Saturday, November 20, 2010

Hantaran RM22,000

Hantaran RM22,000

Oleh Esme Johari Wahab

SEPADAN...Elyana bersama suami selepas majlis akad nikah.
SEPADAN...Elyana bersama suami selepas majlis akad nikah.

AMPANG: Penyanyi dan pelakon, Elyana selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Khairul Anuar Hussin, 35, dalam upacara akad nikah yang berlangsung meriah di Duchess Place, di sini, malam tadi.

Dengan sekali lafaz, pasangan berkenaan selamat diijabkabulkan oleh bapanya, Emrizal Shamsuddin pada jam 9.30 malam.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23, menerima mas kahwin RM80 dan hantaran RM22,000.

Dia kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden biru Tiffany sedondon dengan pasangannya hasil sentuhan pereka tersohor, Hatta Dolmat.

Elyana juga menerima tujuh dulang hantaran antaranya tepak sirih, sebentuk cincin berlian, jam tangan, beg dan dompet, set haruman penjagaan badan dan coklat.


Pengantin perempuan turut membalas tujuh dulang hantaran termasuk jam tangan, sepatu, dompet, set haruman dan buah-buahan.

Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 11 Julai 2009.

Majlis persandingan pasangan itu berlangsung di Duchess Place malam ini dan majlis di rumah pengantin lelaki akan diadakan di Mentakab, Pahang, minggu depan.

Elyana, popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu serta Kalis Rindu selain berlakon dalam filem seram, Seriau serta Gong dan komedi remaja, Dunia Baru.

http://www.hmetro.com.my/articles/HantaranRM22_000/Article

PAS terus pertikai daftar pemilih baru

Salhan K Ahmad
Nov 19, 10
5:56pm

Dalam bahang pilihan raya umum yang semakin terasa, PAS kini semakin giat mempertikaikan ketelusan dalam daftar pemilih SPR.

Di Pulau Pinang, PAS negeri itu masih menuntut jawapan berhubung penambahan seramai 630 orang pengundi pos, seperti yang dikesan dalam kawasan parlimen Tasek Gelugor.

NONEMalah, seorang pengundi terlibat tampil berkata tidak tahu menahu mengenai status pemilihnya yang kini didakwa ditukarkan menjadi pengundi pos.

Guru berumur 29 tahun di Sarawak itu berkata, beliau sebelum ini mengundi sebagai pengundi awam.

"Saya tidak tahu (ditukar status menjadi pengundi pos)," katanya sambil memberitahu mengetahui perkara itu daripada seorang pemimpin PAS.

"Dia yang buat semakan dan beritahu saya sudah hilang kelayakan sebagai pengundi awam," katanya yang merupakan isteri kepada seorang anggota tentera yang bertugas di negeri itu.

Sementara itu, setiausaha jabatan pilihan raya PAS negeri Mohd Jamil Abdul Rahman berkata pertambahan pengundi pos itu dikesan sejak senarai pemilih berkenaan dipamerkan selama seminggu, berakhir pada 2 November lalu.

Mohd Jamil berkata, bantahan telah pun dikemukakan oleh PAS Pulau Pinang berhubung kes melibatkan guru itu dan juga beberapa lagi kes lain seumpamanya yang dikenalpasti.

"Kita buat bantahan kepada SPR sebab pengundi tidak diberitahu dia sudah jadi pengundi pos dan juga mengenai perubahan tempat mengundi.

"Bila tiba masa untuk mengundi, nama dia tak ada. Inilah yang menjadi masalah," katanya lagi.

Dakwaan 'pakatan jahat' SPR, ATM

Sementara itu, situasi yang lebih kurang sama turut ditimbulkan oleh PAS di negeri Kedah dengan dakwaan wujudnya "pakatan jahat antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)."

azizan razak and kedahDakwaan itu ditimbulkan sendiri oleh menteri besarnya Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mendakwa "berlaku penipuan dalam daftar pemilih di beberapa kawasan di negeri itu," seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri malah menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat SPR berhubung senarai pengundi baru yang dipamerkan baru-baru ini.

Menteri besar itu berkata, seramai 283 orang pemilih baru dikesan didaftarkan Kem Bukit Kayu Hitam.

NONE"Namun setelah disemak, nama terbabit adalah isteri anggota tentera. Peliknya kerana kem itu bukan kuarters keluarga, sebaliknya hanya tempat operasi," katanya yang dipetik dalam laporan tersebut.

