Saturday, March 6, 2010

Mengumpan mangsa yang lalai




SERING kita digemparkan dengan kes-kes jenayah siber membabitkan penggodam profesional yang menceroboh laman-laman web kerajaan dan bank-bank bertaraf antarabangsa.

Perbuatan itu mengakibatkan kerugian dan kerosakan, termasuk pindahan wang bernilai jutaan ringgit. Akhirnya, kes-kes berkenaan dilupakan begitu sahaja.

Kes sedemikian seakan-akan tiada kesan jangka panjang kepada sesiapa pun, sedangkan masyarakat seharusnya berasa bimbang. Semua itu boleh bermula dengan pembabitan akaun e-mel peribadi yang sering dilihat sebagai tidak mempunyai nilai.

Jarang kita mendengar laporan mengenai kecurian maklumat peribadi disiarkan media cetak dan elektronik. Isu ini mungkin kecil tetapi kesannya kepada individu amat besar kerana kecurian maklumat peribadi yang dimanipulasi ibarat kecurian maruah yang tidak dapat dikembalikan.

"Akaun peribadi kawan saya diceroboh seseorang dan ia digunakan untuk menghantar e-mel berbentuk lucah kepada teman-teman, rakan sekerja, klien-klien dan majikan kawan saya.

"Kesannya, kawan saya dibuang kerja kerana dituduh sebagai individu tidak beretika dan memalukan organisasi tempatnya bekerja," ujar Ketua Perunding Pengurusan Perkhidmatan dan Perundingan, HeiTech Managed Services, Kavitha Muthy yang turut menerima e-mel lucah tersebut.

Menurut Kavitha, penggodam tidak semestinya di kalangan mereka yang profesional dan mempunyai pengetahuan teknikal dalam teknologi maklumat. Sesiapa sahaja boleh menjadi penggodam demi melaksanakan niat jahatnya apabila terdesak.

"Hari ini, seorang kanak-kanak juga boleh menjadi penggodam kerana ia sangat mudah dilakukan. Tambahan pula, maklumat mengenai teknik menggodam begitu mudah didapati di Internet.


KESILAPAN yang kecil boleh membawa banyak perkara buruk kepada mangsa. - Gambar hiasan


"Masyarakat juga perlu tahu, jenayah siber bukan sahaja membabitkan penggodaman komputer, tetapi ia hadir dalam banyak bentuk iaitu penipuan, pencurian identiti, spam, phishing, pencurian data, spyware, malware dan sebagainya," katanya.

Jelas Kavitha, mangsa boleh terdiri daripada individu mahupun organisasi kecil dan besar. Jejak jenayah itu pula sukar dikesan malah rumit dihentikan setelah terjadi. Ia sekali gus memberikan impak negatif jangka panjang kepada mangsa.

"Penjenayah siber sering memilih laman web yang meniti populariti seperti laman web membeli belah, perbankan, serta laman-laman lain yang sering meminta data peribadi dan maklumat kewangan dengan tujuan menipu pengguna.

"Selain itu, dengan populariti diraih laman web Facebook dan Twitter, risiko untuk berlaku kecurian maklumat peribadi, gambar-gambar dan video amat tinggi apatah lagi penggunanya dilihat amat mudah mendedahkan maklumat masing-masing," katanya.

Etika siber

"Untuk mengelakkan diri menjadi mangsa, terlebih dahulu kita perlu faham apakah jenayah siber, dan bagaimana ia mampu memperdayakan kita.

"Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti mempunyai etika siber kerana melaluinya, kita mampu meminimumkan kesannya dengan mengajar diri sendiri dan orang lain mengenai penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab," jelas Kavitha.


PENGGUNA Internet dinasihatkan agar berwaspada atau berfikir dahulu sebelum mendedahkan maklumat peribadi di ruang maya.


Menurut Kavitha, setiap pengguna Internet mesti melaksanakan etika siber yang baik termasuk memahami risiko perlakuan tidak bertanggungjawab dan mempelajari kaedah melindungi diri sendiri dan pengguna lain daripada terjebak.

"Kita sering melihat permasalahan akibat jenayah siber yang dilakukan individu tertentu yang paling kita percayai.

"Kepercayaan hanya boleh wujud melalui perkahwinan, politik, perniagaan dan persahabatan tetapi tidak melalui Internet. Pastikan sumber yang diperolehi disiasat dan disahkan sebelum kita memberi apa-apa maklumat," tegasnya.

Selain itu katanya, pengguna juga perlu melabur untuk membeli program antivirus yang baik, mengemas kini kata laluan, belajar untuk membuat kata laluan yang selamat serta tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali serta meletakkanfirewall.

"Pilihan perisian keselamatan terlalu banyak di pasaran tetapi itu tidak menghapuskan risiko digodam. Seperti produk-produk pengguna lain, perisian antivirus ada yang baik, sederhana dan kurang bagus.

"Pengguna mesti bijak memilih sesuatu produk daripada pelbagai penyedia program sama ada dikenali, kurang dikenali atau baru dalam pasaran mengikut keperluan masing-masing," katanya.


KAVITHA mengajak orang ramai memahami jenayah siber dan mengajar diri serta orang lain tentang penggunaan Internet yang selamat dan bertanggungjawab.


Tambahnya, program antivirus sahaja tidak cukup kerana pengguna mesti meletakkan keselamatan pada satu tahap lebih tinggi, iaitu dengan meletakkan firewall, perlindungan identiti dan sebagainya.

"Keselamatan siber bermula dari rumah dan kesedaran itu mengikut kita ke mana-mana sahaja termasuk di tempat kerja. Ia adalah tanggungjawab setiap orang yang menyentuh papan kekunci," katanya.

