Wednesday, May 6, 2009

Negara kita masih selamat

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai wabak Influenza A H1N1 kerana tiada kes berkaitan wabak berkenaan menjangkiti individu dalam negara walaupun angka yang dicatatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan peningkatan.

Setakat semalam, laporan WHO memaklumkan bahawa dua negara iaitu Colombia dan El Salvador mengesahkan kes di negara masing-masing menjadikan jumlah negara yang terbabit ialah 20.

Antara negara yang sudah disahkan mempunyai wabak berkenaan ialah Austria, Kanada, Hong Kong, Costa Rica, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Israel, Itali, Belanda, New Zealand, Korea, Sepanyol, Switzerland dan United Kingdom.

Jumlah kes keseluruhan yang dilaporkan ialah 985 dengan 25 kematian iaitu penambahan sebanyak 87 kes berbanding hanya 898 membabitkan 20 kematian pada hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata tahap amaran penularan wabak itu masih lagi berada di Tahap 5 dan sehingga kini belum lagi ada sebarang sekatan dikenakan terhadap pelancong atau rakyat tempatan.

“WHO tidak menyarankan sebarang sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan serta penutupan sempadan bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

“Namun, orang ramai masih perlu mengutamakan langkah berjaga-jaga dan dinasihatkan menangguhkan lawatan antarabangsa sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan terutama demam, batuk, selesema dan sakit tekak,”
katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, WHO turut menyarankan beberapa langkah tambahan sebagai persediaan melindungi diri daripada wabak berkenaan iaitu dengan mengamalkan kebersihan diri.

“Orang ramai dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri iaitu dengan membasuh tangan lebih kerap menggunakan sabun terutama selepas batuk,” katanya.

Katanya, saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa yang menerima pelawat dari negara terjejas serta kepulangan rakyat Malaysia dari negara berkenaan terus dipertingkatkan.

“Bilangan penerbangan yang disaring ialah 42 manakala penumpang yang disaring seramai 4,452 orang, namun tiada kes yang dirujuk ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata, semua pengamal perubatan tempatan sudah dilengkapkan dengan persediaan menghadapi wabak berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090505052534/Article/index_html

Suami isteri penipu ditahan

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Taktik dilakukan sepasang suami isteri dari Asia Barat yang memasuki negara ini sebagai pelancong sebelum melakukan samun di sekitar ibu negara terbongkar apabila ditahan orang awam di sini, Jumaat lalu.

Pasangan berusia 28 dan 38 tahun itu turut membawa seorang anak berusia lapan tahun ketika melakukan kegiatan itu.

Mereka hanya mensasarkan pelancong asing yang membeli-belah di sekitar ibu kota sebagai mangsa dengan berpura-pura ingin menukar wang sebelum menyamun mangsa.

Kegiatan pasangan itu dikesan seorang warga tempatan yang kebetulan berada di tempat kejadian dan memerhatikan gerak-geri pasangan terbabit memperdaya seorang mangsa di kawasan membeli-belah di Jalan Bunus di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pasangan suami isteri itu ditahan orang awam kira-kira jam 6.50 petang selepas memperdaya seorang pelancong asing.

“Modus operandi pasangan itu ialah meminta mangsa menunjukkan mata wang negara masing-masing daripada dompet dengan alasan mahu menukar wang.

“Suspek kemudian berpura-pura membelek wang itu sebelum melarikannya,”’
katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, semalam. 

Sasaran suspek bukan rakyat tempatan sebaliknya memilih pelancong luar yang sedang membeli belah.

“Perwatakan suspek wanita yang memakai tudung labuh serta membawa seorang anak ketika menjalankan kegiatan jenayah itu dapat meyakinkan mangsa.

“Pasangan itu memasuki negara ini sebagai pelancong untuk tempoh sekitar dua minggu sebelum ke beberapa negara jiran untuk melakukan jenayah sama,” katanya.

Penahanan suspek membolehkan lima kes menggunakan modus operandi sama bagi tempoh tiga bulan sejak Februari lalu dapat diselesaikan.

