Thursday, August 13, 2009

21,000 dapat zakat RM18j

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM18 juta kepada kira-kira 21,000 penduduk miskin di negeri ini yang layak menerima bantuan daripada LZS sempena Ramadan dan Syawal.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata setiap mereka yang layak akan menerima wang tunai antara RM500 dan RM1,000 setiap keluaga.

“Bantuan ini kita sudah mula agihkan bermula pada 4 Ogos lalu dan ia dijangka berakhir pada 25 Ogos ini.

“Tujuan kita agihkan wang awal bagi membolehkan orang ramai membuat persedian awal menyambut Ramadan dan Syawal dan saya harap wang ini dimanfaatkan sepenuhnya,”
katanya di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen pembayaran zakat dikenali sebagi kuiz Zakat N Fly 2 membabitkan kerjasama antara syarikat penerbangan Air Asia Berhad.

Turut hadir Ketua Serantau Kejuruteraan AirAsia Berhad, Azhari Dahlan dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.

Kuiz itu terbuka kepada orang ramai yang membuat pembayaran zakat bermula dari RM10 dan ke atas.

Mohamad Adzib berkata, kutipan zakat di Selangor kini ialah berjumlah RM103 meningkat RM12 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini kerana kita menyediakan pelbagai cara termasuk potongan gaji bagi memudahkan orang ramai membayar zakat,” katanya.

Pemenang pertama bagi kuiz itu akan menerima hadiah tiket penerbangan dua hala untuk dua orang dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia serta tempat kedua, tiket penerbangan ke Guangzhou, China sementara tempat ketiga pula ke Bandung/Jakarta/Bangkok.

Manakala tempat keempat akan menerima tiket penerbangan domestik.

Borang penyertaan boleh didapati di 22 kaunter zakat LZS dan ia juga boleh dimuat turun dari portal www.e-zakat.com.my. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan seketeriat Kuiz Zakat N Fly 2 di talian 03-55227700.

Ugutan jaga perangkap diri

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SUBANG JAYA: Seorang gadis yang khuatir gambar bogelnya disebarkan teman lelakinya selepas bercadang memutuskan hubungan cinta mereka membuat laporan polis kelmarin.

Berikutan laporan itu, polis menahan teman lelaki gadis berusia 16 tahun itu di sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Subang di sini, beberapa jam kemudian.

Malah, tindakan pantas polis menahan lelaki terbabit berjaya mengelak dia melarikan diri kerana suspek bercadang mahu berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan.

Menurut sumber polis, mangsa mengenali teman lelakinya itu sebulan lalu kerana mangsa tinggal di pangsapuri berkenaan manakala suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan sama.

“Mangsa yang tidak lagi bersekolah sejak sebulan lalu sering mengambil kesempatan berkunjung ke bilik teman lelakinya di pangsapuri berkenaan dan mereka pernah mengadakan hubungan seks beberapa kali,” katanya.

Menurut sumber itu, selepas sebulan berkenalan, mangsa mengetahui yang teman lelakinya ada empat rekod jenayah lampau, baru-baru ini.

“Mangsa meminta hubungan mereka diputuskan.

“Bagaimanapun, suspek masih menyayangi mangsa dan memberi amaran akan menyebarkan gambar bogel mangsa jika masih meneruskan keputusan memutuskan hubungan,” katanya.

Sumber berkata, bimbang ugutan itu, mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

“Mangsa yang takut dan tidak mahu gambar bogel yang kononnya didakwa suspek diambil tanpa disedarinya tersebar nekad membuat laporan.

“Beberapa jam selepas laporan dibuat, polis menahan suspek yang berusia 20-an di kawasan pangsapuri itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan laporan mangsa dan penahanan suspek.

“Hasil siasatan mendapati gambar bogel yang didakwa disimpan dan mahu disebarkan itu tidak wujud dan suspek hanya mengugut untuk menakutkan mangsa kerana tidak mahu memutuskan perhubungan.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mangsa di bawah umur,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090813001443/Article/index_html


Isi borang bebas H1N1

JOHOR BAHRU: Semua graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bakal menerima ijazah pada majlis Konvokesyen Ke-43 UTM mulai Sabtu ini, perlu mengisi borang pengisytiharan bebas Influenza A (H1N1).

Pengarah Pusat Kesihatan Mahasiswa UTM, Dr Ismail Ahmad, berkata langkah itu perlu dilaksanakan bagi mencegah penularan wabak terbabit yang mudah berjangkit, terutama di tempat umum.

Katanya, graduan mengalami demam, batuk atau selesema saja dikehendaki menjalani ujian saringan H1N1 dikendalikan kakitangan pusat kesihatan universiti itu sebelum diberikan ubat.

“Mereka akan diberi ubat mengurangkan batuk atau selsema, serta dikehendaki memakai topeng penutup mulut dan hidung yang diberi percuma sebelum dibenar masuk ke dalam dewan,” katanya.

