Friday, June 5, 2009

‘Datuk setan’ perkosa cucu

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my


TELUK INTAN: ‘Datuk segala setan’ gelaran paling tepat diberikan kepada seorang lelaki yang tergamak menjadikan cucu perempuannya berusia lima tahun sebagai tempat memuaskan nafsu buasnya selama hampir tiga minggu sejak awal bulan lalu.

Lebih memalukan, warga emas berusia 66 tahun berhati binatang itu juga sanggup mempelawa tiga rakan, termasuk seorang anak angkat yang tinggal bersamanya untuk ‘meratah’ tubuh kanak-kanak itu di rumahnya di Langkap, dekat sini.

Perbuatan kejam keempat-empat suspek selama hampir tiga minggu hanya berakhir apabila disedari seorang jiran yang menyedari perubahan fizikal dan mental mangsa.

Mulanya kanak-kanak itu enggan bercerita, tetapi selepas dipujuk jiran berkenaan, akhirnya mengadu mengalami kesakitan melampau di kemaluannya.

Terkejut dengan pengakuan itu, jiran terbabit memujuknya membenarkan dia melihat kemaluan mangsa untuk dirawat.

Selepas diperiksa, jiran berkenaan sekali lagi terkejut apabila melihat ada kesan luka teruk di kemaluan mangsa.

Mengesyaki ia disebabkan perbuatan terkutuk datuk mangsa, jiran berkenaan memaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Selepas berbincang, JKKK membuat laporan di Balai Polis Langkap pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata bertindak atas laporan itu, seorang warga emas berusia 66 tahun yang juga datuk mangsa ditahan untuk siasatan, diikuti penahanan dua lagi lelaki masing-masing berusia 42 dan 29 tahun.

“Seorang lagi suspek berusia 40-an masih diburu polis selepas dipercayai menghilangkan diri apabila mengetahui penahanan tiga suspek terbabit.

“Siasatan juga mendapati suspek berusia 29 tahun itu anak angkat kepada datuk mangsa. Mangsa menjadi habuan keempat-empat suspek selama tiga minggu sebelum terbongkar 28 Mei lalu.

“Ketiga-tiga suspek kini direman untuk membantu siasatan. Dua daripada suspek yang ditahan juga dipercayai penagih dadah,” katanya.

Menurut Goh, mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan dan laporan hospital menunjukkan terdapat kesan koyak di kemaluan mangsa dipercayai akibat dirogol.

Katanya, polis juga akan mendapatkan bantuan khas iaitu daripada Unit Perlindungan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai kepakaran dalam mengumpul keterangan daripada mangsa bawah umur.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090605033513/Article/index_html

Tiga disah positif

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan tiga kes terbaru virus Influenza A (H1N1) dengan seorang pelajar lelaki warga tempatan dan dua pelancong Jerman disahkan positif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pelajar lelaki berusia 23 tahun itu pulang bercuti ke negara ini dari Amerika Syarikat dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 7.15 pagi, Isnin lalu.

“Pelajar itu tidak mengalami demam ketika tiba di KLIA, tetapi mula demam dan batuk, kelmarin dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan.

“Dia disahkan menghidapi jangkitan H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi semalam dan ketika ini keadaan stabil serta diberi rawatan antiviral,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Liow berkata, dua kes lagi membabitkan dua pelancong Jerman berusia 30 dan 32 tahun itu tiba di Terminal Lapangan Terbang tambang murah (LCCT), Sepang dengan menaiki penerbangan AirAsia AK702 dari Singapura, pada jam 1.55 tengah hari, semalam.

“Kedua-dua mereka mula mengalami demam ketika berada di Kuala Lumpur dan pergi ke Hospital Gleneagles untuk mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur jam 1.40 awal pagi semalam.

“Kedua-duanya disahkan menghidap jangkitan H1N1 jam 3 petang tadi (semalam) melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Perubatan Malaysia dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Mereka sebelum itu menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ45 dari Jerman dan tiba di Singapura pada Isnin lalu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu mengesan kontak kes berkenaan termasuk kakitangan pesawat dan penumpang AK702 bagi mendapatkan maklumat mereka bagi tujuan pemantauan.

“Kami memohon kerjasama mereka untuk menghubungi kementerian ini melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Mutakhir/20090605025050/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...