Tuesday, April 28, 2009

Pesta ponteng Teluk Chempedak - Pelajar lelaki, perempuan berpeluk-pelukan dalam air


ANTARA pelajar yang ponteng di pantai Teluk Chempedak semalam.


KUANTAN - Di Kuala Lumpur, kompleks beli-belah, kafe siber dan taman rekreasi kerap dijadikan tempat tumpuan ponteng sekolah.

Rupa-rupanya pelajar di sini lagi hebat. Mereka berkumpul di sekitar pantai Teluk Chempedak bagaikan ada satu pesta di situ. Lebih berani pelajar lelaki dan perempuan tanpa segan silu dipandang pengunjung lain sama-sama mandi-manda dan berpeluk-pelukan dalam air.

Tidak dinafikan pusat peranginan itu memang popular sebagai destinasi 'pesta ponteng' terutama di lokasi yang terlindung di sebalik Bukit Pelindung.

Tinjauan Kosmo! semalam, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai mendapati tidak kurang 15 pelajar lelaki dan perempuan lengkap berpakaian sekolah sedang asyik berpesta ponteng dan mandi-manda.

Kebanyakan pelajar lelaki membuka baju masing-masing manakala yang perempuan berseluar panjang ketat dan berbaju kemeja T.

Mereka kelihatan begitu riang sekali sambil menjerit-jerit kegembiraan lebih-lebih lagi apabila si lelaki cuba memeluk.

Di pantai pula, beberapa pelajar yang tidak mandi hanya melepak sambil menghisap rokok atau tidur di pondok rehat yang disediakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di situ.

Kumpulan pelajar tersebut dilihat datang ke pusat perkelahan itu secara beransur-ansur sejak pukul 7.30 pagi dengan menunggang motosikal kapcai yang diletakkan di satu sudut tempat letak kereta MPK.

Kita tiada vaksin H1N1


NOTA pemberitahuan yang meminta pengunjung memeriksa suhu badan sebagai langkah pencegahan permulaan wabak selesema babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan kini sedang mengkaji sama ada vaksin influenza biasa atau vaksin khusus bagi virus selesema burung (H5N1) boleh digunakan untuk disuntik kepada penternak babi atau warga tempatan yang mahu ke negara-negara yang diancam virus selesema babi (H1N1).

Setakat ini, kementerian tidak mempunyai vaksin yang sesuai untuk digunakan bagi mengelakkan seseorang daripada dijangkiti virus selesema babi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan menghubungi beberapa agensi berkaitan termasuk veterinar untuk mengawal virus berkenaan di negara ini dengan memastikan tahap kebersihan dan kesihatan di peringkat penternak babi berada dalam keadaan terjamin.

"Kita tak ada lagi vaksin untuk H1N1 dan kita juga belum tahu vaksin yang mana sesuai, yang ada hanyalah vaksin untuk H5N1 dan vaksin influenza biasa,'' katanya selepas Majlis Pengiktirafan Antarabangsa Joint Commission International (JCI) kepada Prince Court Medical Centre (PCMC) di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Gila tunggu kes fasakh

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang isteri jelita menjadi gila akibat tidak mampu menahan pelbagai tohmahan dan desakan hidup apabila tuntutan fasakh tidak diselesaikan walaupun berbelas tahun difailkan di mahkamah syariah.

Walaupun wanita berkenaan memiliki rupa paras menarik sehingga menerima banyak lamaran untuk mendirikan rumah tangga, tindakan khianat suami menggunakan ‘kuasa’ dengan menjadikan mahkamah syariah sebagai alat, berjaya mendera emosi dan kehidupan isteri hingga kehidupan isteri porak-peranda dan akhirnya menjadi sewel.

Wanita berpendidikan tinggi yang berusia lebih 40 tahun itu kini terpaksa mengisi masa lapang dengan menjaja kecil-kecilan dari rumah ke rumah selain gemar bercakap sendirian.

Nasib isteri malang itu didedahkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad, yang mengakui wanita berkenaan menjadi sewel apabila tuntutan fasakhnya masih tidak dapat diselesaikan di mahkamah walaupun sudah berbelas tahun menunggu.

Menurutnya, beliau terkejut apabila wanita terbabit mendedahkan masalah itu apabila tidak dapat menanggung keperitan akibat tindakan suami menggunakan mahkamah bagi menderanya.

“Dia menuntut fasakh dan tidak boleh hidup dengan suami kerana mempunyai alasan kukuh yang sepatutnya dibenarkan mahkamah secepat mungkin.

“Bagaimanapun, pelbagai kerenah dilakukan suami menyebabkan kes berkenaan berlarutan sehingga mangsa menghampiri usia separuh abad.


“Lebih menyedihkan, isteri itu menjadi sewel dengan bercakap sendirian serta melakukan perkara yang mengarut,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro baru-baru ini, mengenai keluhan seorang isteri, mahu dikenali Aisyah, 35, yang terpaksa menanti tujuh tahun sebelum mahkamah membenarkan tuntutan fasakhnya sehingga terpaksa menolak lebih 10 lamaran lelaki.

