Tuesday, December 7, 2010

Semakin jauh di hati generasi muda




APABILA dilontarkan soalan mengenai urutan nama-nama bulan Islam kepada 10 anak muda kini, tidak mustahil sembilan daripada mereka terdiam atau tergagap-gagap menyebut satu demi satu bulan Islam.

Sementara yang seorang lagi pun, mungkin berjaya menamakan bulan-bulan Islam selepas menyanyi perlahan sebuah lagu bertajuk Bulan-bulan Islam nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang pernah dihafalnya ketika di bangku sekolah.

Bagi kebanyakan anak muda, mereka sekadar tahu nama bulan-bulan tertentu yang melibatkan perayaan seperti bulan Ramadan, Syawal, Muharam dan Zulhijjah.

Senario sebegitu adalah gambaran umum mengenai betapa jauhnya takwim Islam di hati anak-anak muda kini berbanding takwim Masihi yang kita gunakan setiap hari.

Jika ada antara kita yang menghafal bulan-bulan Islam sekali pun, mungkin ada segelintirnya yang tidak tahu mengenai sejarah takwim Islam itu sendiri.

Bila ia bermula dan siapa yang mencetuskan takwim tersebut?

Hijrah Rasulullah

Menurut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Che Alias Che Ismail, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab.

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah.

Asas pembinaan takwim Islam sebenarnya telah digambarkan di dalam al-Quran iaitu Surah Yunus Ayat 5 yang bermaksud:

‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

‘Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.'

“Sebelum dilaksanakan penetapan takwim Hijrah ini dan semasa hayat Rasulullah SAW, takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamariyah (sistem hitungan bulan).

“Penentuan tahun pula dirujuk kepada tahun berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian seperti tahun gajah, peperangan al-Fijar, tarikh pembinaan Kaabah dan sebagainya. Cara penetapan sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan kerana catatannya tidak menggunakan kaedah yang tetap dan seragam,” jelasnya.

Tambah Che Alias, segalanya bermula pada tahun 17 Hijrah iaitu tahun keenam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saidina Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan Saidina Ali Abi Talib supaya menjadikan tahun Rasulullah SAW berhijrah sebagai tahun pertama bagi takwim Hijrah.

Saidina Uthman Affan pula mencadangkan supaya bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah walaupun tarikh sebenar Rasulullah berhijrah adalah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal bersamaan 24 September 622 Masihi.

Bermula daripada peristiwa tersebut, umat Islam dengan rasminya mempunyai satu sistem kalendar tersendiri yang dinamakan takwim Hijrah.

Perbezaan


SEJAUH manakah generasi muda hari ini mengingati dan mengenali bulan-bulan Islam dalam kalendar Hijrah?


Perhitungan takwim Qamariah adalah berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi yang setiap pusingan mengambil masa selama 29.53059 hari dalam hitungan falak. Ini berbeza dengan perkiraan takwim Syamsiyah yang merujuk kepada kedudukan dan pergerakan matahari.

Firman Allah dalam Surah al-Kahfi Ayat 250 bermaksud: ‘Dan mereka tinggal dalam gua mereka selama 300 tahun dan (sebahagian) manusia menambah sembilan (tahun kepadanya)’.

“Mengikut perkiraan ilmu falak, ayat tersebut menunjukkan bahawa 300 tahun bagi tahun Masihi (Syamsiyah) adalah menyamai 309 tahun Qamariah atau tahun Hijrah yang digunakan sebagai takwim Islam sekarang.

“Ini terbukti melalui kiraan jumlah hari yang berkitar 29-30 hari bagi satu pusingan pergerakan bulan mengelilingi bumi (satu kitaran), bersamaan dengan satu tahun mempunyai 354 hari iaitu 11 hari kurang dari tahun Syamsiyah iaitu kalendar Masihi yang berjumlah 365 hari atau 366 pada tahun lompat,” jelasnya.

Tambahnya, takwim Hijrah telah diambil kira pemakaiannya semenjak tahun 622 Masihi yang dikuatkuasakan penggunaannya pada zaman Khalifah Saidina Umar al-Khattab hingga kini.

Sementara itu, walaupun takwim Syamsiyah (Masihi) telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan kerajaan Rom (kalendar Julian), namun kalendar yang diguna pakai sekarang adalah takwim yang diperkenalkan oleh Pope Gregory XIII (kalendar Gregorian) pada tahun 1582 Masehi.

Menyentuh mengenai keistimewaan takwim Islam, Che Alias memberitahu, ia menjadi panduan kepada umat Islam bagi hari dan bulan ibadat, contohnya penetapan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

“Takwim Islam juga penting dari segi sejarah terutamanya bagi memperingati berlakunya peristiwa besar Islam seperti Nuzul al-Quran, Israk Mikraj, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan amalan-amalan yang lain.

“Takwim Islam dapat melenyapkan era takwim zaman jahiliah dalam setiap aspek kehidupan umat Islam sama ada dari segi akidah, syariah, muamalah dan akhlak,” katanya.

Jelas Che Alias, pada akhir tahun bagi takwim Hijrah iaitu akhir bulan Zulhijjah, umat Islam digalakkan berdoa (doa akhir tahun) sementara menunggu masuknya awal Muharam yang ditetapkan sebagai awal tahun Hijrah yang baru.

Umat Islam juga digalakkan membaca doa awal tahun bagi memohon keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Tarikh global

Dalam pada itu, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Ismail Ibrahim memberitahu, senario ramai anak muda tidak mengetahui bulan-bulan Islam berlaku kerana kita sudah mewarisi penggunaan kalendar Masihi yang menjadi satu amalan penggunaan tarikh global.

“Tidak menjadi satu kesalahan untuk mengamalkannya kerana semua masyarakat antarabangsa menggunakan tarikh yang sama. Walaupun kini mereka hanya mengingati peristiwa atau hari-hari kebesaran Islam tertentu, itu sudah cukup baik.

“Kita bersyukur kerana negara kita mementingkan penggunaan tahun hijrah dari sudut cuti umum seperti satu Muharam, 12 Rabiul Awal, awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


PERARAKAN Maal Hijrah juga adalah salah satu kaedah mengingati peristiwa penting dalam takwim Hijrah.


Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai bulan-bulan Islam ini perlu diterapkan pada peringkat pendidikan anak-anak, bermula di peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat tinggi.

“Kini sudah banyak yang menggunakan tarikh-tarikh hijrah sebagai contoh di akhbar-akhbar dan di dalam takwim-takwim yang sedia ada.

“Walaupun sambutan tahun baru Hijrah tidak semeriah tahun baru Masihi, ini tidak bermakna mereka tidak mengenali tahun Hijrah.

“Kita lihat tahun baru Masihi lebih meriah diraikan kerana budaya dan amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini mengikut cara sambutannya di seluruh dunia,” ujar Ismail.

Berbeza pengisian

Cara meraikan sambutan tahun baru Islam juga berbeza pengisiannya berbanding tahun baru Masihi yang sinonim dengan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan.

“Sebagai mengimbanginya, kita juga meraikan tahun baru Masihi dengan cara mengadakan forum-forum dan acara-acara keagamaan bagi mengingati syiar Islam dan kebesaran Allah.

“Selain itu, sambutan Maal Hijrah juga disambut meriah dengan pelbagai program seperti perarakan, perjumpaan Maal Hijrah di negeri-negeri seluruh negara, pengurniaan Tokoh Maal Hijrah dan sebagainya,” katanya.

Ismail menyarankan, cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran mengenai bulan-bulan Islam adalah mengaitkannya dengan peristiwa yang berlaku dalam keluarga seperti pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan sebagainya.

Di sekolah pula, takwim Islam mungkin boleh disertakan dengan tahun Masihi bagi mendedahkan generasi muda mengenai takwim Islam.

Selain itu katanya, kalendar-kalendar sepatutnya disertakan dengan tarikh-tarikh Islam kerana di Malaysia takwim Islam sudah ditetapkan sepanjang tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Zuckerberg nafi Facebook dihasilkan kerana wanita


MARK ZUCKERBERG (kiri) berbual dengan koresponden stesen televisyen CBS, Lesley Stahl yang mengunjungi pejabat Facebook di Palo Alto, California pada 25 November lalu.


LOS ANGELES - Bilionair muda dan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg menjelaskan bahawa beliau tidak menggunakan laman web yang diasaskannya itu untuk berkenalan dengan wanita.

Menurutnya, dia berkenalan dengan kekasihnya, Priscilla Chan yang kini merupakan bekas guru dan sedang mengikuti latihan sebagai pakar pediatrik sebelum rangkaian itu diwujudkan.

"Mereka mengatakan bahawa saya membina Facebook adalah untuk mendapatkan teman wanita. Mereka sebenarnya salah kerana saya lebih dahulu berkenalan dengan teman wanita saya itu," katanya.

Zuckerberg mengulas mengenai perkara tersebut ketika rakaman temu bual dengannya disiarkan dalam sebuah rancangan televisyen, 60 Minutes, kelmarin.

Dalam program itu dia memberikan komen mengenai filem arahan David Fincher yang yang adaptasi daripada kisah hidupnya yang berjudul The Social Network.

Menurut Zuckerberg, filam itu yang lakon layarnya dihasilkan oleh Aaron Sorkin itu seronok ditonton kerana ia mengandungi banyak babak yang menunjukkan persamaan dengan dirinya namun terdapat juga bahagian yang diubah.

Menurutnya, dia melihat filem itu bersama beberapa kakitangannya. "Saya teruja menontonnya kerana terdapat banyak perkara yang mempunyai persamaan dan ada juga bahagian yang silap.

"Setiap baju T yang dipakai oleh pelakonnya adalah sama seperti yang pernah saya pakai. Selipar yang dipakai juga adalah sama," kata Zuckerberg kepada pengacara rancangan itu, Lesley Stahl.

Di dalam wawancara itu, Zuckerberg memberitahu bahawa beliau tidak faham mengapa rakannya yang merupakan sepasang kembar, Cameron Winkloevoss dan Tyler Winklevoss masih marah kepadanya.

Sebelum ini, kembar itu mendakwa Zuckerberg telah mencuri idea mereka untuk membina laman sosial itu.

Kembar itu dikatakan telah menerima AS$65 juta (RM204.5 juta) daripada Zuckerberg sebagai penyelesaian dalam tuntutan itu.

"Ia bukannya satu pekerjaan. Mereka tidak mengupah saya. Saya tidak diupah oleh mereka atau apa pun sepertinya," kata Zuckerberg.

"Mereka (Cameron dan Tyler) yang berasa kecewa mengenai semua ini selama beberapa tahun merupakan sesuatu yang sukar untuk saya bayangkan," tambahnya.

Cameron dan Tyler merupakan rakan belajar Zuckerberg di Universiti Harvard. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Didenda sebabkan Concorde terhempas


GAMBAR fail menunjukkan api pada sayap kiri pesawat Concorde Air France sebelum ia terhempas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris pada 25 Julai 2000.


PONTOISE, Perancis - Sebuah mahkamah memutuskan bahawa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Continental Airlines dan seorang mekaniknya didapati bersalah membunuh 113 orang dalam nahas pesawat supersonik Concorde yang terhempas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di sini.

Pesawat Air France menuju ke New York itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle pada 25 Julai 2000 mengorbankan 109 orang yang menaikinya, kebanyakannya warga Jerman dan empat orang di darat.

Mahkamah di bandar Ponoise di sini mengarahkan syarikat penerbangan Continental membayar denda AS$265,000 (RM833,716) manakala mekaniknya, John Taylor didenda sebanyak AS$2,650 (RM8,335).

Taylor juga dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan manakala semua tertuduh lain termasuk bekas penyelia Taylor yang kini sudah bersara, Stanley Ford dibebaskan daripada sebarang tuduhan.

Hakim mengesahkan hujah para penyiasat bahawa nahas tersebut berpunca daripada sekeping logam titanium milik pesawat DC-10 syarikat penerbangan Continental yang terjatuh di atas landasan.

