Tuesday, April 27, 2010

Tuntut wang RM50,000

Oleh Saipul Adli Mohamad

2010/04/27

BUKIT BERUNTUNG: Pemilik tanah dan waris kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya di sini, diberi masa sebulan untuk urusan menuntut bayaran pendahuluan RM50,000 seorang seperti dijanjikan kerajaan sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga orang tengah bagi urusan pembelian tanah milik bekas peneroka itu, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata bermula tengah hari semalam, sebahagian daripada baki 263 waris bekas peneroka itu hadir di majlis penyerahan bayaran itu.


“Ini membuktikan Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ apabila selepas Barisan Nasional (BN) berjaya merampas Parlimen Hulu Selangor pada malam tadi (kelmarin), kita terus mengotakan janji untuk melunaskan bayaran kepada baki peneroka terbabit.


“Sebanyak RM13,150,000 sudah diserahkan kepada syarikat peguam dilantik untuk menguruskan pembayaran kepada peneroka terbabit secara faraid bagi masyarakat beragama Islam.


“Paling penting, waris kepada peneroka terbabit perlu mempunyai dokumen lengkap untuk memudahkan urusan pembayaran dan pejabat ini dibuka 30 hari bagi membolehkan penduduk menyelesaikannya,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bayaran Pendahuluan Kepada Baki 263 Bekas Peneroka Sungai Buaya, semalam. Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.


Jumaat lalu, kerajaan membuat tindakan drastik bagi menyelesaikan masalah selama 17 tahun menghantui peneroka terbabit apabila seramai 100 orang menerima bayaran pendahuluan membabitkan RM1,000 wang tunai dan RM49,000 berbentuk draf bank.


Seramai 90 orang menerimanya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak manakala jentera BN mengunjungi rumah 10 lagi bekas peneroka yang sudah uzur untuk menyampaikan bayaran itu.


Abdul Azeez berjaya meyakinkan syarikat Idiqa Holding Sdn Bhd melabur RM18,150,000 untuk membeli tanah seluas 1,621 ekar (648 hektar) milik 363 peneroka itu, serentak dengan pengumuman persimpangan bertingkat di Sungai Buaya akan mula dibina, awal tahun depan.

Tidak hairanlah, penduduk Kampung Sungai Buaya dan Bandar Baru Sungai Buaya menghadiahkan 1,013 undi majoriti atau 37 peratus daripada undi majoriti dikumpul Kamalanathan.


“Ketika kempen, pembangkang menyatakan rakyat hanya ditipu dengan pembayaran ini termasuk dakwaan cek yang kita berikan adalah palsu, tetapi kita bukan memberikan cek sebaliknya bank draf.


“Hari ini, kita membuktikan kerajaan sentiasa membela rakyat dan menunaikan janji....bukan sekadar memberi janji saja. Sebelum ini, ada waris bimbang tidak dapat menerima wang ini sekiranya BN kalah, tetapi kita memberi jaminan pembayaran tetap akan dibuat kerana wang sudah diserahkan kepada peguam,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TuntutwangRM50_000/Article

'Saya disihir'

Oleh Murni Wan Omar

2010/04/27

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa terkena sihir ilmu hitam warga Pakistan sehingga dia menurut bagaikan ‘lembu dicucuk hidung’ apabila diculik dan dibawa berkahwin mengikut mazhab Hanafi di negara asal lelaki itu.

Yani Yuhana Mohd Zambri, 24, (responden) berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap permohonan Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46, (pemohon) yang membuat permohonan mendaftarkan perkahwinan mereka didakwa berlaku di Pakistan pada 2 April 2009.


Terdahulu, Yani Yuhana menimbulkan isu berhubung pasport perjalanannya dipegang Muhammad Kamran kerana mahu melihat sendiri dokumen perjalanan kerana dia menaiki penerbangan dari United Kingdom, sebelum bertemu lelaki itu di Abu Dhabi dan ke Islamabad.


“Saya sukar menafikan berada di Pakistan, kerana keadaan tidak waras mempengaruhi. Pemergian ke luar negara seorang diri adalah mustahil. Oleh itu saya mohon barangan peribadi saya termasuk pasport yang sebelum ini disimpan Muhammad Kamran diserahkan semula.


“Saya ingat ada nampak dia (Muhammad Kamran) di lapangan terbang tetapi tidak pasti, sebab itu saya mohon pasport kerana mahu lihat sendiri perjalanan dalam dokumen itu. Saya membantah sekeras-kerasnya permohonan Muhammad Kamran mengatakan saya melakukannya dengan rela,”
katanya.


Yani berkata, ibu bapa dan keluarganya lebih mengetahui perubahan dirinya dan mustahil tindakan dilakukan itu serta bersumpah dia dianiaya dengan dikenakan ilmu hitam.


