Sunday, March 1, 2009

Temui telefon bimbit dalam ikan


GAMBAR menunjukkan Glen (kiri) dan Andrew memegang ikan kod yang menelan telefon bimbit.


WORTHING - Seorang ahli perniagaan yang kehilangan telefon bimbit selepas tercicir di tepi pantai terkejut selepas seorang nelayan menemuinya terdapat dalam perut seekor ikan kod seberat 11.34 kilogram, lapor sebuah akhbar semalam.

Ahli perniagaan tersebut, Andrew Cheatle menyangka telefon bimbit jenama Nokia miliknya akan hilang buat selama-lamanya di laut selepas tercicir dari poket baju seminggu lalu.

Namun, seorang nelayan, Trawlerman Glen, 45, menelefon teman wanita Andrew, Rita Smith, 33, dan mendakwa menemui telefon bimbit milik Andrew.

Setelah mendapatkan kembali telefon bimbit miliknya itu, Andrew menjemurnya dan didapati ia masih berfungsi.

Glen yang menemui telefon itu berkata: "Ikan kod adalah ikan yang tamak. Ia akan memakan apa sahaja.

"Ikan itu mempunyai kepala dan mulut yang besar.

"Saya pernah menemui cawan plastik, batu, sudu, bateri dan saya turut mendengar terdapat seseorang menemui gigi palsu dalam mulut ikan itu," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Kerajaan tangguh kenaikan tol

PUTRAJAYA - Selepas hanya 24 jam pengumuman mengenai kenaikan kadar tol di lima lebuh raya diputuskan kelmarin, Kabinet semalam mengambil keputusan untuk menangguhkan kenaikan tersebut yang sepatutnya bermula Ahad ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan itu berkata, kadar baru tol itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed.

Mohd. Zin pada sidang akhbar di kementeriannya petang semalam berkata, kerajaan akan menangguhkan kadar baru di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) sehingga akhir tahun ini.

Ekoran penangguhan kadar kenaikan tol itu, Najib berkata, kerajaan terpaksa membayar RM500 juta yang terdiri daripada wang pembayar cukai kepada syarikat konsesi kelima-lima lebuh raya itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu pada sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di sini.

Najib turut menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya penangguhan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya itu ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah pada 7 April ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Bersenam 500 kali setiap malam kekal sihat

Bersenam 500 kali setiap malam kekal sihat


ZALEHA menunjukkan senaman tangan ketika berceramah di LPPKN di Kuala Lumpur 
semalam.





KUALA LUMPUR - Senaman secara intensif sebanyak 500 kali setiap malam selama 15 minit merupakan petua untuk kekal sihat dan mempunyai stamina tinggi walaupun pada usia emas.

Itu adalah antara petua yang diamalkan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Tan Sri Zaleha Ismail, 72, untuk kekal sihat biarpun di dalam lingkungan usia emas pada ketika ini.

Menurut bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat ini, senaman ringan yang dilakukan itu diyakini mampu mengawal paras gula di dalam badan memandangkan beliau merupakan seorang penghidap diabetes sejak 40 tahun yang lalu.

"Seorang doktor ada memberitahu saya bahawa selepas makan tengah hari rehat sebentar dan selepas makan malam anda perlu berjalan sebatu, tetapi takkan malam-malam nak berjalan sejauh itu.

"Jadi saya buat senaman ringan secara berterusan sebanyak 500 kali untuk memastikan paras gula dalam darah saya dapat distabilkan," katanya ketika menyampaikan ceramah kesihatan bertajuk Tiru macam saya di LPPKN semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Wang haram: Peguam didakwa


Hazlan (kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas dituduh terlibat dalam aktiviti wang haram.


KUALA LUMPUR - Seorang peguam yang pernah didakwa atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, semalam sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang sama membabitkan RM428,101 di Mahkamah Sesyen di sini.

Hazlan Abd Hamid, 37, didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM380,000 daripada satu akaun di Ambank (M) Berhad ke dalam satu lagi akaun di CIMB Bank Berhad di No 2 Medan Istana, Bandar Ipoh Raya, Ipoh, Perak milik Tetuan Iszam Kamal & Hazlan, pada 15 April 2008.

