Friday, December 26, 2008

Lidah setan


Oleh Ahmad Othman
am@hmetro.com.my

KOTA TINGGI: Khuatir dirinya menghidap penyakit chikungunya selepas terasa sakit sendi, seorang gadis mahu mendapatkan air penawar daripada seorang bomoh yang kononnya mempunyai kepakaran mengubati penyakit misteri secara rawatan tradisional.

Namun, kunjungan gadis berusia 19 tahun ditemani teman lelakinya berusia 25 tahun itu kira-kira jam 8 malam kelmarin bertukar menjadi igauan ngeri apabila dicabul bomoh terbabit, termasuk menggunakan lidah.

Lebih menjijikkan, bomoh durjana berusia 50 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan mengaibkan itu dalam sebuah bilik di hadapan isterinya.

Mangsa sebelum itu ditemani teman lelaki dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk menghantar adik di Bandar Tenggara kira-kira 43 kilometer dari sini, sebelum kedua-duanya bertolak ke Kluang.

Bagaimanapun, sebelum berlepas ke Kluang, lelaki itu yang bimbang teman wanitanya dijangkiti chikungunya kerana berasa sakit sendi mencadangkan mendapatkan air penawar daripada bomoh terbabit.

Ini kerana lelaki itu pernah ke rumah bomoh terbabit yang mendakwa boleh mengubati penyakit misteri secara rawatan tradisional.

Selain itu, bomoh berkenaan yang pernah bekerja sebagai pemandu lori dikenali ramai kerana dikatakan mampu menjalankan kerja menilik nasib dengan bayaran RM5 satu sesi dan membuat ramalan nombor ekor.

Difahamkan, sebelum dimulakan sesi rawatan, lelaki itu diminta menunggu di luar, sementara mangsa diminta tinggal sendirian dalam bilik oleh bomoh terbabit yang ditemani isterinya.

Mangsa mendakwa pasangan suami isteri itu melakukan kekerasan fizikal terhadapnya apabila ditarik dan dibaringkan ke lantai sebelum suspek melondeh seluar dalam dan mencabulnya.

Terkejut dengan insiden itu, mangsa meronta sebelum berjaya meloloskan diri keluar dari bilik itu dan hanya memaklumkan kepada teman lelakinya setibanya di Kluang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebatan dan denda.

“Berikutan laporan itu, polis menahan seorang bomoh berusia 50 tahun dan isterinya berusia 45 untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Osman berkata, mana-mana mangsa yang pernah dicabul sebelum ini diminta tampil untuk membuat laporan dan membantu siasatan polis.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20081225012319/Article

Tat kelopak


Kapsul tidur untuk lepas penat


SEORANG pengguna lena di dalam kapsul tidur Metronaps di Hong Kong baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------


HONG KONG - Sebuah pasar raya di Hong Kong menyediakan sebuah kapsul tidur berteknologi tinggi bagi membolehkan orang ramai yang kepenatan tidur sebentar selepas seharian bekerja atau membeli-belah.

Kapsul yang berbentuk seakan-akan kerusi kapal terbang kelas pertama itu direka bagi membantu pengguna berehat selama 20 minit untuk satu sesi.

Pengguna akan dipisahkan daripada kesibukan dan bunyi bising bandar raya Hong Kong serta didodoi dengan pelbagai jenis muzik.

Kapsul tidur itu direka oleh syarikat Metronaps yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan ia pernah diperkenalkan di New York pada 2003.

Pengasas pusat beli-belah Delay No Mall, Benjamin Lau berkata, Hong Kong adalah sebuah bandar raya yang pantas dan ramai penduduk kurang masa untuk berehat.

"Ramai orang tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam kerana terlalu banyak tekanan.

"Kami meletakkan katil itu di pusat beli-belah ini supaya ia dijadikan tempat untuk orang ramai berehat,"
katanya.

Menurutnya, pengguna hanya perlu membayar sebanyak AS$12 (RM41.60) untuk satu sesi dan pelaburan itu pasti berbaloi. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Kapten isytihar diri Presiden Guinea


KAPTEN Moussa Dadis Camara (kiri) berjabat dengan Menteri Pertahanan Guinea, Almamy Kebele Camara di Conakry semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


CONAKRY - Junta tentera mengukuhkan penguasaan di Guinea semalam selepas seorang pegawai tentera berpangkat kapten, Moussa Dadis Camara mengisytiharkan dirinya sebagai presiden baru negara berkenaan.

Beliau juga mengarahkan semua pegawai kerajaan negara itu menyerah diri kepada pihak tentera dalam tempoh 24 jam.

Camara kelmarin berarak bersama beratus-ratus askar sebelum mengumumkan bahawa dia kini mengetuai kerajaan selepas kematian diktator, Lansana Conte.

Conte memerintah sejak 1984 tetapi beberapa jam selepas beliau meninggal dunia lewat Isnin lalu, sekumpulan askar mengawal frekuensi radio sekali gus mendakwa merampas kuasa.