Beliau juga menyebut mengenai senarai pemilih di sebuah pengkalan askar wataniah yang juga didapati terdiri daripada isteri anggota tentera.

"Macam mana isteri mereka dibawa ke kem berkenaan kerana itu pengkalan operasi dalam hutan. Tak ada keluarga tinggal di situ," katanya lagi dalam laporan berkenaan.

Namun, sejauh mana wujudnya elemen rasuah dalam dakwaannya itu setakat ini belum dapat dipastikan.

SPRM ketika dihubungi hari ini juga enggan memberikan ulasan sama ada akan menyiasat kes berkenaan.

http://malaysiakini.com/news/148647

Media dilarang siar siasatan SPRM

Nov 19, 10 5:39pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerjasama pihak media supaya tidak menyiarkan berita mengenai siasatan kes yang sedang dijalankan.

NONEKetua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, pada masa ini terdapat banyak media berita yang melapor dan memaparkan siasatan yang sedang dijalankan SPRM.

"Saya memahami kehendak para media dalam perkara ini tetapi walau bagaimana pun saya berharap pihak media juga memahami kerja SPRM.

"Ini adalah kerana kejayaan kita menyiasat sesuatu kes bergantung kepada kerahsiaan yang mana kita boleh mendapat keterangan-keterangan yang baik apabila tindak-tanduk kita tidak diketahui umum."

"Jadi hebahan kepada siasatan bagi saya tidak wajar dan tidak tepat masanya...malah yang disiasat pun belum tentu kita tahu apa yang akan terjadi ke atas "mereka".

"Ia bergantung kepada keterangan yang diberi," katanya kepada pemberita selepas menandatangani MOA (Memorandum Persetujuan) Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur hari ini.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148645

Zeti: Bank pusat perlu transformasi, pemodenan

Nov 19, 10 3:06pm

Bank-bank Pusat mempunyai peranan penting dalam membendung krisis serta pengurusan untuk menyediakan kecairan dan memulihkan kecekapan fungsi pasaran kewangan untuk menangani krisis kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata bank-bank pusat juga mempunyai peranan penting dalam mengetuai program penyelesaian dan membina keyakinan dalam sistem kewangan memandang kejayaan untuk menangani krisis kewangan bukan hanya membangunkan ketahanan, malah mempunyai kapasiti untuk mengurusnya.

"Dunia akan terus terjejas akibat krisis kewangan. Sejarah menunjukkan terdapat lebih daripada seratus kes perbankan sejak dua dekad lepas," katanya pada Kolokium Svein Gjedrem di Oslo, Norway, pada Khamis.

"Memandangkan bank pusat merupakan peminjam terakhir, bank pusat berada pada barisan depan untuk memulihkan kestabilan," katanya.

Tanpa mengira langkah institusi yang diambil untuk tugas pemantauan, sama ada ia berasaskan model bersepadu atau model yang disediakan mengikut sektor, Dr Zeti berkata pelarasan berkesan sangat penting untuk melindungi kestabilan kewangan.

Ketetapan untuk pelarasan bertujuan mengelak tindakan berdasarkan kes oleh agensi individu dalam sistem dan memastikan tindakan menyeluruh terhadap krisis, katanya.

"Pelarasan merentas agensi juga membolehkan tindakan segera diambil," katanya.

Dr Zeti berkata bank-bank pusat juga perlu melaksanakan transformasi dan pemodenan untuk kekal berkesan dalam melaksanakan mandatnya.

"Peningkatan kapasiti institusi mungkin membabitkan perubahan dalam peraturan institusi, struktur organisasi dan tadbir urus dan amalan, perundangan serta bakat," katanya.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/148624

Zaid keluar PKR 16 Dis, ikrar tanding pilihan raya

Zaid keluar PKR 16 Dis, ikrar tanding pilihan raya

Nov 19, 10 11:22am

Bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim memilih 16 Disember akan datang sebagai tarikh beliau meninggalkan parti itu.

zaid ibrahim quits pkr 191110 05Bercakap kepada wartawan pagi ini di rumahnya di Petaling Jaya, Zaid juga mengumumkan bahawa beliau telah mengemukakan surat perletakkan jawatannya dari PKR hari ini tetapi hanya berkuatkuasa bulan depan.

"Mengapa 16 Disember? Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember," katanya dengan nada sinis.

"Rancangan saya sekarang, saya akan berjumpa dengan penyokong saya di seluruh negara dan mempersiapkan diri untuk pilihan raya umum akan datang.