Pesawat itu lebih awal berlepas dari pesawat Concorde.

Menurut siasatan lagi, satu tayar pesawat Concorde tersebut koyak apabila ia melanggar kepingan titanium itu.

Tayar itu meletup dan serpihannya mengenai enjin dan tangki minyak pesawat Concorde sehingga menyebabkannya terbakar sebelum ia terhempas. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Selat Melaka dalam senarai terbaru WikiLeaks


GAMBAR menunjukkan beberapa buah kapal di Selat Melaka berhampiran Singapura pada 23 Mac 2008.


WASHINGTON - Laman web WikiLeaks semalam mendedahkan satu senarai rahsia Washington mengenai lokasi-lokasi infrastruktur di seluruh dunia yang boleh mengancam keselamatan Amerika Syarikat (AS) sekiranya diserang pengganas.

Semua prasarana itu melibatkan sejumlah kabel dasar laut, pos komunikasi, pelabuhan, sumber galian firma strategik, laluan perkapalan dan lombong di negara-negara bermula dari Britain hingga ke New Zealand dan merentasi rantau Afrika, Asia Barat serta China.

Senarai itu bermula dengan sebuah janakuasa hidroelektrik di Quebec, Kanada yang dianggap sumber kuasa utama rantau timur laut AS manakala sebuah kilang Siemens di Jerman penting kerana menjadi pembekal bahan kimia utama bagi AS.

Turut dianggap penting oleh Washington dalam senarai WikiLeaks itu termasuk beberapa kilang vaksin penyakit cacar dan anjing gila di Eropah, sebuah kilang penawar bagi bisa ular di Itali dan sebuah firma Jerman yang menghasilkan produk rawatan untuk keracunan plutonium.

Selain itu, AS mengawasi kabel bawah laut, sistem satelit dan loji pertahanan di Britain yang dianggap boleh mempengaruhi keselamatan negara kuasa besar itu sekiranya ia diserang.

Tidak ketinggalan dalam senarai berkenaan adalah beberapa lombong kobalt di Congo, transformer elektrik besar Hitachi di Korea Selatan di samping laluan perkapalan utama dunia seperti Selat Melaka dan Selat Gibraltar.

Pentadbiran AS menyifatkan Persimpangan Paip Gas Nadym di Rusia yang merupakan kemudahan gas paling utama di dunia dan Pusat Industri Ras Laffan di Qatar sebagai kritikal dan tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan pengganas.

Menjelang 2012, Qatar merupakan import terbesar gas petroleum cecair AS.

Pendedahan terbaru itu dijangka meningkatkan lagi tekanan politik ke atas WikiLeaks dan pengasasnya yang berusia 39 tahun, Julian Assange.

Pada Jumaat lepas, Assange mengumumkan di Internet bahawa dia telah meningkatkan kawalan keselamatan dirinya selepas menerima beberapa ugutan bunuh. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Warkah Sultan Ismail kepada dunia



KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap krisis istana di Kelantan yang berlanjutan bagi mengelakkan kegelisahan dan kekeliruan rakyat dengan situasi semasa di negeri itu.

Beliau juga mengedarkan kenyataan yang dikeluarkan Sultan Ismail Petra yang tertulis bahawa baginda adalah Sultan Kelantan yang sah mengikut Perlembagaan.

Kenyataan bertarikh 27 November lepas diedarkan oleh Tengku Razaleigh di pejabatnya di sini supaya dapat memberikan gambaran sebenar kedudukan Sultan Ismail Petra.

"Inilah titah beta kepada rakyat Kelantan dan kepada seluruh dunia.

"Peristiwa dan perkembangan sejak mutakhir ini telah menimbulkan beberapa keraguan terhadap darjat dan taraf diri serta kedudukan beta. Maka dengan ini beta menjelaskan kedudukan sebenar.

"Beta adalah Sultan dan pemerintah yang berdaulat bagi negeri Kelantan Darul Naim. Ini adalah hak beta menurut perlembagaan dan perjanjian-perjanjian yang dicapai antara kerajaan British di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan di bawah Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Kedudukan beta sebagai Sultan adalah hak peribadi beta untuk menjadi pemerintah dan raja yang berdaulat sehingga akhir hayat beta," kata Sultan Ismail Petra dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu turut tertulis tiada mana-mana pihak dan sesiapa yang boleh mendakwa menjadi Sultan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Minda: ‘Lihat bandar raya kami’

MENARA Shanghai setinggi 121 tingkat bukan saja akan menjadi satu lagi bangunan China yang akan mencatatkan rekod baru. Ia adalah talian hayat ekonomi bagi kelab elit pemaju pencakar langit negara itu.

Kegawatan ekonomi menjejaskan rancangan membina bangunan tinggi baru di Chicago, Moscow, Dubai dan beberapa bandar lain. Namun, di China, kerja membina Menara Shanghai setinggi 632 meter yang dijangka siap pada 2014 dan puluhan bangunan tinggi lain semakin rancak, didorong ekonomi yang memberangsangkan di samping menyediakan kerja untuk sekumpulan besar arkitek dan jurutera.


Pasaran bangunan pencakar langit di Amerika Syarikat boleh dianggap lumpuh, kata Dan Winey, Pengarah Urusan Genseler, syarikat arkitek Menara Shanghai yang beribu pejabat di San Francisco.

“Bagi kami, China akan menjadi pasaran besar untuk 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.


China mempunyai enam daripada 15 menara tertinggi di dunia, berbanding tiga di Amerika Syarikat - tempat lahirnya pencakar langit. Tidak cukup dengan itu, China masih membina lebih banyak bangunan tinggi tanpa mempedulikan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya lambakan hartanah dan ia akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai negara paling banyak bangunan tinggi dalam senarai 100 menara tertinggi di dunia.


“Terdapat bandar raya di China yang tidak pernah didengar kebanyakan penduduk Barat, termasuk mengenai jumlah penduduknya yang lebih ramai dan lebih banyak bangunan tinggi berbanding separuh daripada bandar raya terkenal di Amerika,” kata Anthony Wood, Pengarah Eksekutif Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar di Institut Teknologi Chicago.

