Tuesday, June 23, 2009

Budak derita sakit DMD


AIMAN...hidap penyakit Duchenne
Muscular Dystrophy.

KUALA LUMPUR: “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” itulah luahan hati ibu bapa Aiman Hafiz Abd Halim, 12, yang menderita penyakit Duchenne Muscular Dystrophy (DMD) atau lemah otot yang disebabkan kekurangan protein dalam tubuh badan.

Penyakit yang jarang ditemui itu dikesan sejak dia berusia sembilan tahun apabila dia sering mengadu sukar untuk menaiki tangga dan tidak berupaya menggerakkan kakinya.

Bapanya, Abd Halim Ismail, 43, berkata dia tidak menyangka anaknya akan mendapat penyakit itu kerana pada awal kelahirannya dia sihat dan normal seperti kanak-kanak lain.

“Kami redha dan terima apa yang berlaku dan menganggap ini adalah ujian daripada yang maha kuasa kepada kami.

“Pada awalnya, kami mengalami tekanan psikologi yang hebat kerana masih terkejut dengan penyakit ini sehingga memberi tekanan kepada anak yang lain, namun kami tabahkan hati dan menganggap ianya satu anugerah tidak ternilai,” katanya ketika ditemui menghadiri mesyuarat agung Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (PPJJM) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam.

Menurutnya, dia tidak pernah berputus asa mengubati penyakit anaknya sama ada melalui perubatan moden mahupun tradisional kerana percaya setiap penyakit ada ubatnya.

“Saya juga selalu melayari internet bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai penyakit ini kerana di Malaysia penyakit ini jarang ditemui dan hanya sebilangan saja yang tahu,” katanya.

Sementara itu, Presiden PPJJM, Datuk Hatijah Ayob ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat itu berkata tujuan utama PPJJM ditubuhkan ialah untuk menjadi pusat sumber maklumat untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak yang berpenyakit jarang jumpa.

“Kami turut berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit ini dan berharap akan mendapat kerjasama dan sokongan yang berterusan daripada mereka,” katanya

Penyakit jarang jumpa adalah penyakit yang menjejaskan peratusan kecil dikalangan populasi sesebuah negara dan kebanyakannya disebabkan genetik seperti Sindrom Prader-Will, Sindrom Fragile-X,Osteogenesis Imperfecta dan beberapa penyakit lain.

Di Malaysia, dianggarkan tiga hingga lima peratus bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kelahiran yang mungkin sebahagiannya adalah penyakit jarang jumpa.

UUM larang guna polisterina, beg plastik di kampus

ALOR STAR: Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, meningkatkan kempen membanteras penggunaan polisterina dan beg plastik di kampus itu berikutan penggunaannya boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Sehubungan itu, Majlis Eksekutif Universiti (MEU) meluluskan pelaksanaan Kempen Mesra-Eko di peringkat universiti itu, baru-baru ini.

Pengerusi Kempen Mesra-Eko, Harun Amin, berkata larangan penggunaan polisterina dan beg plastik meliputi seluruh kawasan UUM dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bertanggungjawab melakukan pemantauan.

“Kempen ini sudah dimulakan sejak Ogos tahun lalu tetapi masih terdapat warga kampus yang menggunakannya. Justeru, kita meningkatkan kempen bagi menjadikan kampus bebas polisterina dan beg plastik,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan polisterina dan beg plastik digantikan dengan eco-pack serta beg kain, kertas, kanvas atau kertas pembalut.

‘Setiap Dewan Penginapan Pelajar (DPP) perlu memberi kerjasama supaya kempen ini lebih berkesan,” katanya.

Kajian menunjukkan polisterina mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser dan mengambil masa 500 tahun untuk reput.

Nyaris ‘diratah’ 8 lelaki

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

lapan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah
motel, semalam." title="SIASAT...anggota penguat kuasa Jaik menyoal siasat
lapan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah
motel, semalam." height="182" width="300" border="0">
SIASAT...anggota penguat kuasa Jaik menyoal siasat
lapan lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah
motel, semalam.