"Saya telah banyak bercakap mengenai perjuangan berteraskan kepada kebenaran, berteraskan kepada apa yang betul, saya mahukan parti yang demokratik, parti yang tak banyak sangat karenah, parti yang berteraskan kepentingan rakyat." katanya.

Ramai lagi akan keluar

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga tidak menolak kemungkinan ramai lagi anggota PKR akan keluar parti itu.

zaid ibrahim quits pkr 191110 03Zaid berkata beliau akan bertanding pada pilihan raya umum nanti selepas parti barunya itu ditubuhkan tetapi enggan menyatakan kawasan yang bakal ditandinginya.

"Saya tetap akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Kalaulah gagal tubuh parti baru, terpaksa bertanding sebagai calon bebas.

"Tapi saya rasa elok bertanding di bawah satu label, ada kawan-kawan sikit lebih bersemangatlah," katanya.

Mengenai penubuhan parti baru, Zaid berkata parti itu akan cuba ditubuhkannya dalam masa terdekat iaitu sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti.

zaid ibrahim quits pkr 191110 02Pada 8 Nov lalu, Zaid mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan meletak semua jawatannya dalam parti.

Beliau mendakwa kepimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan telah beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden PKR, Azmin Ali supaya meletakkan jawatan kerana mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam PKR.

Zaid menyertai PKR pada Jun tahun lalu setelah beliau dipecat daripada Umno.

Berniat jahat

Menurut Zaid adalah wajar baginya meninggalkan PKR apabila beliau tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggapnya sebagai pengkhianat.

zaid ibrahim quits pkr 191110 01Bekas calon Timbalan Presiden parti itu turut menafikan bahawa kemasukannya dalam PKR kerana mempunyai niat jahat.

"Saya sebenarnya tidak pernah berniat jahat terhadap parti. Saya masuk PKR dengan anak-anak saya sebagai ahli seumur hidup dengan yuran yang tinggi kerana saya pada masa itu ingat inilah parti yang akan memperjuangkan kebenaran, ketelusan dan memberi harapan baru kepada rakyat di negara ini.

"Saya amat kecewa bila dituduh sedemikian. saya tidak pernah menubuhkan parti baru atau merancang apa-apa. Saya sebagai koordinator Pakatan Rakyat walaupun Anwar kata saya ini bukan koordinator. Tak apalah, koordinator ke kerani ke, itu terpulanglah," katanya.

http://malaysiakini.com/news/148592

Penggodam M'sia ditahan 'curi' 400,000 kad kredit

Nov 19, 10 10:42am

Seorang penjenayah siber Malaysia dikatakan berjaya menggodam rangkaian komputer Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan mencuri hampir setengah juta nombor pemegang kad kredit dan debit, kata pejabat Peguam Negara di New York.

cyberterrorismLin Mun Poo, seorang warga negara Malaysia ditahan 21 Oktober lalu selepas memasuki Amerika Syarikat dihadapkan di mahkamah juri, semalam. Beliau dituduh atas kesalahan menggodam Bank Pusat Amerika di cawangan Cleveland, Ohio dalam beberapa serangan menggodam untuk mencuri lebih 400,000 nombor kad kredit.

Beliau juga didakwa kerana memecah beberapa sistem pertahanan komputer di negara itu.

Poo yang kini dalam tahanan untuk perbicaraan dikatakan amat cemerlang dalam kerjayanya di beberapa institusi kewangan, mengambil kontrak untuk mengukuhkan sistem pertahanan komputer, termasuk menjual dan memperdagangkan maklumat," kata pejabat Peguam Negara Amerika.

internet media and print mediaPasukan perkhidmatan perisikan Amerika memberkas Poo yang berusia 32 tahun itu beberapa jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

“Ejen perisikan merampas komputer bimbit Poo yang mengandungi ribuan data akaun kewangan dan maklumat peribadi yang dipercayai diperolehnya menerusi kegiatan penggodaman," katanya.

Ketua perkhidmatan perisikan Amerika, Brian Parr, berkata antara kegiatan Poo yang dikesan ialah memecah masuk sistem pertahanan kontraktor Pentagon yang 'mengandungi maklumat logistik ketenteraan yang amat sensitif'.