China juga mendahului pembinaan bangunan pencakar langit di negara sedang membangun yang menganjakkan pusat graviti lapangan itu dari Amerika Syarikat dan Eropah.


India, Brazil, Arab Saudi dan Indonesia mempunyai menara tinggi yang dalam pembinaan atau dalam perancangan. Di Teluk, Doha di Qatar dan Dubai, tempat terletaknya bangunan paling tinggi di dunia ketika ini - Burj Khalifa yang setinggi 163 tingkat - mempunyai 20 bangunan tertinggi yang dalam pembinaan, meskipun pembinaan satu daripadanya sudah ditangguhkan.

Anjakan itu amat drastik hingga perkongsian Amerika Utara dalam 100 menara paling tinggi di dunia akan jatuh daripada 80 peratus pada 1990 hanya kepada 18 peratus pada 2012, kata Wood.


Menurutnya, menjelang tahun itu, 45 bangunan paling tinggi di dunia akan terletak di Asia dengan 34 daripadanya di China.


“Dengan itu, 34 peratus daripada 100 bangunan paling tinggi di dunia akan berada di satu negara. Ia pernah berlaku sebelum ini, ketika Amerika Syarikat menguasai senarai berkenaan,” katanya.


Puluhan bandar raya kecil China membina daerah perniagaan baru untuk menggantikan kawasan bandar yang sesak. Mereka menjadikan daerah Pudong yang sesak dengan bangunan tinggi di Shanghai yang diwujudkan pada 1990-an di atas tanah tebus semula sebagai contoh.


“Kerajaan menggalakkan pembinaan seumpama itu dengan tujuan untuk memberi mesej jelas kepada dunia luar: Sila beri perhatian kepada bandar raya kami,” kata Dennis Poon, Ketua Pengurus Thornton Tomasetti, syarikat jurutera struktur Menara Shanghai.


Syarikat berpejabat di New York itu juga sedang mengusahakan pembinaan Pusat Kewangan Antarabangsa Ping An setinggi 115 tingkat di Shenzhen, berhampiran Hong Kong dan beberapa projek lain di China.


China mempunyai empat daripada 10 bangunan paling tinggi yang sedang dalam pembinaan berbanding dua di Amerika Syarikat. Lebih malang lagi, satu daripada bangunan yang dalam pembinaan di Amerika itu, Chicago Spire, sudah dihentikan.


Menara Shanghai akan menjadi menara pejabat paling tinggi di China, mengatasi Pusat Kewangan Dunia Shanghai (WFC) bersebelahan dengannya. Sebelum ini, WFC yang siap dibina dua tahun lalu, mengatasi Menara Jinmao untuk mendapat gelaran itu.


China mewakili 65 peratus daripada pendapatan Gensler di seluruh dunia, menerusi projek pembinaan bangunan setinggi 35 hingga 40 tingkat atau lebih, kata Winey.


Menurutnya, syarikat berkenaan terbabit dalam pembinaan 50 projek di China yang berjumlah lapan juta meter persegi, sama dengan keseluruhan ruang pejabat komersial San Francisco.


Pendapatannya di China meningkat antara 30 hingga 35 peratus setahun dan kakitangannya seramai 140 orang di pejabat di Beijing dan Shanghai mungkin berkembang kepada 500 orang dalam masa tujuh tahun.


Tianjin, bandar pelabuhan dan pusat penapisan minyak dengan impian untuk menjadi pusat kewangan dan teknologi, membina empat menara dengan ketinggian sekurang-kurangnya 75 tingkat. Satu daripadanya, Goldin Finance 117 yang akan mempunyai 117 tingkat dengan ketinggian hampir 600 meter.


Tanpa mencontohi cara Barat yang memisahkan menara untuk pejabat dengan bangunan apartmen, kebanyakan pemaju di China mempelbagaikan sumber pendapatan mereka dengan membina bangunan yang menggabungkan hotel dan ruang pejabat dan pusat beli-belah di bawah serta apartmen mewah di tingkat atas.


Ruang baru itu memasuki pasaran ketika Beijing berusaha memperlahankan ledakan dalam pembinaan bangunan kediaman mewah dan tempat beli-belah. Pihak berkuasa memberi amaran, lambakan penawaran itu akan menyebabkan pemaju berdepan masalah untuk membayar pinjaman bagi membina bangunan itu.


Tetapi, permintaan terhadap ruang pejabat begitu tinggi menjadikan pasaran untuk pencakar langit tidak akan berdepan dengan masalah seumpama itu,” kata Danny Ma, pengarah sebuah syarikat perunding untuk kajian bagi hartanah, CB Richard Ellis.


Menurutnya, bangunan baru itu akan diisi dalam masa yang singkat kerana kebanyakannya menawarkan kemudahan berkualiti tinggi seperti dikehendaki syarikat besar asing dan tempatan yang semakin berkembang di negara itu.


“Semakin banyak syarikat berminat untuk berpindah ke bangunan seumpama itu,” kata Ma. Menurutnya, pemaju mendapatkan penghuni terlebih dulu untuk 50 hingga 60 peratus ruang dalam projek baru, cukup dalam kebanyakan kes untuk membolehkan mereka mengaut keuntungan.


China secara tidak langsung membantu memacu pembangunan reka bentuk bangunan pencakar langit dan perancangan bandar apabila kerajaan mendesak supaya bangunan yang dibina itu mempunyai ciri-ciri mesra alam dan menggabungkannya dengan menjadi sebuah bandar.


Menara Shanghai umpamanya akan mempunyai lapisan kaca berkembar untuk menebat, sekali gus mengurangkan kos pemanasan dan penyejukan, satu ciri terkini yang mungkin ditolak kerana perbelanjaan yang mahal untuk memasangnya di Amerika Syarikat atau pasaran Barat lain, kata Winey. - AP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda___8216_Lihatbandarrayakami__8217_/Article/index_html

'Saya dah buntu'

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Sudah hampir lima tahun saya naik turun macam-macam jabatan dan jumpa macam-macam orang atasan untuk selesaikan kes ni. Kes tak juga selesai malah saya dihimpit macam-macam masalah.