“Ibu bapa yang dijemput tetapi mengalami simptom sama, dinasihat tidak hadir atau menggantikan tempat dengan individu yang sihat,” katanya.

Konvokesyen itu akan berlangsung selama lima hari membabitkan 5,693 graduan dalam dan luar negara.

Sesi konvo tak lebih 4 jam

BANGI: Bagi membendung penularan wabak Influenza A (H1N1), sesi konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula Sabtu ini akan dilaksanakan tidak melebihi empat jam untuk mengurangkan risiko pendedahan.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata Konvokesyen UKM ke-37 itu, akan berlangsung sebanyak 10 sidang membabitkan 7,674 penerima pelbagai anugerah termasuk lima Profesor Emeritus dan dua Ijazah Kehormat.

“Bagaimanapun kita menasihatkan graduan yang mempunyai simptom H1N1 supaya tidak menghadiri sidang konvokesyen tetapi jika masih mahu hadir, mereka perlu memaklumkannya supaya topeng muka dapat dibekalkan,” katanya dalam sidang media di UKM, di sini, semalam.

Beliau berkata, graduan juga dinasihatkan supaya tidak membawa bersama golongan berisiko tinggi misalnya ahli keluarga yang lanjut usia, kanak-kanak, ibu mengandung dan pesakit diabetes.

“Memang kita faham, ada ahli keluarga mahu turut serta bersama graduan di majlis konvokesyen tetapi kita perlu berbuat sesuatu bagi mengurangkan risiko mereka terdedah dengan H1N1,” katanya.

Dr Sharifah Hapsah berkata, pasukan pelajar Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) juga akan digembleng untuk membantu kakitangan di pos kesihatan dengan memberi topeng muka dan menyediakan cucian tangan kepada tetamu.

“Graduan juga diminta tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Canselor atau Procanselor semasa menerima skrol,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) menunjukkan peningkatan kepada 207 orang menjadikan ia satu petanda baik kepada UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, UKM secara berturut-turut mengeluarkan graduan PhD melebihi 100 orang iaitu seramai 116 pada 2005, 125 (2006), 135 (2007) dan 188 (2008) malah menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi, UKM menghasilkan graduan PhD tertinggi.

“Pada tahun ini, 48 graduan PhD adalah dari luar negara manakala 159 lagi tempatan sekali gus selaras dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan,”
katanya.

Rahsia untuk cemerlang

SERDANG: Sikap mengehadkan pengambilan minuman berkarbonat dan makanan ringan dalam kuantiti paling minimum menjadi rahsia kecemerlangan Fatimah Mustapai, 22, hingga memperoleh Anugerah Graduan Cemerlang Keseluruhan Peringkat Diploma pada majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) - Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ke-11 di sini, semalam.

Fatimah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.8 sepanjang mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer dari Kolej Teknologi Bestari, Setiu, Terengganu.

Selain menjaga pemakanan, anak kelima daripada enam beradik itu sentiasa mengamal dan menunjukkan rasa hormat yang tinggi kepada ibu serta tenaga pengajar.

“Minuman bergas dan makanan ringan boleh menjejaskan tumpuan belajar serta menumpulkan daya ingatan. Sebab itu, sejak zaman persekolahan lagi saya jarang sangat mengambilnya.

“Selain itu saya amalkan memakan kismis dan makanan berkhasiat lain. Saya juga sentiasa berdoa setiap kali lepas solat memohon kepada Allah untuk memudahkan pembelajaran serta hormati orang tua terutama ibu, guru dan pensyarah supaya lebih diberkati,” katanya yang ditemani ibu, Zaiwariah Ali, 52, ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Zaiwariah berkata, Fatimah memang sejak kecil menunjukkan peribadi murni, malah sanggup memberinya duit belanja menggunakan lebihan wang pinjaman ketika belajar di kolej terbabit.

“Bapa Fatimah meninggal dunia sejak dia berusia lapan tahun dan sejak itu saya ajar dia untuk berdikari dan berjimat-cermat,” katanya.

Majlis terbabit turut menyaksikan Nurul Saidah Ibrahim, 25, yang belajar di kolej sama menerima Anugerah Graduan Cemerlang Peringkat Bacelor sementara Roskamaazlira Jusoh, 28, graduan Kolej Shahputra, Kuantan, memperoleh Anugerah Graduan Cemerlang Akademik Peringkat Diploma.

Nurul Saidah berkata, dia bersyukur kerana beroleh kejayaan itu yang disifatkannya pemangkin motivasi untuk terus berjaya dalam pelbagai bidang.

“Saya sentiasa melakukan solat hajat secara konsisten dan ternyata Allah mendengar dan memakbulkan permintaan saya untuk cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Bagi Roskamaazlira, usia bukan penghalang untuk melakukan terbaik sepanjang mengikuti pengajian.