Beribu-ribu penyokong tentera berarak di jalan-jalan raya di ibu negara Guinea, Conakry sebelum mengepung istana presiden dan bangunan beberapa kementerian.

"Saya yakin bahawa saya adalah Presiden baru Guinea dan ketua Majlis Kebangsaan untuk Demokrasi dan Pembangunan," katanya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui radio dan televisyen, Camara juga mengarahkan semua pegawai tentera dan pegawai kerajaan supaya menyerah diri.

Perkembangan terbaru itu memburukkan lagi keadaan selepas Kesatuan Afrika juga memberi amaran untuk mengambil tindakan keras sekiranya tentera enggan membenarkan peralihan kuasa secara demokratik.

Sementara itu, Perdana Menteri Ahmed Tidiane bersama 30 pegawai menyerah diri di sebuah berek tentera.

Ahmed menyembunyikan diri sejak rampasan kuasa Selasa lalu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

China simpan rizab minyak

BEIJING – China mengambil kesempatan daripada kejatuhan harga minyak dunia dengan menambah simpanan di kemudahan simpanan minyak mentah terbesar negara berkenaan, lapor media kerajaan semalam.

Agensi berita Xinhua berkata, pusat simpanan minyak yang terletak di wilayah Xinjiang, barat laut China itu memiliki 10 tangki gergasi dan berupaya menyimpan 6.3 juta tong minyak mentah.

Menurut Xinhua, kemudahan itu akan diperbesarkan untuk menyimpan 50 juta tong minyak mentah dengan pelaburan berjumlah AS$950 juta (RM3.2 bilion). – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Aceh mula pulih


GAMBAR Banda Aceh dirakam 5 Januari 2005 menunjukkan kerosakan teruk akibat tsunami yang turut mengorbankan lebih 170,000 nyawa.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR ACEH - Usaha pemulihan di beberapa bahagian negara Asia yang teruk terjejas akibat tsunami empat tahun lalu masih belum menyeluruh.

Kerja-kerja membina semula Aceh dan Pulau Nias iaitu dua wilayah yang ranap akibat gempa bumi serta tsunami pada 26 Disember 2004 sudah mula menunjukkan perubahan.

Beberapa pegawai tempatan memberitahu, jumlah rumah yang dibina semula di dua kawasan tersebut kini jauh melebihi keperluan di mana terdapat penduduk yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menyewakan rumah mereka.

Agensi pembinaan semula Aceh-Nias (BRR) memberitahu, pihak berkuasa sudah membelanjakan sekitar AS$6.7 bilion (RM23.2 bilion) daripada dana bantuan berjumlah AS$7.2 bilion (RM24.9 bilion) bagi membina hampir 125,000 buah rumah dan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya dan jambatan.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku di Sri Lanka apabila perang berterusan antara gerila Tamil dan kerajaan menjejaskan usaha membangunkan semula kawasan-kawasan yang musnah di rantau tersebut.



KAWASAN perumahan yang dibangunkan semula di Lambung susulan gempa bumi dan tsunami.
--------------------------------------------------------------------------------


Sehingga hari ini masih terdapat 10,000 rakyat negara Sri Lanka yang tinggal di kem-kem sementara. Sebanyak 31,000 penduduk negara itu maut akibat ombak besar tsunami.

Di Thailand di mana 5,400 orang terbunuh - separuh dari mereka pelancong asing usaha memulihkan sektor pelancongan mula menampakkan hasil tetapi dijejaskan oleh pergelutan politik yang berlanjutan.

Beberapa pertubuhan juga menyatakan usaha pemulihan di Malaysia yang merekodkan 68 korban nyawa berhadapan kelewatan tetapi ia berjaya diselesaikan.

Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan terdapat rumah yang dibina bagi mangsa-mangsa tsunami berada pada kualiti kurang memuaskan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Tabung tanah runtuh kurang sambutan

Oleh YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my



ANTARA barangan yang dijual untuk Tabung Bencana Alam Bukit Antarabangsa di Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Tabung mangsa bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa kurang mendapat sambutan dan perhatian daripada masyarakat setempat.

Berdasarkan pungutan sejak dimulakan 6 Disember lalu, hanya RM160,000 sahaja dapat dikumpulkan dan tidak 'semeriah' tabung bencana yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, kutipan tidak memberangsangkan itu ada kaitan dengan persepsi negatif orang kaya tidak perlu dibantu.

"Ini tanggapan yang salah, sesiapa sahaja yang menghadapi bencana alam seperti ini (tragedi Bukit Antarabangsa), sudah pasti mereka akan merasai kesusahan juga," ujarnya selepas majlis pelancaran jualan amal tabung mangsa bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa semalam.

Menurut Ismail, kebanyakan masyarakat menganggap mangsa-mangsa yang tinggal di kawasan Bukit Antarabangsa terdiri daripada golongan orang berada dan tidak perlu dibantu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Haji tak pergi, RM32,000 lesap


Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my



KAK AN menunjukkan laporan polis yang dibuatnya setelah bayaran menunaikan haji berjumlah RM32,000 dilesapkan seorang lelaki.
--------------------------------------------------------------------------------


MELAKA - Apabila Lembaga Tabung Haji menyenaraikan gilirannya untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2011, seorang wanita bertindak membeli pakej haji swasta bersama suaminya untuk pergi naik haji lebih awal tahun ini.