ALOR STAR: Seorang gadis yang dipercayai hanya menunggu masa untuk menjadi ‘lauk’ kepada sekumpulan lapan lelaki dalam sebuah bilik motel di Taman Saga dekat sini, semalam, memberi alasan pergi ke bilik berkenaan untuk mengecas bateri telefon bimbitnya.

Bagaimanapun, operasi cegah maksiat sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) terhadap motel berkenaan, kira-kira jam 12.30 tengah malam berjaya ‘menyelamatkannya’ daripada menjadi mangsa kumpulan berkenaan.

Semua mereka ditahan kerana disyaki berkurung melakukan maksiat di bilik motel itu.

Difahamkan, gadis berasal dari Alor Janggus dekat sini, bekerja di sebuah kompleks beli-belah di bandar raya ini dan menyewa motel itu untuk melepaskan rindu dengan kekasihnya seorang daripada lelaki yang ditahan itu.

Bagaimanapun, lelaki itu turut membawa tujuh lagi rakannya ke bilik motel itu bersama remaja perempuan berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaik, Sheikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata lapan lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun dan remaja perempuan berusia 18 tahun itu ditahan dalam serbuan itu.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati kedua-dua pintu jeriji memasuki motel terbabit dikunci menyebabkan pasukan penguat kuasa Jaik melakukan pelbagai cara supaya penjaga motel itu membuka kunci pintu jeriji untuk tujuan pemeriksaan.

“Sebaik dibuka, hasil pemeriksaan mendapati sebuah bilik sewa di tingkat atas motel itu terbuka dan terdapat lapan lelaki dan seorang remaja perempuan di dalamnya.

“Mereka kemudian ditahan kerana disyaki melakukan maksiat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Kota Star untuk siasatan lanjut,”
katanya.

Menurutnya, remaja perempuan yang ditahan itu memberi alasan dia hanya menumpang untuk mengecas bateri telefon bimbitnya dan bukannya untuk bermalam di bilik berkenaan.

Muhammad Suhaimi berkata, ketika ditahan, semua mereka berpakaian lengkap dan kelihatan terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa Jaik mungkin kerana berasakan motel itu selamat daripada serbuan pencegah maksiat.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 9(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 1988 terhadap lapan remaja lelaki itu manakala remaja perempuan itu akan didakwa mengikut Seksyen 9(4) enakmen sama kerana berkhalwat melebihi seorang lelaki.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Lorong Petani, Jalan Teluk Wanjah di sini, malam kelmarin, penguat kuasa Jaik bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) meroboh bangsal dijadikan tempat operasi kegiatan pelacuran untuk membanteras maksiat di kawasan berkenaan.

Muhammad Suhaimi berkata, dalam serbuan jam 11 malam itu, kawasan pelacuran berkenaan didapati sunyi dengan kebanyakan pelacur dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan, kita turut menemui sebungkus plastik mengandungi kondom masih belum digunakan manakala plastik kondom sudah digunakan pula bersepah di kawasan itu,” katanya.

Kena ragut depan polis

terhadap dirinya kepada dua anggota polis." title="MANGSA...Yong menceritakan kes ragut yang berlaku
terhadap dirinya kepada dua anggota polis." height="241" width="300" border="0">
MANGSA...Yong menceritakan kes ragut yang berlaku
terhadap dirinya kepada dua anggota polis.

SEGAMAT: Seorang ibu yang menyangkakan lelaki bertopeng meragut dompetnya sebagai sebahagian daripada demonstrasi cegah jenayah dalam program komuniti kepolisan di bandar ini, terpaksa berputih mata apabila lelaki terbabit rupa-rupanya penjenayah sebenar.

