Thursday, December 25, 2008

Presiden Iran sampaikan mesej Hari Krismas

LONDON - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad akan menyampaikan mesej Hari Krismas di televisyen Britain yang berbeza daripada ucapan tahunan Ratu Elizabeth II, kata stesen penyiaran Channel Four semalam.

Mahmoud akan menyatakan bahawa jika Nabi Isa masih hidup pada hari ini, baginda akan menentang negara-negara pembuli dan penakluk.

"Jika Nabi Isa masih hidup hari ini, sudah tentu baginda akan turut memperjuangkan keadilan dan kasih sayang sejagat dan menentang penakluk, pengganas dan pembuli di dunia," kata teks ucapan Mahmoud.

Stesen televisyen Channel Four mengundang beberapa tokoh untuk menyampaikan ucapan Hari Krismas sebagai alternatif kepada mesej tahunan oleh Ratu Elizabeth II sejak 1993.

Namun, Mahmoud merupakan tetamu stesen televisyen itu yang paling berprofil tinggi setakat ini.

Hubungan Britain dan Iran tegang sejak berlakunya Revolusi Islam pada 1979 dan kemudian menjadi bertambah buruk selepas Teheran melaksanakan program pengayaan nuklear.

Ketua Hal Ehwal Berita Channel Four, Dorothy Byrne menjelaskan punca Mahmoud diundang dengan berkata: "Sebagai pemimpin salah sebuah negara kuasa besar di Timur Tengah, pandangan Mahmoud amat berpengaruh." - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Korban skim cepat kaya Madoff


SEBAHAGIAN wartawan dan jurugambar menunggu di luar bangunan pejabat Villehuchet di Manhattan, New York kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------

NEW YORK - Seorang pengurus dana, Thierry Magon De la Villehuchet (gambar) membunuh diri selepas dia kerugian lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) wang milik pelanggan-pelanggannya kerana melabur dalam skim cepat kaya anjuran taikun Wall Street, Bernard Madoff, lapor sebuah akhbar semalam.

Mayat Villehuchet, 65, ditemui polis Amerika Syarikat (AS) kelmarin dalam keadaan sedang duduk di kerusi pejabatnya di Manhattan, New York dengan kedua-dua pergelangan tangan lelaki itu dikelar.

Polis berkata, sebuah alat pemotong kotak turut ditemui di lantai pejabat Villehuchet bersama-sama sebotol pil tidur di atas meja.

Lelaki tersebut berasal daripada keluarga bangsawan Perancis dan dipercayai menggunakan statusnya untuk menarik pelaburan golongan elit Eropah.

Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, pengurus dana itu semakin mengasingkan diri selepas skandal Madoff didedahkan kepada umum baru-baru ini.

Pada malam Isnin lepas, Villehuchet memberitahu seorang kakitangannya bahawa beliau akan meninggalkan pejabat pada malam itu tetapi kurang 13 jam kemudian, mayat mangsa ditemui oleh seorang pengawal keselamatan.

Madoff, 70, pada awal bulan ini mengaku kepada polis bahawa beliau kerugian sehingga AS$50 bilion (RM173.17 bilion) kerana mengendalikan skim cepat kaya yang menjanjikan pulangan lebih tinggi kepada pelabur. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Kapal tanpa kargo

Industri perkapalan Greece kini berdepan dengan krisis kerana lebih banyak kapal tersangkut di pelabuhan kerana ketiadaan bisnes.



BILANGAN kapal yang diminta terapung menjauhi Piraeus terus meningkat ekoran masalah ini.
--------------------------------------------------------------------------------

PEWARIS keluarga pemilik kapal yang tertua di Greece, Leonidas Polemis memerhati industri perkapalan negara itu dari pejabat mewahnya di pelabuhan Piraeus.

Industri perkapalan global kini berhadapan dengan krisis terburuk. Dalam hanya beberapa bulan, kadar kargo kering telah jatuh lebih daripada 90 peratus.

Bagi Greece, yang memiliki satu perlima kapal dunia, perkembangan itu bermakna masalah yang besar.

"Panik merupakan ayat yang paling baik menggambarkan apa yang sedang berlaku," kata Polemis yang duduk di bawah sebuah lukisan minyak salah satu kapal pertama keluarganya yang dibeli kira-kira 200 tahun lalu.

"Ramai yang menjual kapal mereka dalam keadaan panik. Sesetengah syarikat akan muflis," tambahnya.

Greece kini berhadapan dengan kerugian yang banyak.

Dengan 170 juta tan mendahului negara Jepun, kapal-kapal dagangnya merupakan yang terbesar di dunia.


KAPAL-KAPAL kargo kering pada bulan Mei lalu mampu mengutip RM544,610 sehari tetapi kini hanya meraih RM25,424 atau kurang.
--------------------------------------------------------------------------------

Ia merupakan penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negara itu yang bernilai RM1.1 trilion selepas sektor pelancongan menjana tujuh peratus pengeluaran.

Cabangnya terbentang luas ke pelbagai sektor, dengan usahawan perkapalan yang ulung melabur dalam segalanya daripada perbankan ke pembinaan sehinggalah pelancongan.

Kereta-kereta dan restoran-restoran mewah di hadapan pelabuhan di Piraeus menjelaskan tentang kekayaan yang diperoleh daripada ledakan ekonomi sektor itu. Tetapi para eksekutif berkata, mereka kini berhadapan dengan masalah akibat terjejasnya permintaan dan bekalan kapal yang berlebihan.

