Saturday, January 22, 2011

Polemik Interlok: Wakil MIC Nafi Setuju Dengan Kementerian Pelajaran

Published: Sabtu Januari 22, 2011 MYT 5:20:00 PM

KUALA LUMPUR: Wakil MIC menafikan bahawa persetujuan secara konsensus dicapai dalam perbincangan dengan Kemneterian Pelajaran Selasa lepas bahawa novel Interlok tidak menghina kaum India.

Sebaliknya, bekas Presiden Hindu Sangam Malaysia, Dr A. Nagappan mendakwa, apa yang diputuskan dalam mesyuarat itu ialah ia perlu digugurkan dari silibus mata pelajaran Tingkatan Lima.

Beliau menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mereka sepakat mendapati bahawa novel kontroversi tidak berniat untuk menghina komuniti India di negara ini.

Sebaliknya, Nagappan yang merupakan salah seorang daripada enam wakil MIC pada pertemuan itu mendakwa bahawa keenam-enam wakil parti itu bersetuju bahawa novel berkenaan tidak digunakan sebagai teks Sastera Tingkatan Lima kerana ia tidak menyumbang kepada semangat 1Malaysia.

“Kita bersetuju bahawa novel itu patut digugurkan. Tiada cadangan lain selain supaya novel itu tidak digunakan di sekolah

"Jadi kenyataan Tan Sri Muhyiddin itu adalah tidak benar," katanya di sini, Sabtu, lapor The Malaysian Insider.

Nagappan mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang mencadangkan beberapa penyelesaian berikatan polemik itu seperti penyediaan nota kaki, glosari selain kaedah pembelajaran.

Kata beliau, Kabinet telah dimaklumkan mengenai keputusan perbincangan berkenaan yang telah diadakan dengan baik baik dan secara profesional.

Beliau berkata, Interlok menggalakkan penyatuan kaum dan tidak lari dari konsep 1Malaysia.

Katanya lagi, lebih banyak perbincangan akan diadakan dengan pemimpin MIC sebelum novel itu digugurkan dari silibus.

Selain Nagappan, pertemuan itu melibatkan lima wakil MIC lain iaitu Presiden Hindu Sangam Malaysia, R. S. Mohan Shah, Ketua Pengajian India Universiti Malaya, Professor Madya Dr S. Kumaran, Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Tan Sri Dr T. Marimuthu, bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G. Krishnabagwan dan Presiden Kelab Tamil Bell, S. V. Lingam.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dengan dihadiri seramai 22 wakil termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik di kementerian terbabit.

Dalam pada itu, Nagappan berkata, wakil MIC telah bertemu dengan beberapa NGO dan bersetuju mendesak Jawatankuasa Kerja Pusat MIC supaya menyatakan pendirian dalam isu tersebut.

“Sekiranya tidak, kami tidak akan hadir lagi pada mesyuarat seterusnya dengan kementerian.

“Tiada guna jika kita terus berbincang dengan Kementerian Pelajaran jika MIC sendiri menolak pendirian kita," tambahnya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/22/mstar_berita/20110122171843&sec=mstar_berita

Hayun kuali hentak kepala suami

Hayun kuali hentak kepala suami

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG: Gelaran isteri derhaka layak buat seorang wanita apabila tergamak menghentak kepala suaminya dengan kuali sehingga lelaki berkenaan yang sedang menderita akibat penyakit kencing manis pengsan seketika sewaktu berada di rumah mereka di Pandan Perdana, di sini.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dibuat selepas wanita terbabit terdesak kerana pada masa sama seorang lelaki lain yang dipercayai teman lelakinya turut berada di dalam rumah dan tidak menyangka suaminya datang ke kediaman itu.


Ini kerana pasangan berkenaan dalam proses bercerai selepas tinggal berasingan sejak dua tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu, mangsa yang berusia 45 tahun dan bekerja sebagai pemandu van pulang ke rumah untuk menjenguk anak dan memberi wang belanja kepada mereka.


Namun, sebaik menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah, isterinya terus menghentak kuali ke kepalanya sebelum mangsa yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi pengsan.


Menurut sumber polis, mangsa bernasib baik kerana anak perempuannya yang berusia 16 tahun terus menghubungi ambulans untuk meminta bantuan selepas melihat bapanya tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital berhampiran dan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan. Dia juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


“Susulan laporan itu, polis menahan seorang wanita yang juga isteri mangsa berusia 38 tahun sehari selepas kejadian sebelum dibebaskan dengan dijamin ahli keluarganya,” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


Difahamkan, pasangan terbabit sudah 17 tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga anak berusia belasan tahun, namun mempunyai masalah rumah tangga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Malah, suaminya sudah dua tahun tinggal berasingan dan menumpang di rumah ibu saudaranya di sebuah flat di Kuala Lumpur, namun dia sesekali pulang ke rumah untuk menjenguk anaknya.


Bagaimanapun, perbuatannya itu tidak disukai isterinya yang dikatakan sudah mempunyai kekasih lain dan sebelum ini juga pernah memarahi suaminya yang melawat anak-anak mereka.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa.

http://www.hmetro.com.my/articles/Hayunkualihentakkepalasuami/Article

Petanda rindu ibu

Petanda rindu ibu

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut  akibat tersedak bubur nasi.
KENANGAN...Nor Jam’atul dan suami, Mazlan Razali, 36, serta anak kedua mereka bersama gambar Nur Shazwani yang maut akibat tersedak bubur nasi.

PUCHONG: Rasa rindu seorang ibu untuk melihat bayi perempuannya yang ditinggalkan bersama pengasuh berhampiran rumahnya di Taman Putra Perdana di sini, bertukar pilu, apabila dimaklumkan bayinya itu meninggal dunia akibat tercekik bubur nasi.

Ketika menerima berita kejadian menyayat hati itu, dia masih dalam perjalanan pulang untuk mengambil anak bongsunya itu.


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Selasa lalu, ibu berkenaan, Nor Jam’atul Mohd Nordin, 31, pulang awal ke rumah untuk mengambil anak bongsunya, Nur Shazwani Izni Mazlan berusia lima bulan kerana berasa terlalu rindu untuk memeluk dan menciumnya.

Menurutnya, pada kebiasaannya, dia pulang kira-kira jam 7.40 malam, namun pada hari kematian anaknya, dia mengambil keputusan untuk pulang awal kerana perasaan rindu terhadap anaknya itu terlalu kuat.


