Tuesday, January 25, 2011

Penuntut Malaysia perlu bantuan segera


BANJIR yang berlaku di Brisbane yang turut melibatkan pelajar dari Malaysia dan bantuan daripada kerajaan didakwa masih belum diterima. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Bantuan segera perlu disalurkan kepada lebih 170 penuntut Malaysia yang menjadi mangsa banjir di Brisbane, Australia sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Biro Antarabangsa Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya terkilan kerana sehingga kini tiada bantuan disalurkan kepada para penuntut berkenaan.

"Perkara ini telah lama disuarakan oleh pelajar-pelajar itu, namun banyak pihak memandang ringan tentang isu ini. Kenapa sehingga kini tiada yang memberi bantuan segera kepada mereka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, penuntut Malaysia terbabit kini berada dalam keadaan bimbang berikutan bencana alam yang berlaku, malahan ada di kalangan penuntut terpaksa berkongsi makanan setelah terputus bekalan makanan.

"Pihak-pihak terlibat misalnya Kedutaan Malaysia di Australia, Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dan Wisma Putra perlu berbuat sesuatu agar perkara ini tidak berlarutan," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Pengampu Dan Penasihat Yang Membawa Reba Dan Rebah

Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Saya pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat Syaiban al-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”. Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”.

Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”. Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.

Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat yang sebenar, -sekalipun boleh menimbulkan keresahan- adalah lebih baik untuk seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang pemimpin.

Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Adapun pengampu, demi kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah sahaja yang sampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta hakikat sebenar rakyatnya.

Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka.

Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil, sebaliknya hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap: “jika tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang merbahaya dan boleh membawa maut”. Dalam ketakutan raja menjawap: “Ya, saya nampak, alangkah cantiknya”.

Demikianlah juga menteri-menteri dan para pengiring raja juga mengaku perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang.

Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut ternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah. Tiba-tiba beberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang bertelanjang”. Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh ‘taukeh-taukeh’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun masa telah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.

Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya, kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan sukakannya.

Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang buruk, jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua puluh lima persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orang yang dinasihati itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati dengan para penasihat kalian!”.

Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan fitnah’ seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauan atau hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).

Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan koperat dan berpangkat semata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan mencari kemewahan semata.

Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecah amanah lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w: “Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka api fitnah akan merebah, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara.

Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat pembohongan dengan menyiarkan temubual insan-insan yang terpinggir dari realiti sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih-sayang antara rakyat dan pemimpin akibat perbuatan para pengampu.

Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas-luasnya untuk setiap orang mendapatkan haknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa gangguan dan tekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka, sementara yang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a.: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)

Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai oleh setiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada taukeh-taukeh besar yang menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan. Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah tanggung jawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda. Hapuskan para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.

Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat diperolehi, jika pemberi maklumat atau penganalis itu masih lagi membodek dan pengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.

Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantong’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’.

Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu’awiyah: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan.

Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!(Surah al-Hasyr: 16).

Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya (Surah al-Anfal: 48).

Ya Allah! Daku telah menyampaikan!!.

http://drmaza.com/home/?p=191

Sebutan Kes Cerai Taklik Senator 17 Februari

Isnin Januari 24, 2011

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah di sini pada Isnin, menetapkan supaya kes permohonan perceraian secara taklik yang melibatkan Senator Datuk Paduka Nor Hayati Onn disebut semula pada 17 Februari depan bagi membolehkan beliau memperincikan permohonan tersebut.

Hakim Drs Atras Mohamed Zin turut menetapkan supaya kes itu disebut bersama dengan permohonan nusyuz (ingkar) yang difailkan jurutera, Ir Mohd Suffian Abdul Aziz terhadap isterinya yang juga merupakan Exco Wanita UMNO.

Kes tersebut pada awalnya ditetapkan sebagai perbicaraan pada hari ini, tetapi peguam syarie Muhammad Buruk yang mewakili Mohd Suffian, 53, membuat permohonan supaya Nor Hayati,48, memperincikan fakta yang lengkap dalam permohonan taklik.

Ini kerana, menurut Muhammad Buruk , fakta-fakta tersebut diperlukan oleh pihaknya dalam menyediakan pembelaan terhadap permohonan Nor Hayati.

Permohonan taklik difailkan oleh Nor Hayati pada 19 April lalu kerana mendakwa Mohd Suffian telah melanggar taklik yang ditandatangani pada 23 Mac 2006 di hadapan dua ahli keluarga Nor Hayati.