Laporan kes

Menurut CyberSecurity Malaysia, sebanyak 4,000 kes jenayah siber dilaporkan di Malaysia sejak dua tahun lalu.

Pada 23 Februari lalu, ZDNet Asia pula melaporkan 75 peratus responden di rantau ini mengatakan sistem mereka diceroboh penjenayah siber pada tahun 2009.

Ia didahului oleh New Zealand dengan 100 peratus responden dimengaku diceroboh, diikuti Australia (82 peratus), Jepun (76 peratus), Hong Kong (75 peratus), Singapura (66 peratus) dan Malaysia (50 peratus), berdasarkan kes yang dilaporkan.

Dalam pada itu, maklumat terkini melalui MyCert.org.my, orang ramai diminta berwaspada dengan kemungkinan penggodam memuat turun dan memasang perisian yang tidak sah kepada sistem pengguna yang menggunakan Adobe Download Manager.

Ia dilakukan dengan menipu pengguna supaya mengikut tautan tertentu atau melawat laman web 'jahat'. Majoriti perisian Adobe Acrobat dan Adobe Reader terdedah kepada risiko berkenaan.

Statistik mengenai jenayah siber serta maklumat terkini berkaitan isu keselamatan siber boleh dilihat melalui laman web MyCert.org.my.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

Pantai California dipenuhi buih


GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan buih yang terbentuk di Pantai Hollywood, California.


LOS ANGELES - Pantai-pantai di California, Amerika Syarikat (AS), termasuk pantai Hollywood dipenuhi dengan buih yang berikutan gempa bumi pada 8.8 skala Richter yang melanda Chile pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Gabungan cuaca dan kondisi laut yang luar biasa ditambah dengan ombak-ombak besar dilihat menjadi punca kepada fenomena tersebut.

Menurut satu kaji selidik saintifik, buih laut itu terdiri daripada protein dan molekul lemak yang terhasil akibat kemusnahan hidupan mikroskopik laut.

Hidupan laut yang dikenali sebagai phaeocystis itu membentuk koloni besar di dalam air.

Buih itu terbentuk apabila angin membawa saki-baki koloni tersebut yang mereput dan menghanyutkannya ke pantai.

Pencemaran itu memberi kesan ke atas buih laut berikutan terlalu banyak nutrien di dalam air menyebabkan pembentukan koloni phaeocystis yang lebih besar.

Gempa bumi di Chile mengakibatkan tsunami yang memusnahkan bandar-bandar di pesisiran pantai.

Tsunami yang berlaku akibat gempa bumi mungkin menyebabkan kebanyakan buih laut berkumpul di Lautan Pasifik sebelum angin kuat meniupnya ke pantai-pantai di California. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Gadis sengsara selepas diragut


YOON BENG sedih melihat keadaan anaknya, Chooi Yoon yang cedera selepas diragut di PPUKM semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang gadis belum dapat mengenali ahli keluarganya sendiri walaupun telah sedar daripada koma ekoran kecederaan parah di kepala selepas terjatuh daripada motosikal kerana diragut seorang lelaki di PPR Kampung Baru Sungai Besi di sini 1 Februari lalu.

Meskipun Chong Chooi Yoon, 19, sudah sebulan terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), namun peragut berkenaan masih belum diberkas polis.

Gadis malang itu sedar daripada koma pada 2 Mac lalu.

Kejadian itu juga menyebabkan kepala Chooi Yoon tidak lagi mempunyai tempurung di sebelah kiri dan kanan.

Mengimbau kembali kejadian itu, bapa gadis malang tersebut, Chong Yoon Beng, 50, memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika dia dan anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal.

“Sebaik tiba di perumahan awam Razak Mansion, seorang penunggang motosikal lain yang datang dari belakang telah meragut beg tangan Chooi Yoon yang diletakkan di bahu sehingga menyebabkan motosikal yang dinaiki terbabas sebelum kami terjatuh.

“Ekoran itu, anak saya yang bekerja di pusat membeli-belah Berjaya Times Square mengalami kecederaan parah di kepala dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku selain tempurung kepalanya rosak,” ceritanya selepas menerima kunjungan Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Banie Chin Yen Foo dan Pengerusi Kelab Mun Ngah Salak Selatan, Lai Tin Sang di PPUKM di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

MAIS haramkan logo halal swasta


Mohammed Khusrin menunjukkan sijil halal yang diharamkan (kiri) dan sijil halal yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam membuat keputusan mengharamkan penggunaan sijil halal keluaran enam buah syarikat swasta di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Kesemua syarikat itu yang selama ini mengeluarkan sijil halal kepada kira-kira 100 pengusaha restoran dan makanan di negeri ini dilarang menerima permohonan baru untuk mendapatkan sijil tersebut.

Keenam-enam syarikat terbabit ialah Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Islamic Food and Research Council (IFRC), SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan IFANCA International.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, bagi pengusaha premis pula, mereka diarahkan supaya tidak lagi menggunakan logo halal terbabit sebaliknya perlu segera membuat permohonan semula dengan pihaknya atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, tindakan tegas itu diambil ekoran terdapat pelbagai logo halal keluaran syarikat swasta yang tidak diiktiraf telah dikesan berada di pasaran menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Empat kelemahan

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/03/06

SERDANG: Kegagalan untuk mempamerkan kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ dan menepati kehendak majikan menjadi punca pengangguran dikalangan lepasan universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tanpa soft skills mahasiswa tidak mampu bersaing dalam dunia pekerjaan sebenar dan ia turut disokong hasil kajian Jobstreet.com pada tahun lalu.


“Sebanyak 250 syarikat kerajaan dan swasta terbabit kajian berkenaan mengenal pasti empat kemahiran yang tidak dimiliki pelajar iaitu komunikasi, nilai dan etika, kepemimpinan serta pemikiran kritis.