- AFP


http://malaysiakini.com/news/148586

Komponen gusar 'rakan BN' dibenar bertanding

Komponen gusar 'rakan BN' dibenar bertanding

S Pathmawathy
Nov 19, 10
10:23am

Cadangan supaya keahlian terus dibenarkan bagi menganggotai BN mula menimbulkan keresahan di kalangan parti-parti komponen kerana gusar 'rakan BN' yang baru diwujudkan itu akan diletakkan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Menurut sumber BN, butiran mengenai kategori baru bagi penerimaan keahlian terus ke BN itu masih belum dibincang dan dimuktamadkan.

barisan nasionalIni bagaimanapun memerlukan pindaan perlembagaan BN sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Sumber itu berkata meskipun, perkara itu dicadangkan pada awal tahun ini, tetapi setakat ini belum ada perbincangan rasmi diadakan.

Namun, beliau percaya perkara berkenaan akan menjadi mauduk utama semasa konvensyen BN yang dijadualkan pada 28 November ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

“Terdapat banyak perkara masih samar-samar yang perlu perbincangan lanjut. Keahlian terus, kita boleh bersetuju menerima mereka. Tetapi bagaimana jika mereka (ahli BN itu) mahu bertanding?

“Jika mereka tidak setuju menyertai mana-mana parti komponen tetapi mahu bertanding pada pilihan raya sebagai calon BN, adakah ini mustahil?” soal sumber itu.

NONE"Dan jika ahli sedemikian dibenarkan bertanding di bawah tiket BN, parti komponen BN sudah tentu akan hilang haknya untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu.”

Cadangan keahlian terus dibuat bagi mewujudkan platform kepada orang ramai yang bersetuju menyokong BN tetapi tidak mahu menganggotai mana-mana parti komponennya.

Pemimpin BN berharap dengan platform seumpama itu, sokongan rakyat yang tidak menyertiao parti komponen tidak akan lari kepada Pakatan Rakyat.

Persoalan juga timbul berhubung masalah logistik untuk parti komponen oleh ahli-ahli 'rakan BN'.

"Katakan jika seseorang menyertai 'rakan BN', tetapi individu itu telah dipecat oleh parti komponen...

gerakan gdc agm 071110 muhyiddin"Tidakkah ini merampas kuasa pemimpin parti parti komponen dan mempersendakan keputusan mereka?” soal seorang presiden parti komponen yang mahu identitinya tidak diumumkan.

Parti komponen juga dikatakan tidak selesa dengan cadangan mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi menentukan calon-calon BN untuk pilihan raya yang didakwa membelakangkan kuasa mereka sebagai pemimpin parti komponen.

“Telah menjadi amalan sejak BN ditubuhkan, pemimpin parti komponen akan mengemukakan calon pilihan parti itu. Meskipun keputusan muktamad di tangan presiden (BN) tetapi ia tetap adalah prerogatif kami,” kata sumber itu.


[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/148585

PAS anjur majlis 25 tahun Memali

Nov 18, 10 7:34pm

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara tokoh yang akan mewarnai sambutan majlis memperingati 25 Tahun Memali, lapor HarakahDaily.

pas muktamar 130610 abdul hadi awangSetiausaha Pemuda PAS Kedah, Mohd Rosli Azmi berkata, perasmian majlis itu akan disempurnakan Abdul Hadi, esok, jam 9 malam. Turut dijadualkan berucap adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan.

Anwar pula akan mengisi pentas pidato pada hari kedua program, pada 20 November ini bersama timbalan pesuruhjaya dan ketua penerangan PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Pada malam terakhir, ceramah akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abd Rani dan Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Pelbagai acara akan dilangsungkan sepanjang majlis tiga hari itu antaranya konvoi pemuda, persembahan nasyid dan pentomen, tahlil perdana, acara pasti, klinik 'smart' solat, ijtimak ulama dan guru-guru pondok serta ijtimak pelajar Memali.

Turut diadakan juga adalah pameran Memali dan Pendidikan Islam Kedah, kaunter pemeriksaan kesihatan dan perubatan percuma, kaunter daftar pemilih, kaunter keahlian PAS dan sukarelawan pemuda PAS Kedah serta gerai-gerai jualan.

NONESehubungan itu, PAS menjemput orang ramai hadir ke program tersebut yang akan dilangsungkan di Madrasah Islahiah Diniah dan perkarangan rumah Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di kampung Memali.

Tragedi Memali pada 1985 menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Mereka didakwa disyaki terlibat dalam kegiatan yang menggugat keselamatan negara.

Menurut kerajaan, semasa operasi tersebut, pihak polis telah diserang oleh pengikut-pengikut Ibrahim dengan bersenjatakan senjata api, parang, pedang dan buluh runcing.

