Tuesday, September 28, 2010

Pasangan Kutip Wang Kutu Mengaku Tak Bersalah

Published: Selasa September 28, 2010 MYT 12:21:00 PM
Updated: Selasa September 28, 2010 MYT 1:53:08 PM

Oleh SALWA SHA'ARI


SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Selasa, atas pertuduhan menggunakan perniagaan mereka untuk mengutip wang kutu.

Sabbri Yusof, 49, dan Rahimah Rahim, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Mereka didakwa sebagai pemilik Perniagaan World Heritage Resources di nombor 3, Jalan Keluli AM 7/ AM, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, di sini, telah menggunakan perniagaan itu untuk menganjurkan kutipan wang kutu yang dikenali sebagai Program Ekspress.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Disember 2008 dan 29 April 2010 dan perbuatan tersebut adalah dilarang di bawah Akta Kumpulan Wang Kutu 1971.

Justeru itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Sesyen 3 akta sama yang boleh dihukum di bawah seksyen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Steve Chin Yun Cheong.

Hafizah menetapkan sebutan semula kes pada 2 November depan untuk pasangan tersebut melantik peguam bagi mewakili mereka.

Difahamkan, syarikat tersebut memperoleh kutipan sehingga RM30 juta daripada 30,000 orang ahli.

Syarikat yang berdaftar dengan SSM sebagai ejen komisyen am juga didakwa menawarkan pelbagai jenis pelaburan dengan jumlah maksimum RM369,000.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/9/28/mstar_mahkamah/20100928122026&sec=mstar_mahkamah

Tuntutan RM1.38j Daripada Nash Mungkin Diteruskan – Anak Sosilawati

Selasa September 28, 2010

Oleh IZRA ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR: “Kami mungkin akan meneruskan proses tuntutan sejumlah wang tersebut atas dasar permintaan ibu. Mungkin ia pemintaan terakhir ibu, jika tidak, takkan dia bersungguh-sungguh untuk mendakwa dan membuat tuntutan.”

Demikian jelas anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Erni Dekritawati Yuliana Bukhari yang mengulas mengenai tuntutan wang pemberian sebanyak RM1.38 juta daripada bekas suami ibunya, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50.

Bagaimanapun, tambah Erni Dekritawati atau lebih dikenali sebagai Rita berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas dia dan adik-adiknya sepakat membuat keputusan mengenainya.

“Kami adik-beradik sudah berbincang tentang perkara ini malam tadi (Ahad) dan masih lagi berbincang.

“Sekarang masih belum ada keputusan dibuat dan saya tak dapat beritahu apa-apa. Apa-apa pun kena tunggu keputusan adik-beradik dulu, barulah boleh ”
katanya.

Dia berkata demikian semasa menjadi tetamu eksklusif program ‘Kerusi Panas’ terbitan Bernama Radio24 pada Isnin.

Anak-anak Allahyarham selain Rita ialah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erni Erinawati Sofea, 21 tahun, Md Erwan Nasri, 23, Erni Reenilawati, 20, dan Siti Nur Fatimah, 13.

Pada 26 Ogos lalu, Hakim syarie, Mohammad Adib Husain membenarkan permohonan itu dan perbicaraan mengenai tuntutan Sosilawati yang akan disambung pada 2 dan 3 Februari tahun depan.

Bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash berkahwin dengan Sosilawati, 47, pada 16 November 2006 sebelum bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 26 Mei 2009.

Sosilawati kemudiannya memfailkan tuntutan agar wang pemberian sebanyak RM1.38 juta dikembalikan kepadanya manakala dua pertiga daripada keuntungan, bonus dan dividen daripada saham-saham turut diberikan kepadanya.

Dalam pada itu, Rita memberitahu, mereka adik-beradik tidak menghadapi masalah dengan bekas bapa tiri mereka itu.

Dalam pada itu, mengenai tindakan bapa tirinya sekarang yang juga seorang ahli perniagaan dari Indonesia yang enggan mendedahkan identiti kepada umum, dia berkata menghormati pendirian beliau.

“Saya menghormati privasi yang bapa tiri saya mahukan. Mungkin cara itu boleh buatkan dia tenang,” katanya.

Seperti mana mereka adik-beradik menjalin hubungan baik dengan Nash, begitu juga hubungan yang terjalin dengan bapa tiri mereka.

Malah, bapa tirinya itu juga menjadi penasihat dan tempat rujukan untuk sebarang keraguan atau masalah yang timbul.

Sementara itu, wanita itu turut memberitahu tentang hasrat arwah ibunya yang ingin melihat perniagaan mereka disenaraikan di bursa saham.

“Itu adalah harapan ibu saya sebenarnya. Kita tengoklah bagaimana nanti. Mungkin dalam masa dua tahun akan datang,” katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/28/mstar_berita/20100927230327&sec=mstar_berita

Kawah tahi bintang gergasi di Mesir


Gambar dari udara menunjukkan kawah tahi bintang Kamil di selatan Mesir.


KAHERAH - Sebuah kawah tahi bintang baru yang dikesan menerusi bantuan enjin carian Google Earth mungkin membantu saintis menentukan kesan hentaman objek dari angkasa lepas itu pada masa depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Batu tahi bintang itu yang dikenali sebagai kawah Kamil sedalam 16 meter dan selebar 45 meter.

Ia terletak di sebuah gurun di selatan Mesir dan dipercayai terbentuk akibat hentaman batu tahi bintang seberat 10 tan yang bergerak pada kelajuan 12,070 kilometer sejam.

Kawah tersebut dikesan pada 2008 oleh seorang pakar galian, Vincenzo De Michele dari Milan, Itali yang kemudian melancarkan ekspedisi selama dua minggu melibatkan 40 orang pada Februari lalu.

Saintis-saintis percaya, ia merupakan antara kawah muda yang dianggarkan kurang sepuluh ribu tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Jutawan skuter mati naiki skuter


GAMBAR fail menunjukkan bekas pelumba kereta, Stirling Moss menunggang skuterSegway di The Mall, London pada 12 September lalu.


LONDON - Pemilik firma skuter futuristik Segway, Jimi Heselden meninggal dunia selepas kenderaan beroda dua yang dinaikinya itu terjatuh dari sebuah gaung ke dalam sungai, kata polis semalam.

Heselden, 62, merupakan seorang jutawan warga Britain.

Seorang jurucakap polis Yorkshire Barat memberitahu, mayatnya ditemui di dalam Sungai Wharfe berhampiran kediamannya di bandar Boston Spa, utara England kelmarin.

"Sebuah kenderaan Segway ditemui di tempat kejadian," kata jurucakap berkenaan yang turut menyatakan polis dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima laporan bahawa seorang lelaki terjatuh dari sebuah gaung.

"Kemalangan itu dipercayai bukan akibat perbuatan yang mencurigakan," jelasnya.

Heselden mengetuai sepasukan pelabur Britain yang membeli Segway Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) pada Disember tahun lalu. Firma berkenaan mengeluarkan dan mengedar skuter itu.

Dijana dengan kuasa motor elektrik, skuter tersebut merupakan sebuah pengangkutan peribadi dan memiliki kelajuan maksimum 20 kilometer sejam.

Penunggang skuter itu boleh menggerakkannya ke kanan atau ke kiri dan ia bolah dicas semula dengan menggunakan soket elektrik di rumah.

Sementara itu, beberapa laporan menyatakan Heselden meninggal dunia selepas seminggu dia menjadi antara dermawan paling utama di Britain dengan menyumbang £10 juta (RM48.9 juta) kepada sebuah badan amal.

Sepanjang hayatnya, Heselden yang memiliki syarikat HESCO Bastion, telah menghulurkan derma berjumlah £23 juta (RM112.6 juta).

Dia memiliki kekayaan mencecah £166 juta (RM814.14 juta) dan berada pada kedudukan ke-395 senarai Manusia Terkaya Sunday Times dengan mengatasi Simon Cowell iaitu pengasas program pencarian bakat nyanyian, X Factor. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Didakwa palsukan geran, tipu pegawai kerajaan

2010/09/28

KUALA LUMPUR: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu pegawai dan kakitangan pejabat tanah membabitkan tanah bernilai RM15 juta tiga tahun lalu.

S Tersaim Lail, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen palsu berupa cagaran iaitu satu borang 14A Kanun Tanah Negara bagi tujuan pindah milik tanah daripada seorang ahli perniagaan Liew Weng Chee kepada syarikat pelaburan Diskusi Ariff Sdn Bhd dan satu notis tafsiran duti setem pindah milik hartanah.


Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu untuk pindah milik hartanah No 17, Seksyen 57, Mukim Bandar, di sini, dengan mendakwa dokumen itu tulen sehingga mendorong pegawai dan kakitangan berkenaan memindah milik hartanah itu daripada Liew kepada syarikat Diskusi Ariff.


Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda serta boleh disebat jika sabit kesalahan.


Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian, Rumah Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini, pada 17 Mei 2007.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.


Mahkamah membenarkan Tersaim diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Didakwapalsukangeran_tipupegawaikerajaan/Article

Peguam terjerat

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/09/28

KUALA LUMPUR: Seorang peguam ditahan selepas disyaki terbabit dengan penipuan jual beli tanah berharga RM15 juta, pagi semalam.

Peguam berusia 50-an terbabit turut memperdaya kakitangan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan dengan menggunakan dokumen palsu selain memperdaya beberapa mangsa yang berurusan dengannya.

Bagaimanapun, peguam terbabit yang mempunyai modus operandi hampir sama dengan suspek utama yang membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya terjerat selepas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menyerbu rumahnya di Sunway, Subang Jaya, di sini.


Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar, berkata suspek utama terbabit ditahan.


Menurutnya, siasatan polis mendapati peguam berpengalaman terbabit mempunyai kemahiran memalsukan dokumen termasuk geran tanah untuk memperdaya mangsa dan pegawai kerajaan yang menguruskan pindah milik tanah berkenaan.


Ditanya sama ada suspek terbaru yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan peguam dua beradik yang disyaki membunuh Sosilawati pada 30 Ogos lalu, beliau bagaimanapun menafikan kedua-dua kes terbabit mempunyai kaitan.


Beliau berkata, polis memandang serius kes jenayah membabitkan peguam yang disifatkan sebagai golongan profesional berwibawa dan dipercayai orang ramai.


“Agak mendukacitakan apabila 35 peguam ditahan polis sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai penipuan.


“Daripada jumlah itu, 10 peguam ditahan di Selangor, lapan di Johor, empat di Kuala Lumpur, tiga (Perak), tiga (Negeri Sembilan) dua (Pulau Pinang), empat (Kedah) dan satu (Melaka),”
katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, pagi semalam.


Menurutnya, semua peguam terbabit ditahan atas pelbagai jenayah antaranya pecah amanah, pemalsuan, penipuan selain pemalsuan afidavit.


“Sehingga kini, polis masih menyiasat 290 kes jenayah membabitkan semua peguam berkenaan yang disyaki melakukan penipuan terancang terhadap ramai mangsa.

“Situasi ini amat mengecewakan berikutan profesion sebagai peguam amat dipercayai masyarakat. Berikutan itu, golongan berkenaan diberikan amanah tinggi oleh pelanggan. Namun, sebaliknya peguam terbabit mengkhianati kepercayaan orang ramai dengan melakukan aktiviti pecah amanah,”
katanya.

Menurutnya, golongan terbabit akan terus dipantau dan tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang jika didapati melakukan jenayah.

Isu sama turut pernah dibangkitkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar minggu lalu yang memberitahu pihaknya sudah membuka 72 kertas siasatan berhubung kes salah laku dan penyelewengan di kalangan peguam sejak 10 tahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamterjerat/Article

Tempoh kemuka hujah bertulis

2010/09/28

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah, di sini, semalam, menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula bagi membolehkan pemain badminton negara, Roslin Hashim memfailkan hujahan bertulis terhadap rayuan bekas isterinya dalam kes tuntutan ganti rugi perkahwinan mereka.

Panel tiga hakim syarie yang diketuai Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Roslizam Rahim mewakili Roslin memohon ditetapkan tarikh bagi membolehkan pihaknya memfailkan hujahan secara bertulis kepada perayu, Faizah Mohamad, 34.

Hakim Ibrahim turut bersidang bersama Hakim Syarie Datuk Md Yusup Che Teh dan Hakim syarie Datuk Hussin Harun.


Faizah diwakili peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin.


Pada 21 Oktober tahun lalu, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan merisik antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tempohkemukahujahbertulis/Article

Kes penjualan tanah mangsa masih disiasat

2010/09/28

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kes penjualan sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang oleh jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, masih lagi dilakukan bagi mengumpul bukti lengkap berhubung motif sebenar pembunuhan mangsa bersama tiga rakan yang lain.

Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar berkata, kes membabitkan jutawan dan suspek utama iaitu peguam berasal dari Banting, Selangor, terbabit masih dijalankan bersama 290 kes penipuan membabitkan 35 peguam lain.

“Polis masih meneliti kes penipuan oleh peguam (suspek utama) berkenaan dan saya tidak boleh ulas banyak berhubung kes terbabit. Saya akan maklum perkembangan berhubung siasatan itu kelak,” katanya.


Difahamkan, pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang cuba dijual Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi.


Pembelian dan penjualan tanah itu dikendalikan sepenuhnya suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kespenjualantanahmangsamasihdisiasat/Article

'Jangan buat andaian'

2010/09/28

ALOR SETAR: “Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri sehingga mengganggu emosi kami terutama anak-anak,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada ejen kontraktor, Shafik Abdullah, 37, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh, suspek utama dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Beliau berkata, dia kesal dengan laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin (bukan terbitan kumpulan NSTP) yang membuat andaian sendiri dengan mengatakan tulang yang ditemui di ladang Gandong, Tanjung Sepat, Banting disyaki milik Shafik.

