Friday, September 10, 2010

Peniaga bergelar Datuk sorok Sosilawati

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my
2010/09/09

YATMAH  dan  salah seorang adik Sosilawati, Mohd Hazim Lawiya, 38, menyusun kuih kegemaran Sosilawati di dalam balang sebagai persediaan menyambut anaknya pulang berhari raya di rumahnya, di Kampung Sri Menanti, Batu Pahat, semalam.
YATMAH dan salah seorang adik Sosilawati, Mohd Hazim Lawiya, 38, menyusun kuih kegemaran Sosilawati di dalam balang sebagai persediaan menyambut anaknya pulang berhari raya di rumahnya, di Kampung Sri Menanti, Batu Pahat, semalam.
KUALA LUMPUR: Kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit yang dikatakan mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan, dipercayai berperanan sebagai broker dalam urus niaga tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang itu.

Sumber memberitahu Berita Harian, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya.
Difahamkan, dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun beliau menafikan semua dakwaan itu.

“Maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan,”
katanya sambil menyatakan kemungkinan Sosilawati dan tiga individu itu menjadi mangsa sindiket terbabit.

Difahamkan, dia sudah dipanggil polis bagi membantu siasatan pada Selasa lalu, termasuk mengenal pasti bentuk pembabitannya dalam urus niaga berkenaan dan hubungannya dengan keempat-empat mangsa, manakala pergerakannya sedang dipantau.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu ketika menghadiri urus niaga tanah di Banting. Turut hilang, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB Bank, Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Di
GEORGETOWN, lima Pejabat Daerah dan Tanah di Pulau Pinang sehingga kini tidak menerima permohonan jual beli tanah di negeri itu atas nama Sosilawati.

Kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Prai Utara (SPU), Seberang Prai Tengah (SPT), Seberang Prai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya juga memaklumkan tidak pernah melihat kelibat Sosilawati di situ.

Seorang kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah SPS berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima permohonan jual beli tanah atau pernah berurusan dengan Sosilawati.

“Kami tidak pernah melihat atau menerima permohonan daripada Sosilawati. Di Pulau Pinang ada lima pejabat Tanah mengikut daerah masing-masing, bagaimanapun kami tidak pernah bertemunya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bapa kemaruk wanita

Oleh Suraya Roslan

2010/09/10

KUALA LUMPUR: Lantaran tidak tahan dengan sikap bapanya yang kerap bertukar isteri, seorang remaja mengambil nekad memusnahkan dirinya dengan mengambil dadah jenis syabu.

Remaja dikenali sebagai Zack, 19, tertekan dengan cara hidup ayahnya yang sering berkahwin dengan wanita dari negara jiran. “Yang terbaru saya mengetahui ayah mengahwini wanita dari Laos dan meninggalkan ibu keseorangan. Sayu hati ini apabila melihat ibu merintih supaya tidak ditinggalkan, tetapi ayah yang begitu kemaruk untuk beristeri muda langsung tidak peduli semua itu,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat pemulihan di ibu negara di sini, semalam.


Zack juga dikenali sebagai pelajar pintar di sekolahnya itu mengambil keputusan mencuba dadah jenis syabu kerana begitu terpengaruh dengan desakan rakan.


“Saya kerap menceritakan mengenai masalah keluarga yang dialami dan begitu tertekan dengan hidup ini, malah pernah beberapa kali cuba membunuh diri, nasib baik ada rakan yang sudi membantu dan menghalang,” katanya.


Namun, ingatkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari, rakan yang membantu Zack juga sebenarnya bertujuan mahu memusnahkan dirinya saja.


“Rupanya niat mereka membantu adalah untuk membinasakan saya apabila disuruh mencuba sejenis dadah yang mampu menyelesaikan segala masalah di dunia ini. Saya yang pada mulanya tidak percaya, cuba juga akhirnya...dan ternyata memang best dan layan hingga saya tidak dapat lagi hidup tanpanya,” katanya.


Bermula pada detik itu, Zack menjadi hamba dadah dan terpaksa melakukan jenayah untuk membeli barang terlarang itu.


“Ayah dan ibu terus tidak mempedulikan saya selepas mengetahui saya terjebak dengan najis dadah. Dan bermula pada detik itu, kami terus terputus hubungan terutama dengan ayah.


“Saya akui, sering menjadi pelajar harapan di sekolah lantaran mendapat keputusan cemerlang, namun akibat tekanan keluarga saya sanggup memusnahkan diri sendiri,”
katanya.