Yong Ai Sin, 38, yang dalam perjalanan ke keretanya dari tapak program komuniti kepolisan di Kampung Abdullah kira-kira jam 1 tengah hari semalam, tidak menyangka penjenayah terbabit begitu berani meragut walaupun tidak jauh dari situ terdapat ramai pegawai dan anggota polis.

“Saya ingat kes ragut ini sebahagian lawak jenaka dalam program itu kerana penunggang motosikal bertopeng dan kejadian berlaku bersebelahan dewan yang penuh dengan pegawai dan anggota pihak berkuasa.

“Peragut menunggang motosikal Yamaha berwarna gelap terus lesap selepas meragut dompet saya, tetapi nasib baik ketika menarik beg saya, dua anak yang dipimpin tidak terjatuh,”
katanya.

Menceritakan kejadian di Jalan Quek Kai Ki itu, Yong berkata, dia bersama dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun dalam perjalanan ke kereta yang diletak bersebelahan Dewan Serbaguna Kampung Abdullah di sini, untuk pulang ke rumah.

Menurutnya, dia menghadiri program itu bagi membawa kedua-dua anaknya menyertai pertandingan mewarna selain menyaksikan pelbagai acara diadakan di situ.

Katanya, ketika berjalan ke kereta, dia tidak menyedari seorang lelaki bermotosikal mengekori dan mensasarkan dompet yang dikepit di celah ketiaknya.

“Sebaik meragut dompet saya, lelaki bertopeng itu terus memecut motosikalnya.

“Tidak lama kemudian saya sedar saya menjadi mangsa ragut menyebabkan saya berpatah balik ke dewan berkenaan dan meminta bantuan.

“Saya dibantu beberapa anggota polis yang bertugas dalam program berkenaan sementara menunggu suami datang menjemput dan membuat laporan di balai polis berhampiran,”
katanya.

Dia berkata, dalam dompet yang diragut itu mengandungi wang tunai RM300, telefon bimbit dan beberapa kad termasuk MyKad dan lesen memandu.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Segamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan usaha sedang dijalankan bagi menjejaki peragut yang terbabit dalam kes berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090622064824/Article/index_html

Cedera lawan peragut

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


GEORGETOWN: Sepasang kekasih warga Korea yang menaiki sebuah motosikal cedera apabila berani melawan seorang peragut yang turut menunggang sebuah motosikal di Jalan Gudwara, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam ketika Kim Jun Sub, 25, bersama teman wanitanya, Kim Eun Hee, 23, kedua-duanya pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dalam perjalanan membeli-belah di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Jun Sub ketika ditemui berkata, dia sedang menunggang motosikal Honda C70 apabila sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha ditunggang seorang lelaki berkulit gelap menghampiri kenderaannya cuba menarik beg teman wanitanya yang berada dalam raga motosikal.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan kejadian itu secara spontan menarik semula beg berkenaan menyebabkan berlaku tarik menarik antara dia dan peragut sehinggakan motosikal ditunggang bergoyang ke kiri dan kanan.

Katanya, dalam keadaan kelam-kabut motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh lalu terseret sejauh 20 meter di atas jalan menyebabkan dia dan teman wanitanya cedera sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian itu.

“Bagaimanapun, peragut itu tidak berjaya mengambil beg tangan teman wanita yang mengandungi wang tunai dan barangan penting lain.

“Kejadian itu cukup menakutkan dan saya mengambil keputusan tidak menunggang motosikal lagi dan berhasrat menjual motosikal ini,”
katanya.

Jun Sub berkata, dia berada di negeri ini sejak enam bulan lalu dan bersyukur kerana terselamat daripada maut kerana mereka mungkin terjatuh dan dirempuh kenderaan lain.

Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurutnya, berikutan kejadian itu dia dan teman wanitanya cedera di badan, muka dan tangan dan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid ketika dihubungi, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita akan memanggil kedua-dua mangsa untuk mendapatkan keterangan lebih lengkap dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090622064001/Article/index_html

H1N1: Sekolah Assunta juga ditutup

Isnin Jun 22, 2009

DITUTUP..Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup seminggu mulai hari ini setelah seorang daripada muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikannya sekolah kedua dikenakan tindakan serupa setakat ini.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengarahkan Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 2 ditutup seminggu mulai hari ini setelah seorang daripada muridnya dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikannya sekolah kedua dikenakan tindakan serupa setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kementerian itu juga mengeluarkan arahan penutupan satu kelas bermula hari ini kepada tiga lagi sekolah iaitu Sri Cempaka International School di Cheras, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam, dan Sekolah Menengah Damansara Utama di Petaling Jaya bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata arahan tutup sekolah dan tiga buah kelas itu berkuatkuasa selama satu minggu sejajar dengan langkah yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak Selesema Babi (Influenza A)(H1N1).

Dr Mohd Ismail berkata ibu bapa kepada pelajar di sekolah-sekolah terbabit diminta memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat-tempat awam.

"Ibu bapa dan ahli keluarga kepada anak-anak yang diletak di bawah kuarantin di rumah boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Bagaimanapun ibu bapa dan ahli keluarga kepada kes yang disahkan positif hendaklah menjalani kuarintin di rumah seperti yang diarahkan oleh kementerian," katanya.

Sehingga ini sejumlah 42 kes daripada 58 yang disahkan positif selesema babi masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (22), Hospital Kuala Lumpur (7), Hospital Tuanku Jaafar Seremban (3), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (3), Hospital Pulau Pinang (2) dan Hospital Ipoh (1).

Dalam tempoh 24 jam lepas, sejumlah 80 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza diterima dari seluruh negara.

Sehingga pukul 9 malam tadi jumlah kes terkumpul yang disiasat adalah 1,320.Semalam, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Jalan Davidson di sini, dan satu daripada kelas di Sekolah Menengah Wangsa Maju juga di Kuala Lumpur, ditutup selama seminggu kerana wujudnya penularan tempatan selesema babi.

Mengenai murid Sekolah Assunta yang merupakan kes jangkitan tempatan ketujuh, Dr Mohd Ismail berkata pelajar itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya murid itu mengadu demam, batuk dan sakit tekak dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh semalam dan disahkan positif hari ini.

"Kes ini adalah yang kedua di kalangan pelajar sekolah berkenaan tetapi berlainan kelas dan kementerian sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kesihatan pelajar terjamin," katanya.

Dr Mohd Ismail menasihatkan pelajar Malaysia dan mereka yang baru kembali dari bercuti di luar negara yang berasa kurang sihat atau ada tanda-tanda awal jangkitan seperti batuk dan demam, supaya segera mendapatkan rawatan selain mengurangkan pergaulan termasuk mengelak daripada menghadiri kelas atau bekerja.

"Kita harap dengan cara ini ia dapat mengelakkan penularan penyakit di sekolah dan di tempat kerja yang boleh melibatkan penularan jangkitan tempatan," katanya. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/6/22/mstar_berita/20090622163941&sec=mstar_berita

A.R Badul cerai Muna Liza dengan tebus talak RM1

Isnin Jun 22, 2009

A.R. Badul ketika ditemuramah wartawan selepas kes cerai selesai - foto mStar oleh Au Yeong How

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengesahkan penceraian pelakon dan pelawak, A.R. Badul, 60, dan isterinya, Muna Liza Basir, 34.

Badul melafaz cerai itu secara tebus talak sebanyak RM1 di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad.

(Proses 'tebus talak' atau 'khuluk' dalam Seksyen 49 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya suami tidak mentalakkan mereka dengan rela.

Oleh yang demikian, isteri boleh meletakkan perkara ini dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa beliau boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan menceraikan mereka. Isteri boleh menyatakan jumlah mengikut persetujuan dengan suami. Di Wilayah Persekutuan, tebus talak dengan membayar RM1 adalah dibenarkan.)

