Friday, August 14, 2009

Rakan artis: Param, antara pelawak India terbaik


KALI terakhir mendiang P.Param muncul di khalayak ramai ialah pada akhir bulan Jun. Ketika itu, pelakon komedi itu kelihatan agak lemah tetapi masih bersemangat untuk berjumpa dengan rakan-rakan artis.

Ramai pelawak berjumpa dengan Param pada 25 Jun lalu bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sempena majlis mesra Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bersama Ketua Setiausaha Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf.

Rata-rata pelawak dan pelakon begitu terkejut apabila mendengar berita kematian pelakon dan pelawak Param pada pagi ini.

Pelbagai luahan rasa yang timbul apabila mendengar mendiang Param telah pergi meninggalkan industri hiburan tanah air ini.

Mereka semua menganggap Param sebagai pelawak yang susah untuk dicari ganti kerana dia merupakan satu-satunya pelawak India yang fasih berbahasa Melayu.

PELAKON DAN PELAWAK HAMID GURKHA

Datuk Jamali Shadat (kiri) dan Hamid Gurkha semasa berlawak di pentas.

“Saya tak tahu dia telah meninggal dunia pagi tadi. Apa yang saya boleh katakan, dia memang seorang kawan yang baik dan tidak sombong dengan kawan-kawan.

“Dia hormat saya mungkin sebab saya lebih tua dari dia dan memanggil saya abang.

“Kemudian, ada juga saya nasihatkan dia untuk makan ubat dan melakukan ‘exercise’ tapi terpulang pada dia sama ada untuk melakukannya atau tidak kerana keadaan dia memang macam tu.

“Apabila tersilap langgar dia sikit, dia akan jatuh sebab bentuk badannya tidak seimbang iaitu badannya berat tetapi kakinya pendek.

“Semasa bergurau, dia terasa dan marah-marah juga tetapi sekejap je dia marah lepas tu ‘ok’ balik sebab dia tak ambil hati.

“Jadi, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Param.”

Menurut Hamid, dia pernah berlakon dengan Param menerusi siri ‘Hang Setia’ di RTM1 selama empat tahun berturut-turut dan siri itu selesai pada tahun 1992.

PELAKON DAN PELAWAK AHMAD BUSU

Ahmad Busu (kiri) bersama pelawak dan kartunis Imuda.

“Kita kehilangan seorang lagi ‘comedian’ yang walaupun kecil tetapi berbakat besar dan susah nak cari orang yang macam dia.

“Dia juga merupakan seorang pelawak India yang berkecimpung dalam bidang komedi yang fasih berbahasa Melayu.”

Ahmad Busu pernah berlakon dan berlawak dengan Param menerusi sitkom ‘2+1’.

PELAKON DAN PELAWAK DATUK AZIZ SATTAR

Datuk Aziz Sattar.

“Saya tak tahu dia telah meninggal dunia sebab baru balik dari Pulau Pinang. Yang saya tahu, dia pernah semput kerana badannya tidak kuat.

“Bagi saya, sukar untuk mencari orang sepertinya dan satu lagi yang boleh saya puji dia kerana dia fasih berbahasa Melayu dan kita tidak dengar pelat India.

“Yang kedua, semasa bergurau dengannya dia tak pernah berkecil hati. Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah Hari Raya tahun lalu.”

Aziz pernah bekerjasama dengan Param menerusi filem ‘Si Badul’ dan berlawak di pentas.

PELAKON DAN PELAWAK DATUK JAMALI SHADAT

“Saya terperanjat dan tak sangka apabila mendengar berita ini. Mungkin saya tak tahu sebab pagi tadi saya di kebun dan kebetulan saya tidak membawa telefon.

“Oleh kerana hari ini hari Jumaat, susah juga untuk saya pergi melawatnya.

“Tetapi kalau ada kawan-kawan lain yang nak pergi, saya memang nak ikut serta. Tengoklah macam mana..

“Bagi saya, dia merupakan pelawak yang mudah serasi dengan semua orang. Dia baik walaupun berlainan agama dan bangsa tetapi mudah ramah apabila bercampur dengan kita. Dia juga fasih bercakap Bahasa Melayu.

“Saya akan doakannya..”

PRESIDEN KARYAWAN, FREDDIE FERNANDEZ

Freddie Fernandez ketika melawat Param di Institut Jantung Negara pada tahun 1997.

"Amat menyedihkan kerana kita kehilangan Param yang mempunyai para peminat dari semua kaum.

"Nama Param sudah jadi nama biasa kepada kita semua. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar.

"Tidak tahu kenapa industri hiburan kita semakin kehilangan bakat - satu demi satu," kata Freddie yang memulakan initiatif memberi pencen bulanan kepada Param dan beberapa artis veteran.

PENGARAH/PELAKON VETERAN A.R BADUL

"Bagi saya, Param merupakan seorang pelawak yang berkaliber. Pada saya dia bukan sekadar pelakon nasi tambah seperti sesetengah pelakon yang ada sekarang ini.

"Dia seorang yang berpotensi, menarik dan mempunyai peminat sehingga kita sebut saja nama Param, semua orang dah kenal sapa dia.

"Param juga antara barisan pelawak India yang terbaik selepas mendiang Ayappan. Selepas itu baru muncul Param, kemudian Acappan dan Sathiya. Kesemua mereka mempunyai peminat.

A.R. Badul.

"Malah kami sebenarnya merupakan sekumpulan bersama iaitu saya (Badul), Param, arwah R. Jaafar, arwah Yusni Jaafar dan Sukarni Jaafar. Bekerja dengan Param memang tiada masalah kerana dia komitmen dengan kerjanya.

PENERBIT 'HOMEGROWN PRODUCTION SDN BHD' MICHAEL SIMON

"Param seorang yang kuat semangat. Walaupun dia berada di atas kerusi roda dia sanggup datang memeriahkan lagi program 'Raja Lawak' yang lepas. Bagi saya dia menjadi mentor kepada finalis 'Raja Lawak'.

"Semua nasihat dan didikan yang diberinya sangat berharga dan Param sentiasa profesional dalam kerjanya.

Michael Simon.

"Hari ini kita kehilangan seorang yang berbakat dalam bidang lawak dan kita sentiasa ingin menaikkan martabat pelawak-pelawak dan kita akan sentiasa mengenangnya (Param).

PELAKON/PELAWAK VETERAN ZAIBO

"Param seorang anak seni yang berdedikasi. Secara umumnya, Param seorang anak wayang yang sentiasa merendah diri, tidak kedekut, suka tolong orang dan sentiasa bersahaja.

"Mula-mula saya berlakon dengan Param pada pertengahan tahun 80an, dalam sebuah drama terbitan RTM berjudul 'Hikayat Hang Setia'," kata Zaibo yang sempat bekerjasama dengan mendiang Param dalam program realiti 'Raja Lawak 3'.

Zaibo.

"Masa tu saya masih belajar, jadi Param selalu tolong hantar saya balik lepas shooting dan selalu jemput saya untuk pergi shooting.

"Apa yang saya menyesal, saya tak sempat nak melawat dia kerana saya sibuk. Dia ada bagitahu saya, dia sunyi sebab tak ada orang nak lawat dia," kata Zaibo dalam nada yang terkilan.

Zaibo juga melahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menziarahi mendiang kerana sedang menjalani penggambaran di Melaka.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/14/mstar_hiburan/20090814114605&sec=mstar_hiburan

Haliza terkilan tidak dapat peluk erat Ustaz Asri pada saat akhir


PILU... Haliza ketika menatap wajah suaminya buat kali terahkir di kediaman mereka di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam semalam. - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

PERGI tak kembali... meratapi pemergian arwah Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, yang telah meninggalkan kita untuk selamanya. Suatu kehilangan yang besar buat kita semua dan pastinya yang amat meratapinya adalah isteri arwah, Haliza Shahadan, yang paling rapat dengannya.

Haliza yang ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam, menceritakan detik-detiknya bersama suami tercinta pada pagi sebelum arwah meninggal.

"Saya mulanya tak percaya... Yelah, arwah meninggal pada pukul 11.05 pagi, pukul 10 pagi tu saya masih bersama dia. Masa tu dia memang nampak tak sihat, dia pun ada kata dia pening-pening.

"Arwah ada sakit gastrik, kencing manis dan gout, pagi tu dia cuma minum air madu dengan limau... Lepas tu dia ada muntah-muntah.

"Saya suruh dia berehat dulu... Tapi dia komited dengan kerja dan dia nak jugak pergi kerja.

"Bila dia dah keluar, dia sampai kat stesen minyak Mobil, dia telefon saya dia kata: "Ummi, tolong hantar Abi kat pejabat lah, Abi tak larat."

"Saya kata saya tak kisah, jadi saya pun memandu sampai ke Mobil tu, lepas itu bawa kereta dia dan hantar dia sampai ke pejabatnya di Bukit Sentosa. Lepas tu dia ada singgah di Shell, dia masuk bilik air, lama jugak dia kat dalam tu, jadi saya pun pergi ketuk tanya dia ok ke tidak?, dia kata dia ok.

"Bila dia keluar dari tandas tu, dia suruh Azadan ambil barang-barang dia masukkan dalam van. Masa tu jelah saya sempat tengok wajah dia dan tak ada apa-apa berlaku ketika itu," kata Haliza.

Namun, kesedihan Haliza tidak berakhir di situ sahaja, dia turut menceritakan kenangan manis antaranya dengan arwah pada malam sebelum arwah meninggal ketika mereka menghabiskan masa bersama berdua.

"Sebelum ni, dia selalu sibuk dan tak ada masa, tapi malam semalam dia 'call' saya dia kata" Abi dah on the way balik, kita makan kat luar jom?." Saya pun kata: "Ok lah, Ummi pun lapar..."

"Masa tu dia kata: "Mintak apa saja". Jadi kami pun makan di kedai, lepas balik makan malam tu, kami 'spend time' tengok tv bersama... Malam tu 'nice' sangat," kata Haliza dalam keadaan senyum namun masih ada kesedihan diraut wajahnya.

Meskipun mempunyai waktu untuk bersama suami yang dicintainya, namun Haliza menyatakan dia masih rasa terkilan kerana tidak dapat memeluk suaminya itu dengan erat seperti biasa yang dilakukannya.

Haliza menceritakan detik akhir bersama suaminya pagi tadi sambil menahan sebak. - foto mStar Online

"Apa yang membuatkan saya terkilan adalah sebab saya tak dapat peluk dia dengan erat pada saat-saat akhir. Selalunya memang kami mesra, selalu saya akan cium tangan dan peluk dia dengan erat.

"Cuma malam tu saya tahu dia penat, jadi saya cuma salam tangan dan cium pipi dia je," jelas Haliza yang mula menitiskan air mata.

Haliza turut menceritakan pengorbanan arwah yang sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk bulan madu mereka semasa mengerjakan umrah selepas 16 tahun berkahwin.

"Saya tak sangka dia sanggup bayar beribu-ribu ringgit untuk satu bilik sebab nak berbulan madu semasa mengerjakan umrah.

"Bagaimanapun kami gembira sebab dapat berbulan madu dan mengerjakan umrah bersama," katanya.

Diajukan soalan sama ada Haliza mempunyai perasaan cemburu sepanjang bersama suaminya, dia mengatakan dia sentiasa cemburu namun bersebab kerana ingin menjaga suaminya itu dengan baik dan mahu suaminya menjadi seorang ikon yang dihormati orang ramai.

"Cemburu saya bersebab, supaya dia menjadi ikon yang dihormati, saya tidak mahu suami saya jadi orang yang lupa daratan, sebab tu saya jaga dia sungguh-sungguh, bukan kerana cemburu tak tentu pasal tetapi saya nak orang hormat dia sebagai seorang ustaz yang baik, saya tidak mahu ada orang yang cakap belakang pasal sikap dia.

"Tapi kita hanya manusia biasa, kita tak tahu apa yang Allah aturkan untuk kita. Kita tiada kelebihan untuk mengetahui hari esok, kalau kita tahu hari esok, pasti kita akan lebih bersedia.

"Sebab itu, kita kena menyintai seseorang dengan sepenuh hati kita, tak kira anak ke, suami ke kita kena cinta dengan sepenuh hati.

Haliza masih mampu tersenyum, namun masih ada tanda kesedihan pada raut wajahnya.

"Untuk arwah, saya memang cintakan dia sungguh-sungguh, sebab saya takut dia terpesong dalam dunia artis yang berbagai-bagai karenah ni," jelas Haliza yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinannya bersama arwah Ustaz Asri.

Bagaimanapun Haliza bersyukur terhadap Allah s.w.t kerana memberinya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangganya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur terhadap Allah kerana memberi saya pengalaman untuk berdikari dalam hidup dan rumahtangga kerana ustaz sendiri banyak menghabiskan masa di luar dan selama itu saya sudah mula berdikari.

"Tapi lepas ini saya masih tidak tahu kerana saya hanya berserah pada keadaan dan ketentuan Allah," katanya.

Sempat ditemui ketika itu adik kepada Ustaz Asri, Ustaz Ghazali Ibrahim yang tidak menyangka abangnya akan pergi dengan begitu cepat dan mengatakan Ustaz Asri antara yang begitu rapat dengannya.

"Saya begitu tak sangka, pagi tadi sewaktu sedang memberi ceramah, saya ada menerima panggilan masuk, tapi tidak menjawabnya, bila selesai ceramah, saya baca mesej yang mengatakan abang saya pengsan.

"Tak lama lepas tu, saya terima panggilan mengatakan abang saya dah meninggal dunia. Arwah antara yang paling rapat dengan saya, saya tidak tahu dia ada sebarang penyakit melainkan gout dan kencing manis.

"Kali terakhir saya jumpa dia sebulan yang lalu, tapi empat atau lima hari lepas saya ada bercakap telefon dengannya, pada masa tu saya dengar suara dia macam tak berapa sihat, saya ingat mungkin dia letih dan tidak bertanya banyak pada masa itu.

Pastinya pemergian Ustaz Asri merupakan satu kehilangan yang besar buat keluarganya, ahli kumpulan Rabbani, sahabat handainya dan semua yang mengenalinya.

Perginya tidak kembali lagi dan pasti sukar untuk dicari pengganti buat arwah Ustaz Asri yang selama ini memperjuangkan irama nasyid sehingga ke akhir hayatnya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/14/mstar_hiburan/20090814072740&sec=mstar_hiburan

Kelar anak

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


TEMERLOH: Berang isteri enggan menyerahkan wang diminta, seorang lelaki dipercayai kaki botol sanggup mengelar tangan kiri anaknya sendiri menggunakan pisau cukur dalam kejadian di Sungai Kawang, Lanchang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, suspek berusia 40 tahun itu melarikan diri sejurus melihat anak lelakinya berusia 11 tahun menggelupur dan meraung kesakitan selepas tangannya dikelar dan berdarah.


Difahamkan, sebelum itu, lelaki terbabit yang tidak bekerja pulang ke rumahnya dalam keadaan mabuk sebelum memanggil isterinya dengan suara tinggi.

Dalam keadaan separuh sedar, lelaki terbabit mendesak isterinya menyerahkan sejumlah wang untuk membeli minuman keras, tetapi wanita itu memaklumkan dia tidak mempunyai wang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed, berkata sebaik mendengar jawapan isterinya, suspek tiba-tiba ‘naik angin’ sebelum terus memegang tangan kiri anaknya yang berada dalam rumah lalu mengancam mencederakan mangsa.

Menurutnya, isteri lelaki terbabit yang terkejut dengan tindakan suaminya tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang akan turut dicederakan.

Katanya, lelaki terbabit kemudian mengambil pisau cukur sebelum mengelar tangan kiri anaknya mengakibatkan mangsa meraung menahan kesakitan.


Beliau berkata, terkejut melihat mangsa cedera berlumuran darah, suri rumah terbabit menghubungi polis sebelum lelaki terbabit bergegas melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit sebelum ini pernah ditahan polis kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah. Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menerima beberapa jahitan sebelum membuat laporan di Balai Polis Lanchang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, polis masih meneruskan operasi mengesan lelaki terbabit yang dipercayai bersembunyi selepas mencederakan anaknya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814064622/Article/index_html

Raih Anugerah Pelajaran Diraja berkat solat Dhuha

BANGI: “Saya tidak mempunyai sebarang rahsia kejayaan melainkan mengamalkan solat Dhuha setiap hari untuk mendapatkan ketenangan dan keberkatan dalam pelajaran,” kata Nur Najwa Hanani Abdul Rahman, 24, yang bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja, pada majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula Sabtu ini.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam itu berkata, amalan solat sunat itu dilakukannya selain memberi sepenuh tumpuan dalam dewan kuliah.

“Menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja memang sesuatu yang mengejutkan, namun saya amat bersyukur kerana usaha serta doa dimakbulkan sehingga berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan,” katanya yang ditemui dalam sidang media di UKM di sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Nur Najwa Hanani berkata, dia amat berbangga kepada berpeluang melanjutkan pelajaran di UKM kerana mendapat pendedahan yang banyak terutama dalam bidang dakwah.

“Dalam bidang ini, penuntut didedahkan dengan aktiviti dakwah yang kebanyakan dilakukan di perkampungan Orang Asli selain mendekati remaja yang sering dikaitkan dengan gejala sosial.

“Memang banyak cabaran yang kami hadapi terutama untuk memperkenalkan keindahan Islam namun ia menjadi satu pendedahan serta pengalaman berguna kepada saya,”
katanya.

Penerima Anugerah Naib Canselor, Adilah Zaira Abu Bakar, 23, berkata dia bercadang menyambung pelajaran di peringkat sarjana.

“Saya mendapatkan kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam bidang ini penuntut mendapat pendedahan lengkap mengenai elektrik dan elektronik yang amat berguna mencari kerjaya sesuai,”
katanya.

Air mata berlinang

Oleh Ihsan Noorzali
am@hmetro.com.my


TANJUNG MALIM: “Mak usah risau, saya akan bina rumah baru menggantikan rumah kita sekarang bila saya sudah mengajar nanti.”

Luahan kata-kata itu pernah disuarakan bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rosmarinda Mat Yusof, 24, kepada ibunya, Rahimah Ab Razak, 55, yang tidak kesampaian apabila dia yang dirawat di Hospital Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 22 Mei lalu.

Rahimah ketika ditemui berkata, arwah anaknya yang sentiasa menitikberatkan kebajikan keluarga juga berhasrat membelikan pakaian raya untuknya dan adiknya menggunakan wang biasiswa pengajian biayaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Hari ini saya hanya dapat melihat ijazah ini dan tak tahu macam mana menyambut Ramadan tanpa dia di sisi kami lagi,” katanya sebak.

Suasana sayu dan memilukan itu menyelubungi suasana Dewan SITC, UPSI pada sesi keempat hari ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-11 Sidang Kedua ketika majlis penyampaian Anugerah Anumerta berlangsung semalam.

Rahimah yang juga ibu tunggal tidak mampu menahan kesedihan dan menangis sambil melangkah ke atas pentas menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas untuk Rosmarinda yang memperoleh Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.42 .

Rahimah yang hadir bersama adik-adik Rosmarinda dan saudara-mara dari Rantau Panjang, Kelantan, ketika ditemui berkata anak ketiga daripada enam beradik itu sememangnya menjadi harapan mengubah nasib keluarga.

Allahyarhamah menjalani latihan amali di Sekolah Menengah Taman Tasik Permaisuri, Cheras, dan sebelum menerima tawaran melanjutkan pelajaran di UPSI, Rosmarinda pernah ditawarkan kerjaya pramugari dan polis.

“Dengan kudrat yang ada, saya akan terus menyara anak dengan bekerja mengambil upah membawa barangan peniaga Malaysia dari Thailand di Rantau Panjang,” katanya.

Rahimah berkata, Rosmarinda adalah anak yang amat baik dan berbudi bahasa serta bertanggungjawab kerana setiap kali pulang ke kampung dia akan membeli pelbagai barangan dapur.

“Walaupun Rosmarinda sudah tiada, kami sanggup datang menerima anugerah untuknya dengan menyewa kereta dan van. Kami berterima kasih kepada UPSI yang menyediakan penginapan untuk kami sekeluarga di sini,” katanya.

Rahimah mahu anaknya yang lain, Muhd Redzuan, 21, yang sedang menuntut di semester tiga bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya; Noraini, 15, serta Amir Syafik, 10, mencontohi kesungguhan Rosmarinda mengejar cita-citanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814065501/Article/index_html

‘Tergamak hati dia’

Oleh Mohd Sabran Mohd Sani dan Siti Fatimah Hassan
am@hmetro.com.my


KOTA BHARU: “Tergamak dia memperlakukan anak saya sebegitu,” kata ibu kepada remaja perempuan malang berusia 15 tahun yang diperkosa bapa tirinya sebelum ditikam dan disimbah asid di sebuah ladang getah di Felda Aring Enam, dekat Gua Musang, Ahad lalu.

Wanita yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian itu disifatkan sebagai episod paling malang dalam hidupnya apabila suami yang dikahwini kira-kira lima tahun lalu sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anak sulung mereka.

Menurutnya, tiada siapa menyangka perkara itu akan menimpa mereka terutama apabila arwah suaminya selama ini dilihat sebagai bapa tiri penyayang hingga dianggap seperti bapa kandung oleh tiga anak tiri lain.

“Saya mendirikan rumah tangga dengannya kira-kira lima tahun lalu sebagai isteri kedua. Selama hidup bersama, hubungan kami tidak mempunyai masalah, malah semua anak saya hasil perkongsian dengan suami terdahulu menganggapnya seperti bapa kandung.

“Saya dan arwah tidak mempunyai masalah, apatah lagi memukul saya. Sebaik mendapat tahu kejadian ini, saya terfikir bagaimana dia boleh tergamak berkelakuan seperti itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, semalam.

Selain itu, wanita berusia 33 tahun itu memberitahu, ketika kejadian, anaknya yang berada dalam kesakitan sempat membuat panggilan telefon kira-kira 15 minit menyebabkannya panik sebelum terus bergegas menaiki motosikal pergi ke ladang getah terbabit.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, anaknya berada dalam keadaan kesakitan dan menyayat hati sambil dibantu penduduk kampung di kawasan berkenaan.

“Sambil menangis teresak-esak, dia memberitahu berada dalam kesakitan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya ketika itu apabila terpaksa menanggung kesakitan bersendirian.

“Ketika dalam perjalanan, fikiran saya hanya mengenai keselamatan anak dan sudah tidak kisah lagi mengenai arwah walaupun diberitahu dia sudah mati,”
katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, anaknya kini terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM dengan kira-kira 42 peratus bahagian muka dan badannya melecur akibat disimbah asid.

Wanita itu berkata, dia hanya menghabiskan masa di hospital sambil menemani anaknya setiap hari sambil memikirkan masa depan yang bakal dihadapi mereka.

“Saya nekad memulakan kehidupan baru bersama empat anak tetapi pada masa sama sedih memikirkan nasib anak dengan keadaannya yang tidak akan normal seperti dulu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814065728/Article/index_html

Asri mengadu tidak sihat

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

AL-FATIHAH...keluarga dan anggota kumpulan Rabbani
AL-FATIHAH...keluarga dan anggota kumpulan Rabbani

SHAH ALAM: “Balik malam tadi (kelmarin), Asri mengajak saya keluar makan malam, perkara yang jarang dapat kami lakukan bersama kerana kesibukannya. Kami keluar berdua kerana anak-anak sudah tidur dan Asri kata pesan (makanan) apa saja. Selepas itu kami menonton televisyen berdua dan berbual lama.

“Bagaimanapun, ketika keluar hendak menjayakan rakaman program Syahadah di RTM (Radio Televisyen Malaysia), pagi tadi (semalam), Asri mengadu tidak sihat dan batuk lalu dia minta saya menghantarnya ke pejabat Rabbani Productions di Taman Manjalara, Kepong.

“Itu pertemuan terakhir saya dengannya sebelum diberitahu dia sudah tiada, lebih kurang jam 11 pagi,” kata Nur Jannah Shahadan, 39, isteri vokalis utama Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, 40, ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Bukit Lanchong di sini.

Asri meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Soffiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.

Menurut Jannah, walaupun tidak menyangka Asri akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya begitu cepat, dia tetap bersyukur kerana Allah SWT memberikannya kekuatan untuk menerima kenyataan suami tercinta sudah pergi menghadap Ilahi.

“Komitmen Asri terhadap kerjaya seninya menjadikan saya seorang yang berdikari. Allahyarham seorang suami dan bapa yang baik. Tidak ada apa yang terkilan di hati cuma pagi tadi (semalam) sebelum dia keluar rumah, saya tidak dapat memeluknya erat.

“Kenangan paling manis baru-baru ini kami dapat menunaikan umrah bersama-sama sambil berziarah di Istanbul. Asri menyifatkan pemergian kami ke Tanah Suci itu untuk mengerjakan umrah sambil berbulan madu selepas 16 tahun kami berkahwin.

“Insya-Allah, saya akan tabah mengharungi kehidupan ini membesarkan anak bersendirian,” katanya.

Azadan Abdul Aziz, 36, seorang daripada anggota Rabbani dan yang paling rapat dengan Allahyarham berkata, dia dan anggota lain akan meneruskan perjuangan kumpulan nasyid paling popular itu.

“Asri bukan hanya kawan dan rakan seperjuangan dalam dunia seni yang berdakwah menerusi lagu nasyid, malah dia pemimpin dan bapa kepada kami. Namun, Allah lebih menyayanginya dan kami reda pemergiannya.

“Meskipun beliau sudah tiada, semangat dan kekuatannya akan terus bersama kami untuk meneruskan perjuangan Rabbani. Banyak program dirancang pada Ramadan ini terutama persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.


“Selepas ketiadaan Asri, saya akan kumpulkan semua anggota Rabbani untuk membina semula kekuatan bagi menghadapi hari esok. Perjuangan Rabbani dalam bidang seni akan diteruskan.

“Meskipun saya dan anggota lain dapat menerima ketentuan Allah SWT, kami semua tetap terkejut kerana pemergian Asri terlalu mendadak. Sebelum itu kami pernah berbual berdua, macam mana dengan Rabbani jika berlaku apa-apa dengan Asri. Tak sangka pula perbualan kami menjadi kenyataan.


“Pun begitu kami bersyukur kerana Asri pergi dalam keadaan tenang dan wajahnya seperti orang tidur,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini, selepas Maghrib malam tadi, bersebelahan pusara bapanya yang meninggal dunia hampir setahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090814064416/Article/index_html

20 maut selesema babi di India

MUMBAI – Jumlah kematian akibat penyakit selesema babi di India meningkat kepada 20 orang manakala ribuan sekolah, kolej dan panggung wayang ditutup bagi menghalang penyebaran wabak itu.

Mangsa terbaru wabak selesema babi atau influenza A H1N1 itu ialah seorang wanita berumur 26 tahun di bandar Bangalore.

Menurut agensi berita Press Trust of India, seorang bayi berusia 11 bulan dan seorang wanita berumur 75 tahun meninggal dunia di bandar Pune akibat penyakit itu.

Bandar Pune yang terletak 120 kilometer dari Mumbai menjadi bandar paling teruk dilanda penyakit selesema babi di India dengan 12 kematian. – AFP

Asri pergi tak kembali

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS




PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.

Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.

Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.

Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.

Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.


ALLAHYARHAM Asri mengetuai kumpulan Rabbani sehingga berjaya menjadi kumpulan nasyid paling disegani dalam industri muzik tanah air.


Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.

Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.

"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."




Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.


ALLAHYARHAM Asri menghabiskan hampir dua dekad hidupnya dalam muzik nasyid.


Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Sejarah awal

Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.

Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.


ALLAHYARHAM melayan peminat ciliknya dalam satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.


Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.

Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.

Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.

"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.


KUMPULAN Rabbani pernah berduet dengan penyanyi Amy Search (empat dari kanan) menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.


Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.

Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.

Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.


SAAT manis ketika Allahyarham Asri bersama isteri, Halizah Shahzan dalam satu temu bual untuk ruangan Intuisi Cinta Kosmo!.


Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.

"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.

"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.

Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.


ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.


Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...