Sunday, October 24, 2010

Melayu perlu transformasi, kata wakil S'gor




Okt 22, 10 7:07pm

Orang Melayu juga perlu melakukan transformasi ekonomi bagi mempertingkatkan kedudukan ekonomi mereka selaras dengan usaha kerajaan mentransformasikan ekonomi negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Wakil Umno Selangor, Ketua Umno Petaling Jaya Utara Datuk Ikwan Salim Sujak berkata antara usaha yang boleh dilakukan oleh orang Melayu ialah dengan melabur dalam amanah saham yang dijamin kerajaan, dan tidak berisiko.

Pada masa ini, masih ramai orang Melayu yang belum melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), manakala mereka yang sudah melabur masih jauh mencapai nilai pelaburan maksimum, katanya semasa membahas usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Kuala Lumpur hari ini.

"Setiap kali keluar saham baru, kuota untuk bukan bumiputera dalam sehari sudah habis tetapi kuota untuk bumiputera berbelas tahun belum lagi habis," katanya.

Ikwan Salim berkata pelaburan seperti ini memberi pulangan baik setiap tahun walaupun negara mengalami kegawatan ekonomi.

Malah, katanya. terdapat banyak bank yang menyediakan pinjaman kepada mereka yang memerlukan modal untuk melabur dalam saham amanah anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB), katanya.

Ikwan Salim dalam perbahasannya juga turut mencadangkan supaya skop perkhidmatan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (APK) di bawah Bank Negara, diperluaskan kepada memberi khidmat nasihat kepada mereka yang baru hendak memulakan perniagaan.

Ini termasuk membantu mengenal pasti jenis perniagaan untuk diceburi seseorang individu serta jenis dana yang boleh mereka pinjam, katanya.

Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mempercepatkan bayaran kepada kontraktor yang terlibat menyiapkan projek kerajaan kerana ada di kalangan mereka hingga berbulan-bulan belum menerima pembayaran.

Katanya kontraktor memerlukan pembayaran tersebut bagi meningkatkan aliran tunai yang mereka ada untuk melaksanakan projek seterusnya.

Beliau juga mencadangkan program pembangunan kerjaya diperhebatkan dari peringkat sekolah rendah hingga universiti, supaya pelajar dapat membuat pilihan kerjaya yang tepat untuk masa depan.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/146147

Hidup bawah jambatan


HAZMAIN memangku Siti Norafida sambil diperhatikan oleh Siti Faezah di bawah jambatan yang menjadi rumah mereka di Lebuh Raya Besraya, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di sini pasti tidak menyangka sebuah kolong di bawah jambatan yang mereka lalui di situ rupa-rupanya menjadi rumah kepada satu keluarga tiga beranak termasuk bayi mereka yang berusia setahun.

Bersama mereka ialah dua lelaki hidup yang turut merempat, Mohd. Hafiz Abdul Aziz, 30, dari Sepang dan Tan Chee Wah, 44, dari Serdang, Selangor.

Ketua keluarga itu, Hazmain Abdul Jalil, 28, membawa isterinya, Siti Faezah Abu Bakar, 27, dan anak perempuan mereka, Siti Norafida ke bawah jambatan itu sejak empat bulan lalu selepas dihalau dari sebuah rumah kosong yang sebelum itu menjadi tempat mereka berlindung.

Kawasan yang menjadi 'rumah' mereka itu tidak berdinding hanya dilapik dengan kayu sementara untuk mendapatkan bekalan air, mereka terpaksa mencuri air dari paip berdekatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...