“Saya tidak menyangka perasaan rindu kepada anak bongsu pada hari kejadian terpaksa saya tanggung buat selama-lamanya apabila dia kini sudah tiada.


“Lebih menyedihkan saya tidak dapat bersama ketika saat akhirnya, malah tidak menyangka anak saya maut akibat makanan yang diberikan,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia selepas pengasuhnya menyuapkan bubur nasi menggunakan botol susu sebelum meninggalkan mangsa bersama dua bayi lain yang turut dijaganya.


Mangsa dipercayai tercekik bubur berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, ibu malang terbabit berkata, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Shah Alam, tiba-tiba pengasuh anaknya menelefon memaklumkan anak bongsunya itu mengalami kesukaran bernafas akibat tercekik selepas disuapkan bubur nasi menggunakan botol susu.


“Saya mengarahkan agar membawanya ke hospital.


“Bagaimanapun, pengasuh berkenaan menghantar anak saya ke klinik berdekatan dan doktor yang merawatnya mengesahkan anak sudah meninggal dunia,” katanya.


Katanya, selepas disahkan meninggal dunia, dia menghantar jenazah anaknya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Meranti, di sini.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

http://www.hmetro.com.my/articles/Petandarinduibu/Article

Kuan Yew mahu rumahnya dirobohkan selepas mati


LEE KUAN YEW (kiri) mendedahkan gambar beliau dan isterinya, mendiang Kwa Geok Choo dalam pelancaran buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Goingdi Singapura semalam.


SINGAPURA - Bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew mahu rumah keluarganya dirobohkan bagi tujuan pembangunan semula selepas beliau meninggal dunia.

Kuan Yew yang kini memegang jawatan menteri mentor berkata, beliau tidak mahu rumahnya dijadikan sebuah bangunan bersejarah.

Dipetik daripada sebuah buku yang dilancarkan semalam, beliau telah mengarahkan pemerintah merobohkan rumahnya itu yang merupakan banglo era kolonial British yang terletak di lokasi beli-belah utama, Orchard Road.

"Saya sudah memberitahu Kabinet, apabila saya meninggal dunia, runtuhkannya. Saya melihat rumah-rumah lain seperti rumah Jawaharlal Nehru (hero kemerdekaan India) dan Shakespeare akhirnya tidak teratur," kata Kuan Yew yang berusia 87 tahun.

Syarikat Singapore Press Holdings menerbitkan buku bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang berdasarkan kepada temu ramah eksklusif bersama wartawan-wartawan akhbar Straits Times.

Kuan Yew yang terkenal dengan sikap jujur dan tidak sentimental itu menjelaskan rumahnya yang dibina sejak lebih seabad lalu oleh seorang ahli perniagaan Yahudi itu merupakan sebuah rumah besar yang uzur.

Ia mempunyai lima bilik tidur dan tiga lagi bilik pada ruang belakangnya selain retakan-retakan pada dinding.

Kuan Yew yang ditemu ramah sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo pada Oktober tahun lalu menyatakan ahli keluarganya tidak akan merindui rumah tersebut yang dimilikinya sejak tahun 1940-an.

"Saya tidak fikir anak perempuan saya atau isteri saya atau saya yang tinggal di dalamnya atau anak-anak lelaki saya yang membesar di dalamnya (rumah itu) akan meratapi kehilangannya. Mereka mempunyai gambar-gambar lama untuk mengingati mereka pada masa lampau," katanya.

Mesyuarat-mesyuarat penting yang akhirnya membentuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dianggotai Kuan Yew diadakan di bahagian bawah rumah tersebut.

Menyuarat itu bertujuan membentuk strategi sewaktu tahun-tahun awal pembentukan Singapura. Parti PAP memerintah Singapura sejak tahun 1959.

Kuan Yew yang menjadi perdana menteri dari tahun 1959 hingga 1990 sangat pragmatik terhadap nilai ekonomi Singapura.

"Disebabkan rumah saya, jiran-jiran saya tidak boleh membina rumah yang tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan tukar peraturan perancangan pembinaan. Bina bangunan tinggi dan nilai tanah akan meningkat," kata Kuan Yew.

Sementara itu, dalam majlis pelancaran bukunya, Kuan Yew turut menggesa rakyat Singpura supaya memelihara keharmonian agama dan antara kaum.

"Saya tidak menipu diri saya walaupun satu detik bahawa perbezaan kaum, budaya, bahasa, agama telah hilang.

"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mudah. Kita merupakan sebuah negara dalam pembinaan. Adakah kita akan berjaya melakukannya? Adakah saya yakin kita akan dapat mencapainya. Tidak, kita tidak boleh berkata begitu. Mungkin akan berlaku kesilapan dan kita akan berpecah.

"Ini adalah urusan generasi anda dan generasi yang membuatkan anda berjaya untuk memahami betapa rapuhnya masyarakat ini dan pastikan masyarakat dalam kepaduan, teruskan bersatu dan kekalkan seperti yang ada pada hari ini, bertoleransi dan bersikap tolak ansur antara satu sama lain.

"Anda mempunyai sebuah negara seperti China atau Jepun. China boleh musnah, dirobohkan tetapi rakyatnya kembali bersatu untuk membina semula negara. Saya tidak pasti jika Singapura rosak, musnah atau dirobohkan, rakyatnya akan mampu untuk datang bersatu bersatu semula. Menurutnya, negara yang telah dibina itu mesti diperkukuhkan dan dibina secara berhati-hati. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Konstabel didakwa bakar kekasih


Nur Rashidah menunjukkan tangan kiri dan mukanya yang melecur dibakar teman lelakinya di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis. Gambar kiri Nur Rashidah ketika sihat.


KANGAR – Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar semalam atas tuduhan membakar teman wanitanya kerana berselisih faham di Kuala Perlis minggu lalu.

Konstabel Ahmad Faiz Ramli, 24, didakwa membakar teman wanitanya, Nur Rashidah Rashid, 18, dengan pemetik api setelah menyimbah gadis terbabit dengan petrol di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada pukul 9 malam 12 Januari lalu.

Ahmad Faiz bertindak demikian selepas gagal mengawal emosinya ketika berlaku perselisihan faham dan pergelutan dengan Nur Rashidah ketika mereka menghabiskan masa di kawasan terbabit.

Ekoran perbuatan tertuduh itu, gadis tersebut mengalami cedera parah apabila melecur di muka, leher dan juga lengan kiri.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.

