Monday, March 7, 2011

'Bermadu' anak sendiri

'Bermadu' anak sendiri

Oleh Hadzlihady Hassan dan Noozleyantie ‘Alia Adnan
am@hmetro.com.my

KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.
KECEWA... Azie ketika menceritakan pengalaman hitamnya kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.

Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.

Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.

“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.

“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.

“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.

“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.

“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.

Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.

“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.

“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.

“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Bermaduanaksendiri/Article

Buat baik dapat sakit

Buat baik dapat sakit

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

SAKIT...Muhammad Shahfaly yang terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri selepas dibelasah sekumpulan pelajar.
SAKIT...Muhammad Shahfaly yang terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri selepas dibelasah sekumpulan pelajar.
CEDERA...Anoar menunjukkan kecederaan dialami Muhammad Shahfaly.
CEDERA...Anoar menunjukkan kecederaan dialami Muhammad Shahfaly.

KANGAR: Sekumpulan 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi di sini, dikatakan bertindak ala gengster apabila dengan selamba menarik keluar seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sekolah berkenaan dari kelas sebelum membelasahnya walaupun ketika itu guru sedang mengajar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, Muhamad Shahfaly Anoar, 15, mendakwa terkehel bahu kiri dan patah lengan kiri serta cedera di kening kiri akibat dibelasah teruk tiga daripada 10 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima itu.

Difahamkan, sebaik menarik keluar Muhamad Shahfaly dari kelasnya di tingkat satu, dia dibawa ke tingkat bawah bangunan sekolah sebelum dibelasah.

Muhamad Shahfaly berkata, seorang daripada pelajar terbabit memasuki kelasnya di tingkat satu ketika guru sedang mengajar lalu mengheretnya keluar dengan memegang tengkuk dan dibawa turun ke tingkat bawah.

“Di sana, saya lihat tidak kurang 10 pelajar sedang menunggu dan tiga daripada mereka, termasuk suspek yang memasuki kelas, memukul hingga pitam.

Bagaimanapun, mereka melarikan diri selepas mendengar jeritan seorang guru yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Beberapa pelajar lain kemudian memapah saya masuk ke kelas dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Bagaimanapun, guru lelaki yang sedang mengajar subjek Kemahiran Hidup ketika itu tidak menanyakan keadaan saya.

“Guru yang menyuraikan kejadian itu juga langsung tidak menjenguk saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat di sini, semalam.

Muhamad Shahfaly yang juga ketua kelas tidak menolak kemungkinan serangan itu bermotif dendam kerana dia pernah mencatatkan kesalahan dilakukan pelajar terbabit yang sering tidak memasuki kelas ketika sesi pembelajaran.

Bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, berkata, dia terkejut apabila melihat Muhamad Shahfaly dipapah beberapa rakannya keluar dari perkarangan sekolah ketika datang menjemputnya kira-kira jam 12.15 tengah hari, Jumaat lalu.

“Saya geram apabila melihat kesan tapak kasut di belakang baju anak sulung saya itu dipercayai akibat ditendang pelajar yang membelasahnya.

“Lebih memilukan, semua guru seperti tidak peduli kejadian anak saya dibelasah dan seolah-olah terkejut apabila dimaklumkan perkara itu,” katanya.

Anoar mendakwa guru sekolah berkenaan gagal memberi rawatan kecemasan kepada anaknya walaupun dia dipaksa keluar oleh suspek dari dalam kelas ketika guru sedang mengajar.

“Saya membawa Muhamad Shahfaly ke Hospital Tunku Fauziah (HTF) di sini, untuk rawatan dan doktor mengesahkan tulang bahunya terkehel, lengan kiri patah serta terpaksa menerima jahitan di kening kiri,” katanya.

Berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat di sini, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat lalu.

Menurutnya, Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit 11 hari dan dibenarkan keluar dari HTF petang kelmarin, dan kemungkinan besar akan dipindahkan ke sekolah lain demi keselamatan serta mengelak terus dipukul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis sudah menahan empat pelajar sekolah berkenaan di rumah masing-masing, malam kelmarin.

“Keempat-empat pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan empat pelajar ditahan di Balai Polis Kangar untuk menunggu perintah reman.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis (JPP) ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu selain menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, dua pegawai JPP sudah melawat Muhamad Shahfaly di HTF dan akan berjumpa dengan pemangku pengetua SMK Syed Safi hari ini berhubung kejadian itu.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat tidak dapat dihubungi kerana menghadiri mesyuarat di luar negeri ini.


http://www.hmetro.com.my/articles/Buatbaikdapatsakit/Article

Pertempuran makin sengit

TRIPOLI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam melancarkan serangan balas untuk menawan semula bandar yang dikuasai tentera pemberontak.

Pada masa sama, bunyi tembakan senjata automatik kedengaran di sekitar Tripoli.


Semangat tentera Gaddafi dalam menghadapi kebangkitan meluas dan keupayaan mereka untuk melancarkan serangan balas meningkatkan kebimbangan Libya akan berdepan dengan perang saudara yang berpanjangan.

Ketika serangan dilancarkan dan pertempuran sengit berlaku, seorang jurucakap kerajaan mendakwa rejim itu mencapai beberapa kemenangan.


Tembak menembak meletus di Tripoli sejurus selepas subuh, diekori dengan bunyi siren ambulans, sorakan pro-Gaddafi dan hon kereta yang membingitkan.


“Ia adalah perayaan kerana tentera kerajaan berjaya menguasai seluruh kawasan menuju ke Benghazi dan dalam proses untuk mengambil alih semula daerah itu,” kata Mussa Ibrahim, merujuk kepada bandar kedua terbesar negara itu yang dikuasai pemberontak.

“Semuanya selamat. Tripoli 100 peratus di bawah kawalan kami,” katanya.


Bagaimanapun, dia menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar melihat perayaan itu.

Sementara itu, di Ras Lanuf, pemberontak mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah helikopter tentera Gaddafi. Tiga anggota pemberontak berkata, mereka melihat helikopter itu jatuh ke laut.


Televisyen Libya pula melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula bandar penting tepi laut, Zawiyah dan Misrata yang terletak bersebelahan barat dan timur Tripoli. Bagaimanapun, seorang penduduk bertegas menyatakan, Misrata masih dikuasai pemberontak sementara seorang anggota kumpulan penentang berkata, mereka berjaya mematahkan serangan baru tentera Gaddafi di Zawiyah. - Reuters

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pertempuranmakinsengit/Article/index_html

Gaji minimum pembantu rumah Indonesia di Arab Saudi RM4,800

RIYADH: Bagi melindungi kebajikan warga Indonesia di Arab Saudi, Jakarta mengenakan syarat lebih ketat bagi mana-mana agensi mahu mendapatkan perkhidmatan rakyat negara itu.