“Saya sudah penat dan tak tahu nak buat apa lagi,” kata, Zilah Mahmood, 33, yang mendakwa identitinya dipergunakan pihak tertentu untuk tujuan pembelian dua kenderaan.


Katanya, namanya digunakan pihak tidak bertanggungjawab sejak lebih tujuh tahun lalu bagi pembelian kereta Kia Spectra dan Proton Wira di dua institusi perbankan terkemuka di negara ini namun hanya disedarinya kira-kira lima tahun lalu.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila dirinya diisytiharkan muflis oleh institusi perbankan terbabit yang mendakwa dirinya gagal melunaskan hutang pinjaman pembelian kereta Proton Wira berjumlah hampir RM40,000.


“Semuanya bermula pada 2006 apabila tiba-tiba saya dapat surat kompaun letak kereta dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu.


“Nama tertera pada surat itu memang nama saya tapi masalahnya kereta Kia Spectra itu bukan saya punya. Saya bukan setakat tak ada kereta, lesen kereta pun tak ada pada masa itu malah tak tahu memandu pun.

“Dari situ saya mula tahu ada orang gunakan nama saya dan saya sudah pergi ke macam-macam jabatan dan biro untuk mengesan siapa dalang di sebalik semua ini tetapi semua pihak seakan-akan tidak mahu membantu,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Zilah berkata, ketika dia sedang berusaha mendapatkan bantuan guaman untuk menyelesaikan kes berkenaan, bank terbabit tiba-tiba menghantar surat meminta dia menjelaskan hutang pinjaman kereta Kia Spectra terbabit bernilai kira-kira RM70,000 atau dia akan diisytiharkan muflis.

Katanya, sejurus kemudian, dia pergi ke Bank Negara untuk memeriksa status muflisnya selain meminta pihak Bank Negara mengambil tindakan terhadap bank terbabit.


“Alangkah terkejutnya saya apabila saya dimaklumkan saya sudah pun dimufliskan oleh sebuah bank lain, bukan bank yang sedang saya selesaikan kesnya. “Saya pun segera ke bank yang dimaksudkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dan sekali lagi nama saya digunakan oleh pihak tertentu untuk pembelian kereta jenis Proton Wira.


“Mana mungkin saya mampu memiliki dua kereta pada satu masa sedangkan gaji saya pun tidak sampai RM1,000 sebulan. Saya pun pelik macam mana dua bank ini boleh meluluskan pinjaman kenderaan sedangkan saya tuan punya badan tak tahu apa-apa malah tandatangan yang ada dalam dokumen perjanjian juga bukan kepunyaan saya. “Saya harap masalah ini dapat segera diselesaikan dan pihak bertanggungjawab tolonglah ambil tindakan. Saya mahu pihak bersalah dihadap ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.


Segala prosedur sudah dilakukan bagi membersihkan namanya daripada pengisytiharan muflis malah laporan polis juga dilakukannya hampir 10 kali sepanjang lima tahun ini namun layanan diterima daripada pihak berkaitan amat menyedihkan.


Zilah ketika ditemui turut memberitahu dia pernah kehilangan kad pengenalan pada 2001 yang mungkin salah satu faktor namanya digunakan bagi pinjaman kenderaan terbabit.


Zilah yang sudah bercerai dengan isterinya menganggap kes itu turut menjadi faktor perceraiannya dan harap perhubungannya dengan isteri dapat dipulihkan selepas kes itu selesai.


Penyebab itu berdasarkan maklumat pihak bank yang memberitahu penjamin bagi pembelian kereta jenis Kia Spectra juga pernah mengadu dia tidak pernah menjamin kenderaan terbabit serta pernah kehilangan kad pengenalan.


Zilah yang sudah bercerai dengan isterinya menganggap kes itu turut menjadi faktor perceraiannya dan harap perhubungannya dengan isteri dapat dipulihkan selepas kes berkenaan selesai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayadahbuntu/Article/index_html

Mujur tak sempat bertunang

Oleh Michelle Gun
am@metro.com.my

SIBU: Hasrat seorang gadis mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya terpaksa dibatalkan selepas majlis pertunangan yang diadakan di Sungai Menyan di sini, dihalang isteri lelaki berkenaan yang sedang mengandung empat bulan, semalam.

Isteri lelaki terbabit yang mendiami sebuah rumah panjang di Jalan Oya, Batu 36, turut ditemani tuai rumah bersama beberapa ahli keluarga ke majlis pertunangan pasangan itu selepas mendapat tahu suaminya ingin berkahwin lagi.


Difahamkan, sebagai bukti, isteri berusia 23 tahun itu menunjukkan sijil perkahwinan yang mencatatkan dia sudah berkahwin dengan kekasih gadis terbabit sejak lapan tahun.

Menurut sumber, lebih malang, gadis berusia 20-an yang bekerja di sebuah farmasi sekitar bandar ini diberitahu kekasihnya itu sebenarnya pemandu lori dan bukan guru sekolah seperti didakwanya sebelum ini.

Difahamkan, sebelum ini, lelaki berusia lewat 20-an berasal dari Sungai Assan itu memberitahu wanita terbabit yang dia masih bujang dan bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di bandar Sibu. "Akibat termakan kata-kata manis lelaki itu, gadis terbabit bersetuju menjalinkan perhubungan dan bertunang dengan kekasihnya serta merancang mendirikan rumah tangga," katanya.


Merasakan dirinya ditipu, gadis terbabit dan keluarganya membatalkan majlis pertunangan itu dan membuat laporan polis terhadap lelaki terbabit, semalam. Bagaimanapun, selepas mengetahui pertunangan mereka dibatalkan, lelaki terbabit masih tidak berputus asa dan menghubungi kekasihnya memberitahu dia mahu menceraikan isterinya, namun rayuannya tidak diendahkan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mujurtaksempatbertunang/Article/index_html

Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli

TERCEMAR..air Tasik Kenyir disahkan tercemar dengan virus e-coli berikutan pembuangan sisa kumbahan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot di Pangkalan Gawi.
TERCEMAR..air Tasik Kenyir disahkan tercemar dengan virus e-coli berikutan pembuangan sisa kumbahan tidak terurus oleh pengusaha rumah bot di Pangkalan Gawi.