Zack yang kini sudah insaf berharap hubungannya dengan keluarga dapat dipulihkan segera. Kini Zack yang menghuni di sebuah pusat pemulihan di ibu negara secara sukarela selama enam bulan untuk membentuk diri menjadi insan lebih berguna.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapakemarukwanita/Article

'Dapat juga rasa nasi minyak'

2010/09/10

HULU TERENGGANU: “Lapan tahun saya tidak merasai juadah kegemaran nasi minyak disediakan ibu pada pagi raya, malah pernah terfikir mungkin tidak berpeluang lagi beraya bersama ahli keluarga.

“Bagaimanapun, berkat doa ibu, Aidilfitri tahun ini saya dan anak dapat menyambutnya bersama ibu serta ahli keluarga lain,” kata Ku Faridah Ku Seman, 33, wanita tempatan yang mengikut suami dikenali Rosman ke Lombok lapan tahun lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Pueh, Kuala Berang.


Menceritakan pengalamannya menyambut lebaran di Mataram, Lombok, Ku Faridah berkata, beraya di perantauan tanpa suami dan ahli keluarga begitu memeritkan, malah Aidilfitri seperti hari biasa, cuma takbir raya berkumandang menandakan umat Islam menyambut Aidilfitri.


“Bukan saja tidak berbaju raya, malah juadah di sana hanya nasi kosong dan lauk-pauk ala kadar, tidak seperti di negara kita yang begitu meriah.


“Kebiasaannya, saya hanya menyambut raya bersama tiga anak, Mohd Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4, dan Dewi Helen Fiona, 2, namun kami tetap menziarahi keluarga mentua sebelum pulang semula ke rumah,”
katanya.


Menurutnya, memandangkan dia dan anak-anak hidup merempat serta bergantung kepada pendapatan RM7 (Rp20,000) sehari di ladang tembakau, dia tidak mampu menyediakan persiapan raya anak.


“Dengan pendapatan serendah itu, apa sangat yang boleh disediakan, selain sehelai baju untuk anak bagi menceriakan mereka, hendak makan pun menagih simpati jiran, inikan pula membuat persiapan raya, bayangkan saya hanya memakai baju lama,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dapatjugarasanasiminyak/Article

Serbu rumah di ladang sawit

2010/09/10

BANTING: Polis menyerbu sebuah rumah di dalam ladang kelapa sawit di Tanjung Layang, Tanjung Sepat, petang semalam yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, polis dengan bantuan anjing pengesan gagal menemui sebarang bukti menunjukkan kehadiran jutawan berkenaan dan individu terbabit yang kemungkinan dikurung di rumah berkenaan.


Difahamkan, selepas serbuan itu, anggota polis dipercayai dari Bukit Aman kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.


Sekumpulan wartawan yang berkumpul di IPD berkenaan sebaik mengetahui kehadiran pasukan forensik gagal mendapat sebarang komen mengenai apa hasil serbuan di rumah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Serburumahdiladangsawit/Article

Peguam ada rekod jenayah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa, Noriah Idris dan Mary Victoria Dass

2010/09/10

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang kini diburu polis berhubung kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dikatakan berstatus Datuk dan berusia dalam lingkungan 40-an.

Peguam itu dikatakan pernah berjumpa dengan beberapa VIP di Selangor untuk membincangkan mengenai urusan jual beli tanah.


Menurut sumber polis, Sosilawati memang mengenali peguam terbabit kerana pernah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengannya sebelum ini untuk membincangkan urusan pembelian tanah.


“Sebelum ini, Sosilawati pernah beberapa kali berjumpa dengan peguam terbabit membincangkan mengenai urusan jual beli tanah dan kali terakhir pada awal Ogos lalu.


“Namun pertemuan kali terakhir pada 30 Ogos lalu bertukar misteri apabila Sosilawati dan peguam terbabit turut hilang begitu saja,”
katanya.


Selain Sosilawati yang juga Pengasas Nouvelles Visage, tiga lagi individu bersamanya iaitu pembantu peribadi, Kamarudin Samsudin, 47, pegawai bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut ghaib ketika mahu berjumpa peguam berkenaan.


Sumber itu juga mendakwa, peguam itu yang kini amat dikehendaki dalam kes kehilangan Sosilawati dipercayai mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penipuan di Selangor.


“Difahamkan, peguam itu juga pernah memberikan cek bernilai RM1 juta kepada Sosilawati, baru-baru ini. Cek itu mungkin ada kaitan dengan urusan beli tanah antara mereka, namun ia hanya boleh ditunaikan pada September ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memerlukan untuk membantu siasatan sehingga terungkainya misteri kehilangan Sosilawati.


