Saturday, May 29, 2010

Tanam bayi, dua beradik direman


dua beradik (adik depan) yang direman dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang remaja perempuan bersama kakaknya direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi lelaki yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini Isnin lalu.

Majistret Nor Kamilah Aziz membenarkan permohonan polis untuk menahan reman remaja berumur 17 tahun dan kakaknya berumur 24 tahun itu mulai semalam sehingga 31 Mei ini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Nor Kamilah pada pukul 12.30 tengah hari iaitu kira-kira satu jam setengah selepas mereka tiba di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi di sini semalam mengesahkan penahanan reman kedua-dua individu tersebut.

Menurut beliau, sehingga petang semalam, polis masih mengesan bapa kepada bayi tersebut yang dipercayai turut terbabit dalam menanam mayat bayi itu.

"Setakat ini, tiada tangkapan terbaru dibuat termasuk dua lagi individu yang disyaki bersekongkol dengan pasangan itu untuk menanam mayat bayi berusia di antara enam hingga tujuh bulan itu," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Semua pelatih dilindungi insurans

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Perlindungan insurans untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan bermula tiga hari sebelum pendaftaran dan berakhir selepas tujuh hari tamat latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, justeru, ibu bapa boleh membuat tuntutan sekiranya anak mereka terlibat dalam kemalangan dan sebagainya jika kejadian berlaku dalam tempoh berkenaan.


“Sekiranya pelatih terlibat dalam kemalangan atau kematian tiga hari sebelum mendaftar atau tujuh hari selepas menjalani latihan, ibu bapa pelatih boleh membuat tuntutan insurans daripada jabatan,” katanya.


Beliau berkata, dalam kes melibatkan kematian pelatih, ibu bapa atau keluarganya juga diberi wang khairat kematian. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Semuapelatihdilindungiinsurans/Article

Mana RM15,000?

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

2010/05/29

KEMAMAN: Layanan buruk pengurusan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tasik Chini, Pahang, terhadap seorang bapa yang ingin menuntut bayaran insurans anaknya kerana patah jari telunjuk tangan kanan pada Januari lalu dianggap tidak wajar serta memalukannya.

Selain itu, Ismail Gumati Omar, 49, dari Kampung Mak Lagam, dekat sini, juga mempertikaikan keputusan pengurusan PLKN itu yang enggan membayar pampasan insurans yang sepatutnya diperoleh anaknya kerana kecederaan itu dikelaskan sebagai kecederaan separuh kekal seperti tercatat dalam kontrak disediakan sebelum mendaftar diri ke pusat berkenaan awal tahun ini.


“Jika dikaji kontrak yang diberikan kepada ahli keluarga itu, anak saya sepatutnya mendapat pampasan RM15,000, tetapi pihak PLKN mendakwa anak saya tidak layak memperolehnya dengan alasan kononnya ia tidak tertakluk dalam tanggungjawab PLKN walaupun kejadian itu berlaku di kem.


“Paling mendukacitakan, pihak berkenaan langsung tidak prihatin dengan kecederaan yang dialami anak, selepas saja mengarahkan anak pulang ke rumah, pihak mereka langsung tidak bertanya khabar, malah ketika saya cuba bertanyakan tuntutan insurans, mereka hanya sekali menjawab panggilan saya dan seakan-akan cuba mengelak apabila dihubungi selepas itu.


“Apa tidaknya, berpuluh-puluh kali saya menghubungi pusat PLKN itu untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai tuntutan insurans, tetapi tidak dilayan, malah mereka enggan memberikan ulasan terperinci mengenai faktor yang menyebabkan anak saya tidak layak menerimanya,” katanya, semalam.


Menceritakan bagaimana kemalangan itu terjadi kepada anaknya, Ismail berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang selepas menjalani latihan, anaknya, Mohammad Zuhaimi, 18, berlatih lompat bintang (PT 10) di dalam asramanya sebelum jari telunjuk tangan kanannya terkena kipas siling.