Muna Liza perlu membayar RM1 untuk mendapatkan penceraian 'tebus talak' tersebut. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kelima Badul.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie berkahwin dengan Muna Liza pada 23 Jun 2001.

Perkahwinan selama lapan tahun itu telah dikurniakan seorang anak lelaki, berusia 5 tahun.

Badul ketika diminta perasaannya setelah selesai kes cerai di mahkamah berkata, "Saya sebenarnya tidak sanggup menceraikan isteri.

TEBUS TALAK....Setelah melalui proses 'tebus talak' dan membayar RM1, Muna Liza Basir kini sudah menjadi bekas isteri pengarah terkenal A.R Badul - foto mStar oleh Au Yeong How

"Lebih tiga bulan saya cuba berbaik-baik dengan isteri tetapi isteri tetap minta bercerai," kata pengarah veteran filem komedi ini.

Menurut Badul, penceraian tidak bermakna dia tidak menyayangi isterinya.

"Kasih sayang setinggi gunungpun boleh diruntuhkan oleh sebutir garam," kata Badul penuh falsafah.

Diminta terangkan apa yang dimaksudkan dnegan 'garam' itu, Badul berkata, "Ia merujuk kepada perselisihan faham yang kecil."

Walaupun kecundang lima kali dalam melayari alam rumahtangga, Badul tidak pernah berasa serik untuk berkahwin lagi.

"Kalau ada jodoh, saya sanggup berkahwin lagi," kata anak bintang lagenda A.R Tompel dan juga abang kepada pelakon/pengacara/penggiat teater Adlin Aman Ramlie.

Bagi Muna Liza pula, dia rasa lega sekarang dan tidak menyimpan dendam walau sekelumitpun.

Muna berkata, perhubungan dia dengan Badul masih berjalan dengan baik. Dia juga berharap Badul dapat memberinya peluang untuk bekerja di produksinya kerana dia tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

Ditanya kenapa dia tidak mahu berbaik dengan Badul sedangkan bekas suaminya tidak keberatan merujuk, Muna berkata, "Kami sudah tidak ada jodoh...."

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/22/mstar_hiburan/20090622121108&sec=mstar_hiburan

Noraniza menangis teresak-esak ikuti bicara kes tuntutan harta

Isnin Jun 22, 2009

Noraniza Idris berbincang sesuatu dengan wakil peguamnya di luar mahkamah selepas kes itu didengar. - foto MSTAR

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memutuskan menyambung semula prosiding perbicaraan kes tuntutan harta antara penyanyi terkenal Noraniza Idris, 41, dengan bekas suaminya, Mohamad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez ke tarikh esok.

Tidak dapat dipastikan anggaran tuntutan harta yang difailkan oleh penyanyi yang popular dengan genre 'Irama Malaysia' ini.

Difahamkan tuntutan harta dibuat ke atas rumah kediaman beralamat di Seksyen 6, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, sebuah rumah kedai/salun/butik tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan barangan salun dan butik anggaran RM10 ribu.

Noraniza berkata dia hanya berserah kepada Fareez sama ada hendak melunaskan tuntutan itu atau tidak.

"Saya berhak buat semua ini demi menunaikan tanggungjawab saya sebagai ibu kepada anak-anak.

"Semuanya terpulang kepada Fareez sama ada dia hendak beri atau tidak apa yang saya tuntut..itu antara Fareez dengan Tuhan," luah Noraniza.

Mengimbas kembali saat dia bersama Fareez, Noraniza menangis apabila memberitahu dia dengan rela hati melalui kelahiran secara induksi (induced labour) untuk percepatkan proses lahir anak keduanya pada tahun 1991 disebabkan hendak bantu Fareez mencari duit untuk melangsaikan hutang ketika perbicaraan sedang berlangsung di dalam dewan mahkamah.