“Jumlah kerugian tertinggi dilaporkan mangsa mencecah RM2,000 dan kedua-dua suspek kini direman dua minggu sehingga 15 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090505052325/Article/index_html

Janin dalam kolam kumbahan

KAJANG: Tidak berhati perut apabila individu tidak dikenali membuang janin sebesar tapak tangan dipercayai berusia lima bulan dalam kolam kumbahan, tengah hari semalam.

Difahamkan, janin lelaki yang masih bertali pusat itu dibuang dalam kolam berkenaan sejak tiga hari lalu sebelum ia dijumpai beberapa pekerja loji.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari di Seksyen 4, Bandar Rincing di sini, pekerja terbabit dikejutkan dengan objek misteri terapung yang pada mulanya disangka patung. 

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, objek yang disangka patung itu sebenarnya adalah janin manusia.

Ketua Polis Kajang, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood ketika dihubungi mengesahkan penemuan janin lelaki itu.

“Polis akan menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Kementerian Kesihatan diminta siasat terperinci

KUALA LUMPUR: Keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mendakwa tersilap jadual pemakanan ubat yang diberi sebuah klinik kerajaan menyebabkan kematiannya, minggu lalu, meminta Kementerian Kesihatan menyiasat secara terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak berkaitan. 

Datuk kanak-kanak malang, Thirishan Raj, Datuk N Muneandy, berkata pihaknya kini masih menunggu laporan daripada Jabatan Patologi HKL berhubung punca sebenar kematian cucunya yang dijangka diperoleh minggu depan.

“Kami sekeluarga terkejut dengan apa yang berlaku secara jelas disebabkan kesilapan klinik itu yang mengarahkan cucu saya memakan ubat bagi dos orang dewasa.

“Berikutan itu, saya meminta pihak kementerian menyiasat secara menyeluruh perkara itu bagi mengelak ia berlaku pada kanak-kanak lain yang tidak berdosa,”
katanya ketika ditemui di kediaman mangsa di Taman Rainbow, Jalan Ipoh, di sini, semalam. 

Hadir sama peguamnya, M Arunachalam dan ibu bapa kanak-kanak itu, N Paramewaran, 37, dan M Sanggeta, 32, serta ahli keluarga terdekat.

Menurut Muneandy, cucunya itu menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berkenaan sejak berusia lapan bulan dan seluruh ahli keluarga mempunyai rekod kesihatan yang baik.

Teman wanita hilang tinggal hutang RM200,000

dibuatnya kepada Chong, semalam." title="BUKTI...Chan menunjukkan gambar dan laporan polis
dibuatnya kepada Chong, semalam." height="200" width="300" border="0">
BUKTI...Chan menunjukkan gambar dan laporan polis
dibuatnya kepada Chong, semalam.

KUALA LUMPUR: Bahana kemaruk cinta. Itulah nasib malang dialami seorang juruelektrik berikutan terpaksa menanggung beban hutang bank ribuan ringgit selepas diperdaya teman wanitanya yang menghilangkan diri bersama kereta mewah dibelinya, bulan lalu.

Chan Sung Kin, 32, mendakwa dia bersetuju menggunakan beberapa dokumen pengenalan dirinya untuk membeli sebuah kereta terpakai jenis BMW yang diingini teman wanitanya dikenali sebagai Lim, 36, di sekitar Lembah Klang, Ogos tahun lalu. 

“Pada waktu itu, dia berjanji akan menjelaskan bayaran bulanan kereta terbabit dan memberitahu bahawa terlalu memerlukannya untuk kegunaan seharian.

Kerana terlalu cinta, saya terus mempercayai kata-katanya itu dan segera memberikan beberapa dokumen kepadanya untuk membeli kereta mewah berkenaan,”
katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. 

Hadir sama Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong. 

Menurut Chan, dia bagaimanapun terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak bank yang memberitahu perlu membayar tunggakan ansuran bulanan kereta selama empat bulan berjumlah lebih RM7,000, bulan lalu. 