Bagaimanapun, kegembiraan itu direntap semula apabila suami wanita itu membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi supaya pelaksanaan keputusan itu ditangguhkan menyebabkan kes itu berlarutan dua tahun lagi.

Harian Metro turut melaporkan perbuatan suami melakukan aksi lucah di depan anak tanpa disedari selain menjadi simpanan seorang datin yang mahu nafsunya dipenuhi, menyebabkan isteri terpaksa menuntut fasakh di mahkamah.

Nakhaie berkata, semua wanita berkenaan tidak akan ditimpa nasib malang jika mahkamah bersikap adil dengan mengambil kira punca tuntutan itu dibuat.

Menurutnya, mahkamah sepatutnya bertindak cepat membenarkan permohonan itu jika alasan tuntutan ada kaitan dengan sikap suami yang membahayakan isteri dan anak.

“Isteri tidak akan sewenang-wenangnya melakukan perkara itu tanpa alasan kukuh dan apa yang dilakukan bagi mempertahankan hak dan keselamatan keluarga yang terancam.

“Adalah tidak masuk akal jika mahkamah sengaja mengikut rentak suami serta semua peraturan walaupun mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mempercepatkan sesuatu kes bagi memelihara keadilan,”
katanya.

Beliau bukan mahu mempertahankan sesiapa, tetapi menuntut keadilan bagi menyelamatkan lebih ramai wanita yang menghadapi masalah emosi akibat kelewatan mahkamah yang boleh menyebabkan mereka sewel.

“Memang Allah membenci perceraian tapi ia diharuskan jika mempunyai sebab tertentu bagi menyelamatkan isteri yang mahu membina kehidupan lebih baik.

“Tidak mustahil kebenaran diberikan mahkamah syariah akan membolehkan isteri dapat memiliki kehidupan lebih baik berbanding hidup bersama suami yang memiliki sikap pelik dan boleh mengancam kehidupan mereka,”
katanya.

Selain itu, kata Nakhaie, mahkamah wajar mempercepat dan menimbangkan kes fasakh jika alasan diberi membabitkan jenayah berat atau seksual yang dilakukan suami terhadap ahli keluarga.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan jika mahkamah syariah memiliki cukup bukti dan tidak membenarkan ia berlarutan bertahun-tahun bagi menyelamatkan isteri.

“Bagi saya, tempoh lama mungkin bukan masalah jika membabitkan kes tuntutan harta, tetapi apabila membabitkan keselamatan dan masa depan wanita, ia wajar diberikan perhatian serius.

“Mahkamah perlu membuka mata seluas-luasnya bagi membuat keputusan tepat dan tegas supaya golongan isteri dapat diselamatkan dan pada waktu sama mendidik suami supaya tidak sewenang-wenangnya memperalatkan mahkamah untuk kepentingan diri,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090424083429/Article/index_html

100 NGO tidak setuju

Oleh Erywan Norshal



KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang pasangan itu menukar agamanya, mengejutkan hampir 100 badan bukan kerajaan (NGO) Islam apabila ia dibuat tanpa perbincangan dengan mereka.

Presiden Persatuan Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata Kabinet seharusnya mempertimbangkan dan berbincang dengan NGO Islam sebelum membuat keputusan itu.

Menurutnya, hampir 100 NGO Islam tidak bersetuju dengan keputusan itu dan menegaskan bahawa perubahan berkenaan perlu mengambil kira proses undang-undang yang ada.

“Selain itu, Kabinet perlu mengambil pandangan golongan profesional termasuk pakar agama dan mufti sebelum membuat keputusan.

“Walaupun keputusan Kabinet itu bukan muktamad, ia mencemaskan kerana dibuat tanpa mendapat pandangan daripada NGO serta pakar agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan NGO Islam kerana membantah berhubung keputusan itu.

Turut hadir, Presiden Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru India, Abdul Latif Satheran Abdullah; Setiausaha Agung Pertubuhan Peguam Pembela Islam, Zainul Rijal Abu Bakar; Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Muhamad Burok.

Sementara itu, Setiausaha Agung Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Sabariah Abdullah berkata, NGO berharap Kabinet menarik balik keputusan itu kerana ia bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

“Negara kita ramai pakar agama termasuk daripada kerajaan, sepatutnya Kabinet merujuk kepada mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, dipetik berkata keputusan itu adalah langkah jangka panjang bagi menyelesaikan isu dilaporkan berlaku di Perak, membabitkan seorang lelaki Hindu yang memeluk Islam dan kemudian mengislamkan tiga anaknya tanpa pengetahuan isteri. 

“Dalam kes ini, Kabinet berpendapat ketiga-tiga anak pasangan itu perlu mendapat hak serta penjagaan mengikut ajaran Hindu kerana ia agama kedua-dua ibu bapanya ketika perkahwinan, tambahan pula pasangan itu belum bercerai.

