LUNAS - Sepasang kekasih berusia 20-an ditangkap oleh lima anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) kira-kira jam 10.30 malam semalam kerana bersekedudukan di sebuah rumah teres di sini. Jurucakap PADK berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira jam 9.30 malam berikutan sering ternampak perempuan berkenaan masuk ke dalam rumah kekasihnya. "Ketika membuat serbuan di rumah pasangan itu, pintu pagar tidak berkunci dan hanya pintu gerigi besi dan pintu rumah berkunci. Setelah memperkenalkan diri, PADK terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu. Hasil pemantauan, PADK mendapati remaja perempuan berkenaan melarikan diri ke bilik lain. "Lelaki berkenaan pada mulanya memaklumkan dia tinggal seorang, namun setelah rumahnya diperiksa, PADK menjumpai seorang perempuan dalam almari baju plastik dengan hanya berbaju 'singlet' dan berseluar pendek. Hasil soal siasat, pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lunas untuk membuat laporan," katanya. PADK berkata, pada mulanya lelaki berkenaan tidak mengaku perempuan itu adalah kekasihnya, namun akhirnya menyatakan dia terpaksa memanggil teman wanitanya untuk menemaninya di rumah kerana dia sering ternampak lembaga putih dalam rumah dan meminta kekasihnya menjaga kucingnya yang ada di bahagian bilik hadapan. "Pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut keputusan mahkamah. "Pasangan itu dikemudiankannya dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan hadir ke PADK untuk diambil kenyataan dan menetapkan tarikh perbicaraan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Kulim” katanya.� http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story8466211.asp |
Monday, November 29, 2010
Pasangan kekasih ditangkap khalwat
Mangsa wang palsu
Mangsa wang palsu KUALA NERUS – Modus operandinya sama iaitu menggunakan sekeping wang RM100 untuk membayar harga barangan bernilai RM10 dan selepas itu peniaga yang ‘terkena’ akan menyerahkan baki belian tanpa menyedari, wang yang diberikan sebelum itu adalah palsu. Bagaimanapun, taktik kotor dua penjenayah lelaki lingkungan usia 20-an itu terbongkar apabila peniaga kedai ubi di laluan Kubang Jela, di sini, menyedari wang yang digunakan untuk membayar harga ubi yang dibeli itu dipercayai tidak sah, sekali gus tertipu dengan penggunaan wang palsu itu. Peniaga, Faizah Hassan, 45, berkata, dia sama sekali tidak menyedari tindakan mencurigakan dua lelaki yang berlagak seolah-olah tidak memiliki wang kecil untuk membayar harga ubi yang dibeli merupakan taktik untuk menipu menggunakan wang palsu. http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8464133.asp |
Subsidi gula diteruskan untuk pastikan liberalisasi harga dilaksa berperingkat
KUALA LUMPUR -- Kerajaan akan meneruskan subsidi gula pada tahun depan bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain memastikan proses
ke arah liberalisasi harga dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata tindakan penamatan program subsidi akan menjejaskan kredibiliti kerajaan terutamanya di kalangan rakyat yang telah menikmati faedah besar daripada subsidi itu.
"Kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan terpelihara akibat kesan kenaikan harga terutama barang keperluan semasa.
"Oleh itu kerajaan masih meneruskan subsidi bagi gula dan tepung gandum demi memastikan harga barangan akhir tidak meningkat secara mendadak," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dalam pada itu Tan berkata, kementerian bercadang untuk melanjutkan kontrak 2,000 orang Pegawai Pemantau Harga bagi tempoh tiga tahun bagi memantapkan lagi tugas-tugas pemantauan harga.
Katanya kementerian itu turut mengkaji cadangan untuk menyerapkan
sebahagian pemantau tersebut ke jawatan tetap.
Ketika ini terdapat seramai 1,600 orang Pegawai Pemantau Harga di bawah
Majlis Harga Barang Negara (MHBN) selain 1,922 orang pegawai penguatkuasa di seluruh negara.
Selain itu Tan berkata empat entiti perniagaan melibatkan sembilan individu telah dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menganjurkan aktiviti"kutu" sehingga bulan lepas.
"Dari aspek pencegahan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai skim-skim pelaburan itu yang berleluasa melalui kempen selain maklumat melalui siaran media massa," katanya.
Larangan terhadap perniagaan yang mempromosikan dana kutu dan aktiviti
penganjurn wang kutu adalah tertakluk mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
Tan berkata kesedaran orang ramai terhadap skim "kutu" yang cuba
memperdayakan orang ramai juga semakin meningkat berdasarkan kepada banyak maklum balas yang diterima SSM bagi mendapatkan pengesahan mengenai skim tertentu anjuran pelbagi perniagaan dan syarikat.
Justeru, kementerian meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan aktiviti sedemikian yang bermotifkan penipuan serta mengaburi mata peserta dengan janji-janji kosong perolehan keuntungan berlipat kali ganda.