“Sekiranya gagal berbuat demikian, selain menarik balik kenderaan yang masih mempunyai hutang berjumlah RM200,000 itu, mereka (bank) turut akan menyenarai hitam nama dan sekali gus menyebabkan saya bakal diisytiharkan muflis. 

“Saya kemudian segera menghubungi teman wanitanya itu dan meminta memulangkan kereta terbabit namun dia memaklumkan kononnya berada di Sabah dan berjanji akan pulang dalam tempoh tiga minggu,”
katanya. 

Dakwanya, selepas puas menunggu, teman wanitanya yang juga pakar kecantikan itu bagaimanapun gagal dihubungi dan didapati sudah berpindah dari rumahnya di Sri Petaling

“Saya yang menyedari diperdaya seterusnya membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Chan berkata, dia terkilan dengan tindakan wanita dikenalinya sejak empat tahun lalu itu yang ternyata mempunyai niat tertentu untuk memperdayakannya.


Suri rumah ditipu jurujual syarikat penapis air

KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan kata-kata manis dua jurujual sebuah syarikat jualan langsung, seorang suri rumah ‘terjerat’ selepas mendakwa kedua-dua mereka bijak memanipulasikan wanita itu sehingga dia kini terpaksa menanggung bil tunggakan berjumlah ribuan ringgit. 

Difahamkan, jurujual lelaki dan wanita itu menggunakan taktik licik apabila ‘memancing’ mangsa kononnya syarikat mereka membuat promosi percubaan untuk memasang sistem penapis air selama 14 hari tanpa sebarang caj dikenakan. 

Malah, kedua-dua ‘kaki belit’ itu turut meyakinkan suri rumah terbabit bahawa dia boleh memulangkan semula penapis air berkenaan jika tidak berpuas hati sebelum dikatakan memujuk serta mendesaknya menandatangani beberapa dokumen.

Mangsa yang kebingungan turut mendakwa seolah-olah dipukau apabila tanpa rela membiarkan keduanya melakukan kerja pemasangan penapis air itu, selain menurunkan tandatangan pada dokumen disediakan.

Bagaimanapun, suri rumah itu terkilan apabila dia sebaliknya dikenakan caj, malah terpaksa melangsaikan hutang lebih RM3,000 bagi penapis air berkenaan bagi mengelak tindakan mahkamah terhadapnya. 

Menurut mangsa mahu dikenali Lina, 30-an, pada Ogos tahun lalu, dia didatangi kedua-dua jurujual itu ketika sedang menjemur pakaian di rumahnya di Jinjang, Sentul di sini yang menawarkan sistem penapis air secara percuma selama tempoh percubaan 14 hari sebelum mengatakannya tidak berminat.

“Namun, pujukan dan desakan ‘bertubi-tubi’ membuatkan saya serba salah dan kemudian mereka bersikap agresif apabila tetap memasang alat itu tanpa persetujuan.

“Mereka juga memaklumkan yang kononnya saya boleh memulangkan semula barang terbabit jika tidak berpuas hati tanpa sebarang caj,”
katanya di sini, semalam.

Lina berkata, kedua-dua jurujual itu kemudian turut mendesaknya menandatangani borang pembelian sebelum dia yang tidak tahu menahu hal sebenar dikatakan hanya menuruti arahan keduanya.

“Apabila suami pulang dari kerja, saya dan suami bersetuju memulangkan semula penapis air berkenaan, namun terkejut selepas dimaklumkan oleh pekerja syarikat jualan langsung bahawa mereka kena membayar RM600, iaitu 30 peratus daripada harga promosi barang itu.

“Kami tidak mempunyai wang dan sejak itu saya kerap menghubungi syarikat berkenaan untuk membuka semula penapis air itu, namun tidak dilayan,”
katanya yang pernah membuat bayaran ansuran bulanan bagi penapis air itu, tetapi hanya sekali.