Ahmad Faiz dituduh melakukan kesalahan dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius dan boleh dihukum sehingga 20

tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Didakwa dera anak sampai mati

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Macam mana entah aku kena sedangkan aku selalu bekerja di luar,” kata Norafizan Ludin, 29, ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, pagi semalam selepas dia dan isteri keduanya dituduh membunuh darah dagingnya sendiri, selain mendera dua lagi anak hasil perkahwinan pertama.

Norafizan dan Dewi Nadia Alias, 24, didakwa membunuh Nur Dania Qistina, berusia tiga tahun di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.


Bagi pertuduhan pertama, operator pengeluaran di kilang bersama isterinya itu didakwa melakukan perbuatan terbabit antara 8 Januari 2011, kira-kira jam 9 pagi hingga 9 Januari 2011, sehingga mengakibatkan kematian Nur Dania Qistina.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor.


Majistret turut tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari ini bagi membolehkan kedua-dua tertuduh melantik peguam bela.


Sementara itu, bagi pertuduhan kedua yang dilakukan di mahkamah sama, pasangan terbabit mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak berketurunan Melayu, Nor Dania Batrisha Norafizan, empat tahun dan seorang kanak-kanak lelaki Melayu, Danish Irsyad Norafizan, berusia setahun.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan yang berpakaian sedondon berwarna putih, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama bermula pada Oktober 2010 hingga Januari 2011.


Bagi kesalahan itu, tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Majistret menetapkan perbicaraan kes pada 16 Ogos 2011. Nur Dania Qistina meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 9 Januari lalu selepas dipercayai didera ahli keluarga hingga mengalami pendarahan dalam paru-paru selain mempunyai 73 kesan penderaan fizikal pada seluruh badan.


Mangsa, Nur Dania Qistina Nurafizan difahamkan dibawa ke HSI oleh bapanya selepas dia dikatakan ditemui dalam keadaan lemas di dalam baldi.


Bagaimanapun, bedah siasat dijalankan pihak hospital membongkar punca sebenar kematian kanak-kanak itu apabila dia disyaki didera.

http://www.hmetro.com.my/articles/Didakwaderaanaksampaimati/Article

Bayi ditemui dalam beg

Oleh Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

TANJUNG MALIM: “Saya tidak dapat bayangkan nasib bayi lelaki ini jika dia lewat ditemui kerana banyak anjing liar berkeliaran di sini,” kata R Retinadevi, 25, yang menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan di hadapan sebuah klinik swasta di Nombor 11, Jalan Chong Ah Peng, malam kelmarin.

Retinadevi yang juga pekerja klinik itu berkata, dia bersama seorang rakan sekerjanya menemui bayi itu dalam sebuah beg pakaian bayi kira-kira jam 9 malam.


“Saya sedang mengemas kini data pesakit apabila dimaklumkan anak pesakit, dia mengesyaki ada bayi ditinggalkan dalam beg di kaki lima depan klinik.

“Saya bersama rakan kemudian keluar dan melihat beg itu. Sebaik membuka beg itu, saya dan rakan sebak melihat seorang bayi lelaki dibungkus sehelai kain sedang nyenyak tidur.


“Saya percaya ia baru dilahirkan beberapa jam sebelum itu kerana tali pusatnya masih ada di perutnya. Saya gembira kerana bayi itu ditemui selamat kerana banyak anjing liar berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.


“Saya bersetuju dengan iklan ditayangkan di sebuah stesen tempatan mengenai kes pembuangan bayi yang mengatakan dalam dunia haiwan tiada manusia tapi dalam dunia manusia terdapat haiwan.

“Kejadian malam tadi (kelmarin) membuktikannya, malah saya menangis ketika mendukung bayi itu kerana ia begitu comel dan langsung tidak berdosa. “Dia tidur dengan nyenyak dan hanya menangis setengah jam kemudian kerana lapar,” katanya sambil menambah, selepas doktor di klinik melakukan pemeriksaan, bayi itu kemudian dihantar ke Balai Polis Tanjung Malim.


Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bayi lelaki terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayiditemuidalambeg/Article/index_html

Wanita dagang 7 pelajar di Facebook

JAKARTA: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki menjadi ibu ayam kepada tujuh pelajar sekolah melalui Facebook, kata polis, semalam.

Pegawai polis Jakarta Selatan, Yoyon Toni Saputra, berkata wanita itu dikenali sebagai Dede, 28, diberkas pada Isnin lalu.


“Dia dipercayai bergiat dalam bisnes pelacuran selama dua tahun,” katanya.

Menetap di Manggarai, Jakarta Selatan, Dede didakwa melatih ramai anak jirannya menjadi pelacur dan menggunakan Facebook untuk mencari pelanggan.


Kata Yoyon, semua pelacur itu berusia di antara 13 dan 16 tahun dan dilanggan pada harga RM680 seorang.


Katanya, Dede menghantar pelajar terbabit ke mana saja diminta pelanggan sebaik saja persetujuan dicapai.

Kegiatan Dede terbongkar selepas seorang guru memeriksa akaun Facebook seorang pelajarnya. Dia kemudian memaklumkan penemuan itu kepada bapa pelajar terbabit sebelum polis dihubungi untuk membolehkan tindakan selanjutnya diambil. - JP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitadagang7pelajardiFacebook/Article/index_html

Peserta Big Brother maut operasi besarkan buah dada

BERLIN: Seorang daripada peserta program televisyen realiti Big Brother mati akibat kegagalan pembedahan membesarkan buah dada, lapor media semalam.

Aktres filem lucah, Sexy Cora, disahkan mati akibat kegagalan otak dan berada dalam koma selama sembilan hari di sebuah klinik di Hamburg, Jerman.


Keluarga Sexy - atau nama sebenarnya, Carolin Berger - dihubungi pihak hospital pada minggu lalu.

Sumber berkata, otak wanita itu tidak mendapat bekalan oksigen selama 15 minit sebelum keadaannya menjadi kritikal.


Dia mencipta nama dalam program berkenaan apabila mandi berbogel di depan kamera. - TS

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PesertaBigBrothermautoperasibesarkanbuahdada/Article/index_html

Kuan Yew arah roboh rumah

SINGAPURA: Ahli politik veteran Singapura, Lee Kuan Yew, mahu rumahnya dimusnahkan bagi membolehkan tapak itu dibangunkan selepas dia mati dan tidak dijadikan makam bersejarah.