“Keputusan itu dibuat untuk melindungi pihak yang menjadi mangsa serta memastikan wujud keadilan dan kita memegang kepada prinsip, perceraian mereka mesti diputuskan mengikut undang-undang sivil kerana pasangan itu berkahwin mengikut agama Hindu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090425092709/Article/index_html

‘Tak sepatutnya berlaku’

KUALA LUMPUR: Saya sedih kerana perkara ini (tuntutan fasakh berbelas tahun) sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kita kini.

“Ketegasan dan pertimbangan bijaksana dituntut bagi mengelak lebih ramai isteri menjadi sewel dan gila akibat terpaksa menanti (penyelesaian kes) terlalu lama,”
kata Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Rasyid Shirlin, semalam.

Menurutnya, ketegasan dan pertimbangan mahkamah perlu diberikan terhadap sesuatu kes yang membabitkan tuntutan fasakh jika ia benar-benar mempunyai asas kukuh.

Beliau berkata, tidak adil jika isteri yang sudah memberikan alasan kukuh dalam permohonan yang dibuat, tidak diberikan perhatian, malah lebih memberi ruang kepada suami.

“Isteri akan mengalami kesan yang lebih teruk jika dibandingkan dengan kesenangan yang bakal dinikmati suami apabila masih boleh berpoligami walaupun perbicaraan masih berjalan,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam, mengenai seorang isteri jelita menjadi gila akibat tidak mampu menahan pelbagai tohmahan dan desakan hidup apabila tuntutan fasakh tidak diselesaikan walaupun berbelas tahun difailkan di mahkamah syariah.

Walaupun wanita berkenaan memiliki rupa paras menarik sehingga menerima banyak lamaran untuk mendirikan tumah tangga, tindakan khianat suami menggunakan ‘kuasa’ dengan menjadikan mahkamah syariah sebagai alat, endera emosi dan kehidupan isteri hingga kehidupan isteri porak peranda dan menjadi sewel.

Nasib isteri itu didedahkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad, yang mengakui wanita berkenaan menjadi sewel apabila tuntutan fasakhnya masih tidak dapat diselesaikan di mahkamah walaupun berbelas tahun menunggu.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, sudah tiba masanya mahkamah mempertingkatkan kecekapan mereka supaya dihormati dan bukan menjadi bahan tohmahan.

Menurutnya, perubahan perlu dilakukan segera supaya organisasi yang menjadi tempat mengadili kes suami isteri itu benar-benar adil kepada kedua-dua pihak.

“Keadaan ini tidak boleh diterima kerana wanita berkenaan boleh membina hidup baru yang lebih baik jika mahkamah cepat membuat keputusan.

“Bagaimanapun, keadaan ini (isteri sewel) sudah berlaku yang menuntut pelbagai pihak mencari jalan bagi menanganinya secara lebih berkesan untuk mengelak lebih ramai isteri menjadi gila dan sewel,”
katanya.

Bagi menangani masalah itu, Rosnah berkata, kepemimpinan tertinggi perlu bertindak cepat bagi merubah sistem di mahkamah syariah supaya ia bukan saja adil, tetapi telus terhadap sesuatu kes yang dibicarakan.

Izin satu pihak memadai

Oleh Hayati Ibrahim



PUTRAJAYA: Isu penentuan status agama anak apabila ibu atau bapa memeluk Islam perlu dilihat kepada aspek hukum syarak dan perundangan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

“Berdasarkan peruntukan ini, persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12 (4) adalah ‘parent or guardian’ bukannya ‘parents or guardian’ bermaksud ‘ibu atau bapa atau penjaga’,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Wan Mohamad berkata, Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pula memperuntukkan seseorang kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh masuk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

Menurutnya, antara kes dirujuk berkaitan dengan hak penentuan agama anak ialah kes R Subashini lawan T Saravanan iaitu Mahkamah Persekutuan memutuskan bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana berdasarkan peruntukan itu, agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

“Oleh itu, dalam kes ini suami berhak mengislamkan anaknya walaupun isteri tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya,”
katanya.

Beliau berkata, mengikut hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam kerana jika orang yang menjaga itu bukan beragama Islam dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

“Hak seorang mualaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan. Kita tidak sewajarnya menganggap seseorang memeluk Islam bertujuan melarikan diri daripada tanggungjawab,” katanya.

Sambil merujuk kepada kes Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang menuntut hak penjagaan tiga anaknya, Wan Mohamad berkata, Jakim berpandangan semua pihak perlu bersabar dan menghormati keputusan kes memandangkan perbicaraan belum selesai.

“Semua pihak juga seharusnya mematuhi peruntukan undang-undang Islam dan Perlembagaan Persekutuan khususnya kerana ia undang-undang utama Persekutuan,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin langkah jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090425092528/Article/index_html

Tolak peluang kerja

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, kesal dengan sikap pencari kerja apabila hanya 7,000 daripada 20,000 peluang pekerjaan disediakan berjaya diisi sepanjang tiga bulan lalu.