“Dengan anugerah ini, saya sudah buktikan mampu cemerlang walaupun belajar pada usia agak lewat. Yang penting, hindari perasaan malu dan sentiasa fokus di dalam kelas,” katanya.

Seramai 550 graduan membabitkan 71 graduan bacelor dan 479 (diploma) berjaya menamatkan pengajian di enam IPTS yang menjalankan program berkembar bersama UPM dengan penyampaian skrol dilakukan Naib canselor, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah.

‘Saya kumpul kekuatan’

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


SERDANG: Peristiwa menyayat hati dua tahun lalu apabila kedua-dua ibu, bapa selain dua adiknya maut serentak dalam tragedi kebakaran tidak mematahkan semangat Faezah Noor Kasmuri, 22, dari Batu Pahat, Johor, untuk meneruskan pengajian hingga selesai sekali gus menggenggam segulung ijazah.

Graduan Bacelor Pengkhususan Bahasa Inggeris itu berkata, sungguhpun pada awalnya patah semangat, dia berjaya kuatkan tekad untuk tidak mengaku kalah akibat kejadian meruntun perasaan itu.

Katanya, dia berharap keazaman ditunjukkan untuk meneruskan pengajian akan dituruti adik-adiknya hingga berjaya dalam hidup sekali gus membawa keluarga mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

“Saya anak sulung dan kerana itu mahu tidak mahu perlu juga berjuang meneruskan pengajian bagi membantu tiga adik lain yang terselamat dalam kejadian itu.

“Malah, kejadian itu menyebabkan kami adik beradik jadi lebih peka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi. Selain saya, dua adik, Salahuddin, 21, dan Juliana sedang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sementara Farhana berada di tingkatan lima,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-33 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Menceritakan tragedi meragut nyawa empat orang paling disayanginya itu, Faezah Noor berkata, ketika kejadian, dia berada dalam tahun dua di universiti terbabit.

“Luluh hati ketika diberitahu mengenai kejadian itu hingga kering air mata dibuatnya. Tapi bila sedar hakikat takdir dan mengenangkan adik-adik lain, saya kumpul kekuatan untuk teruskan juga pengajian,” katanya.

Ditanya perancangan masa terdekatnya, Faezah Noor berkata, dia sedang berusaha mencari apa juga kerja yang boleh menampung keperluan diri dan tiga adiknya.

“Sekarang ini kami tinggal dengan nenek yang serba kedaifan. Saya harap selepas ini segera dapat kerja untuk membolehkan saya membantu keluarga,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090813001825/Article/index_html

Pelajar percaya 10 lelaki baru dikenali terima padah

PETALING JAYA: Akibat terlalu percayakan lelaki yang baru dikenali, seorang pelajar dirogol 10 rakan lelaki bergilir-gilir ketika mengikutnya ke sebuah rumah di Desa Mentari, dekat sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 14 tahun berjaya melepaskan diri sebelum dia menceritakan kejadian terbabit kepada ibunya lima hari kemudian kerana takut dimarahi.

Menurut sumber polis, hasil laporan, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan itu dan menahan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, 10 lagi lelaki yang didakwa merogol mangsa tidak berada di rumah itu dan polis kini memburu semua mereka.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, rahsia seorang pelajar sering murung ketika dalam kelas terbongkar apabila guru kelasnya mendapati pelajar itu menjadi mangsa rogol enam lelaki.

Menurut sumber, pelajar berkenaan yang berusia 14 tahun dilihat sering murung ketika dalam kelas dan menimbulkan tanda tanya kepada gurunya.

“Guru terbabit terkejut apabila pelajarnya itu mengaku yang dia menjadi mangsa rogol pada Februari dan Jun lalu di dua lokasi berasingan.

“Sejurus mendengar pengakuan itu, guru terbabit memanggil ibu bapa pelajar berkenaan dan mangsa sekali lagi mengakui di depan ibu bapanya yang dia pernah menjadi mangsa rogol,” katanya.

Menurut sumber, selepas berbincang bersama keluarga dan gurunya, pelajar terbabit membuat laporan polis, Sabtu lalu.

“Mangsa mendakwa dia pernah menjadi mangsa rogol seorang lelaki dan masih mengingati lokasi dan dapat mengecam wajah suspek.

“Namun, dalam satu lagi kejadian rogol membabitkan lima lelaki, mangsa mendakwa langsung tidak ingat lokasi dia dibawa sebelum itu,”
katanya.

Berikutan itu, polis menahan seorang suspek berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah di Damansara Damai bagi membantu siasatan.

Pesta lesbian

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik sambutan hari kemerdekaan negara yang bakal disambut hujung bulan ini, sekumpulan pengamal seks songsang termasuk golongan lesbian dan gay menganjurkan parti liar kononnya untuk menunjukkan mereka juga ‘merdeka’ dan bebas mengamalkan budaya hidup sesat itu di negara ini.

