Wednesday, August 18, 2010

Michael Douglas hidap barah tekak


GAMBAR bertarikh 23 Julai lalu menunjukkan Catherine Zeta-Jones dan Michael Douglas di Cardiff, Wales.


LOS ANGELES - Aktor legenda Hollywood yang pernah memenangi Oscar, Michael Douglas akan menjalani rawatan kemoterapi dan radiasi selama dua bulan selepas doktor menemui ketumbuhan di kerongkongnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, majalah People melaporkan, doktor-doktor menjangkakan bahawa bintang filem Wall Street yang berusia 65 tahun dan mengahwini aktres popular, Catherine Zeta-Jones itu akan pulih.

"Saya sangat optimistik (akan pulih daripada penyakit itu)," kata Douglas pada malam kelmarin.

Jurucakap pelakon itu tidak mengesahkan jenis kanser yang dihidapi Douglas. Kanser di kerongkong sering dikaitkan dengan tabiat merokok dan minum minuman keras.

Rawatan kemoterapi pada kebiasaannya digunakan untuk merawat kanser kerongkong yang agak serius.

Pada tahun 2006, Douglas dan isterinya yang merupakan pelakon filem The Mask of Zorro cuba berhenti merokok.

Semasa itu, pasangan tersebut dilaporkan menghisap separuh daripada jumlah batang rokok yang terdapat dalam satu kotak rokok sehari. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Pasangan tiada anak jumpa bayi


BAYI yang ditemui selepas ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Bukit Minyak, Bukit Mertajam Ahad lalu.


BUKIT MERTAJAM - Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru berusia seminggu panjang umurnya apabila dia ditemui dalam keadaan sihat selepas ditinggalkan di atas meja di hadapan sebuah rumah di Bukit Minyak di sini Ahad lalu.

Bayi itu ditemui oleh sepasang suami isteri dalam keadaan berbalut dengan kain lampin pada pukul 11 malam ketika mereka baru pulang dari sembahyang tarawih di sebuah masjid berhampiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd. Lah berkata, bayi seberat hanya 1.4 kilogram itu pada mulanya dijaga oleh pasangan suami isteri itu selama dua hari sebelum mereka membuat laporan polis semalam.

"Pasangan suami isteri yang bekerja di sebuah kilang di Alma pada mulanya berhajat untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat kerana mereka tiada anak walaupun sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga.

"Namun atas nasihat jiran mereka kemudian membuat laporan dan menyerahkan bayi tersebut kepada polis semalam," kata beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Suspek simbah asid direman


SUSPEK kes simbah asid terhadap empat beranak dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam untuk direman.


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian simbah asid sehingga mencederakan empat mangsa termasuk isteri dan dua anaknya Ahad lalu direman selama enam hari bermula semalam.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, Mohd. Erman Che Mat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, lelaki itu ditahan berdekatan kawasan semak berhampiran Kampung Poh dan Kampung Pasir Nering, Kuala Berang dekat sini pada pukul 12.55 petang kelmarin.

Menurut beliau, ketika ditahan polis turut menemui sebilah pisau sayur dan sebatang jarum suntikan dadah dalam poket seluar lelaki itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Menangis depan hakim

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
2010/08/18

SHAH ALAM: “Saya hanya ada RM1,000,” kata Julita Mohd Razani, 44, ibu kepada remaja yang dituduh meragut kakitangan Hospital Kuala Lumpur di Jalan Pahang pada hari ketiga Ramadan lalu.

Dia yang bekerja sebagai jurujual berkata demikian ketika Hakim Mahkamah Sesyen, Latifah Mohd Tahar bertanyakan sama ada dia mampu menyediakan RM7,000 untuk menjamin anaknya. “Saya orang susah. Saya bekerja di pasar raya. Usia anak saya 19. Anak bongsu,” katanya menangis tersedu-sedan.


Anaknya, Muhamad Junaidi Alias didakwa meragut beg tangan dan buku nota, dua pen serta RM10 tunai milik pekerja Hospital Kuala Lumpur, Norazura Asmuni, 21. Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.20 petang pada 13 Ogos lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.


Bagaimanapun, dia yang tidak bekerja tidak mengaku salah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohamed, menawarkan nilai ikat jamin RM7,000 memandangkan tertuduh ditangkap orang awam di tempat kejadian. Selain itu, katanya, mangsa juga cedera ringan.


Bagaimanapun, Latifah menetapkan jaminan RM2,000 selepas ibu tertuduh berjanji memastikan kehadiran anaknya apabila kes dibicarakan. Mahkamah juga menetapkan 23 September depan bagi sebutan semula kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdepanhakim/Article

Khalwat waktu puasa

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
2010/08/18

GEORGETOWN: Sepasang kekasih dicekup Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas disyaki berkhalwat di sebuah pangsapuri di Lintang Pantai Jerejak, Bukit Jambul, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu dibuat selepas menerima aduan awam. Ketika diserbu, lelaki yang berusia 39 tahun dan sudah berkahwin itu bersembunyi di satu ruang kecil yang terletak berhampiran tingkap di beranda pangsapuri berkenaan.


Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, seorang wanita berusia 33 tahun yang lengkap berpakaian membuka pintu selepas diberi amaran oleh pihaknya.


“Pada mulanya wanita itu mengaku tinggal seorang diri dan selepas pemeriksaan dilakukan, kami menemui seorang lelaki menyorok di beranda dengan ditutupi ampaian pakaian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Katanya, sekeping kondom yang sudah digunakan dan beberapa kondom yang belum digunakan turut ditemui dalam rumah itu walaupun pasangan terbabit mengaku tidak melakukan sebarang hubungan mahram.


Bagaimanapun, katanya, ketika soal siasat lelaki itu akhirnya mengaku berstatus suami orang dan rumah berkenaan adalah rumah sewa milik teman wanitanya bersama dua lagi rakan.


“Namun ketika pemeriksaan dilakukan, dua rakan serumah wanita berkenaan tiada di rumah ketika itu dan pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk dibuat laporan tangkapan.


“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Khalwatwaktupuasa/Article

Buang janin dalam tong

2010/08/18

MELAKA: Tindakan seorang wanita berusia 22 tahun dipercayai cuba menyembunyikan janin yang baru dilahirkannya di dalam sebuah tandas di Hospital Melaka, di sini, dengan membuangnya dalam tong sampah gagal apabila perbuatan kejamnya terbongkar, semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa sebelum itu dihantar ke wad untuk rawatan selepas mengadu sakit perut kepada keluarganya.


Menurutnya, keluarga gadis terbabit tidak mengesyaki apa-apa ketika menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan itu.


“Ketika dirawat, gadis terbabit yang belum berkahwin dikatakan masuk ke tandas sebelum melahirkan janin berkenaan lalu membungkusnya serta meletakkannya di dalam tong sampah.


“Gadis terbabit kemudian kembali semula ke katilnya kerana mengalami kesakitan dan doktor yang memeriksanya mengesyaki sesuatu berlaku selepas melihat kecederaan dialaminya.


“Doktor kemudian bertanya kepada gadis terbabit yang akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu (melahirkan janin dan membuangnya),” katanya.


Menurutnya, doktor terbabit kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu sebelum sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Seksual (D11) dan Forensik melakukan pemeriksaan di tempat pembuangan sampah bagi mengesan janin berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.


“Setakat ini, polis hanya menyoal siasat gadis terbabit dan tidak menahannya memandangkan dia masih dirawat di wad,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.


Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.


Tinjauan ke tempat kejadian mendapati beberapa kakitangan syarikat pembersihan sedang melakukan kerja mencari janin dalam longgokan sampah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buangjanindalamtong/Article

Bayi ekspres atas meja

Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my
2010/08/18

BUKIT MERTAJAM: Bagaikan bermusim. Kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi dengan kejadian terbaru membabitkan seorang bayi perempuan ditemui berbalut kain lampin atas meja di depan sebuah rumah dekat Bukit Minyak, di sini, Ahad lalu.

Bayi berkenaan ditemui seorang pekerja kilang berusia 30-an sebaik pulang dari masjid selepas menunaikan solat Tarawih kira-kira jam 11 malam.


Secara kebetulan lelaki terbabit tidak mempunyai anak selepas berkahwin sejak 10 tahun lalu dan mengambil keputusan menjaga bayi berkenaan untuk dijadikan anak angkat.


Bagaimanapun, rakannya menasihatkan agar dia menyerahkan bayi itu kepada polis untuk siasatan lanjut.


Berikutan itu, lelaki terbabit tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (IPDSPT), Bandar Perda di sini, untuk membuat laporan semalam. Ketua Polis SPT, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi perempuan berkenaan seberat 1.4 kilogram dengan ketinggian 43 sentimeter dan berkulit sawa matang.


Beliau berkata, bayi itu dalam keadaan sihat tetapi keturunannya belum dipastikan dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut.


“Bayi ini ditemui dua hari lalu dan pengadu berhasrat menjadikannya sebagai anak angkat. “Namun atas nasihat rakan, pengadu tampil ke IPD pagi tadi (semalam) untuk membuat laporan kerana perlu mengikut prosedur jika mahu mengambil anak angkat,” katanya.


Azman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek yang membuang bayi berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan ibu bapa atau individu yang membuang bayi boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPDSPT, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayiekspresatasmeja/Article

Cadang bawa masuk pemandu bas asing

2010/08/18

KUALA LUMPUR: Bagi menangani masalah kekurangan pemandu bas di negara ini, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) bercadang membawa masuk pekerja asing bekerja sebagai pemandu bas.

Presidennya, Datuk Ashfar Ali berkata, selain dapat menampung kekurangan 20 peratus jumlah pemandu bas, pekerja asing dilihat lebih komited berbanding pekerja tempatan yang menjadikan kerjaya sebagai pemandu bas itu sebagai ‘persinggahan’.


“Sebelum ini, kami pernah membawa perkara sama kepada Kementerian Sumber Manusia dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) namun ditolak.


“Kini, kami memberi cadangan sama kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (LTC) dalam masa terdekat,”
katanya di sini, semalam.


Menurutnya, pendekatan yang sama sebenarnya sudah digunakan negara jiran Singapura selain Arab Saudi dan Dubai yang menggunakan khidmat pekerja asing sebagai pemandu teksi dan bas di negara masing-masing.


“Dengan hasil pemerhatian yang dibuat, kesannya positif dan pekerja asing yang bekerja sebagai pemandu bas dilihat lebih bertanggungjawab dan serius untuk bekerja.


“Mereka lebih bersungguh-sungguh bekerja disebabkan khuatir kehilangan permit bekerja selain dibuang kerja,”
katanya.


Ashfar berkata, pihaknya percaya dengan membawa masuk pemandu bas asing ini, hal ini mencegah pemandu tempatan yang mempunyai rekod pemanduan yang buruk daripada melompat atau menukar dari satu syarikat bas ke syarikat bas lain selepas melakukan kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cadangbawamasukpemandubasasing/Article

Pijak isteri hamil

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/08/18

AMPANG: Puncanya hanya kerana menguatkan bunyi televisyen, namun habuan diterima begitu azab apabila seorang wanita yang sedang mengandung enam bulan dipijak suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di sini, Ahad lalu.

Berikutan itu, bayi dalam kandungan wanita terbabit masih belum diketahui tahap kesihatannya dan polis menunggu laporan perubatan akan dikeluarkan hospital dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika pasangan berkenaan baru setahun mendirikan rumah tangga berada di rumah sebelum berlaku pertengkaran.

“Ketika kejadian, suami mangsa memintanya memperlahankan suara televisyen dipasang dan mangsa mengikut arahan lelaki terbabit dengan memperlahankannya.

“Bagaimanapun, suaminya memberitahu dia mahu keluar bermain snuker bersama rakannya,”
katanya.

Menurutnya, baru saja beberapa langkah suaminya mahu keluar, mangsa kembali meninggikan suara televisyen membuatkan lelaki berkenaan naik angin dan berpatah balik.

“Suami mangsa menghampiri dan dengan nada marah mendakwa mangsa cuba bersikap kurang ajar dan sengaja mencabarnya.

“Bagaimanapun, mangsa memberitahu tidak berniat mahu menyakitkan hati suaminya dan meninggikan suara televisyen kerana menyangkakan suaminya keluar,”
katanya.

Sumber terbabit berkata, suaminya yang tidak puas hati jawapan diberikan terus meluru sebelum memukul tangan mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan kecederaan.

“Tidak cukup dengan itu, suami mangsa yang panas baran naik angin dan memijak perut mangsa yang mengandung enam bulan.

“Mangsa hanya mampu meraung dan menjerit meminta suaminya berhenti dari memijak perutnya sebelum lelaki berkenaan menghentikan tindakan itu dan meninggalkan mangsa menahan kesakitan,”
katanya.

Menurutnya, isteri malang terbabit yang tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu membuat laporan kepada pihak berkuasa dan susulan itu, polis menahan suami mangsa yang berusia 20-an untuk membantu siasatan.

“Lelaki berkenaan ditahan di rumahnya kelmarin bagi membantu siasatan kes terbabit dan setakat ini polis menunggu laporan pemeriksaan hospital untuk menentukan keadaan bayi dalam kandungan wanita itu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan bernasib baik kerana tidak keguguran dan mangsa mendakwa kandungannya sudah ada pergerakan dan mungkin dalam keadaan stabil,”
katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Roslin mohon cerai selepas sebulan nikah



2010/08/18

KUALA LUMPUR: Selepas sebulan mendirikan rumah tangga, jaguh badminton negara, Roslin Hashim, 35, akan memfailkan perceraian dengan isterinya, Norhayati Othman, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, hari ini.

Pasangan itu berkenalan pada awal Februari ini sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu.

Harian Metro difahamkan, permohonan berkenaan dibuat selepas berlaku masalah dalam rumah tangga dibina Roslin dengan Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Sebelum ini, Roslin pernah menggemparkan negara apabila perkahwinan pertama bersama Faizah Mohamad,32, hanya bertahan selama 12 hari selepas bernikah pada 30 Januari 2009.

Pasangan itu bercerai pada 11 Februari tahun lalu selepas Roslin melafazkan cerai pada isterinya atas kerelaan sendiri di rumah ibu bapa mentuanya di Puchong, Selangor, jam 10.50 malam di hadapan mereka.

Sementara itu, produser Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...