"Ini merupakan yang paling teruk pernah berlaku," kata George Xiradakis, ketua konsultan perkapalan di XRTS di Piraeus.

"Semua orang akan menerima kesannya. Ini merupakan sebuah pasaran global, mungkin pasaran global yang pertama di dunia."

Keruntuhan ekonomi global telah mengurangkan permintaan pengangkutan komoditi ke negara-negara pesat berkembang seperti China dan India.

Di samping itu, pengurangan kredit telah membuatkan bank-bank keberatan untuk meminjamkan wang kepada pemilik kapal dan untuk memberikan jaminan kewangan bagi membenarkan kapal mereka belayar.


RAMAI pengusaha kapal menjual kapal mereka dalam keadaan panik.
--------------------------------------------------------------------------------

Ini menyebabkan terdapat kapal yang terkandas di pelabuhan.

Kapal-kapal kargo kering pada bulan Mei lalu mampu mengutip RM544,610 sehari tetapi kini hanya meraih RM25,424 atau kurang.

Pasaran kapal tangki, di mana syarikat Remi Maritime Corp. milik Polemis memiliki 22 buah kapal, terselamat daripada terjejas teruk. Namun demikian, permintaan jelas menurun.

Harga boleh jatuh dengan lebih besar pada tahun hadapan, apabila sejumlah bilangan kapal dijangka akan membanjiri pasaran itu. Lebih 10,000 buah kapal baru kini dalam pesanan, mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Rakyat Greece terkenal sebagai pelaut sejak ribuan tahun lalu.

Pemilik kapal telah meraih kekayaan apabila bijak mengurus pengepungan tentera laut British dalam perang Napoleon dan pada abad ke-20, kekayaan serta persaingan yang dimiliki Aristotle Onassis dan Stavros Niarchos mula menjadi satu legenda.

Bagi kebanyakan usahawan kapal dagang di Greece, krisis terbaru ini telah menghidupkan kembali memori pahit kemusnahan yang berlaku pada awal tahun 1980-an di mana ratusan kapal kargo terapung sambil diikat bersama di Teluk Saronic pesisir laut Athens kerana ketiadaan pasaran.


KRISIS terbaru ini telah menghidupkan kembali memori pahit kemusnahan yang berlaku pada awal tahun 1980-an.
--------------------------------------------------------------------------------

Broker-broker berkata, terdapat kapal yang menerima arahan untuk memperlahankan kelajuan di laut kerana ketiadaan kargo apabila mereka tiba di pelabuhan nanti.

Bilangan kapal yang diminta terapung sahaja menjauhi Piraeus telah meningkat dan pihak berkuasa berkata trafik di pelabuhan itu menurun dengan mendadak.

"Kami menganggarkan (kejatuhan itu) sekitar 25 peratus buat masa ini. Tetapi dalam masa terdekat, kami dijangka berhadapan dengan penurunan yang lebih besar," kata Nikos Arvanitis, Ketua Kesatuan Maritim Antarabangsa di Piraeus. - Reutres

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

Sukarela bukan mandatori

Oleh PROFESOR DR. ADEEBA KAMARULZAMAN

Panduan Antarabangsa mengenai HIV/AIDS dan Hak Asasi Manusia menyatakan hak seseorang individu yang hidup dengan HIV akan teraniaya dengan adanya ujian mandatori bakal pengantin.



MAJLIS AIDS Malaysia menggalakkan dan menyalurkan idea kepada bakal pengantin tidak kira agama dan bangsa untuk menjalani ujian HIV secara sukarela. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


ISU ujian saringan HIV yang diwajibkan ke atas bakal pengantin Islam menjadi perdebatan di Malaysia sejak ia diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Johor pada tahun 2001.

Memandangkan kadar peningkatan jangkitan HIV terhadap kaum wanita semakin meningkat sejak kebelakangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi bagi ahli jawatankuasa Kabinet mengenai AIDS mengumumkan polisi ini akan dilaksanakan serta merta bermula Januari 2009.

Majlis AIDS Malaysia turut prihatin dan memandang serius mengenai kadar jangkitan HIV yang meningkat dalam kalangan wanita.

Walaupun polisi mandatori ujian HIV untuk bakal pengantin ini akan membuatkan ujian HIV mudah didapati, namun kami tidak dapat menyokong tindakan supaya ujian ini dilakukan secara mandatori.

Kami ingin menegaskan bahawa ujian saringan HIV yang diwajibkan buat bakal pengantin Islam bukanlah satu penyelesaian ke atas peningkatan wabak HIV dalam kalangan wanita berdasarkan sebab-sebab perubatan dan sosial seperti di bawah ini.

Pertama, ujian saringan HIV untuk bakal pengantin hanya dilakukan sekali sahaja, namun risiko bagi jangkitan HIV adalah seumur hidup.

Keputusan negatif tidak menjamin seseorang akan kekal negatif sekiranya seseorang itu tidak meninggalkan tabiat buruk dengan melakukan aktiviti berisiko tinggi seperti seks yang tidak selamat dan perkongsian jarum dalam penagihan dadah. Ini bermakna keputusan negatif ini tidak membawa sebarang jaminan keselamatan bebas HIV kepada pasangan tersebut.