HULU TERENGGANU: Air Tasik Kenyir di sini, disahkan dicemari bakteria e-coli serta berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan dan air buangan oleh pengusaha rumah bot yang menjadikan tasik buatan itu sebagai lokasi mencari rezeki.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kebanyakan rumah bot menggunakan mangkuk tandas jenis cangkung dengan sistem ‘flushing domestik’ manakala air buangan daripada sinki dapur yang mengandungi minyak masak serta sisa makanan dibuang terus ke dalam tasik.


“Kajian dilakukan Universiti Malaysia Terengganu mendapati berlaku peningkatan bakteria e-coli dalam air di tasik itu dan ia boleh menjejaskan sumber dan hidupan air di situ.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kita akan membina tandas dan menyediakan sistem buangan sisa lebih sistematik percuma kepada 37 rumah bot sedia ada serta mewajibkan rumah bot baru menyediakan sistem air buangan sebelum lesen dikeluarkan,” katanya pada sidang media sempena pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pangkalan Gawi di sini, semalam.


Pertandingan memancing Kenyir Cup membabitkan 60 peserta dari China dan 20 peserta tempatan diadakan selama tiga hari mulai esok menawarkan hadiah keseluruhan RM50,000.


Hadir sama pada majlis itu Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Hamzah Ngah dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaini Sulaiman.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti air Tasik Kenyir sentiasa bersih, kerajaan negeri memperuntukkan RM103,000 untuk pemasangan tandas dan sistem kumbahan sisa makanan di atas rumah bot terbabit.


Abdul Rahin berkata, pemasangan tandas membabitkan peruntukan RM2,775 setiap unit akan dilakukan mengikut beberapa fasa dan fasa pertama membabitkan 18 rumah bot yang digunakan sempena pertandingan memancing Kenyir Cup nanti.

Menurutnya, dengan pemasangan tandas itu, air kumbahan dan sisa makanan akan disalurkan ke dalam tangki takungan berkapasiti 200 liter.


Beliau berkata, isu pembuangan sisa kumbahan turut dibangkitkan ketika pembentangan kertas kerja bertajuk Tasik Kenyir sebagai destinasi eko-pelancongan pada mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jun lalu.


“Bagi memastikan flora dan fauna serta hidupan air kekal, perancangan termasuk menyediakan sistem sokongan terutamanya pengurusan sisa kumbahan perlu disediakan agar tidak mengganggu ekosistem sedia ada,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TasikKenyirdicemaribakteriae-coli/Article/index_html

Khir Toyo didakwa

Khir Toyo didakwa

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

CERIA...Dr Mohamad Khir (kiri) dan Shamsuddin (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.
CERIA...Dr Mohamad Khir (kiri) dan Shamsuddin (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam berhubung pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7, di sini, bernilai RM6.5 juta tetapi diperoleh pada harga RM3.5 juta, tiga tahun lalu.

Manakala, pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni yang menjual hartanah itu turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Dr Mohamad Khir.


Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mengikut pertuduhan, Dr Mohamad Khir, 45, didakwa memperoleh hartanah itu bagi diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kecik, 45, dengan harga itu menerusi Shamsuddin yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.


Tanah dan banglo itu dibeli Dr Mohamad Khir pada harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas Sdn Bhd dengan harga RM6.5 juta, pada 23 Disember 2004.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, pada 29 Mei 2007.

Manakala, Shamsuddin, 52, didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Ketua Pembangkang Selangor itu di tempat dan waktu sama.


Bagi pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon mahkamah menetapkan nilai ikat jamin lebih RM1 juta memandangkan ia adalah kesalahan serius dan membabitkan jumlah yang amat besar.


Katanya, perbuatan itu juga dilakukan individu yang memiliki jawatan tinggi dalam masyarakat iaitu wakil rakyat yang seharusnya lebih mengetahui akan kesalahan itu.


“Saya berpendapat tidak kurang RM1 juta ditawarkan sebagai ikat jamin tertuduh. Sebarang nilai kurang dari jumlah itu adalah sangat tidak adil,” katanya.


Bagaimanapun, peguam bela mewakili Dr Mohamad Khir memohon jumlah RM50,000 dikurangkan atas alasan nilai ditawarkan itu adalah tidak munasabah.


Beliau berkata, tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukannya untuk menghukum.


Azhaniz kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin.


Mahkamah juga membenarkan kedua-dua kes itu didengar secara serentak dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.


Pada prosiding semalam, Abdul Gani dibantu oleh Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.


Manakala, Dr Mohamad Khir diwakili oleh peguam bela, M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.


Shamsuddin pula tidak diwakili peguam bela.

Isu berhubung rumah mewah milik Dr Mohamad Khir sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila Adun Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran pembinaan kediaman itu melebihi kemampuan seorang menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

Sengsara cinta bekas rockers

Sengsara cinta bekas rockers

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Ridzuan Abd Rahman
am@hmetro.com.my

BENGKOK...jari kelengkeng kanan Mas yang tidak boleh diluruskan selepas dipukul.
BENGKOK...jari kelengkeng kanan Mas yang tidak boleh diluruskan selepas dipukul.

KUALA LUMPUR: Disebabkan cinta terlampau terhadap seorang bekas anggota kumpulan rock terkenal era 90-an, seorang wanita hidup sengsara selepas menjadi mangsa lelaki terbabit selama hampir empat tahun.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 30-an, yang juga seorang penggiat industri hiburan mendakwa dia bukan saja dipukul lelaki berusia 38 tahun itu, malah wangnya habis dikikis sepanjang tempoh mereka bercinta.


Mas mendakwa duda anak tiga itu juga bijak bermain ayat cinta dengan wanita semata-mata mahu mendapatkan wang atau pekerjaan dan bertindak kasar apabila kemahuannya tidak dipenuhi.

