Sunday, May 10, 2009

Cari sebab pelajar ponteng


SOALAN:
Kaffarah Allah boleh terjadi, yang melibatkan kematian, sakit atau kefakiran akibat dosa yang dilakukan ketika seseorang itu hidup. Apa yang berlaku terhadap keluarga saya ialah, anak lelaki tunggal saya terus menerus menimbulkan masalah. Ponteng sekolah, hisap rokok, lari dari rumah, merempit hingga tengah malam.

Di rumah keperluan segala-galanya cukup, dia pernah lari dari rumah beberapa hari dan didapati bekerja di kelab snuker, pernah bekerja ditempat basuh kereta, padahal ketika itu dia masih belajar di tingkatan empat.

Saya bangga mendapat anak lelaki di samping lima anak perempuan, tetapi sekarang saya menyedari perilakunya terus menerus menjeruk hati menyebabkan pemikiran saya benar-benar terganggu, saya tidak berupaya memberi tumpuan kepada kerja seperti dahulu. Adakah ini kaffarah Allah kepada saya?

Shahril, Petaling Jaya


Jawapan:


Setiap masalah atau musibah yang menimpa seseorang itu tidak semestinya ada kaitan dengan kesilapan atau hasil perbuatan seseorang atau akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh seseorang biarpun terdapat hadis menyatakan bahawa apabila Allah mengasihi seseorang hamba yang melakukan dosa, Allah akan mempercepatkan balasannya ketika di dunia. Itulah yang dinamakan kaffarah.

Banyak punca berlakunya keadaan sedemikian yang berpunca daripada sebab yang mungkin boleh kita fikirkan menurut logik akal, ataupun langsung tidak dapat kita fikir. Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui kenapa terjadinya demikian, termasuklah kerana cubaan dari-Nya semata-mata, yang tidak ada kaitan dengan dosa-dosa yang dilakukan.

Memang ada pelajar yang tidak mahu belajar, sama ada di rumah ataupun di sekolah. Pergi sekolah kerana disuruh atau dipaksa oleh ibu dan bapanya. Apabila ia bertemu dengan pelajar yang sama perangai dengannya mendorong untuk ponteng sekolah semakin mudah berlaku, seolah-olah ada galakan. Pelajar seperti inilah yang tidak masuk ke bilik darjah biarpun ibunya menghantarnya setiap pagi sehingga ke pintu sekolah.

Bagi kedua-dua ibu bapa yang inginkan anaknya menjadi manusia yang terpelajar dan berguna, juga orang yang menyaksikan pelajar-pelajar seperti ini merasa hampa dengan perilaku anak-anak tersebut. Pelajar seperti ini tidak sayangkan dirinya, pada hal segala-galanya telah disediakan termasuk ibunya yang menghantar setiap pagi hingga ke pintu pagar sekolah.

Terlalu sayang anak-anak seperti ini, yang tidak berupaya memikiri hal-hal yang sepatutnya dilakukan, mengambil peluang sebaik mungkin untuk menjadi manusia pandai demi masa depannya. Apa yang lebih menarik ialah untuk enjoy bersama-sama rakan yang sama pemikirannya.

Ada juga pelajar yang memang lemah dalam pelajaran, tidak berupaya memahami apa yang diajar oleh guru. Kerana itu ia merasakan bahawa belajar adalah sesuatu yang membosankan dan sia-sia. Hendak berhenti sekolah tidak berani kerana dipaksa oleh ibu bapa, untuk bekerja masih di bawah umur. Oleh itu dia merasakan sekolah itu tempat yang menjemukan dan membuang masa dalam hidupnya.

Kewujudan pelajar-pelajar seperti ini yang memerlukan seseorang guru itu kuat iman. Memerlukan ketabahan yang kental ketika hendak masuk kelas tersebut. Masalah kelembapan bukan menjadi masalah utama kepada guru, kerana keupayaan untuk belajar bagi setiap individu itu adalah sesuatu yang anugerah. Pencapaian atau taraf IQ seseorang itu berbeza, berdasarkan kepada beberapa faktor, termasuk faktor baka, biarpun tidak dinafikan ibu bapa yang pintar tidak semestinya melahirkan anak-anak yang mempunyai IQ yang tinggi, begitulah sebaliknya.

Pelajar-pelajar seperti ini menjadi masalah kepada guru apabila ia membuat kacau dalam kelas, bergaduh sesama rakan, merosakkan harta sekolah juga menconteng atau mencalar kereta guru, terutamanya guru yang garang juga guru disiplin.

Di sinilah terletaknya tanggungjawab seorang guru juga kedua-dua ibu bapa. Guru bukan hanya setakat mengajar, agar pelajar lulus dalam peperiksaan, juga untuk membentuk dan mendidik akhlak seberapa upaya.

Profesion guru terlalu mencabar, lebih-lebih lagi di zaman moden ini. Selain mengajar untuk lulus peperiksaan, guru juga bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung membentuk akhlak pelajarnya. Kerana itu guru perlu mempunyai rasa minat terhadap tugasnya dan prihatin terhadap apa yang berlaku. Guru juga perlu memahami tugas mengajar adalah merupakan amanah kepadanya.