Subramaniam berkata, jumlah itu disifatkannya terlalu kecil berbanding peluang pekerjaan yang disediakan.

Katanya, antara faktor penyumbang kepada masalah ini ialah pencari kerja terlalu memilih, malah ada yang mendapat kerja tetapi tidak melaporkan diri.

“Saya sangat tidak puas hati dengan situasi ini (kerana) walaupun banyak peluang pekerjaan tetapi gagal diisi dan saya fikir mereka (pencari kerja) terlalu memilih pekerjaan. Mereka yang diberhentikan kerja juga perlu bersedia untuk meneroka bidang pekerjaan baru,” katanya.

‘Berkongsi’ tubuh anak

Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori layak dipanggil ‘bapa syaitan’ kerana tergamak merogol anak kandung dan lebih malang, tubuh remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut ‘dikongsi’ rakan bapanya sehingga mangsa mengandung tujuh bulan.

Mangsa dipercayai diperkosa sejak berusia 12 tahun, dikatakan beberapa kali dirogol bapa kandungnya berusia 40-an ketika tidur dan kali terakhir diperlakukan sedemikian awal bulan ini di rumah mereka di Taman Sinaran, Kempas di sini.

Lebih malang, rakan lelaki terbabit yang berusia 50-an dan bekerja sebagai tukang paip, dipercayai ‘tumpang sekaki’ mengambil kesempatan terhadap mangsa yang berbadan agak besar itu dan dikatakan sudah tiga kali merogol gadis berkenaan di kawasan semak di sekitar Kempas tanpa pengetahuan pemandu lori terbabit.

Bagaimanapun, tembelang bapa durjana dan rakannya itu pecah apabila mangsa mengunjungi rumah ibu saudaranya di Kuala Lumpur, pada 22 April lalu.

Ibu saudara mangsa yang perasan perubahan ketara pada bentuk tubuh remaja terbabit meminta penjelasan mangsa mengenai apa yang berlaku padanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata ibu saudara itu membawa mangsa ke klinik swasta untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan remaja terbabit mengandung tujuh bulan.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa yang ditemani ibu dan ibu saudaranya membuat laporan mengenai perlakuan rogol berkenaan, petang kelmarin.

Berikutan laporan itu, polis menahan bapa mangsa dan rakan lelaki itu di rumah masing-masing bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, remaja terbabit mendakwa kerap dirogol bapanya di rumah ketika tidur dan kali terakhir dia diperkosa pada awal bulan ini.

“Manakala, rakan lelaki terbabit dipercayai sudah tiga kali merogol mangsa di kawasan semak, tetapi berdasarkan keterangan mangsa, kedua-dua lelaki itu merogolnya secara berasingan.

“Mangsa anak kedua daripada empat beradik dan difahamkan bapa mangsa tidak tahu anaknya turut dirogol rakan,”
katanya ketika dihubungi semalam.

Ruslan berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan orang lain termasuk ibunya.

Katanya, ibu mangsa dipercayai tidak mengetahui remaja itu mengandung akibat perbuatan keji antara dua lelaki terbabit, berikutan tubuh remaja itu yang agak besar.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit direman tujuh hari sehingga 2 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090427054056/Article/index_html

‘Seronok’ serah wang

PETALING JAYA: “Kami bukannya sedih, tetapi seronok ketika disuruh menanggalkan semua barang kemas yang ada. Kami juga disuruh mengeluarkan dompet.

“Dengan senang hatinya kami memasukkan semua barang kami ke dalam sebuah beg milik seorang daripada kami, atas arahan wanita itu,” kata seorang mangsa ‘pukau berdarah’, Norlela Omar, 39.

Menurut Norlela, nyata ketika itu mereka dalam keadaan khayal kerana menurut apa saja perintah wanita itu.

“Wanita itu datang ke tempat tinggal kami (Kota Damansara) dan menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin serta katering dengan tawaran gaji RM950 sebulan. Dia beritahu mahu 10 pekerja wanita.

“Saya membantunya mendapatkan lapan orang. Dia datang jam 4.30 petang dan selepas meyakinkan kami pada jam 6 petang, dia bawa kami ke hospital dengan alasan untuk buat pemeriksaan kesihatan termasuk ujian X-ray,” katanya.

Norlela berkata, jika dalam keadaan sedar mereka tidak akan mengikuti wanita itu kerana apa yang dilakukan ketika itu sangat meragukan.

“Apabila difikirkan kembali, mengapa terlalu mudah wanita itu mahu mengambil kami kerja dan terus dibawa untuk pemeriksaan kesihatan. 

“Lagipun, mana ada hospital yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan terutama X-ray selepas jam 5 petang. 


“Dia seterusnya memberitahu hendak membawa kami ke Hospital Sungai Buloh, tetapi apa yang kami pelik dia beritahu tidak tahu jalan. Kesudahannya kami yang menunjukkan jalan.