“Sebelum ini dia berbaik dengan saya kerana saya banyak membantunya mengadakan persembahan selain menyara hidupnya. Saya juga banyak menghabiskan duit termasuk pernah menjaminnya dua kali apabila ditahan polis kerana kes dadah dan pecah rumah.


“Walaupun hidup sengsara kerana dipukul sehingga mengalami kecacatan kekal di jari kelengkeng kanan dan wang dikikis sepanjang mengenalinya, saya masih setia kerana dia sentiasa memujuk serta meyakinkan saya kononnya mahu berubah. Dia pandai bermain ayat-ayat cinta,” katanya yang ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, dia kini mengesyaki pemain gitar ‘jambu’ dan menjadi kegilaan peminat wanita itu mempunyai hubungan dengan wanita lain yang turut menjadi mangsanya.

“Apabila ditanya, dia menafikan, tetapi perkara itu terbongkar selepas saya dimaki-hamun seorang wanita yang menghubungi saya kononnya mengganggu kekasihnya,” katanya.


Mas mendakwa, baru-baru ini, pemain gitar kumpulan yang lagunya masih diminati sehingga kini melarikan semua barang miliknya yang ditempatkan di rumah sewanya di Bukit Jalil, di sini, selepas membenarkan kekasihnya itu menumpang sementara waktu di situ.

“Saya tidak tinggal di rumah sewa itu dan hanya menempatkan semua barang saya sementara menunggu kuarters kediaman saya yang disediakan majikan. Saya benarkan dia tinggal di situ sejak dua bulan lalu selepas dia dihalau keluar pemilik rumah sewanya di Damansara kerana gagal membayar sewa, manakala saya tinggal di rumah rakan.


“Selepas saya memperoleh kuarters baru-baru ini, dia menghubungi saya menawarkan diri mahu membantu memindahkan barang, tetapi barangan rumah seperti set televisyen, sofa, meja makan, almari, peti ais dan mesin basuh tidak sampai kepada saya,” katanya yang dimaklumkan kekasihnya itu kini dipercayai mabuk cinta dengan janda beranak tiga.


Menurutnya, apabila memeriksa rumah sewa itu, semua barangannya hilang manakala lelaki itu berdolak-dalik untuk memulangkannya.


“Saya cuba menghubunginya, tetapi dia berjanji akan memulangkan semua barang itu, namun janji tinggal janji. Saya tidak tahu di mana dia berada sekarang dan tidak tahu sama ada barang saya itu masih ada atau sudah dijual. “Saya sudah berpatah arang dengan sikapnya, disebabkan dia saya hilang wang dan harta benda, malah keluarga memarahi saya kerana tahu latar belakang lelaki itu yang bermasalah,” katanya.


Mas berkata, dia tidak mahu ada kaitan lagi dengan lelaki itu dan meminta barangnya dipulangkan segera.


“Harta boleh dicari, tetapi apa yang dilakukannya terhadap saya tidak dapat dimaafkan,” katanya yang membuat laporan polis malam tadi.

http://www.hmetro.com.my/articles/20101207013717/Article

Khir Toyo didakwa





SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, di sini, yang dibeli pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga asal.

Mohamad Khir, 45, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendapatkan hartanah terbabit pada harga RM3.5 juta, melalui Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni, sedangkan hartanah berkenaan dibeli Ditamas Sdn Bhd dengan harga RM6.5 juta, pada 23 Disember 2004.

Dalam pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Azhaniz Teh Azman Teh, beliau didakwa mendapatkan bagi dirinya dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, dua tanah lot dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini, daripada Shamsuddin yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dalam pertuduhan itu, Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini. Ketika itu beliau adalah Menteri Besar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan dibantu Ketua Unit Pendakwaan, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Ketua Unit Pelucutan Harta, Jabatan Peguam Negara, Dzukifli Ahmad.

Sepanjang prosiding kes itu, semalam, Mohamad Khir yang diwakili peguam, M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi, kelihatan tenang.

Dalam prosiding itu, Abdul Gani menawarkan jaminan RM1 juta memandangkan kesalahan yang dilakukan Mohamad Khir serius dan membabitkan jumlah yang besar.

“Sebagai Wakil Rakyat dan menjawat jawatan tertinggi di Selangor pada masa itu, beliau sepatutnya lebih tahu dan tidak melakukan kesalahan berkenaan.

“Saya perlu menawarkan jumlah yang dapat memberi jaminan bukan saja kepada pihak pendakwaan, tetapi kepada semua untuk memberi jaminan kepada sistem perundangan,” katanya.

Bagaimanapun, Athimulan merayu jumlah itu dikurangkan memandangkan anak guamnya seorang ADUN dan tidak akan melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan mahkamah.

Azhaniz Teh membenarkan Mohamad Khir dibebaskan dengan jaminan RM750,000 dan seorang penjamin.

Hakim juga membenarkan permohonan Abdul Gani untuk memindahkan kes untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Di mahkamah sama, Shamsuddin, 52, turut didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir di tempat dan masa yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 165 kanun sama dan mengaku tidak bersalah.

Azhaniz Teh kemudian menetapkan wang jaminan untuk Shamsuddin pada jumlah yang sama dengan Mohamad Khir iaitu RM750,000 dengan seorang penjamin.

Shamsuddin yang tidak diwakili peguam, merayu wang jaminan itu dikurangkan tetapi rayuannya ditolak.

Mohamad Khir dan Shamsuddin kemudian dibebaskan setelah membayar wang jaminan.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8493650.asp

Sultan tarik 2 pingat kebesaran Ku Li





KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V berkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) (Al-Muhammadi I) yang dikurniakan sebelum ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, penarikan balik darjah kebesaran itu berkuat kuasa pada 2 Disember lalu dan sudah dimaklumkan melalui surat bertarikh 3 Disember lalu.

Beliau turut mengumumkan penarikan balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili I) kepada Dr Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (JP) berkuat kuasa tarikh sama.

“Kedua-dua mereka yang terbabit dalam penarikan di atas dimaklumkan melalui surat yang diserahkan pada 3 Disember llau.