“Berikutan itu, kementerian sudah melaksanakan kemahiran insaniah dikalangan pelajar melalui kursus kokurikulum berkredit di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya ketika majlis perasmian Seminar Sehari Amalan terbaik Kemahiran Insaniah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.


Beliau berkata, pelaksanaan sistem berkredit dalam kehidupan pelajar memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran insaniah secara tidak langsung apabila terpaksa menyertai program yang dianjurkan itu.


Katanya, kementerian bakal memperkenalkan bengkel ‘Training of Trainers (Tot) bagi kursus kokurikulum berkredit pada 12 Mac depan.

Bengkel berkenaan akan memberi tumpuan kepada aspek kandungan, kaedah penyampaian dan penafsiran.


Beliau berkata, bagi mengenal pasti tahap penguasaan pelajar dalam kemahiran insaniah, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) menjalankan kajian ke atas 20 IPTA dan 38 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara sejak Februari lalu.


Mengulas mengenai pembabitan agensi swasta yang menawarkan latihan industri, beliau berkata mereka (agensi swasta) juga memainkan peranan penting dalam penyediaan sumber tenaga kerja.


Majlis yang dihadiri Naib canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Raja Abdullah turut melancarkan buku berjudul ‘Tujuh Kemahiran Insaniah Pelajar: Huraian dan Pengukuran’.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Empatkelemahan/Article

Licik di sebalik sifat terpuji

2010/03/06

KUALA LIPIS: “Dia seorang pekerja yang baik dan tekun. Malah, dia juga ringan tulang dan tidak pernah membantah.

“Namun, saya tidak menyangka di sebalik sifat terpujinya itu dia tergamak melarikan Rozita dan membawa pulang ke negara asalnya di Lombok Timur, Indonesia,” kata Shahrul Nizam Romainoor, 27, ketika ditemui, di sini, semalam.


Shahrul Nizam adalah majikan kepada pemuda Lombok didakwa melarikan wanita tempatan, Rozita Mat Ali, 30, yang juga seorang daripada pekerjanya pada 14 Februari lalu.


Menurutnya, pemuda terbabit dikenali sebagai Hamdan, 21, bekerja sebagai penoreh di kebun getahnya di perkampungan Orang Asli di Pos Betau, di sini, sejak tiga tahun lalu.


“Manakala, Rozita pula sudah lapan tahun bekerja sebagai pelayan di kedai makan milik saya di perkampungan sama. Dia juga pekerja yang baik walaupun seorang pendiam.


“Kedua-duanya pekerja yang baik dan rajin malah tidak mendatangkan masalah kepada saya dalam urusan seharian. Oleh itu, saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku,”
katanya.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kehilangan Rozita selepas wanita itu dikatakan tidak menjawab panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) ibu bapanya.


“Saya terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian ini kerana tidak nampak mereka menjalinkan hubungan cinta.


“Malah, Rozita yang tinggal di Kuala Medang juga kerap balik ke rumahnya setiap hujung minggu dan dia juga tidak mempunyai sebarang perselisihan faham serta amat rapat dengan keluarganya,”
katanya.


Shahrul Nizam berkata, dia berharap kedua-dua mereka dapat kembali semula ke tanah air dan bekerja dengannya serta menjalani kehidupan seperti biasa walaupun sudah berkahwin.


Sementara itu, ibu Rozita, Jariah Ishak, 60, merayu bantuan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu mengesan anaknya di Lombok dan membawa pulang ke tanah air.


“Sejak kehilangan Rozita, fikiran saya terganggu kerana memikirkan keselamatannya di negara orang. Jika benar dia menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki dari Lombok Timur itu, kami sekeluarga reda.


“Kami menerima siapa saja pilihan hatinya untuk dijadikan suami asalkan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Malah, kami juga pasrah jika betul lelaki itu pilihan Rozita dan sudi untuk mengadakan majlis pernikahannya di sini,”
katanya.


Akhbar ini pada 4 Mac lalu melaporkan akibat panahan cinta jejaka Lombok, seorang pembantu kedai makan dari Kuala Medang tergamak meninggalkan keluarganya dan lari mengikut lelaki terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Licikdisebaliksifatterpuji/Article

9 masih diburu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
2010/03/06

TAPAH: Dua pasangan adik-beradik antara sembilan suspek yang diburu polis berhubung kes rogol membabitkan seorang gadis berusia 15 tahun yang dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh 14 lelaki di dua tempat berasingan masing-masing pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Sungkai dirogol bergilir-gilir oleh 14 lelaki di sebuah spa di Felda Hot Spring, Sungkai dan sebuah rumah kosong di Felda Sungai Klah di sini.


Selepas gerakan memburu suspek dijalankan sehari selepas kejadian, polis setakat ini menahan lima suspek masing-masing dua pada 2 Mac lalu dan tiga lagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata sembilan suspek yang masih bebas itu berusia 17 hingga 26 tahun.


Beliau berkata, polis kini memburu pasangan adik-beradik terbabit, Mohd Sahabudin Hashim, 23, dan Shahrul Hisham Hashim, 21, serta Mohd Rosli Mustafa, 26, dan adiknya, Mohd Roslan Mustafa, 18.


“Selain itu, lima suspek lain dikenali Azizul Sabli, 22, Mohd Athika Mohd Hanapi, 19, Mohd Shabil Rosdi, 17, Ahmad Nursufian Alias, 23, dan Mohamad Shafiq Mohd Shahimi, 20 dengan semuanya berasal dari Sungkai.