Menurut Lina, sejak itu, dia tidak pernah membuat bayaran namun terkejut apabila menerima surat syarikat langsung itu untuk menjelaskan bayaran tertunggak kira-kira RM600 dan perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari, bagi mengelak tindakan undang-undang diambil.

Ibu pergi jua

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Bagai babak drama sedih, seorang anak mangsa ragut berusia tujuh tahun terpaksa dipeluk ibu saudara bagi menenangkan keadaan selepas beberapa kali bertanyakan ke mana ibunya pergi.

Puteri Norashikin Salleh tidak berhenti menangis apabila mengetahui ibu tercinta, Jamilah Selamat, 31, meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi semalam selepas 36 jam koma di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Dia gagal ditenangkan ahli keluarga dan saudara-mara yang berkumpul di luar bilik mayat HSA, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dapat ditenangkan apabila ibu saudaranya memeluk dan menyuruhnya menghadiahkan al-Fatihah buat bekalan ibu di alam barzakh.

Kenyataan hidup yang dihadapi Puteri Norashikin bersama adiknya, Mohd Khairi Ridwan, 5, begitu pahit kerana dia bukan saja kehilangan ibu tersayang, malah tidak sempat menimang adik selepas arwah disahkan mengandung lebih dua bulan.

Jamilah menemui ajal selepas bertarung nyawa lebih 36 jam dalam keadaan koma apabila terjatuh dari motosikal sebaik beg tangan dalam raga disentap peragut dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu, di Taman Air Hitam, Batu Pahat.

Difahamkan, ketika kejadian, Jamilah yang bekerja sebagai jurujual kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam, baru membeli makanan dan barangan keperluan harian di sebuah pasar malam untuk dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Mekar, Taman Mekar, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Allahyarham terjatuh dari motosikalnya dengan muka terhentak jalan.

Seorang lelaki yang lalu di kawasan berkenaan melihat dua lelaki melarikan diri selepas meragut beg tangan mangsa.

Suami mangsa, iaitu bapa tiri Puteri Norashikin, Razali Ahmad, 41, berkata dia berkahwin dengan Jamilah selepas Aidilfitri kira-kira enam bulan lalu selepas isteri pertamanya meninggal dunia akibat kanser.

“Saya mempunyai dua anak berusia 17 dan 15 tahun hasil perkahwinan dengan isteri pertama, manakala arwah mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun,” kata peniaga makanan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap itu.

Katanya, kejadian ragut menyebabkan nyawa Jamilah melayang itu adalah yang kedua.

Pertengahan tahun lalu, arwah pernah diragut di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam ketika menunggang motosikal.

Dia kehilangan beg tangan yang juga diletakkan dalam raga.

Menurut Razali, berikutan kejadian itu, seorang rakan mengajar arwah untuk menyimpulkan tali beg tangan pada cermin sisi bagi mengelaknya mudah dilarikan peragut.

“Berdasarkan cerita rakan, motosikal arwah terseret beberapa meter, mungkin disebabkan sentapan kuat pada beg tangannya yang disimpulkan pada cermin sisi. Ini menyebabkan Jamilah gagal mengawal motosikal sebelum terjatuh,” katanya.

Razali berkata, arwah dibawa ke HSA dari Hospital Batu Pahat pada awal pagi Isnin lalu bagi menerima rawatan rapi, tetapi gagal diselamatkan akibat parah di kepala serta muka.

Jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Hiitam, petang semalam.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Fauziah Ahmad, 34, berkata dia mempunyai sebab untuk membenci dan berdendam dengan peragut.

“Jika saya mempunyai kuasa undang-undang, sudah pasti saya akan menjatuhkan hukuman paling berat termasuk hukuman mati kepada peragut. Mereka bukan saja pencuri, tetapi juga pembunuh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090506051135/Article

Ramai langgan pelacur bukan kerana seks


DUA pelacur menunggu pelanggan di pinggir Moscow pada 25 April lalu.


MOSCOW - Semakin ramai lelaki Rusia melanggan pelacur bukan kerana seks tetapi mahu meluahkan perasaan berhubung krisis ekonomi, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pelacur, Adriana yang berumur 30-an berkata, peranannya kini semakin meluas iaitu menjadi tempat pelanggannya mengadu nasib mereka.