Dalam petikan buku terbaru Kuan Yew yang dilancarkan semalam, bekas Perdana Menteri Singapura itu berkata, arahan diberi kepada kerajaan untuk merobohkan banglo dibina pada 1869 di Jalan Orchard itu apabila dia tiada nanti.


“Saya memberitahu Kabinet, apabila saya mati nanti, robohkan rumah itu,” katanya dalam buku itu dan disiarkan akhbar Straits Times, semalam.

Buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going itu diterbitkan syarikat Singapore Press Holdings berdasarkan temubual eksklusif dengan tokoh berkenaan.


Temu bual itu diadakan sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo, Oktober tahun lalu.


Kini menjadi penasihat kepada anaknya yang menjadi perdana menteri, Kuan Yew, 87, berkata dia pernah melihat rumah warisan pemimpin terkemuka dunia, termasuk Jawaharlal Nehru dan William Shakespeare, yang terabai selepas tempoh waktu tertentu.

Terkenal sebagai negarawan yang berterus-terang dan tidak sentimental, Kuan Yew menganggap rumah dibina lebih seabad lalu oleh saudagar Yahudi itu sebagai kediaman ‘lima bilik tidur dan tiga lagi di belakang’ yang retak di sana-sini.


Kata Kuan Yew, keluarganya pasti tidak akan merindui rumah itu yang dimiliki sejak 1940-an lagi.

“Saya tak fikir anak perempuan atau isteri saya, malah saya yang pernah tinggal di dalamnya, atau anak lelaki saya yang membesar di situ, akan meratapi kehilangannya.


“Mereka ada gambar lama jika mahu mengingatinya,” katanya.


Menurut Straits Times, tingkat bawah rumah Kuan Yew itu pernah menjadi tempat mesyuarat pemimpin utama Parti Tindakan Rakyat merangka strategi pada era awal penubuhannya.


Kata Kuan Yew, tapak rumah itu mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.


“Disebabkan rumah saya, jiran sekeliling tidak boleh membina bangunan tinggi.


“Jika rumah saya nanti dirobohkan, nilainya pasti meningkat lebih tinggi,” katanya.
- AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KuanYewarahrobohrumah/Article/index_html

The World ‘ditelan laut’

PROJEK BERMASALAH ...kedudukan The World dilihat dari udara.
PROJEK BERMASALAH ...kedudukan The World dilihat dari udara.

DUBAI: Deretan pulau buatan manusia yang membentuk corak seperti peta dunia - dikenali sebagai projek mewah The World - kini dilaporkan berdepan dengan ancaman kemusnahan.

Berdasarkan keterangan saksi di sebuah tribunal hartanah, pulau buatan manusia terletak empat kilometer di luar pantai Dubai itu dikatakan mula tenggelam ke dalam laut.


Pulau itu dibangunkan untuk menempatkan villa mewah dan kompleks hotel khusus untuk golongan jutawan.

Ia hanya boleh dimasuki menggunakan perahu layar atau bot.


Peguam Britain yang mewakili syarikat Penguin Marine, Richard Wilmot-Smith, berkata pasir yang dijadikan pulau itu semakin terhakis, manakala terusan di antaranya semakin berkeladak.


“Pulau itu mendap perlahan-lahan akibat hakisan,” katanya di depan hakim.

Penguin Marine mengemukakan saman ke atas konglomerat milik kerajaan Dubai, Nakheel, terpaksa diselamatkan akibat bebanan hutang melampau - dianggarkan bernilai RM76.5 bilion pada akhir 2009.


Ekoran penstrukturan semula syarikat itu, sebuah tribunal ditubuhkan bagi mengendalikan sebarang kes berkaitan dengannya.

Sebelum masalah kewangan muncul, hanya satu daripada pulau buatan manusia itu belum lagi dibangunkan dengan sebarang projek.


Bagaimanapun, ketika ini kebanyakan projek pembangunan terbengkalai akibat krisis kewangan.


Kebanyakan pelabur yang membeli pulau itu akhirnya enggan atau tidak mampu meneruskan pembangunan apabila harga hartanah Dubai menjunam ekoran masalah berkenaan.


Seorang daripada pemiliknya, John O’Dolan, membunuh diri kerana kerugian, manakala seorang lagi dipenjara tujuh tahun kerana mengeluarkan cek tendang. -

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TheWorld__8216_ditelanlaut__8217_/Article/index_html

Debaran berakhir

Debaran  berakhir

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

SEMOGA BAHAGIA...Zaquan mengaminkan doa selepas majlis akad nikah.
SEMOGA BAHAGIA...Zaquan mengaminkan doa selepas majlis akad nikah.
SERASI...Zaquan dan Ayu Raudhah sah menjadi suami isteri selepas bertunang pada 17 Oktober lalu.
SERASI...Zaquan dan Ayu Raudhah sah menjadi suami isteri selepas bertunang pada 17 Oktober lalu.

ALOR SETAR: “Saya rasa debaran ini tak sehebat apabila menjaringkan gol kerana ia satu kepuasan, tetapi hari ini (pernikahan ini) membuatkan saya sungguh berdebar-debar.

“Hari ini (semalam) saya rasa sangat berdebar kerana hari yang saya tunggu-tunggu sudah tiba dan kini saya sah menjadi suami.


“Ia satu tanggungjawab yang berat terpaksa saya pikul. Insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan baik. Alhamdulillah semuanya sudah selamat,” kata pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 24, selepas sah menjadi suami kepada pelakon popular Raudhah Che Wan atau Ayu Raudhah, 27, dalam majlis pernikahan di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, semalam.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikahkan imam masjid berkenaan, Mustafa Kamil Abdul Jamil, dengan mas kahwin RM1,888 pada jam 3.45 petang. Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana berwarna krim rekaan Man Kajang pada majlis akad nikah yang dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan.


Abang Ayu Raudhah, Roshidi Che Wan menjadi wali dengan mewakilkan imam masjid itu. Pasangan itu turut merahsiakan wang hantaran dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk.


Mohd Zaquan Adha yang dilihat menitiskan air mata selepas majlis pernikahan itu berkata, dia bersyukur kerana majlis pernikahan bersama Ayu Raudhah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, dia sungguh terharu dan gembira kerana semua adik beradiknya termasuk ibu bapa hadir menyaksikan hari bersejarah itu, malah abang kembarnya, Mohd Aidil Zafuan turut serta dalam rombongan pengantin ke negeri ini.