Pada 22 Mei 2008, dia didakwa memiliki wang berjumlah RM48,101.91 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di dalam satu akaun di Ambank (M) Berhad.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Business Time Dina Sdn Bhd di Ambank (M) Berhad, bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini.

Hazlan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Hazlan yang merupakan pengarah syarikat pelaburan haram (skim cepat kaya) Business Time Dina Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Baharu manakala dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Pesara TLDM menyamar 'Datuk' dijel

KUALA LUMPUR - Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah disabitkan bersalah menyamar 'Datuk' untuk menipu pengarah syarikat pembalakan, lima tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan Ismail Che Abdullah, 62, menjalani hukuman tersebut mulai semalam. Bagaimanapun, jika tertuduh gagal membayar denda, Ismail bakal dihukum penjara 10 bulan.

Rozana menjatuhkan hukuman berkenaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir pembelaan.

Ismail didakwa memperdaya Rosmawati Mat Jusoh, 43, yang juga Pengarah Syarikat Regal Blue supaya mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan kerja untuk pengeluaran balak dari Kompartmen 151, hutan simpan balak di Kompleks Perkayuan Kelantan, Sungai Balak.

Tertuduh turut memberikan surat tawaran kontrak pengeluaran balak dari kompleks berkenaan kepada Syarikat Regal Blue (M) sedangkan diketahui dokumen itu adalah palsu.

Tindakan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM28,830 kepada tertuduh. Kesalahan itu dilakukan di No. 22-2, Jalan S/23E, Taman Danau Kota, Batu 4 1/2 Sentul di sini antara November 2003 dan Mac 2004.


Amukan amah bagai 'orang gila'


KIAN HUANG yang cedera teruk selepas diserang dengan pisau dan lesung batu dirawat di Hospital Pulau Pinang semalam.





GEORGE TOWN - "Aku nak bunuh kau! Aku nak bunuh kau!" 
Itulah jeritan yang mengejutkan Phang Kian Huang, 42, yang sedang tidur di bilik utama rumahnya di Flat Sri Mahsuri, Jalan Padang Tembak di sini kelmarin.

Sebaik membuka mata, satu pukulan keras hinggap di kepalanya.

Seperti orang hilang akal, pembantu rumah wanita warga Indonesia bernama Hanni, 20, terus bertubi-tubi memukul kepala Kian Huang mengguna kerusi kayu.

Selepas itu, Hanni melangkah keluar dari bilik Kian Huang sebelum dia masuk semula membawa pisau.


KEADAAN bilik tidur Kian Huang berselerak selepas dia diserang pembantu rumahnya yang mengamuk di Flat Sri Mahsuri, Pulau Pinang kelmarin.


Cerita wanita itu lagi, Hanni dengan pisau itu cuba kelar lehernya tetapi nasib baik beliau sempat mengelak.

"Semasa mengelak, Hanni melibas-libas pisau menyebabkan kaki kanan dan kiri saya cedera sebelum saya rebah," ceritanya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Kian Huang memberitahu, dalam keadaan separuh sedar, beliau nampak, Hanni mengambil anak lesung batu dari dapur sebelum memukul pula kepala dan dadanya berulang kali macam orang hilang ingatan.

Beliau kemudiannya lari ke koridor rumah dan menghubungi suaminya, Lim Hee Soon (gambar kecil), 41, yang tiba ke rumah dalam masa kira-kira lima minit selepas itu.

Kian Huang memberitahu, jiran-jiran yang terdengar bunyi bising itu telah menghubungi polis dan ambulans.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Camry simbol 'kerajaan sah' - Nizar


NIZAR melambai kepada orang ramai setelah keluar dari kereta Toyota Camry AGS 10 di Ipoh baru-baru ini.


IPOH - Setelah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar pada Ahad lalu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyerahkan kereta rasmi jenis Toyota Camry dengan alasan kenderaan itu adalah simbol 'kerajaan negeri yang sah'.

Pegawai khas beliau, Amran Harun berkata, keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan rasmi itu bukan bertujuan mengingkari arahan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim tetapi ingin menjadikan kereta bernombor AGS 10 itu sebagai simbol kerajaan negeri yang sah.


AMRAN (kiri) menyerahkan kunci rumah rasmi Menteri Besar Perak kepada Shamshuzaman di Ipoh semalam.


Menurutnya, kereta itu akan digunakan Mohammad Nizar sehingga mahkamah membuat keputusan sama ada beliau atau Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar yang sah.