Pesta maksiat yang berlangsung di tepi kolam sebuah hotel terkemuka di Jalan Bukit Bintang di sini, Sabtu lalu, meraikan peserta yang daripada terdiri pengamal seks sejenis dengan setiap pengunjung dikenakan bayaran masuk RM60 jika membeli tiket di pintu masuk, manakala yang menempah melalui Internet dikenakan RM50.

Parti yang dianjurkan pada setiap tahun itu mempromosikan budaya tidak bermoral apabila pasangan yang menyertainya bebas bercumbu-cumbuan sambil meneguk arak.

Wartawan Harian Metro yang berjaya menyusup masuk ke parti eksklusif berkenaan mendapati, ia mendapat sambutan luar biasa apabila ramai golongan pengamal seks songsang hadir bersama pasangan masing-masing untuk berhibur.

Pasangan terbabit sama ada gadis remaja, wanita dewasa dan golongan profesional dilihat begitu berbangga dengan naluri seksual songsang mereka dan perasaan itu dipamerkan melalui aksi masing-masing di khalayak ramai tanpa rasa malu.

Selain itu, mereka dilihat berseronok dengan meneguk arak, melakukan tarian ghairah dan berkucupan.

Wartawan Harian Metro menyamar sebagai pengamal lesbian untuk menyertai parti itu selepas mendapat maklumat mengenainya menerusi satu laman web.

Difahamkan, parti pramerdeka untuk pasangan lesbian dan gay dari sekitar ibu kota itu dianjurkan bagi membolehkan golongan terbabit berkumpul dan berpesta sesama mereka.

Sebaik parti bermula, penganjur memaklumkan acara berkenaan bertujuan membolehkan golongan homoseks terdiri daripada lesbian dan gay menzahirkan perasaan diri mereka ‘merdeka’ dan berbangga kerana menjadi pengamal budaya songsang itu.

Komuniti lesbian terbabit dipercayai bergerak melalui laman sembang di Internet serta mempunyai laman web sendiri untuk berbincang perihal aktiviti harian.

Berdasarkan pemerhatian, parti liar itu bermula lewat petang dan kemeriahannya mula terasa selepas jam 10.30 malam dengan lebih 30 wanita yang bercampur-baur tanpa mengira kaum dan agama, menari di pentas tarian sambil disinari pancaran lampu berwarna-warni dengan DJ memutarkan pelbagai lagu terkini.

Walaupun parti berkenaan dianjurkan komuniti lesbian, golongan gay dan biseks juga dialu-alukan menyertainya.

Semakin lama muzik dialunkan, semakin ramai golongan lesbian dan beberapa pasangan gay menggayakan tarian seksi dan mengghairahkan.

Turut dilihat beberapa pasangan songsang yang duduk di tepi kolam renang bermesra dan bercumbu dengan pasangan masing-masing tanpa menghiraukan orang lain di sekeliling.

Bagaikan ‘Mat Salih’, remaja Melayu terbabit tanpa segan silu mengusung botol atau tin bir atau bekas minuman dipercayai berisi campuran minuman ringan dan arak.

Pada masa sama, sungguh menjijikkan melihat aksi beberapa wanita Melayu menari ‘berkepit’ dengan pasangan wanita mereka dalam keadaan amat mengghairahkan.

Seorang lesbian ditemui di parti berkenaan dikenali sebagai Tina, berusia 20-an, mengakui parti seumpama itu kerap dianjurkan komuniti seks songsang itu untuk meraikan perayaan tertentu termasuk Hari Merdeka dan Tahun Baru.

“Parti ini untuk kaum sejenis berhibur, menari, minum arak serta melayan nafsu masing-masing secara terbuka.

“Merdeka bagi kami (lesbian) adalah bangga dengan naluri seks yang menyukai rakan sejantina dan tidak menerima lelaki sebagai pasangan hidup,” katanya bangga.

Tina berkata, jika menyertai parti seperti itu, golongan yang sering dikeji masyarakat seperti dirinya berasa diri diterima semua sebahagian lagi masyarakat.

“Dalam parti itu, kami bebas buat apa saja,” katanya tersenyum.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090812234547/Article

Suami model Playboy tertekan



BETH FITHEN dalam satu aksi untuk majalah Playboy tahun lalu.



GAHANNA - Seorang pegawai polis negeri Ohio, Ron Fithen, mendakwa dia berasa aib dan tidak selesa ke tempat kerja setelah isterinya berbogel untuk majalah Playboy pada awal tahun lalu.

Fithen mengemukakan saman bernilai AS$3.5 juta (RM12.36 juta) di Mahkamah Franklin County di sini minggu lalu ke atas bandar Columbus, jabatan polis dan dua orang pegawai polis, berikutan masalah berkenaan.

