Tuesday, September 14, 2010

Kes bunuh Sosilawati: Jam jadi petunjuk

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Noriah Idris, Maiamalina Mohamed Amin, Shamsul Munir Safini, Muhammad Apendy Issahak, Sarah Zulkifly, Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

2010/09/13


BANTING: Jam mahal milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang diambil salah seorang penjenayah sebagai ‘kenang-kenangan’ selepas mangsa dibunuh menjadi petunjuk paling penting berhubung kes bunuh dan bakar mangsa berkenaan. Difahamkan jam milik Sosilawati terbabit dipakai salah seorang daripada lapan suspek termasuk dua daripadanya adalah wanita yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan kejam berkenaan.

Selain itu, polis unit Forensik yang melakukan siasatan terhadap lokasi Sungai Panchau, Kampung Kanchong Laut, di sini, lokasi abu mayat mangsa dibuang turut menemui cebisan tisu anggota tubuh, termasuk rambut selain tulang hangus manusia yang dipercayai milik mangsa yang hilang, petang semalam.

Susulan itu polis forensik didapati mengutip semua tisu tubuh manusia terbabit sebelum disusun di atas jalan bagi membolehkan siasatan lebih rapi dilakukan terhadap bukti terbaru ditemui itu melalui kaedah penandaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, bukti terbabit sebahagian daripada sampel ditemui polis di lokasi kejadian termasuk tinggalan abu dipercayai mayat empat mangsa dibunuh.

Difahamkan, bau kuat petrol di kawasan tapak pembakaran mayat mangsa di dalam ladang pertanian bersepadu di Tanjung Sepat menjadi petunjuk kepada polis bagi menjalankan siasatan lebih rapi.

Sementara itu, tiga kenderaan polis Unit Forensik memasuki kawasan ladang terbabit jam 12.20 tengah hari semalam diikuti van polis yang membawa dua suspek utama kes berkenaan.

Wartawan yang berada di lokasi kejadian mendapati, kedua-dua suspek memakai baju lokap polis Kuala Lumpur berkenaan dipercayai suspek utama, peguam bergelar Datuk dan adiknya.

Konvoi polis yang dikawal ketat itu memasuki kawasan ladang yang terletak kira-kira 100 meter daripada jalan utama ke kawasan pembunuhan berkenaan sebelum memulakan siasatan rapi terhadap ladang berkenaan.

Polis Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan terhadap kawasan Sungai Panchau di sini.

Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar berhampiran kawasan kolam dalam ladang yang dibina tembok batu setinggi kira-kira dua meter di sekelilingnya.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis marin turut dipanggil bagi membantu siasatan polis melakukan tugas menyelam di sungai terbabit mencari bahan bukti kes selain mengutip objek dipercayai tulang mangsa yang tenggelam ke dasar sungai.

Pasukan forensik turut ke restoran terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, lebih 30 petugas media selain hampir 100 penduduk tempatan tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian berikutan kawasan terbabit dikawal ketat lapan anggota polis yang menjaga pintu masuk ke ladang terbabit.

Penduduk, M Mohan, 53, berkata, dia terkejut dengan kehadiran polis dan mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

“Semalam (kelmarin) ketika saya sembahyang di kuil berhampiran ladang ini, polis mengawal laluan masuk. Jadi saya pun tanya mereka dan dimaklumkan terdapat penemuan lokasi empat mayat dibakar,” katanya.

Difahamkan tanah berkenaan adalah milik peguam bergelar Datuk terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jamjadipetunjuk/Article

Kes bunuh Sosilawati: Terselamat tolak ajakan

2010/09/13


KUALA LUMPUR: Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya dianggap bernasib baik apabila tindakannya menolak ajakan ibu untuk menemaninya ke Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu, sekali gus menyelamatkan nyawanya daripada turut dibunuh penjenayah kejam.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, berkata pada hari terbabit ibu mengajak dia ke Banting untuk bertemu seorang peguam atas urusan jual beli tanah, namun dia terpaksa menolaknya kerana sudah mempunyai perancangan lain.

Menurutnya, ketika itu dia terkilan sebab tidak dapat menemani ibu dan perasaan itu semakin terasa apabila ibunya tidak pulang selepas tiga hari keluar daripada pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur.

“Mama ada ajak temankan dia ke Banting, tapi saya tak dapat ikut sebab sudah janji dengan kawan untuk berbuka puasa.

“Jadi mama kata kalau begitu dia akan pergi bersama pemandu dan peguamnya serta seorang pegawai bank,”
katanya.

Sementara itu, teman rapat Sosilawati yang juga pengasas produk De Wajah, Junaidah Kiting, 52, berkata beliau kehilangan seorang rakan baik yang banyak membantu dan ini adalah kehilangan besar baginya.

http://www.hmetro.com.my

Kenalan Datuk Sosilawati Lawiya

KUALA LUMPUR: Kenalan rapat Datuk Sosilawati Lawiya menganggap peristiwa tragis dan kejam yang menimpa jutawan kosmetik itu sebagai sesuatu yang sukar diterima.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang juga rakan serta jiran Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata selagi DNA tulang yang ditemui belum mengesahkan ia adalah Sosilawati, selagi itulah beliau masih berharap ada harapan untuk melihat rakannya itu pulang.


"Saya masih berharap akan berlaku keajaiban dan sehingga belum dapat dipastikan saya tidak menganggap dia menjadi arwah," katanya ketika mengunjungi keluarga Sosilawati di sini hari ini.


Beliau berkata penduduk di sekitar Taman Harmonis yang prihatin atas apa yang menimpa Sosilawati sudah membuat solat hajat sejak beliau dilapor hilang dan ia akan berterusan sehingga mendapat pengesahan.


Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Semalam, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, dekat sini.