"Beliau bersedia memulangkannya jika mahkamah mengisytiharkan Zambry adalah Menteri Besar yang sah selepas ini," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Amran mewakili Mohammad Nizar menyerahkan kunci kediaman rasmi itu kepada Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman di kediaman rasmi itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Diseksa, kurung sebab hutang RM300,000


KEADAAN rumah John di Subang Jaya yang berselerak dan sebahagian barang-barangnya hilang dipercayai angkara perbuatan ah long Selasa lalu.


SUBANG JAYA - Seorang lelaki yang meminjam wang RM150,000 daripada sekumpulan ah long tidak menyangka akan diseksa dan dikurung selama 23 jam dalam sebuah hotel di Pandan Perdana, Ampang, Selasa lalu.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang Selasa lalu, 15 ah long dengan enam dikenali oleh mangsa yang mahu dikenali sebagai John, 50, telah datang ke rumahnya di Subang Jaya.

Mangsa amat terkejut apabila kumpulan ah long itu meminta baki hutang termasuk bunga yang perlu dilangsaikan berjumlah RM200,000.

Sebelum ini, dakwa John, dia telah membuat bayaran berjumlah RM100,000 kepada ah long itu.

"Saya yang menyangka akan dapat berbincang dengan kumpulan ah long itu menjemput mereka masuk ke rumah.

"Tetapi sebaik mendengar saya tidak mampu membuat bayaran, ah long itu 'naik angin' dan mula menyepak terajang saya," dakwanya.

Cerita John yang bekerja sebagai wakil sebuah syarikat ansuran, dia meminjam duit daripada ah long itu pada Disember tahun lalu bagi menanggung kos perubatan ibunya yang menghidap kanser dan sebahagian lagi menyelesaikan masalah hutang pelanggan yang membeli insurans.

Katanya, kumpulan ah long yang marah turut menyelongkar dan memaksanya menyerahkan kunci rumah dan kunci kenderaan pelbagai guna Toyota Wish.

Kejadian itu tidak berakhir di situ apabila setengah jam kemudian dia dipaksa menaiki kereta sebelum dibawa ke sebuah hotel dan dikurung sehingga keesokan harinya.

"Dalam perjalanan saya pengsan dan apabila sampai di hotel itu saya yang amat lemah tertidur.

"Pukul 3 pagi saya terjaga dan terdengar perbualan dua lelaki yang mengawal saya. Daripada percakapan, mereka diminta meninggal hotel itu," katanya semasa ditemui di rumahnya Rabu lalu.

John berkata, dia yang tertidur semula hanya terjaga pukul 1 petang keesokan harinya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Tol naik sampai 50 sen - Kadar baru di lima lebuh raya mulai Ahad ini


SELEPAS 14 bulan tertangguh, kadar tol yang lebih mahal akan berkuat kuasa di lima lebuh raya mulai Ahad ini.


KUALA LUMPUR - Kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa Ahad ini sebagai mematuhi terma perjanjian antara kerajaan dengan pemegang konsesi lebuh raya.

Ia melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Bagi kenderaan kelas 1 (kereta), kenaikan untuk PLUS ialah 0.68 sen sekilometer, SPRINT-Kerinchi dan Damansara Link antara 30 sen dan 50 sen, AKLEH (50 sen) dan BESRAYA sebanyak 10 sen dengan bayaran di Plaza Tol Mines.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed berkata, kenaikan itu sangat kecil, contohnya kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan menggunakan PLUS dari Jalan Duta ke Bukit Raja dengan jarak 34 kilometer hanya perlu membayar tambahan 30 sen menjadi RM4.90.

Katanya, kerajaan terpaksa mematuhi terma konsesi itu kerana kos pembayaran pampasan adalah tinggi.

Sebagai contoh katanya, penangguhan kenaikan tol di lebuh raya PLUS, SPRINT dan AKLEH selama 14 bulan sejak 1 Januari 2008 telah menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Tak sesuai, kena kaji balik - PM




PATTAYA - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

Perdana Menteri berkata, kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di sini semalam.

