Tuesday, March 31, 2009

Pelajar miliki dadah ditahan di Putrajaya

Pelajar miliki dadah ditahan di Putrajaya

PUTRAJAYA: Seorang pelajar perempuan ditahan di sini Jumaat lepas kerana disyaki memiliki ketamin seberat 9.4 gram.

Pelajar berumur 15 tahun itu ditahan ketika ponteng sekolah bersama-sama dua pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun serta dua orang penganggur.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Supritendan Abdul Razak Abdul Majid berkata mereka ditahan di Fasa 7, Presint 9 kira-kira 10.30 pagi.

"Serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin ditemui dalam beg sekolah pelajar perempuan berkenaan. Polis sudah pun menghantar serbuk itu ke makmal untuk ujian," katanya.

Beliau berkata pelajar perempuan itu dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini selepas tempoh tahanan remannya tamat semalam, manakala empat lelaki terbabit turut dibebaskan hari ini.

Sementara itu Abdul Razak berkata polis masih memburu tiga lelaki yang menyamar sebagai tukang cuci untuk mencuri komputer riba di pejabat sekitar Putrajaya.

Beliau berkata kes terbaru berlaku Ahad lepas di sebuah premis perniagaan di Presint 14, di mana enam komputer riba bernilai kira-kira RM 22,000 hilang.

Jenayah itu dipercayai dilakukan kumpulan yang sama yang mencuri sembilan komputer riba bernilai RM29,000 dalam dua kes berlainan pada Selasa lepas dan Ogos tahun lalu, katanya. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2009/3/31/mstar_jenayah/20090331163335&sec=mstar_jenayah

Petronas minta abai e-mel tipu

KUALA LUMPUR: Petronas meminta orang ramai mengabaikan sebarang bentuk e-mel yang diterima mengenai penebusan hadiah promosi dalam talian konon dianjurkan syarikat itu.

Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat Petronas, pihaknya tidak pernah mengendalikan atau memberi kuasa kepada mana-mana pihak bagi menganjurkan sebarang skim penebusan hadiah atau promosi dalam talian seperti disebarkan dalam Internet.

Menurut kenyataan itu, e-mel berkenaan yang mengandungi butiran ejen tuntutan yang boleh dihubungi untuk bantuan dan urusan pembayaran hadiah ditawarkan itu palsu dan didalangi individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

Petronas sudah berhubung dengan pihak berkuasa mengenai perkara itu dan notis mengenai pelbagai penipuan itu turut dipaparkan di laman web Petronas www.petronas.com.my. - Bernama

Harga ayam turun lagi 30 sen sekilo

KUALA LUMPUR: Harga ayam daging akan turun lagi sebanyak 30 sen sekilogram di seluruh negara mulai hari ini, pengumuman kedua penurunan harga selepas yang pertama pada Khamis lepas.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia Kwei Yew Tong berkata, harga ayam ladang turun RM3.30 kepada RM3 sekilogram, harga borong daripada RM4 kepada RM3.70 sekilogram dan harga runcit RM4.70 kepada 4.40 sekilogram.

Menurutnya, harga borong ayam bersih akan turun daripada RM4.70 kepada RM4.35 sekilogram sementara harga runcit ayam bersih dengan betis, kepala, hati dan hempedal turun daripada RM5.55 kepada RM5.20 sekilogram.

Usah gelap mata terima tawaran bank


KUALA LUMPUR:
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan orang ramai tidak gelap mata jika dihubungi dan ditawarkan pinjaman peribadi serta kad kredit dari mana-mana bank.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi berkata pengguna akan mendapat kesan buruk sekiranya mereka menerima tawaran berkenaan berikutan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik pada masa sekarang.

“Pengguna perlu sedar sekiranya mereka tidak mengalami sebarang masalah kewangan, mereka tidak perlu bersetuju dengan tawaran yang diterima kerana akan menanggung beban hutang yang banyak berikutan membuat pinjaman dengan bank berkenaan.

“Membuat pinjaman bank pada masa ini bukanlah mudah seperti yang disangkakan kerana sekiranya pinjaman yang dibuat tidak dapat dibayar dan tertunggak, nama mereka akan disenaraihitamkan oleh bank dan syarikat kewangan lain dan seterusnya merugikan diri sendiri,”
katanya.

