Sunday, December 12, 2010

Pasangan 80 tahun temui cinta di Facebook


MOORE dan Brocklesby kini bahagia menjalani hidup sebagai pasangan suami isteri selepas berkenalan di laman sosial Facebook.


WEST YORKSHIRE - Pasangan warga emas, Barbara Moore, 77, dan Laurence Brocklesby, 82, menemui cinta menerusi laman sosial Facebook dan bakal meraikan perayaan Krismas sebagai suami isteri.

Moore dikatakan mula menggunakan komputer selepas suaminya meninggal dunia empat tahun lalu. Bekas jururawat pediatrik itu kemudian tertarik dengan profil Brocklesby yang menduda sejak 16 tahun lalu.

Bermula dengan meminta tip-tip mengenai berkebun daripada Brocklesby, pasangan itu akhirnya berbual dalam talian dan telefon selama beberapa jam setiap hari.

"Kami berbual tentang semua perkara. Sungguh mengagumkan bahawa kami mempunyai banyak persamaan dan lebih terbuka apabila berbual di Internet," kata Moore.

Pasangan itu juga meneliti profil gambar masing-masing di laman Facebook supaya dapat tahu apa yang ingin dijangkakan.

Selepas tiga bulan berkenalan dan mengalami patah pergelangan tangan, Brocklesby akhirnya dapat berjumpa dengan Moore.

"Barbara (Moore) menawarkan diri untuk membawa saya berjumpa doktor kerana saya tidak lagi boleh memandu akibat kecederaan itu.

"Dari situlah segalanya bermula," cerita Brocklesby yang mempunyai empat orang cucu.

Sebelum mengambil keputusan berkahwin, Moore menjemput Brocklesby untuk tinggal di rumahnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Angkara cinta tiga segi


ANGGOTA polis berpangkat koperal dipercayai dirawat di Wad 9 Hospital Slim River, Perak sejak bulan lepas.


KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang anggota polis berpangkat koperal sejak sebulan lalu kini terjawab dan dipercayai angkara isterinya sendiri.

Semuanya terbongkar sejak beberapa hari lalu apabila polis mendapati seorang pesakit tidak dikenali di wad kecemasan Hospital Slim River, Perak rupa-rupanya koperal yang dilaporkan hilang itu.

Mangsa dipercayai ditinggalkan di luar wad kecemasan itu oleh satu pasangan yang menaiki sebuah kereta Proton Iswara Aeroback kira-kira pukul 5 pagi pada 11 November lalu.




Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Abdul Rahim Abdullah (gambar) berkata, ketika ditemui, mangsa yang sebelum ini bertugas di salah sebuah balai polis di Gombak di sini berada dalam keadaan hilang ingatan dipercayai akibat dipukul teruk di kepala.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an turut mengalami kecederaan di kaki disyaki dipukul seorang suspek berusia 27 tahun yang dikatakan kekasih kepada isterinya.

Polis percaya pasangan yang meninggalkan mangsa di hospital berkenaan adalah isteri mangsa dan kekasih wanita itu selepas mereka panik melihat mangsa cedera parah.

“Selepas itu, isteri mangsa membuat laporan polis mendakwa suaminya hilang pada 12 November lalu selepas lelaki itu keluar dari rumah di Rawang.

“Bagaimanapun, polis mengesyaki sepanjang tempoh mangsa hilang, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan suspek lelaki sehingga menyebabkan mangsa cedera parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Beri dia masa, bukan paksaan

KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.

Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.


“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.


“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.


“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.

Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.


“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Beridiamasa_bukanpaksaan/Article

Saya nak berubah, tapi sukar

Saya nak berubah, tapi sukar

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya hanya tahu layan lelaki. Saya tak minta untuk menjual tubuh, tetapi itu saja pekerjaan mampu saya lakukan kerana saya tak bersekolah tinggi,” kata Suzie kepada Harian Metro ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Gombak, di sini, semalam.

Pelayan pelanggan (GRO) berusia 22 tahun itu diselamatkan wartawan Harian Metro Rabu lalu apabila dia yang sarat mengandung sembilan bulan mahu menjual bayinya kepada satu pasangan bukan Islam yang menawarkan bayaran RM22,000.


Bagaimanapun, dia dapat dipujuk wartawan supaya tidak meneruskan niat itu dan bersetuju memasuki Kewaja untuk mendapatkan perlindungan dan bimbingan sebelum melahirkan bayinya.

Suzie berkata, sejak berusia 17 tahun dia sudah terjebak dengan kancah maksiat dan mampu hidup selesa, namun mungkin ada hikmah di sebalik kejadian dia hamil anak luar nikah kerana kini hatinya lebih terbuka untuk mengingati Tuhan dan mendalami Islam.


“Sebenarnya saya nak berubah, tapi kehadiran anak ini mengubah fikiran saya. Bagaimana saya mahu menyara anak ini nanti, jadi pilihan yang ada hanya kembali ke pekerjaan asal sebagai GRO,” katanya.


Ketika ditemui semalam Suzie tidak dapat menggambarkan bagaimana kehidupannya kelak jika anak yang bakal lahir itu mengetahui pekerjaannya.

Katanya, dia tidak mahu terus bergelumang maksiat dan dosa, tetapi tidak tahu bagaimana cara mahu menyara anaknya kerana hanya pekerjaan sebagai GRO mampu memberi pendapatan lumayan.


“Bayangkan dalam seminggu saya mampu mendapat RM3,000 hanya dengan melayan beberapa lelaki. Jika saya mencari pekerjaan lain, saya takut anak ini akan menderita tak cukup makan,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik dari Selayang di sini, tidak tahu bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan kerana sudah selesa hidup mewah dengan bergelumang maksiat.


“Setiap kali melihat wanita bertudung, terdetik hati untuk berubah, tapi sukar mengenangkan pekerjaan saya lakukan ini, malah kebanyakan rakan saya juga GRO dan hidup kami sudah sebati dengan dosa.


“Saya akan cuba menipu anak ini nanti dengan mengatakan saya kerja kilang atau apa-apa saja, asalkan dia tak tahu pekerjaan sebenar saya,” katanya.


Suzie juga berharap ada pihak sudi membantunya keluar dari kancah hina itu. Katanya, di Kewaja dia digalak memperbanyakkan amal ibadat dan mengingati Tuhan memandangkan rasa sakit untuk bersalin diibaratkan seperti bertarung dengan maut.


“Saya lebih tenang di sini, tidak lagi diganggu panggilan daripada 'ibu ayam' yang minta saya melayan pelanggan yang ketandusan kasih sayang itu, malah saya berharap hidup akan lebih bererti apabila anak ini lahir kelak,” katanya. Dia yang masih menyimpan hasrat untuk kembali menjadi GRO masih dipujuk pihak Kewaja supaya tidak mengulangi dosa silamnya selain memberi dorongan agar mencari pekerjaan lebih baik.


Ini berikutan dia malu dan menganggap masyarakat tidak dapat menerimanya lagi walaupun jauh di lubuk hatinya ingin memulakan kehidupan baru bersama bayi yang bakal dilahirkan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sayanakberubah_tapisukar/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...