Abdullah berkata, walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang. - Bernama



http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Kerajaan selia CTOS




KUALA LUMPUR - Semua agensi rujukan kredit termasuk CTOS atau Credit Tip-Off Service Sdn. Bhd. akan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara Malaysia, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Ia berikutan satu rang undang-undang rujukan kredit sedang digubal yang akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manogaran Marimuthu (DAP-Telok Intan) sama ada terdapat kawalan yang dijalankan oleh Bank Negara terhadap CTOS.

Menurut Ahmad Husni, ketika ini tiada mana-mana badan mengawal selia ke atas operasi CTOS kerana ia ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kebimbangan tentang implikasi kewangan atau kerahsiaan kewangan itu turut dilahirkan oleh Chua Tee Yong (BN-Labis) yang menyatakan tidak wajar orang asing mempunyai banyak maklumat kewangan tentang rakyat Malaysia. - Bernama

Elaun tarik penganggur

KUALA LUMPUR - Graduan serta mereka yang menganggur termasuk golongan yang diberhentikan kerja, boleh mendapat elaun daripada RM500 hingga RM800 sebulan.

Bantuan elaun itu menggunakan dana RM100 juta yang diluluskan Kabinet sebelum ini untuk menggalakkan orang ramai menyertai program latihan kemahiran sehingga mereka memperoleh pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, sekiranya pelatih belum berkahwin dan dia telah diberhentikan kerja atau graduan menganggur, mereka dapat RM500.

"Kalau sudah berkahwin, kita tambah RM100 dan RM50 untuk setiap orang anak sehingga jumlah maksimum RM800 sebulan,'' ujarnya semasa menjawab soalan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) di Dewan Rakyat semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Padah nak kaya ekspres - Tiru cop imigresen palsu dapat sebulan RM10,000


Sebahagian barangan yang dirampas daripada pengawal keselamatan dan empat yang ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.





SEBERANG JAYA - Kerja hakiki pengawal keselamatan. 
Bagaimanapun bagi menambah pendapatan, seorang lelaki sanggup membuat cop imigresen palsu untuk memancing rakyat asing yang menghadapi kesukaran ketika berurusan di Jabatan Imigresen.

Setiap bulan, pengawal keselamatan berusia 59 tahun itu dipercayai mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 dengan mengenakan bayaran RM500 bagi setiap pasport yang diuruskan.

Namun kegiatan suspek itu berakhir pukul 10 pagi kelmarin, apabila dia dicekup sepasukan penguat kuasa jabatan imigresen di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam dekat sini.

Pengarah Imigresen negeri, Abd. Rahman Harun berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam menyatakan lelaki berkenaan terlibat dalam aktiviti pemalsuan pasport dan semasa bertugas lelaki itu dilihat sering mencari pelanggan.

"Hasil siasatan segera yang dilakukan, kita dapati lelaki berkenaan berada di pekarangan jabatan ini pagi semalam (kelmarin) dan sedang mencari pelanggannya.

"Apabila menyedari dia sedang diperhatikan, lelaki berkenaan melarikan diri dan pulang ke rumahnya,'' kata beliau .

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Pemuda beri tempoh 24 jam buktikan dakwaan dalang pengiriman peluru


KEKECOHAN yang berlaku antara Pemuda UMNO Selangor dan ahli 
Parlimen DAP di lobi bangunan Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR - Lobi Parlimen semalam kecoh apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh 'dikepung' oleh sekumpulan Pemuda UMNO Selangor semasa beliau tiba di pekarangan bangunan itu.

Tindakan itu kerana mereka ingin meminta Karpal memohon maaf berikutan tuduhan bahawa pergerakan tersebut dalang di sebalik pengiriman dua butir peluru kepadanya.

Mereka juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan kata-kata 'celaka' yang diungkapkan oleh Karpal di Dewan Rakyat kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, kumpulan terbabit yang diketuai Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din mengepung Karpal sambil mendesak beliau meminta maaf, namun Pengerusi DAP itu berdiam diri dan enggan berbuat demikian.

Keadaan selepas itu menjadi kecoh apabila beberapa ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat seperti Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) serta Lim Lip Eng (DAP-Segambut) datang sehingga berlaku kejadian tolak menolak.