"Mereka (pelanggan-pelanggan) mengadu berhubung masalah yang dihadapi mereka dan kini ramai yang datang bukan kerana seks," katanya.

Dia mendedahkan seorang lelaki yang mengalami kemerosotan satu pertiga daripada pendapatannya kepada AS$1,200 (RM4,211) pada setiap bulan telah mengajaknya berbual sambil minum bersama.

Adriana turut mengurangkan bayaran langganan sebanyak AS$15.26 sejam (RM53.56) kepada AS$61.08 (RM214.38) berikutan krisis ekonomi.

Seorang lagi pelacur, Olya yang berumur 20-an berkata, pelanggan-pelanggannya berbual berhubung isu pekerjaan.

"Mereka bimbang akan kehilangan pekerjaan," katanya yang menjadi pelacur bebas di sini.

Laman web www.x-love.ru turut mempromosikan perkhidmatan melanggan pelacur di Rusia bagi mengurangkan tekanan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Mexico kembali pulih


SEORANG wanita memakai topeng muka di bandar raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Suasana di Mexico beransur-ansur pulih seperti sedia kala semalam apabila lalu lintas semakin sibuk dan kafe-kafe dibuka semula setelah ditutup selama lima hari bagi membendung penularan wabak influenza A H1N1.

Bagaimanapun, kerajaan Mexico masih membatalkan beberapa acara besar termasuk Cinco de Mayo iaitu perayaan bagi memperingati kejayaan menewaskan tentera Perancis pada 1862.

Presiden Mexico, Felipe Calderon mengarahkan premis perniagaan turut dibuka semula.

Beberapa universiti dan sekolah tinggi di negara itu akan kembali dibuka esok manakala pelajar sekolah rendah dijangka melapor diri untuk memasuki sekolah masing-masing pada Isnin depan.

"Jadual sekolah akan kembali seperti biasa," kata Calderon.

"Keadaan semakin hampir seperti sedia kala, tetapi setiap orang perlu menjaga kebersihan," tambahnya.

Setakat semalam jumlah kenderaan di ibu negara berkenaan semakin bertambah manakala jumlah orang ramai yang memakai topeng muka semakin berkurangan.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan, Jose Cordova berkata, jumlah jangkitan semakin berkurangan sejak 27 orang disahkan mati akibat influenza A H1N1, termasuk seorang bayi Mexico yang meninggal dunia di Texas, Amerika Syarikat. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Hampir 100,000 mohon jadi guru




KUALA LUMPUR - Profesion perguruan semakin mendapat tempat di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan hampir 100,000 orang memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) bagi pengambilan sesi Julai ini.

Ini sekali gus menimbulkan persaingan sengit di kalangan pelajar sedangkan pihak Kementerian Pelajaran hanya mampu menempatkan 6,200 orang untuk mengikuti kursus pendidikan di dalam dan luar negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom (gambar) yang menyifatkan bilangan tersebut sebagai satu petanda positif terhadap kerjaya perguruan di negara ini.

"Pada tahun ini, seramai 1,877 pelajar yang memperoleh 9A hingga 15A dalam SPM 2008 memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan di luar negara. Daripada bilangan itu, seramai 100 pelajar terpilih untuk dihantar ke United Kingdom.

"Mereka dipilih untuk mengikuti Program Penghantaran Pelajar Cemerlang Ke Luar Negara khusus pembelajaran dalam bidang kritikal seperti Fizik dan Biologi,'' katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Alimuddin memberitahu, Kementerian Pelajaran memang mencari dan memilih pelajar cemerlang serta berkualiti yang berminat untuk mengikuti kursus perguruan.