Ayu Raudah yang kelihatan berseri-seri tersipu malu apabila ditanya bila akan menimang cahaya mata, beliau berkata, ia terpulang kepada rezeki dan tidak merancang bahkan sedia mendapat zuriat dalam tempoh terdekat ini.

“Kalau ada rezeki kami terima...kalau cepat pun tak apa. Kami juga belum merancang untuk berbulan madu kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya,” katanya.


“Insya-Allah kalau dua-dua dapat cuti panjang baru kami terfikir nak pergi berbulan madu di destinasi mana,” katanya.


Pasangan popular itu menjalinkan hubungan cinta lebih setahun sebelum mengambil keputusan untuk bertunang pada 17 Oktober tahun lalu.


Sementara itu, Mohd Aidil Zafuan yang ditemui berkata, dia berharap adik kembarnya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami yang baik.


“Dia kena ingat dia bukannya bujang lagi dan perlu bertanggungjawab. Saya mendoakan pasangan ini bahagia dan kekal ke akhir hayat,” katanya.


Turut kelihatan pada majlis itu kakak Ayu Raudhah yang juga pelakon cantik Rozita Che Wan dan abang iparnya, Mazlan Pet Pet. Majlis bersanding pihak lelaki akan diadakan di Pusat Dakwah Paroi, Seremban pada 30 Januari ini.

Misbun cetus tanda tanya

Oleh Hussain Said dan Jumiati Rosly
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/21

MISBUN memeluk Chong Wei sebaik pemain negara itu mengatasi Hun Yun dan terus meninggalkan Stadium Putra, malam tadi.
MISBUN memeluk Chong Wei sebaik pemain negara itu mengatasi Hun Yun dan terus meninggalkan Stadium Putra, malam tadi.
Chong Wei pamer semangat luar biasa

ADAKAH kemelut peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek yang genap tiga minggu hari ini, menemui titik penyelesaian?

Itu persoalan yang berlegar sebaik jurulatih perseorangan itu duduk di bangku jurulatih dan mengiringi langkah anak emasnya, Lee Chong Wei dalam kemenangan pusingan kedua saingan Terbuka Malaysia, malam tadi.

Malah, kehadiran ikon itu kembali berada di sisi pemain nombor satu dunia itu jelas mendapat tepukan gemuruh penonton dan menyuntik semangat Chong Wei yang hanya memerlukan 23 minit untuk membenam pemain Hong Kong, Hun Yun, 21-6, 21-9.

Namun, sebaik berakhir perlawanan dan selepas memeluk Chong Wei, Misbun terus menuju ke pintu belakang dan menghilangkan diri, sekali gus mencetuskan tanda tanya sejauh mana kemelut peletakan jawatannya itu benar-benar sudah selesai?

“Saya datang untuk negara,” kata Misbun yang kemudian menaiki keretanya.

Chong Wei dalam sidang media selepas perlawanan mengakui, kehadiran jurulatihnya itu merangsang semangatnya dan berharap kemelut peletakan jawatan itu dapat diselesaikan segera.

“Saya tidak tahu dia datang dan hanya menyedari kehadirannya apabila dia (Misbun) tiba-tiba muncul ketika saya memanaskan badan. Walaupun terkejut, saya gembira kerana dia hadir dan merangsang saya mempamerkan permainan terbaik tadi (malam tadi).

“Begitupun, dia tidak memberitahu sama ada akan terus datang atau tidak lagi esok (hari ini). Namun, saya harap dia dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dapat menyelesaikan kemelut peletakan jawatannya segera,” kata Chong Wei.

Chong Wei yang juga pilihan pertama kejohanan mara ke suku akhir dan dijadualkan bertemu pilihan kelapan, Nguyen Tienh Minh dari Vietnam yang menundukkan pemain Jepun 21-18, 21-18, hari ini.

Berdasarkan rekod, Chong Wei sudah memenangi enam daripada tujuh pertemuan dengan pemain itu dan kali terakhir menang ketika saingan peringkat kumpulan Kejohanan Siri Super Final di Taiwan, minggu lalu.

“Lawan (Nguyen) seorang pemain yang mengamalkan corak bertahan dan kali terakhir saya bertemunya di Taiwan awal bulan ini. Saya akan cuba mengalahkannya sekali lagi esok (hari ini),” kata Chong Wei yang memburu gelaran ketujuh.

Remaja dikelar 18 kali

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
am@hmetro.com.my

BEGINI...Ainal Mardiah menunjukkan cara dia diikat dan dicederakan penjenayah yang menceroboh rumahnya.
BEGINI...Ainal Mardiah menunjukkan cara dia diikat dan dicederakan penjenayah yang menceroboh rumahnya.
TRAUMA...Ainal Mardiah (kanan) bersama Maselamah menunjukkan tangannya yang dikelar penjenayah yang menceroboh rumahnya.
TRAUMA...Ainal Mardiah (kanan) bersama Maselamah menunjukkan tangannya yang dikelar penjenayah yang menceroboh rumahnya.

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan bukan saja diikat, malah turut menderita kesakitan apabila dikelar sebanyak 18 kali menggunakan pisau lipat dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pauh Belukar, di sini, Isnin lalu.

“Mereka ikat kaki dan tangan saya sebelum mengelar lengan sebanyak 18 kali dengan pisau lipat,” kata mangsa, Ainal Mardiah Mahmud 18, ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang baru pulang dari rumah neneknya di Kampung Che Deris untuk membasuh pakaian terkejut sebaik mendapati dua ‘tetamu tak diundang’ berada di ruang tamu.

“Ketika membuka pintu, saya tergamam melihat kelibat dua lelaki tidak dikenali dan pada masa sama, kepulangan saya mengejutkan mereka. Penjenayah itu kemudian menangkap saya sebelum kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tudung.


“Selain itu, mereka menutup mulut bagi mengelak saya menjerit,” katanya.


Menurutnya, dia yang ketakutan terus menjerit sekuat hati meminta pertolongan walaupun diugut kedua-dua penyamun itu untuk mencederakannya.

“Akibat marah dengan tindakan saya, mereka bertindak ganas dengan mengelar lengan kiri menggunakan pisau lipat. Tidak cukup dengan itu, mereka turut menampar kedua-dua pipi bagi menakutkan saya.