Bagi Datuk Suhaimi Ibrahim yang juga setiausaha politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pembunuhan yang berlaku itu sukar dipercayai kerana ia sesuatu yang sangat kejam, zalim serta tidak bertamadun.


Beliau yang kenalan rapat Sosilawati sejak tujuh tahun lalu, berkata kali terakhir beliau dihubungi Sosilawati ialah pada 29 Ogos lalu iaitu sehari sebelum Sosilawati bersama tiga lagi mangsa ke Banting bagi urusan pembelian tanah.


"Sosilawati menghubungi saya untuk berjumpa pada tarikh itu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai penjualan tanahnya di Bukit Jambul, Pulau Pinang tetapi saya tidak boleh menemui beliau pada hari itu kerana ada urusan lain dan saya maklumkan padanya untuk bertemu pada 31 Ogos," katanya.


Beliau berkata, pada 31 Ogos, beliau cuba menghubungi Sosilawati untuk mengesahkan pertemuan itu tetapi panggilannya tidak dijawab.


Sangat pelik bila dia tidak jawab telefon sebab Sosilawati jarang buat begitu, kalau ada 'miss call' dia akan cepat-cepat telefon semula. Pada 1 September saya cuba menghubungi beliau lagi tetapi telefonnya dimatikan," katanya.

Beliau berkata, pada pertemuan mereka sebelum bulan puasa, Sosilawati pernah memaklumkan kepadanya mengenai tanah itu selain hasrat untuk menyenaraikan syarikatnya dalam bursa saham.


"Beliau adalah ikon wanita, beliau salah seorang pelopor usahawan kosmetik yang menjadi ikutan dan contoh pada usahawan lain," katanya.


Sementara itu, adik Sosilawati, Masturi Lawiya berkata malam ini solat hajat dan kenduri tahlil akan diteruskan di kediaman Sosilawati, manakala solat hajat dan tahlil turut diadakan di rumah ibu bapanya di Batu Pahat semalam.


Pengusaha stokis produk kecantikan Nouvelle Visages di Kampung Baru pula berkata, beliau mengenali Sosilawati sejak tahun 1985 dan sepanjang perkenalan itu Sosilawati adalah seorang wanita yang baik hati dan dermawan.

"Kali terakhir kami berjumpa sebelum Ramadan lalu dan amat sukar untuk mempercayai apa yang berlaku. Diharapkan anak-anak dan keluarga Sosilawati tabah dan redha dengan apa yang berlaku," katanya yang enggan namanya disiarkan.


-Bernama

Penyewa terkejut tuan rumah suspek kes bunuh Sosilawati

2010/09/13BANTING: Penyewa rumah peguam bergelar Datuk yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya terkejut dengan penahanan "tuan rumahnya" itu selepas gambarnya disiarkan media hari ini.

Seorang peniaga yang juga menguruskan perniagaan katering dan hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana, 45, terkejut dan seolah tidak percaya dengan penangkapan peguam itu kerana menyifatkan tuan rumahnya itu seorang lelaki yang baik, peramah dan sentiasa bertegur sapa.

"Akak terkejut tengok gambar dia (peguam) dalam akhbar hari ini. Memanglah tahu kes ini babitkan seorang peguam bergelar Datuk di Banting, tapi tak sangka pula dia...Akak memang tak percaya dia buat semua tu sebab dia baik sangat," katanya.

Ketika ditemui di rumah sewanya, iaitu bersebelahan rumah peguam berusia 41 tahun itu di sebuah taman di sini, beliau berkata, peguam itu menginap di rumah semi-D berkembar di situ seorang diri manakala anak-anak dan isterinya tinggal di Puchong untuk menemani salah seorang anak mereka yang bersekolah (sekolah swasta) di sana.

"Masa akak pindah sejak April tahun ini, dia (peguam) ada beritahu anak-anak dan isterinya hanya akan datang serta melawatnya di rumah itu seminggu sekali saja," katanya.

Isteri seorang pesara polis itu berkata, sepanjang menyewa di rumah itu, beliau tidak melihat sebarang kecurigaan di rumah peguam itu mahupun peguam itu sendiri.

"Macam biasa, dia memang rajin bertegur sapa, tak cakap lebih-lebih. Akak tak syak apa-apa. Hanya nampak dia pergi dan balik kerja saja," katanya.

Semalam, polis mengesahkan penangkapan peguam berpangkat Datuk, adiknya yang juga seorang peguam dan enam lagi bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala LUmpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Semalam, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini. - Bernama

Keluarga Kamaruddin adakan solat sunat ghaib

2010/09/13KUANTAN: Keluarga Kamaruddin Shansuddin, pemandu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, malam tadi mengadakan solat sunat ghaib di rumah mereka di Bandar Indera Mahkota 2, di sini, selepas dimaklumkan penemuan tragik keempat-empat mangsa bunuh yang dibakar dan dibuang abunya ke dalam sungai.

Abang ipar mangsa, Ismail Ibrahim, 56, berkata, ahli keluarga mereka yang berada di Makkah bagi menunaikan umrah ketika ini turut mendirikan solat sunat ghaib di Tanah Suci itu sebaik menerima berita berkenaan.

"Solat sunat ghaib dibuat malam tadi selepas semua ahli keluarga yakin berdasar hasil siasatan awal pihak polis dan mula menerima bahawa sisa mayat yang dibakar itu adalah Kamaruddin bersama majikan serta dua rakan mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Polis semalam mengesahkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Dua lagi mangsa adalah pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Ismail berkata, keluarga dan sanak-saudaranya turut mengadakan majlis tahlil selama tiga malam berturut-turut bermula semalam.

"Kami mendoakan rohnya tenang. Semua keluarga bersedih dan masih belum memahami apa yang sebenarnya terjadi kepada arwah," katanya sebak. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...