Keadaan ekonomi global yang tidak menentu tidak sesuai bagi pengguna membuat pinjaman atau memohon kad kredit sekiranya mereka tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Fomca juga tidak menggalakkan pengguna berbuat demikian pada masa sekarang kerana bimbang mereka tidak mampu membayar balik pinjaman dibuat berikutan terdapat segelintir bank yang mengenakan kadar faedah tinggi.

Menurutnya, tidak wajar bagi pihak bank menawarkan pinjaman sedemikian berikutan kebanyakan pengguna masih lagi mengalami kesukaran untuk berbelanja bagi meneruskan kehidupan seharian.

“Adalah sesuatu tidak baik sekiranya pihak bank menghubungi mana-mana individu menawarkan pinjaman peribadi dan kad kredit walaupun mereka tahu akan keadaan kegawatan ekonomi sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, Fomca menasihatkan orang ramai berfikir panjang sebelum menerima tawaran berkenaan dan memikirkan kesan masa depan sekiranya menghadapi masalah kewangan kelak.

Lelaki diganggu ‘lembaga’ misteri

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bermulut celupar ketika bercuti di negara jiran menyebabkan seorang lelaki tempatan kini hidup dalam kebimbangan berikutan diganggu ‘lembaga’ misteri yang sering merasuknya sejak lebih dua minggu lalu. 

Lebih menghairankan apabila ‘lembaga’ itu meminta mangsa mencari isteri dan anak lelakinya yang dikatakan menghilangkan diri di negara ini sejak beberapa tahun lalu. 

Teow Hsium Choon, 36, mendakwa peristiwa hitam berkenaan bermula ketika dia dan lima rakannya pergi bercuti di Kemboja dan menginap di sebuah hotel di negara itu pada 12 Mac lalu. 

Menurutnya, ketika bBolderurut, seorang tukang urut wanita menanyakannya lokasi penginapan dan aras termasuk nombor bilik hotel. 

“Selepas menjawab, wanita itu terkejut dan memaklumkan bilik terbabit berhantu. 

“Saya dan beberapa rakan bagaimanapun ketawa kerana tidak mempercayai perkara itu dan menganggapnya karut,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong. 

Teow yang menetap di Kedah berkata, ketika minum bersama rakan keesokan harinya, dia tiba-tiba tidak selesa dan merasakan ‘sesuatu’ memasuki tubuhnya. 

“Saya kemudian dikatakan mengamuk dan suara bertukar menjadi garau seperti makhluk halus sehingga menyebabkan beberapa rakan terpaksa memegang saya selama beberapa jam.

“Mereka memaklumkan ‘lelaki’ itu meminta supaya mencari isterinya dikenali sebagai Chong Sim Choon dan anak lelaki, Chow Kon Loi berusia 37 tahun yang berada di Malaysia sebagai pembalasan dan hukuman kerana bermulut celupar,”
katanya. 

Menurutnya, dia dan rakan yang bimbang dengan keadaan itu mengambil keputusan pulang ke tanah air.

“Firasat saya yang menjangkakan tidak akan diganggu ‘lelaki’ itu meleset apabila dirasuk semula Jumaat lalu dan mengingatkan supaya tidak melupakan permintaannya sebelum ini,” katanya.

Dakwa Teoh, dia kini buntu memikirkan nasib dialaminya dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-kedua ahli keluarga ‘lelaki’ itu supaya menghubungi Biro Pengaduan Awam MCA di talian 03-21615678 untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090331085320/Article/index_html

3 kali dirogol Mat Afrika

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Menjadi tanda tanya. Seorang janda hanya membuat laporan polis Rabu lalu selepas mendakwa dia dirogol tiga kali oleh seorang warga Afrika yang menyewa rumahnya sejak sebulan lalu.

Apabila ditanya mengenai kelewatannya membuat laporan polis, dia memberi alasan terlalu sibuk dengan pekerjaannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 34 tahun tinggal di sebuah pangsapuri di Batu 9, Cheras.

