Updated: Rabu September 1, 2010 MYT 4:47:26 PM
KUALA LUMPUR: Pergolakan rumah tangga jaguh badminton negara, Roslin Hashim,35, berakhir selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini Rabu, mengesahkan lafaz cerai yang dilafazkannya terhadap Norhayati Othman,38, kira-kira sebulan selepas perkahwinan.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad mensabitkan lafaz talak berbunyi “I cerai you-lah” yang dilafazkan Roslin, pada pukul 8.32 malam, di bilik nombor 533, Hotel Corus, di sini, sebagai lafaz yang jelas ditujukan kepada Norhayati.
Justeru itu, beliau memutuskan pasangan itu sah bercerai talak satu dan memerintahkan Norhayati untuk beredah selama tiga kali suci bermula daripada tarikh lafaz serta perceraian itu didaftarkan manakala surat nikah pasangan tersebut dibatalkan.
“Mahkamah melihat perceraian ini sebagai sesuatu yang menyedihkan dan mengejutkan banyak pihak kerana berlaku dalam jangka masa yang singkat. Apatah lagi, perkahwinan ini berlaku di hotel dan juga berakhir di hotel,” kata Wan Mahyuddin.
Berhubung dakwaan Roslin bahawa wujud unsur paksaan sehingga dia melafazkan cerai, Wan Mahyuddin memutuskan dakwaan itu tidak diterima memandangkan ia hanyalah paksaan lisan yang tidak mendatangkan kemudaratan.
Wan Mahyuddin turut menyelitkan peringatan buat Roslin dan umat Islam supaya tidak melafazkan cerai di luar mahkamah untuk mengelakkan kemudaratan, selain perkara yang paling dibenci oleh Allah itu seharusnya dibuat dalam keadaan yang harmoni.
“Setiap pasangan mesti mempunyai pengetahuan untuk memimpin rumah tangga, menjaga akhlak dan kewajipannya kepada keluarga kerana perkahwinan adalah ibadat yang berat.
“Kita hendaklah bertolak-ansur dan bersabar apabila rumah tangga diuji oleh Allah. Lumrah akan ada perselisihan faham,” tambah Wan Mahyuddin.
Beliau berkata demikian pada permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Norhayati, seorang Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada 10 Ogos lalu kerana mendakwa Roslin telah melafazkan cerai yang turut didengari oleh dua adiknya.
Berdasarkan keterangan sebelum ini, Norhayati mendakwa dia bersama keluarganya telah ke hotel tersebut selepas mendapat tahu Roslin telah mendaftar masuk ke bilik yang didaftarkan atas nama produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Lafaz itu juga telah diikrarkan semula oleh Roslin semasa kes dibicarakan di mahkamah. Roslin juga mengakui bahawa dia berada dalam keadaan yang waras dan sedar semasa melafazkan cerai tersebut.
Roslin hadir bersama peguam syarienya, Roslizam Rahim manakala Norhayati yang berpakaian serba hitam ditemani ahli keluarga dan diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman. Kedua-dua mereka kelihatan tenang sepanjang prosiding mahkamah.
Semasa Roslin sedang bercakap dengan media, seorang lelaki meletakkan dua buah beg di bahagian kaunter mahkamah sementara Norhayati yang berada di pintu mahkamah didengari berkata: “You can have your bag (kamu boleh mengambil beg kamu).”
Roslin dan Norhayati mendirikan rumah tangga pada 9 Julai lalu di Hotel Flamigo, Ampang, di sini, selepas berkenalan tidak sampai lima bulan.
Ia merupakan perkahwinan kedua Roslin, yang sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila perkahwinan pertamanya dengan Faizah Mohamad, 32, pada 30 Januari 2009 hanya mampu bertahan selama 12 hari.