Kedua, ujian HIV mandatori ini menampakkan kesan yang terhad dalam mengawal jangkitan HIV tanpa perantaraan yang khusus diambil untuk mencegah jangkitan ini.

Contoh utama yang boleh kita lihat adalah ujian saringan HIV yang diwajibkan kepada penagih dadah yang ditempatkan di pusat-pusat serenti dan penjara, di mana polisi ini telah pun dikuatkuasakan pada pertengahan tahun 1990-an.

Walaupun kos pelaksanaan polisi ini melibatkan berjuta-juta ringgit, namun kadar peningkatan jangkitan HIV bagi penagih dadah kian meningkat setiap tahun. Oleh itu, tanpa disertakan khidmat kaunseling dan peralatan yang lebih efektif untuk mengubah tabiat berisiko ini termasuk penggantian opiat terapi dan penggunaan jarum serta picagari yang bersih, penagih dadah dan pasangannya masih berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV walaupun telah menjalani ujian saringan HIV beberapa kali sekalipun.

Ketiga, adalah amat mustahil segala keputusan ujian dijamin sulit dan dirahsiakan. Oleh kerana tahap stigma dan diskriminasi yang tinggi dan sedia ada pada masyarakat kita terhadap HIV, ujian mandatori ini akan membuatkan pengidap HIV serta ahli keluarganya tersisih dan dibuang dari sesebuah komuniti. Ini akan mengakibatkan kehidupan mereka menderita dan sengsara.

Keempat, memberitahu seseorang individu mengenai keputusan HIV positif mestilah diiringi dengan maklumat yang mencukupi dan tepat termasuk potensi jangkitan selanjutnya serta pendekatan faedah-faedah perubatan. Adalah amat mustahil pihak bertanggungjawab melaksanakan polisi ini termasuk pegawai-pegawai agama.

Daripada sudut perspektif kesihatan awam dan ekonomi, polisi ini akan mempunyai kesan terhad dan nilai dalam masyarakat kita di mana kadar jangkitan HIV pada keseluruhannya dalam kalangan penduduk awam adalah rendah.

Kita akan melakukan ujian saringan ke atas beribu-ribu orang di mana mereka tergolong dalam kumpulan berisiko rendah dan ini berkemungkinan, kita dapat mengesan sebilangan kes sahaja.

Pada pendapat kami, terdapat banyak lagi program-program lain yang terbukti keberkesanannya dalam mencegah epidemik HIV terutama dalam kalangan berisiko tinggi.

Ini termasuk peruntukan maklumat HIV yang tepat, pendidikan dan promosi kondom untuk pekerja-pekerja seks serta pelanggan-pelanggan mereka dan golongan homoseksual. Pada pendapat kami, kumpulan itu harus diberi keutamaan yang lebih tinggi dalam soal peruntukan sumber dan pelaksanaannya.

Mengawal jangkitan HIV dalam kalangan kumpulan ini akan mengurangkan kadar jangkitan di dalam komuniti masyarakat am, memandangkan golongan yang terpinggir ini tidak hidup dalam isolasi.

Tambahan pula jika dikaji dengan lebih mendalam demografiknya, bagi wanita Malaysia yang dijangkiti HIV, majoritinya dijangkiti melalui suami atau pasangannya yang merupakan seorang penagih dadah.

Oleh itu, antara langkah terbaik yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan wanita adalah dengan mengawal jangkitan HIV khususnya dalam kalangan lelaki yang terlibat di dalam penagihan dadah. Apa yang diperlukan segera adalah liputan luas mengenai program-program yang telah terlaksana kini seperti penjagaan terapi metadon dan program pertukaran jarum.

Seterusnya, dengan memberi kuasa kepada wanita dalam komuniti masyarakat dan menyediakan ilmu pengetahuan yang lengkap mengenai bagaimana jangkitan HIV boleh dan tidak boleh berlaku, ia adalah sesuatu yang jauh lebih berkesan dan efektif dalam melindungi kaum wanita ini.

Satu kajian yang telah dibuat ke atas wanita HIV positif di Kota Bharu, Kelantan mendapati walaupun isteri mengetahui suaminya merupakan seorang penagih dadah yang HIV positif, isteri tersebut tidak dapat berbincang dengan suaminya untuk melakukan hubungan seks secara selamat dengan menggunakan kondom. Jelas sekali bagi wanita-wanita ini, ujian saringan HIV bakal pengantin tidak memberikan sebarang jaminan untuk melindungi mereka daripada dijangkiti.

Bagaimanapun, Majlis AIDS Malaysia menggalakkan dan menyalurkan idea kepada bakal pengantin tidak kira agama dan bangsa untuk menjalani ujian HIV secara sukarela bagi mengetahui status HIV mereka.

Ujian secara sukarela ini lebih berkemungkinan dapat mengubah tingkah laku dan tabiat seseorang untuk mengelak dan mengawal jangkitan HIV kepada individu lain.

Penulis adalah Presiden Majlis AIDS Malaysia

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Turun harga? Tidak


Selepas sektor perbankan, kini giliran label mewah fesyen merasai penangan krisis ekonomi.
--------------------------------------------------------------------------------


KEPUTUSAN jenama terkemuka rangkaian fesyen Chanel untuk membatalkan satu pertunjukan seninya yang berbajet besar dan berprestij menunjukkan bahawa industri fesyen mewah juga terjejas akibat kegawatan ekonomi.