Noraniza berkata demikian ketika disoal oleh peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakilinya.

Zuri: Apakah sumbangan puan terhadap harta yang dituntut secara langsung dan tidak langsung?

Noraniza: Saya memberi sumbangan besar dengan menguruskan penyelenggaraan, bayaran tunggakan dan menguruskan semua bil-bil.

Saya telah berusaha mencari sumber untuk membantu defendan (Fareez). Saya juga ingin nyatakan sepanjang saya berusaha mencari jalan penyelesaian untuk melangsaikan tunggakan, sememangnya tiada komitmen dari pihak defendan.

Saya terpaksa melakukan induksi untuk mempercepatkan proses kelahiran anak kedua saya. Tarikh kelahiran anak saya dijadualkan pada 25 September 1993, tetapi telah dipercepatkan ke 31 Ogos 1993.

Zuri: Apakah kaitannya dengan tuntutan harta ini?

Noraniza: Saya melakukan proses (induksi) ini adalah atas restu defendan dan kerana ingin membantu defendan mencari duit kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada persembahan pentas yang dilakukan.

Saya juga dengan rela hati menyerahkan barang kemas saya untuk membayar tunggakan. Defendan juga pernah mengambil barang kemas tanpa pengetahuan saya.

Zuri: Mengikut pengetahuan puan, bagaimana keadaan rumah kediaman di Seksyen 6, Wangsa Maju, sekarang?

Noraniza: Mengikut apa yang saya tahu, rumah tersebut masih lagi dalam perhatian pihak bank untuk dilelong.

Zuri: Ada apa-apa yang puan ingin katakan lagi?

Noraniza: Saya memohon mahkamah yang mulia ini, saya telah banyak berkorban dan bantu defendan, malah saya telah sanggup menanggung beban hutang defendan. Jadi saya rasa saya berhak untuk menuntut harta sepencarian ini.

Selepas Hakim syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid memutuskan perbicaraan disambung esok, Fareez kelihatan keluar meninggalkan dewan dilihat keluar dalam keadaan yang agak marah.

Manakala Noraniza yang mesra dengan panggilan Kak Ani masih lagi dalam keadaan menangis.

Kak Ani enggan mengulas lanjut kerana ingin menjaga hati anak-anak dan tidak mahu menimbulkan konspirasi.

"Saya rasa lebih baik jika saya tidak menjawab apa-apa pertanyaan kerana saya ingin menjaga perasaan anak-anak saya dan tidak mahu timbulnya sebarang masalah kerana kes ini masih lagi belum selesai." terang Kak Ani.

Ketika diluar dewan, peguam syariee Noraniza, Zuri Zabuddin memberitahu yang Fareez ada menulis sepucuk surat yang bertarikh 13 April, 2006.

"Dalam surat tersebut, Fareez ada menyatakan 50% hasil jualan rumah kedai tiga tingkat akan diserahkan kepada Noraniza.

"Kedai itu telah dijual tanpa pengetahuan Noraniza dan dia hanya mendapat tahu berita tersebut melalui anak sulung mereka, Alif Haikal. Noraniza tidak menerima bahagiannya," kata Zuri.

"Kita hanya tunggu perbicaraan esok untuk mendengar keterangan dari pihak defendan. Selepas itu baru kita boleh teruskan dengan proses selanjutnya." katanya.

Pasangan Noraniza-Fareez bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd. Alif Haikal, 20, dan Mohd. Alfeq Haikal, 16.

Bagaimanapun mereka disahkan bercerai pada 4 Mei 2006 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas berpuas hati dengan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat Fareez terhadap Noraniza pada 7 April 2006.

Perbicaraan akan bersambung esok pada pukul 11 pagi.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/22/mstar_hiburan/20090622124745&sec=mstar_hiburan

Pengurus nafi Ida Nerina terjatuh akibat dipukul

Isnin Jun 22, 2009

Ida Nerina sedang berehat untuk sembuh, kata Fizar Harun.

PETALING JAYA: Pengurus Ida Nerina, Fizar Harun menafikan khabar angin yang mengatakan aktres itu dipukul sehingga menyebabkan dia terjatuh ketika menaiki tangga ke ruang tamu dalam rumahnya di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur, malam tadi dan mengalami kecederaan tulang belakang.

"Dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana dia tergelincir lalu terjatuh apabila sedang menaiki tangga dengan tergesa-gesa dan tercedera pada tulang belakangnya," jawab Fizar yang menghubungi mStar, pagi ini.

Ida menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi dan menurut Fizar, Ida kini sudah sedar dan keadaannya stabil.

Fizar bagaimanapun menafikan yang Ida mungkin lumpuh akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas insiden itu.

“Tak betul kerana belum ada laporan daripada doktor. Selepas dibedah, dia kini 'ok'.

“Ida sedang berehat dan berada dalam keadaan baik,” ujar Fizar ringkas yang akan memaklumkan perkembangan Ida dari semasa ke semasa nanti.

Fizar juga memaklumkan isteri kepada Shahrin (bekas anggota Blackrose) ini akan berehat seketika daripada karier seninya sehingga dia betul-betul pulih.

"Doktor menasihatkan Ida untuk berehat sekejap daripada kerja. Jadi, dia akan menarik diri dari berlakon teater 'The Good Body'. Namun, teater ini tetap akan diteruskan.

"Selain itu, dia juga tidak dapat menjadi juri pertandingan filem pendek 'BMW Shorties'," ulasnya.

Pada November lalu, Ida dan kawan baiknya, Tania Khan mendapat tempat ketiga dalam progran realiti 'The Amazing Race Asia 3'.

Pasangan ini mendahului pasangan lain pada mulanya tetapi terkandas pada masa genting apabila mereka terlepas penerbangan ke Phuket, destinasi akhir bagi 'The Amazing Race Asia 3'.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/22/mstar_hiburan/20090622105511&sec=mstar_hiburan

Datuk Mohd. Nadzmi cerai isteri talak satu

Isnin Jun 22, 2009

SHAH ALAM: Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Mohd Nadzmi Salleh, hari ini melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya Datin Nik Yasmin Nik M.F.Kamil di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Mohd Nadzmi, 54, yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan tenang melafazkan cerai terhadap Nik Yasmin di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali dan disaksikan beberapa anggota keluarganya.

Pasangan itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bersetuju untuk bercerai secara baik kerana tiada lagi persefahaman sejak beberapa bulan lepas.

Sejurus selepas itu, Kamarulzaman memerintahkan Nik Yasmin, 46, menjalani tempoh edah selama tiga kali suci bermula hari ini.

Mahkamah turut merekodkan perintah tambahan iaitu Mohd Nadzmi perlu membayar nafkah edah sebanyak RM3,000 sebulan dalam tempoh tiga bulan dan keduadua pihak juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan lain berhubung perceraian itu.

Kamarulzaman, dalam pada itu, memuji tindakan Mohd Nadzmi kerana menyelesaikan masalah rumah tangganya secara beradab iaitu melalui saluran mahkamah.

"Jangan serik untuk berkahwin lagi dan belajar daripada kesilapan untuk mewujudkan rumah tangga yang sempurna," katanya.

Terdahulu itu, peguam syarie Mohamad Nor Bahari, yang mewakili Mohd Nadzmi, memberitahu mahkamah bahawa pasangan itu tidak tinggal sebumbung sejak lebih sebulan lepas dan bersetuju untuk bercerai secara baik.

Mohd Nadzmi dan Nik Yasmin mendirikan rumah tangga pada 11 Jun 1987 dan telah dikurniakan enam orang anak. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2009/6/22/mstar_mahkamah/20090622202418&sec=mstar_mahkamah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...