“Dalam perjalanan dia meminta kami menanggalkan semua barang kemas dan mengeluarkan dompet. Apabila tiba di hospital, semua barangan kami dimasukkan ke dalam beg Saniah dan Sazalina dipertanggungjawabkan memegangnya,”
katanya.

Menurut Norlela, apabila tiba di hospital, empat daripada mereka dibawa ke tingkat tujuh, manakala selebihnya diminta berada di tingkat lima.

“Wanita itu menghilangkan diri dengan membawa Sazalina ke dalam tandas dan membawa lari beg berisi barangan dan wang kami. Kami temui Sazalina tidak sedarkan diri dan menangis,” katanya.

Dalam pada itu, Sazalina memberitahu, wanita terbabit membisikkan sesuatu ke telinganya dan dia terus tidak sedarkan diri.

Sementara itu, pengamal perubatan tradisional yang memulihkan lapan mangsa ‘pukau berdarah’ itu mendakwa semua wanita terbabit terkena pukau angin yang mempunyai unsur penggunaan perantaraan makhluk halus.


13 tahun dah ketagih arak

Oleh Salman Hamat 
salman@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tanpa segan silu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun memberitahu “bapa saya tak marah pun” apabila disoal sejurus dia didapati leka meneguk arak murah di tepi longkang sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota di sini, awal pagi semalam. 

Dia yang mengaku berasal dari Flet Sri Sabah di sini mendakwa mula ketagih arak murah selepas kerap kali diberikan rakannya. 

Remaja yang masih bersekolah itu dikatakan bercakap merapu ketika ditahan polis dalam operasi bersepadu dilancarkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam operasi itu, polis menyerbu lorong gelap di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Tamby yang dijadikan markas kegiatan tidak bermoral oleh remaja skinhead itu sejak sekian lama tanpa menghiraukan bau busuk longkang serta persekitaran kotor.

Ketika serbuan kawasan terbabit dikatakan dipenuhi dengan botol serta tin arak yang bersepah di atas jalan, dipercayai dibuang remaja berkenaan.

Dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Changkat Thamby, seramai 23 remaja iaitu 15 lelaki dan lapan gadis belasan tahun, ditahan selepas berada di bawah pengaruh arak. 

Remaja perempuan terbabit juga didapati berpakaian menjolok mata.

Ketika serbuan kebanyakan mereka gagal meloloskan diri kerana sedang khayal, namun segelintir remaja cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang, tetapi dapat dipintas dan diberkas anggota polis.

Apabila ditanya, ada di kalangan remaja terbabit mengaku datang dari luar Lembah Klang termasuk dari Pahang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090427054649/Article/index_html

Pukau berdarah

Oleh Asmizan Mohd Samiran
mizan@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Sebelum ini mangsa pukau hanya berdepan tekanan perasaan apabila wang dan barang berharga dilarikan tanpa sedar, tetapi kini mereka turut berdepan risiko ‘mati mengejut.’ 

Ini terbukti apabila tujuh daripada lapan wanita yang menjadi mangsa pukau serentak di Kota Damansara di sini, baru-baru ini mengalami muntah puluhan kali, dengan seorang daripada mereka menerima kesan paling teruk apabila memuntahkan darah. 

Kejadian itu membabitkan kehilangan wang tunai dan barang kemas, mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

Mangsa penangan ‘pukau berdarah’ itu, Saniah Yusof , 43, berkata dia umpama berdepan maut apabila secara tiba-tiba muntah darah selepas dipukau seorang wanita sehingga kerugian kira-kira RM12,000.


Katanya, dia kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, wang tunai RM300, dua rantai emas, satu gelang emas, empat bentuk cincin emas dan telefon bimbit.


“Saya terkilan kerana rantai leher saya yang dicuri itu saya pakai dan tidak pernah saya lucut sejak 30 tahun lalu. Lebih menyakitkan, apabila pulang ke rumah, saya berdepan penyeksaan apabila muntah secara tiba-tiba.

“Kalau sekali dua tidak mengapa. Ini puluhan kali sehinggalah saya berubat dan diberi minum air penawar. Selepas itu, muntah saya bertukar menjadi darah, daripada cair kepada berketul-ketul,” katanya.

Saniah berkata, ketika muntah darah itu, dia berasa sukar bernafas dan khayal manakala bulu roma pula tegak dengan sendirinya.

“Saya hairan mengapa saya jadi begitu. Apa yang saya tahu jika kena pukau, mangsa kebiasaannya khayal, tetapi saya bukan setakat khayal, tetapi muntah dan akhirnya muntah darah.

“Apabila sudah berulang kali muntah darah, barulah saya tidak lagi muntah dan sedar kembali,” katanya.

Menurut Saniah, dia juga hairan dengan keadaan enam lagi rakannya kerana mereka turut muntah selepas dia muntah.

“Secara tiba-tiba selepas saya muntah, ia berjangkit kepada rakan yang lain. Seorang demi seorang muntah.

