Monday, August 2, 2010

Harta Pusaka Syed Kechik Ditadbir Bersama Isteri Dan Tiga Anaknya

Sabtu Julai 31, 2010

KUALA LUMPUR: Pertikaian dalam hak mentadbir harta pusaka Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary berjumlah RM400 juta akhirnya terlerai apabila Mahkamah Tinggi di sini hari Jumaat memutuskan isteri kedua dan tiga anaknya perlu mentadbir secara bersama.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng berkata beliau berharap keputusannya itu membolehkan Puan Sri Sofiah Moo Abdullah (isteri kedua allahyarham) dan dua anaknya iaitu Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira serta Syed Gamal (anak bekas isteri pertama) bekerjasama tetapi sekiranya tidak mencapai kata sepakat, mereka boleh datang semula ke mahkamah.

Lee tidak menetapkan sebarang kos guaman kerana berpendapat ia adalah masalah keluarga.

Keputusan yang dibuat Lee pada pukul 8.15 malam ini penuh dengan kata-kata nasihat hingga membuatkan semua pihak yang berada di dalam mahkamah terdiam.

Katanya, dalam apa juga keadaan keluarga allahyarham perlu berfikir apakah yang diinginkan allahyarham sekiranya beliau masih hidup dan bagi Lee, Syed Kechik tentunya tidak mahu melihat situasi pertelingkahan itu berlaku malah beliau bekerja keras untuk memastikan kesenangan hidup anak-anaknya.

Tambahnya, harta yang diperoleh Syed Kechik sepanjang hayatnya bukan sahaja cukup untuk diberikan kepada anak-anak malah hingga ke cucu-cucunya.

Dalam penghakimannya itu juga, Lee sempat menasihatkan supaya lebihan dari harta pusaka itu disumbangkan sebagai amal jariah dan Syed Gamal serta keluarga dari isteri kedua Syed Kechik boleh memulakan proses perdamaian dengan melupakan segala pertelingkahan.

Dalam permohonan yang difailkan 14 April lalu, Syed Gamal, yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik, mendakwa beliau merupakan waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka itu.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun tanpa meninggalkan wasiat.

Syed Kechik ialah bapa mertua pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan itu berikutan tindakan keluarga tirinya memfailkan petisyen memohon supaya surat kuasa mentadbir harta pusaka bapanya diberikan kepada mereka.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas, mereka memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak yang sah di sisi undang-undang, kerana Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat.

Syed Gamal diwakili peguam Pawancheek Marican, Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais manakala peguam Datuk N. Vijaykumar mewakili Sofiah, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Sementara itu, selepas prosiding Syed Gamal sempat memberitahu pemberita beliau bersyukur dengan keputusan tersebut dan amat menghargai kata-kata nasihat daripada hakim untuk memulihkan kembali hubungan kekeluargaan. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/7/31/mstar_mahkamah/20100730230934&sec=mstar_mahkamah

Mahkamah Tolak Saman Maria Terhadap Ahli Perniagaan

Sabtu Julai 31, 2010

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari Jumaat menolak saman sivil personalti TV3, Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan yang didakwa mengingkari penyelesaian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana memungkiri janji untuk berkawin.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menolak saman tersebut dan memeintahkan bekas pengacara rancangan 'Jalan-Jalan Cari Makan' itu membayar kos RM10,000 kepada mahkamah.

Zabariah memuat keputusan itu dibuat dalam kamar selepas pertemuan kira-kira 15 minit dengan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Maria, 40, serta peguam Jagjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin,57.

Bagaimanapun personaliti dan ahli perniagaan itu tidak hadir di mahkamah hari ini.

Akhbardin memberitahu pemberita bahawa permohonan personaliti itu ditolak atas alasan Wan Johani tidak melangar perjanjian tersebut memandang ketika perjanjian itu dibuat, Maria merupakan isteri orang dan seorang wanita yang sudah berkahwin.

"Justeru anak guam saya tidak melanggar perjanjian itu disebabkan Maria tidak berpisah dengan suaminya sewaktu perjanjian itu dibuat dan ini bermakna defendan tidak melanggar perjanjian tersebut disebabkan Maria masih isteri orang," katanya.

Akhbardin berkata mahkamah menolak permohonan itu berikutan personaliti itu bukan berada dalam kapasiti yang membolehkannya untuk berkahwin memandangkan pada masa itu Maria masih bergelar isteri orang.

"Jadi kontrak tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan mengikut Seksyen 14(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lagi selagi perkahwinan itu wujud," katanya.

Beliau memaklumkan perjanjian itu secara moralnya bertentangan dengan polisi masyarakat dan ianya dilarang oleh undang-undang.