“Akibat kejadian itu, jari tangan kanannya bengkak sebelum diperiksa kakitangan perubatan di kem dan mendakwa ia hanya luka kecil dan tidak serius, bagaimanapun menjelang malam jari dia semakin membengkak dan kebiruan.


“Cemas melihat jari anak begitu, jurulatih PLKN membawanya ke Hospital Pekan sebelum disahkan patah selepas membuat X-ray. Sehubungan itu, pihak PLKN terus menghubungi saya dan meminta saya mengambilnya untuk dibawa pulang,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ManaRM15_000_/Article

Curi duit masjid

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

2010/05/29

TEMERLOH: Akibat terdesak mendapatkan wang bagi membeli lampin pakai buang untuk anak yang baru dilahirkan, seorang bapa nekad mencuri wang tabung di Masjid Kampung Mempatih, Lanchang, dekat sini, sebelum diberkas polis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, bapa berusia 32 tahun itu yang tinggal di Taman Amalina, Raub, gagal melarikan diri selepas menyedari kehadiran dua anggota polis.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, ketika soal siasat dijalankan, lelaki terbabit sebelum itu mengakui mencuri RM130 milik Masjid Bukit Damar, dekat sini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, lelaki berkenaan yang tidak bekerja menunggang motosikal dari Raub menghala ke rumah saudaranya di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, dekat sini, dengan niat mahu meminjam wang.


Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit kemudian berhenti di sebuah warung di Bukit Damar, dekat sini, untuk minum sebelum meronda di sekitar kawasan perkampungan berkenaan.


Ahmad Fadzillah berkata, siasatan turut mendapati, lelaki terbabit yang bersenjatakan gergaji besi kemudian berhenti di Masjid Bukit Damar sebelum memotong ‘telinga’ tabung untuk mencuri wang sebanyak RM130.


“Selepas mengambil wang itu, lelaki berkenaan menghala pula ke Masjid Kampung Mempatih dengan mempunyai niat yang sama.


“Di situ, lelaki terbabit cuba memotong ‘telinga’ tabung untuk mencuri wang namun gagal selepas perbuatannya disedari penduduk kampung yang kemudian bertindak menghubungi polis,”
katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit yang tidak mempunyai rekod jenayah mendakwa baru berkahwin dengan seorang ibu tunggal serta mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan.


Katanya, lelaki terbabit mendakwa tidak mempunyai wang untuk membeli lampin pakai buang untuk anaknya sebelum nekad mencuri wang masjid.


Ahmad Fadzillah berkata, lelaki itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Harian Metro difahamkan dakwaan lelaki berkenaan adalah benar kerana selepas menjalankan soal siasat, polis mendapati dia baru saja memperoleh cahaya mata dan bayi berkenaan anak ketiganya selepas mereka dikurniakan dua lagi anak sebelum ini.


Isterinya yang berusia lewat 30-an kini masih dalam pantang dan dimaklumkan mengenai penahanan suaminya itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Curiduitmasjid/Article

Kantoi di rumah tumpangan

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/05/29

GEORGETOWN: Demi cinta, seorang remaja perempuan sanggup menceroboh keluar dari asrama sekolahnya untuk bersama teman lelaki sebelum mereka ditahan di sebuah rumah tumpangan di Seberang Jaya di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 4.40 pagi, semalam, remaja berusia 17 tahun itu ditemui di bilik air dalam keadaan berkemban.


Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata pihaknya difahamkan remaja berkenaan dipercayai keluar dari asramanya untuk bersama teman lelaki yang dikenali dua bulan lalu kira-kira jam 6 petang sebelum pasangan itu mengambil keputusan bermalam di rumah tumpangan itu pada jam 10 malam untuk bermadu kasih.


Menurutnya, remaja berkenaan mengaku sering bertemu teman lelakinya untuk melepaskan rindu meskipun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pakaian seragam milik remaja berkenaan disimpan dalam beg dan mereka ditemui dalam sebuah bilik di sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai milik satu keluarga yang mengubahsuainya menjadi rumah tumpangan.