Jurucakap Kedutaan Indonesia di Arab Saudi, Wishnu Krisnamurthi, berkata walaupun kerajaannya masih membenarkan pembantu rumah pergi bekerja di negara itu, jumlahnya merosot dengan ketara.


Antara langkah diambil adalah mewajibkan majikan menyatakan tugas yang mesti dilaksanakan dan jumlah ahli keluarga mereka.

Selain itu, gambar dan butiran peribadi majikan turut diambil untuk memudahkan sebarang tindakan jika perlu.


Pembantu rumah pula mesti diberi gaji minimum RM4,800, manakala pemandu RM6,500 sebulan. - SG


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GajiminimumpembanturumahIndonesiadiArabSaudiRM4_800/Article/index_html

Bekas penari dedah kehidupan mewah anak Gaddafi


DAFINKA MIRCHEVA, (atas kanan) SAADI GADDAFI


LONDON - Seorang bekas penari kelab malam, Dafinka Mircheva berusia 21 tahun dan berketurunan Bulgaria mendedakan kehidupan mewah Saadi yang merupakan anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, lapor akhbar Mailonline kelmarin.

Menurutnya, Saadi membayar sebanyak £500,000 (RM2.46 juta) untuk kumpulan Pussycat Dolls membuat persembahan pada hari ulang tahun kelahiran anak Gaddafi itu yang turut dihadirinya.

Gadis tersebut berkata, anak Gaddafi yang berusia 31 tahun itu juga menawarkan kokain dan memukul pembantu-pembantunya.

Dafinka menyatakan, pembantu-pembantu Gaddafi memberitahunya bahawa Saadi membelanjakan £170 juta (RM837.46 juta) setahun untuk mengembara dengan jet peribadi, menginap di hotel lima bintang, membeli kereta sport, mengupah penari tiang, membeli barang kemas dan pakaian.

"Dia selalu mempunyai beg hitam yang mengandungi ribuan wang tunai.

"Jika dia (Saadi) mengembara, dia akan menghubungi pihak kedutaan dan kakitangan kedutaan itu akan menghantar lebih banyak wang ke hotelnya," kata gadis tersebut.

Menurut Dafinka, dia menjalin hubungan dengan Saadi selepas mereka bertemu pada 2004.

Anak Gaddafi itu memberikannya hadiah.

Dia yang sudah beristeri masih mahu melamar Dafinka.

Saadi merupakan bekas pemain bola sepak profesional di liga Itali.

Selepas berkenalan, Saadi memberikannya barang kemas Bulgari bernilai £20,000 (RM98,525), subang, sebentuk cincin dan rantai leher dihiasi berlian.

Pada 2005, dia bersetuju untuk keluar dengan anak Gaddafi itu.

Mereka menonton filem Four Brothers di sebuah pawagam di Champs-Elysees, Perancis.

Dafinka berkata, semasa mereka berkenalan, dia berbual dengan anak Gaddafi itu di dalam sebuah bilik peribadi tetapi tidak pernah diminta menanggalkan pakaian semasa dirinya menjadi penari di sebuah kelab malam.

Menurutnya, semasa dia menemuinya pada tahun lalu, Saadi kelihatan enggan berbual mesra.

Dafinka berkata, Saadi membelinya pakaian berharga £25,000 (RM123,156).

Anak Gaddafi itu dikatakan mempunyai sebuah kereta Bugatti Veyron bernilai £1 juta (RM4.92 juta).

"Kali terakhir saya melihatnya ialah pada November lalu. Dengan apa yang berlaku di Libya, kemungkinan saya tidak akan melihatnya lagi," katanya.

Libya kini dilanda pergolakan apabila sejumlah rakyat menentang pemerintahan Gaddafi dan mereka menuntutnya meletakkan jawatan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Lapan askar Britain ditahan di Libya

LONDON - Lapan anggota pasukan perkhidmatan rahsia Britain (SAS) ditangkap oleh kumpulan penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di Libya.

Seorang jurucakap penentang menyatakan, beberapa askar Britain dan seorang diplomat ditahan selepas mereka mendarat di kawasan yang dikuasai para penentang Gaddafi.

Menurut sumber-sumber yang memberitahu stesen televisyen Sky News, askar-askar dan diplomat tersebut ditahan di bandar kedua terbesar di Libya, Benghazi.

Campur tangan anggota-anggota SAS dalam pertempuran di Libya yang berlaku sejak bulan lalu itu mencetuskan kemarahan para penentang Gaddafi.

Para penentang Gaddafi yang terdiri daripada orang awam itu dan askar-askar yang berpaling dadah bimbang sebarang campur tangan kuasa asing dalam pertempuran tersebut.

Kebimbangan itu berdasarkan kepada sikap Gaddafi yang mungkin menjadikan campur tangan negara luar bagi meningkatkan sokongan orang awam terhadap rejimnya.

Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun memang terkenal dengan tindakannya yang suka mengkritik negara-negara Barat.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Britain, Liam Fox mengesahkan bahawa satu pasukan diplomatik kecil dari negaranya berada di Libya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut menjelaskan bahawa kehadiran pasukan itu adalah untuk berbincang dengan pihak penentang. - Agensi'

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Tunjuk perasaan bantah bajet di Hong Kong


SEORANG anggota polis terbaring selepas dia bergelut dengan sekumpulan penunjuk perasaan di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Beberapa pergelutan kecil berlaku di antara anggota-anggota polis dan penunjuk perasaan semalam yang membantah rancangan bajet pemerintah di pulau itu.

Seorang jurugambar agensi berita AFP berkata, sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan dan seorang anggota polis cedera dalam pergelutan kecil di antara dua pihak itu.

Tunjuk perasaan berlaku sehari selepas pengumuman bajet oleh Setiausaha Kewangan, John Tsang yang didakwa tidak memenuhi kehendak orang awam seperti tiada skim keselamatan persaraan, perumahan awam dan perlindungan alam sekitar.

Tsang dilaporkan enggan memperuntukkan sejumlah wang untuk membantu rakyat walaupun bajet itu mempunyai lebihan sebanyak AS$9 bilion (RM27.25 bilion) pada 2010.

Sambil melaungkan slogan dan mengibarkan sepanduk, ahli-ahli politik dan rakyat berarak ke ibu pejabat pemerintah.

Tunjuk perasaan itu dihadiri oleh 10,000 orang.

Mereka mendakwa pemerintah gagal menyelesaikan banyak masalah termasuk harga hartanah yang tinggi dan jurang kekayaan yang luas.