Walaupun industri ini masih mencatatkan keuntungan besar dalam beberapa bulan hadapan, namun hasil jualan global telah mencatatkan penurunan, harga menjadi tidak menentu dan semakin kurang butik-butik baru dibuka.

"Sekarang adalah masa yang paling sukar bagi sektor ini dalam abad ini," kata Penasihat sebuah firma insurans Annie Girac, Euler Hermes SFAC.

Chanel Paris telah mengumumkan pada Jumaat lalu bahawa mereka akan membatalkan satu pameran mereka iaitu Chanel Mobile Art yang sepatutnya satu penghormatan seni kepada beg kulit bersama rantai yang menjelajah dari Hong Kong ke Tokyo. Seterusnya dari New York kemudian dijangka ke London, Moscow dan Paris.

"Dalam konteks semasa kami harus membuat pertimbangan yang bijak. Kami rasa lebih baik kami fokus kepada pelaburan yang lebih strategik," kata Chanel.

Dalam masa setahun, analisis sebuah bank di Paris mendedahkan syarikat gergasi seperti Switzerland's Richemont, yang memegang jenama Cartier dan Montblanc atau France's LVMH yang memiliki Vuitton and Gucci, telah kehilangan 40 kepentingan dalam pasaran.

"Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini," katanya.

Bulgari Italy menjangkakan akan mencatatkan kejatuhan dalam keuntungan manakala Tiffany di Amerika Syarikat (AS) telah telah menggambarkan kemungkinan membuang pekerja berikutan penurunan bagi suku ketiga tahun ini.

Dalam pada itu peneraju konglomerat mewah dunia, LVMH, mencatatkan penurunan pertumbuhan sebanyak 50 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding dua suku pertama tahun ini.

Selepas berkembang dalam masa empat tahun dengan 10 peratus pertumbuhan tahunan, menurut bank pelaburan ASJPMorgan, sektor mewah menghadapi kejatuhan sebanyak empat peratus dalam jualan pada tahun 2009.

Menurut Bank Deutsche, sesetengah label kejatuhan dalam pertumbuhan boleh mencecah 10 hingga 15 peratus.

Bagaimanapun, menurut seorang analisis di bank Perancis Societe Generale, krisis ini mungkin akan lebih teruk di sesetengah negara dan juga produk-produk tertentu.

"Sebagai contoh di Jepun. Ia menjadi amat teruk kerana negara tersebut sedang mengalami kegawatan ekonomi," katanya.

Jualan LVMH di Jepun telah menurun sebanyak tujuh peratus untuk sembilan bulan pertama tahun ini yang memaksa kepada penurunan harga. Berikutan masalah ekonomi dan kejatuhan sebanyak 30 peratus yen berbanding untuk tiga bulan lepas.



JENAMA mewah terpaksa mengambil inisiatif berjimat cermat dan hanya fokus kepada aktiviti tertentu sahaja
--------------------------------------------------------------------------------


Bagaimanapun pada minggu lepas, syarikat gergasi barangan mewah itu mengumunkan pembukaan rangkaian terbesar Vuitton Tokyo.

Berikutan kesan krisis ekonomi terhadap pelbagai barangan mewah Bruney des Varannes memberitahu, pembuat jam lebih merasa kesannya berbanding pembuat barangan kulit.

Eksport jam Swiss telah jatuh sebanyak lebih 15 peratus dalam bulan November dengan mencatatkan kejatuhan paling tinggi dalam pasaran Hong Kong dan AS.

Perancis yang sering mencatatkan keuntungan dalam eksport minuman keras turut merasakan bahana dengan kejatuhan sebanyak 17 peratus dalam pasaran AS.

"Untuk melindungi syarikat masing-masing, label mewah terpaksa mengambil inisiatif berjimat dengan membatalkan pembukaan butik baru, membekukan pengambilan pekerja, menutup beberapa kedai dan hanya fokus kepada aktiviti tertentu sahaja," katanya.

Namun, hanya satu perkara sahaja yang tidak akan mereka lakukan, iaitu menurunkan harga.

"Ini akan menjejaskan imej mereka," katanya lagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Samy Vellu sah gugur Bendahari Agung, mahu lantik darah muda


Rabu Disember 24, 2008

Oleh G. MANIMARAN



PETALING JAYA: Pemimpin veteran MIC, Tan Sri M. Mahalingam, antara orang kuat Datuk Seri S. Samy Vellu sekian lama, telah dilucutkan daripada jawatan Bendahari Agung parti itu berkuat kuasa serta-merta.


Malah difahamkan, Mahalingam, Bendahari Agung sejak tiga penggal lalu, telah diminta oleh Samy Vellu supaya melepaskan semua jawatan dalam MIC termasuk dalam sayap pelaburan dan pendidikan parti itu.


Mahalingam, 73, ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi mengesahkan ada menerima surat daripada Samy Vellu semalam mengenai keputusan melucutkan jawatan itu.


"Saya ada terima surat daripada Datuk Seri (Samy Vellu) semalam. Tiada sebab dinyatakan. Lagipun melantik Setiausaha Agung, Bendahari Agung adalah kuasa Presiden," kata Pengerusi MIED Capital Sdn. Bhd., syarikat yang menguruskan pelaburan pendidikan MIC.


mStar Online difahamkan ia berkait rapat dengan perkembangan terbaru dalam parti itu termasuk dipercayai ekoran pendirian beberapa pemimpin veteran menjelang pemilihan parti tahun depan, yang bakal menyaksikan Samy Vellu mempertahankan kerusinya.