“Namun saya tidak peduli dan terus menjerit serta meronta menyebabkan mereka panik dan melarikan diri dengan sebuah basikal diletakkan di belakang rumah,” kata anak bongsu daripada 10 beradik ini.

Katanya, selepas ditinggalkan dalam keadaan berlumuran darah, dia terpaksa menggagahkan diri membuka ikatan pada kaki dan tangannya.


“Walaupun kesakitan, saya berjaya melepaskan ikatan sebelum keluar meminta bantuan jiran dan menghubungi sepupu, Mohd Anuar Ibrahim, 24.


“Tidak lama kemudian, sepupu datang dan membawa saya ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan susulan,” katanya.


Ibu mangsa, Maselamah Abdullah, 57, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak bongsunya itu.


“Walaupun sebelum ini rumah saya sering diceroboh, namun kali ini pencuri sanggup bertindak ganas,” katanya yang tiada di rumah ketika kejadian.


Katanya, dia membuat laporan kejadian menimpa anaknya itu di Balai Polis Badang, Isnin lalu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata suasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek terbabit.

http://www.hmetro.com.my/articles/Remajadikelar18kali/Article

Dibuang suami seperti sampah

Dibuang suami seperti sampah

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah mengejar harta dan lelaki berpangkat pada usia muda, seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akhirnya berdepan bahana dibuang suaminya seperti sampah.

Lebih memilukan, suaminya, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat besar di ibu kota mula mengabaikannya ketika dia sarat hamil anak pertama.


Siswi yang dikenali sebagai Suzie, 20-an, amat terkejut dengan sikap suaminya yang tidak mahu mengakuinya isteri yang sah, malah bersikap seperti mereka tidak pernah kenal selepas menjejaki lelaki bergelar Datuk berusia 50-an itu di pejabatnya.

Mendedahkan kepincangan itu, peguam syarie, Datuk Zaidi Zain berkata, siswi terbabit pelajar tahun tiga sebuah universiti awam berasal dari sebuah kampung di pantai timur. “Apabila berjinak-jinak dalam persatuan mahasiswa dan bertemu ramai pihak di pelbagai syarikat bagi tujuan persatuan, dia teruja untuk mendekati golongan berpangkat sehingga terpaut dengan seorang CEO menyebabkan hubungan mereka makin rapat.


“Enam bulan kemudian, dia memutuskan untuk berkahwin dengan Datuk terbabit, namun ibu bapanya di kampung membantah dengan alasan dia perlu menyelesaikan pengajian di universitinya terlebih dulu.


“Pada masa sama, dia digula-gulakan dengan aneka barang mewah membuatkannya gelap mata dan nekad melawan cakap ibu bapa.

“Mereka kemudian berkahwin di negara jiran kerana tidak mendapat restu keluarga,” katanya. Beliau berkata, ibu muda itu sanggup datang berjumpanya di ibu kota walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan bayi semata-mata mahu meminta bantuan bagi mendapatkan pembelaan.


“Si suami berani bertindak demikian kerana perkahwinan mereka di negara jiran tidak didaftarkan di mana-mana pejabat agama di negara ini.

“Dia memang mendesak suaminya melakukan pendaftaran, tapi pelbagai alasan diberikan. Suaminya mula tidak mengendahkannya selepas mengetahui dia hamil dan tidak dapat lagi mengikuti kuliah.


“Sikap dingin suaminya tidak habis begitu saja, malah bayaran sewa kondominium mewah yang dihuninya tidak dibayar lagi, bahkan kemewahan lain termasuk kereta yang diberikan konon atas dasar cinta sebelum ini ditarik balik,” katanya. Zaidi berkata, firmanya sudah menghantar surat kepada suami wanita terbabit untuk perbincangan, tetapi masih tidak mendapat maklum balas.


“Selepas mendapatkan persetujuan wanita itu, baru-baru ini kami memfailkan permohonan cerai taklik di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Buat masa ini, kami tunggu sebutan pertama kes yang dijangka pada bulan depan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Dibuangsuamisepertisampah/Article

Ayu Raudhah sah milik Zaquan


ZAQUAN menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,888 kepada Ayu Raudhah selepas selamat diijabkabulkan di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan, pelakon jelita, Ayu Raudhah Che Wan, 27, selamat diijab kabul dengan penyerang bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak, 24, di Masjid Sultanah Bahiyah di sini petang semalam.

Pasangan yang bertunang pada 17 Oktober tahun lalu itu dinikahkan oleh imam masjid tersebut, Mustafa Kamil Abdul Jamil berwalikan abang Ayu Raudhah, Roshidi, 32, dengan mas kahwin RM1,888 pada pukul 3.45 petang.

Dengan sekali lafaz, pelakon drama Nur Kasih itu sah bergelar isteri kepada, Zaquan Adha.

Pasangan itu kelihatan berseri dengan pakaian rona krim rekaan Man Kajang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Ayu Raudhah & Zaquan Adha Selamat Diijabkabulkan

BAGAI PINANG DIBELAH DUA... Hanya dengan sekali lafaz, aktres Ayu Raudhah, 26, akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Jumaat. - Foto THE STAR Oleh ASRI ABDUL GHANI

Sabtu Januari 22, 2011

Zaquan Adha dan Ayu Raudhah selamat bergelar suami-isteri.

ALOR SETAR: Hanya dengan sekali lafaz, aktres Ayu Raudhah,26, akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, Jumaat.

Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 3.45 petang oleh imam masjid tersebut, Mustafa Kamil Abdul Jamil yang mewakili walikan pihak perempuan iaitu abang Ayu, Roshidi Abu Bakar @ Che Wan.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang berwarna krim menerima mas kahwin RM1,888 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas sembilan dulang.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Difahamkan, wang hantaran itu mempunyai kaitan dengan angka lapan, iaitu nombor jersi Zaquan.

Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 200 orang tetamu termasuklah ibu Ayu iaitu Zabedah Saad, ibu-bapa Zaquan iaitu Abd Radzak Salleh dan Azizah Arshad serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat mereka.

Turut menyaksikan majlis akad nikah mereka, kakak Ayu iaitu aktres Rozita Che Wan, abang ipar mereka, aktor Mazlan Ahmad dan kembar kepada Mohd Zaquan iaitu Aidil Zafuan.

Ditemui selepas majlis berakhir, Ayu yang kelihatan sebak sebaik selesai akad nikah itu melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta mereka yang terjalin hampir dua tahun itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.