Penganjur tunjuk perasaan itu berkata, penunjuk perasaan telah mengambil inspirasi dari gerakan kebangkitan rakyat dari negara lain di seluruh dunia untuk berhimpun.

"Rakyat Hong Kong berada dalam keadaan sangat tidak puas hati, kami mahu pemerintah yang lebih baik," kata seorang anggota perwakilan rakyat, Tanya Chan.

Hong Kong diberikan kuasa separuh autonomi oleh pemerintah komunis China. - AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Misteri ketua polis paling berani di Mexico




BANDAR RAYA MEXICO - Seorang pelajar sebuah kolej, Marisol Valles Garcia (gambar) yang berusia 20 tahun dikatakan telah meninggalkan pekerjaannya sebagai ketua polis di bandar Praxedis G Guerrero selepas empat bulan memegang jawatan itu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Garcia turut bertindak meninggalkan bandar itu bersama keluarganya ke Amerika Syarikat (AS) setelah menerima ancaman bunuh.

Bandar Praxedis G Guerrero memang dikenali sebagai lokasi gengster-gengster dadah.

Garcia menjadi ketua polis di bandar itu yang mempunyai 10,000 penduduk selepas dua calon lain menolak untuk mengisi jawatan tersebut. Dua calon itu menolak jawatan tersebut selepas datuk bandar dan anaknya mati dibunuh oleh gengstar dadah.

Dia dikenali sebagai wanita paling berani di Mexico dan dilantik menjadi ketua polis pada Oktober lalu.

Namun, seorang jurucakap bandar itu, Andres Morales berkata, Garcia akan menyambung kembali tugasnya pada hari ini selepas dia menyelesaikan masalah keluarganya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Saintis temui bakteria pada tahi bintang


GAMBAR menunjukkan bakteria yang ditemui pada tahi bintang (kanan) sama dengan bakteria Titanospirillum velox (kiri) yang ditemui di bumi.


WASHINGTON - Seorang saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendakwa dia menemui sejenis bakteria pada tahi bintang yang terhempas ke bumi, lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis NASA itu, Dr. Richard Hoover berkata, dia telah mengembara mengelilingi dunia seperti di Antartika, Siberia dan Alaska selama 10 tahun untuk mengkaji kewujudan bakteria tersebut.

Menurutnya, bakteria itu dikenali sebagai CI1 carbonaceous chondrites.

Saintis itu menyatakan hanya terdapat sembilan jenis sahaja bakteria itu di bumi.

Dr. Hoover menyatakan ia kelihatan serupa dengan bakteria yang terdapat di bumi sepertiTitanospirillum velox.

Dia telah mengumpulkan setiap batu dari tahi bintang yang terhempas, pecahkan batu-batu tersebut dan membuat imbasan untuk mencari fosil yang masih tertinggal.

Saintis itu menyatakan kemungkinan setiap organisma yang berada di alam semesta adalah akibat daripada tahi bintang yang jatuh di bumi.

Hasil penemuannya itu diterbitkan dalam Journal of Cosmology edisi Mac.

- Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Safee cipta aura di Karawang


ARDAN ARAS (depan, kanan) mengakui jaringan Safee (belakang, dua dari kiri) kelmarin telah melonjakkan semangat para pemain pasukan Pelita Jaya.


HANYA selepas beraksi satu perlawanan bersama Pelita Jaya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali sudah mencipta satu aura baru di kalangan penyokong kelab itu yang rata-ratanya penduduk di Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

Suasana Stadium Singaperbangsa berkapasiti 12,000 tempat duduk buat kali pertamanya mencatat kehadiran tertinggi musim ini iaitu 6,000 penonton pada aksi bertemu Sriwijaya FC kelmarin yang berkesudahan Pelita Jaya menang 1-0 menerusi jaringan Safee.

Sebelum ini suasana agak hambar memandangkan Pelita Jaya menduduki tangga tercorot iaitu ke-15 dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL) setelah berakhir 14 perlawanan pusingan pertama.

Namun selepas hanya satu perlawanan pusingan kedua berlangsung, Pelita Jaya kini sudah melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-13 mengatasi Persela dan Bontang FC.

"Safee memang bagus. Kehadirannya ke kelab ini cukup membantu. Harap Safee dapat terus kekalkan prestasi baik seperti ini.

"Ternyata selepas Safee menjaringkan gol tersebut, ia telah meningkatkan semangat kami sepasukan.

"Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda, harap kehadiran Safee dapat menambah keyakinan mereka bagi mengharungi baki saingan liga," kata kapten Pelita Jaya, Ardan Aras ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan kelmarin.

Ardan yang beraksi di posisi pertahanan turut memuji kekebalan dua pertahanan import yang baru diambil minggu lalu iaitu Christopher Ross Doig dan Troy Hearfied.

"Selain Safee, kehadiran dua tonggak baru di bahagian pertahanan ini juga sesuatu yang penting kerana mereka berjaya menyekat jentera serangan Sriwijaya FC dengan cukup baik," ujar Ardan.

Sementara itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim ternyata lega kerana bekas penyerang Selangor itu berjaya melepasi ujian sulungnya namun mengingatkan Safee supaya tidak cepat leka.

"Pada perlawanan pertama ini, Safee sepatutnya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol. Apa pun saya harap Safee tidak hanyut dengan pujian.

"Dia perlu fokus perlawanan akan datang kerana saingan musim ini masih berbaki 13 perlawanan," kata Zakaria.

Perlawanan ke-16 bagi Pelita Jaya pada Sabtu ini ialah berdepan Persib Bandung di gelanggang sendiri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm

Risiko penghidap diabetes mati awal


PESAKIT diabetes terdedah kepada kehadiran penyakit lain dalam tubuh.


KENCING manis atau diabetes dipercayai meningkatkan risiko kematian yang dikaitkan dengan saluran darah seperti kanser payu dara dan radang paru-paru.

Kes yang pernah dirujuk kepada sebuah pusat kesihatan di New York membuktikan penghidap diabetes yang berusia 50 tahun meninggal dunia enam tahun lebih awal berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu.

Kajian yang dijalankan untuk menyukat tahap diabetes itu mendapati penyakit tersebut turut meningkatkan risiko kematian pramatang yang disebabkan kegagalan fungsi sistem saluran darah.

Ujar seorang penyelidik dari Universiti Cambridge di Britain, Dr. John Danesh, diabetes semakin mengancam kesihatan masyarakat dunia.

"Ketika kebanyakan orang beranggapan masalah jantung menjadi punca utama kematian, diabetes pula mengejutkan kita apabila muncul sebagai pemangkin utama kepada penyakit lain di dalam tubuh manusia," katanya.