Dia kemudian mengiklankan bilik kosong untuk disewa kepada sesiapa yang berminat dalam Internet.

Menurutnya, iklannya mendapat maklum balas daripada seorang lelaki Afrika berusia 36 tahun.

“Selepas berbincang, dia bersetuju menyewa bilik utama di rumah janda berkenaan dengan bayaran RM200 sebulan.

“Suspek yang mula menyewa Disember lalu dikatakan membayar sewa bilik sekali saja sebelum enggan membuat bayaran pada Januari dan Februari,”
katanya.

Dalam laporann polisnya, mangsa mendakwa diperkosa pada 21 Februari lalu ketika berada di rumah bersama penyewa berkenaan.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai pegawai tadbir mendakwa tiba-tiba dipeluk suspek dari belakang sebelum ditarik masuk ke dalam bilik tidurnya.

“Dalam keadaan masih terkejut dan cuba untuk melawan, mangsa diperkosa suspek sebelum dilepaskan begitu sahaja,” katanya.

“Dua hari kemudian mangsa mendakwa sekali lagi diperkosa lelaki berkenaan dalam bilik tidurnya.

“Dia mendakwa sedang lena tidur sebelum suspek menceroboh masuk ke dalam biliknya lalu memperkosanya. Mangsa yang enggan membuat laporan polis kerana ketakutan diperkosa lagi beberapa hari kemudian,”
katanya.

Menurutnya, suspek keluar dari rumah sewa berkenaan pada 3 Mac lalu tanpa membawa sebarang perkakas atau pakaian miliknya.

“Bagaimanapun, Rabu lalu, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali mengugut mahu membunuhnya selain mencederakan anaknya,” katanya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian dia diperkosa dan diugut.

“Mangsa mendakwa sebelum ini enggan membuat laporan polis kerana berasa takut selain terlalu sibuk dengan tugas di pejabat,” katanya.

Difahamkan polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan suspek kini sedang diburu polis.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan, seorang gadis berusia 20-an turut diperkosa tidak kurang enam lelaki selepas dikatakan cuba mencari rumah sewa.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dihubungi teman lelaki yang baru dikenali mendakwa berjaya mendapatkan rumah kedai berhampiran Serdang di sini, untuk didiami mangsa.

Mangsa yang tinggal di Puchong Prima dijemput rakan kepada teman lelakinya itu pada jam 10 malam di Batu 14, Puchong, di sini.

Difahamkan, mangsa yang menaiki motosikal dibawa ke sebuah bilik sebelum tiba-tiba diperkosa tiga lelaki dipercayai rakan kekasihnya.

Mangsa mendakwa turut diugut bunuh dengan ditunjukkan pedang Samurai oleh suspek.

Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditakutkan akan dibunuh dengan cara mukanya ditekup dengan bantal sehingga lemas.

Mangsa yang ketakutan terpaksa merelakan suspek ‘meratah’ tubuhnya bergilir-gilir.

Keesokan harinya, suspek mendakwa turut diperkosa beberapa lelaki lagi sebelum dia dibebaskan pemilik rumah sewa berkenaan pada jam 8 pagi Sabtu lalu selepas mangsa menceritakan detik ngeri dialami.

Mangsa yang berjaya melarikan diri dengan menaiki teksi kemudian segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090331090811/Article/index_html

Cedera ditumbuk lelaki curi telefon


KUANTAN:
Seorang remaja perempuan cedera di hidung selepas ditumbuk seorang peragut yang melarikan dua telefon bimbitnya ketika mereka bergelut dalam kejadian berhampiran sebuah kedai telekomunikasi di Semambu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa berusia 20 tahun, seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA), nekad bergelut dengan penjenayah terbabit dalam usaha mendapatkan semula telefon bimbitnya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Nordin Mustapa, berkata sebelum kejadian, mangsa ke kedai telekomunikasi seorang diri untuk membeli kad tambah nilai.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa meletakkan dua telefon bimbit di atas rak pameran dan bersembang dengan pembantu kedai sebelum seorang lelaki yang turut memasuki kedai itu merampas telefon bimbit dianggarkan bernilai RM500 sebelum melarikan diri.