Beliau berkata, memandangkan Sosilawati dan tiga lagi yang lain dilaporkan hilang di Banting, Selangor pihaknya memang ada menerima maklumat daripada penduduk tempatan yang boleh digunakan untuk membantu siasatan.


Namun, katanya, semua maklumat diperoleh itu diserahkan kepada polis memandangkan kes berkenaan disiasat oleh mereka.

“Dalam kes membabitkan orang hilang, polis Selangor memang ada terbabit memberi bantuan jika mempunyai maklumat, begitu juga pasukan polis dari kontinjen lain.


“Kes Sosilawati tidak terkecuali apabila kita sentiasa menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa jika ada perkembangan,”
katanya selepas melawat pos kawalan Ops Sikap Ke-22 di Batu 20, Bukit Berdarah, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peguamadarekodjenayah/Article

'Rela makan nasi bergaram'

Oleh Mary Victoria Dass

2010/09/10

JOHOR BAHRU: “Kami rela makan nasi bercampur garam di pondok usang kami berbanding ke rumah saudara yang tidak pernah memberi layanan mesra,” kata remaja, Kamaruzaman Rahmat Kamal, 17, semalam.

DAIF...Kamarulbahrin (dua dari kiri)  dan Kamaludin melihat abang mereka, Kamaruzaman melukis komik di depan pintu pondok usang.
DAIF...Kamarulbahrin (dua dari kiri) dan Kamaludin melihat abang mereka, Kamaruzaman melukis komik di depan pintu pondok usang.
Anak sulung daripada tiga beradik itu menceritakan pengalaman menyambut lebaran dilalui sejak beberapa tahun lalu dan masih terluka dengan sikap dingin saudara-maranya memandang rendah kemiskinan keluarganya.

Menurutnya, meskipun mereka mengunjungi kediaman beberapa saudara- mara dengan harapan mampu meraikan Aidilfitri dengan meriah selepas kematian ibunya lebih lapan tahun lalu, namun hajat itu tidak pernah kesampaian.

Katanya, bagi memastikan pertalian persaudaraan tidak terputus, bapanya yang bekerja sebagai pemandu teksi gantian sanggup meminjam wang daripada rakan bagi menampung kos balik ke kampung di luar Johor Bahru.

“Malangnya, kehadiran kami tidak pernah disenangi di mana kami adik-beradik dipandang rendah kerana tidak mampu memakai baju raya atau kemas seperti sepupu lain.

“Malah, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila kami tidak diberi layanan hingga terpaksa minum bekalan air kosong dari rumah biarpun terdapat pelbagai juadah raya dimasak di situ,”
katanya yang menambah keluarganya masih bergantung kepada air hujan untuk memasak dan mandi kerana tidak mempunyai kemudahan bekalan air.

Malah, pondok usang dihuni mereka di kawasan tanah paya bakau bersebelahan Taman Sri Pandan tidak mempunyai bekalan elektrik hingga memaksa mereka menggunakan lilin pada waktu malam.

Kamaruzaman berkata, bagi mengelakkan perkara sama berulang, tahun ini bapanya dan dua adik lelakinya, Kamarulbahrin, 16 dan Kamaludin, 9, mengambil keputusan meraikan Aidilfitri di pondok usang mereka.

Menurutnya, meski pun menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya memakan nasi putih bersama serbuk kari, mereka masih bersyukur berbanding terpaksa menempuhi situasi mengguris hati di kediaman saudara-mara.

“Kami yang menghuni di rumah yang ditinggalkan kosong di tanah paya bakau berhampiran Taman Sri Pandan lebih setahun lalu tidak mampu melakukan sebarang persiapan raya melainkan membersihkan pondok yang hanya menunggu masa menyembah bumi.

“Hanya dengan wang RM20 diperoleh jualan lukisan komik ciptaan saya kepada rakan sekolah, kami membeli sekampit beras biarpun berkeinginan memakan ketupat dan rendang hari ini,”
katanya.

Kamaruzaman yang belajar di tingkatan lima berkata, biarpun keluarganya pernah memohon rumah penduduk pendapatan rendah sebelum ini, mereka tidak memperoleh sebarang maklum balas.

“Ayah menjadi pemandu teksi gantian memperoleh pendapatan RM10 hingga RM15 sehari di mana dengan wang itu menampung perbelanjaan persekolahan saya dan dua adik,” katanya.

Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati

2010/09/09

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.


"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.


"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu,"
katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang semasa berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.


Ekoran kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.


Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).


"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis. "Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.


Tinjauan Bernama di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JangantimbulkanspekulasiberhubungkehilanganSosilawati/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...