Orang ramai juga dimohon untuk membantu kementerian untuk memberi maklumat lengkap berhubung aktiviti mencurigakan yang dijalankan mana-mana pihak agar tindakan awal dapat diambil bagi membendung aktiviti seumpamanya. -- BERNAMA
http://www.sinarharian.com.my/bterkini/7557.asp
Tidak menjadi 'tuan' selepas 53 tahun
PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak ada makna sekiranya majoriti rakyat termiskin negara ini masih terdiri daripada kaum Melayu selepas UMNO memerintah selama 53 tahun.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada kajian yang dijalankan, terbukti 97 peratus daripada kira-kira 65,000 isi rumah termiskin seluruh negara terdiri daripada golongan Melayu-Bumiputera.:
Menurutnya, dengan adanya konsep Ketuanan Melayu serta diperkuatkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), masih belum mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu kerana dasar tersebut menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sahaja.
Katanya, oleh kerana kegagalan pemimpin sekarang, penyelesaian kepada isu tersebut adalah meninggalkan konsep Ketuanan Melayu dan menghapuskan perbezaan etnik demi kepentingan bersama.
“Kita tidak nafikan kepentingan masa depan orang Melayu di negara ini, sebab itu pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) bersetuju menandatangani deklarasi bersama mempertahankan prinsip asal Perlembagaan negara.
“Kita bersetuju dengan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama juga hak kaum lain turut terjaga,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres PKR ke-7, di sini, semalam.
Selain itu, Anwar turut mengingatkan perwakilan yang ada agar tidak lagi risau dengan dakyah pihak lawan yang menakutkan orang Melayu mengenai nasib mereka sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, dakwaan sebegitu muncul kerana pihak lawan berasa takut dengan kebangkitan rakyat yang mahukan reformasi secara besar-besaran dan ini pasti akan diterjemahkan pada pilihan raya melalui undi.
“Bagi saya, baik saya hidup di bawah pemerintahan bukan Islam yang adil daripada pemerintahan orang Islam yang penuh dengan rasuah dan salah laku,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli parti agar terus bersabar apabila diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.
Katanya, PKR telah melalui pelbagai cabaran yang amat getir sehingga pernah disifatkan telah mati, namun Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan PKR kembali kuat dan menjadi parti masa depan negara.
“Sekarang adalah pusingan terakhir, sebab itu kita diserang hebat dari segenap arah, dari luar dan dalam.
“Tetapi saya bersyukur kita sudah berjaya membersihkan parti kita daripada pemimpin yang berniat lain daripada perjuangan sebenar PKR,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8467551.asp
Ivabradine Ringankan Beban Pesakit Jantung
KUALA LUMPUR: Joseph (bukan nama sebenar), 55, ialah ahli perniagaan yang berjaya. Sebagai manusia yang menggemari cara hidup aktif, beliau sering bersukan dan kegemaran ini diimbanginya dengan meluangkan masa untuk mendampingi keluarga serta rakan-rakan. Ringkasnya, Joseph menjalani kehidupan penuh bahagia.
Bagaimanapun, keadaan itu mula berubah baru-baru ini apabila Joseph mengalami masalah jantung. Perubahan ini menjadi semakin ketara hari demi hari apabila beliau sering keletihan hingga tidak mampu menunaikan tugas hariannya dengan sempurna.
“Saya rasa sukar untuk bernafas dan tidak bermaya. Malah, untuk mendaki tangga ke pejabat saya di tingkat tigapun merupakan suatu penyeksaan bagi saya,” katanya.
Memandangkan beliau tidak mempunyai sejarah keluarga yang mengalami sakit jantung atau masalah kesihatan lain yang serius, beberapa doktor yang memeriksanya membuat kesimpulan bahawa masalah yang dialami ahli perniagaan ini berpunca daripada virus selesema dan demam.
Hanya setelah gejala yang dialaminya menjadi semakin teruk, barulah Joseph menyedari ada sesuatu yang amat tidak kena dengan kesihatannya.
Beliau sering sesak nafas ketika berehat dan kerap terjaga pada waktu malam serta mengalami peluh sejuk dengan jantungnya berdenyut kencang dan tercungap-cungap untuk bernafas.
Beliau juga mendapati beberapa bahagian pada kaki dan abdomennya, bengkak. Seorang doktor pakar mengesahkan beliau mengalami masalah saluran jantung tersumbat, yang menyebabkan jantungnya tidak dapat mengepam darah dengan sempurna.
Joseph mula mendapatkan rawatan untuk masalah itu dan lebih kerap ke hospital apabila gejala yang dialaminya menjadi semakin teruk.
Bagaimanapun, rawatan serta kekerapannya dimasukkan ke wad menjadikan Joseph semakin tidak bermaya dan membebankannya dari segi kewangan.
Ini memaksa beliau berhenti daripada bersukan dan tidak mengizinkannya berada lama di pejabat.
PENYAKIT YANG SEMAKIN BERLELUASA
Kini, semakin banyak rakyat Malaysia mengalami masalah jantung dan berdasarkan kadar semasa, tiga hingga 20 daripada setiap 1,000 penduduk negara ini mengalami masalah itu, dianggarkan 660,000 orang akan menderita akibat masalah ini menjelang 2020.