“Penyataan pemohon yang mengatakan saya takut dengan ibu bapa sehingga tidak memaklumkan mereka berkahwin tidak benar. Mereka (ibu bapa) terbaik sehingga menyelamatkan dan membawa saya mendapatkan rawatan, berbanding pemohon yang hanya memuaskan nafsu.


“Keluarga dinasihati polis dan pengamal perubatan supaya saya dipulihkan terlebih dulu. Yang Arif, perkahwinan ini dilakukan secara paksa serta di luar kemahuan. Ia penganiayaan terhadap diri, maruah serta masa depan saya,”
katanya.


Sementara itu, Muhammad Kamran diwakili peguam syarie Ainon A Rahman mendakwa perkahwinan berlaku di dalam mahkamah di Pakistan dengan kehadiran kedua-dua pengantin serta dua saksi dan mengikut mazhab Hanafi tidak memerlukan wali.

“Pernikahan kami dijalankan Pendaftar Perkahwinan di dalam mahkamah di Rawalpindi, Pakistan. Saya ada membawa surat pengakuan nikah dan gambar kami melawat saudara-mara di beberapa tempat di sana selepas majlis pernikahan. Yuna tinggal di Pakistan selama 14 hari.


“Yani membantah permohonan saya mendaftarkan perkahwinan kerana dia takut kedua ibu bapanya tahu. Ketika itu dia masih belajar di United Kingdom dan saya mahu meraikan perkahwinan kami di Pakistan,”
katanya yang mempunyai perniagaan kain di sini.


Berhubung isu pasport, Muhammad Kamran mendakwa tidak mengetahui di mana pasport Yani berada dan keadaan itu menimbulkan ketegangan kerana sebelum ini mahkamah didakwa mengeluarkan perintah pasport itu diserahkan.


Muhammad Kamran dalam keterangannya berkata, dari awal lagi, dia memaklumkan kepada Yani bahawa dia berkahwin dengan wanita di Rantau Panjang, Kelantan dan mempunyai enam anak dan wanita itu mengatakan dengan rela hati mahu berkahwin dengannya.

“Selepas perkahwinan, Yuna adalah isteri yang baik, selain periang serta taat kepada saya. Selepas 14 hari berada di Pakistan dia pulang ke United Kingdom dan saya yang mempunyai taraf penduduk tetap pulang ke Malaysia. Dia datang menemui saya pada 17 Oktober 2009 sebelum dibawa lari keluarga dan putus hubungan sejak 26 Oktober 2009,” katanya.


Menjawab pertanyaan peguam, Muhammad Kamran mendakwa tidak ada unsur penipuan dalam perkahwinannya dan dia mengenali keluarga Yuna dengan baik.


“Saya seorang Islam, saya tidak akan lakukan sihir terhadap Yuna. Saya tidak menculik dia untuk berkahwin tetapi dia melakukan dengan rela hati. Saya pernah bertanya kepada ibunya tetapi dia mengatakan tidak menjanjikan apa-apa.


“Pertama kali saya berjumpa dengan Yuna adalah di Giant, Batu Caves, melalui adiknya yang bekerja di gerai milik saya. Saya juga kenal ibu bapa Yuna kerana keluarganya kerap datang ke gerai saya di Mydin, Terengganu. Selain berbual, saya juga ada memberi selendang dan sebagainya,” katanya.


Hakim Kanan Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Radzi Abdul Latif menetapkan 1 Jun ini untuk sambung perbicaraan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayadisihir/Article

Ragut nyawa teman wanita

Oleh Hadzlihady Hassan dan Sarah Zulkifli

2010/04/27

AMPANG: Hanya kerana cemburu, seorang lelaki sanggup bertindak di luar batasan dengan menikam teman wanitanya sendiri sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah bilik di Kondominium Pandan Height, di sini, awal pagi semalam.

Tindakan lelaki terbabit dianggap kejam kerana dia turut menekup mulut mangsa bagi mengelakkannya menjerit selain dikatakan puas apabila melihat teman wanitanya itu meronta dan maut di depan matanya.


Malah, sejurus teman wanitanya itu menemui ajal, lelaki terbabit turut cuba menamatkan riwayat hidupnya sendiri dengan meneguk racun anai-anai yang dikatakan sudah disediakannya sebelum kejadian.


Difahamkan, kejadian malang itu berlaku jam 12.15 tengah malam selepas ibu lelaki terbabit mula curiga kerana panggilan telefonnya tidak dijawab lalu berkunjung ke rumah disewa teman wanita anaknya itu.


Namun, sejurus sampai di sana, dia curiga apabila pintu bilik utama yang diketuk berulang kali tidak dibuka lalu memaklumkannya kepada pengawal keselamatan kerana bimbang berlaku perkara buruk.


Pengawal keselamatan yang turut bimbang dengan keadaan itu bertindak menghubungi bomba yang kemudian datang ke rumah berkenaan dan terpaksa memecahkan pintu bilik terbabit.


Sebaik pintu dibuka, mereka terkejut apabila mendapati seorang wanita yang berlumuran darah terkujur kaku di atas katil manakala teman lelakinya pula berada bersebelahan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan mulut berbuih kerana dipercayai meneguk racun serangga selain kecederaan di badan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, lelaki terbabit berusia 26 tahun dan bekerja sebagai tukang kayu, mempunyai dua anak berusia empat dan tujuh tahun hasil perkahwinannya sebelum ini.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala lelaki terbabit yang masih kritikal berada di Hospital Ampang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ragutnyawatemanwanita/Article

Kuku tanggal

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/04/27

KUALA LUMPUR: Hati mana yang tidak sebak tatkala melihat kedua-dua tangan seorang kanak-kanak comel berusia dua tahun melecur teruk hingga tertanggal kulit dan kuku selepas didera pengasuhnya yang dipercayai mencelupkan tangan mangsa dalam sup panas.

SAKIT...Chen Hui menunjukkan jari anaknya, Wee Leong yang melecur teruk.
SAKIT...Chen Hui menunjukkan jari anaknya, Wee Leong yang melecur teruk.
Bagaimanapun, rahsia penderaan itu hanya terbongkar dua hari selepas kejadian sebelum kanak-kanak terbabit dimasukkan ke wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras di sini, akibat parah.


Lebih serius apabila doktor tidak menolak kemungkinan mangsa, Chua Wee Leong, 2, bakal cacat kekal pada jari tangan manakala luka luarannya pula mengambil masa lebih tiga bulan untuk pulih.


Bapa mangsa yang juga seorang pemandu teksi, Chua Chen Hui, 45, berkata kejadian menyayat hati itu hanya diketahui selepas pengasuh terbabit menghubunginya dan isteri pada 18 April lalu.


Menurutnya, mereka yang sibuk dengan kerja sebelum ini menghantar Wee Leong untuk dijaga pengasuh terbabit yang tinggal di Taman Tun Perak, Jalan Cheras-Kajang, dekat sini, sejak lebih sebulan lalu dengan bayaran RM900 sebulan.


“Ketika menghubungi kami kira-kira jam 11.30 malam, pengasuh dikenali sebagai Puan Lim memberitahu anak lelaki kami luka ringan melecur akibat terkena sup panas yang tertumpah ke tangannya.


“Bagaimanapun, wanita itu mendakwa luka anak saya tidak serius dan dia akan merawatnya sendiri. Namun saya yang tidak sedap hati pergi ke rumah pengasuh terbabit keesokan paginya,”
katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong, semalam.


Menurutnya, pengasuh terbabit bagaimanapun menghalang mereka membawa pulang anaknya dengan alasan bimbang luka ‘ringan’ itu akan merebak dan dijangkiti kuman.


“Wanita terbabit memberitahu dia boleh mengurus kecederaan anaknya itu dan mengarahkan kami pulang. Kami yang panik hanya mengikut arahan wanita terbabit.

“Namun selepas dinasihatkan ahli keluarga, kami pergi semula ke rumah pengasuh terbabit pada Selasa lalu untuk mengambil anak saya,” katanya.


Menurutnya, dia membawa anaknya itu ke PPUKM sebelum doktor menahannya di Wad Kecemasan.


“Doktor memberitahu anak saya bukan luka biasa berikutan kesan melecur dialami tahap kedua menyebabkan seluruh kulit jari tangannya tertanggal.


“Malah, kecederaan itu turut menyebabkan tangan anak saya menggelembung dipenuhi nanah selain kukunya ‘gugur’ satu persatu,”
katanya.

Menurutnya, anaknya ditahan empat hari dan diberi rawatan rapi.


“Bagaimanapun, setiap malam dia mengigau menjerit ketakutan seolah-olah mengalami mimpi ngeri. Saya yakin ada memori buruk yang bukan disebabkan kemalangan biasa menimpanya sebelum ini,” katanya.


Dia berkata, anaknya tidak dapat menggunakan semua jari tangan kecuali ibu jari tangan kanan.


“Dia tidak dapat lagi bermain seperti kanak-kanak lain berikutan semua jarinya dibalut,” katanya.


Menurutnya, dia sudah menemui pengasuh terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun wanita terbabit memberi pelbagai alasan tidak munasabah.


“Pengasuh terbabit enggan mengaku sebaliknya mendakwa ia berpunca daripada kenakalan anak saya,” katanya.


Menurutnya, keadaan menjadi semakin ‘panas’ apabila suami pengasuh terbabit merendah-rendahkan maruahnya.


“Dia mencabar saya untuk mengambil tindakan lanjut kerana mendakwa mempunyai ramai rakan di kalangan peguam yang mampu membantunya di mahkamah. Saya membuat aduan di Balai Polis Cheras, Khamis lalu, bagi memastikan anak saya mendapat pembelaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kukutanggal/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...