“Siasatan lanjut mendapati, rumah itu mempunyai beberapa bilik lengkap alat penyaman udara, katil dan set televisyen yang disewakan pada harga RM30 hingga RM50 semalam,” katanya ketika ditemui selepas operasi, semalam.


Khairul berkata, rumah tumpangan itu turut menawarkan bilik mengikut kadar jam dan siasatan mendapati kira-kira 60 pelanggan beragama Islam dan bukan Islam menginap dalam masa sebulan.


Katanya, pihaknya juga menemui 10 lagi pasangan lain yang ditahan atas kesalahan berkhalwat di tiga lokasi berasingan iaitu di Bukit Berapit, Seberang Jaya dan Taman Bagan dalam operasi yang dijalankan dari jam 2.30 pagi hingga 8 pagi itu.


Katanya, lima pasangan kekasih yang berkelakuan kurang sopan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Pantai Bersih dan Taman Robina turut ditahan dalam ‘Ops Maksiat’ membabitkan 19 pegawai penguat kuasa agama.


Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 40 tahun dan terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), duda, janda atau ibu tunggal malah ada pasangan sudah mempunyai suami atau isteri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kantoidirumahtumpangan/Article

Kejar kebendaan

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Semakin ramai pasangan beragama Islam di negara ini memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian masalah rumah tangga mereka, mengikut statistik terbaru dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang merangkumi tempoh lapan sehingga 2008 lalu.

Statistik itu, menunjukkan Selangor mencatat jumlah kes pasangan beragama Islam bercerai tertinggi dengan seramai 3,558 pada 2008.


Wilayah Persekutuan Labuan pula menunjukkan kadar perceraian pasangan Islam paling rendah iaitu 114 orang walaupun ia tetap satu peningkatan berbanding lapan tahun sebelumnya iaitu membabitkan 40 orang saja.


Mengikut statistik itu, semua negeri menunjukkan peningkatan membimbangkan bagi kadar perceraian pasangan Islam apabila jumlah kes semakin meningkat dari 13,536 pada 2000 kepada 22,289 kes pada 2008.


Selain Selangor, negeri yang mencatatkan kadar kes perceraian tertinggi ialah Kedah dengan 2,407 kes, diikuti Johor (2,329), Kelantan (2,266), Perak (1,951), Pahang (1,719), Kuala Lumpur (1,444), Terengganu (1,341), Sarawak (1,076), Negeri Sembilan (1,054), Pulau Pinang (937), Melaka (889), Sabah (746) dan Perlis (458).


Penceramah bebas, Mohd Zawawi Yusoh berkata, kadar perceraian meningkat bagi pasangan Islam menunjukkan perkahwinan berasaskan agama disaran Islam kian terhakis tetapi kini asas bersifat kebendaan.


Beliau berkata, kehidupan berumah tangga pasangan Islam tidak disertakan pengabdian kepada Allah dengan menunaikan perkara wajib seperti solat lima waktu, tiada keberkatan seterusnya menghakis perasaan sayang hingga timbul benci dalam hati masing-masing.


“Dalam hadis dan ayat al-Quran sendiri ada menyebut satu daripada punca perceraian ialah tidak menunaikan solat. Jika kita tidak menjaga hubungan dengan Allah, maka hubungan kita sesama manusia juga akan menemui masalah.


“Sekarang ini, sudah menjadi trend ramai yang berkahwin kerana kebendaan contohnya apabila kahwin minta mas kahwin yang tinggi dan majlis besar-besaran, semuanya atas kebendaan sehingga jiwa mereka ini tidak tahan diuji, lalu ikatan perkahwinan yang dibina seumpama timbunan pasir yang basah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, selain tidak menunaikan solat, sikap curang di kalangan pasangan juga merupakan antara punca utama sistem perkahwinan runtuh kerana tidak menjaga kehidupan berumah tangga yang sangat dititikberatkan Islam seperti disaran hadis nabi yang menyebut “jika kamu menjaga Allah, Allah menjaga kamu.”