Tambahnya, perokok jangka panjang juga menjadi penyebab pengurangan jangka hayat manusia selama 10 tahun berbanding individu yang tidak merokok.

Diabetes tersenarai sebagai tujuh penyakit utama penyebab kematian di Amerika dengan 26 juta rakyatnya menghidap penyakit itu.

Diabetes terjadi apabila kadar insulin dalam badan dihasilkan terlalu sedikit atau langsung tidak boleh digunakan untuk menghasilkan gula dalam darah.

Selain itu, diabetes dikaitkan dengan obesiti melampau yang menyebabkan risikonya bertambah dua kali ganda untuk pesakit diserang lemah jantung atau strok.

Namun, mereka juga mendapati 25 peratus pesakit diabetes lebih berisiko menderita kanser dan maut akibat kehadiran pelbagai penyakit lain termasuk jangkitan, komplikasi jantung dan buah pinggang selain kemalangan.

Dalam kes jangkitan penyakit berbahaya, diabetes melemahkan sistem imunisasi badan pesakit sekali gus memudahkan peluang virus menyerang sistem tubuh.

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan kegagalan sistem saraf pada kaki seterusnya mendorong seseorang itu terlibat dalam kemalangan.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Lelaki kena jel 5 tahun


RUSLINA (kanan) bersama dua anaknya termanggu di jendela semalam mengenangkan nasib mereka yang tidak mempunyai rumah selepas dibakar suaminya. Mereka kini tinggal di rumah seorang saudara di Besut.


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang bertindak membakar rumah sendiri selepas naik berang ketika bertengkar dengan isterinya dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh Maliki Mohamed @ Lee See Tee, 39, (gambar) yang hanya mampu berjalan terhenjut-henjut ke kandang mahkamah akibat melecur pada kaki kanannya membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Azman menetapkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Februari lalu.

Maliki didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana membakar rumahnya menggunakan mancis sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000 di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu pada 26 Februari kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tuan Ibrahim Tuan Man: Cadangan baikkan pilihan raya


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PRK Kerdau dan Merlimau baru selesai, dan keputusan baru diumumkan. Kesemua parti bertanding membuat pelbagai analisa dan kajian, kegagalan dan kejayaan yang akan menghasilkan pelbagai pandangan dan komentar.

Lebih menarik golongan yang membuat analisa dari jarak jauh berdasarkan angka dan keputusan, tanpa bermandi peluh dalam merangka pendekatan menghadapinya.

Tentulah penyokong yang fanatik akan rasa kecewa; namun pemain yang bertungkus lumus tentu lebih kecewa.

Tulisan ini adalah hasil pengalaman diamanahkan sebagai Pengarah PRK Kerdau berhadapan dengan pelbagai kekalutan menghadapi kelemahan sistem pengurusan PRK dan kelemahan jentera dalaman parti.

Soal dalaman parti adalah urusan dalaman yang akan diperbaiki. Tulisan ini bagi mengatasi beberapa kelemahan dalam sistem pengurusan Pilihanraya.

Cadangan penambahbaikan.

1. Pegawai Pengurus Pilihanraya: Biasanya Pegawai Pengurus (PP) Pilihan Raya diambil di kalangan Pegawai Daerah sesuatu kawasan PR. Keadaan ini sebenarnya telah meletakkan pegawai tersebut dalam keadaan yang serba salah bagi mengambil tindakan terhadap parti yang memerintah, kerana beliau terpaksa membuat teguran kepada MB, atau Menteri yang dalam waktu yang sama adah bosnya. Keadaan serba salah ini menyebabkan sebarang pelanggaran peraturan PR gagal diatasi secara tegas oleh PP.

Dicadangkan PP hendaklah dilantik dari pihak luar dari negeri yang diadakan Pilhanraya atau pihak yang berkecuali samada NGO atau pegawai suruhanjaya yang bebas, contohnya dari Suhakam. Bagi PRK pula Pegawai Pengurus mestilah di kalangan SPR Pusat atau Badan Bebas. Keadaan ini akan lebih memberi keyakinan kepada PP untuk bertindak bilamana berlaku pelanggaran peraturan seperi penggunaan kemudahan awam, jentera kerajaan dan sebagainya.

2. Kehadiran perayu undi di sesuatu kawasan peti undi dengan sorakan, kata-kata kesat dan pergaduhan menyebabkan pengundi yang keluar mengundi berada dalam keadaan takut, tertekan dan menyampah. Keadaan ini perlu diatasi segera, kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan cabar mencabar di kalangan parti yang bertanding. Ianya lebih parah, bilamana yang mengapi-apikan itu adalah pimpinan parti yang bertanding. Soalnya apakah rayuan begini mampu mengubah pendirian pengundi?. Atau hanya menakutkan pengundi untuk membuang undi.

Dicadangkan semua parti tidak lagi dibenarkan menyediakan pondok panas (peraturan ini telah pun ada, hanya gagal dikuatkuasakan), dan penyokong parti dilarang berkumpul di laluan masuk mengundi. Pihak polis mesti digunakan bagi memastikan tiada perayu undi yang dibenarkan berkumpul. Barung SPR hendaklah berada di kawasan luar tempat mengundi bagi kemudahan pengundi membuat semakan.

3. SPR mestilah menguatkuasakan larangan peristiharan pelbagai projek, kelulusan pelbagai bentuk pinjaman, pemberian kepada pengundi dilakukan selepas hari penamaan calon. Sebarang bentuk pemberian, peristiharan peruntukan, janji-janji dan sebagainya hanya dibolehkan sebelum penamaan calon sahaja. Kesalahan ini mestilah dikuatkuasakan secara berkesan oleh SPR, untuk lebih berkesan kesalahan ini mestilah boleh membatalkan penyertaan mana-mana calon yang mewakili parti berkenaan. Ianya hendaklah dimasukkan sebagai satu kesalahan Akta Pilihanraya. Bukan hanya calon dan wakil calon sahaja.

4. Pemantau SPR mestilah mampu membuat kawalan terhadap semua kawasan yang diselia dalam jarak masa yang singkat. Oleh kerana kawasan Kerdau (sebagai contoh) mempunyai keluasan perjalanan yang sangat jauh, maka dicadangkan Pemantau SPR mestilah ditambah. Sebagai contoh di DUN Kerdau ada 3 unit Pemantau, sedangkan keluasan dan corak jalanraya yang jauh, menyebabkan bilamana ada kes, Pemantau terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke sesuatu lokasi.