"Saya bersyukur, lega dan amat gembira kerana akhirnya kami disatukan juga setelah hampir dua tahun mempertahankan hubungan ini," kata Ayu.

Menurut pelakon drama Nur Kasih ini, dia merasakan sudah sampai masanya untuk mendirikan rumah tangga dan tidak menyangka jodohnya adalah dengan seorang pemain bola sepak terkenal.

"Perasaan saya bercampur-baur sebaik selamat dinikahkan. Saya akan cuba menjadi isteri yang baik dan menghormati setiap keputusan suami walaupun kami berbeza umur tiga tahun,” tutur Ayu.

Sementara itu, Zaquan juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar suami kepada Ayu.

“Saya rasa debaran ketika akad nikah tadi lebih mendebarkan berbanding debaran sepakan bola ke gawang gol. Bagaimanapun, saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.

"Selama dua tahun ini, dia seorang yang amat mengambil berat tentang kerja saya. Ayu sentiasa memberikan sokongan untuk saya meningkatkan mutu permainan dan terus berjaya demi memantapkan reputasi bola sepak negara di persada antarabangsa," tutur Zaquan sambil mengukir senyuman manis.

Bercerita tentang percutian bulan madu, Ayu dan Zaquan belum menetapkan tarikhnya kerana sibuk dengan kerja masing-masing dan memilih sebuah pulau sebagai destinasi utama.

Beralih kepada soal anak, Ayu tidak menolak untuk mempunyai anak pada bila-bila masa memandangkan suaminya juga sangat menyukai kanak-kanak.

Pada sebelah malamnya, kedua-duanya menjalani resepsi perkahwinan berkonsepkan alam fantasi dan mengenakan persalinan rekaan Rizman. Majlis tersebut berlangsung di rumah pengantin perempuan.

Selain itu, mereka turut menggunakan khidmat pereka Qudyn untuk malam berinai pada 20 Januari di rumah Ayu.

Sementara majlis menyambut menantu akan dilangsungkan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada 30 Januari ini. Pasangan pengantin akan mengenakan persalinan Calvin Thoo dengan bertemakan tradisional.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/1/22/mstar_hiburan/20110121172517&sec=mstar_hiburan

‘Saya macam tak percaya’

SEREMBAN: “Memang saya rasa amat teruja dan tidak percaya akan menamatkan zaman bujang, namun harus percaya semua ini ketentuan Allah kerana kita hanya merancang, tetapi Dia yang menentukan,” kata pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak.

Mohd Zaquan, 23, bakal diijabkabulkan dengan pelakon popular, Ayu Raudhah Che Wan, 26, pada majlis akad nikah yang akan berlangsung hari ini di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar, selepas solat Jumaat disusuli majlis resepsi pada malamnya di Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).


Pernikahan kedua-dua pasangan sensasi itu sekali gus menamatkan desas-desus mengenai hubungan mereka sebelum ini apabila mengikat tali pertunangan pada 17 Oktober tahun lalu.

Mohd Zaquan berkata, persiapan bagi meraikan hari bersejarah itu berjalan lancar apabila semua ahli keluarganya termasuk abang kembarnya, Mohd Aidil Zafuan turut serta dalam rombongan pengantin ke Alor Setar.


Menurutnya, pihaknya berasa amat bersyukur kerana semua ahli keluarga memberi sokongan padu untuk bersama meraikan detik bersejarah itu.


“Saya membawa barangan hantaran tujuh dulang manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang.

“Semakin dekat rasanya semakin bersemangat, namun apa yang penting mengharapkan supaya majlis ini nanti selesai dengan baik dan selamat,” katanya yang sudah merancang untuk menetap di Seremban selepas berkahwin kerana sudah membeli rumah di sini.


Sementara itu, Mohd Aidil Zafuan tidak menyangka adiknya bertemu jodoh seorang pelakon selepas dia menjadi suami kepada seorang pelakon terkenal, Rita Rudaini Mokhtar.

Menurutnya, dia menyifatkan ia adalah jodoh dan sudah menjadi ketentuan Allah di mana pihaknya hanya mengharapkan yang terbaik buat adik kembarnya dalam membina rumah tangga bahagia.


“Ini bukan soal mengikut jejak langkah selepas saya mengahwini seorang pelakon (Rita Rudaini), tetapi perkahwinan antara Mohd Zaquan dengan Ayu Raudhah adalah kerana jodoh.


“Saya akan terus memberi nasihat dan sokongan kepadanya (Mohd Zaquan) dan berharap kariernya sebagai pemain bola sepak bertambah baik selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011012102394920110121023949/Article/index_html

Tak tahan jadi mangsa ejekan

Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my

LANGKAWI: “Saya malu dan hanya berkurung dalam rumah. Dalam hati memang ada azam untuk bekerja bagi membantu ibu yang sudah tua, tapi majikan mana yang nak ambil saya bekerja jika muka cacat begini,” kata Shahrul Nizam Shuib.

Shahrul Nizam, 31, yang cacat bahagian muka sejak lahir akibat penyakit ensephalacelo atau lebihan cecair otak berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuah, Mukim Kuah, di sini, semalam.


Anak ketujuh daripada sembilan beradik yang tinggal bersama ibunya itu berkata, dia hanya bersekolah setakat darjah satu sebelum mengambil keputusan berhenti kerana tidak tahan diejek rakan-rakan.

Berikutan itu, Shahrul Nizam tidak tahu membaca dan menulis menyebabkan hidupnya ditanggung sepenuhnya oleh ibunya, Isyah Yunus, 63, yang juga seorang ibu tunggal selepas kematian suami, Shuib Ali kira-kira 17 tahun lalu.


“Saya mahu bekerja kerana kasihan melihat ibu yang sudah tua terpaksa melakukan apa saja kerja asalkan kami dapat duit dan boleh beli beras untuk sepinggan nasi serta pakaian ala kadar.


“Dalam keadaan begini (kecacatan muka) sukar bagi saya keluar bekerja, malah jauh sekali menyimpan cita-cita untuk berkahwin,” kata pemuda itu yang turut mengalu-alukan jika ada pihak mahu membuat kajian mengenai penyakitnya.

Sehingga kini, katanya, dia belum pernah menerima apa-apa bantuan kewangan dan barangan makanan daripada agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).


“Sejak sekian lama, hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, kami juga tiada pilihan dan terpaksa tinggal di rumah subsidi kerajaan yang dibina atas tanah orang.