“Seperti saya, mereka juga muntah puluhan kali. Bagaimanapun, tiada yang muntah darah seperti saya selepas berubat. Cuma, ada yang meracau, menjerit-jerit dan menunjukkan gaya seperti ular sedang melingkar,” katanya.

Menurut Saniah, berdasarkan pemerhatiannya dan turut dipersetujui rakannya yang lain, semua mangsa yang muntah sebelum ini bercakap dengan si pemukau.

“Seorang daripada kami tidak bercakap dengan wanita itu dan dia tidak muntah. Saya yang paling banyak bercakap dengan wanita itu menerima kesan lebih dahsyat apabila muntah darah. 

“Mungkin dia memukau dengan cara menghembus kerana kami nampak dia beberapa kali menghembus sesuatu,” katanya yang membuat laporan polis bersama mangsa lain.

Dalam pada itu, anak Saniah, Sazalina Abd Malek, 19, mengakui masih lemah kerana muntah puluhan kali.

“Selepas ibu muntah, saya pula muntah. Dari pagi sehingga tengah malam saya tidak berhenti muntah sehingga badan menjadi lemah.

“Perasaan khayal saya juga berpanjangan dan hanya beransur pulih selepas berubat,” katanya.

Bagi Sayani Isa, 39, dia bukan setakat muntah, tetapi turut tidak sedarkan diri ketika berubat.

“Mangsa lain yang turut sama berubat beritahu saya meracau dan menjerit sehingga terpaksa dipegang kaki dan tangan. Paling menakutkan mereka beritahu saya melingkar seperti ular.

“Ketika itu memang saya tidak sedarkan diri. Apabila sudah sedar kepala dan badan sakit,” katanya.

Sayani berkata, pengalaman dipukau itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada dirinya.

“Tak sangka pula ada pukau seperti itu. Saya sangka pukau hanya buat mangsanya khayal, tetapi tidaklah seksa sampai muntah dan dirasuk,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20090427045413/Article

Buruh Dhaka di Baghdad

Iraq masih tetap menjadi pilihan buruh asing untuk mencari rezeki meskipun negara itu masih dianggap berbahaya.


WARGA Bangladesh sanggup memperjudikan nasib mereka di Iraq walaupun menyedari suasana bekerja di negara itu masih tidak selamat.


ABUL AL-HOSSEIN yang baru tiba dengan penerbangan dari Dhaka melalui Dubai berkata, dia boleh memandu kereta, bas dan trak. Justeru, dia mahu melakukan pekerjaan itu apabila berada di Iraq.

Namun begitu, mungkin sukar untuk Hossein mendapatkan pekerjaan tersebut di Baghdad. Tambahan pula, lelaki Bangladesh berusia 39 tahun itu langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Arab.

Apabila dimaklumkan mengenai berita buruk itu, Hossien yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata cepat-cepat beralih pada pelan B di mana dia juga pernah bekerja sebagai tukang masak dan pakar dalam kuisin India. Dia boleh melakukannya sebagai ganti.

"Keluarga dan anak-anak saya begitu terdesak mahukan duit. Mereka perlukan duit untuk meneruskan kehidupan," katanya sambil duduk di atas sofa berhabuk di sebuah lobi hotel murah yang menjadi tempat tinggal sementaranya ketika ini.

"Malah, isteri saya juga menyarankan agar saya cuba mencari pekerjaan di negara lain termasuk Iraq. Jadi, sebab itulah saya berada di sini," tambahnya.

Ia kelihatan pilihan yang memeranjatkan. Ini kerana menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kadar pengangguran di Iraq mencatat jumlah 18 peratus dengan lelaki berusia antara 15 hingga 29 tahun mewakili 57 peratus daripada angka tersebut.

Bekerja di Iraq turut datang dengan harga yang tersendiri. Buruh-buruh dari Filipina, India, Nepal, Pakistan dan China merupakan antara mereka yang tertindas atau melarikan diri daripada pemberontak dalam tahun-tahun penuh sengsara dan kacau-bilau yang diikuti dengan serangan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.


RAMAI buruh Bangladesh bekerja di Timur Tengah tanpa permit yang sah.


Sejak itu, tahap keselamatan semakin ditingkatkan, tetapi Iraq masih kekal sebagai sebuah negara yang berbahaya dengan pengeboman kereta dan serangan berani mati menjadi sebahagian daripada kehidupan di negara itu.

Malah dalam kemusnahan akibat perang di Baghdad, Sadoun Street iaitu lokasi terletaknya hotel yang diduduki Hossien berada dalam suasana yang muram dan sepi.

Laluan pejalan kaki hancur dan jalan raya berlubang-lubang disebabkan letupan dan tembakan yang sering berlaku di kota tersebut. Tidak ketinggalan, rumah penduduk turut musnah sekali gus menandakan kebangkitan ekonomi sukar dilihat.

Tetapi, di bawah terik mentari dalam musim bunga, Hossien dan beberapa rakan senegaranya yang tinggal di Hotel Al Manar mempunyai harapan tinggi agar Baghdad dapat menawarkan wang dan prospek untuk kehidupan lebih baik.