Peguamnya, John Sherrod berkata, Fithen dipersenda ketika berkerja dengan ditanya beberapa kali mengenai salinan majalah; Playboyserta diminta untuk mendapatkan tanda tangan isterinya, Beth.

Saman yang dikemukakan turut meminta pihak polis melakukan penyiasatan berikutan tekanan perasaan yang dialami suami isteri tersebut.

Peguam bandar raya, Brian Zets berkata, pihaknya itu masih tidak menerima saman itu. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Dipenjara enam bulan kerana menguap



SEORANG lelaki cuba menutup mulut ketika menguap. - Gambar hiasan



JOLIET - Gara-gara menguap terlalu kuat ketika mengikuti satu perbicaraan di Mahkamah Will County di sini, seorang penduduk negeri Illinois, Amerika Syarikat berhadapan hukuman penjara enam bulan.

Ketika kejadian, Clifton Williams, 33, menghadiri perbicaraan sepupunya, Jason Mayfield yang dibicarakan atas kesalahan dadah pada 23 Julai lalu.

Tindakan William menguap menyebabkan pihak pendakwa raya mengadu kepada Hakim Daniel Rozak dengan menganggap perbuatan itu sebagai cubaan mengganggu perbicaraan.

"Bunyi dia menguap terlalu kuat, bising dan mengganggu perbicaraan," kata pendakwa.

Hakim Rozak mendapati perbuatan itu sebagai menghina mahkamah dan menjatuhi hukuman penjara tetapi beliau sedia membebaskan Williams selepas mendengar perbicaraan hari ini dan permohonan maaf. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

1,000 mangsa taufan Morakot masih hidup





SEKUMPULAN wartawan membuat liputan di sebuah kampung yang lenyap akibat taufan Morakot di Hsiaolin, Taiwan semalam.CISHAN - Pasukan penyelamat Taiwan menemui hampir 1,000 penduduk yang masih hidup di tiga buah perkampungan terpencil yang musnah akibat taufan Morakot, kata jurucakap tentera semalam.

Jurucakap operasi penyelamat, Mejar Jeneral Hu Jui-chou berkata, kebanyakan mangsa yang selamat dijumpai kelmarin manakala sejumlah mangsa ditemui di Shiao Lin semalam.

Menurut Jui-chou, 500 mangsa dijumpai di Min Tzu, 200 di Chin He dan 270 di Shiao Lin.

Sejumlah helikopter tentera digunakan untuk mengangkut mangsa ke kawasan selamat di Cishan iaitu sebuah bandar di selatan Kaohsiung yang dijadikan markas operasi penyelamat.

Namun hujan lebat pada lewat petang semalam membataskan jumlah penerbangan berbanding lebih 100 penerbangan kelmarin.

Taufan Morakot yang melanda Taiwan pada Ahad lalu turut melanda Filipina dan China.

Sekurang-kurangnya 93 penduduk Taiwan maut dalam taufan itu yang menyebabkan hujan lebat melanda pulau tersebut.

Pihak berkuasa memindahkan 1.5 juta penduduk dan menganggarkan 10,000 buah rumah musnah sama sekali. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Guna ular 'sembelih' ayam di meja hidangan





KALAU tak sanggup menjadi seorang pemakan sayur sepanjang hayat, biarlah berpada-pada dalam memilih menu makanan. Lebih-lebih lagi, kalau ia melibatkan kekejaman terhadap haiwan. Pada awal bulan lalu, pegawai kerajaan China telah bertindak untuk menutup restoran-restoran yang menghidangkan hidangan ayam yang digigit oleh ular beracun.

Sajian makanan itu yang disediakan di beberapa buah restoran di Guangdong dan Chongqing, dikatakan bertoksik. Namun, bukan isu itu yang menimbulkan kekecohan di media massa dan laman blog. Cara penyediaannya yang cukup ngeri dan tidak bertimbang rasa, menyebabkan sesetengah orang berasa ia tidak boleh diterima akal.

Video yang dimuat turun di laman sesawang menunjukkan bagaimana seorang tukang masak yang memegang seekor ular memaksanya mengigit berulang kali dan menyalurkan racun kepada seekor ayam hidup. Setelah hampir seminggu isu ini diuar-uarkan dan diperbesarkan oleh para pencinta haiwan, akhirnya, satu kata putus diambil agar kekejaman ini dihentikan dengan segera.

"Cukup keji dan zalim," tulis satu mesej yang dihantar dalam sebuah portal. "Ia bukan sahaja satu perbuatan ganas dengan membiarkan ular menghisap darah ayam, tetapi ia tidak bermoral," nyata sebuah akhbar di negara itu.

"Meskipun tidak ada sesiapa yang terkena keracunan makanan, ia bukanlah satu langkah yang bijak untuk 'menyembelih' haiwan di atas meja," kata seorang pegawai kesihatan.