Laporan semalam menyebut bakal calon jawatan Presiden, Datuk M. Muthupalaniappan kemungkinan berhadapan dengan tindakan disiplin parti dan ia telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Khamis lalu.


Selain Bendahari Agung, Mahalingam juga merupakan salah seorang pengarah badan amanah sayap pendidikan MIC, Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) yang baru ditubuhkan.


Ketika ditanya sama ada menyedari sebab atas tindakan itu, beliau yang juga bekas Setiausaha Agung MIC itu berkata, "itu anda kena tanya pada Presiden. Ia hak Presiden."


Mahalingam merupakan bekas Ahli Dewan Undangan, Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri sebelum dilantik sebagai Bendahari Agung.


Selaku Bendahari Agung beliau dilantik mengurus dan menyelia sayap pelaburan dan pendidikan itu.


Malah, dengan lantikan sebagai sebagai Bendahari Agung Mahalingam menganggotai CWC MIC - badan membuat keputusan dasar dan keputusan parti.


Bulan lalu Mahalingam dilantik menganggotai jawatankuasa pemilihan presiden. Pemilihan presiden akan diadakan suku pertama tahun depan.


Dalam pada itu, Samy Vellu mengesahkan beliau telah untuk menukar Bendahari Agung.


"Ini adalah tindakan biasa dan Bendahari Agung yang baru akan diumumkan minggu depan.


"Beliau (Mahalingam) adalah seorang yang baik dan kini sudah tiba masa untuk melantik seorang yang muda sebagai Bendahari Agung," kata beliau kepada The Star petang tadi.


Samy Vellu memberitahu, beliau melakukan perubahan dalam parti secara berperingkat-peringkat.


"Saya juga perlu peri dan memberi laluan kepada generasi muda. Ia sebahagian daripada proses penjenamaan semula," kata Samy Vellu.


Bendahari Agung, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan merupakan antara jawatan utama parti yang dilantik oleh Presiden.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224183911&sec=mstar_berita

Isu PPSMI: Pemuda PAS sokong Gapena ambil tindakan undang-undang


Rabu Disember 24, 2008

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB



PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) hari ini menyokong tindakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia sekiranya meneruskan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.


Ketua Penerangan DPP, Suhaizan Kaiat berkata, tindakan Gapena untuk mengambil tindakan itu amat wajar kerana sudah sampai masanya individu dan badan bukan kerajaan (NGO) memperkukuh hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah tahap kedua bantahan ini.


"Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan telah menyatakan bahawa pelaksanaan Pengjaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bercanggah denagn undang-undang negara.


"Kementerian Pelajaran telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak. Malangnya tujuh pilihan yang dirumuskan pada 16 Disember lalu itu kabur dan mengelirukan sehingga menyusahkan ibu bapa dan para pelajar selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Beliau berkata, beratus-ratus bantahan juga telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan dan ramai individu. Bagaimanapun, kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.


Suhaizan berkata, PAS sangat tegas dalam memperjuangkan isu bahasa Melayu ini termasuk telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 yang mana kes itu kini masih berjalan.


"Bagi mengajar orang-orang politik, pendekatan sekadar bantahan tidak menggugat undi mereka dalam pilihan raya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agung parti mereka, selagi itulah mereka tidak berganjak.


"Bagaimanapun, mereka cukup cemas jika ada individu dan NGO yang yang berani," katanya.


Beliau berkata, tidak mustahil Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan bagi mereka yang membantah PPSMI kerana tindakan ini boleh menggugat kerajaan.


"Selain itu, kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini," katanya.


Gapena semalam memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan PPSMI ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya.


Mereka sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kepada bahasa Melayu dan bersedia membawa perkara ini ke mahkamah.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224162137&sec=mstar_berita

Hudud: Mustahil selagi PAS kekal dalam Pakatan Rakyat



Rabu Disember 24, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik percayai undang-undang hudud dan qisas mustahil untuk dilaksanakan PAS meskipun Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan satu hari kelak berikutan sekutunya, DAP yang terus membantah keras langkah tersebut.

"Undang-undang hudud sukar dilaksanakan selagi PAS berada dalam Pakatan Rakyat. Tidak mudah untuk mereka dan mereka pun tahu tentang itu," kata pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman.

Zaini berkata, PAS tetap bertegas untuk melaksanakan undang-undang itu kerana ia adalah salah satu dasar perjuangan mereka yang menjadi asas untuk meraih sokongan rakyat terutamanya kaum Melayu yang beragama Islam.


"Mengapa DAP membantah? Ini kerana penyokong-penyokong mereka bukan beragama Islam. Jadi, mereka pastinya tidak bersetuju dengan undang-undang ini.


"Bagi PAS, ini adalah asas sokongan kepada mereka dan saya percaya mereka akan melaksanakan undang-undang ini jika berjaya memerintah negara nanti.


"Bagaiamanapun, adakah PAS akan berkuasa apatah lagi dalam konteks Pakatan Rakyat," katanya.


Isu pelaksanaan undang-undang itu kembali 'panas' menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan. Isu yang dilihat semakin tenggelam itu tiba-tiba menjadi topik perbualan apabila ia dibangkitkan dalam satu forum di Kota Bharu, Ahad lalu.