“Kami sudah menjejaki rumah mereka, namun tiada di rumah dipercayai melarikan diri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Katanya, mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Md Nasri atau Pegawai Penyiasat Inspektor Yusuraya Yusoff di talian 05- 4011222 atau 05-4015222.


Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sentosa Chenderiang di sini mendakwa penolong pegawai perubatan di kem berkenaan menyentuh dan menekan payu dara serta bahagian sulitnya ketika mendapatkan rawatan 1 Mac lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/9masihdiburu/Article

Jais tegah 6 syarikat

2010/03/06

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan enam syarikat yang terbabit mengeluarkan sijil dan logo halal supaya tidak lagi mengeluarkan sijil berkenaan kepada peniaga dan pemilik premis makanan di Selangor.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata enam syarikat berkenaan ialah Bahtera Lagenda Sdn Bhd, Islamic Food and Research Council, SAS-H Consultancy, Perak Religious Officer Association, Halal Food Council S.E.A dan Ifanca International.


Beliau berkata, Jais sebelum ini tidak pernah memberikan kebenaran dan mengiktiraf syarikat berkenaan yang mengeluarkan sijil logo halal kepada beberapa premis makanan di negeri itu terutamanya di kedai kopi dan medan selera.


Mohammed Khusrin berkata syarikat terbabit juga didapati tidak melakukan pemantauan selepas mengeluarkan sijil logo halal kepada pemohon seperti yang dilakukan Jais dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


“Berkuat kuasa hari ini hanya sijil logo halal yang dikeluarkan Jais dan Jakim sahaja yang diiktiraf untuk diguna pakai di semua premis makanan di Selangor,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.


Sehubungan itu, katanya syarikat terbabit diarahkan supaya tidak menerima sebarang permohonan sijil halal daripada mana-mana pihak berkuat kuasa serta-merta kerana sijil logo halal yang dikeluarkan diragui terutama membabitkan syarat pengeluaran dan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan.

Beliau berkata, tempoh tiga bulan diberikan kepada syarikat berkenaan supaya menyelesaikan segala urusan membabitkan pemprosesan sijil logo halal yang sudah diterima sebelum ini.


“Kepada mereka yang belum memiliki sijil logo halal atau mahu memperbaharui diingatkan supaya hanya melakukannya melalui Jais dan Jakim,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jaistegah6syarikat/Article

Lebih pada tuntutan emosi

2010/03/06

KUALA LUMPUR: Gejala lesbian atau wanita yang mempunyai ‘selera’ sesama jenis berpunca akibat kehendak seksual yang tidak sihat, selain pengaruh sejak zaman kanak-kanak.

Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata ketika kecil ada ibu bapa yang tidak begitu mengambil berat cara anak mereka berinteraksi dengan orang lain, berpakaian atau bercakap menyebabkan ia mempengaruhi pembesaran mereka.


“Banyak perkara boleh mempengaruhi seseorang individu itu membesar dengan orientasi seksual tidak sihat sehingga menyebabkan mereka mempunyai keinginan sesama jenis.


“Sejarah lampau yang menyebabkan seseorang wanita itu terlalu membencikan lelaki tetapi pada masa sama mengharapkan kasih sayang, belaian dan cinta juga menyebabkan mereka mudah terdorong mencintai wanita lain,”
katanya yang dihubungi semalam.


Beliau berkata, apa yang diperlukan wanita jenis itu bukan semata-mata hubungan seks secara fizikal tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan emosi.


“Pengaruh luar umpamanya menerusi filem barat yang mempromosikan gaya hidup songsang turut boleh mempengaruhi seseorang terutama mereka yang mempunyai kehendak tidak sihat itu,” katanya.

Dr Harlina berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang jurujual wanita maut di kekasihnya yang juga seorang wanita dipercayai akibat cemburu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lebihpadatuntutanemosi/Article

Peragut jatuh

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/03/06

KUALA LUMPUR : Seorang ahli Geng Jalit yang menggunakan palam pencucuh untuk memecah cermin kenderaan bagi melakukan samun di lampu isyarat tumpas apabila mangsa terlanggar seorang ahli kumpulan itu di Taman Tun Dr Ismail, di sini baru-baru ini.

Ketika kejadian, dua suspek memecahkan cermin kereta Suzuki Swift di bahagian penumpang dan cuba merampas beg tangan mangsa berusia 25 tahun.


Bagaimanapun, mangsa cuba menarik semula begnya menyebabkan salah seorang suspek terjatuh di persimpangan lampu isyarat sebelum tangannya digilis kereta mangsa yang ketika itu cuba menyelamatkan diri.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, orang awam yang melihat kejadian itu bertindak pantas mengepung dan menahan suspek berusia 32 dan 35 tahun itu.


Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan itu ialah menggunakan palam pencucuh yang diikat pada sarung tangan ketika menunggang motosikal.


“Sebaik mengenal pasti mangsa, suspek menghayun objek berkenaan pada cermin kereta mangsa manakala rakannya yang membonceng merampas barang berharga di kerusi tempat duduk hadapan,” katanya pada sidang media semalam.

Wan Abdul Bari berkata, susulan tertangkapnya suspek, polis menahan tiga lagi ahli kumpulan berusia 27 hingga 36 tahun di sekitar kawasan Bandar Tun Razak.


“Selain itu beberapa tangkapan lain juga dilakukan dan kami berjaya mencekup 12 ahli kumpulan itu. Geng itu juga aktif menyamun di sekitar Ampang Jaya dan Cheras,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutjatuh/Article

Artis dakwa disantau amah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
2010/03/06

JOHOR BAHRU: “Buat masa ini, saya hanya mampu melakukan beberapa perkara iaitu menjamah makanan, pergi ke tandas dan baring semula kerana badan kepanasan dan sentiasa berpeluh seperti duduk atas bara api.