“Adapun penarikan ini hak ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad ke-V, Sultan Kelantan yang dijalankan mengikut hemah dan budi bicara baginda jua sebagai mana penarikan balik darjah kebesaran kepada beberapa orang penerima anugerah sebelum ini,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar, di sini, malam kelmarin.

Mohd Aiseri, yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) berkata, penarikan balik darjah Tengku Razaleigh disebabkan beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan Sultan yang disiarkan akhbar Cina pada 14 September lalu.

Difahamkan artikel tersebut meragui pelantikan Sultan Muhammad-ke V sebagai pemerintah Kelantan.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh digugurkan daripada MPN kerana tidak menghadiri mesyuarat tanpa keizinan majlis itu.

Dalam pada itu, Ahli MPN, Datuk Mohd Shukri Mohamed berkata, penarikan tauliah Yaacob ada kaitan dengan tindakan beliau mengeluarkan kenyataan semasa menjadi peguam kepada Sultan Ismail semasa prosiding perbicaraan terhadap pelantikan Sultan Kelantan di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu.

Pada Oktober lalu, Sultan Muhammad ke-V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu, termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan, Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8493327.asp

Kenyataan Ku Li pandangan peribadi, kata pengelola istana

Dis 7, 10 2:29pm

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata tindakan tokoh politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.

Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Saya juga tidak dititahkan untuk membuat kenyataan berhubung kenyataan (Tengku Razaleigh) itu. Barangkali ia perlu dikaji oleh pakar yang berkaitan undang-undang,” katanya.

Abdul Halim memberitahu pemberita demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hijratul Rasul peringkat Negeri Kelantan yang disempurnakan Sultan Muhammad V, di Kota Bharu malam tadi.

Menurutnya, beliau perlu mendapat titah daripada Sultan sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kenyataan Tengku Razaleigh itu.

Bekas menteri kewangan itu, dalam kenyataan kepada media semalam masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad Ke-V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi I).

Pada 5 Disember, Istana Kelantan mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran itu yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh.

Ini berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, 73, yang juga ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150167

PR perlu 'gelombang rakyat' untuk tumbangkan BN

Dis 7, 10 10:14am

Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

NONEJusteru, Guan Eng berkata, PR perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.

“Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka PR berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN,

“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan PR yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu,

“Konvensyen Kebangsaan PR kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama PR terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, BN semakin rakus membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95, diesel, harga gas asli cecair (LPG) dan harga gula.

Yang peliknya, kata beliau, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia, umpamanya, terus menikmati subsidi gas.

Konvensyen kali kedua itu akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini dan dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan.

Mereka termasuk pimpinan utama Pakatan seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; penasihat DAP, Lim Kit Siang; presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, serta beberapa perwakilan asing.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan terus menerima asakan dan tohmahan Umno dan BN, namun pihaknya yakin rakyat akan tetap bersamanya.

Katanya, ini kerana rakyat tahu bahawa kerajaan negeri Pakatan sentiasa mengutamakan rakyat dan mentadbir negeri secara cekap, berakauntabiliti dan telus.

“Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain sepertimana yang pernah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), ” tambahnya.

http://malaysiakini.com/news/150151

Akta lindung pemberi maklumat kuatkuasa 15 Dis

Dis 6, 10 8:04pm

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA), inisiatif perundangan utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menangani rasuah, akan mula berkuatkuasa 15 Disember ini.

Akta tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, tujuan akta ini adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi kerahsiaan identitinya dan diberi imuniti daripada tindakan sivil atau jenayah serta perlindungan daripada mana-mana tindakan diambil yang akan membahayakan dirinya.

"Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah yang kini dilihat semakin berleluasa di negara ini.

"Jika seorang pemberi maklumat mahu membuat aduan berhubung tingkah laku yang tidak betul, mereka boleh berbuat demikian di mana-mana agensi penguatkuasa yang telah diberi kuasa untuk menerima pendedahan dan aduan dan menguatkuasa WPA. Identiti, profesion, alamat, pekerjaan pemberi maklumat itu secara automatik dilindungi," katanya kepada pemberita selepas taklimat 'Membanteras Rasuah Untuk Generasi Masa Depan" oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibunegara.

"Juga, bagi pihak pemberi maklumat, sebuah agensi penguatkuasa boleh meminta untuk penempatan semula tempat pekerjaan bagi pemberi maklumat," katanya.

Dengan terlaksananya akta ini, Malaysia telah mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah dan tidak akan bertolak ansur serta memberi ruang kepada gejala rasuah berlaku, selain menggalakkan lebih ramai orang tampil untuk membuat laporan tentang rasuah.

Semasa membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai pembentukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk menggalakkan pemberi maklumat mendedahkan amalan dan salah laku bersabit rasuah.

Liew berkata penyiasatan akan dilakukan untuk menentukan sama ada aduan yang diterima daripada pemberi maklumat adalah berdasarkan penipuan atau penyelewengan.

"Setelah dikaji sesuatu kes itu, segala perkembangan mengenai kes itu akan diberitahu kepada pemberi maklumat dan langkah-langkah yang diambil oleh SPRM," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perlindungan di bawah akta itu boleh ditarik balik dalam keadaan tertentu seperti pemberi maklumat terlibat dalam perlakuan tidak senonoh atau aduan tersebut palsu atau remeh.

Beliau berkata akta itu juga relevan dengan sektor swasta memandangkan badan-badan seperti Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti juga diklasifikan sebagai agensi penguatkuasa.

"Oleh itu, kepakaran bagi mengendali dan menyiasat aduan sudah sedia ada dan kini dengan akta, mekanisme dan prosedur, perlindungan sedia ada juga boleh diperkukuhkan," katanya.

Liew juga berkata bahawa badan korporat juga perlu melaksanakan dasar pemberi maklumat mereka sendiri dalam peringkat dalaman kerana peluasan dasar sudah sedia ada bagi memupuk urus tadbir korporat yang baik.

Beliau berkata banyak syarikat seperti Malaysia Airlines dan Lembaga Pelabuhan Klang telahpun mula melaksanakan dasar pemberi maklumat mereka sendiri dan perbadanan yang lain perlu digalakkan untuk mencontohinya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150141
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...