"Dalam pembelaan Maria yang menyatakan dia akan berpisah dengan suaminya juga adalah bersifat pramatang, ini disebabkan dia (Maria) masih bergelar isteri dan hak perceraian adalah terletak di tangan suaminya Ahmad Nazri Abd Malek," katanya.

Sementara itu, Sangeet ketika ditanya adakah pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan selepas ini, beliau berkata dia akan berjumpa dengan anak guamnya terlebih dahulu untuk mendapatkan arahan lanjut.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani kerana didakwa melanggar perjanjian.

Pada 2004, Maria memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.-BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/7/31/mstar_mahkamah/20100731000207&sec=mstar_mahkamah

Tunjuk MyKad untuk beli RON95


SEORANG pemilik kereta pendaftaran Thailand mengisi petrol RON97 di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan semalam.


KOTA KINABALU - Warganegara Malaysia yang mempunyai kereta bernombor pendaftaran negara asing perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membeli petrol RON95 di stesen minyak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

Beliau berkata, kelonggaran itu dibuat kerana terdapat ramai rakyat Malaysia terutama di Johor yang bekerja di Singapura memiliki kereta bernombor pendaftaran republik itu.

"Kita tahu ada ramai (rakyat) mendaftar kereta mereka di Singapura, dan berulang-alik di antara Johor Bahru dan Singapura.

"Mereka hanya perlu tunjukkan kad pengenalan atau MyKad di stesen minyak kerana tujuan kita adalah untuk menjual minyak RON95 hanya kepada rakyat Malaysia,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Coop Fest Zon Sabah 2010 di sini semalam.

Bermula semalam, penjualan minyak petrol RON95 di semua stesen minyak di seluruh negara hanya dihadkan kepada rakyat tempatan bagi memastikan subsidi minyak dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Bagi pemandu kenderaan asing, mereka hanya dibenarkan membeli minyak petrol RON97.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa stesen minyak di sempadan mendapati banyak pemandu asing tidak tahu mengenai larangan tersebut.

Di Johor Bahru, pekerja stesen minyak terpaksa menghabiskan banyak masa memberi penjelasan kepada warga Singapura tentang larangan penjualan RON95 itu walaupun notis mengenainya sudah ditampal.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Gantung lesen jika ingkar

2010/08/02

KOTA KINABALU: Kerajaan memberi amaran akan menggantung lesen pengusaha stesen minyak yang didapati menjual petrol RON95 kepada pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing selepas undang-undang mengenai penjualan bahan api itu mula berkuat kuasa, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementeriannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang sengaja mengingkari arahan kerajaan termasuk stesen minyak yang terletak di sempadan negara.


“Kerajaan akan menggantung lesen perniagaan mereka sebagai pengajaran kepada pengusaha lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.


“Semua kenderaan pendaftaran asing tidak dibenarkan membeli RON95 bermula 1 Ogos (semalam),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan ‘Coop Fest’ Zon Sabah di Lintasan Deasoka, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gantunglesenjikaingkar/Article

Janda berang bakar motosikal bekas suami

2010/08/02

TEMERLOH: Akibat berselisih faham, seorang janda mencurah petrol ke atas motosikal bekas suaminya sebelum membakar kenderaan berkenaan mengakibatkan kerugian kira-kira RM2,000 di Jalan Damai Persiaran Satu, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, wanita berusia 30 tahun itu dipercayai tidak berpuas hati dengan bekas suaminya melakukan jenayah terbabit ketika mangsa menunaikan solat Jumaat.


Sebelum kejadian, mangsa berusia 35 tahun yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta, dekat sini, dipelawa bekas isterinya bersarapan bersama di sebuah restoran berhampiran.


Selepas bersarapan, mangsa pulang ke pejabat dan meninggalkan motosikal di parkir berhampiran tempat kerja manakala bekas isterinya pulang ke rumah.


Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga akhir 2008 sebelum berpisah awal 2009 selepas tiada keserasian selain kerap berselisih faham.


Mangsa mengenali wanita terbabit ketika bersama-sama bekerja di sebuah syarikat kereta di Bentong sebelum mangsa berhenti kerja kerana mendapat peluang pengurus di tempatnya bekerja sekarang.


Harian Metro difahamkan, wanita terbabit sering mengunjungi syarikat mangsa bekerja sehingga menimbulkan ketidakselesaan bekas suami serta pekerja.


Akibatnya mangsa menasihatkan wanita itu supaya tidak mengganggunya lagi.


Bagaimanapun, wanita terbabit berang apabila ditegur sebelum pulang ke rumah dan datang semula ke syarikat mangsa beberapa jam kemudian lalu mencurahkan petrol ke atas motosikal Yamaha Nouvomangsa dan membakarnya.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, ketika dihubungi di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit, semalam.


Menurutnya, kejadian terbabit disedari mangsa selepas menerima panggilan daripada rakannya yang memberitahu motosikalnya hangus.