“Ia mengakibatkan saya berhenti kerja dan terpaksa merahsiakan keadaan kesihatan daripada isteri dan anak-anak kerana tidak mahu membebani mereka atau melihat mereka bersedih,” kata bekas penyanyi kumpulan Grand yang terkenal dengan lagu duet bersama Syura berjudul Bila Cinta Didusta, Amy atau nama sebenarnya, Zuraimi Remeng, 34.


Zuraimi yang bekerja sebagai pemandu kepada seorang ahli perniagaan menderita akibat penyakit misteri sejak lebih sebulan lalu dipercayai akibat terkena santau angin ‘dikirim’ bekas pembantu rumah warga Indonesia majikannya yang sudah pulang ke negara asal kerana disyaki tidak berpuas hati.


Amy yang pernah bernaung di bawah Fantasia Music City (FMC) berkata, masalah bermula kira-kira sebulan lalu apabila beberapa helai pakaiannya yang diletak di bilik tidur disediakan majikannya di Larkin di sini, hilang.


Katanya, lebih pelik lagi kehilangan pakaian itu berlaku selepas seorang pembantu rumah di situ, pulang ke Indonesia.


“Saya tidak menuduh pembantu berkenaan melakukannya, namun ketika mendapatkan rawatan dengan pakar perubatan tradisional, dia mengatakan saya mungkin menjadi mangsa santau angin dari seberang,” katanya.

Zuraimi berkata, dia tidak pernah berselisih faham dengan wanita berusia 50-an itu, namun pembantu rumah itu dipercayai tersinggung apabila majikannya memberi layanan baik padanya.


Menurutnya, wanita terbabit disyaki iri hati apabila majikannya menyerahkan tugas menguruskan tabung kecemasan di rumah itu beberapa bulan selepas bekerja di situ.


“Bibik (pembantu rumah) pernah kata, tunggulah hingga dia pulang ke Bandung dia boleh kenakan individu yang menyakiti hatinya ketika bekerja di situ.


“Saya menjangka bibik hanya berjenaka, tetapi terkejut apabila dimaklumkan seorang pakar perubatan tradisional gangguan pada kesihatan saya angkara perbuatan sihit dari jauh,”
katanya.


Beliau berkata, meskipun sudah melakukan ujian darah beberapa kali di hospital awam, doktor gagal mengenal pasti penyakit dihidapi menyebabkan dia tidak dibekalkan sebarang ubat.


Menurutnya, dia bukan saja kehilangan berat badan sehingga 15 kilogram, malah mengalami masalah lupa ingatan dan hilang pendengaran.


“Saya bukan individu yang mudah percaya ilmu hitam, namun apabila perkara itu melanda diri sendiri, saya terpaksa akui menjadi mangsa buatan orang kerana hingga kini pihak hospital tidak dapat mengesahkan jenis penyakit dialami.


“Saya juga tidak dapat tidur hingga ke pagi kerana rasa gelisah dan mengerang sakit tidak putus-putus,”
katanya yang bergantung pada beberapa rakan menjaganya di kediaman di Jalan Padi Ria 17, Bandar Baru Uda.


Zuraimi berkata, dia juga menerima beberapa tawaran menjadi pengacara beberapa program di sekitar bandar raya ini selain mennyanyi dalam kumpulan kugiran, tetapi terpaksa menolak hingga kesihatannya pulih. “Saya sabar menghadapi dugaan ini kerana percaya Allah akan membalas perbuatan jahat individu terbabit.


“Saya juga berdoa supaya sembuh secepat mungkin dan pulang ke pangkuan keluarga kerana terlalu merindui isteri dan empat orang anak,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Artisdakwadisantauamah/Article

Amah sewel dera bayi Eja

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ramlah Zainal
anbia@hmetro.com.my
2010/03/06

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa artis jelita, Siti Shahrizah Saifuddin, 37, atau Eja, apabila dia bukan hanya dibekalkan pembantu rumah sewel yang gemar mencederakan diri sendiri, malah bayinya yang baru berusia enam bulan turut dicederakan amah terbabit.

Lebih mengharukan, pembantu rumah warga Indonesia terbabit didakwa sering berkelakuan aneh apabila gemar menoreh perabot dan perkakas dalam rumah artis itu menggunakan pisau dipercayai akibat masalah jiwa kronik yang dihadapinya.


Eja berkata, tindakan wanita Indonesia terbabit merosakkan harta bendanya sebelum melarikan diri menyebabkan dia kerugian hampir RM50,000.


Menurutnya, dia memperoleh khidmat pembantu rumah terbabit daripada sebuah agensi pekerja asing selepas menjelaskan bayaran RM6,200.


“Tujuan saya mengambil pembantu rumah terbabit tiga bulan lalu untuk membantu saya menguruskan rumah selain menjaga bayi kami ketika ketiadaan saya dan suami atas urusan kerja.


“Ketika mengambil dia daripada agensi, pelbagai janji ditaburkan kononnya amah yang dibekalkan itu berpengalaman dan mempunyai kemahiran tinggi untuk menjalankan tugas,”
katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia tidak hanya membayar RM6,200 yang disyaratkan pihak agensi, malah turut membayar gaji pendahuluan pembantu rumah itu yang dihantar pulang ke kampung halaman amah berkenaan di Sumatera, Indonesia.


“Rasa curiga mula terdetik di hati saya apabila wanita itu meminta saya memanggilnya sebagai Susie walhal pasport milik amah berkenaan mencatatkan nama Mona.


“Walaupun umur tertera pada pasport terbabit menunjukkan usianya 29 tahun, namun saya yakin maklumat terbabit tidak tepat berikutan raut wajahnya yang terlalu muda,”
katanya.