Ada juga suara-suara yang menyatakan sebaliknya tentang hidangan makanannya yang lazat. Terlebih dahulu, pegawai kesihatan telah mengarahkan pemilik restoran terlibat supaya berhenti menghidangkan menu tersebut.

Berita ini tidaklah datang secara mengejut kerana benua besar itu telah lama merekodkan sejarah sajian eksotik sehingga menerima tentangan dan kutukan daripada pelbagai pihak. Antaranya ialah menyediakan sajian otak monyet yang masih hidup, musang, sup fetus rusa dan sebagainya.


SEORANG pekerja restoran memegang seekor ular untuk menggigit seekor ayam sehingga mati di atas meja pelanggan di Guangdong, China.


Dalam pada itu, sebuah restoran di China mempertahankan praktis penyediaan makanan yang kontrovesi ini dengan mengatakan ia baik untuk kesihatan. Para pelanggannya tetap kembali semula untuk mencuba.

"Kami memasak makanan itu sejak bertahun-tahun dan pelanggan kami tidak pernah jemu," ujar seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Zheng di restoran Shunde Renjia di bandar Foshan, Guangdong.

"Ini adalah menu makanan kami yang paling laris," katanya.

Katanya lagi, sebaik makanan atau ayam itu dipanaskan, toksin ular itu akan bertukar menjadi enzim yang membantu untuk mengekalkan badan yang panas dan membersihkan saluran darah.

"Laporan televisyen menjelaskan ia sangat beracun tetapi kami masih ada pengunjung termasuk keluarga yang membawa anak-anaknya," ujarnya mempertahankan tindakan itu.

Ada pengkritik yang menggambarkan pelanggan sebagai seorang yang tidak bertamadun atau bersamaan dengan haiwan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_03.htm

Negeri-negeri di Pantai Barat banyak korban H1N1n


GURU Penolong Kanan SMK Ismail Petra, Mohamad Ariffin Ibrahim mengagihkan topeng muka kepada para pelajar sekolah itu di Kota Bharu semalam.


KUALA LUMPUR - Jika anda berada di Johor, Selangor dan Melaka, anda harus lebih berwaspada khususnya di tempat-tempat awam kerana ketiga-tiga negeri itu mempunyai lebih separuh daripada 44 korban kes selesema babi atau H1N1 di Malaysia.

Setakat semalam, bilangan korban H1N1 di Johor sudah 10 orang diikuti Selangor (tujuh) dan Melaka (enam).

Angka korban yang banyak turut dilaporkan di Perak iaitu lima kes manakala Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing mempunyai empat korban.




Namun, statistik pesakit H1N1 yang diperoleh dari Kementerian Kesihatan mendapati tiga negeri iaitu Perlis, Kelantan dan Terengganu setakat ini tidak mempunyai korban wabak.

Sebagai perbandingan, dua negara jiran terdekat iaitu Thailand setakat kelmarin mencatatkan 97 korban manakala Singapura pula 10 kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, enam lagi kematian direkodkan semalam membabitkan pesakit yang mendapatkan rawatan dari tempoh 6 hingga 9 Ogos lalu.

"Empat kes didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetis, hipertensi, penyakit jantung atau obesiti,'' katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Nikah Aida - Joe Radzwill sah selepas 7 tahun berkahwin


Sedondon, Mahkamah sahkan pernikahan Joe dan Aida selepas tujuh tahun berkahwin. foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Perseketuan hari ini mengesahkan pernikahannya Aktres Aida Radzwill atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad dengan penyanyi dan pelakon Joe Radzwill, setelah tujuh tahun berkahwin.

Pengesahan itu dilakukan oleh Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid selepas memutuskan pernikahan kedua pasangan tersebut adalah sah menurut hukum syarak.

Selepas mendapat surat pengesahan ini, pasangan itu diminta untuk mendaftarkan pernikahan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurut peguam syarie, Nahar Alias, pihak JAWI akan menyiasat kes ini dan selepas itu mahkamah akan menentukan denda terhadap pasangan ini.

"Mereka boleh dikenakan denda maksimum RM1000 atau penjara kerana poligami dan bernikah tanpa kebenaran," kata Nahar.

Joe dan Aida bernikah di Yala, Thailand pada 6 November 2002 oleh wali hakim merangkap ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Thailand, Othman Daramah dengan dua saksi warganegara Thailand, Abdul Aziz Ahmad dan Othman Ibrahim.

Sewaktu pernikahan itu, Aida berstatus janda manakala Joe masih beristeri. Namun pada November 2002, Joe telah menceraikan isterinya itu.

Joe Radzwill bercerai dengan isteri pertamanya, Rozita Ramli pada 6 Mac 2003.

Hasil perkongsian hidup dengan perkahwinan pertamanya itu, mereka telah dikurniakan dua orang anak.

Kedua-dua pasangan hadir bersama dengan memakai pakaian yang sedondon semasa perbicaraan tersebut.

