya wartawan berdasarkan status BERSIH yang dianggap haram oleh kerajaan, sama ada polis akan menolak permohonan itu jika ia dibuat, Khalid enggan menjawab secara langsung.

NONEApabila wartawan bertanyakan sama ada permohonan di bawah nama pertubuhan berdaftar yang lain boleh dibuat, Khalid menjawab: “Mungkin mereka boleh, saya tak tahu.”

Katanya lagi, jika permit dikeluarkan, peserta perhimpunan juga dilarang memakai atau memiliki apa-apa barangan yang menyokong BERSIH 2.0

"Baju dan apa-apa yang mempunyai logo BERSIH (2.0)... BERSIH (2.0) telah digazetkan sebagai pertubuhan haram. Apa-apa barangan yang berkaitan BERSIH (2.0) dilarang ,” katanya sambil menambah pesalah akan ditangkap.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/169143

PERKASA mahu berhimpun, pohon mengadap Agong

PERKASA mahu berhimpun, pohon mengadap Agong
Salhan K Ahmad
Jul 6, 11
6:20pm

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan meneruskan rancangannya untuk berhimpun pada 9 Julai di satu stadium memandangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) juga merancang untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, pertubuhan itu merancang untuk mengadakan perhimpunan berkenaan sama ada di Stadium Merdeka, Stadium Negara atau di Stadium Titiwangsa.

Sebelum itu, PERKASA akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendengar titah dan nasihat Seri Paduka berhubung perhimpunan berkenaan.

NONE"Jangan ambil kira permohonan mereka saja, kita mesti diberi (layanan adil) juga," katanya lagi yang turut berasa terkejut kerana pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan diberi peluang untuk mengadap.

Ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini, Ibrahim berkata surat bagi memohon perkenan mengadap itu telah diserahkan tengahari ini.

"Kalau Tuanku nasihatkan supaya jangan buat perhimpunan kita akan menjunjung duli.

"Tapi kita akan tengok di sebelah sana buat apa," katanya lagi yang sedikit lega kerana BERSIH memutuskan untuk berhimpun di dalam stadium.

perkasa gerak amanTegasnya, PERKASA hanya akan membatalkan perhimpunan sekiranya BERSIH turut berbuat demikian.

Tambahnya, PERKASA juga akan memohon permit bagi perhimpunan berkenaan, seperti juga perhimpunan yang dianjurkannya sebelum ini.

Beliau juga yakin PERKASA akan diberikan permit tetapi tidak bagi BERSIH yang masih diharamkan kerajaan.

Jelasnya, Seksyen 27 Akta Polis menetapkan bahawa permit berkenaan hanya boleh dipohon oleh pertubuhan berdaftar dan juga oleh tiga individu.

Mesti profesional

"Kalau individu mohon untuk organisasi haram, polis tak boleh beri kebenaran.

azlan"Polis mesti profesional... BERSIH haram, jadi kalau polis beri permit, polis juga langgar undang-undang," tegasnya yang juga ingin bertemu dengan perdana menteri berhubung isu sama.

Perhimpunan anjuran PERKASA perlu diadakan bagi mengimbangi gambaran yang bakal ditimbulkan bahawa "orang telah tolak kepemimpinan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib" melalui kejayaan perhimpunan BERSIH, kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata, beliau akan menjelaskan mengenai tuntutan BERSIH dalam dalam perhimpunan anjurannya.

Mengulas mengenai pelawaan Ambiga supaya PERKASA menyertai perhimpunan BERSIH, Ibrahim berkata beliau hanya akan ikut serta sekira turut menerima tuntutan berkenaan.

"Tapi kenapa sekarang baru jemput?" katanya sambil menambah, PERKASA setakat ini telah mendaftarkan lebih 11,500 orang bagi perhimpunan berkenaan.

VIDEO | 8.30 min


http://malaysiakini.com/news/169142

S'gor catat kenaikan imbangan kewangan

Jul 6, 11 9:38pm

Selangor mencatatkan kenaikan lembaran imbangan kewangan 20 peratus atau kira-kira RM200,000 bagi enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, pada Disember 2010, nilai kunci kira-kira Selangor dicatatkan RM1.6 bilion berbanding RM1.8 bilion sehingga Jun 2011.