Katanya, mangsa yang tidak percaya dengan dakwaan rakannya itu membuat pemeriksaan sebelum melihat motosikalnya hangus.


Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang Jumaat lalu.


Ahmad Fadzillah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa perbuatan khianat terbabit dilakukan bekas isteri keduanya yang dipercayai tidak berpuas hati selepas berselisih faham.


“Bekas isteri mangsa menyerah diri di IPD Temerloh pada jam 8.30 malam Jumaat lalu selepas dipujuk menyerah diri.

“Polis mengambil keterangan wanita terbabit untuk membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.


Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jandaberangbakarmotosikalbekassuami/Article

Anak muram rupanya dicabul

2010/08/02

AMPANG: Hairan melihat anaknya sentiasa muram dan enggan ke sekolah membuatkan hati seorang ibu tertanya-tanya sebelum dia terkejut apabila mengetahui kanak-kanak perempuan itu menjadi mangsa cabul pemandu van sekolah.

‘Rahsia’ terbabit terbongkar kelmarin apabila ibu kanak-kanak berusia lima tahun itu bertanyakan anaknya mengapa dia sering muram dan berat hati setiap kali hari persekolahan tiba.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, kanak-kanak terbabit yang bersekolah di sebuah tabika di Ampang menjadi mangsa cabul apabila kemaluannya diraba pemandu van hujung Jun lalu.


“Bagaimanapun, mangsa takut menceritakan kejadian berkenaan dan memendam rasa sebelum ibunya bertanyakan kepadanya.


“Selepas hampir sebulan, kanak-kanak berkenaan menceritakan dia takut ke sekolah kerana pemandu van meraba kemaluannya,”
katanya.


Menurut Abd Jalil, ibu kanak-kanak berkenaan terkejut apabila mendengar cerita itu sebelum dia membuat laporan polis, Sabtu lalu.


“Kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.


Menurutnya, susulan laporan ibu mangsa, polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu van sekolah terbabit bagi membantu siasatan.


“Lelaki itu yang berusia 20-an ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di rumahnya di kawasan Ampang dan kami akan mendapatkan perintah untuk menahan reman.


“Ketika ditahan lelaki terbabit tidak melawan dan memberikan kerjasama dan polis turut merampas van yang digunakannya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakmuramrupanyadicabul/Article

Nyaris buta dek hutang RM25



Oleh Ramli Ibrahim

2010/08/02

GUA MUSANG: Gara-gara menuntut hutang berjumlah RM25, seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, nyaris buta mata kanan akibat dihentak dengan kaki meja oleh rakannya dalam kejadian tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam, Mohd Afiq Yahya, 16, lebam dan cedera pada mata menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa tidur di asrama sebelum didatangi pelajar terbabit yang dikatakan tidak puas hati kerana diminta membayar hutang pada petang sebelum kejadian.

Menurut Mohd Afiq, rakannya itu datang seorang diri dengan menutup kepala menggunakan kain putih sebelum menghentak kepalanya menggunakan kayu kaki meja.

Katanya, ketika kejadian dia baru melelapkan mata dan langsung tidak mengesyaki pelajar terbabit akan menyerangnya.

“Saya bangun untuk melawan, tetapi tidak terdaya apabila beberapa kali muka saya dihentak dengan kayu berkenaan.

“Kejadian itu juga berlaku dalam gelap kerana lampu asrama dipadamkan pada jam 11 malam. Dia yang tinggal dalam bilik asrama berasingan mengambil kesempatan membalas dendam apabila saya memintanya membayar hutang RM25,” katanya ketika ditemui di HGM, semalam.

Selain itu, Mohd Afiq berkata, dalam keadaan kelam-kabut dia sempat mengejar penyerangnya hingga ke tangga bawah bangunan, namun terpaksa berhenti di situ apabila mula terasa sakit dan pening akibat hentakan itu.

Katanya, hentakan itu amat kuat sehingga menyebabkan kayu kaki meja itu terpatah dua.

“Memang kuat hentakan kayu itu kerana ia patah dua, selain lengan dan jari saya luka kecil terkena besi katil ketika cuba menahan daripada terus dipukulnya.

“Berikutan itu, saya melaporkan kepada warden sebelum dibawa ke HGM untuk mendapatkan rawatan,”
katanya.

Mohd Afiq berkata, pada petang sebelum kejadian, dia meminta pelajar terbabit membayar kembali wang yang dipinjamkan sejak beberapa bulan lalu kerana dia sendiri sedang kesempitan bagi menampung perbelanjaan harian.

Katanya, dia meminjamkan wang itu memandangkan rakannya memerlukan duit selepas menjadi mangsa curi.

“Saya ingin membantunya, tetapi apabila minta dibayar semula, dia memberi balasan begini pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian itu dan seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan untuk disoal siasat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...