Anggota keselamatan yang bertugas di bangunan Parlimen kemudian bertindak membawa Karpal masuk ke dalam dewan persidangan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Ibu 8 anak ditawar berlakon filem lucah

Ibu 8 anak ditawar berlakon filem lucah





LOS ANGELES - Ibu yang melahirkan lapan bayi menerusi pembedahan, Nadya Suleman (gambar) ditawar untuk berlakon dalam satu filem lucah, lapor sebuah akhbar semalam.

Nadya yang terbabit dalam beberapa kontroversi berhubung kehamilannya ditawarkan kontrak AS$1 juta (RM3.67 juta) untuk berlakon dalam satu filem lucah.

Jurucakap Vivid Entertainment, Jackie Martin berkata, tawaran itu termasuk perlindungan insurans untuk keluarganya selama setahun.

Vivid menyatakan tawaran itu dihantar kepada Nadya menerusi pos bagaimanapun dia masih belum memberikan sebarang reaksi balas.

Surat tawaran itu turut menyatakan video lucah itu akan diedarkan menerusi label Vivid-Celeb yang turut mengedarkan filem lakonan Pamela Anderson dan Kim Kardashian.

Nadya, 33, melahirkan anak kembar lapan menerusi pembedahan pada 26 Januari lalu di sebuah hospital di California setelah memperoleh sperma penderma.

Dia yang sudah bercerai sebelum itu mempunyai enam anak.

Bagaimanapun Nadya dilaporkan bakal kehilangan kediamannya setelah gagal membayar tunggakan gadai janji. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/cari_tarikh.asp

Saintis rungkai misteri ikan ganjil


IKAN ganjil ini mempunyai kepala yang lut sinar.



LOS ANGELES - Sekumpulan saintis cuba menyelesaikan misteri yang berusia 50 tahun terhadap seekor ikan ganjil yang mempunyai dua mata di hadapan kepalanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan itu turut mempunyai bahagian kepala yang lut sinar dan hidup di dasar laut dalam.

Ahli-ahli biologi di Institut Akuarium Teluk Monterey, California di Amerika Syarikat (AS) menggunakan video untuk mengkaji pergerakan mata ikan ganjil itu.

Pada kebiasaannya ikan mempunyai mata di sisi badan sekali gus mampu melihat apa yang berlaku di sekeliling kawasan haiwan itu.

Ikan ganjil itu mempunyai mata di depan kepala sama seperti manusia.

Namun, saintis-saintis itu mendapati mata ikan tersebut boleh bergerak ke dalam bahagian lut sinar di kepalanya bagi membantunya mengesan pencari mangsa dan makanan. - Agensi


Pelajar 15 tahun jadi pelacur dapat RM73,317


SEORANG pelajar sekolah yang menjadi pelacur dianggarkan mampu mendapat £84,000 (RM251,342) setahun.



LONDON - Seorang pelajar sekolah berumur 15 tahun meraih pendapatan sebanyak £14,000 (RM73,317) dalam tempoh dua bulan setelah bekerja sebagai gadis teman sosial, lapor sebuah akhbar semalam.

Gadis itu seperti pelajar lain pergi ke sekolah tetapi pada hujung minggu dia bertemu beberapa lelaki untuk menjalin hubungan seks di hotel.

Dia mendakwa umurnya 18 tahun.

Gelagat pelacur muda itu terbongkar apabila seorang gurunya menemui kondom dalam beg sekolahnya.

Polis kemudian dihubungi dan pelajar itu dibawa pulang ke rumah.

Anggota-anggota polis menggeledah rumahnya yang didiami oleh ibu dan bapa tirinya.

Mereka menemui wang tunai £8,060 (RM42,215) disembunyikan di loteng rumah.

Pada awalnya, polis mengesyaki ibu bapanya menjadi bapa ayam dan menahan mereka.

Namun, polis kemudian mendapati ibu bapa gadis itu tidak mengetahui anak mereka bekerja sebagai pelacur kelas atasan dan mereka dibebaskan.

Pelajar itu tidak ditangkap.

Polis menyatakan pelajar itu menjadi mangsa keadaan.

Jurucakap polis Northumbria, Asa Anderson berkata: "Wang tunai itu dirampas selepas polis menerima satu panggilan telefon dari sebuah sekolah di mana seorang guru menemui beg seorang pelajar mengandungi beberapa barangan."

Beberapa pegawai berkata, gadis itu mungkin memperoleh pendapatan £84,000 setahun (RM251,342) jika perbuatan itu tidak dibongkar. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...