Bagaimanapun, mereka perlu melalui tiga tapisan termasuk menghadiri proses temu duga dan menduduki Ujian Sahsiah Keguruan (INSAK) secara bertulis.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Lydiawati dapat RM103,000 selepas bercerai



Lydiawati



Azhar


BANTING - Pelakon Lydiawati bakal menerima RM103,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar selepas diceraikan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat di sini semalam berdasarkan perjanjian persetujuan bersama kedua-dua belah pihak sebagai syarat bercerai secara baik.

Mengikut perjanjian, Azhar dikehendaki memulangkan kembali hantaran perkahwinan ataupun nilai seumpamanya sebanyak RM67,000, nafkah edah dan muta'ah RM30,000 serta tunggakan nafkah RM6,000 kepada aktres tersebut.

Azhar selaku plaintif melafazkan talak satu pada pukul 11.47 pagi di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Fauzi Ismail mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 iaitu bercerai dengan persetujuan melalui kebenaran mahkamah.

Lydiawati ketika ditemui ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya selepas bekas suaminya, seorang ahli peniagaan bersetuju melafazkan cerai.

"Apa reaksi saya? Semestinya saya gembira setelah dilepaskan," luah Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Zaimon, 44, sambil tersenyum ketika ditanya berhubung perceraian kali keduanya dengan Azhar Mohd. Zar, 35.

Heroin filem Suami Isteri dan... itu juga menarik nafas lega apabila mahkamah mengarahkan Azhar supaya mematuhi perjanjian yang telah dibuat sebagai syarat bercerai secara baik.

Terdahulu, peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Lydiawati memaklumkan bahawa pihaknya ingin menarik balik permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan sebelum ini dan meneruskan dengan bercerai secara baik.

Mereka berbuat demikian setelah Azhar ketika melafazkan cerai secara kinayah (kurang jelas) Februari lalu yang berbunyi, "aku bebaskan kau, kau bebas buat apa-apa pun," mendakwa tidak mempunyai niat untuk menceraikan Lydiawati pada waktu itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Wanita hamil temui ajal lepas kejadian ragut


Jamilah





JOHOR BAHRU - Selepas koma sehari setengah akibat terjatuh daripada motosikal setelah diragut Ahad lalu, seorang wanita menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam.

Lebih memilukan, mangsa, Jamilah Selamat, 31, yang baru bernikah dengan suaminya, Razali Ahmad, 41 (gambar), enam bulan lalu kini sedang hamil dua bulan.

"Saya terima takdir ini, tetapi saya terkilan kerana dia diragut kira-kira 70 meter dari rumah selepas pulang dari kerja.

"Malah, arwah sempat singgah di pasar malam untuk membeli makanan dan barang dapur hasil duit gaji pertamanya yang diterima pada hari kejadian," kata Razali ketika ditemui di HSA semalam.

Menurut Razali, pada kejadian pukul 7.30 malam itu, arwah yang baru sebulan bekerja sebagai jurujual kraftangan di pekan Ayer Hitam sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal Honda EX-5 dari tempat kerjanya.

"Kira-kira 70 meter hendak sampai ke rumah di Taman Mekar, arwah diragut dua lelaki bermotosikal menyebabkan dia hilang kawalan lalu terjatuh," katanya.

Kemudian, isterinya dihantar dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Ayer Hitam sebelum dirujuk ke Hospital Batu Pahat dan HSA.

Razali berkata, Jamilah yang akan menyambut hari lahir ke-32 pada Isnin depan merupakan isteri keduanya dan masing-masing mempunyai dua anak berusia antara 5 hingga 18 tahun hasil perkahwinan dahulu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

UKM jelaskan punca yuran kolej naik


SALAH sebuah kolej kediaman di UKM, Bangi.



KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Tindakan pihak pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mahu menyelaraskan kadar bayaran yuran untuk semua 13 buah kolej kediamannya merupakan punca yuran asrama beberapa buah kolej terbabit akan naik.

Penyelarasan yuran itu yang kini masih di peringkat perbincangan bakal menyaksikan kadar yang dikenakan sekarang iaitu di antara RM2.50 sehingga RM5.50 sehari diselaraskan kepada kadar di antara RM3 hingga RM4 sehari.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abd. Razak berkata, penyelarasan itu tidak dapat dielakkan ekoran kadar bayaran yuran yang berbeza di universiti itu mengikut kolej.