"Sebanyak RM1 bilion cairan wang tunai disimpan dalam sistem perbankan manakala RM600 juta pula merupakan dalam bentuk pemilikan saham," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco negeri itu di Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid berkata baki atau rizab kewangan berkenaan pula diperuntukkan untuk memperbaiki dan menaik taraf beberapa prasarana seperti jalan raya dan sistem perparitan di seluruh Selangor.

"Sejumlah besar pendapatan itu adalah berdasarkan cukai yang dipungut sejak awal tahun ini," katanya.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai kedudukan kewangan negeri yang telah diluluskan itu akan diumumkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula minggu hadapan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169159

Kempen BERSIH ditukar jadi KOTOR

Kempen BERSIH ditukar jadi KOTOR
Aidila Razak
Jul 6, 11
3:49pm

“Mereka tak mahu BERSIH jadi kita beri mereka KOTOR.”

Ini adalah reaksi ahli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye pagi ini apabila beliau mengunjung sebuah pasar di Gunung Rapat Ipoh, tempat dia ditahan polis minggu lalu kerana memakai baju kuning BERSIH 2.0.

NONEBersama ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai - yang juga ditangkap minggu lalu atas sebab yang sama - Lee dan anggota PKR Perak memakai baju yang tertera perkataan 'KOTOR' kali ini.

Pada kemeja itu, perkataan 'BN' dan '53 tahun menggantikan perkataan 'bersihkan pilihan raya'.

Menurut Lee ketika dihubungi, anggota polis yang menahan mereka minggu lalu juga tergelak melihat telatah mereka dan diberi peringatan ia mungkin mencetuskan kemarahan kumpulan bertentangan yang lain seperti PERKASA dan Pemuda Umno.

'Kempen' yang dilancarkan hari ini juga mendapat pelbagai reaksi positif dan kebanyakan orang ingin tahu di mana mereka boleh memperolehi baju berkenaan.

NONE“Tetapi kita tidak bercadang mengeluarkan lebih banyak. Ini baju keluaran terhad,” katanya.

Lee yang telah memakai baju kuning setiap hari sejak beliau ditangkap pada 30 Jun lalu berkata tujuan kempen”KOTOR” agar rakyat tidak takut berpakaian mengikut kehendak mereka.

“Kami mahu beri jaminan kepada orang ramai bahawa mereka mempunyai hak memakai apa yang mereka mahu dan kami tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/169099

6 aktivis PSM fail habeas corpus supaya dibebas

Jul 6, 11 9:28pm

Enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Michael Jeyakumar, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, hari ini
memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan dengan segera.

Mereka memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang melalui firma guaman Tetuan Raj, Ong & Co dengan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Selain Dr Jeyakumar, 56, mereka yang lain ialah Sukumaran a/l Munisamy, 50, Letchumanan a/l Aseer Patham, 49, Choo Chon Kai, 33, Sarasvathy a/p Muthu, 58, dan Sarat Babu a/l Raman, 25.

Permohonan habeas corpus itu dibuat atas alasan bahawa peguam dan anggota keluarga mereka tidak mendapat akses untuk menemui mereka walaupun telah beberapa kali memohon kepada pihak polis.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa tidak menghubungi keluarga atau pun peguam mereka sejak ditahan Sabtu lepas di bawah Seksyen 3(1) ordinan berkenaan.

Permohonan itu turut disertakan dengan notis perakuan segera melalui peguamnya Yudistra Darma Dorai supaya mahkamah mendengar kes itu dengan segera.

Yudistra, yang hadir ke mahkamah, memberitahu media bahawa polis Bukit Aman telah membenarkan pihaknya dan keluarga keenam-enam tahanan itu berjumpa dengan tahanan itu esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169158

Tentang Kesahihan Amalan Dan Fadilat Syaaban

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan?

Anisah, Bangi.

Jawapan Dr MAZA: Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam. Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut. Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.

2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).

3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan:

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):

“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban. Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab:

“Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.

6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah:

“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).

7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.


http://drmaza.com/home/?p=1192

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...