Namun, peragut dan rakan diberkas orang ramai yang melihat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

Restoran terbesar di Asia

Bubba Gump Shrimp Co. diiktiraf sebagai restoran terbesar di Asia dengan keluasan 9,000 kaki persegi dan mampu memuatkan 300 pengunjung dalam satu-satu masa.


NZ Diners yakin restoran BGSC mempunyai prospek cerah di Malaysia.


MESKIPUN kegawatan ekonomi global masih terasa kesannya, namun ia tidak menghalang Naza Diners Sdn. Bhd. (NZ Diners) mengeluarkan pelaburan sebanyak RM3.5 juta untuk membuka cawangan kedua restoran Bubba Gump Shrimp Co. (BGSC) di Malaysia.

Bertempat di pusat beli-belah Sunway Pyramid, restoran francais dari Amerika Syarikat (AS) itu telah diiktiraf sebagai yang terbesar di Asia dengan keluasan 9,000 kaki persegi dan mampu memuatkan 300 pengunjung dalam satu-satu masa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin, kos pelaburan sebanyak RM3.5 juta itu merangkumi proses francaisi, membaik pulih ruang restoran, sesi latihan dan tenaga kerja.

"Walaupun berdepan dengan krisis ekonomi yang melanda di seluruh dunia, namun melalui pembukaan restoran BGSC cawangan kedua ini, kami turut menawarkan 100 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan," kata SM Nasarudin sewaktu sidang media pada majlis perasmian BGSC di Sunway Pyramid baru-baru ini.

Selain itu, SM Nasarudin menjelaskan, pihaknya ada menawarkan lima menu tambahan bagi menarik perhatian pelanggan BGSC seperti Ayam Texas Cajun, Sandwic Udang Po'Boy dan Pai Alabama Mud.


DARI kiri: Scott Barnett, Sarena Cheah, wakil Sunway dan Nasarudin turut hadir pada majlis pelancaran restoran itu.


Ditanya mengenai perancangan untuk mengembangkan perniagaan NZ Diners, SM Nasarudin berkata: "Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami bercadang untuk membuka tiga lagi cawangan BGSC di Malaysia."

Dalam pada itu, CEO dan Presiden BGSC, Scott Barnett yang turut hadir pada majlis perasmian itu berkata, sebanyak 80 peratus cawangan restoran BGSC di Asia terletak di Jepun dan Indonesia.

Tambahnya, beliau yakin kerjasama francais dengan NZ Diners akan memberi potensi yang baik dan menguntungkan BGSC kerana syarikat tersebut mempunyai kriteria yang diperlukan.

NZ Diners merupakan anak syarikat Kumpulan Naza yang beroperasi dalam industri makanan dan minuman di mana ia semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Restoran BGSC pertama dibuka di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara pada pertengahan tahun lalu. BGSC diasaskan pada tahun 1996 yang diilhamkan daripada filem hebat Forrest Gumplakonan mantap Tom Hanks.

Kini, ia mempunyai 34 cawangan di seluruh dunia termasuk Indonesia, Mexico, Hong Kong, Filipina dan Jepun. Setiap outletBGSC akan menampilkan koleksi memorabilia filem Forrest Gumpseperti skrip, kostum, kasut dan gambar.

Bagi peminat setia filem Forrest Gump, restoran itu juga menyediakan pelbagai barangan dan cenderahati untuk dijual termasuklah kemeja-t, rantai kunci, topi, baju panas dan lain-lain lagi.

Restoran ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Ahad, mulai pukul 11 pagi hingga 12.30 malam pada hari biasa dan 11 pagi hingga 1 pagi pada hujung minggu. Bagaimanapun, bermula bulan Mei 2009, waktu operasinya akan dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Bila ginjal gagal berfungsi

Buah pinggang yang dipanggil nefron berfungsi mengkumuhkan kotoran dari dalam badan. Apakah kesannya jika ia tidak lagi berfungsi?




AHMAD Saadan, 52, pada mulanya tidak percaya apabila doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (end stage renal failure).

Doktor memaklumkan Ahmad bahawa dia perlu menjalani rawatan dialisis menggunakan mesin untuk mencuci darah seumur hidup. Sebelum ini, dia telah beberapa kali menjalani pembedahan di lengan, leher, dada dan terakhir pada kaki akibat komplikasi yang dihidapinya.