5. Larangan berkempen sehingga jam 12 malam hendaklah dihapuskan. Larangan ini adalah tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan dalam perkembangan media baru yang pelbagai bentuk. Bahkan ianya hampir tiada makna kerana televisyen dan radio terus berkempen sehingga waktu pengundian berjalan. SPR dilihat lemah bilamana gagal menguatkuasakan peraturan yang ada.

Sekadar beberapa cadangan awal, untuk penelitian ke arah demokrasi yang lebih adil.
-----------------------

Penulis adalah Naib Presiden PAS yang dilantik PAS menjadi Pengarah Pilihan Raya Dun Kerdau.


http://harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31248:tuan-ibrahim-tuan-man-cadangan-baikkan-pilihan-raya&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

PRK Kerdau: BN kuat atau PAS yang lemah?


Tuan Ibrahim Tuan Man

Keputusan PRK DUN Kerdau telahpun diketahui, dan media telah melaporkan bagaimana BN meraikan kemenangan tersebut dengan penuh gaya. PAS merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN yang telah berjaya.

Kini beliau menggalas amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah; semoga dengan kuasa yang ada beliau mampu melaksanakan amanah ini. Rakyat akan menilai hal ini dan peranannya yang tentunya berbeza dengan wakil rakyat yang bukan dari aliran agama.

Kekalahan PAS dalam PRK Kerdau sememangnya telah dijangka, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kerusi yang telah dimenangi BN bilamana jentera kerajaan sepenuhnya diturunkan bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri PM.

Hakikat ini dapat dilihat bilamana PM dan Isteri turut sama berkempen dengan peristiharan jutaan ringgit bakal diturunkan bagi kawasan DUN Kerdau.

Analisa Keputusan


Secara asasnya ada sesuatu yang agak menarik dalam keputusan PRK ini, bilamana undi PAS secara keseluruhannya merosot sebanyak 184 undi atau -7.3%, dan undi BN meningkat sebanyak 925 undi. Atau +22.4% Peningkatan undi BN hasil dari peningkatan peratus keluar mengundi sebanyak 3%.

PAS mendapat peningkatan undi di semua kawasan Felda, walaupun mereka dijanjikan dengan pelbagai wang MPOB, dan SES berjumlah RM13,000 dan RM4,000 seorang. Keadaan ini membayangkan PAS mempunyai masa depan yang agak baik di kawasan Felda, yang dianggap lubuk Umno.

Peningkatan undi di Felda Jengka 22 sebanyak 28.2%, di Jengka 23 meningkat sebanyak 8.0% dan di Jengka 25 pula meningkat 4.9%. Kejayaan ini boleh dianggap kemenangan bagi perjuangan Anak yang mula diterima oleh masyarakat Felda, walaupun sebahagian mereka bersama anak dalam membuat tuntutan tetapi mempunyai pandangan politik yang berbeza.

Hakikat ini dapat dilihat dari kehadiran ratusan pemuda khususnya generasi kedua dalam program anjuran Anak dan penyertaan mereka dalam Anak.

Penghargaan juga harus diberi kepada PKR yang menumpukan gerakerja mereka di kawasan Felda bersama dengan jentera PAS dari Kelantan, Kedah dan Pahang.

Di Kawasan Felcra Rumpun Makmur sokongan kepada PAS merosot sebanyak -4.2%. Hal ini berkemungkinan dari tumpuan jentera Felca seluruh negara dengan pelbagai ugutan kepada peserta Felcra.

Walau bagaimana pun PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba. Kelemahan yang ketara di Unit Peti Undi berpunca dari kelemahan jentera di cawagan yang gagal berfungsi dengan baik, sehingga ada cawangan yang tidak bergerak dan terpaksa dibantu oleh tenaga luar.

Kelemahan ini akan dapat diatasi dalam PRK, namum bilamana menghadapi PRU, suasananya tentu berbeza bila tenaga tempatan adalah penggerak utama. Diharap dengan PRK ini beberapa kelemahan dapat dikenalpasti dan di ambil tindakan segera, bagi menghadapi PRU akan datang.

Kini Kerdau mulai sunyi sepi, dan jalan-jalan yang diturap separuh siap, terus menanti curahan tar bagi menyiapkannya; Namur apakah ianya akan terus kekal begini. Rumah-rumah buruk, kedai yang terbiar, projek perumahan yang terbengkalai dan sekolah agama yang tidak mendapat perhatian dan pelbagai gambaran tertinggalnya Kerdau dari pembangunan.

Apakah bandar Kerdau akan terus menjadi “bandar Kerbau”. Sama-sama kita tunggu.

---------------------------------------------------

Penulis adalah Naib Presiden PAS yang dilantik menjadi Pengarah pilihan kecil Kerdau.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31249:prk-kerdau-bn-kuat-atau-pas-yang-lemah&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Rumah: Umno perlu ambil perhatian titah Agong

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai kemudahan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan harus diambil serius oleh Umno BN.

Ini kerana katanya, berlaku ketidakadilan dalam pemberian rumah-rumah berkenaan apabila Umno BN memilih kroni mereka untuk menerima rumah kos rendah itu.

"Bagi saya sebagai golongan muda, projek ini hendaklah sampai kepada sasaran. Apa yang berlaku apabila kita (Pakatan Rakyat) kemuka permohonan rumah ini tidak dilayan sebaliknya mereka lebih memilih kumpulan-kumpulan daripada BN.

"Ketua Umno bahagian memainkan peranan besar dalam memastikan siapa yang patut dapat rumah ini," kata beliau.

Tambahnya, semua pihak tidak kira daripada mana-mana parti berhak diberi peluang untuk membantu rakyat yang sudah.

"Semua orang tidak kira BN ke, Pakatan Rakyat ke layak dan mempunyai akses untuk membantu golongan susah," katanya.

Tuanku Mizan semasa semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini menyentuh mengenai Rancangan Malaysia Kesepuluh iaitu lebih 30,000 unit rumah di bawah program perumahan rakyat akan dibina untuk disewa dan dijual kepada golongan yang memerlukan.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31247:rumah-umno-perlu-ambil-perhatian-titah-agong&catid=1:utama&Itemid=50

Pemuda PAS atur pertemuan Nik Aziz-Harussani

Harakahdaily

IPOH, 7 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) berhasrat mengatur pertemuan tertutup antara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalannya, Mohd Munir Ali berkata, pertemuan itu untuk membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam yang menjadi perbualan hangat masakini.

Beliau menyatakan demikian di dalam surat yang dihantar kepada Harussani, hari ini.

Menurutnya, pihak Pemuda PAS negeri merasakan sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Ini, katanya ekoran acap kali pertembungan terbuka antara Mufti Perak itu dengan Nik Abdul Aziz dipaparkan melalui media, terutama dalam melibatkan isu-isu agama.