Mohd Suffian pula memfailkan permohonan nusyuz tersebut pada 18 Februari 2008 mengikut Seksyen 60 (2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pada prosiding Isnin, Mohd Suffian yang hadir bersama tiga anaknya, Ahmad Razali, 27, Siti Hasmah, 25, dan Ahmad Ridza, 19, kelihatan agak ‘kesal’ kerana perbicaraan kes ditangguhkan.

“Anak sulung saya yang merupakan juruterbang pulang dari Sabah untuk memberi keterangan hari ini,” katanya. Nor Hayati tidak menghadiri prosiding dan hanya diwakili peguam syarie Rubiah Jaafar.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/1/24/mstar_mahkamah/20110124185027&sec=mstar_mahkamah

PAS Beri Tempoh 24 Jam Kepada MP Labis

Published: Isnin Januari 24, 2011 MYT 7:13:00 PM

LABIS: PAS memberi tempoh 24jam kepada Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong supaya untuk membuktikan calon mereka, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang peniaga berbangsa Cina menjual arak di kedainya baru-baru ini.

Normala ketika ditemui berkata, Tee Yong digesa menyatakan tempat, masa dan individu yang terlibat bagi membuktikan kejadian tersebut benar-benar berlaku.

“Sekiranya beliau gagal sehingga jam 12 tengah hari esok, kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap saya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya telah mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana perkara tersebut tidak pernah berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di pekan Labis pada Isnin.

Semalam, akhbar Cina melaporkan Tee Yong mendakwa Normala mempersoalkan tindakan seorang peniaga Cina di Labis menjual arak di kedainya ketika kempennya bertemu orang ramai.

Mengulas lanjut, Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala mendakwa wakil rakyat parti komponen Barisan Nasional itu sengaja melancarkan serangan peribadi untuk menjejaskan imejnya sebagai wanita Muslim.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan tuduhan tersebut berniat jahat untuk membangkitkan keresahan dan ketakutan kalangan masyrakat Cina.

“Kita cabar Tee Yong menyatakan dimana, bila dan kedai yang terlibat yang mendakwa calon kita bercakap sedemikian terhadap peniaga Cina tersebut bagi merungkaikan isu berbangkit ini,” katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/24/mstar_berita/20110124191137&sec=mstar_berita

Jiran cuba sabotaj kita: Kuan Yew

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura menuduh negara jiran, Malaysia dan Indonesia berusaha cuba menjatuhkan republik itu.

Menurut Lee Kuan Yew, kedua-dua negara jiran itu tidak senang dengan kemajuan pelabuhan Singapura dan berusaha untuk menggagalkannya.

Beliau turut menggesa masyarakat Islam tempatan bersikap ‘lebih longgar dalam mengamalkan suruhan agama mereka,’ bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Majoriti penduduk Singapura keturunan China dengan golongan Melayu yang beragama Islam dan kaum India menjadi penduduk minoriti.

“Saya boleh berkata hari ini, kita boleh integrasi semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya dalam buku barunya: ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.’

“Saya berpendapat kami mencapai kemajuan dengan baik sehingga muncul kebangkitan Islam dan jika anda bertanya pendapat saya, masyarakat lain dapat berintegrasi dengan mudah - persahabatan, kahwin campur dan sebagainya,” katanya yang kini menjadi penasihat anaknya yang juga Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.

“Saya berpendapat, masyarakat Islam secara sosialnya tidak mencetuskan masalah.

“Tetapi mereka berbeza dan terpisah,” kata Kuan Yew sambil menggesa penganut agama itu bersikap lebih longgar dalam melaksanakan ajaran Islam.

Ketika melancarkan buku berkenaan Jumaat lalu Lee memberi amaran kepada rakyat Singapura agar tidak bersikap ambil mudah kerana republik itu masih menjalani proses pembangunan.

Dengan menyifatkan Singapura dalam buku itu sebagai ‘bangunan 80 tingkat di atas tanah paya,’ Lee berkata, negara itu mesti berjuang untuk mengatasi sikap bermusuhan dengan negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Kita mempunyai jiran yang baik? Sedarlah. Terdapat usaha untuk menjatuhkan kita kerana kita adalah pengacau.” katanya dengan mendakwa Malaysia dan Indonesia berusaha untuk menggagalkan bisnes pelabuhan yang amat penting bagi republik itu. - AFP

http://www.hmetro.com.my/articles/Jirancubasabotajkita_KuanYew/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...