Menurut Ahmad, segala-galanya bermula sebaik sahaja dia menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1992. Dia, kemudiannya pulang ke kampungnya di Taiping, Perak.

Dengan wang pampasan sebanyak RM60,000 yang diterimanya bagi tempoh 16 tahun perkhidmatan, dia membuka sebuah gerai buah-buahan pada waktu siang dan mengendalikan restoran pada sebelah malam.

"Selepas empat tahun berniaga, saya mula mengalami demam dan lenguh-lenguh badan. Walaupun begitu, saya tidak ambil kisah kerana menyangka ia adalah sakit biasa akibat seharian penat bekerja.

"Sehinggalah saya jatuh pengsan semasa berniaga di restoran. Saya dihantar ke Hospital Taiping dan disahkan mengidap penyakit buah pinggang.

"Doktor memberitahu, puncanya bukanlah disebabkan penat bekerja tetapi kerana pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan," kata bapa kepada lima orang anak itu. Ahmad mengambil ubat tahan sakit untuk melegakan penyakit gout yang dideritainya.


HARAPAN Ahmad kini cuma bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.


Hasil bedah siasat, doktor mendapati buah pinggang Ahmad telah rosak. Malah pemeriksaan doktor juga mendapati kedua-dua buah pinggangnya mengecut dan tidak lagi boleh berfungsi.

Buah pinggang merupakan satu unit kecil yang dipanggil nefron. Ia terletak di kiri dan kanan pinggang tubuh manusia dan berfungsi mengeluarkan bahan kotoran dari badan.

Selain itu, buah pinggang membantu mengeluarkan air berlebihan dari dalam badan serta mengawal keseimbangan garam, asid, alkali, dan bahan-bahan kimia di dalam badan.

Buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah, membantu mengawal proses penghasilan sel darah merah dan mengawal ketumpatan tulang.

"Doktor memberitahu, penyakit saya sudah di peringkat akhir. Saya terkejut kerana penyakit ini tidak memberi sebarang tanda pada peringkat awal, selain mengalami demam dan lenguh-leguh badan sahaja," katanya ketika ditemui semasa melakukan rawatan dialisis di Hospital Serdang, Selangor baru-baru ini.


AHMAD sentiasa ditemani isterinya untuk berulang-alik ke Hospital Taiping sebanyak tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan dialisis.


Ahmad yang mendapat bantuan daripada Kementerian Pertahanan mula menerima rawatan dialisis sejak tahun 2001.

Pada peringkat awal, beliau dikehendaki menjalani kaedah rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD).

Namun Ahmad mengalami komplikasi usus bocor sewaktu pembedahan meletakkan katerer tenckhoff di dalam perut nya.

Rongga perut beliau tidak boleh menampung rawatan CAPD sekali gus memaksanya melakukan rawatan hemodialisis. Bagaimanapun, semua fistula iaitu sambungan salur darah nadi kepada salur darah vena yang perlu untuk rawatan hemodialisis turut gagal.

Satu daripada fistula tersebut telah menyebabkan tangan Ahmad bengkak dan otot pada tangan kanannya yang mengawal genggaman tangan juga separa rosak.

"Akibat penggunaan katerer hemodialisis pada leher dalam jangka masa panjang, semua salur darah vena utama di bahagian dada saya menjadi sempit dan tidak sesuai untuk dialisis melalui katerer.

"Ikhtiar terakhir ialah mendapatkan penderma buah pinggang yang sesuai dan saya berjaya memperolehnya. Malangnya, pemindahan tersebut juga gagal," katanya yang sentiasa ditemani isterinya, Aniza Jamaludin, 45, selama beliau perlu berulang-alik ke hospital tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan hemodialisis di hospital.

Ibarat kata pepatah, sudah jatuh di timpa tangga. Kini, harapannya bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.

Ahmad yang menderita penyakit buah pinggang selama 13 tahun, berkata, kos rawatannya dibiayai oleh Kementerian Pertahanan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk seumur hidup.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Di sebalik chador

Dari bidang politik, kehakiman, kerjaya sehinggalah sukan, kehadiran wanita Iran terus dirasai.