Penyelidik perubatan menganggarkan jumlah ini akan meningkat dengan ketara apabila semakin banyak orang dihinggapi penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung koronari.
Sebenarnya, peningkatan jumlah kes penyakit jantung sebahagiannya berpunca daripada kejayaan perubatan moden yang memungkinkan semakin banyak pesakit terselamat daripada serangan jantung untuk hidup lebih lama.
Bagaimanapun, pesakit terbabit kemudiannya terpaksa bergelut dengan masalah lemah jantung sebab pernah diserang penyakit berkenaan.
Masalah ini didapati meningkat dengan ketara dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan boleh mencapai kadar 100 kes bagi setiap 1,000 penduduk.
Di Malaysia, penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu sejak tiga dekad lepas, manakala kegagalan jantung menjadi punca 10 peratus daripada mereka yang dimasukkan ke wad.
Peningkatan ini akan lebih ketara apabila Malaysia semakin menghampiri sasarannya untuk mencapai taraf negara maju dengan penduduk dianggarkan berjumlah 33.4 juta orang pada 2020.
GEJALA BIASA
Kebanyakan masalah jantung berpunca daripada ketidakmampuan organ itu mengepam jumlah darah yang diperlukan oleh tubuh dengan secukupnya.
Dalam sesetengah kes, ia berlaku apabila jantung tidak dapat membekalkan darah yang mencukupi atau tidak mampu mengepam darah ke bahagian tubuh lain kerana kurang bertenaga.
Gejala dan tanda lazim yang menunjukkan seseorang itu mengalami kegagalan jantung ialah kesukaran untuk bernafas, kelesuan dan mengalami kesesakan bendalir.
Tanda lain termasuk kembung pada bahagian abdomen, kerap batuk dengan mengeluarkan kahak berbuih serta lemah ingatan.
Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM) Prof Dr Sim Kui Hian berkata tahap keterukan kegagalan jantung mengikut klasifikasi Persatuan Jantung New York (NYHA)terbahagi kepada empat kategori --Kelas 1 (tiada had dikenakan bagi kegiatan), Kelas II (had dikenakan bagi kegiatan tertentu, khususnya kegiatan berat), Kelas III (had dikenakan bagi kegiatan harian kurang daripada biasa) dan Kelas IV (sukar bernafas ketika berehat atau menjalankan kegiatan minimal).
“Kegagalan jantung mempunyai kaitan dengan kelemahan prognosis (ramalan). Bagi pesakit yang tergolong dalam Kelas III dan IV NYHA, prognosis menganggarkan akan berlaku 50 peratus kematian pada tahun pertama.
“Bagaimanapun, pada keseluruhannya, prognosis bertambah baik dalam tempoh dua dekad lepas hasil kemajuan dalam bidang farmaseutikal dan pembedahan, manakala bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung lebih teruk, prognosisnya tetap kekal demikian,” katanya pada taklimat kepada media.
Namun demikian, kata Prof Dr Sim, kajian global baru-baru ini tentang rawatan yang diberi kepada pesakit yang mengalami kegagalan jantung kronik di 37 negara, termasuk Malaysia, menunjukkan penggunaan sejenis agen penurunan kadar denyutan jantung kepada tahap terapi standard, mampu mengurangkan dengan banyaknya risiko kematian dan keperluan memasukkan mereka yang mengalami kegagalan jantung ke wad.
KAJIAN SHIFT
Kajian SHIFT (Systolic Heart Failure Treatment with the If Inhibitor Ivabradine Trial), yang di jalankan selama empat tahun dengan dibiayai pengeluar ubat-ubatan, Servier, yang hasilnya dibentqngkan pada Kongres Kardiologi Persatuan Eropah di Stockholm dan disiarkan dalam The Lancet menunjukkan kaedah itu amat bermanfaat dalam merawat kegagalan jantung.
Antara penemuan paling penting dalam kajian itu ialah agen penurunan kadar denyutan jantung dikenali sebagai Ivabradine, mampu menambah baik keadaan kardiovaskular, gejala dan kualiti kehidupan apabila ia digabungkan dengan terapi berpandukan garis panduan sedia ada terhadap pesakit yang mengalami kegagalan jantung dan kelemahan sistolik.
Kajian ini memberi fokus terhadap kesan ubat-ubatan yang digunakan bersama saluran f, yang mampu mengurangkan kadar denyutan jantung.
Saluran f berfungsi menjana nadi elektrik yang menyebabkan jantung berdenyut.
Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, seorang daripada penyelidik utama dalam kajian SHIFT di Malaysia berkata penemuan itu merupakan kemajuan penting dalam merawat kegagalan jantung kerana ia mengurangkan risiko kematian dan keperluan pesakit yang mengalami kegagalan jantung mendapat rawatan di wad.