Ketika ditanya mengenai mengenai sebab kelewatan mendaftarkan pernikahan tersebut, kata Aida:

"Biasalah...saya ada masalah lain, selalunya saya sibuk dan memang tak sempat, kadang-kadang tak ingat dan leka.

"Tapi yang penting pernikahan saya dengan Joe sudah disahkan," katanya.

Sementara itu menurut Joe pula, selain tidak mempunyai masa yang sesuai, masalah penceraiannya dengan isteri pertamanya juga menjadi punca kelewatan pendaftaran pernikahan mereka.

"Susah untuk mencari masa yang sesuai, hari yang saya tidak sibuk, Aida pula sibuk.

"Penceraian saya degan isteri yang pertama pun memang menyebabkan kelewatan untuk mendaftar pernikahan saya dengan Aida," kata Joe.

Menurut Nahar, pasangan tersebut memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan pernikahan mereka pada 27 Julai 2009.

Pasangan ini pernah ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam pada 1 Disember 2002 kerana disyaki berkhalwat di sebuah kondominium di Damansara Kiara.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/12/mstar_hiburan/20090812110207&sec=mstar_hiburan

Roslin Hashim failkan ganti rugi lebih RM50 ribu terhadap bekas isteri


Roslin Hashim memfailkan tuntutan ganti rugi lebih RM50,000 terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad. foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Roslin Hashim hari ini memfailkan permohonan ganti rugi perkahwinan lebih RM50,000 terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pagi tadi.

Roslin menjelaskan tuntutan ganti rugi yang dibuatnya adalah meliputi seluruh wang hantaran dan perbelanjaan perkahwinannya bersama bekas isteri.

Bagaimanapun, Roslin enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan yang dilakukannya tetapi mengatakan dia mempunyai hak untuk membuat tuntutan ganti rugi ini.

"Mungkin bagi pihak perempuan masalah antara kami sudah selesai. Tapi tidak bagi saya. Saya ada hak untuk buat tuntutan ganti rugi.

"Saya tidak ada niat untuk mengenakan mana-mana pihak ataupun nak cari publisiti. Tuntutan ini lebih kepada hak maruah saya sendiri dan jika diikutkan kes saya ini, tidak berlaku sebarang perkahwinan yang sebenar-benarnya antara kami," katanya yang hadir ditemani peguamnya, Roslizam Rahim.

Sebelum ini, Roslin pernah memaklumkan yang dia berkemungkinan akan menarik semula saman ganti rugi itu jika Faizah memulangkan segala hantaran perkahwinan.

Namun, hari ini dia menegaskan untuk meneruskan saman itu walaupun jumlah ganti rugi yang dituntut berkurangan.

Ditanya adakah dia dan Faizah pernah berbincang mengenai hal ini di luar, Roslin menjawab: "Kami tidak pernah berbincang kerana tiada ruang antara satu sama lain..bukan kerana saya ego."

Roslin yang masih meneruskan kariernya sebagai pemain badminton negara juga meletakkan harapan pada kebijaksaan peguamnya untuk menguruskan kes ini.

Dalam pada itu, Roslizam memberitahu prosiding kes ini akan dijalankan di mahkamah tinggi namun pihaknya tidak boleh mengumumkan jumlah tuntutan yang diminta kerana kes ini baru hendak bermula.

Bekas isteri Roslin, Faizah Mohamad.

"Kita tidak boleh nak umumkan jumlah tuntutan kerana kes masih belum bermula, namun secara umumnya, jika permohonan ini difailkan di mahkamah rendah syariah, jumlah tuntutan tersebut adalah dalam RM50,000 ke bawah.

"Tetapi kita failkan di mahkamah tinggi syariah, jadi jumlahnya boleh jadi lebih dari RM 50,000. Kita akan beri peluang kepada Roslin dan Faizah untuk berbincang terlebih dahulu," katanya yang ditemui selepas selesai memfailkan permohonan anak guamnya.

Bagaimanapun Roslizam mengatakan dia sangat yakin kes ini dapat diselesaikan dengan baik jika mendapat kerjasama daripada kedua-dua pihak.

"Saya sangat optimis dalam hal ini dan saya percaya jika kedua-dua pihak boleh memberi kerjasama yang baik, kes ini pasti dapat diselesaikan dengan baik dan cepat," jelasnya.

Sehubungan itu, Roslizam memaklumkan pasangan bekas suami-isteri ini akan diberi peluang untuk berbincang dalam satu proses sulh (perbincangan) yang akan diadakan pada 25 Ogos nanti.

Sebelum ini Roslin pernah merancang untuk mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Namun, saman berkenaan hanya akan difailkan sejurus dia memperolehi surat pembatalan pernikahan yang ketika itu lewat dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Roslin dan Faizah mula berkenalan sejak Hari Raya Haji pada tahun 2005 di rumah Raja Azmi.