Pihak polis telah menyeru mereka supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman tetapi didakwa tidak diendahkan dan demi mempertahankan diri dan mematahkan serangan tersebut, pihak polis mendakwa terpaksa menggunakan senjata api dan melepaskan tembakan.

Peristiwa tersebut, telah mengorbankan empat anggota polis dan 14 orang awam termasuk Ibrahim manakala 23 anggota polis dan 14 orang awam mengalami kecederaan.

Selepas tragedi berdarah kira-kira 25 tahun lalu itu, kerajaan BN sentiasa dikaitkan dengan arahan menembak penduduk kampung tersebut.

http://malaysiakini.com/news/148569

PAS dakwa tarikh Aidil Adha 'sangat pelik'

Abdul Rahim Sabri
Nov 18, 10
6:50pm

Ahli parlimen Kubang Kerian mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung Isnin depan bagi membincangkan isu tarikh Aidil Adha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.

salahuddin ayub 01 Dalam usul kepada speaker dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Salahuddin Ayub berkata sambutan Aidil Adha di negara ini semalam "sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".

"Perbezaan dua hari sambutan Aidiladha di negara ini yang diambil kira daripada tarikh dan masa wukuf di Arafah yang jatuh pada hari Isnin, 15 November adalah jelas tidak munasabah walaupun dapat kita fahami perbezaan waktu peredaran matahari yang hanya berbeza lebih kurang lima jam di antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Naib presiden PAS itu berpendapat, perbezaan tarikh itu turut mengelirukan penentuan hari Tashrik - tiga hari selepas Aidil Adha yang ditetapkan untuk menyembelih korban - di negara ini.

kaabah mekah islam holycity 080307 largeSalahudin juga mempersoal bagaimana pihak pengurusan agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri mengurus tadbir isu tersebut.

"Apakah hujah dan alasan yang diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum pengisytiharan tentang tarikh hari raya Aidil Adha dibuat?

"Adakah tidak ada pengurusan, penyelarasan dan perbincangan dibuat untuk menyelesaikan perkara yang sekecil dan semudah ini?" soalnya.

Beliau berpandangan dalam era kecanggihan teknologi komunikasi kini tiada alasan perkara itu tidak dapat diselesaikan.

"Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang serius, saya mengambil tanggung jawab untuk Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu dan meminta pihak Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapan dan penjelasan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

http://malaysiakini.com/news/148564

Banjir: P Pinang terima jaminan MMC-Gamuda JV

Nov 18, 10 6:15pm

Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini menarik balik perintah berhenti kerja bagi projek landasan kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar selepas kontraktornya, MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV), memberi surat jaminan mengenai langkah-langkah mencegah banjir.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata bahawa selepas menerima jaminan itu hari ini, kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Perbandaran Seberang Perai supaya mengeluarkan surat kepada MMC-Gamuda JV bagi memberitahu bahawa larangan itu telah ditarik balik.

Perintah henti kerja itu dikeluarkan Jumaat lepas oleh kerajaan negeri dengan alasan projek itu boleh menyebabkan banjir.

Lim berkata syarikat itu telah memberi jaminan ia sedia merobohkan mana-mana landasan sedia ada untuk tujuan tebatan banjir dan juga akan bertanggungjawab memberi pampasan jika berlaku banjir disebabkan oleh projek itu.

MMC-Gamuda JV adalah kontraktor utama projek landasan elektrik sejauh 329 kilometer itu yang menelan belanja RM12.5 bilion dan dijangka siap pada 2013.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148557

Caruman KWSP kembali 11% mulai Jan

Nov 18, 10 4:37pm

Kadar caruman berkanun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian pekerja akan dinaikkan semula kepada 11 peratus berkuatkuasa gaji bulan Januari 2011.

Caruman itu dibayar kepada KWSP mulai Februari 2011, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

azlanKadar caruman berkanun pekerja diturunkan daripada 11 peratus kepada 8 peratus untuk tempoh dua tahun bermula gaji bulan Januari 2009 hingga Disember 2010.

Majikan dinasihat memastikan jumlah caruman yang betul dipotong daripada gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baru ini dan dibayar kepada KWSP bermula daripada caruman bulan Februari 2011.

Beliau berkata ahli yang sebelum ini mengemukakan Borang KWSP 17A (AHL) Khas/KWSP 17AA Khas untuk mengekalkan kadar caruman pada 11 peratus sepanjang tempoh dua tahun itu tidak perlu mengambil sebarang tindakan.