"Kini, pesakit jantung mempunyai harapan baru bukan saja dalam memberi kualiti kehidupan lebih baik kepada mereka dan mengurangkan risiko kematian, tetapi juga memberi lebih banyak peluang kepada pesakit yang tidak sesuai menerima rawatan jantung yang menggunakan kaedah lain, untuk selamat,” katanya.
Kajian itu merupakan penyelidikan morbiditi-mortaliti terbesar yang pernah dijalankan tentang kegagalan jantung yang dialami lebih 6,500 pesakit dari 37 negara, yang didiagnos mengalami kegagalan jantung peringkat sederhana dan teruk serta kadar jantung sekurang-kurangnya 70 denyutan seminit, untuk tempoh 23 bulan.
MENGURANGKAN RISIKO KEMATIAN
SHIFT juga adalah kajian yang julung kali diadakan untuk mengesahkan bahawa pengurangan kadar denyutan jantung boleh mengurangkan risiko kematian atau keperluan pesakit yang mengalami kegagalan jantung, dimasukkan ke wad.
Ini seterusnya menunjukkan bahawa kadar denyutan jantung mempunyai pengaruh besar terhadap penyakit.
Pakar kardiologi Dr Choo Gim Hooi pula berkata penemuan itu merupakan suatu kejayaan penting dalam usaha merawat kegagalan jantung.
“Kajian SHIFT memberi gambaran penting kepada pesakit dan doktor tentang masa depan dalam bidang rawatan dan pengurusan kegagalan jantung.
“Walaupun banyak kes kegagalan jantung mungkin tidak dapat dipulihkan kepada keadaan asalnya, tetapi hasil daripada kajian SHIFT, kini pesakit mempunyai harapan untuk menikmati kualiti kehidupan lebih baik dan mampu hidup dengn lebih lama, walaupun mereka mengalami kegagalan jantung,” kata Dr Choo.
Beliau berkata kini, pesakit seperti Joseph boleh mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna kerana SHIFT menyingkap manfaat yang terdapat pada kaedah rawatan baru dikenali sebagai Ivabradine, yang mampu menambah baik keadaan seseorangpesakit dalam tempoh tiga bulan sahaja.
Rawatan menggunakan kaedah ini bukan sahaja mampu mengembalikan kadar denyutan jantungnya ke tahap biasa, tatapi juga menurunkan risiko kematian serta tidak lagi memerlukan beliau kerap ke hospital. Ini sudah tentu akan membolehkanbeliau menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. - BERNAMA
Aduan Babit Penjawat Awam Biadap Makin Meningkat - Murugiah
IPOH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah pada Isnin menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes membabitkan penjawat awam berlaku biadap dan bersikap perkauman terhadap orang ramai.
Beliau berkata masalah salah laku penjawat awam terutama yang bertugas di barisan hadapan tersebut disedari meningkatkan berdasarkan peningkatan aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA).
"BPA menerima lebih 60 aduan dari seluruh negara setiap bulan yang membabitkan penjawat awam bersikap kasar, biadap dan menyentuh isu perkauman sehingga menimbulkan rasa kemarahan pengadu dan rakyat," katanya pada sidang akhbar di pejabat BPA Perak di sini.
Aduan terhadap kes seumpama itu menimbulkan kemarahan kaum dan ia boleh digunakan sebagai isu untuk menyebabkan perbalahan di kalangan pemimpin politik, katanya.
Murugiah berkata BPA sedang memantau semua aduan yang diterima itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil oleh jabatan atau agensi terbabit bagi membendung masalah itu.
Katanya, tindakan yang boleh diambil termasuk memecat, menggantung atau mengenakan tindakan disiplin kepada individu yang terbabit.
Menurutnya, satu contoh kes yang diterima BPA ialah aduan pada 10 Nov lepas yang membabitkan seorang jururawat di sebuah hospital di sini yang mengeluarkan kata-kata kesat dan bersifat perkauman terhadap satu keluarga.
Murugiah berkata kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan penjawat awam beruniform dan yang berurusan setiap masa bersama pelanggan seperti anggota polis, kakitangan hospital dan sekolah.
Beliau berkata isu seperti itu menimbulkan masalah apabila berlaku campur tangan ahli politik.
Beliau menasihati penjawat awam supaya lebih peka berhubung isu berkaitan dan berusaha sebaik mungkin memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka. - BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/29/mstar_berita/20101129175725&sec=mstar_berita
Kenali insurans haram
SECARA ringkasnya, perbincangan hukum insurans dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama, terutama di kalangan ulama Asia Barat.
Oleh kerana sistem insurans adalah ciptaan yang dikira baru menurut zaman, iaitu sekitar 1666 di London, ia hanya menembusi dunia Islam Arab sekitar 1830.
Insurans konvensional adalah kontrak perniagaan yang termasuk dalam Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah).
Ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum insurans apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.
Kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:
1. Reda antara kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ‘ijab dan kabul’.
2. Pihak yang memberi insurans, iaitu pihak syarikat insurans.
3. Pencarum, iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat perjanjian dengan syarikat insurans.
4. Pihak yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Merangkumi jenis musibah atau kemalangan yang diandai serta ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran, kecederaan dan kematian.