Dalam surah Yusuf: 53 Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat olah Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Berdasarkan maksud ayat di atas kita dapat pengajaran bahawa tabiat semula jadi manusia itu lebih berkecenderungan untuk melakukan kejahatan berbanding untuk melakukan kebaikan. Kecuali mereka yang diberi rahmat Allah. Oleh kerana itu sekiranya manusia itu tidak dididik dengan baik, sama ada oleh ibu bapa atau guru, juga oleh masyarakat sekeliling maka kemungkinan seseorang itu terutamanya mereka dalam peringkat remaja akan lebih berkecenderungan terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat.

Anak-anak yang terdidik di rumah oleh ibu bapa, juga guru-guru, tetapi ia terpengaruh oleh rakan sebaya untuk berseronok berkemungkinan akan ponteng sekolah walaupun ia dihantar hingga ke pintu pagar oleh ibunya.

Ia mempunyai akal yang waras dapat membezakan sesuatu yang baik atau buruk, tetapi ia tidak berupaya untuk menggunakannya, kerana lebih terpesona dengan keseronokan yang ada di depan matanya, apatah lagi dengan adanya dorongan lain seperti tayangan filem-filem dan sebagainya.

Selain daripada faktor di atas, ada satu makhluk yang dikenali sebagai "qarin" yang bererti sesuatu yang menyerupai sahabat (al-Munjid, 1956:625). Qarin adalah daripada golongan makhluk-makhluk halus yang sentiasa berdampingan dengan manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah seseorang itu meninggal dunia.

Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk menggoda, menipu dan memesongkan manusia daripada jalan yang benar. Dengan godaan itu ia boleh menyebabkan manusia menganggap sesuatu yang buruk itu baik dan yang baik itu buruk. dengan dorongannya seseorang itu akan sentiasa terdorong untuk melakukan kejahatan yang dirasakan menyeronokkan, melahirkan rasa rela dan kepuasan.

Qarin sentiasa berusaha menjerumuskan manusia dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin, tidak kira ia seorang nabi, seorang alim ataupun orang biasa.

Dalam surah al-An'am: 112 firman Allah yang bermaksud: Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh daripada jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.

Jelas bahawa yang dimaksudkan dengan syaitan itu ada dua, iaitu syaitan yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang tidak nampak dan syaitan yang zahir iaitu syaitan manusia di mana kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu untuk menyesatkan atau merosakkan orang.

Teman-teman sekolah mempengaruhi teman lain untuk ponteng sekolah juga termasuk dalam golongan syaitan. Sama seperti mereka yang mengendalikan tempat-tempat hiburan, yang jelas membiarkan pelajar bermain judi atau snoker di kedainya, apatah lagi sekira ia tahu yang masuk itu adalah pelajar, biarpun mereka tidak berpakaian sekolah.

Ketika di rumah, ibu adalah segala-galanya kerana ibu orang yang selalu berdamping dengannya. Dan peranan ibu ini diambil-alih oleh guru ketika di sekolah, walaupun demikian dalam banyak suasana persekitaran, iaitu yang terdiri daripada kawan-kawan juga pengaruh sekeliling, termasuk iklan-iklan di suratkhabar, di televisyen, di tepi jalan raya, cd, video dan segala-galanya lebih banyak dan mudah mempengaruhi kanak-kanak yang sedang meningkat dewasa berbanding dengan guru-guru biarpun mereka bermati-matian mengajar dan mendidik anak-anak.

Guru lebih cenderung dianggap sebagai sumber mendapat ilmu, yang dalam keadaan tertentu tidak difahami oleh sesetengah pelajar, lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang tidak memahami sepenuhnya bahasa yang digunakan oleh guru itu. Kerana itu guru tidak menjadi role model atau idola yang dikagumi.

Seperkara lagi, berbanding dengan kecenderungan melakukan kebaikan, tabiat semula jadi manusia lebih cenderung melakukan kejahatan, kecuali mereka yang beriman kepada Allah swt.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Tukang masak dirogol di dalam surau

GUA MUSANG 9 Mei - Tidak mengira tempat.

Begitulah terjadi kepada seorang tukang masak apabila menjadi mangsa rogol oleh seorang lelaki yang baru dikenalinya di dalam sebuah surau di stesen kereta api di sini awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika mangsa yang berusia 20-an, sedang tidur dalam surau itu untuk berehat sementara menanti perjalanan seterusnya kereta api ke Johor Bahru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Supritendan Aziz Hasan berkata, mangsa mengenali suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu semasa menaiki kereta api dari Wakaf Bharu, Tumpat.

Beliau berkata, sebaik tiba di stesen Gua Musang, kereta api itu telah berhenti seketika dan mangsa mengambil kesempatan untuk turun.

"Mangsa bagaimanapun tertidur di dalam surau. Suspek yang melihat keadaan itu kemudian merogol mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Gua Musang," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kota Bharu dan bekerja sebagai tukang masak di Johor Bahru kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan mangsa telah dirogol kerana terdapat kesan koyakan.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

Kes pertama di Jepun

TOKYO 9 Mei - Seorang guru dan dua orang pelajar yang pulang dari Amerika Utara didapati positif influenza A (H1N1) dan merupakan kes pertama virus itu di Jepun, sekali gus menjadi negara Asia ketiga mempunyai kes tersebut.

Ketiga-tiga lelaki itu telah dikuarantin oleh pihak berkuasa Jepun, selepas mengikuti lawatan sekolah tinggi ke Kanada

Pihak berkuasa mengenakan perintah kuarantin terhadap ketiga-tiga lelaki itu, termasuk 49 orang yang turut sama menaiki penerbangan yang tiba semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo dari Detroit, Amerika Syarikat (AS).

Enam dari 49 orang itu kemudian dibawa ke hospital selepas jatuh sakit, menurut pegawai kementerian kesihatan, manakala media tempatan melaporkan mereka mempunyai simpton virus H1N1.

Perdana Menteri Jepun, Taro Aso berkata, tiga kes itu tidak dianggap penularan wabak itu di Jepun kerana mereka berjaya ditahan di lapangan terbang.

"Saya mahu rakyat bertenang tetapi terus berjaga-jaga dan memberi perhatian kepada maklumat yang diberikan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan." katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Jepun, Yoichi Masuzoe berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menghubungi 391 penumpang dan 21 krew yang menyertai penerbangan Northwest Airlines dan tiba 4.30 petang (4.30 petang waktu Malaysia) bagi menjalani ujian pemeriksaan influenza A.

"Semua penumpang yang dalam penerbangan itu berkemungkinan telah dijangkiti selesema.

"Kita mahu mengesan kesemua mereka menjelang malam ini" kata Masuzoe. - AFP


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Kembalikan hukuman rotan

BATU PAHAT 9 Mei Hukuman rotan akan diperkenalkan semula ke atas pelajar yang didapati melanggar disiplin, terlibat dalam kes pergaduhan dan buli di sekolah.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Peguam Negara.

Katanya, hukuman rotan itu juga jika diluluskan kelak, tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Guru-guru yang hendak merotan pelajar, tegas beliau, perlu mematuhi garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Peguam Negara.

Langkah berhati-hati itu, katanya, untuk mengelak pihak sekolah atau guru disaman oleh ibu bapa.

‘‘Kita berharap cadangan yang telah dikemukakan kepada Peguam Negara itu mendapat maklum balas sebelum akhir tahun ini.

‘‘Hukuman ini bukan untuk mendera tetapi mendidik para pelajar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Skim Khairat Percuma Sesi 2009/2010 anjuran Parlimen Batu Pahat di Dewan Senggarang di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini majoriti ibu bapa menyokong agar hukuman merotan dikuatkuasakan semula namun ada beberapa pihak termasuk golongan peguam yang membantahnya.

“Sebab itu sebelum peraturan itu dikuatkuasakan semula, kerajaan merujuk kepada Peguam Negara untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat mengulas kejadian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera Tongkang Pechah Batu Pahat cedera di lutut kiri selepas diserang dan dibelasah sekumpulan 12 pelajar ketika di dalam kelas, baru-baru ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

4 negara lagi sah dijangkiti H1N1

10/05/2009 6:19pm

KUALA LUMPUR 10 MeiKes jangkitan selesema babi di seluruh dunia terus meningkat dengan empat negara lagi disahkan mencatat jangkitan virus itu, menjadikan 29 negara melaporkan secara rasmi kes jangkitan virus Influenza A(H1N1).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan empat negara baru yang mencatat kes itu ialah Argentina (satu kes), Australia (satu kes), Jepun (tiga kes) dan Panama (dua kes).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan di sini hari ini, berkata WHO juga mengesahkan jumlah kes di seluruh dunia kini meningkat kepada 3,440 kes dengan 48 kematian.

Beliau berkata Malaysia masih bebas daripada jangkitan wabak itu dan sehingga pukul 12 tengah malam semalam (9 Mei), empat kes yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buluh bagi tujuan siasatan dan pemerhatian disahkan negatif wabak itu.

Sehingga semalam, sebanyak 2,343 penumpang dari 14 penerbangan telah disaring di pintu masuk udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA) dan Pulau Pinang.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_16.htm

Keluarga pincang punca rempit

KELUARGA bermasalah, mempunyai dua personaliti berbeza dan tidak patriotik. Inilah 'jiwa' mat rempit yang menjerumuskan mereka ke kancah masalah sosial, termasuk samseng jalan raya dan peragut. 

Malah isu mat rempit yang lebih dikenali mat motor dan bohjan sebelum ini, seakan-akan tiada penghujungnya selagi masih ada peluang bagi anak muda ini menjadi ‘raja’ di jalan raya. 

Ini diakui sendiri bekas mat rempit yang sudah insaf dan menjadi Presiden RD Club Malaysia, Azhanyzam Zakaria, 33.

RD Club yang ditubuhkan pada 1997, menghimpunkan pemilik motosikal yang mempunyai minat yang sama, selain mengelak gejala kurang baik, termasuk berlumba haram. 

“Kira-kira 90 peratus belia yang terbabit dalam gejala merempit adalah mereka yang mempunyai masalah keluarga, selain tinggal di rumah yang sempit. Jiwa belia yang agresif pula memang sukar dikawal menyebabkan mereka lebih suka melepak di luar rumah. 

“Ada yang tidak selesa dengan keadaan rumah sempit seperti rumah pangsa yang mempunyai satu atau dua bilik, menyebabkan mereka suka menumpang di rumah kawan. Ini menyebabkan mereka bebas keluar sehingga ke awal pagi kerana tiada siapa pun yang melarang,”
katanya yang mengakui menjadi mat rempit sejak berusia 14 tahun.

“Ada juga kalangan mat rempit ini mempunyai krisis personaliti. Jika di rumah mereka berlagak baik tetapi apabila berada di luar, merekalah raja,” katanya. 

Beliau berkata, biarpun mat rempit itu mewakili pelbagai kaum, tetapi majoritinya Melayu, diikuti kaum India. 

“Masalahnya, satu pertiga daripada belia Melayu yang bergelar mat rempit adalah anak pendatang asing yang memiliki kad pengenalan merah. Begitu juga dengan minah rempit

“Atas alasan inilah saya berani katakan sebahagian mereka ini seperti tiada semangat patriotik sehinggakan sanggup mencalar maruah dan keselamatan diri semata-mata untuk mencari kepuasan sementara,”
katanya.

Azhanyzam berkata, tidak sukar mengenali mat rempit kerana kebiasaannya mereka lebih gemar menunggang motosikal Yamaha RXZ yang boleh dianggap motosikal rasmi kumpulan itu, selain Modenas Lagenda. Motosikal Yamaha RXS dan jipang pula menjadi pilihan mat rempit belasan tahun dulu. 

Pengubahsuai pada bahagian enjin dan ekzos menjadi kemestian mat rempit kerana ia didakwa dapat menambah kuasa dan kelantangan bunyi ketika pedal minyak dipulas. 

“Identiti motosikal milik mat rempit boleh diperhatikan pada plat motosikal bertampal pelekat hitam, nombor pendaftaran yang tidak lengkap atau nombor yang diterbalik bertujuan mengelak dikesan polis ketika berlumba haram,” katanya. 

Azhanyzam memberikan contoh mengenai aktiviti mat rempit pada 1980-an yang disifatkannya tidak ganas kerana mempunyai pilihan beraksi di Litar Batu Tiga Shah Alam. 

“Ketika itu, jika ada 1,000 mat rempit yang keluar pada malam minggu, mungkin separuh daripadanya lebih suka melepaskan gian berlumba di Litar Shah Alam kerana jika kelengkapan berlumba lengkap, mereka hanya perlu membayar RM10 untuk masuk,” katanya. 

Bagaimanapun, keadaan sekarang berbeza dan beliau berasakan perlu ada pendekatan lebih menarik untuk golongan mat rempit

“Soalnya sekarang, jangan disogok mat rempit dengan aktiviti sukan seperti bola sepak atau pertandingan catur. Sudah pasti mereka tidak mahu kerana jiwa mereka hanya untuk aktiviti bermotor saja. 

“Saranan saya kepada kerajaan supaya diwujudkan satu trek khas untuk mereka berlumba kerana mungkin ia dapat membantu mengurangkan gejala rempit ini. Selain itu, filem berkaitan mat rempit juga harus diselitkan unsur pengajaran kerana saya lihat banyak filem sebegitu lebih bersifat komersial tanpa ada sebarang teladan,” katanya. 

Malah beliau menyifatkan mat rempit turut menyumbang kepada gejala sosial lain seperti ragut, rompak, rogol dan gejala samseng harus ditangani kerajaan dan masyarakat secara bijak. 

Baginya, biarpun pernah bergelar mat rempit, beliau dan rakan-rakannya di RD Club cuba membantu dengan menawarkan alternatif kepada ahlinya dengan aktiviti sihat seperti konvoi bermotosikal secara selamat. 

“Program dijalankan kebiasaannya bertujuan untuk menyemarakkan kempen tertentu seperti kempen lumba haram, jauhi dadah, banteras mat rempit dan isu semasa seperti bantuan untuk Palestin dan kembara mencari kanak-kanak yang hilang,” katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090510075918/Article/index_html

'Mat rempit hanya di Malaysia'


Aksi berani mat rempit di jalan raya boleh mengundang kemalangan maut.

GEJALA mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini. 

Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata ini disebabkan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing. 

"Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak ramai yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

"Keadaan sebaliknya di sini kerana ramai bermotosikal. Malah lebih ramai daripada yang berkereta. Jadi wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Merempit itu sudah menjadi satu budaya di kalangan pemilik motosikal ini," katanya. 

Prof Abdul Rahim berkata, di luar negara, jika ada pun, hanyalah lumba kereta haram dan bukannya motosikal. 

"Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, perlu diingat, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada saja kejadian merempit." katanya.

Beliau turut mengaitkan gejala mat rempit itu dengan faktor cuaca. Di Malaysia, cuacanya sama sepanjang tahun, manakala di luar negara cuacanya empat musim. 

"Apa yang pasti, tiada siapa pun yang mahu bermotosikal ketika musim sejuk." katanya. 

Prof Abdul Rahim turut menyuarakan kebimbangannya kerana perkembangan semasa menunjukkan gejala mat rempit bukannya berkurangan atau terkawal, sebaliknya semakin menjadi-jadi. Buktinya, jika dulu cuma 10 atau 20 orang mat rempit bergerak dalam satu kumpulan, kini bilangan mereka mencecah hingga 200 orang. 

Ditanya faktor utama yang menyumbang kewujudan mat rempit ini, beliau menyifatkan sekurang-kurangnya lima faktor iaitu sikap mat rempit, ada 'peminat' gejala itu, pengaruh permainan video, pengaruh media dan penguatkuasaan undang-undang yang longgar,

"Sikap mat rempit yang menyifatkan perbuatan mereka itu memberikan kepuasan dan keseronokan tersendiri. Mereka berasa teruja dapat beraksi di jalan raya, ditonton ramai, ada peminat serta ganjaran seperti wang dan wanita untuk ditiduri. 

"Tidak kurang juga yang menjadikan aksi rempit itu cara meleraikan pertelagahan seperti kumpulan mana yang memandu paling laju. Merempit ini memberi kepuasan rekreasi kepada mereka. Jika orang lain seronok panjat gunung atau kegiatan sukan lain, mat rempit menganggap membonceng motosikal dengan laju dan mempamerkan aksi bahaya itu satu kepuasan. Lebih-lebih lagi jika mereka ada kawan yang meminati perkara sama," katanya. 

Prof Abdul Rahim turut menyelar sikap pengeluar filem dan drama bersiri yang berlumba-lumba menghasilkan cerita mengenai mat rempit yang disifatkannya hanya memberi publisiti meluas dan menggambarkan mereka sebagai hero atau ikon. 

"Pengarahnya pula mendakwa produksi itu memberi pengajaran. Tetapi saya mahu soal kembali, apa gunanya pengajaran yang cuma 20 peratus berbanding keburukan sebanyak 80 peratus lagi? 

"Pernahkah beliau terfikir berapa ramai yang akan meniru aksi dipaparkan? Aura filem sedemikian bukan saja di ibu negara tetapi menular sehingga ke segenap pelosok tanah air. Jadi apa rasionalnya menghasilkan drama atau filem yang mempopularkan gejala sosial sedemikian?" 

Prof Abdul Rahim juga menggesa pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) mewujudkan satu pangkalan data khas bagi pesalah merempit ini, khususnya mengesan mereka yang tegar dan harus dikenakan hukuman lebih berat apabila mengulangi kesalahan itu. 

"Pangkalan data itu menjadi catatan rekod kesalahan dan rujukan pihak berkuasa itu sendiri. Selain itu, kerajaan juga harus lebih tegas dengan menggantung lesen mat rempit selama dua tahun. Kita harus lebih serius dan tegas menangani permasalahan mat rempit ini," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Bmdua/20090510080010/Article/index_html

6 bulan koma tidak insaf

Oleh Siti Nur Almizan Aripin dan Bennie Zie Fauzi
bminggu@bharian.com.my




Berbohong jadi amalan mat rempit, keluarga terlalu mudah diperdaya 

SOAL patah riuk tidak pernah ada dalam kamus diri mat rempit. Hanya maut menjadi penamat kepada usaha sia-sia mereka yang saban malam berlumba motosikal hanya untuk sedikit habuan membabitkan pertaruhan kecil. 

Pertaruhan besar hanya untuk malam minggu yang menyaksikan perempuan bohsia menjadi hadiah untuk pemenang lumba haram, selain wang.

Hakikatnya, soal patah kaki atau cedera parah akibat jatuh motosikal ketika berlumba tidak sedikitpun menakutkan mat rempit, apatah lagi kehadiran polis yang cuba menyekat laluan perlumbaan mereka lebih dilihat sebagai marsyal untuk melancarkan lagi perlumbaan mereka. 

“Saya menerima 69 jahitan dan setahun dirawat di hospital selepas jatuh ketika berlumba di Seksyen 19, Shah Alam. Enam bulan saya koma, tiga bulan hilang ingatan dan tiga bulan lagi belajar menggerakkan anggota badan untuk pulih semula. 

“Kejadian itu tidak menginsafkan saya supaya tidak lagi merempit. Hanya selepas melihat rakan baik saya bertarung dengan maut akibat motosikalnya bergesel dengan pembahagi jalan dan serpihan motosikal menghiris jantungnya, barulah saya insaf,” kata bekas mat rempit, Mohamad Zahari Sulaiman.



Beliau yang kini menjangkau usia 30 tahun, mengakui sudah merempit sejak berusia 14 tahun selepas seronok melihat perlumbaan haram di sekitar kediamannya. 

“Mula-mula melihat dari jauh saja dan mula berminat berlumba motosikal selepas berkenalan dengan kelompok mat rempit. Selepas mendapat lesen motosikal, saya ambil keputusan berlumba sama,” katanya yang mengimbas detik bergelar mat rempit pada 1992. 

Dia yang ketika itu menunggang motosikal jipang tidak gentar menyahut cabaran pelumba haram lain yang jauh lebih tua daripada usianya. 

Pertaruhan pada waktu itu, kata Mohamad Zahari tidak membabitkan perempuan tetapi bersetuju motosikal bersama geran dibakar sekiranya tewas berlumba.

Mohamad Zahari Sulaiman (atas) dan Faizal Hasyim.

“Wang pertaruhan pada ketika itu mencapai RM6,000 daripada kutipan ahli kumpulan yang bersetuju untuk berlumba,” katanya. 

Selama dua tahun Zahari menyembunyikan kegiatan sia-sia itu daripada pengetahuan keluarga. Keluarganya tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap kali kalah bertanding dan pulang tanpa motosikal, dia memberi alasan kenderaannya itu dicuri. 

“Berbohong menjadi amalan dan keluarga pula percaya. Selepas membuat laporan polis dan berjaya mendapatkan tuntutan insurans, saya akan beli motosikal baru,” katanya yang kini kehilangan limpa kanannya selepas menjalani enam pembedahan. 

Bagi Faizal Hasyim, 23, dia hanya mengambil keputusan berhenti daripada merempit selepas sedar perbuatannya itu tidak ubah mengundang ‘mati katak’, apatah lagi dua kali dia hampir menemui ajal. 

Kemalangan pertama dialami ketika berlumba di bulatan Jalan Pahang, di sini pada jam 5 pagi ketika berusia 18 tahun, menyebabkan dia patah kaki dan menerima lebih 30 jahitan, sekali gus terpaksa bertongkat selama setahun. 

kejadian kedua berlaku sebaik dia boleh berjalan semula apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika melakukan aksi ‘cilok-mencilok’ di jalan sesak. Akibatnya, dahinya berparut dan dia tersembam di atas kereta. 

Faizal bergelumang dengan dunia merempit lima tahun lalu kerana ingin mencuba keseronokan berlumba seperti digembar-gemburkan rakan-rakan sekolahnya. 

Motosikal yang dihadiahkan ibu bapanya bagi memudahkan dia ke sekolah disalahgunakan untuk tujuan berlumba pada malam minggu. 

“Ketika itu saya hanya fikir untuk berseronok dan sentiasa mencari jalan supaya dapat menyertai perlumbaan pada malam minggu,” katanya. 

Faizal berkata, keluarganya tidak pernah melarang dia keluar rumah pada waktu malam kerana terpedaya dengan kelakuan baik yang ditonjolkannya, selain dia bijak menyembunyikan kegiatannya dengan memberi pelbagai alasan untuk keluar malam, termasuk mengadakan diskusi berkumpulan,” katanya. 

“Selalunya, saya beritahu mahu menginap di rumah kawan untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya yang mengakui imej baiknya di rumah dengan memastikan setiap kerja dan tugasan sekolah dibereskan sebelum keluar berjaya ‘menipu’ ibu bapanya. 

INFO: Cadangan kawal mat rempit 

  • 4 Mei 2009
    Mat Rempit yang disabitkan kesalahan berlumba secara haram akan dihukum penjara dan denda, masing-masing lebih lima tahun dan RM15,000 melalui pindaan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan. 

  • 7 November 2008
    Kementerian Pengangkutan sedia kaji cadangan menempatkan anggota penguat kuasa JPJ bertugas 24 jam di beberapa lokasi tumpuan mat rempit. 

  • 31 Oktober 2008
    Polis akan kaji larangan penggunaan motosikal dalam kawasan bandar untuk elak kejadian ragut dan mat rempit daripada berleluasa.

  • Janin dibedah dalam kandungan



    OCEANE MCKENZIE menjalani pembedahan jantung ketika berusia 31 minggu di dalam kandungan ibunya.


    BUAT kali pertama, sepasukan doktor di Hospital Mount Sinai dan Hospital Kanak-Kanak Sakit di Toronto, Kanada berjaya melakukan pembedahan jantung pertama ke atas janin yang masih berada di dalam rahim ibunya.

    Janin yang dipercayai mengidap Critical Aortic Stenosis yang mana terdapat penyempitan teruk bagi injap alur keluar utama jantung kiri bayi itu menjalani pembedahan pada usia 30 minggu.

    Menurut Ketua Unit Perubatan Bersalin di Hospital Mount Sinai, Dr. Greg Ryan, pembedahan yang pertama kali dijalankan di Kanada itu merupakan satu-satunya prosedur yang dapat menyelamatkan janin itu daripada meninggal dunia.

    "Jika janin dibiarkan tanpa sebarang rawatan, risiko untuk janin meninggal dunia ketika dilahirkan adalah tinggi dan sekiranya selamat dilahirkan, bayi tersebut terpaksa menderita Sindrom Jantung Kiri Hypoplastic sepanjang hayatnya.

    "Jika mereka hidup, hanya 65 peratus yang boleh bertahan selama 10 tahun," katanya.

    Melalui keadah pembedahan yang mengambil masa 37 minit itu, para doktor telah menyelitkan satu jarum panjang melalui perut McKenzie bagi satu kateter kepada injap aorta janin.

    Dia yang dalam keadaan sedar ketika itu dapat melihat janinnya diberi ubat supaya tidak bergerak dan bebas dari sakit sebelum para doktor menggunakan alat ultrasonik untuk mencari jalan ke jantung janin.

    "Keupayaan para doktor untuk membetulkan injap aortik pada usia kandungan 31 minggu berjaya memastikan janin membesar dengan sempurna dan mengurangkan risiko kesihatan yang lain," jelas Dr. Greg.

    Bayi yang diberi nama Oceane McKenzie itu dilahirkan 15 April lalu.

    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

    Cerita ibu paling tua di Britain

    Walaupun sering sakit dan dicemuh, Susan Tollefsen, 58, tidak pernah menyesal melahirkan Freya, 13 bulan lalu.


    DEMI Freya, Susan (kiri) tekad untuk hidup lebih lama lagi.



    SUSAN mengandung pada usia 57 tahun.


    SEMENJAK menjadi seorang ibu buat pertama kali pada usia 57, Susan Tollefsen hampir mati akibat pelbagai masalah kesihatan yang serius dan turut menghadapi cemuhan daripada ibu-ibu yang lebih muda.

    Pengakuan menjadi seorang ibu buat kali pertama pada usia 57 telah didatangi perasaan menakutkan yang tidak diduga oleh Susan pada Ogos lepas iaitu seawal pukul 1 pagi.

    Terjaga dan berasa sakit, dia tidak mampu untuk bangun dari katil, apatah lagi mengambil Freya, anak perempuannya yang berusia lima bulan.

    Suaminya, Nick Mayer yang 11 tahun muda daripadanya, merupakan seorang pengurus gudang dan telah keluar bekerja pada masa kecemasan itu. Susan kemudiannya menelefon seorang jirannya untuk meminta pertolongan.

    "Sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Saya hampir tidak boleh bergerak kerana ia sangat menyakitkan.

    "Saya menelefon jiran dan memintanya mendapatkan sebuah ambulans.

    "Jiran saya kemudian datang dan menjaga Freya manakala saya diusung keluar oleh kumpulan paramedik tersebut.

    "Ia detik paling menakutkan dalam hidup saya," kata Susan yang merupakan ibu paling tua pertama melahirkan bayi di Britain.

    Setelah tiba di Hospital Queen di Romford, Essex, para doktor mengesahkan Susan mengalami komplikasi ulser peptik dan memberitahunya sekiranya dia menunggu untuk lima minit lagi sebelum meminta bantuan, kemungkinan besar dia akan meninggal dunia.

    "Saya berasa sangat sakit dan tidak dibenarkan berjumpa Freya selama 10 hari. Itu merupakan perkara paling sedih buat saya kerana Freya sangat memerlukan saya.

    "Dalam masa yang singkat itulah saya bertanya diri sendiri seandainya telah membuat perkara yang betul dengan melahirkan seorang lagi bayi dalam usia sebegini.

    "Namun tiada sesiapa boleh meramal sesuatu kejadian dan saya hanya perlu melihat Freya untuk meyakinkan diri bahawa saya tidak boleh kesal melahirkan bayi ini," katanya lagi.

    Kini setelah pulih sepenuhnya, Susan berusaha meningkatkan lagi tahap kesihatannya.

    "Saya tahu ada yang mengatakan saya mementingkan diri sendiri dengan memiliki seorang bayi pada usia 57 tahun, namun Freya perlu untuk lebih dicintai dan dijaga. Manusia kini juga mempunyai jangka hayat yang panjang, bukan?

    "Tiada sebab untuk saya hidup sehingga umur 80 atau 90 tahun selain melihat dia dewasa," kata Susan yang akan berusia 59 tahun pada Oktober ini.

    Sementara semua keluarga Susan dan Nick serta rakan-rakannya memberi sokongan padu ke atas usaha mereka untuk menjadi ibu bapa.

    "Saya ingat lagi ketika pergi ke sebuah kelab ibu dan bayi, tidak lama selepas Freya dilahirkan. Ada yang berkata kepada saya, tahukah anda bahawa ketika dia berumur 12 tahun dan baru memasuki sekolah menengah, anda ketika itu sudah pun berumur 70?," beritahunya.

    "Dan saya jawab, ya, saya tahu. Terima kasih banyak-banyak. Sebenarnya kata-katanya sangat menyakitkan saya," ujarnya.

    Walaupun merasakan sifat keibuan itu adalah perkara terhebat dalam hidupnya, Susan turut mengakui untuk menjadi ibu bukanlah semudah yang disangka.

    Seperti yang dijangkakan pada wanita seusianya, sejak berumur 51 tahun lagi, Susan telah mengalami masalah pekak di sebelah telinga, dan masalah tulang belakang yang serius akibat terjatuh semasa percutiannya pada tahun 1991.

    Hanya sebulan sebelum dia dikejarkan ke hospital dengan satu letusan ulser pada tahun lepas yang terjadi akibat ubat penahan sakit untuk sakit belakang, dia terpaksa menjalani satu lagi pembedahan penggantian lutut yang juga satu lagi masalah yang tidak diduga.

    "Saya terpaksa menghadapi tiga pembedahan besar dalam masa lima bulan, di mana kesemuanya sangat sukar.

    "Jadi ia bukanlah tahun yang baik untuk saya tapi saya sangat bertuah kerana Freya merupakan seorang bayi yang gembira, sihat dan sempurna."

    Tambahnya: "Freya kini sudah berusia 13 bulan, namun Nick dan saya masih lagi melihat dia bangun dari katil bayinya. Saya seperti tidak percaya bahawa dia milik kami."

    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

    Pelajar hilang ditemui mati dipercayai dibunuh





    TEMERLOH - Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong, Bera- yang hilang sejak minggu lepas ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan perindustrian Mentakab, dekat sini, awal pagi semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, T. Narenasagaran berkata, Chua Li Yen, 17 (gambar), dipercayai mati dibunuh sejak beberapa hari lepas, dan mayatnya ditemui hampir reput di tepi longkang sebuah kedai kosong oleh orang awam pada kira-kira pukul 3.30 pagi ini.

    "Mayat sudah dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat, siasatan juga dijalankan bagi melihat sekiranya kejadian ini membabitkan kes rogol," katanya di sini, semalam.

    Narenasagaran berkata, menurut laporan polis sebelum ini, Li Yen dilaporkan hilang pada 1 Mei lepas.

    "Beliau dipercayai keluar rumah selepas bapanya Chua Yun Jiang, 43, bersama ibu dan empat adiknya pergi bercuti di Port Dickson pada 30 April lepas," katanya.

    Narenasagaran berkata, selepas pulang bercuti pada malam 1 Mei, bapa Li Yen mendapati anaknya itu sudah tiada di rumah dan tidak menjawab telefon bimbitnya ketika dihubungi.

    - Bernama

    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

    Pil tiroid punca kerosakan hati

    PENGGUNAAN pil bagi merawat tiroid pada kanak-kanak boleh menyebabkan kegagalan hati untuk berfungsi. Menurut Donald R. Mattison dari Institut Kesihatan Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan AS, kebanyakan doktor menggunakan propylthiouracil atau methimazole bagi merawat kanak-kanak yang menghidap penyakit Graves di samping pembedahan serta iodin radioaktif.

    EKSTRA: Kajian Archives of Pediatrics and Adolescent Medicine mendapati ada hubung kait antara pengawalan diri dan kenaikan berat badan di kalangan kanak-kanak.


    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm

    Penemuan

    TAHUKAH anda mengenai kebaikan avortemin, penemuan terbaru dalam bidang imbasan ultra bunyi? Bagaimana pula dengan risiko oral seks serta bahaya tempiasan alkohol? Ikuti ruangan Penemuan pada minggu ini untuk jawapannya.

    Avortemin hilangkan parut

    PENYELIDIKAN dibuat terhadap sejenis ubatan khas untuk menghilangkan kesan parut yang kini terbukti berkesan, menurut penyelidik di United Kingdom.




    Ubat tersebut, Avotermin, akan disuntik ke bahagian parut yang akan bertindak mengurangkan kesannya tanpa meninggalkan tanda merah dan kesan jelas.

    EKSTRA: Kekurangan pengambilan vitamin A dan C mampu mengundang risiko asma menurut satu kajian yang dijalankan selama 30 tahun. Menurut penyelidik dari Universiti Nottingham, terdapat peningkatan sebanyak 12 peratus berlakunya risiko asma ke atas mereka yang kekurangan dua jenis vitamin tersebut.

    Imbas strok kanak-kanak

    SATU pengimbas ultra bunyi yang membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit berkaitan darah, sickle, juga didapati mampu mengesan kehadiran strok.

    Menurut Dr. Heather J. Fullerton dari Universiti California, semenjak mesin pengimbas ultrabunyi Transcranial Doppler (TCD) itu digunakan, kejayaan mengurangkan kejadian strok pada kanak-kanak mencapai hampir 80 peratus.

    EKSTRA: Satu kajian di Perancis yang dikeluarkan dalam jurnal perubatan Lancet Neurology mendapati penggunaan acetaminophen pada suhu tubuh normal mampu mengurangkan risiko serangan strok pada peringkat pertama.

    Ubat tersebut turut digunakan bersama Crestor, Lipitor dan Zocor dalam mengurangkan kandungan statin kolesterol.

    Seks oral punca kanser tekak

    PARA penyelidik memberi amaran bahawa sejenis virus dapat menyebabkan kanser tekak bagi mereka yang gemar melakukan seks oral. Menurut jurnal perubatan New England, risiko virus ini merebak adalah sembilan kali lebih tinggi bagi mereka yang melakukan seks oral dengan enam pasangan atau lebih.




    EKSTRA: Wanita yang melahirkan anak ketika usia remaja berisiko menjadi gemuk berbanding rakan mereka yang tidak mengandung dalam usia yang sama. Dr. Erica P. Gunderson dari Kaiser Permanente di Oakland, California, AS berkata, keadaan ini berlaku kerana perkembangan remaja itu ketika melahirkan anak adalah tinggi dan sekali gus mempercepatkan proses kegemukan yang sepatutnya lambat berlaku.

    Tempiasan alkohol sebabkan kanser

    MENURUT hasil penyelidikan Institut Kebangsaan mengenai Alkohol dan Penyalahgunaan Alkohol Amerika Syarikat, tempiasan alkohol pada muka peminumnya mampu mengundang kanser gullet.




    Enzim yang terdapat pada kulit menjadi kemerahan serta kesan ruam serius apabila ia bertindak balas dengan alkohol.

    EKSTRA: Kaedah akupuntur yang digunakan bagi menghilangkan rasa panas yang dikaitkan dengan menopaus sebenarnya tidak membantu mengurangkannya, menurut ketua penyelidik dari Institut Perubatan Oriental Korea, Dr. Myeong Soo Lee.

    http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...