DENGAN langkah yang panjang dan pantas, seorang wanita berjalan di celah-celah orang ramai yang berkumpul di Dataran Azadi untuk meraikan ulang tahun ke-30 Revolusi Islam Iran. Mereka berjalan untuk mencari jalan keluar.

Samaneh Rooh, 25, yang berpakaian jubah hitam chador dan begitu menawan, memegang erat lengan serta membimbing saya berjalan keluar dari dataran tersebut. Ketika itu, beratus ribu warga Iran berkumpul di Tehran bagi meraikan ulang tahun itu pada bulan lalu.

Beliau menapak di sepanjang laluan pejalan kaki dengan mudah. Jelas sekali chador (kain luar atau jubah terbuka yang dipakai oleh wanita Iran di luar rumah) yang dipakainya tidak menghalang kepantasan Samaneh mengatur langkah walaupun dikibas angin.

Wanita muda yang bertenaga itu ditugaskan sebagai penterjemah bagi sekumpulan wartawan wanita yang dijemput oleh Pertubuhan Budaya dan Hubungan Islam (ICRO) bersempena dengan ulang tahun itu. Katanya, beliau berasa bebas walaupun memakai chador.

"Saya boleh berbuat apa sahaja memandangkan saya tidak banyak menarik perhatian, terutama kaum lelaki apabila memakai chador," kata Samaneh yang bagaikan penterjemah peribadi dan jurupandu penulis semasa sambutan ulang tahun ini.

Menyukai kerjanya

"Saya suka bahasa Inggeris. Sebagai penterjemah, saya berpeluang bertemu dengan ramai orang dari pelbagai negara dan belajar budaya mereka," katanya yang hobinya bermain gitar dan melukis.

Dilahirkan di Tehran, hab rangkaian komunikasi dan pengangkutan, gadis yang petah berkata-kata ini suka tinggal di bandar raya itu walaupun kehidupan di situ bukanlah mudah.

"Saya terpaksa mengharung pencemaran tetapi saya masih suka tinggal di sini kerana ini tempat kelahiran saya.

"Kehidupan yang saya lalui sekarang adalah hasil daripada apa yang saya usahakan selama ini. Saya ke universiti, bermain muzik dan melakukan apa sahaja yang saya mahu. Saya benar-benar menikmati kebebasan. Tetapi mungkin matlamat saya berlainan daripada wanita lain di negara ini. Mereka mungkin mempunyai matlamat lain dan oleh itu, mereka berasa tiada kebebasan," katanya apabila ditanya bagaimana rasanya tinggal di Iran dan bagaimana kedudukan wanita di negara itu.

Bagi ahli psikologi, Maryam Namayeshi, 40, tiada perbezaan jika bekerja dengan lelaki ataupun wanita di Iran.

Maryam yang ditemui di dalam pesawat semasa dalam penerbangan ke Assaluyeh, berkata, perjalanan satu setengah jam dari Tehran itu menjelaskan tentang pekerjaannya. Tugasnya adalah memberi kaunseling kepada lelaki, wanita dan keluarga mereka.

Assaluyeh merupakan 'dunia lelaki', apabila anda melangkah keluar dari lapangan terbang. Apa yang anda lihat ialah lelaki... lelaki... dan lebih ramai lelaki. Tetapi itu jelas tidak memberi kesan kepada Maryam.


KOMPLEKS Sukan Englab turut menyediakan kemudahan untuk bermain boling bagi wanita Iran.


Beliau yang bertugas dengan Pars Oil and Gas Company (POGC) terbang ke Assaluyeh, sebuah bandar di selatan Iran, untuk menyampaikan kaunseling dan menjalankan bengkel bagi kakitangan POGC dan keluarga mereka di situ.

Menurutnya, kebanyakan lelaki yang bekerja dalam sektor gas sudah berkeluarga tetapi meninggalkan keluarga masing-masing apabila bekerja di situ.

"Mereka boleh mengalami kemurungan apabila berjauhan dari keluarga untuk tempoh yang lama dan ini boleh menimbulkan masalah besar, lebih-lebih lagi tempat itu adalah sebuah kawasan industri dan tidak mempunyai banyak kemudahan seperti di bandar raya.

"Pada waktu-waktu seperti ini, mereka memerlukan kaunseling. Kebanyakan aduan yang diterima berkaitan dengan kemurungan," kata beliau.

"Saya tidak menghadapi sebarang masalah berhubung kerja saya di sini," tambah Maryam sambil menuding ke arah hijab yang dipakainya.

"Ini sesuatu yang saya pakai sebagai wanita Islam dan ia tidak menjejaskan kerja saya," ujarnya.

Wanita dan lelaki bekerjasama

Anggota Parlimen, Dr. Zahreh Elahiar berkata, hanya terdapat lapan anggota Parlimen wanita di Iran tetapi itu tidak menjadi masalah kerana mereka menerima sokongan daripada anggota Parlimen lelaki.

Menurutnya, rakyat Iran percaya wanita harus dilantik sebagai wakil rakyat berdasarkan keupayaan mereka dan bukan mengikut sistem kuota.

Seorang hakim, Dr. Fatemah Bodaghi pula berkata, banyak perubahan berkaitan institusi keluarga dan wanita berlaku selepas Revolusi Iran dan pencapaian utamanya adalah penubuhan Mahkamah Keluarga dan hakim-hakim wanita ditugaskan menjaga hal ehwal wanita.

Selepas revolusi itu, beberapa perubahan turut dilaksanakan seperti memberikan hak kepada wanita untuk memfail penceraian dalam keadaan tertentu, sebagai contoh jika suami dipenjarakan dan wanita boleh menuntut separuh daripada harta selepas bercerai.

Dr. Fatemah juga berkata, terdapat peningkatan dalam bilangan hakim wanita di Iran, selain wanita kini mempunyai pelbagai peranan dalam masyarakat. Undang-undang Islam diperkenalkan dalam sistem perundangan Iran ekoran revolusi Islam pada 1979.

Iran juga terus berusaha untuk memperkasa kedudukan wanita luar bandar, dengan memperkenalkan skim kredit mikro bagi membolehkan mereka memulakan aktiviti menjana pendapatan.

Menteri Penasihat bagi Hal Ehwal Wanita Luar Bandar, Dr. T. Daniali berkata, pinjaman kecil diberi bagi membolehkan wanita menjalankan perniagaan atau meningkatkan perusahaan sedia ada.

"Pengalaman menunjukkan capaian wanita kepada sumber pendapatan bukan sahaja membawa kepada peningkatan dalam kehidupan individu dan keluarga, malah ia memberi kesan positif kepada komuniti, ekonomi tempatan dan kebangsaan," tambahnya.

Katanya, antara keputusan positif itu ialah kecenderungan yang lebih ke arah celik huruf, tahap kebersihan tempatan dan keluarga serta peluang untuk merealisasi dengan lebih baik potensi mereka.

Wanita aktif bersukan?

Pegawai Perhubungan Raya Englab Sports Complex International, Marjan Massoudi berkata, berbanding 15 tahun yang lalu, bilangan wanita Iran yang bersukan telah meningkat.

"Sedikit demi sedikit, wanita mula bersukan memandangkan mereka kini mempunyai lebih kesedaran terhadap kesihatan," katanya.

Kompleks Sukan Englab yang terletak di kawasan seluas 84 hektar dikelilingi kehijauan. Antara lain, ia mempunyai padang golf, lorong boling, kolam renang tertutup berasingan bagi lelaki dan wanita, kelab kecergasan, kelab paintball, kelab snuker, akademi luncur ais dan kafeteria serta kemudahan perbankan.

"Mereka yang tidak berminat dalam mana-mana sukan boleh bersiar-siar di pejalan kaki sepanjang 2,590 meter yang sesuai untuk mereka yang sudah berusia dan kurang sihat," kata Marjan.

Dari bidang politik, kehakiman, kerjaya sehinggalah sukan, kehadiran wanita Iran terus dirasai.