“Mereka lebih tahu daripada pihak berkuasa...apa-apa pun kita kena tunggu keputusan DNA. Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami saya, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri.


“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, terutama anak-anak saya yang masih kecil. Mereka sering bertanya kepada saya ke mana ayah pergi dan sampai sekarang tidak pulang ke rumah,”
katanya.


Samsonnahar berkata, setakat ini dia belum dihubungi polis mengenai sebarang perkembangan terbaru mengenai Shafik.


“Setiap hari pelbagai pihak terutama wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan berita terkini mengenai suami. Saya sendiri pun masih ternanti-nanti panggilan daripada polis untuk mengetahui perkembangan suami,” katanya.


Akhbar sebelum ini melaporkan wanita terbabit dihubungi polis dari Balai Polis Banting yang 95 peratus mengesahkan suaminya menjadi antara mangsa suspek kes pembunuhan itu.


“Saya bersedia menerima sebarang keputusan dan reda dengan apa yang berlaku terhadap suami kerana semuanya itu ketentuan Ilahi.


“Sejak kehilangannya, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat supaya diberi kesabaran menghadapi dugaan ini. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerimanya walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Janganbuatandaian/Article

Usharani hadir semula beri keterangan

2010/09/28

BANTING: Isteri mendiang ahli perniagaan dari India yang dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan suspek utama kes Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hadir semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk memberi keterangan berhubung kes kehilangan suaminya, Allal Kanthan Muthuraja, 34, kepada pasukan risikan, semalam.

S Usharani, 24, dilihat memasuki pekarangan IPD jam 1.45 petang, ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam sebelum keluar tiga jam kemudian.

Bagaimanapun, tiada kelibat ahli keluarga Usharani yang didakwa sesetengah pihak dilihat berada bersama mereka.


Manikavasagam yang ditemui berkata, Usharani diminta hadir semula bagi memberi keterangan lanjut kepada polis dari unit risikan berikutan tidak dapat berbuat demikian kelmarin.


“Hari ini dia memberi keterangan penuh dan lengkap sebelum berangkat pulang ke Ramapuram, India, esok.


“Dia juga ke kuil di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada hari ini untuk sembahyang hajat mendoakan kesejahteraan suaminya dan tak putus berharap bahawa suaminya masih lagi hidup,”
katanya.


Menurutnya, Usharani mahukan keadilan dan suspek yang melakukan pembunuhan itu menerima hukuman paling setimpal.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Usharanihadirsemulaberiketerangan/Article

Keluarga saudagar fail bantahan

2010/09/28

KUALA LUMPUR: Keluarga saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, yang dipercayai dibunuh suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mengemukakan bantahan rasmi secara bertulis kepada Kerajaan Malaysia.

Bantahan difailkan melalui Kedutaan India di Jalan Duta dilakukan adik mangsa, Dr Kasi Vishwanathan, 30-an, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Dr Kasi yang tiba di ibu negara Jumaat lalu bagi memantau perkembangan kes abangnya berkata, keluarganya mengambil keputusan itu selepas kurang berpuas hati dengan pengendalian kes berkenaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, kes kehilangan ahli perniagaan itu dibuat pada 8 September lalu sedangkan ahli perniagaan itu datang ke negara ini pada Januari lalu. Ini menyebabkan polis tiada maklumat terperinci mengenai kehilangan jutawan itu.

Beliau mempunyai perniagaan di Russia juga mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan siasatan kes terbabit, malah tidak pernah dipanggil bagi membantu siasatan termasuk memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) seperti dilaporkan media.

“Tujuan kami ke sini (Kedutaan India) adalah untuk memfailkan bantahan rasmi kepada Kerajaan Malaysia. Banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli keluarga berhubung kes ini.

“Keputusan ini dibuat selepas mendapat nasihat peguam. Yang pasti, kami berada lebih lama lagi di negara ini untuk mengikuti perkembangan kes dan membantu siasatan sekiranya diperlukan,”
katanya.

Katanya, segala kenyataan isteri mangsa, S Usharani, 24, juga bercanggah dengan situasi sebenar kehilangan abangnya itu. Antara kenyataan yang dikatakan bercanggah itu ialah mengenai maklumat awal kehilangan suaminya yang dilaporkan media.