Dalam forum bertajuk "Transformasi Politik Malaysia" itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menegaskan, undang-undang itu akan tetap dilaksanakan setelah dicabar oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan hudud berikutan isu itu tidak lagi dilaungkan PAS selepas pilihan raya umum Mac lalu.


Mengulas lanjut, Zaini berkata, ideologi berbeza yang dibawa oleh PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyumbang kepada kesukaran untuk melaksanakan undang-undang hudud itu.


"Tapi pada saya, ini hanya permainan politik. Kita kena faham permainan ini.


"Sama ada mereka ini PAS, DAP, PKR atau Umno, kesemuanya mempunyai satu matlamat iaitu untuk berkuasa, cuma cara mereka itu berbeza," katanya.


Zaini berkata, selain tidak mendapat sokongan daripada parti sekutu PAS dalam Pakatan, usaha pelaksanaan itu juga sukar kerana ia melibatkan Perlembagaan Persekutuan.


"Di Parlimen, majoritinya bukan dikuasai oleh ahli-ahli beragama Islam. Ia bukan sahaja akan dibantah oleh DAP sebagai sekutu mereka (PAS), malah turut akan ditentang oleh parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) seperti MCA, MIC dan juga parti-parti dari Sabah dan Sarawak," katanya.


Sementara itu, pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Ghazali Mahyudin berkata, harapan untuk melaksanakan undang-undang hudud semakin kecil apabila PAS kini telah bergabung dengan dua parti lain yang berlainan ideologi.


"Harapan makin kecil dan sukar bagi PAS kerana dasar perjuangan dua lagi sekutunya iaitu DAP dan PKR adalah berbeza," katanya.


Beliau berkata, ada sesetengah pihak yang menganggap isu ini sebagai modal politik yang dibangkitkan PAS untuk meraih sokongan.


Bagaimanapun beliau juga percaya parti itu akan melaksanakan undang-undang hudud jika berjaya mengambil alih kerajaan.


"Pada masa ini, mereka boleh memberi alasan... walaupun hal ini telah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri di Kelantan dan Terengganu namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan kelulusan kerajaan persekutuan," katanya.


Ghazali berkata, walaupun hasrat itu mendapat tentangan daripada DAP namun beliau percaya, parti itu akan terus berada dalam Pakatan Rakyat kerana mereka boleh bekerjasama dengan baik dalam menghadapi pilihan raya.


"Selain itu, mereka juga sependapat dalam beberapa isu seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), pencegahan rasuah, membantah salah guna kuasa dan mahukan kerajaan yang lebih telus, Isu-isu ini yang sebenarnya menyatukan mereka," katanya.


Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, isu yang dibangkitkan semula ini boleh dilihat sebagai satu gimik menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.


"Ini sepatutnya tidak lagi menjadi isu. Walaupun ia dibangkitkan kembali oleh PAS tapi saya tidak nampak ia sekuat seperti mana pernah dibangkitkan satu ketika dahulu.


"Bagaimanapun saya percaya, isu ini tidak akan menjadi penghalang untuk PAS meraih undi daripada kaum bukan Islam dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224090155&sec=mstar_berita

Tangguh pemilihan Umno jika siasatan politik wang tidak selesai


Rabu Disember 24, 2008

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat pemilihan parti pada Mac depan wajar ditangguhkan jika siasatan berhubung aduan politik wang tidak dapat diselesaikan secara menyeluruh.


Tegas beliau, jika Umno mahu terus bertahan dan kekal sebagai parti yang masih relevan dalam politik arus perdana, kesemua kes aduan politik wang yang didakwa berlaku sepanjang proses pencalonan lalu perlu diselesaikan sebelum pemilihan.


Pencalonan jawatan tertinggi parti berakhir awal bulan lalu kecuali lima bahagian dan pemilihan sepatutnya diadakan bulan ini tetapi telah ditunda hingga Mac depan.


Dalam temu bual dengan Astro Awani semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu tidak menolak kemungkinan dalam 800 kes politik wang yang kini disiasat Lembaga Disiplin, mungkin terdapat calon bakal pemimpin, yang turut dikaitkan dengan kes rasuah sepanjang tempoh pencalonan lalu.


"Kredibiliti pemilihan itu akan dipersoalkan. Orang yang terpilih nanti tidak akan mempunyai legitimasi, tidak mempunyai kedudukan yang wajar kerana pemilihan dibuat secara tidak betul dan tidak adil.


"(Ia) akan dipertikaikan selama-lamanya dan ini tidak boleh membawa kestabilan kepada parti. Orang akan terus mempertikaikan kedudukan pemimpin seumpama itu, apatah lagi kalau dia berkuasa, membuat keputusan-keputusan menyentuh kepentingan rakyat.


"Maka keputusan yang dibuatnya nanti akan dipertikaikan juga kerana pemilihannya tidak dibuat dengan cara yang baik. Ini semua merosakkan dan boleh membawa akibat yang buruk," kata beliau yang pernah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno kali ini.


Beliau hanya memperoleh satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri.


Jawatan Presiden dimenangi tanpa cabaran oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak manakala jawatan Timbalan Presiden akan menjadi saingan tiga calon iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.


Sebelum ini, Lembaga Disiplin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang menyiasat aduan membabitkan calon jawatan Timbalan dan Naib Presiden.


Dalam temu bual dengan mStar Online bulan lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, setiap kali ada pemilihan gejala politik wang semakin buruk dalam Umno.