Caruman KWSP bulanan bahagian majikan kekal pada 12 peratus, katanya.

Majikan yang memerlukan maklumat lanjut boleh mengunjungi cawangan KWSP terdekat, menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau menghantar pertanyaan mereka melalui laman web myEPF di Enquiry.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148542

Anwar: Zaid bebas tinggalkan PKR

Nov 18, 10 4:36pm

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya secara terbuka membidas Datuk Zaid Ibrahim kerana menimbulkan masalah dalam parti itu yang telah memberikannya pelbagai peluang dan keistimewaan.

NONEBercakap kepada pemberita di kediamannya di Cherok To' Kun, Pulau Pinang, Anwar berkata Zaid bebas untuk berundur dari PKR dan berhak mendirikan parti baru yang dicadang dinamakan 'Keadilan Baru'.

Menurut Anwar zaid merayu diterima masuk ke parti itu apabila beliau meninggalkan Umno pada 2008. Katanya, Zaid kemudian memohon peranan sebagai pemimpin dalam parti itu.

"Beliau juga minta dijadikan calon untuk Hulu Selangor (pilihan raya kecil parlimen) meskipun mendapat tentangan dari cabang yang membawa bantahan mereka kepada presiden.

NONE"Tetapi kami tetap berinya peluang dan apabila beliau kalah di Hulu Selangor, kita berinya peluang mempin PKR Wilayah Persekutuan,” kata Anwar.

Ketua pembangkang itu juga secara sinis berkata beliau jangkakan Zaid tidak akan menghadapi banyak karenah dalam mendaftarkan parti barunya itu kerana akan mendapat restu Umno.

"Kita tidak akan dapatnya (kelulusan segera) tetapi mereka yang disukai oleh Umno boleh. Seperti mana PERKASA dapat,” katanya.

Ditanya sama ada Zaid perlu atau boleh terus berperanan sebagai penyelaras PKR, Anwar berkata Zaid sebenarnya tidak pernah dilantik ke jawatan berkenaan.

"Jika dia mendakwa memegang jawatan itu, itu soal lain, saya tidak mahu berbalah dengannya dalam soal ini (kerana) sehingga hari ini semua mesyuarat parti masih lagi dipengerusikan oleh saya sendiri," katanya selepas menghadiri majlis korban di Masjid Tok Kun di Permatang Pauh.

NONEMenurut Anwar, PKR sudah berulang kali menjelaskan mengenai perkara itu tetapi media masih menggunakannya.

"Dia juga menggunakan rakan-rakan medianya untuk mempromosikan dirinya sebagai penyelaras PKR tetapi sebulan yang lepas apabila Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali, membuat semakan, tiada lantikan jawatan itu kepadanya," kata Anwar.


[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/148541

Lagi 'ketegasan' pada anak syarikat S'gor

Nov 18, 10 4:30pm

Selepas kontroversi perbelanjaan mewah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan yayasan negeri, kerajaan Selangor kini lebih 'bertegas' terhadap anak syarikatnya.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan semua anak syarikat negeri mendapatkan kelulusan Perbadanan Menteri Besar (MBI) terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang aktiviti, termasuk sambutan perayaan atau ulang tahun.

NONEKatanya, ini ekoran kerajaan negeri sedang mengemaskini perjalanan anak syarikat dan agensi kerajaan secara holistik bagi memastikan pengurusan dibuat dengan telus, bertanggungjawab dan cekap.

"Kelulusan tersebut termasuk antara lain (melibatkan) kelulusan belanjawan bagi penganjuran majlis, senarai jemputan dan aturcara.

"Dengan cara ini, kerajaan negeri dapat memantau penganjuran aktiviti oleh anak-anak syarikat seterusnya dapat mengawal perbelanjaan supaya ia munasabah dengan majlis itu bagi mengelak pembaziran wang rakyat," katanya.

Keputusan itu dipercayai ekoran kontroversi perbelanjaan PKNS dan Yayasan Selangor.

azlanYayasan itu kini disiasat ekoran perbelanjaan RM300,000 untuk majlis ulang tahunnya yang menyebabkan Sultan Selangor membatalkan kehadiran.

Manakala semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk tajaan jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara yang dilaporkan bernilai lebih setengah juta ringgit.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata, anak syarikat akan hanya dibenarkan melantik syarikat pengurusan acara jika benar- benar perlu, dengan alasan yang kukuh dan melibatkan perbelanjaan yang tidak keterlaluan serta setimpal.

