Monday, June 1, 2009

Hati-hati wang kertas palsu


AHMAD RAZIF (tengah) bersama dua pekerjanya, Kamsiah Idris (kiri) dan Amirah Ahmad Razif menunjukkan wang palsu yang diterima di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Para peniaga di negeri ini diminta berhati-hati apabila menerima wang kertas RM100 dan RM50 daripada pelanggan kerana dikhuatiri ia merupakan wang palsu.

Sebuah syarikat pengedar surat khabar di Kompleks Perniagaan Alor Setar di sini mendakwa menerima wang palsu berjumlah RM250 yang didakwa diberikan oleh pelanggan kelmarin.

Pengurus Besar Kedai Buku Pena, Ahmad Razif Abdullah berkata, wang palsu berupa dua keping wang kertas RM100 dan sekeping RM50 itu diterima oleh dua orang pekerja wanitanya yang ketika itu sibuk menjalankan urusan perniagaan pada waktu pagi.

Menurut beliau, penerimaan wang palsu itu hanya disedari selepas ketua juruwang membuat kiraan wang keseluruhan dengan mengasingkan wang kertas mengikut nilai.

“Sebaik memegang tiga keping wang kertas tersebut, ketua juruwang itu mendapati ketiga-tiga keping wang kertas itu licin pada tanda tulisan ringgit berbanding berbintik-bintik pada wang kertas tulen,” kata beliau ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Katanya, ketua juruwang syarikat itu telah lebih 10 tahun bekerja di situ dan dia memang mengetahui perbezaan antara wang palsu dan tulen selepas dimaklumkan oleh kakitangan bank.

“Tidak diketahui siapa pelanggan yang memberi wang palsu itu tetapi kita syak ia angkara seorang pelanggan,” kata beliau.

Katanya, antara perbezaan ketara pada wang kertas palsu yang diterima ialah warnanya yang lebih gelap, kertas licin, bersaiz kecil dan garisan perak mudah ditanggalkan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0601&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...