Bentuk insurans adalah seperti insurans terhadap musibah menimpa tubuh, insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motosikal, rumah dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan sebagainya.
Bagaimanapun, ada beberapa sebab yang menjadikan insurans konvensional haram kerana ia turut ‘diselubungi’ riba.
Ia adalah perbincangan ‘ilmiah’ dan memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu yang kukuh untuk memahaminya dengan sempurna.
Bagaimanapun, penulis akan cuba memudahkan dalil ini demi memberi kefahaman sebaik mungkin di kalangan pembaca.
Selebihnya pembaca perlu melakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan
Takhassus Fiqh di universiti bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci.
Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mesti mempunyai ilmu asas berikut:
1. Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) & Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan).
2. Riba dan pembahagiannya.
3. Syarat jual beli dalam Islam.
Menurut majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, insurans konvensional adalah haram kerana wujud unsur riba yang jelas di dalamnya.
Ini kerana, riba jelas wujud apabila syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah.
Ia dianggap riba kerana wang (daripada pencarum) berbalas wang (daripada syarikat) dengan jumlah berbeza, padahal wang adalah unsur ‘ribawi’ (usurious items) sebagaimana enam unsur disebutkan Rasulullah SAW di dalam hadisnya.
Rasulullah SAW mensyaratkan dengan jelas, apabila ‘bermu’amalah’ di antara dua unsur ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans), ia mestilah terikat dengan syarat:
1. Sama Nilai (mathalan bi mathalin).
2. Diserahkan ketika mu’a- malah dilakukan. (Yadan diyadin)
Syarat ini bersumber hadis Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jangan kamu melebihkan satu daripadanya di atas yang lain.
“Jangan kamu menjual emas dengan pulangan emas atau perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan dan nilaian sama.”
Maka, setiap perbezaan nilai (dalam unsur ribawi) dianggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim Wasail).
Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza, maka berlakulah Riba al-Fadl. Ini kerana tidak wujud kesamaan nilai dalam urusniaga dua unsur ribawi itu.
Pembayaran yang bertangguh dalam dua barangan Ribawi adalah Riba An Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
Dalam hal insurans, sudah tentu berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah, baru akan dibayar jumlah tertentu.
Prof Dr Muhd Baltaji (ulama besar di Universiti Al- Qaherah - sudah meninggal dunia) menjelaskan, kontrak insurans sama sekali tidak boleh lari daripada Riba An-Nasi’ah.
Beliau juga menegaskan, mana-mana hujah untuk lari daripada anggapan riba ini adalah helah yang tidak sah menurut pandangan syarak.
Justeru, insurans berkenaan mempunyai unsur kedua-dua jenis riba seperti dinyatakan.
Walaupun ada kalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan daripada carumannya, bahkan hanya untuk berasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba.
Zahir urus niaga insurans tadi cukup untuk dikategorikan sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung).
Dalam berapa banyak kes, pasti kita mendengar ada individu sengaja membakar kilangnya akibat perniagaan yang rugi atau pembunuhan ahli keluarga untuk mendapatkan wang insurans bernilai jutaan ringgit.
Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman itu diperniagakan oleh syarikat insurans konvensional di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah) atau mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang berkenaan.
Malah, keadaan lebih teruk jika syarikat insurans meletakkan wang itu di dalam syarikat yang melakukan urusniaga haram seperti arak atau perjudian.
Kesimpulannya, insurans konvensional itu menjadi haram kerana ‘akad’ yang diubah itu tadi.
Insurans konvensional menggunakan akad pertukaran milik harta (Aqad Mu’awadat Maliah) yang dikira sebagai akad jual beli.
Sebagaimana perlu kita fahami, akad jual beli memerlukan penjelasan dalam urusan membabitkan penjual, pembeli, benda yang dijual dan nilainya.
Dalam konteks insurans konvensional, ia boleh diibaratkan seperti berikut, iaitu syarikat insurans mempunyai masalah dalam urusan benda yang dijual.
Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran matawang dengan matawang sama (RM kepada RM).
Ketika itu, ia sepatutnya menuruti syarat ditetapkan Rasulullah SAW iaitu serah terima dan jumlah sama.
Bagaimanapun, hal ini tentu tidak berlaku kerana:
a) Si pembeli (pencarum) meletakkan wangnya hari ini, dan jumlah tertentu dan jaminan itu pula hanya akan diberi kemudian. Ini menyebabkan ulama menganggapnya Riba Nasi’ah.
b) Si pembeli juga tidak tahu berapakah nilai jaminan yang bakal diperolehnya. Walaupun nilainya dinyatakan dalam skim insurans ini, syarat akad jual beli memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapa nilai yang akan diperolehnya.
Sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah belum berlaku. Justeru, di sini pula ia dianggap ‘Gharar’. Malah gharar juga di sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu ia akan berlaku kemalangan dan memperoleh benda yang dibelinya.
c) Ia dianggap judi pula kerana mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan sejumlah wang bagi memperoleh sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang yang diletakkan hangus atau tidak dikembalikan.