Katanya, pemikiran dipengaruhi budaya Barat yang antaranya mengamalkan perkahwinan terbuka iaitu pasangan bebas bercinta dengan orang lain juga dibimbangi mula meresap dalam sanubari masyarakat Islam, selain ramai yang mengikut trend tidak mahu terikat dengan komitmen.


“Lebih teruk, ada pula trend berkahwin semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri yang kononnya lebih mahal berbanding anak dara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejarkebendaan/Article

Sah mati didera

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Apendy Issahak

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Kematian mengejut seorang bayi yang didakwa pengasuh berpunca akibat tersedak susu akhirnya membongkar perkara sebenar apabila mangsa yang berusia tiga bulan disahkan mati akibat dipukul dan didera hingga mati.

Difahamkan pengasuh wanita terbabit cuba untuk menyembunyikan perbuatan dilakukan dengan mencipta alasan rapuh terbabit hanya selepas beberapa bulan dihantar oleh ibu dan bapa bayi lelaki itu untuk dijaga.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi Rabu lalu, mangsa Mohd Hamzah Hafiz Abdullah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditemui tidak bernafas oleh pengasuhnya di rumah di Jalan Sulaiman 1, di sini.


Difahamkan pengasuh bayi berkenaan yang panik memberitahu apa yang berlaku kepada ibu mangsa yang ketika itu sedang berniaga di bahagian bawah premis dua tingkat berkenaan. “Pengasuh terbabit memberitahu kononnya mangsa tiba-tiba tidak bernafas selepas diberi minum susu olehnya. “Selepas dimaklumkan kejadian itu, ibu mangsa berusia 29 tahun dikatakan terus membawa Mohd Hamzah ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Malangnya bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang kelmarin,” katanya.


Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 20-an, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka anaknya mati akibat didera pengasuh.


“Mulanya saya menyangka ia akibat komplikasi tersedak susu, namun laporan bedah siasat mendapati anak saya itu mati akibat didera dengan kesan lebam di perut dan anggota lain,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat unsur jenayah dalam kes kematian bayi terbabit.


“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita (polis) percaya bayi itu meninggal dunia akibat didera, namun siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian.


“Difahamkan, mangsa mati akibat kecederaan dalaman dan polis akan memanggil pengasuh serta ibu bapa mangsa untuk direkod keterangan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sahmatididera/Article

Teksi dua setan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Seorang abang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan adik perempuannya daripada dicabul seorang individu dalam sebuah teksi selepas dia diugut dengan senjata tajam jika melawan, semalam.

TUMPAS...kedua-dua suspek yang ditahan.
TUMPAS...kedua-dua suspek yang ditahan.
Tidak cukup dengan itu, mangsa juga dijadikan tebusan hampir sejam kerana gagal membayar wang diminta kedua-dua suspek didalangi pemandu teksi terbabit sebelum diselamatkan sekumpulan anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan.


Kejadian bermula kira-kira jam 9 pagi semalam, apabila kedua-dua beradik terbabit menahan sebuah teksi di ibu kota sebelum memberitahu pemandunya untuk ke sebuah pasar raya berhampiran kawasan berkenaan.


Menurut sumber, sebaik memasuki teksi itu, ‘pemandu teksi setan’ berusia lewat 30-an terbabit mengunci kenderaannya sebelum memecut meninggalkan kawasan berkenaan.


Selepas lebih 10 minit perjalanan, kedua-dua mangsa mempersoalkan tindakan pemandu teksi itu yang membawa mereka bukan ke destinasi diminta.


Sumber berkata, pemandu teksi itu dengan bersahaja mendakwa terpaksa mengambil lagi seorang pelanggannya dan berjanji akan menghantar mereka ke pasar raya berkenaan selepas menjemputnya.