Katanya, penyelarasan yang akan diputuskan Majlis Pengurusan Universiti itu bertujuan untuk memberi keadilan kepada semua pelajar yang membayar yuran kolej mengikut kadar yang berbeza.

"Hasil keputusan itu nanti akan turut melibatkan pandangan daripada pihak Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPPUKM).

"Perkara itu (penyelarasan yuran) sememangnya dalam perbincangan namun ia tidak dilakukan dalam masa terdekat ini kerana pihak universiti faham dengan keadaan pelajar lebih-lebih lagi di saat kelembapan ekonomi,'' katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Dana PTPTN dijangka defisit RM46 bilion

PUTRAJAYA - Dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mengalami defisit belanjawan sekitar RM46 bilion pada tahun 2020.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai langkah awal, kementeriannya kini menjalankan kajian terperinci bagi memastikan kelestarian PTPTN dan stabil untuk terus menampung keperluan pembiayaan pengajian kepada para pelajar.

"Selepas itu, kita akan bentang dan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan bagaimana format serta bentuk cadangan yang diperlukan dalam usaha untuk terus menggerakkan peranan yang dimainkan PTPTN," katanya selepas merasmikan Portal Prapendaftaran Bagi Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2009 dan Penyampaian Surat Tawaran Pembiayaan Ijazah Lanjutan Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi di sini semalam.

Terdahulu, semasa berucap Khaled memberitahu, kementeriannya akan memberi perhatian dan fokus kepada aspek 4P yang dijadikan sebagai penanda aras kepada kemajuan sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Untuk itu, semua naib canselor di IPTA perlu mencapai standard Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau berdepan risiko diberhentikan atau tidak disambungkan ke jawatan masing-masing.

Objektif 4P ialah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN), pendemokrasian pengajian tinggi, pengantarabangsaan dan pembangunan pelajar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Diserang penyakit misteri


AHMAD (kanan) bertemu penduduk yang mengadu menghidap demam misteri di Kampung Baru, Pokok Sena semalam






MOHD. YUSLIZAN membantu bapa mertuanya, Halibon yang sukar bergerak kerana sakit sendi di rumah mereka di Kampung Baru, Pokok Sena semalam.


POKOK SENA - Apakah yang sebenarnya telah berlaku? Apakah puncanya? Begitulah persoalan yang berlegar-legar dalam pemikiran penduduk beberapa buah kampung di sini yang tiba-tiba diserang penyakit yang mereka anggap misteri.

Setakat ini lebih 200 penduduk dari tiga kampung di Mukim Lesung dan Mukim Bukit Lada di sini dikatakan bingung apabila mengalami demam dan sakit-sakit sendi sejak awal Mac lalu.

Setakat ini, pihak hospital masih belum memberikan sebarang penjelasan mengenai penyakit berkenaan selain menggalakkan pesakit minum air kelapa dan air isotonik.

Menurut penduduk, pada awalnya penyakit itu dikatakan menjangkiti penduduk di Desa Keda Kampung Bukit sebelum merebak secara berperingkat-peringkat ke kampung berdekatan iaitu Kampung Hujung Bendang, Bendang Baru dan Kampung Baru kira-kira dua minggu selepas itu.

Seorang mangsa dari Kampung Baru, Halibon Saad, 57, berkata, penyakit yang masih menjadi misteri kepada penduduk itu didapati semakin merebak dan cepat menjangkiti penduduk lain.

Katanya, penduduk yang demam dan mengalami sakit-sakit sendi itu berjangkit dari sebuah keluarga kepada sebuah keluarga lain selepas penduduk Desa Keda Kampung Bukit sejak Mac lalu.

"Sejak dua bulan lalu ramai penduduk di tiga kampung berdekatan mengalami demam sehingga menyebabkan mereka tidak dapat bangun kerana sakit sendi selain suhu badan yang meningkat secara mendadak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...