Pengharaman insurans konvensional disepakati ulama, antaranya As-Syeikh Al- Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836), As-Syeikh Al- Imam Muhd Abu Zuhrah (meninggal dunia pada 1972, Prof Syari’ah di Universiti Kaherah, dianggap ulama terulung dalam Ilmu Fiqh), termasuk As-Syeikh Prof Dr Yusoff al-Qaradhawi.
Perlu diingatkan bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan ulama terulung seluruh dunia sudah beberapa kali diadakan. Di mana, mereka juga membincangkan mengenai kontrak insurans yang banyak diguna pakai pada masa kini.
Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali pertama pada 1976 di Makkah, di mana hasil keputusan mereka ialah insurans jenis perniagaan atau konvensional adalah haram. Sebab utamanya adalah ia mempunyai unsur riba dan Gharar.
Selain itu, Majlis Kesatuan Ulama Besar bermesyuarat pada 1977 di Arab Saudi turut menyatakan insurans jenis perniagaan adalah haram.
Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang bersidang lagi pada 28 Disember 1985 di Jeddah juga, memutuskan sekali lagi pengharaman insurans jenis perniagaan.
Majma’ Fiqh juga secara nyata mengharuskan insurans jenis kerjasama (ta’awuni) atau TAKAFUL dan mencadangkannya sebagai alternatif insurans perniagaan dan lebih digalakkan.
http://www.hmetro.com.my/articles/Kenaliinsuransharam/Article
Khatan wanita masih popular
afzan.kasiman@kosmo.com.my
BAGI sebahagian besar masyarakat Islam di negara ini, mengkhatankan bayi perempuan dianggap sebagai satu tuntutan agama walaupun secara dasarnya ia bukan amalan yang wajib dilaksanakan.
Rata-ratanya percaya, bersunat boleh mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat sama ada untuk lelaki mahupun wanita.
“Bersunat bagi wanita bertujuan untuk menjaga kebersihan selain daripada mengawasi kesihatan batin.
“Menurut petua orang-orang lama juga, berkhatan dapat memelihara diri daripada mendapat pelbagai penyakit.
“Ia juga merupakan satu cara untuk mendoakan zuriat menjadi perempuan yang baik dan solehah apabila dewasa nanti,” jelas pengamal perbidanan tradisional, Nikmah Suhaidi, 49, ketika ditemui Jurnal di rumahnya di pekan Dengkil, Selangor baru-baru ini.
Amalan dituntut
Mewarisi kepakaran turun-temurun daripada keluarga sebelah ibunya, wanita berketurunan Melayu Boyan ini sudah 18 tahun menyunatkan kaum Hawa.
“Selain bayi, saya juga menyunatkan wanita dewasa, sama ada wanita Melayu yang tidak pernah bersunat mahupun wanita yang baru memeluk Islam. Ada yang masih muda, ada juga yang sudah beranak-pinak,” ujarnya.
Menurut Nikmah, wanita mualaf memilih untuk berkhatan kerana mereka menganggap ia sebagai ritual pembersihan selain membuktikan kesediaan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai wanita Islam.
“Ia bukan paksaan, tetapi amalan yang dituntut. Selain itu, saya juga percaya, berkhatan mampu memelihara gelora nafsu dan mengurangkan rangsangan berlebihan terhadap kaum Adam.
“Saya tidak pasti sama ada terdapat kajian yang jelas tentang sunat mampu mengawal nafsu berahi wanita.
“Namun, menurut pengalaman saya, sudah beberapa kali wanita dewasa yang dikhatankan mengakui lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka,” katanya yang pernah mengkhatankan beberapa orang pekerja seks sebelum ini.
Mengupas lebih lanjut kaedah berkhatan bagi perempuan, Nikmah memberitahu, lazimnya bayi perempuan disunatkan ketika masih kecil, seeloknya beberapa hari selepas dilahirkan.
Namun, ada juga ibu bapa yang memilih untuk menunggu hingga setahun sebelum mengkhatankan anak masing-masing.
Kerat 1.3 sentimeter
“Bersunat bagi perempuan ialah dengan memotong sebahagian muncung daging yang tersembul berdekatan saluran kemaluan wanita. Ia terletak di sebelah atas faraj yang kelihatan seakan-akan bonjolan.
“Bagi wanita dewasa, daging yang dipotong kira-kira setengah inci (1.3 sentimeter).
“Alat yang digunakan untuk memotong ialah mata pisau cukur yang dipotong empat untuk bayi dan gunting kecil untuk wanita dewasa,” ujarnya.
Selain itu, kelengkapan lain yang diperlukan dalam adat berkhatan ialah kain putih yang bersih, minyak gamat, kain kapas dan duit syiling lima sen.
“Kain putih biasanya akan disediakan sendiri oleh pihak yang ingin dikhatankan. Bagi bayi perempuan, kain yang diperlukan ialah sepanjang satu meter dan dua meter bagi wanita dewasa.