Selepas ditunangkan pada 1 November tahun lalu, Faizah mula rapat dengan Roslin dan mula keluar berdua sebelum bernikah pada 30 Januari lalu.

Perkahwinan Roslin dan Faizah telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah dan menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah yang sama.

Roslin dan Faizah telah bercerai secara talak 'Bain Sughra' dengan satu talak pada 12 Mei lalu.

Talak 'Bain Sughra' adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya di dalam edah.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/12/mstar_hiburan/20090812130558&sec=mstar_hiburan

Penutupan sekolah akibat H1N1 sebagai langkah terakhir - Liow


PUTRAJAYA: Tindakan penutupan sekolah dan institusi pendidikan seperti universiti akibat penularan wabak Influenza A (H1N1) hanya akan diambil sebagai langkah terakhir, demikian menurut garis panduan baru bagi penutupan sekolah akibat H1N1 yang dirumuskan kerajaan hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata garis panduan baru itu dirumuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal (bagi H1N1) di sini hari ini seiring dengan fasa mitigasi bagi pandemik itu.

"Tindakan penutupan sekolah atau universiti hanya akan dilakukan oleh pihak pentadbiran sekiranya kehadiran pelajar atau pengajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik.

"Pengetua sekolah bertanggungjawab untuk mencadangkan penutupan sekolah setelah mendapat nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah dan dipersetujui oleh Pengarah Pendidikan Negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Namun begitu, Liow berkata sekolah swasta boleh membuat keputusan sendiri bagi penutupan sekolah sekiranya terdapat jangkitan wabak H1N1. Beliau berkata langkah pencegahan penularan wabak itu di sekolah juga akan diambil termasuk pemantauan suhu badan pelajar setiap hari sebelum kelas bermula melalui termometer yang dibekalkan kepada sekolah dan pelajar perlu dirujuk segera ke klinik sekiranya terdapat simptom H1N1.

"Ibu bapa dan penjaga juga hendaklah memastikan anak mereka yang mempunyai gejala serupa influenza supaya tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan," katanya.

Mengenai kenaikan harga topeng muka dan produk penyah kuman, Liow mengingatkan pengeluar, pembekal dan penjual barangan itu supaya tidak berbuat demikian kerana tindakan tegas akan diambil.

"Ini membabitkan soal keselamatan negara, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan keselamatan semua orang. Menaikkan harga barangan ini amat tidak wajar dan kita serahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengambil tindakan," katanya.

Liow turut memaklumkan orang awam bahawa mereka kini boleh mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta bagi H1N1 kerana pihak kementerian telah membekalkan ubat antiviral H1N1 kepada pihak berkenaan. "Semua klinik dan hospital swasta boleh merawat jangkitan influenza dan diminta untuk tidak menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital mereka. Pihak klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan antiviral dari pihak pembekal secara terus.

"Untuk makluman, rawatan keskes ini tidak terhad kepada hospital tertentu sahaja asalkan mempunyai kemudahan bilik isolasi, juga boleh beri rawatan," katanya.

Bagaimanapun katanya, vaksin dan antiviral adalah berbeza dan menyatakan bahawa antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu) dan Zanamivir (Relenza) adalah ubat untuk merawat jangkitan H1N1 dan vaksin H1N1 masih belum ada di Malaysia atau di dunia.

Sementara itu, Liow turut menasihatkan penyokong parti-parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pasir di Pulau Pinang 25 Ogos ini supaya mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan khususnya semasa berkempen bagi mengelak dijangkiti H1N1.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/12/mstar_berita/20090812201454&sec=mstar_berita

A (H1N1): 6 lagi kematian dicatatkan, angka kematian kini 44


PUTRAJAYA: Enam lagi kematian dicatatkan disebabkan oleh penularan wabak Influenza A(H1N1) hari ini menjadikan jumlah yang korban akibat virus itu di negara ini sebanyak 44 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kematian terbaru melibatkan bayi perempuan berumur 10 bulan, seorang bayi lelaki berumur 12 bulan, perempuan mengandung berusia 18 tahun, lelaki berusia 24 tahun dan dua orang lelaki yang berusia dalam lingkungan 60an.

Kata Liow sekolah yang mempunyai kes jangkitan virus tersebut hanya perlu ditutup sekiranya jumlah guru dan pelajar yang dijangkiti atau dikuarantin adalah tinggi.

Selain itu Liow menegaskan pegetua sekolah perlu mempertimbangkan perkara ini sekiranya berlaku dan patuh kepada arahan pengarah kesihatan negeri selepas melaporkanya kepada pengarah pelajaran negeri.

Peniaga yang menjual topeng muka dan pencuci tangan pesanitasi diberi amaran agar tidak sewenang-wenangnya menaikan harga barangan tersebut dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/12/mstar_berita/20090812180154&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...