zura@hmetro.com.my
2010/05/12
PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan kes fasakh difailkan dramatis Aida Radzwil terhadap suaminya, Joe Radzwil selepas penyanyi itu gagal hadir ke mahkamah seperti ditetapkan.
Hakim Syarie Ghazali Ahmad menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Nahar Alias yang mewakili Aida memaklumkan kepada mahkamah saman sudah diserahkan kepada Joe selaku defendan supaya hadir ke mahkamah, namun defendan gagal berbuat demikian. “Saman sudah dihantar kepada defendan semalam (kelmarin). Dia berjanji untuk hadir ke mahkamah,” kata Nahar.
Aida yang hadir memakai jubah dan berselendang hitam kelihatan tenang dalam mahkamah. Turut menemaninya seorang rakan wanita. Ketika ditemui di luar mahkamah, Aida memberitahu dia memfailkan permohonan fasakh itu pada 27 April 2010 selepas lapan tahun berkahwin dengan penyanyi itu. Menurut Aida, seboleh-bolehnya mereka hendak menyelesaikan kes itu secara baik, namun suaminya tidak mahu membabitkan mahkamah dan peguam.
Bagaimanapun pelakon itu tidak bersetuju cadangan suami kerana merasakan mereka perlu melalui prosedur mahkamah yang betul. “Saya rasa permintaan itu tidak mengikut prosedur. Saya banyak beralah,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia bersedia mengeluarkan kenyataan menunjukkan kelemahan apabila kes itu dibicarakan di mahkamah kelak, Aida berkata, dia tahu akibat itu dan reda. “Saya tahu apabila kes ini dibawa ke mahkamah banyak kelemahan akan keluar, tapi saya reda,” katanya. Dalam permohonannya, Aida menyatakan beberapa alasan iaitu mendakwa suaminya gagal memberi nafkah lebih dari tiga bulan dan defendan lazim menyakiti dan menjadikan hidup plaintif menderita.
Selain itu, defendan didakwa berperangai keji kerana tidak mengikut hukum syarak serta wujud perbalahan berpanjangan antara mereka berdua. Pada 3 September 2009 pasangan itu mengesahkan pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 52 dan Joe atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill, 39, bernikah di Yala, selatan Thailand pada 6 November 2002.
Pasangan itu tidak dikurniakan anak sepanjang perkahwinan mereka bagaimanapun masing-masing mempunyai cahaya mata bersama bekas pasangan terdulu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidamohonfasakh/Article