“Kain tersebut akan digunakan sebagai alas punggung selain untuk membungkus duit syiling sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan.
“Bagi wanita dewasa pula, selain dijadikan alas, kain putih juga digunakan untuk membungkus daging yang digunting sebelum ditanam,” tambahnya.
Sungguhpun masih mengekalkan berkhatan cara lama, Nikmah tidak pernah berkompromi tentang kebersihan. Setiap peralatan seperti kain, mata pisau dan gunting, akan dicuci bersih sebelum digunakan.
Malah, bekas bidan di klinik swasta ini juga tidak akan menggunakan peralatan yang sama untuk pelanggan berbeza.
“Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja. Ia akan dibungkus dan ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Ini untuk mengelakkan jangkitan kuman dan komplikasi lain.
Tambah Nikmah, untuk memudahkan proses berkhatan, seelok-eloknya kita memulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali, Nikmah melakukan tugasnya dengan berbekalkan ayat suci al-Quran selain selawat.
“Selesai berkhatan, saya akan memandikan mereka dengan air limau sambil membaca selawat, ia bertujuan untuk membersihkan diri dan menjauhi perkara tidak baik daripada berlaku,” ujarnya yang pernah mengkhatankan bayi yang baru lahir hinggalah wanita dewasa berusia 50 tahun.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm
Wanita dakwa daftar namanya sebagai pemilik matahari
MADRID - Seorang wanita dari Galicia, Sepanyol, Angeles Duran (gambar) menyatakan matahari secara rasminya sudah menjadi miliknya, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut Duran yang berusia 49 tahun, dia mendaftarkan namanya sebagai pemilik matahari di sebuah pejabat notari awam tempatan.
Pejabat notari awam bertanggungjawab mengesahkan sesuatu perjanjian yang dibuat.
Dokumen yang dikeluarkan pejabat itu mengisytiharkan bahawa Duran merupakan pemilik matahari iaitu bintang yang terletak di pusat sistem suria dengan jarak dari Bumi kira-kira 149,600,000 kilometer.
Menurut wanita itu kepada akhbar El Mundo, dia mengambil langkah mendaftarkan namanya sebagai pemilik matahari pada September lalu.
Duran berkata, dia mendaftarkan namanya itu selepas membaca artikel bahawa seorang lelaki Amerika Syarikat telah mendaftarkan namanya sebagai pemilik bulan dan kebanyakan planet di dalam sistem suria.
Dia menjelaskan, terdapat satu perjanjian antarabangsa yang menyatakan bahawa tidak ada mana-mana negara boleh mengaku menjadi pemilik bintang atau planet.
Namun, perjanjian itu tidak menyatakan bahawa mana-mana individu tidak boleh menjadi pemilik bintang atau matahari.
Duran menyatakan, dia kini mahu mengenakan caj kepada setiap orang yang menggunakan matahari.
Menurutnya, dia akan memberikan separuh daripada hasil kutipannya itu kepada kerajaan Sepanyol, 20 peratus untuk dana pencen, 10 peratus bagi tujuan penyelidikan dan 10 peratus untuk menamatkan kebuluran dunia manakala 10 peratus lagi menjadi miliknya. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm
Pelakon lucah 81 tahun umum bersara
LONDON - Pelakon lucah berusia 81 tahun, Sheila Vogel-Coupe berikrar tidak akan berlakon dalam filem porno lagi, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia membuat pengumuman itu selepas perbuatannya menawarkan perkhidmatan teman sosial melalui sebuah agensi teman sosial dalam talian selama dua tahun selain berlakon dalam sebuah filem lucah didedahkan media.
Wanita itu merupakan nenek kepada seorang peserta yang menyertai program mencari bakat nyanyian X-Factor di televisyen, Katie Waissel.
"Saya tidak berhasrat untuk melakukan (berlakon) dalam mana-mana filem seperti itu (filem lucah) lagi," katanya.
Sebelum ini pendedahan nenek tersebut sebagai pelakon lucah telah memberi tekanan ke atas cucunya yang kini bertanding sebagai peserta dalam program nyanyian itu. - Agensi
Ribuan rai perarakan pertama gay di India
NEW DELHI - Ribuan orang menari, menyanyi dan bersorak di beberapa batang jalan raya di sini semalam dalam perarakan pertama gay, lesbian dan pondan di India.
Seramai 2,000 aktivis gay termasuk penyokong cara hidup bebas itu menjerit pelbagai slogan dan membawa poster semasa mereka berarak.
"Hari ini merupakan hari untuk menyatakan bahawa kami merupakan gay dan kami berasa bangga. Kami tidak pergi ke mana-mana, kami merupakan sebahagian daripada masyarakat," kata salah seorang penganjur, Amit Agrawal.
Perarakan itu dilakukan sejak gay dibenarkan berdasarkan undang-undang India. - Reuters
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm
AS-Korea Selatan mula latihan
PULAU YEONPYEONG, Korea Selatan - Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan peperangan bersama semalam.