Menurutnya, pembantu rumah terbabit yang berasal dari Medan, turut menimbulkan banyak tanda tanya apabila muka dan tubuhnya dipenuhi calar-balar seperti kesan cakar dan torehan pisau.


“Bila saya bertanya untuk mendapatkan kepastian, dia hanya memberi alasan kononnya ia berpunca akibat kemalangan motosikal.


“Bagaimanapun, saya mula resah apabila pelbagai kejadian misteri mula berlaku satu persatu apabila saya menemui puluhan kesan torehan pisau pada meja makan, kabinet dapur dan peti ais,”
katanya.


Amah terbabit yang disoal Eja bagaimanapun berpura-pura tidak tahu menahu punca kerosakan perabot itu.


“Pernah sampai satu peringkat, dia sanggup menjunjung al-Quran dan bersumpah tidak merosakkan perabot itu, bagaimanapun saya tambah pelik apabila satu persatu peralatan elektrik rosak tanpa sebab.


“Malah, pinggan mangkuk mahal hadiah ibu mentua saya turut pecah satu persatu. Lebih membimbangkan saya apabila bayi kami, Nur Eishal, enam bulan, pernah berdarah pada bibir dan luka di tangan tanpa diketahui punca,”
katanya.


Eja berkata, selepas tiga bulan bekerja di rumahnya, amah terbabit akhirnya lesap begitu saja apabila dia melarikan diri dengan membawa beg plastik berisi pakaian, dua minggu lalu.

“Saya langsung tidak sedar bila Susie melarikan diri, namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibatnya keluar melalui pintu rumah.


“Sebelum meninggalkan rumah, dia sempat merosakkan beberapa lagi perkakas rumah termasuk menoreh perabot menggunakan pisau,”
katanya yang membuat laporan polis berhubung kehilangan pembantu rumahnya.


Menurut Eja, walaupun pelbagai dugaan dialami sepanjang tinggal bersama amahnya itu, dia tidak pernah memaki-hamun atau meninggi suara jauh sekali untuk memukul wanita berkenaan. “Dari apa yang saya tahu, Susie bukan wanita normal sebaliknya mempunyai penyakit psikologi serius. Dia mempunyai masalah jiwa dan tidak boleh melihat objek atau barang yang cantik atau sempurna.


“Jiwanya yang kacau menyebabkan Susie tidak teragak-agak merosakkan perkakas rumah bagi memuaskan hatinya. Namun, saya amat bernasib baik kerana bayi kami terselamat daripada amukannya,”
katanya.


Eja berkata, kebiasaannya majikan di negara ini tertakluk kepada perjanjian mengenai tempoh percubaan selama tiga hingga empat bulan bagi pembantu rumah yang diambil bekerja.


“Bagaimanapun, menjadi trend apabila pembantu rumah terbabit akan melarikan diri sebaik tempoh berkenaan tamat. Yang jelas kerjaya pembantu rumah itu hanya dijadikan ‘batu loncatan’ untuk memasuki negara ini sebelum mereka lesap begitu saja.


“Akibatnya, kami yang mengambil pembantu rumah asing ini teraniaya dan wang ribuan ringgit yang dibayar sebelum ini hangus begitu saja,”
katanya.


Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima sebelum ini, ramai pembantu rumah yang melarikan diri lebih gemar bekerja sebagai tukang cuci bangunan atau pembantu kedai.


Difahamkan, susulan kejadian itu, Eja membuat dua laporan kepada polis iaitu pertama pada 18 Februari lalu di Balai Polis Mont Kiara dan kali kedua pada jam 11 malam kelmarin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat pelakon berkenaan dan pihaknya sedang berusaha mengesan pembantu rumah terbabit.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menyalurkannya ke talian 03-2274 0222 atau Rakan Cop 03-2115999.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AmahsewelderabayiEja/Article

Anak dilari ke Indonesia

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
2010/03/05

KUALA LUMPUR: “Hana masih kecil dan tidak seharusnya bayi berusia 19 bulan sepertinya melalui perkara menyukarkan seperti berpisah dengan saya,” luah seorang ibu yang bimbang keselamatan anaknya yang dilarikan suami ke Indonesia sejak Januari lalu.

BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan Hana dilarikan.
BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan Hana dilarikan.
Farah Shamsuddin, 31, berkata bayinya, Daanya Hana Leanora masih menyusu badan dan mempunyai hubungan erat dengannya.

“Setiap kali makan tengah hari, saya akan pulang ke rumah untuk menyusukan Hana dan seakan-akan mengetahui kepulangan saya, dia sentiasa menanti di depan pintu.


“Namun, kini yang menjadi kebimbangan saya adalah mengenai penyusuannya dan bimbang dia kelaparan. Mungkin Hana tidak selesa kerana berada di tempat baru.


“Hana bayi yang belum memahami apapun, saya bimbang ia akan mempengaruhi masa depannya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Menurutnya, pada Mac 2009, Hana pernah dilarikan suami, Lenardi Amnisar Yuliawiratman, 32, selama tiga hari ketika dia berusia tujuh bulan.

“Selepas dia pulang ke pangkuan saya, Hana seperti trauma apabila tidak mahu berjauhan, sentiasa menangis jika tiada di sisinya, malah dia tidak akan pergi kepada sesiapa yang tidak dikenalinya,” katanya.


Menurutnya, dia tidak pernah menghalang suami daripada berjumpa dan bermesra dengan anaknya, namun Lenardi perlu memberi masa kepada Hana untuk mengenalinya berikutan mereka jarang bertemu.