Pun begitu, jelas beliau, kali ini jumlah aduan yang diterima kira-kira 900 kes iaitu lebih dua ganda berbanding ketika 2004, tetapi bukan seratus peratus di bawah Tata Etika Umno, sebaliknya hanya 40 hingga 45 peratus.


Justeru, Tengku Razaleigh berkata, Perlembagaan Umno perlu dipinda untuk mengeluarkan semua peruntukan yang bertentangan dengan Akta Pertubuhan dan Perlembagaan Persekutuan.


Malah, beliau juga mengesyorkan supaya keanggotaan dalam Lembaga Disiplin Umno yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat salah laku anggota dipilih dalam perhimpunan agung parti.


Ketika ini badan terbabit terletak di bawah Majlis Tertinggi, yang menubuhkannya sebagai badan berkecuali dalam parti.


"Kalau dia ini adalah lantikan Majlis Tertinggi, dia bertanggungjawab kepada Majlis Tertinggi, dia pun duduk di bawah Majlis Tertinggi sedangkan ada yang melakukan rasuah ini daripada kalangan ahli Majlis Tertinggi... barangkali.


"Jadi, bagaimana hendak harapkan Lembaga Disiplin yang dilantik oleh Majlis Tertinggi hendak bertindak terhadap Ahli Majlis Tertinggi, misalnya...," katanya lagi.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224085942&sec=mstar_berita

Bantah cadangan ambil alih IJN - PPIM

Rabu Disember 24, 2008

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah hasrat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang ingin mengambil alih 51 peratus kepentingan Institut Jantung Negara (IJN) untuk diswastakan kerana berpendapat ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.


Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Nordin berkata perkara itu perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.


"Jangan kerana hanya gah untuk memastikan IJN dikenali di seluruh dunia dan mempunyai peralatan yang terkini tetapi rakyat Malaysia hanya mampu melihat dari jauh...apa gunanya kita mempunyai pusat rawatan jantung canggih," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, jaminan Sime Darby bahawa kos rawatan bagi golongan pendapatan rendah dikekal adalah tidak munasabah memandangkan kos perkhidmatan akan meningkat apabila sesuatu perkhidmatan itu diswastakan.


"Memang tidak dinafikan bahawa setiap agensi yang diswastakan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding perkhidmatan sedia ada tetapi ini tidak bermakna jika perkhidmatan yang diberikan tidak mampu dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah kerana kos rawatan yang tinggi," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224172053&sec=mstar_berita

Gapena beri kerajaan tempoh sehingga 31 Disember

Rabu Disember 24, 2008

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk kerajaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik (PPSMI) ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya.


Ketua II Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata gabungan itu mahukan supaya kerajaan bertegas dan mengambil kata putus dalam isu berkenaan secepat mungkin.


"Menteri Pelajaraan boleh cakap kami beremosi. Hakikatnya kami memang beremosi, tetapi ini ialah demi mempertahankan martabat bahasa Melayu seperti yang terkandung di bawah Perlembagaan," katanya pada pemberita selepas majlis makan malam Gapena bersama media, di sini, malam tadi.


Gapena sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran keduadua subjek itu kepada bahasa Melayu.


"Kami bersedia untuk mengambil tindakan tegas termasuk membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.


Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Kamaruddin Siaraf.


Pada majlis yang sama, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan akhbar Utusan Malaysia menerima anugerah sulung Anugerah Citra Gapena. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224130709&sec=mstar_berita

Zahar sah sertai PAS


Rabu Disember 24, 2008

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim hari ini sah menyertai PAS.


Penyertaan beliau turut disertai oleh 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan dalam satu majlis khas yang diadakan di sini, hari ini.


Dalam sidang medianya, Zahar berkata, beliau menyertai PAS kerana dasar perjuangan parti itu yang memperjuangkan kaum Melayu dan Islam.


"Bagi orang-orang Melayu yang mahu aktif dalam politik, kita tidak ada pilihan lain kerana Umno pada hari ini banyak berbeza dengan Umno dengan yang saya sertai 26 tahun dulu.


"Saya tidak terfikir untuk menyertai PAS kerana ia parti alternatif sebaliknya PAS adalah lebih baik dari Umno," katanya selepas menyerahkan borang keahliannya dan 41 pemimpin bahagian tersebut kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.


Zahar berkata, keputusan untuk keluar daripada Umno dan menyertai parti pembangkang itu tidak ada kena-mengena dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuat kuasa 2 Disember lalu.


"Saya tahu kemasukan saya ke dalam PAS telah menimbulkan banyak spekulasi. Rata-rata media menganggap keputusan saya ini dibuat setelah saya digantung.


"Sebenarnya saya dan rakan-rakan di PJ Selatan sudah mula kecewa dengan Umno semasa berlaku peralihan pentadbiran di Selangor pada Mac atau April lalu lagi.


"Daripada situ, kita berbincang baik buruk kekal dalam Umno...mahu terus bersara dari politik atau menyertai parti lain. Tapi bila MT dah buat keputusan begitu (menggantung keahliannya), tak payah lah fikir lagi...kita terus keluar," katanya.


Zahar berkata, beliau sudah 'meluat' dengan Umno terutamanya di Selangor termasuk pelantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Ketua Penerangan parti peringkat negeri dan Senator.