“Walaupun benjol dari bahagian dahi hingga hidung ini tak sakit, tapi ia menyebabkan muka kelihatan tidak sempurna dan saya jadi malu untuk berhadapan orang ramai,” katanya.


Sementara itu, Isyah berkata, dia pernah beberapa kali membawa Shahrul Nizam berjumpa doktor di Hospital Langkawi (HL) sejak lahir bagi mendapatkan nasihat dan rawatan sesuai untuk mengubati penyakit ganjil anaknya itu.


“Pihak hospital ada memaklumkan jika mahu melakukan pembedahan ke atas Shahrul, dia terpaksa menanggung risiko tinggi kerana ada kaitan dengan lelehan cecair otak yang membentuk benjolan sebesar penumbuk itu.


“Sejak itu, kami tak pernah berfikir untuk buat pembedahan kerana mahu makan anak beranak pun susah apatah lagi untuk cakap mengenai pembedahan yang menelan kos tinggi,” katanya sebak.


Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, dia tidak mampu mengumpul wang untuk membolehkan Shahrul Nizam dibedah malah kudratnya kian berkurangan untuk terus bekerja.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taktahanjadimangsaejekan/Article/index_html

Suami kena rasional

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bukan satu tindakan yang rasional dan bermaruah bagi seorang suami untuk mengamuk hingga sanggup mendatangkan kecederaan kepada keluarga isteri, hanya semata-mata mahu wanita di bawah tanggungjawabnya itu kembali ke pangkuan.

Malah, perbuatan terbabit yang didorong nafsu amarah tak terkawal hanya mengundang masalah lebih buruk berikutan hubungannya dengan isteri dan keluarga mentua berkemungkinan renggang ibarat retak menanti belah.


Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Awal, (gambar) berkata masih terdapat beberapa lagi alternatif boleh digunakan suami untuk mengajar isteri supaya menurut perintah, bukan dengan cara kekerasan.

“Dalam undang-undang keluarga Islam, kita mempunyai peruntukan yang boleh digunakan suami iaitu perintah untuk meminta isteri supaya taat suami boleh mendapatkannya di mahkamah syariah bagi mengarahkan isterinya pulang ke pangkuan.


“Cara ini rasanya lebih elok daripada dia mengamuk, marah-marah di rumah keluarga isterinya. Sebagai anak menantu, dia kena mengambil hati dan berusaha mengerat hubungan antara mereka, bukan menambah masalah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang lelaki yang naik angin kerana isterinya tidak mahu pulang selepas menghadiri majlis pertunangan adiknya.

Laporan menyebut, kejadian berlaku di rumah bapa mentua lelaki itu di Jinjang, di sini, malam Ahad lalu menyebabkan cermin dua kereta dipecahkan, malah bapa mentua dan adik ipar sendiri turut dicederakan berikutan campur tangan.


Mengulas lanjut, Noor Aziah berkata, tidak dinafikan terdapat kes mentua dan menantu yang tidak sebulu dalam masyarakat hari ini, namun sebagai anak, dia perlu bijak mengendali keadaan selain tahu bagaimana mahu mengambil hati keluarga mentua.

“Saya tak nafikan pergeseran mentua dan menantu pasti ada, tapi sebagai yang muda perlu tahu cara mengambil hati kerana ibu bapa ini ibarat kerak nasi juga, kalau kena caranya (melentur) akan jadi lembut akhirnya. Sebab itu kita jangan menambah bara lagi.


“Lagi satu, adat berumah tangga perlu ada persefahaman antara suami isteri, isteri perlu patuh pada perintah dan larangan suami walaupun dia melarang pergi ke rumah keluarga sendiri....isteri kena patuh, kalau tidak nusyuz.


“Cuma suami kena rasional, jangan bertindak melulu dan buat keputusan yang tidak munasabah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamikenarasional/Article/index_html

‘Sayang itu biar beradab’

KUALA LUMPUR: Tindakan memanjakan anak serta cucu secara berlebihan boleh menyebabkan mereka menjadi tidak beradab, sekali gus menyebabkan mudahnya berlaku keruntuhan akhlak.

Mengulas kejadian seorang cucu yang sanggup memukul datuknya sehingga mati gara-gara tidak diberikan wang, Pakar Motivasi, Dr Rubiah K Hamzah berkata, cucu terbabit hilang prinsip untuk menghormati orang tua kerana tidak mendapat asuhan agama dengan sempurna.


“Jika ingin memanjakan anak atau cucu biarlah manja yang bertempat dan tidak keterlaluan. Sayang itu biar beradab kerana jika hilang adab anak itu akan menjadi biadap menyebabkan mereka memandang rendah pada orang tua.

“Ini bukan kes pertama membabitkan cucu membunuh datuk sendiri. Sering kita dengar kasih sayang datuk dan nenek melebihi kedua-dua orang tua sendiri namun anak perlu dididik dengan disiplin. Disebabkan terlalu manja dan kemahuan sentiasa dituruti mereka mudah besar kepala, namun sudah terlewat untuk dibentuk ketika dewasa,” katanya ketika dihubungi semalam.


Katanya, anak perlu diasuh dengan didikan agama yang kuat selain kedua orang tua perlu menjadi acuan kepada pembentukan peribadi dan akhlak anak.


“Kasih sayang adalah anugerah Allah namun, biarlah dicurahkan secara berprinsip,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011012102305420110121023054/Article/index_html

Anggota polis didakwa di mahkamah sebabkan kekasihnya melecur

KANGAR: Seorang anggota polis hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kekasihnya yang tinggal sekampung dengannya melecur dan cedera parah di atas jambatan di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada Rabu lalu.

Ahmad Faiz Ramli, 24 yang ditahan kerja akibat kes lain dan menetap di Kampung Baru, Kuala Perlis serta tidak diwakili peguam, tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan itu dan meminta dibicarakan.


Dia dituduh dengan sengaja menggunakan api terhadap kekasihnya itu seorang remaja berumur 17 tahun hingga menyebabkan mangsa cedera parah dan melecur di bahagian muka, leher dan lengan kiri di atas jambatan di Jalan Bukit Kubu, Kuala Perlis pada jam 9.30 malam hari berkenaan.

Tertuduh yang pernah berkhidmat di Pulau Pinang sebelum ditahan kerja pada penghujung 2008 didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda serta sebat.


Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 8 Mac ini. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Anggotapolisdidakwadimahkamahsebabkankekasihnyamelecur/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...