Massoud Monir, 32, merupakan mandur kepada 20 pekerja di sebuah kilang seramik di Dhaka, tetapi pekerjaan itu masih belum dapat menjamin sumber kewangannya menjadi lebih baik. Kini, dia bekerja di sebuah hotel di Baghdad.

"Di Bangladesh, sukar untuk kami meneruskan hidup, untuk mendapatkan duit dan juga makanan. Sebab itulah, saya mengambil keputusan untuk ke Baghdad," kata Monir yang sampai ke negara itu sebulan yang lalu.

Tidak takutkan apa-apa

Harga makanan meningkat hampir dua kali ganda di Bangladesh pada tahun 2008 selepas pengeluaran bijirin dimusnahkan oleh banjir besar dan bencana siklon pada tahun-tahun sebelumnya.

Ia menyebabkan 40 peratus daripada jumlah penduduk di negara seramai 160 juta itu memperoleh sumber pendapatan kurang daripada satu dolar setiap hari.


PEKERJAAN sebagai tukang cuci dan pelayan banyak dilakukan oleh warga asing di Iraq.


Justeru, rakyat Bangladesh mahu melarikan diri daripada kemiskinan yang membelenggu di negara sendiri dengan bersedia untuk melakukan pekerjaan yang tidak dimahukan oleh penduduk Iraq. Soal keselamatan tidak timbul atau menjadi masalah buat mereka.

"Saya sanggup melakukan apa saja kerja. Saya tidak takut langsung pada apa-apa yang berlaku di negara ini," jelas Hossein.

Bagi peniaga tempatan yang mahu mengurangkan kos perbelanjaan, terutama mereka yang menjalankan perniagaan restoran dan kedai, rakyat Bangladesh ini dianggap kurniaan Tuhan.

"Bayaran untuk pekerja Bangladesh lebih murah dan dapat mengurangkan perbelanjaan kami," kata Raghid Abdul Razaq yang menggaji lebih 100 orang pekerja di Zawra Park, tengah Baghdad.

"Terdapat beberapa pekerjaan yang tidak mahu dilakukan oleh penduduk tempatan termasuklah sebagai tukang cuci, pelayan dan sebagainya. Jadi, kerja inilah yang boleh diberikan kepada mereka (buruh Bangladesh)."

Bagaimanapun, masalah visa adalah satu perkara normal di sini. Kementerian Buruh berkata, ramai rakyat Bangladesh yang bekerja di seluruh Asia Timur sebagai buruh murah tidak mempunyai permit secara sah.

Dalam beberapa kes, pekerja yang sebelum ini bekerja untuk angkatan bersenjata campuran akan menyertai pasaran buruh gelap apabila kontrak mereka tamat, menurut sumber kerajaan.

Hal ini berlaku kepada Belal Uddin Alan yang kini bekerja sebagai ejen kerahan. Anak kelahiran Dhaka berusia 32 tahun itu bekerja di kem tentera AS sehingga penghujung tahun 2008.

Selepas tamat tempoh itu, dia tidak mahu kembali ke negaranya dan sebagai seorang yang pandai berbahasa Arab, dia nampak peluang yang ada di sana.

"Bayaran gaji antara AS$150 (RM540) hingga AS$250 (RM900) tidak boleh ditemui di Bangladesh. Untuk bekerja, situasi di Iraq tetap bagus," katanya. tanpa menghiraukan keselamatan diri. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Hidup poyang terakhir

Kehebatan bomoh Orang Asli diakui doktor moden.


TOK ULANG cuma mahu dipanggil 'doktor kampung'.





SEBUT sahaja nama Jalan Gombak Lama, mungkin kebanyakan kita segera mengaitkan laluan itu dengan Muzium Orang Asli. Juga jalan itu menempatkan ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan pelbagai agensi di bawahnya.

Namun, laluan tersebut yang suatu ketika dahulu menjadi penghubung utama antara negeri Selangor dan Pahang turut terkenal dengan kewujudan perkampungan Orang Asli suku Temuan.

Uniknya, kawasan tempat tinggal mereka itu biarpun agak tersorok di sebalik rimbunan aneka pokok hutan tetapi mudah dicari. Ini kerana ia terletak bersebelahan dengan sebuah pusat penyelidikan biologi kendalian Universiti Malaya (UM).

“Kawasan ini masih baru diteroka. Generasi awal kami menduduki tempat ini hanya untuk membina Jalan Gombak-Bentong lebih separuh abad lalu,” jelas Mohamad Ulang, 60, membuka bicara.

Penampilan Tok Batin ini cukup sederhana. Rumah kampungnya yang dibina di hujung jalan mati di Batu 16, Hulu Gombak tidak menggambarkan jawatannya.

Bagaimanapun, beliau yang selesa membahasakan diri sebagai Tok Ulang boleh dianggap sebagai ensiklopedia hidup. Ramai penyelidik universiti datang menemuinya untuk mendokumentasi sejarah suku Orang Asli yang penuh misteri itu.