“Pemandu teksi itu melalui lebuh raya menuju Klang, sebelum berhenti di bahu jalan menjemput ‘pelanggannya’,” katanya.


Difahamkan, pelanggan yang dikatakan pemandu teksi terbabit adalah rakannya yang sudah melakukan kerja kotor itu bersama sejak beberapa bulan lalu.


Sumber berkata, lelaki terbabit memasuki kenderaan itu sebelum duduk di belakang bersama kedua-dua beradik berkenaan.


“Sebaik kenderaan bergerak, suspek mengeluarkan senjata tajam sebelum mengarahkan kedua-dua mangsa menyerahkan wang tunai.


“Mangsa meminta pertolongan pemandu teksi itu sebelum lelaki terbabit memberitahu suspek rakannya.

“Selepas menyedari mereka tiada pilihan, mangsa memberikan RM190 kepada suspek sebelum meminta mereka dibebaskan,” katanya.


Disebabkan tidak berpuas hati dengan jumlah wang diperoleh, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan RM5,000.


Difahamkan, suspek mengugut akan merogol dan mencederakan adik perempuan mangsa jika dia gagal berbuat demikian.


Tersentak dengan itu, mangsa mendakwa akan menyerahkan wang terbabit kepada kedua-dua suspek dan meminta untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Sumber berkata, pemandu teksi itu berhenti di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan sebelum mengarahkan abang mangsa mengeluarkan wang.


“Abang mangsa mengeluarkan RM300 sebelum menyerahkan kepada suspek. Dia berulang kali merayu supaya dilepaskan namun kedua-dua suspek tidak mengendahkannya.


“Malah, suspek yang tidak berpuas hati dengan kejam mencabul adik perempuan mangsa di depannya sebaik meninggalkan stesen minyak berkenaan,”
katanya.


Sumber berkata, ketika itu abang mangsa hanya mampu menahan kemarahannya kerana bimbang keselamatan diri dan adiknya terancam.


Bagaimanapun, pasangan adik-beradik itu bernasib baik kerana ketika melalui Tol Batu 3, dekat sini, abang mangsa melihat sebuah kereta peronda sebelum melambaikan tangan meminta pertolongan.


Sekumpulan anggota yang menyaksikan kejadian itu mengejar teksi terbabit sebelum menahan kedua-dua suspek.


Pasangan adik-beradik itu dibawa ke Balai Polis Bukit Jelutong, dekat sini, sebelum mereka berdua membuat laporan kejadian terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Teksiduasetan/Article

Susuk 'power' darah babi

Oleh Idris Musa dan Muhd Izawan Baharin

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Demi nafsu, segolongan wanita dan lelaki sanggup mendapatkan bantuan bomoh untuk memasukkan susuk ‘power’ pada bahagian sulit masing-masing, malah sesetengah daripada mereka membiarkan diri ditusuk puluhan jarum supaya tampil lebih hebat di ranjang.

BUANG...seorang pesakit yang mendapatkan rawatan Perubatan Islam Sinar Zamdurrani.
BUANG...seorang pesakit yang mendapatkan rawatan Perubatan Islam Sinar Zamdurrani.
BISA...antara jenis susuk  yang dikeluarkan daripada anggota badan pemakai.
BISA...antara jenis susuk yang dikeluarkan daripada anggota badan pemakai.
Bagi golongan wanita terbabit, mereka percaya dengan kuasa yang ada pada susuk itu mampu menghasilkan kekuatan ekstra, manakala bagi lelaki pula dapat bertahan lebih lama ketika bersama.


Mendedahkan perkara itu, Pengamal Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, berkata pemakaian susuk kini bukan hanya untuk tujuan kecantikan, mendapatkan pengaruh di mata umum dan menjadi kebal, malah didorong kepuasan seksual.


Katanya, kebanyakan golongan yang memakai susuk pada anggota sulit membabitkan pelayan pelanggan (GRO), dengan tujuan menambat hati lelaki yang melanggani mereka.