Kunjungan Dr Kasi ke Kedutaan India turut ditemani isterinya, seorang wanita warga Russia; adik lelakinya, Vijay Subramaniam dan wakil pembangkang, K P Samy yang bertindak sebagai pegawai perhubungan mereka di Malaysia.

Dalam kejadian 18 Januari lalu, Muthuraja, dilaporkan hilang selepas dijemput dua beradik peguam yang juga suspek utama kes bunuh dan bakar Sosilawati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum dibawa ke Banting.

Sebelum ini, isteri mangsa, Usharani, berkata mangsa yang memiliki perniagaan batu permata, syarikat kewangan, restoran dan hartanah di Chennai, berkunjung ke Malaysia untuk meninjau peluang pelaburan selepas diyakinkan kedua-dua suspek.

Kali terakhir mangsa menghubungi isterinya sejurus tiba di KLIA dan memaklumkan dijemput kedua-dua suspek untuk dibawa ke Banting sebelum gagal dikesan hingga kini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargasaudagarfailbantahan/Article

Bapa ganas tiada belas kasihan


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/09/28

KUALA LUMPUR: “Anak sulung lelaki berusia 18 tahun terpaksa bergantung dengan ubat sejak setahun lalu kerana otak mengalami gegaran selepas kepalanya dihentak menggunakan rotan sebesar buluh lemang. Manakala anak kedua (15 tahun) sudah tiga kali patah tangan akibat dipukul.

“Malah, anak perempuan ketiga berusia 14 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) berbirat seluruh badan akibat dirotan. Hanya anak lelaki bongsu berusia 10 tahun terselamat daripada kekejaman suami,”
kata seorang suri rumah berusia 39 tahun yang enggan namanya disiarkan.

Akibat tidak tahan dengan perbuatan suaminya selain bimbang keselamatan serta pencapaian anak sulung dan kedua yang masing-masing mendapat keputusan cemerlang iaitu 9A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan 8A untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, suri rumah terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk menghentikan kekejaman suaminya itu.


Wanita terbabit menceritakan kekejaman suaminya berusia 41 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel kerana sering melepaskan kemarahan kepadanya, selain membelasah tiga anaknya itu sejak tujuh tahun lalu.


Difahamkan, suspek akan menggunakan rotan berkenaan sebagai ‘senjata’ untuk menghukum anaknya sekiranya dia mendapati mereka melakukan kesalahan.


Dalam kes terbaru di rumah mereka di Gombak, di sini, kelmarin, lelaki itu membelasah anak keduanya sehingga patah tangan kanan hanya kerana disebabkan kesalahan kecil.


Difahamkan, suspek berang selepas anak keduanya itu kononnya tidak mendengar arahannya supaya tidak membuat bising kerana dia mahu tidur selepas pulang bekerja.


Menurut suri rumah berkenaan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, suaminya yang bagaikan dirasuk syaitan membelasah anak perempuannya itu hampir 20 minit.


“Walaupun saya cuba menenangkan suami, dia tidak mengendahkannya sebaliknya mengugut untuk mencederakan seluruh keluarga.


“Saya hanya menangis melihat kekejaman suami membelasah anak seperti binatang,”
katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Menurutnya, anaknya itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sebelum tangannya yang patah dirawat dan dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku terhadap anak-anaknya sebaliknya mereka sekeluarga bagaikan hidup dalam ‘neraka’ sejak tujuh tahun lalu.

“Anak sulung, bukan saja mengalami kemurungan kerana sering dibelasah sebaliknya dia terpaksa bergantung kepada ubat kerana otaknya mengalami gegaran akibat kepalanya dipukul bapanya.


“Anak ketiga yang juga OKU turut menjadi mangsa kekejaman suami. Mungkin kerana dia (bapa) tidak dapat menerima anaknya yang cacat itu menyebabkan dia sanggup memukulnya,”
katanya.

Beliau berkata, suaminya yang dikahwini sejak 20 tahun lalu, sebelum ini seorang yang sopan dan mula berubah perwatakan sejak tujuh tahun lalu.

“Saya tidak tahu apa masalahnya, dia (suami) mula menjadi bengis dan pemarah atas kesalahan kecil sebelum memukul anak-anak,” katanya.

Sebaik menerima laporan itu, polis memberkas suspek di rumahnya bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan difahamkan, lelaki terbabit akan dikenakan pertuduhan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan penahanan lelaki terbabit.

“Kami sudah merakamkan percakapan lelaki itu (suspek), pengadu (isteri suspek) termasuk mangsa (anak- anak suspek) bagi membantu siasatan. “Malah, kertas siasatan sudah lengkap dan kami (polis) bersedia untuk membuat pertuduhan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapaganastiadabelaskasihan/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...