Tambahnya, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

“Kami juga yakin Datuk Nik Abdul Aziz akan bersedia menerima jemputan bagi tujuan tersebut supaya tiada lagi persengkataan terbuka dan masing-masing akan terus dapat memberikan tumpuan pada agenda memartabatkan Islam di dalam ruang lingkup tugas yang diamanahkan,” ujarnya di dalam surat itu.

Sehubungan, ujarnya DPPN Pk memohon agar mufti itu dapat memberikan tarikh-tarikh yang sesuai dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pihak Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagi tujuan tersebut.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31241:pemuda-pas-atur-pertemuan-nik-aziz-harussani&catid=1:utama&Itemid=50

Pesta rasuah di Kerdau dan Merlimau


Wan Nik Wan Yussof

Salah guna kuasa/sogokan/rasuah/pancing/beli undi dan penyelewengan pihak BN mengiringi sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau. Kes-kes berikut telah dicatatkan berlaku menjelang penamaan calon sehingga kempen 2 Mac 2011:

1. Pada Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga di Sekolah Kebangsaan Chenderah di Kampung Chenderah di Merlimau, Rabu (2 Mac) - Mohd Ali, Ketua Menteri Melaka menyogok 70 basikal kepada murid sekolah SK Chenderah (MstarOnline 3 Mac) dengan taktik memancing undi ibu bapa pelajar terbabit.

2. Muhyiddin dalam lawatannya ke DUN Merlimau (1 Mac), memancing undi dengan menjanjikan peruntukan geran pembinaan sekolah agama rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjumlah RM1.5 juta (Utusan online 3 Mac).

3. Pihak Felda turut membantu BN di PRK Kerdau membeli undi melalui pengumuman bayaran ses di bawah Skim Insentif Tanam Semula yang diberi kepada 433 peneroka dengan bayaran wang insentif RM1,000 sehektar atau bersamaan RM4,000 seorang yang kesemuanya bernilai RM1.8 juta. Majlis membeli undi itu dijadualkan pada Jumaat ini (4 Mac), dua hari menjelang pengundian (Umno online 2 Mac; Utusan online 3 Mac).

4. Umpan untuk beli undi ibu bapa pelajar telah dilakukann oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan memberi sumbangan kepada seramai 34 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk 29 pelajar dari Sekolah Menengah Dang Anum. Majlis mengumpan itu diadakan di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Jamuan Rakyat DUN Merlimau (dlm. Sinar Haroiana online - http://www.sinarharian.com.my/merlimau/).

5. PAS menerusi Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki telah mengadu secara rasmi kepada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melibatkan penggunaan jentera kerajaan/premis awam pihak BN di Kerdau sebagai tindakan salah guna kuasa dan penggunaan melampau premis Sekolah Rendah Batu Sawar, Padang Awam Teluk Sentang dan Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23 serta Balai Raya Kuala Tekal. Di situ telah didirikan khemah dan menaikkan bendera parti serta aktriviti kempen.

6. Tan Sri Muhyiddin telah berjanji bersifat menyogok 300 seramai ibu bapa merupakan pengundi Dun Kerdau sedia meluluskan pembinaan blok tambahan untuk bengkel kemahiran hidup dan makmal bernilai RM5 juta di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan turut mempengaruhi pengundi sebagai pancing undi dengan sanggup dimasukkan cadangan dalam projek Rancangan Malaysia ke-10. Di samping turut berjanji untuk menyiapkan 18 sekolah di parlimen Kuala Krau yang akan diberikan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM1.9 juta (Malaysiakini 1 Mac).

7. Berlaku pengedaran kotak barangan kepada pengundi Cina di Kerdau dan dilihat menyogok dan merasuah pengundi apabila peenerima diarahkan memasang pelekat BN pada rumah masing-masing dan dibuktikan lagi (sogokan dari BN) kerana pada kotak itu ada gambar wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil. Setiap kotak mengandungi nasi, Milo, biskut, susu tepung dan sardin dalam tin (Malaysiakini 28 Februari).

8. Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu nilai sogokan untuk memancing undi berjumlah hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menjelang hari penamaan calon. Pengumuman itu dibuat di dua majlis perjumpaan berasingan di hadapan pengundi di Batu Sawar dan pengundi Cina, India dan Orang Asli di Kampung Baru Kerdau. Sogokan sebanyak RM10 juta itu dalam bentuk sogokan projek mengganti paip bernilai RM9.25 juta, gelanggang serbaguna masyarakat Cina RM400,000, membina kuil Hindu RM100,000, dan Balai Bomba sukarela RM150,000 (Malaysiakini 27 Februari).

9. Kehadiran Mohd Najib dan isterinya Rosmah menaiki helikopter berkempen sebelum penamaan calon di sekitar daerah mengundi Kerdau dan 'kawasan 3+1' – gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur dilihat sebagai salah guna kuasa kerana menggunakan wang kerajaan. Helikopter itu tidak dibiayai oleh Umno Kerdau (Malaysiakini 28 Februari).

10. Masjid as-Sujjah Merlimau (premis awam) juga digunakan sebagai pentas menyampaikan kempen oleh pengkuliah antara waktu maghrib-isyak (pada Isnin, 2 Feb). Antara ucapan pengkuliah yang sempat dicatatkan ialah "Yahudi menguasai ekonomi di Amerika Syarikat kerana ia adalah negara mereka, dan di Malaysia, orang Melayu tidak menguasai ekonomi, tetapi sebaliknya mereka menguasai politik. Jadi, anda mesti menyokong parti yang melindungi dan mempertingkatkan martabat Melayu... Saya berharap rakyat akan membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya supaya martabat kita dapat dipertahankan." Memahami konteks itu, jelas pengkuliah itu adalah berkempen untuk BN atas masjid (Malaysiakini 2 Mac).

11. Tan Sri Muhyidin mengumumkan akan membina sekolah agama rakyat di Taman Muhibah dekat Masjid as-Sujjah Merlimau berjumlah RM1.5 juta di majlis perjumpaan pegawai agama masjid yang dihadiri sama calon BN Roslan (Berita Harian 2 Mac). Pengumuman itu satu sogokan dan mempengaruhi pengundi dari kalangan pegawai masjid seluruh Dun Merlimau.

12. Satu majlis di SMK Dang Anum, Merlimau (premis awam) pada hari Isnin (28 Februari) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengeluarkan kenyataan, berikutan pengumuman kenaikan gaji para guru oleh Tan Sri Muhyidin, lalu beliau meminta 311 orang guru di Merlimau dapat membalasnya dengan mengundi BN (Malaysiakini 2 Mac).