“Bagi lelaki susuk pada anggota sulit supaya tahan lama dan lambat lebam, manakala di kalangan wanita untuk mendapatkan kemutan, malah ada juga wanita yang memasukkan susuk pada bahagian buah dada untuk kelihatan lebih tegang.


“Apabila benda itu dimasukkan pada bahagian sulit, keinginan seksual menjadi kuat, mahu bersama sehingga lima atau enam jam, terutama di kalangan GRO yang ramai memakainya,” katanya, yang pernah mengeluarkan susuk daripada bahagian sulit golongan terbabit.


Menurutnya, beliau juga ada menemui satu kes seorang wanita yang memakai 40 susuk, termasuk tujuh di muka dan tujuh di dada manakala 20 jarum pada anggota sulit.


“Gara-gara memakai susuk pada alat sulit juga saya menemui kes seorang wanita terpaksa bersuami sehingga 70 lelaki kerana tidak mendapat kepuasan nafsunya.


“Wanita terbabit akhirnya bertemu seorang lelaki yang juga memakai susuk pada anggota sulit dan barulah dia dapat hidup sebumbung sampai hari ini,”
katanya.


Beliau menyediakan perkhidmatan membuang susuk dan gangguan makhluk halus di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, sentiasa menerima kehadiran orang ramai dari seluruh negara termasuk Singapura yang mahu mendapatkan bantuan membuang bahan kotor terbabit.


Ketika berdepan dengan pemakai yang ingin membuang susuk, beliau terlebih dulu akan menerangkan kaedah rawatan yang bakal dilakukan seperti tiga kali rawatan bagi susuk emas dan teknik menarik susuk dengan air zamzam.

Sharhan berkata, biasanya susuk yang dimasukkan itu berbentuk jarum emas yang halus dan sebelum dimasukkan kepada si pemakai, ia direndam terlebih dulu, malah ada antaranya direndam dalam darah babi selama 21 hari supaya benar-benar ‘power’.


“Ini semua supaya susuk itu benar-benar mujarab dan jin penunggu melekat pada pemakai. Disebabkan angkara jin ini yang menjadi duta di dalam badan, wajah si pemakai menjadi tegang, lebih cantik dan kuat kemutan, semuanya kerja jin,” katanya.


Pemakai susuk katanya, bukan setakat orang Melayu, bahkan ramai juga di kalangan kaum lain tanpa mengira perbezaan usia dan agama, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), ahli politik dan selebriti untuk pelbagai tujuan.


Beliau berkata, susuk walaupun dari segi luaran mendatang beberapa keistimewaan yang sukar ditandingi kepada pemakainya, sebenarnya ia membawa banyak kesan buruk terutama bagi orang Islam terpesong dari segi akidah kerana mempercayai pada benda terbabit adalah syirik.

“Pemakai susuk ialah mereka yang mahu mengubah kejadian Allah, kerana tidak dapat menerima ketetapan Allah yang mencipta setiap manusia dengan sebaik-baik kejadian.


“Mereka hendak mengubah rupa mengikut citarasa sendiri apabila mengatakan diri hodoh dan mahu lebih cantik lagi.


“Akhirnya dengan susuk itu juga diri merana, kerana apabila sampai usia tua, 70 atau 80 tahun, mulalah badan berasa sakit.


“Mereka yang memakai susuk juga terpaksa alah kepada banyak pantang larang, seperti tidak boleh melalui bawah ampaian, tidak boleh makan sate dan pisang emas,” katanya.


Katanya, masyarakat perlu sedar bukan semua jenis susuk boleh dibuang apabila dimasukkan pada anggota badan.


Susuk diraja katanya, sangat sukar untuk dibuang kerana ia mempunyai kata kunci yang ditetapkan bomoh terbabit.


“Bagi susuk diraja, bomoh menggunakan kata kunci mengikut keinginan masing-masing, malah ada yang menyalahgunakan ayat al-Quran seperti menyatakan sebutan rabbuka sebagai niat buka kunci terbabit,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Susukpowerdarahbabi/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...