Tok Ulang malah menjadi sumber rujukan pakar asing untuk mendalami mistik dunia perubatan komuniti pribumi itu yang dikenali sebagai poyang. Poyang menyamai fungsi bomoh, pawang atau dukun dalam masyarakat Melayu tradisional.

“Secara jujur saya tidak mahu dipanggil poyang. Poyang sebenar hanya ada dalam generasi lama Orang Asli. Poyang yang pernah saya jumpa pun sudah lama tiada. Panggil saja saya ‘doktor kampung’,” tambah beliau merendah diri.

Pada umumnya poyang dianggap ketua untuk beberapa orang bomoh bertaraf amatur di bawahnya. Mereka terkenal cukup lasak sehingga sebahagian besar mereka diambil menyertai pasukan Senoi Praaq ketika zaman sebelum Merdeka.

Kehebatan unit separa tentera di bawah pasukan polis hutan itu diakui pihak penjajah sebagai sangat cekap memburu pengganas Komunis. Bayangkan mereka mampu menghidu kehadiran musuh dari jarak jauh manakala kesetiaan mereka tidak diragui.

“Mungkin sebab itu moyang saya diminta membina jalan raya dari Gombak ke Bentong yang penuh dengan jerangkap samar yang ditabur Komunis. Waktu itu Pahang dan Selangor cuma dihubungkan melalui Sungai Sempah yang bersambung dengan Sungai Gombak,” imbau beliau.

Tok Ulang bahkan masih teringat peristiwa datuknya berakit sehingga ke Bukit Nanas di Kuala Lumpur untuk membawa alat pembinaan. Di situ terdapat sebuah jeti kecil dekat Menara Berkembar Petronas hari ini sebagai pusat jualan barang basah dan bijih timah.

‘Saya baca sedikit ayat al-Quran’

Namun semasa kemuncak darurat, mereka ditempatkan di Bukit Legong, Kepong yang kini menjadi tapak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Di sana Tok Ulang belajar dunia perubatan Orang Asli terus daripada datuknya.

Hakikatnya, ujar Tok Ulang, masyarakat Orang Asli merawat penyakit dengan bergantung sepenuhnya kepada hutan. Ubat mereka ialah akar dan daun kayu yang direbus sebelum diminum atau disapu di badan. Proses sampingan ialah membaca mantera.

“Itu dulu tapi sekarang saya baca sedikit ayat al-Quran dan berdoa kepada Allah agar pesakit diberi peluang hidup lama. Jika kanak-kanak, saya mohon Tuhan memberi belas ihsan supaya budak itu dijauhi daripada angkara iblis syaitan,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Tok Ulang, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Bagi Orang Asli, mereka banyak pantang larang ketika memasuki hutan dan percaya tentang gangguan makhluk halus di tempat tertentu seperti air terjun dan pokok besar.

Jika punca penyakit didapati dari kawasan tertentu, bomoh akan pergi semula ke situ dan meminta semangat di tempat tersebut dipulangkan kepada pesakit. Lazimnya kemenyan diasap kerana ia dipercayai mengandungi makanan roh untuk makhluk halus.

“Itu untuk kes yang serius tetapi bagi yang biasa, saya cuma guna akar kayu. Misalnya saya sendiri pernah cedera di kaki dan hampir lumpuh. Ubatnya ialah rebusan akar pokok teja dan ia memang mujarab untuk menghilangkan bisa dalam badan,” jelas Tok Ulang.

Tidak hairanlah beliau pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur selama lapan tahun pada 1970-an. Beliau juga dihantar ke Sarawak untuk mengenal pasti tumbuhan hutan yang sesuai dijadikan ubat herba.


UPACARA sewang digunakan bomoh Orang Asli untuk berhubung dengan makhluk halus.


Biarpun enggan mengakui diri sebagai poyang, kehebatannya pernah menyebabkan ramai doktor moden datang berubat pelbagai penyakit misteri. Hasilnya tidak kurang yang menghantar ‘buah tangan’ sebagai tanda terima kasih ke rumahnya.

Antara pengalaman paling tidak dapat dilupakan Tok Ulang ialah mencari pokok buluh perindu yang terkenal dijadikan sebagai ubat pengasih atau tangkal. Daun dan batang kecilnya perlu disimpan cermat di dalam bekas serta tidak boleh menyentuh tanah.

“Jumpa pun nasib tetapi apabila sudah dapat, bayangkan lipan, burung, harimau, lebah dan lain-lain ikut saya pulang. Haruman baunya menyebabkan haiwan liar ‘berkampung’ di luar rumah saya selama beberapa hari,” katanya ketawa.

Bercerita mengenai masa depan, Tok Ulang hanya mampu tersenyum. Beliau berharap ilmunya itu diwarisi generasi muda. Tanpa mengharapkan apa-apa balasan, beliau tidak jemu berkongsi rahsia alam dengan mereka yang masih berminat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...