Bagaimanapun, menurut Khalid lagi, perkara itu tidak digalakkan sebaliknya anak syarikat dicadangkan menggunakan tenaga kerja dan kakitangan sedia ada.

"Kerajaan negeri berpendapat cara ini sudah tentu akan menjimatkan lagi perbelanjaan dan wang yang dijimatkan ini dapat disalurkan ke tempat atau kepada individu yang sepatutnya sejajar dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Hasil Negeri untuk Rakyat.

http://malaysiakini.com/news/148538

1 atau 2 negeri Pakatan akan tumbang kata Dr M

1 atau 2 negeri Pakatan akan tumbang kata Dr M

Nov 18, 10 3:58pm

Parti pemerintah BN dijangka terus gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen tetapi mungkin berjaya merampas satu atau dua buah negeri kembali pada pilihan raya umum akan datang, kata mantan, perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

NONEPada wawancaranya dengan Bloomberg pada 16 November lalu, Mahathir berkata “BN mungkin tidak dapat dua pertiga majoriti yang membolehkan mereka memerintah negara dengan mandat yang kukuh” pada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum 2013.

Namun, katanya parti pemerintah itu “mungkin mendapat satu atau dua” daripada lima negeri yang sekarang di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Mahathir bagaimanapun tidak menamakan negeri-negeri yang dijangkakan akan jatuh semula ke tangan BN. Namun dipercayai beliau merujuk kepada negeri asalnya, Kedah yang jatuh kepada PAS buat pertama kali pada pilihan raya 2008.

Sebuah negeri lain yang diintai oleh BN adalah Selangor, antara negeri paling kaya di Malaysia.

NONEAndaian Mahathir itu dipercayai dipengaruhi oleh kejayaan BN pada dua pilihan raya kecil awal bulan ini - kerusi DUN Galas dan parlimen Batu Sapi - dan juga krisis kepimpinan yang melanda PKR sekarang.

“Buat masa ini, partinya (ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalam keadaan kucar-kacir,” kata Mahathir.

Anwar, yang merupakan bekas anak didik Mahathir dijangka menghadapi tentangan dalaman dari partinya berikutan perletakkan jawatan bekas menteri, Zaid Ibrahim yang merupakan pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

mahathir najib and abdullah ahmad badawi 090507Mahathir juga menyifatkan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak sebagai “satu perubahaan besar” jika dibandingkan dengan penggantinya, Tun, Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah dipilih oleh Mahathir untuk menggantikannya apabila beliau bersara pada Oktober 2003. Namun, akibat pergeseran kedua-duanya dan diburukkan lagi dengan prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008, Mahathir terus membidas Abdullah dan mendesaknya meletak jawatan.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/148533

Carrefour kekal di M'sia, S'pura

Carrefour kekal di M'sia, S'pura

Nov 18, 10 3:39pm

Gergasi runcitan Carrefour hari ini membatalkan hasratnya untuk menjual pasaraya besarnya di Malaysia dan Singapura dan akan meningkatkan bahagian pasarannya di negara-negara Asia.

Carrefour, pengendali pasaraya kedua terbesar di dunia selepas Wal-Mart (Amerika Syarikat), awal minggu ini berkata ia akan melego sebanyak 42 pasarayanya Thailand dan akan menjual sebanyak 23 premis di Malaysia serta dua lagi di Singapura.

NONEBagaimanapun, firma Perancis itu berkata ia akan mengekalkan kewujudan perniagaannya di Malaysia dan Singapura apabila lelongan perniagaannya tidak menarik bidaan yang dapat menampung urusniaga tersebut.

CEO syarikat itu Lars Olofsson memberitahu Wall Street Journal bahawa syarikat itu melihat prospek pertumbuhan yang memberangsangkan di Malaysia.

Tambahnya, Carrefour mampu mencipta lebih banyak nilai sekiranya menjalankan perniagaan itu sendiri.

Katanya lagi, pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang akan dipacu oleh pasaran baru.

Para pegawai Carrefour Malaysia mengesahkan laporan itu kepada AFP.

Syarikat Perancis itu pada Isnin lalu berkata ia akan menjual perniagaannya di Thailand kepada pesaingnya Big C, salah sebuah cabang perniagaan kumpuluan French Casino, dengan harga EUR868 juta (USD1.19 bilion).

NONELaporan mula timbul sejak Julai bahawa Carrefour bercadang untuk menjual perniagaannya di ketiga-tiga negara rantau Asia Tenggara itu dalam usaha untuk menyepadukan perniagaanya dan memindahkan sumbernya kepada pasaran India.

Syarikat itu bagaimanapun menafikan laporan mengenai penstrukturan semula itu pada Ogos.

Menurut Carrefourt, rantau Asia menyumbangkan sebanyak 7.6 peratus daripada keseluruhan jualannya yang bernilai EUR85.96 bilion pada 2009, berbanding sebanyak 13.9 peratus untuk Amerika Latin dan 35.7 peratus untuk pasaran Eropah, tidak termasuk Perancis.

- AFP

http://malaysiakini.com/news/148530

Calon BN: Kata pemutus di tangan pengerusi

Calon BN: Kata pemutus di tangan pengerusi

Nov 18, 10 3:13pm

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN mempunyai kata pemutus dalam proses pemilihan calon pada pilihan raya umum akan datang, kata timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

gerakan gdc agm 071110 muhyiddinKatanya, BN akan terus mengamalkan konsep pemuafakatan dan tidak bercadang membuat perubahan besar dalam soal memilih calon.

Justeru, menurut Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN, perkara itu bukan sesuatu yang penting untuk dibincangkan pada Konvensyen BN pada 28 November ini.

"Saya tidak fikir itu satu mauduk yang sangat penting untuk dibincangkan di situ (Konvensyen BN) kerana kita sudah wujud satu mekanisme dan tradisi yang masih baik.

Konsep musyawarah

"Saya tidak lihat (perlu) satu perubahan besar dalam soal memilih calon. Yang pentingnya, mesti ada konsep musyawarah sebelum kita capai kata putus yang biasanya dibuat oleh Pengerusi BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet mengenai pembangunan modal insan di Putrajaya hari ini.

NONEMenurutnya, meskipun Najib mempunyai kata pemutus dalam proses pemilihan calon, rundingan dan perbincangan sentiasa diadakan dengan pemimpin parti-parti komponen BN.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai cadangan pindaan perlembagaan BN bagi membolehkan perdana menteri selaku pengerusi BN diberi kuasa penuh berhubung pemilihan calon bagi pilihan raya akan datang dan perkara itu adalah antara isu yang dikatakan akan dibincangkan pada Konvensyen BN.

"Kita hormat kepada apa sahaja pandangan tetapi apa yang penting, kita mesti letak calon yang layak, boleh diterima rakyat, boleh bekerja dan mendapat sokongan sehingga berjaya dan menang," katanya.

NONEBeliau berkata perkara itu akan menjadi asas dan pertimbangan kepada BN dalam meletakkan calonnya dan berpendapat tidak perlu ada perubahan yang drastik daripada segi hendak menilai mana-mana calon.

"Jadi itu asas-asas dan pastinya untuk pilihan raya akan datang pun asas pertimbangan yang sama digunakan. Saya fikir bukan parti kita (gunakan asas-asas itu), parti lain pun ambil kira soal itu juga," katanya.

Piagam BN

Mengenai Konvensyen BN, Muhyiddin berkata antara hasil yang diharap dapat diperoleh pada konvensyen itu ialah Piagam BN yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri kepada rakyat tentang hala tuju parti berkenaan.

NONE"Piagam BN (adalah) untuk mengukuhkan lagi asas-asas yang selama ini yang disepakati dan mungkin hala tuju baru supaya ia sesuai dengan perubahan masa dan kehendak rakyat," katanya.

Beliau berkata pemimpin parti komponen BN juga akan diberi peluang dan ruang untuk mengemukakan perkara atau isu demi kepentingan negara seperti yang telah lama mereka perjuangkan.

"Bukan setakat untuk mengulang semula apa yang sudah lama kita tahu tetapi mungkin memperbaharui dan mengambil pendekatan dan perspektif baru berdasarkan kepada perkembangan masa kini," katanya.

NONEDitanya sama ada konvensyen itu sebagai persediaan BN menghadapi pilihan raya akan datang, Muhyiddin berkata: "Kita tidak bekerja untuk lima tahun tetapi sepanjang masa. Kita hendak supaya rakyat memahami bahawa perjuangan BN ialah sebenarnya untuk mengisi keperluan dan masa depan mereka.

"Parti kita mesti bukan setakat relevan ia mesti dinamik dan berubah dalam kadar yang sesuai mengikut keadaan dan keperluan negara...mempunyai daya saing dan boleh kekal sepanjang masa. Itu penting supaya rakyat kekal yakin kepada BN."

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148525

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...