Latihan itu diadakan semasa pemerintah China mendesak supaya satu rundingan tergempar diadakan berhubung krisis bedilan meriam sebanyak 170 kali oleh tentera Korea Utara ke pulau ini pada minggu lalu.
Semalam, penduduk yang tinggal di Pulau Yeonpyeong, digegarkan dengan bunyi bedilan meriam dan roket tentera Korea Utara.
Penduduk mendapatkan perlindungan di kubu bawah tanah selepas mendengar bunyi letupan yang datangnya dari tanah besar Korea Utara apabila tenteranya melakukan latihan peperangan.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan turut mendesak supaya ratusan wartawan meninggalkan pulau ini.
Menurut kementerian itu, Korea Utara mungkin menggunakan alasan latihan peperangan antara AS dengan Korea Selatan untuk melancarkan satu serangan.
Latihan peperangan Korea Selatan itu disertai oleh kapal pengangkut pesawat milik AS, USS George Washington berkuasa nuklear.
Penghantaran kapal itu dilakukan sebagai satu mesej kuat untuk menghalang serangan tentera Korea Utara.
Namun, kehadiran kapal pengangkut AS itu mendapat kritikan daripada China.
Kapal USS George Washington itu boleh membawa 85 pesawat dan 6,250 anak kapal.
Latihan ketenteraan Korea Selatan dengan AS yang melibatkan 11 buah kapal itu diumumkan pada Mac lalu selepas satu siasatan mendapati terdapat bukti bahawa sebuah torpedo tentera Korea Utara menenggelamkan sebuah kapal perang milik Korea Selatan.
Dalam insiden kapal perang Korea Selatan karam itu, seramai 46 anggota tentera maut.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak dalam satu mesyuarat dengan wakil China, Dai Bingguo di Seoul mendesak China mengambil langkah yang adil dan bertanggungjawab dalam isu hubungan negara itu dengan Korea Selatan serta Korea Utara.
Myung-Bak menyatakan, Korea Selatan sudah mengambil sikap bertolak ansur ekoran tindakan provokasi Korea Utara sejak Perang Korea berlaku pada 1950 hingga 1953.
Menurutnya, Korea Selatan akan bertindak dengan tegas jika Korea Utara melakukan provokasi. – Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm
Keganasan, protes cemari pilihan raya Mesir
KAHERAH - Keganasan dan protes mengenai undi berlaku di Mesir semalam dengan parti pemerintah diramalkan meneruskan penguasaan di Parlimen.
Beberapa pusat pengundian dicemari dengan keganasan dengan saksi-saksi menyatakan, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah pengundi di Delta Nil, utara Kaherah dan di Qena, selatan Mesir.
Pihak pemantau pilihan raya umum itu menyatakan perbuatan di luar undang-undang berlaku dengan meluas dan terdapat bukti mengenainya sejak di awal permulaan pengundian.
"Daripada permulaan pilihan raya, terdapat pelanggaran (undang-undang) termasuk penggunaan paksaan yang mengancam proses pengundian," kata Perikatan Mesir Untuk Pemantauan Pilihan Raya.
Kumpulan itu menyatakan beberapa pekerja telah mengumpulkan bukti di salah sebuah daerah berhubung salah laku di hari pengundian.
Keputusan pertama pilihan raya di negara yang diterajui Presiden Mesir, Hosni Mubarak itu akan diketahui hari ini. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
12 maut pesawat kargo terhempas
KARACHI - Sekurang-kurangnya 12 orang maut apabila sebuah pesawat kargo buatan Rusia terhempas beberapa saat selepas berlepas dari sini semalam, kata seorang jurucakap pihak berkuasa penerbangan Pakistan.
Pekerja-pekerja penyelamat menemui 12 mayat dari lokasi nahas, termasuk tiga orang yang dikenali sebagai pekerja tempatan.
Menurut pihak berkuasa, pesawat Ilyushin IL-76 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Sunway dari Georgia merempuh sebuah bangunan sejurus selepas mengisi minyak dan berlepas dari sebuah lapangan terbang di sini.
Pesawat itu membawa lapan krew dan 31 tan bekalan ke Khartoum, Sudan.
Seorang jurucakap pihak berkuasa berkata, ekoran rempuhan itu, kebakaran berlaku melibatkan dua buah bangunan.
Menurut beberapa saksi, pesawat itu merempuh bangunan-bangunan yang dalam pembinaan di kawasan perumahan Dalmai yang menempatkan apartmen Tentera Udara dan Tentera Laut Pakistan serta dekat dengan pejabat Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah.
Seorang pemberita agensi berita AFP melihat beberapa cebisan daging manusia ditemui oleh anggota paramedik.
Menurut seorang jurucakap, pesawat itu berlepas dari Karachi pada pukul 1.45 pagi waktu tempatan dan terhempas 50 saat kemudian.
Beberapa saksi menyatakan mereka melihat bola api di udara semasa pesawat itu terhempas. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm