Friday, May 14, 2010

'Saya sudah tak tahan'

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/05/13

MASJID TANAH: “Tolonglah mak, usahakan saya dan anak-anak supaya boleh pulang ke sana (Malaysia) secepat mungkin. Saya sudah tidak tahan lagi hidup di sini (Lombok), tolonglah saya, mak.”

Begitu keluhan ibu kepada lima anak, Sanisah Abu Bakar, 36, ketika menghubungi emaknya, Salmah Mahmud, 69, di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, di sini, sempena Hari Ibu pada Sabtu lalu bagi memaklumkan penderitaannya sejak meninggalkan kampung halaman kira-kira lapan tahun lalu.


Sanisah mendakwa dia kini terperangkap antara cinta dan keluarga, tetapi menaruh harapan terlalu tinggi untuk pulang ke negara ini kerana sudah tidak sanggup berdepan dengan kesusahan hidup di negara jiran itu termasuk membawa anak-anaknya ke sini.


Salmah berkata, Sanisah memaklumkan dia merindui keluarganya dan merayu supaya keluarganya dapat berbuat sesuatu untuk membebaskan dia dan anak-anaknya yang kini berada di Lombok.


Menurutnya, anak perempuannya itu menjalani kehidupan amat perit apabila terpaksa membanting tulang sendiri mencari sesuap nasi bagi menyara anak-anaknya yang masih kecil, sedangkan suaminya hanya duduk di rumah tanpa pekerjaan, malah menambahkan lagi beban yang terpaksa ditanggung.


Katanya, keadaan bertambah buruk apabila anaknya mendakwa dihalau pemilik rumah tempatnya berteduh tanpa budi bicara menyebabkan mereka anak-beranak terpaksa berpindah dan menetap di dalam hutan yang jauhnya kira-kira 15 kilometer dari tempat anaknya bekerja dengan membina pondok lain untuk meneruskan kehidupan.


“Dia (Sanisah) ada beritahu memerlukan duit belanja untuk keperluan seharian anak-anaknya sebab hendak makan pun susah, bukan seperti di sini (Kuala Linggi). “Lagipun, dia hanya mengambil upah mengopek kacang tanah dan kacang hijau dengan pendapatan tidak seberapa dan cukup untuk membeli beras bagi keperluan keluarga,” katanya.


Malah, katanya, dia juga sempat berbual dengan cucunya yang menyatakan mereka hanya makan lempeng setiap hari dan tidak pernah bersekolah.


“Cucu saya itu berkata, mereka sudah tidak tahan hidup di sana sebab hari-hari makan lempeng, sekolah pun tak pernah tengok. “Saya hiba apabila mendengar kata-kata cucu berkenaan kerana tidak menyangka begitu azab sekali kehidupan di negara itu, dan jika tahu sebelum ini sudah tentu tidak benarkan mereka pergi ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Sanisah mempunyai lima anak iaitu Shahada, Izuwan, Najwa, Aliff dan Ain yang berusia antara dua hingga 10 tahun dan kisah mereka pernah disiarkan di akhbar Harian Metro sebelum ini di mana mendapat liputan meluas termasuk mengundang persepsi berbeza, namun hingga kini masih belum berjaya membawa mereka pulang ke negara ini.


Akhbar ini turut melaporkan keperitan hidup wanita itu yang hidup melarat di Lombok bersama lima anaknya selepas mengikuti suaminya pulang bercuti ke negara berkenaan.


Salmah berkata, dia kini sudah tidak mampu menanggung kerinduan terhadap anak dan lima cucunya itu selepas terpisah dengan mereka sejak lapan tahun lalu, dan berharap ada pihak terutama kerajaan dapat menghulurkan bantuan membawa keluarga terbabit pulang semula ke negara ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayasudahtaktahan/Article

Teh hijau untuk kanser payu dara


TEH hijau mengandungi folifenol yang menentang kanser.


KAJIAN yang diterbitkan dalam Jurnal of Cellular Biochemistry membuktikan bahawa amalan meminum teh hijau dapat mengecilkan saiz tumor wanita yang menghidap kanser payu dara.

Kajian Fakulti Perubatan, Universiti Boston, Amerika Syarikat mendapati kandungan folifenol yang tinggi dalam teh dapat meneutralkan radikal bebas penyebab kanser.

Folifenol bukan sahaja menjadi musuh kepada kanser payu dara, malah dapat mengelakkan risiko kanser pankreas, hati, paru-paru dan usus besar. - Jurnal of Cellular Biochemistry

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_07.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...