Ia mungkin bukan sesuatu yang mudah tetapi wanita Iran bertekad untuk berganding bahu dengan lelaki demi manfaat Republik Islam Iran, sebuah negara dengan penduduk seramai 70 juta yang menjiwai nilai-nilai Islam. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Obama arah CEO GM letak jawatan

Obama arah CEO GM letak jawatan




DETROIT - Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), General Motors Corp. (GM), Rick Wagoner (gambar) akan meletakkan jawatan setelah diminta berbuat demikian oleh White House, kata syarikat semalam.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama akan menjelaskan kenapa beliau memaksa Wagoner meletakkan jawatan.

Sekumpulan pengarah baru akan mengisi jawatan dalam syarikat permotoran terbesar Amerika Syarikat (AS) itu sebagai usaha untuk menyusun semula organisasi berikutan program penyelamat yang diluluskan kerajaan baru-baru ini.

Syarikat GM dalam satu kenyataan berkata, tempat Wagoner akan diambil alih oleh Presiden dan Ketua Pegawai Operasi GM, Fritz Henderson.

Wagoner yang berumur 56 tahun percaya beliau mampu untuk mengemudi GM melalui krisis kewangan.

Namun, beliau menghadapi kritikan keras daripada anggota perwakilan yang menganggapnya melakukan kesilapan ketika menerajui GM.

Beliau menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif GM pada 2000 dan menjadi Pengerusi serta CEO pada Mei 2003. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Sydney kelam-kabut tiga jam


SEORANG anggota polis mengawal lalu lintas di satu persimpangan selepas bekalan elektrik terputus di tengah Sydney semalam.


SYDNEY - Bandar raya Sydney kelam kabut semalam selepas bekalan elektrik terputus selama tiga jam menyebabkan puluhan ribu bangunan berada dalam keadaan gelap.

Syarikat pembekal tenaga, EenergyAustralia menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia berjaya memulihkan bekalan selepas tiga jam kepada hampir 70,000 rumah dan premis perniagaan.

Setakat ini syarikat itu tidak dapat menjelaskan punca bekalan elektrik terputus.

Anggota-anggota bomba dihujani dengan panggilan berhubung bunyi penggera kebakaran manakala sebahagian orang terperangkap dalam lif di bandar raya itu.

Penutupan terowong Sydney Harbor menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Kerajaan negeri menyatakan sebanyak 100 lampu isyarat di bandar raya itu terjejas.

Bagaimanapun, perkhidmatan feri dan kereta api beroperasi seperti biasa.

Jurucakap Sydney Opera House berkata, pertunjukan oleh Syarikat Teater Sydney dan Bell Shakespeare terpaksa dibatalkan kerana kekurangan bekalan elektrik tambahan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Arau dilanda banjir kilat luar biasa


ANGGOTA polis dan orang ramai saling membantu menarik motosikal seorang penunggang yang terbabas ketika meredah banjir kilat di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis dekat Ulu Pauh, Arau semalam.


ARAU – Beberapa kawasan di Ulu Pauh, Arau dilanda banjir kilat luar biasa berikutan hujan lebat selama kira-kira setengah jam petang kelmarin.

Hujan sejak pukul 4.45 petang itu menyebabkan beberapa buah kampung terutama berdekatan Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis dinaiki air setinggi hampir dua meter.

Ekoran air naik dengan mendadak, ramai pengguna lebuh raya tersebut terjejas, tambah lagi cuma satu lorong sahaja dari kedua-dua arah boleh digunakan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir. Nishad Mohamed berkata, meskipun banjir kerap berlaku di sini setiap tahun terutama ketika musim hujan, namun banjir kilat kali ini lebih teruk apabila air melimpah dengan banyak ke rumah penduduk dan kawasan sawah.

Beliau menjelaskan, punca bencana alam itu akibat limpahan air dari kawasan tadahan air di Sungai Ulu Pauh ke sungai berhampiran.

“Sejak hujan tempoh hari kami telah mengesan air mulai naik setinggi 99 milimeter (mm) di Sungai Ulu Arau kemudian Sungai Mentalun naik 100mm manakala Sungai Gail dan Sungai Tunjang mencatatkan paras 60mm.

“Akibatnya, air sungai itu kemudian melimpah ke kawasan kampung berdekatan dengan lebuh raya tersebut,” katanya kepada pemberita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...