Sambil mengakui bahawa hubungan beliau yang pada satu ketika dahulu amat baik dengan Muhammad kini telah menjadi renggang, Zahar berkata, ia berlaku disebabkan sikapnya yang suka berterus terang dalam menyuarakan pendapatnya termasuk tindakan pemimpin itu yang kadangkala tidak dipersetujuinya.


Beliau berkata, pemimpin Umno tidak menitikberatkan tentang isu agama dan banyak keputusan yang dibuat parti itu tidak mengambil kira kepentingan rakyat.


"Secara terus terang, saya tidak menghormati pemimpin tertinggi dalam Umno. Banyak keputusan yang dibuat tidak mengambil kira keperluan dan kehendak rakyat khususnya orang-orang Melayu," katanya.


Ditanya sama ada kritikannya terhadap Umno ada kaitan dengan pembelian Eurocopter yang tidak memihak kepada syarikatnya, Mentari Services Sdn Bhd, Zahar berkata, hal itu memang dipertikaikannya berikutan pembelian Eurocopter tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.


Beliau berkata, dengan penyertaannya hari ini ke dalam PAS, pejabat Umno di PJ Selatan akan menjadi pejabat PAS bahagian itu mulai esok.


Beliau percaya, baki 68 ketua cawangan bahagian itu akan turut sama menyertai PAS selepas pejabat parti itu mula beroperasi.


Beliau turut menafikan bahawa beliau menyertai PAS kerana inginkan jawatan sebaliknya beliau mahu menjadi sebahagian daripada jentera PAS yang memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu.


"Saya sebelum ini pernah ditawarkan untuk bertanding menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal dan Speaker Dewan Undangan Negeri pada tahun 2007 tetapi saya menolaknya kerana merasakan peluang itu patut diberikan kepada orang lain," katanya.


Zahar berkata, beliau dan rakan-rakannya akan ke Kuala Terengganu pada 5 Disember ini bagi mengukuhkan jentera PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu 17 Disember ini.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224101739&sec=mstar_berita

MIC pertimbang tindakan disiplin, Muthupalaniappan tekad cabar Samy


Rabu Disember 24, 2008

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan (gambar) bertekad untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu walaupun kedengaran desas-desus beliau akan dikenakan tindakan disiplin ekoran dakwaan beberapa kenyataan mengkritik kepimpinan Presiden MIC itu.


"Saya tetap akan bertanding kerana jika tidak, kewibawaan saya akan terjejas... saya akan tetap bertanding," kata beliau ketika dihubungi mStar Online lewat petang ini.


Muthupalaniappan tidak menafikan beliau juga ada mendengar desas-desus beliau bakal dikenakan tindakan disiplin.


Bagaimanapun katanya, beliau sehingga hari ini tidak menerima apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.


"Ia mungkin khabar angin semata-mata. Saya tidak melakukan apa-apa yang memudaratkan parti sehingga memaksa mereka mengambil tindakan (disiplin)," katanya.


Laporan Bernama menyebut bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat MIC sedang menimbangkan tindakan disiplin terhadap Muthupalaniappan yang berhasrat bertanding jawatan Presiden parti tahun depan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti politik terbesar kaum India di negara ini.


Muthupalaniappan mengumumkan hasrat bertanding jawatan itu sebulan lalu dan sejak itu telah mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitan parti.


Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan Exco itu berkata, beliau hanya menawarkan hasrat untuk bertanding dan memberikan kepimpinan yang lebih baik kepada ahli, parti dan masyarakat India.


Sehubungan itu, kata Muthupalaniappan, beliau yakin parti tidak akan bertindak sedemikian buat masa sekarang khususnya ketika parti berada dalam keadaan tidak kukuh selepas pilihan raya umum Mac lalu.


"Sebaliknya saya telah meminta parti membawa masuk pemimpin-pemimpin dan ahli MIC yang telah dipecat dan dibuang demi keutuhan parti. Ini bukan masa mengambil tindakan ke atas mana-mana pemimpin," katanya.


"Letakkan kepentingan nasional terlebih dahulu berbanding kepentingan peribadi," katanya.


Sumber mendedahkan mesyuarat bulanan CWC, dipengerusikan Samy Vellu Khamis lalu telah memutuskan perkara itu diteliti oleh Jawatankuasa Disiplin parti yang diketuai veteran parti Tan Sri G. Vadiveloo.


Samy Vellu, Presiden MIC paling lama berkuasa, mahu mempertahankan kerusinya awal tahun depan.


Ketika dihubungi Bernama hari ini, Vadiveloo tidak menafikan atau mengesahkan sama ada Muthupalaniappan sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti, hanya berkata: "Saya tidak boleh komen mengenainya".


Sementara itu, Setiausaha Akhbar Muthupalaniappan, V. Thiagarajan berkata, Muthupalaniappan telah menulis surat kepada Samy Vellu dan setiausaha agung parti merayu agar cawangan baru tidak ditubuhkan tahun ini kerana pemilihan parti dijadual pada 2009.


"Tetapi kami masih belum menerima jawapan kepada perkara itu, jadi kami perlu lihat dulu," katanya.


Perebutan bagi jawatan presiden MIC akan diputuskan oleh ketua cawangan parti, yang akan mengundi bagi memilih presiden parti.


Jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat akan dipilih oleh kira-kira 1,500 perwakilan bahagian pada perhimpunan agung parti yang akan diadakan kemudian.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081223184300&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...