Malangnya, wang yang dibayar sebanyak RM32,000 kepada seorang lelaki yang mengendalikan urusan tersebut akhirnya lesap entah ke mana hingga ke hari ini.

Wanita berusia 55 tahun yang mahu dikenali sebagai Kak An itu berkata, persetujuannya untuk mengambil pakej tersebut adalah atas dasar percaya.

"Seorang saudara saya pernah menggunakan khidmat lelaki yang hanya dikenali sebagai Haji Affendi ini dan kerana itu saya tidak menolak pelawaannya ketika dia menghubungi saya pada pertengahan September lalu.

"Dia mendakwa pakej yang dibawa semuanya menggunakan kuota VIP (orang kenamaan) dan saya dipelawa menyertainya,"
katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Kak An, bayaran pertama dibuat sebanyak RM3,000 pada pertengahan September lalu untuk membuat visa.

"Saya seterusnya membayar lagi kepada lelaki itu secara berperingkat hingga jumlah yang telah dibayar mencecah RM22,000," katanya.

Bayaran terakhir dilakukan pada 26 November lalu berjumlah RM10,000 dan beliau turut menyerahkan pasport antarabangsanya dan suami kepada lelaki berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

3.5 juta lelaki mati pucuk

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my


LELAKI yang menghadapi masalah mati pucuk sering mencari ubat dan maklumat untuk menyembuhkan penyakit kelakian mereka.
--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Bilangan lelaki Malaysia yang menghadapi masalah disfungsi erektil atau Erectile Disfunction (ED) iaitu mati pucuk semakin meningkat saban tahun dan kini mencecah lebih 3.5 juta orang.

Masalah kelakian itu agak membimbangkan dengan bilangan penghidapnya hanya 1.7 juta pada 1997, meningkat kepada 2.3 juta pada 2003 dan 3.5 juta pada tahun lalu.

Daripada angka tersebut, 15 peratus melibatkan lelaki berumur antara 25 dan 34 tahun manakala 23 peratus lagi di kalangan lelaki lingkungan umur tersebut mengalami kesukaran mengekalkan ereksi.

Pakar Kesihatan Seksual dan Reproduktif, Dr. Ismail Thambi yang mendedahkan perkara itu bimbang dengan perkembangan terbaru tersebut kerana ramai di kalangan lelaki muda tidak mengetahui mereka menghadapi masalah berkenaan.

"Baru-baru ini ada laporan dari Universiti Columbia yang menyatakan lelaki yang mula aktif dalam aktiviti seksual pada umur yang amat muda iaitu 14 tahun ke bawah mudah mengalami masalah seksual apabila umur meningkat,'' katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau memberitahu, mereka yang kerap melakukan onani atau melakukan hubungan seks seawal umur 14 tahun mungkin terdedah kepada masalah mati pucuk apabila umur meningkat 30-an.

Jika sebelum ini masalah psikologi yang berpunca daripada tekanan itu sering menghantui golongan lelaki berusia 40 tahun ke atas, namun kini ia turut menjadi igauan 'ngeri' lelaki yang lebih muda.

Jelas Ismail, onani boleh menimbulkan masalah Traumatic Masturbatory Syndrome iaitu keadaan di mana klimaks berlaku dengan cepat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Jutawan segera didakwa menipu

Oleh OTHMAN YAHAYA
berita@kosmo.com.my



NAZRI menutup muka selepas keluar dari Mahkamah Majistret Gurun, Kedah kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


GURUN - Sebulan lalu, Nazri Ismail dinobatkan sebagai seorang jutawan dalam satu majlis gilang-gemilang di sebuah stadium di Shah Alam, tetapi kelmarin dia terpaksa tidur di lokap selepas didakwa atas tuduhan menipu.

Nazri, 34, didakwa di Mahkamah Majistret Gurun atas tuduhan dengan curang cuba menipu sembilan pelabur melibatkan wang berjumlah hampir RM380,000.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahzal Farid Ahmad selepas Nazri ditahan di Kuantan seminggu lalu berkaitan laporan polis yang dibuat oleh sembilan pelabur terbabit di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Nazri yang berasal dari Kampung 10, Sungai Limau, Yan bergelar jutawan setelah berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM500,000 dalam masa tiga bulan melalui penglibatannya dengan sebuah syarikat jualan langsung (MLM).

Dia bukan saja diraikan pada malam 8 November lalu, tetapi wajah dan ceritanya turut tersiar di dada akhbar keesokan harinya dan dijadikan contoh untuk menarik lebih ramai orang menyertai syarikat MLM tersebut.

Ketika dibawa ke mahkamah untuk didakwa petang kelmarin, Nazri diiringi oleh seorang peguam dan beberapa ahli keluarganya.

Sebahagian daripada pelabur yang membuat aduan merupakan kenalan sekampungnya. Mereka turut berada di pekarangan mahkamah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...