Menjawab pertanyaan mengenai rasa percaya terhadap suaminya, Farah mengakui dia berasa tidak selamat setiap kali bertemu Lenardi akibat perlakuannya yang agresif, namun terpaksa membenarkannya bertemu Hana berasaskan hubungan anak dan bapa.


Farah berkata, walaupun terjadi pelbagai kes dilakukan suami, dia yakin masalah itu dapat diselesaikan mengikut undang-undang.


Katanya, dia tidak menyangka perjumpaan antara kedua-dua pihak di sebuah restoran makanan segera di Pandan Mewah menjadi detik perpisahan dirinya dengan Hana apabila suami melarikan bayi berkenaan.


Farah berkata, peguamnya menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung kes bayinya.


“Saya berharap Hana dapat dikembalikan kepada saya dengan selamat kerana ini bukan salahnya dan dia tidak patut menanggung kesusahan akibat masalah ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AnakdilarikeIndonesia/Article/index_html

Cemburu arwah ada teman baru

2010/03/05

ALOR STAR: “Kami sekeluarga pernah menasihatkan arwah supaya menjauhkan diri daripada wanita terbabit kerana mereka kelihatan seperti pasangan kekasih,” kata Shafinaz Mohd Shariff, 40, kakak Suhana, 26, yang maut selepas ditikam tujuh kali oleh rakan sekerjanya yang juga wanita di Lorong Kristal, Taman Kristal, malam kelmarin.

Menurutnya, dia banyak kali menasihatkan adiknya itu, tetapi arwah tetap mahu berkawan dengan wanita terbabit.


“Wanita itu mungkin cemburu kerana arwah kini berkawan dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya dan mungkin itu puncanya mereka bergaduh,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.


Katanya, dia pernah melarang adiknya berkawan terlalu rapat dengan suspek kerana bimbang ia akan menimbulkan masalah antara mereka berdua.


“Saya bimbang kerana mereka terlalu rapat sehingga nampak seperti pasangan kekasih. Mereka sudah lama berkawan iaitu sejak tujuh tahun lalu dan hubungan mereka sangat baik hingga sekarang.


“Pada mulanya kami tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka berdua seperti adik-beradik, tetapi lama kelamaan kami nampak hubungan itu sudah lain, seperti sepasang kekasih.

“Suspek juga pernah datang ke rumah kami beberapa kali termasuk makan bersama dan sebab itu saya tidak sangka dia sanggup bertindak di luar batasan (tikam arwah),” katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, Suhana dari Kota Tanah di sini, ditemui terbaring di belakang Perodua Viva putih miliknya manakala suspek yang berusia 33 tahun cedera parah di dada dan tangan kiri selepas menikam dirinya.


Difahamkan, seorang pengawal keselamatan dikenali Mohd Faizal yang membuat rondaan di kawasan lorong berkenaan terkejut melihat kedua-duanya terbaring menahan kesakitan berhampiran kereta berkenaan.


Pengawal terbabit terus menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.


Sementara itu, jenazah Suhana selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Perak, di sini, selepas solat Asar semalam.


Suasana hiba menyelubungi keluarga Suhana, malah ada yang menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan sedih berikutan kematian mangsa.

Dicekup Jaim ketika pertemuan pertama

2010/03/05

MELAKA: Perhubungan cinta jarak jauh sepasang kekasih sejak beberapa bulan lalu dengan hanya menggunakan talian telefon bagi menghubungkan kasih mereka akhirnya membawa kepada pertemuan buat kali pertama, semalam.

Bagaimanapun, pertemuan yang dilakukan di sebuah hotel bajet berhampiran Terminal Melaka Sentral membawa detik hitam apabila mereka dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) pada jam 12.15 tengah hari.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata siasatan mendapati remaja lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Johor sanggup datang ke negeri ini untuk menemui kekasihnya.


Pasangan sebaya terbabit ditahan empat jam selepas remaja perempuan berkenaan datang ke bilik yang disewa lelaki berkenaan.


Katanya, sebelum ini pasangan terbabit tidak pernah bertemu dan hanya menjadikan pertemuan pertama kali itu sebagai peluang melakukan perbuatan terkutuk apabila mengakui turut terlanjur.


"Berdasarkan siasatan, lelaki berkenaan menyewa bilik terbabit sejak petang semalam (kelmarin) selepas tiba dari Johor dan kemudian remaja perempuan berkenaan datang ke biliknya itu pada jam 9.30 pagi tadi (semalam).

"Ketika berada di dalam bilik berkenaan, mereka mengakui melakukan perbuatan mungkar," katanya, di sini, semalam.


Rahimin berkata, perempuan berkenaan juga mengakui mereka bukan saja tidak pernah bertemu malah dia turut menyatakan itulah julung kali masuk ke bilik sebuah hotel.


"Pasangan berkenaan turut mengakui tahu berdua-duaan di dalam bilik terkurung adalah satu kesalahan serta melakukan perbuatan maksiat boleh mendatangkan dosa besar," katanya.


Katanya, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram, sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DicekupJaimketikapertemuanpertama/Article/index_html

Baitulmal ada bantu

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my
2010/03/05

KLUANG: Ibu tunggal yang mendakwa tidak dilayan setiap kali membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan melanjutkan pelajaran anaknya ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebenarnya hanya sekali membuat permohonan itu kepada pejabat agama daerah.

Selain itu, dakwaan wanita berusia 40 tahun itu bahawa anak perempuannya tidak pernah menerima bantuan tidak benar kerana Baitulmal pernah memberikan bantuan kewangan untuk pendaftaran anaknya ke IPT sebanyak RM400 pada November 2009.


Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak pernah datang ke Pejabat Agama Kluang untuk membuat permohonan susulan menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan kepada keluarganya.