13. Agensi kerajaan Pusat, Biro Tata Negara Negara (BTN) turut menyertai kempen pilihan raya kecil Merlimau dengan mengadakan tiga ceramah setiap hari bermula Ahad (27 Mac) lalu. Misinya ialah memburuk-burukkan DAP yang kononnya ‘menentang Islam dan mengancam orang Melayu’ (Malaysiakini 1 Mac).

14. Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari telah membuat laporan SPRM berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbrian di bawah Mohd Ali Rustam melibatkan projek dan dana Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM13.85 juta. Penyelewengan didakwa berlaku dalam kes pembinaan kompleks MAIM dan penyerahan milik lot PT 83 kepada kontraktor dan penjualan lot 106 dan 106 oleh kontraktor terbabit kepada pihak ketiga serta kelewatan jadual pembinaan kompleks yang tidak diambil sebarang tindakan (Berita Harian 2 Mac). Atas kes ini ada isu amalan kronisme, subhat dan semacam melindungi penyelewengan oleh MAIM dan Mohd Ali selaku Ketua Menteri.

15. Mohd Ali Rustam juga diketahui umum oleh para kontraktor yang menyertai tender projek negeri Melaka, sebagai ketua menteri yang mengamalkan kronisme dan rasuah. Mana-mana kontraktor yang ingin mendapatkan projek dan kelulusan tender perlu mendapat surat akuan daripada runnernya dan perlu berjumpanya terlebih dulu, kemudian membuat beberapa komitmen untuk kepentingannya (Laporan menerusi SMS 3 Mac).

Perkara yang sama turut dilaporkan oleh seorang profesor dari salah sebuah universiti di USA yang membuat kajian berkaitan pembangunan negeri Melaka.

Berdasarkan pendekatan BN yang tidak bermoral, tiada integriti dan mencabar amalan demokrasi di PRK Merlimau-Kerdau, maka by hook or by crook BN akan menang!

Ini kerana, pihak pengundi sedia terperangkap dengan segala janji manis, takut dengan ugutan dan terpukau dengan sogokan berjuta-juta ringgit. Itulah pengundi BN.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31190:pesta-rasuah-di-kerdau-dan-merlimau&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Siri 03: Kerdau bakal terus tersudut


Dr. Dzulkefli Ahmad

Memasukki hari ke-6 berkempen, MB Pahang tentunya menyesal tak sudah-sudah mencabar PAS kononnya ketandusan modal untuk berkempen. Beliau kini semacam terpaksa dikenakan ’rawatannya sendiri’ atau bak pepatah Inggeris “a taste of his own medicine”. Dalam bahasa pasarnya, padan muka dia.

Setelah 53 tahun merdeka, bandar ’cowboy’ Kerdau dalam kawasan Kuala Krau, baru disedari wujud dalam Persekutuan Malaysia ini. Pimpinan Umno/BN sewajarnya malu dan kesal betapa sebuah DUN yang bernama Kerdau bahkan seluruh Kawasan Parlimen Kuala Krau tersudut dan terpinggir dalam arus pembangunan negara. jauh dari kerancakan perkilangan yang menjana pekerjaan dan pendapatan buat pihak berkuasa tempatan. Kini Kerdau diancam nasib yang sama untuk beberapa dekad lagi.

Pelik tetapi benar, bagaimana segala pendedahan pengurusan bobrok Adnan Yaakob, masih boleh dia nafikan mentah-mentah, meskipun yang mengkritik dan mendedahkan kepincangan pengurusan beliau bukanlah akhbar Harakah, Rocket atau Suara Keadilan.

Yang mendedahkan kebobrokan dan kebejatan pengurusan tempang beliau adalah Laporan Ketua Audit Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Amrin Buang. Setiap tahun telah beliau nyatakan bahawa bagaimana pun yang didedahkan, tetap akan berulang segala ketirisan dan kebocoran akibat pelbagai pengkhianatan wang rakyat dalam ’sistem ’penghantaran’ pemerintahan negara ini.

Meskipun ia adalah kesalahan golongan birokrat, ramai yang berdaleh begitu, tetapi kesemua kementerian adalah dipimpin oleh pimpinan orang politik. Tidakkah bagai dek kata pepatah Cina, ”Ikan busuk dari kepalanya?”.

Adnan tidak segan-segan menyatakan negeri Pahang tidak akan bankrap kerana Pahang boleh pinjam dari kerajaan Pusat. Dengan sikap dan mentaliti itulah MB Pahang ini terus-terusan telah meningkatkan hutang dari tahun 2005- RM1.59 bilion, tahun 2006- RM1.72 bilion, tahun 2007- RM1.91 bilion, tahun 2008- RM2.07 bilion dan tahun 2009- RM2.17 bilion.

Meneliti Laporan Ketua Audit Negara akan menyelak pelbagai kebejatan pengurusan pentadbiran beliau sepertimana telah didedahkan oleh Siri 01 dan Siri 02 penulisan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas isu Pembalakan, hasil mahsul yang sepatutnya mengkayakan kerajaan negeri tetapi telah benar-benar menjadi ”Bala” , iaitu Spag’n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [ RM 24 juta ] . Rakyat bakal menganggung serta membayar saman ini, bukan duit Adnan Yaakob!

Begitu juga disamping pembalakan, kebejatan akibat pencerobohan perlombongan, pencerobohan hutan dan sungai (pasir) mengakibatkan kerugian pendapatan dan kemusnahan alam sekitarnya. Bayangkan kalau ia berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat tentunya telah dimuat dimuka depan akhbar perdana BN.

Mungkin rakyat Pahang wajar tahu bahawa Adnan mudah-mudah menepis kritikan bahawa MB Pahang pada tahun 2007 membeli beli plat kereta CCC 9 dengan harga RM48,000. Mungkin ada yangmenyanggah apa sangat kalau dibanding dengan harga sebuah bilik hotel 7 bintang semalam isteri PM yang mencecah lebih RM100,000.

Semua itu telah menjadi mangli kepada segelintir pemimpin tertinggi negara ini, justeru kerana rakyat tidak peduli kerana terus menyokong beliau. Begitu juga apabila Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sebuah ’Armchair Nyatoh Timber Leg’ yang hanya berharga RM990 di pasaran, dibeli dengan harga kontrak RM3,530. Begitu juga perolehan sebuah ’spiral pendant light’ yang berharga maksima di pasaran RM9,200 di beli dengan harga RM38,700.