Pegawai Tadbir Agama Kluang, Mohd Khalil Md Noor, berkata setiap orang yang ingin mendapatkan bantuan perlu mengikut prosedur ditetapkan antaranya membuat permohonan bertulis bagi membolehkan jabatan memproses bantuan.


“Sebelum ini, wanita itu ada datang ke Pejabat Agama Johor Kluang untuk mendapatkan bantuan kemasukan anak ke IPT dan Baitulmal sudah memberikan bantuan sebanyak RM400.


“Biasanya, penuntut yang melanjutkan pelajaran akan mendapat pinjaman lain atau biasiswa menyebabkan mereka tidak lagi memerlukan bantuan Baitulmal,” katanya.

“Bagaimanapun, kami difahamkan permohonan pinjaman anak wanita itu ditolak dan sekiranya wanita itu datang membuat permohonan lain, kami sedia membantu kerana mempunyai peruntukan,” katanya.


Menurutnya, wanita itu tidak pernah membuat permohonan susulan menyebabkan pihaknya berpendapat anak wanita itu menerima biasiswa seperti orang lain. Katanya, bantuan RM400 yang diberikan itu mengikut kadar ditetapkan dengan pengajian sijil, diploma atau ijazah mempunyai kadar berbeza.


Bantuan bagi sijil, katanya, kemasukan di negeri Johor ialah RM300, Sabah dan Sarawak RM500, Selangor dan Kuala Lumpur RM400. “Jadi, bantuan RM400 adalah betul, namun sekiranya seseorang itu mengikuti diploma dan ijazah, jumlah bantuannya lebih besar.


“Selain itu, pada 24 Februari lalu, kami ada berbincang dengan kaunselor Sekolah Menengah Tinggi Kluang yang ingin memberikan bantuan kepada wanita ini melalui PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). “Kami tiada halangan dan bersetuju membayar semula wang berjumlah RM2,878 kepada Tabung PIBG sekolah kerana PIBG sekolah itu bersetuju mendahulukan bantuan,” katanya.


Menurutnya, penyerahan cek bantuan itu diserahkan kepada wanita berkenaan pada 1 Mac lalu dan belum sempat PIBG membuat tuntutan, berita mengenai wanita itu disiarkan di akhbar.


Katanya, pada 3 Mac lalu barulah wakil PIBG sekolah berkenaan datang menyerahkan dokumen Tuntutan Bayaran Pembiayaan Yuran anak wanita itu.


“Pada tarikh sama, wanita berkenaan datang buat kali pertama selepas menerima bantuan pertama (yuran pendaftaran anak) untuk memproses Borang Bantuan Sara Hidup sebelum dihantar ke Ibu Pejabat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baitulmaladabantu/Article/index_html

Maut bantu isteri diragut

Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
2010/03/05

MELAKA: “Saya tidak sangka kejadian ini akhirnya meragut nyawa suami yang cuba membantu selepas seorang peragut bertindak kejam merentap rantai leher sambil mengheret saya yang ketakutan walaupun sudah jatuh terbaring di atas tanah.”

Begitu kata warga emas, Maimun Ibrahim, 55, berhubung peristiwa malang yang menimpa pasangan suami isteri terbabit apabila seorang lelaki berusia lewat 20-an meragut rantai lehernya di pekarangan rumah mereka di Bukit Pegoh, Telok Mas, di sini, pada 19 Februari lalu.


Lebih memilukan, suaminya, Munip Omar, 71, yang mengalami patah tulang pinggul akhirnya meninggal dunia pada jam 3.24 petang, Selasa lalu di Hospital Melaka akibat jangkitan kuman pada paru-parunya yang dipercayai berpunca daripada darah beku akibat kecederaan dialami mangsa.


Maimun berkata, sebelum kejadian, dia ternampak seorang lelaki berjalan mundar-mandir kira-kira dua kali di perkarangan masjid seolah-olah mencari sesuatu ketika sedang menyapu di beranda rumahnya manakala arwah suaminya pula sedang duduk di kusyen panjang berhampiran.


Katanya, dia yang menyangkakan lelaki terbabit cuba mencari tandas kemudian menegur dengan memberitahu tandas lelaki terletak bersebelahan kerana suspek berkenaan cuba memasuki tandas perempuan.


“Selepas menunjukkan tandas lelaki, saya pun tidak perasan sama ada dia memasuki tandas itu atau tidak. Sebelum itu, saya ada juga terdengar suara seseorang dipercayai rakan lelaki itu berteriak selain mendengar bunyi enjin motosikal yang tidak kelihatan.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian, lelaki itu tanpa disedari sudah berada di belakang saya dan dalam sekelip mata terasa rantai leher direntap mengakibatkan berasa begitu terkejut.


“Saya cuba melawan kudrat lelaki berkenaan hingga membuatkan dia mencekak rantai leher dengan lebih kuat menyebabkan saya jatuh terbaring,”
katanya ketika ditemui di rumah keluarga suaminya di Kampung Tengah, Paya Dalam, di sini, kelmarin.


Maimun berkata, sebaik terjatuh, lelaki berkenaan terus mengheretnya sehingga mengakibatkan dia terasa tubuhnya bergesel dengan permukaan tar di luar rumah akibat tindakan kejam terbabit.


Katanya, ketika itu, suaminya yang sedang berbaring di kusyen bergegas keluar dan memukul suspek dengan penyodok plastik sehingga pecah. Bagaimanapun tindakan arwah suaminya itu membuatkan suspek marah lalu menolaknya hingga jatuh terduduk.


“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya yang turut terkejut melihat arwah suami ditolak terus tidak melawan menyebabkan lelaki terbabit merentap sebelum melarikan rantai leher bernilai kira-kira RM3,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautbantuisteridiragut/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...