Kesemua kebejatan yang ditakrifkan sebagai ’tidak memuaskan’ oleh Laporan Audit ini telah menjadi ’mangli dan ’biasa-biasa’ sahaja bagi seorang MB yang tahu bahawa beliau akan di’bail-out’ oleh Kerajaan Pusat akhirnya. Ke begitu?

Malang segala-segala ini akan berulang sehinggalah rakyat akan bangkit untuk menyatakan ”Cukupdah Kebejatan Ini”, sementara golongan muda yang lebih cerdik akan melaungkan ”Enuf is Enuf” seperti mana rakyat di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat lakukan dalam PRU ke-12 lalu.

Sehingga itu berlaku, Presiden Umno dan Menteri Besar Pahang tahu dan ’yakin’ bahawa rakyat dan pengundi Melayu khususnya di Felda akan tetap setia dengan Umno. Justeru itu, mereka mesti digula-gulakan dan didodoikan sampai bila-bila. Mereka mesti kepong dari mendapat maklumat alternatif dari media baru kerana akan berlaku ’tsunami besar’ pada PRU ke-13 andainya ”pencerahan minda dan kemerdekaan jiwa” berlaku.

Andainya golongan peneroka memahami bahawa tidak boleh selama-lamanya menjadi ’Peneroka’, maka akan berlaku ’kebangkitan besar’. Mereka wajar digerakkan dan dikejutkan bahawa kini mereka mesti bergelar ”Pemilik dan Tuan”. Kerajaan perlu kikis dan ubah mindset ini. Sebab itu mereka sentiasa dimangsakan. Dah 50 tahun masih lagi meneroka! Tuan dan pemilik ini perlu disedarkan bagaimana Felda Plantation menjadi sebuah korporat besar sementara mereka masih terperangkap dengan kepompong regim pendapatan RM1,500.

Maklumat akan menerangkan kepada mereka baahwa ada kawan-kawan seangkatan dengan mereka sudah merdeka dan memenangi kes-kes di Mahkamah. Mereka baru sahaja diberitahu ANAK bahawa kewujudan Felda Plantation sebagai entiti korporat menyanggahi dan berlawanan dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelomppok , 1960 (GSA).

Adnan hanya akan berada di ambang bahaya, apabila rakyat dan pengundi di Kerdau dan Pahang celek! Beliau tahu beliau akan menang sekali lagi. Tetapi sampai bila mahu begini?

Selagi itu Adnan masih boleh hidup dalam penafian dan terus berbohong!

----------------------------------
Dr Dzulkefly Ahmad adalah AJK PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31187:siri-03-kerdau-bakal-terus-tersudut-&catid=89:drdzulkifley&Itemid=142

Najib akui PRK tidak cerminkan PRU

Posted by admin on March 7th, 2011

Di bangunan Parlimen hari ini, Perdana Menteri yakin kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK) terbaru semalam menampakkan trend sokongan pengundi terhadap BN semakin meningkat dan bertambah kukuh, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Menyifatkan sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan, Perdana Menteri berkata BN akan terus berusaha mengukuhkan lagi prestasinya dalam melaksanakan janji kepada rakyat.

“Semakin hari kita dapat buktikan, apa yang kita janjikan dapat kita laksanakan. Saya percaya tahap sokongan dapat kita tingkatkan lagi. Apa isu yang ditimbulkan parti pembangkang, tidak diterima oleh rakyat kerana rakyat lebih melihat kepada jaminan masa depan mereka.

“Mereka yakin BN dapat memenuhi harapan dan jangkaan mereka untuk kecapi kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen di sini, Isnin.

Katanya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak lagi membawa impak positif kepada pembangkang, sebaliknya beliau menjadi satu liabiliti kepada pembangkang.

“Saya dengar, Pas pun suruh Anwar jangan muncul di PRK. Ada SMS yang mengatakan suruh dia jangan datang,” katanya.

Ketika menjawab soalan sama ada kejayaan ini petanda baik untuk kerajaan negeri Sarawak mengadakan pilihan raya negerinya, Najib bagaimanapun akui bahawa PRK adalah berbeza dengan pilihan raya umum kerana ia mengambil kira beberapa faktor termasuk isu tempatan.

Najib berkata sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN juga mengalakkan, malah mereka juga spontan dalam menunjukkan kemesraan kepada BN.

KL-Today.com


http://www.kl-today.com/?p=14401

PAS amal Islam sebenar, Umno mengelirukan

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 7 Mac: Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mengakui PAS mengamalkan Islam tulen berbanding Umno yang banyak mengelirukan agama itu menyebabkan parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain tidak berminat mendekati Islam.

PAS, kata beliau banyak mengajar dirinya lebih dekat dengan Islam dan merasai ada kelainan bila mana mengadakan perbincangan atau pertemuan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS lain dengan Umno yang saya kenal. Mereka memperjelaskan kekeliruan sehingga ramai bukan Islam dalam Parti Keadilan Rakyat dapat merasai kelainan berbanding berkawan dengan Umno," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR ketika berucap dalam Karnival Penang Harmoni di Dewan Millenium, di sini malam tadi.

Turut berucap ialah Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Penerangan dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Mohamad Sabu.

Beliau turut memuji langkah PAS memperjelaskan isu penggunaan kalimah Allah sehingga ada yang pergi ke gereja untuk tujuan berkenaan tetapi sebelum ini tidak pernah terjadi demikian.

Natijahnya kata beliau, PAS bukan sahaja dapat merapatkan jurang dengan masyarakat bukan Islam apabila tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS tetapi juga individu bukan Islam tidak bimbang lagi dengan dasar Islam yang didokongi PAS.

"Dulu memang orang bukan Islam takut PAS kerana bimbangkan terlalu ekstrem, rupa-rupanya tidak, Umno pula dianggap parti asabiah kerana terlalu mengagung-agungkan kemelayuannya," kata beliau pada malam terakhir pada program anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri yang berlangsung selama 10 hari itu.

Justeru itu, katanya kebanyakan kepimpinan Umno lebih suka melakukan rasuah, pecah amanah dan tidak mempedulikan penyelewengan untuk melonjakkan nama sendiri bagi memastikan kedudukan terjamin sedangkan PAS terbukti berjaya mempamerkan kejayaan hasil kerjasama dengan bukan Islam dalam PKR dan DAP.

Lagipun, ujarnya Kelantan di bawah pemerintahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri berjaya membawa contoh sebagai sebuah kerajaan yang bersih dan dapat meningkatkan kemajuan.

Ianya, kata beliau tidak seperti mana yang diwar-warkan oleh Umno dan BN kononnya jika memerintah mengikut cara Islam, negeri boleh bankrap dan pembangunan ketinggalan.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31243:pas-amal-islam-sebenar-umno-mengelirukan&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...