Friday, January 23, 2009

Mindanao menggamit simpati, bantu saudara seislam


Azamin Amin
Wed Jan 21, 09 3:17:50 pm MYT

Peristiwa penculikan 21 orang tebusan rakyat Malaysia yang oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 24 April 2000 tiba-tiba menerpa ke benak hati saya. Tidak lupa, mendapat perhatian dunia sekitar 2005, kematian Ghalib Andang atau Komander Robot,pemimpin utama Abu Sayyaf yang ditembak tentera Filipina.

Malah wajah tokoh terkemuka yang sering terpampang di dada akhbar suatu ketika dulu, pemimpin Bangsamoro yang menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari sering terbayang dan silih berganti di kaca fikiran.Kini perjuangan itu diteruskan pula oleh Moro Islamic Liberation Front (MILF).

Segalanya mengambil tempat dan berpunca di sini, Mindanao, Filipina. Saya mohon dilindungi Allah SWT dan diberi peluang untuk menjejaki perjuangan dan kesengsaraan Bangsamoro di sana.


Oh ya! Kami tiba di Marawi City jam 8.00 malam dengan ditumpangi oleh tiga orang penduduk tempatan ketika kami singgah di warung kaki bukit di Balado. Sewaktu menyusuri untuk sampai ke penginapan kami seterusnya, kelihatan kiri-kanan jalan teredapat rumah-rumah kayu dan buluh kepunyaan.

Itupun saya lihat dalam kedaan samar-samar dek api lilin yang menyinari rumah yang tiada bekalan elektrik meskipun kawasan Balado merupakan pusat sumber bekalan elektrik ke seluruh Mindanao.

Tiba di penginapan yang terletak di dalam sebuah kawasan Universiti Mindanao State, Marawi City, kami disambut oleh Dr Safarallah, Presiden Bangasamoro Develepoment Agency (BDA) serta ayahnada Anwar yang sememangnya menantikan kepulangan anaknya itu. Anwar pulang hanya pulang ke kampung dua kali setahun isteri tercinta dan empat orang anaknya.

Kasihan juga, selama empat tahun beliau membiayai sendiri belanja pengajiannya tanpa sebarang biasiswa ataupun bantuan sesiapa malah terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya demi menuntut ilmu. Azam saya suatu hari nanti, mungkin boleh sampaikan zakat kepadanya setelah Anwar pulang kembali ke UIA, Gombak nanti. Anwar termasuk dalam lapan asnaf yang layak terima zakat.

Hari ini masing-masing terlalu penat. Selesai solat, makan-makan tiba masa untuk melelapkan mata kira-kira jam 11.30 malam. Saya ditempatkan bersama Azhan, Ismail dan Tajuddin dalam sebuah rumah kayu yang agak luas juga. Kawasan pesekitaran sini sunyi dan dingin kerana dikelilingi pokok-pokok yang rimbun serta berhampiran hutan.

Saya kemudiannya keluar bilik untuk bertemu Husin dan Dr. Shah ketika kedua-duanya sudah berada di katil masing-masing untuk melabuhkan mimpi mereka.Tujuannya hanyalah menyiapkan tugasan, menerumah mereka.

"Jika berlaku bencana, AMAL yang pertama kali tiba, tetapi yang akhir sekali tidur ialah pemberita," kata saya berseloroh sambil diketawakan Husin dan Dr. Shah.Bukan sahaja mereka tetapi sembilan orang berjaya ditemuramah sehingga jam 1.30 pagi.

10 DISEMBER - Hari Raya Ketiga - Aidiladha

Hari ini sebelum menyembelih empat ekor lembu lagi, kami bersarapan di Ranao Royalle, sebuah restoran kecil di pekan Marawi. Dr Safarallah juga ada dan sempat juga saya menerumah untuk mengetahui perkembangan terkini bantuan kemanusiaan dan tentang agensi yang ditadbirnya. Beliau kemudiannya membawa kami ke SMD Hospital Marawi City dimana beliau merupakan Presidennya.

Marawi mempunyai populasi mencecah 200,000 di 21,000 penempatan manakala bahasa yang digunakan ialah Maranao. Hampir 100 peratus penduduknya beragama Islam dan sumber ekonomi mereka ialah pertanian, penternakan dan mendulang emas.

"Sebab itulah kerajaan tidak melepaskan hak kemerdekaan kepada Mindanao kerana dua sumber utamanya ada di sini iaitu minyak dan emas," jelas Dr. Safarallah kepada saya.

Ketika perjalan menuju Hospital berkenaan, di tengah-tengah pekan, sebuah pacuan empat roda memberhentikan kenderaan kami. Keluar dua lelaki berbaju celoreng siap bersenjata M16.

Pucat juga seketika. Rupanya kedua-duanya mengarahkan sebuah kenderaan di belakang kami untuk dilakukan peperiksaan. Laras senapang siap siaga menghala ke arah kenderaan itu. Apa nasibnya tidak diketahui setelah jeep kami memecut laju menuju ke destinasi seterusnya.

Kedatangan AMAL diraikan dan dihargai apabila sekaligus kami menjadi tetamu dalam satu majlis "Induction of SSG Officers and Senior Officers SMD Hospital" semacam majlis suai kenal petugas baru dan kakitangan Hospital,dihadiri kira-kira sejumlah 200 orang.

Bayangkan mereka cukup ramah dan teruja bergambar. Kakitangannya menyambutkan kami umpama selebriti terkenal apatah lagi setelah diberitahu bahawa dalam rombongan ini turut serta seoarang Juara Akademi Nasyid Malaysia.

Setelah Husin dan Dr Safgarallah berucap di majlis itu, hadirin dihiburkan pula dengan persembahan Azhan yang menyampaikan tiga buah lagu nasyid dengan nada lunaknya. Ramai yang pegun, kagum dan kemudiannya bertepuk tangan gemuruh selesai persembahannya. Kelihatan dua orang kakitangan hospital mengalir air mata kerana merasa terlalu syahdu dengan nyayian Azhan.

Di luar Hospital, Anwar yang kebetulan turut serta menunjukkan sebuah janakuasa elektrik sementara yang pernah 'dihadiahkan' secara peribadi oleh Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang menjadi alat sokongan ketika bekalan elektrik terputus di hospital tersebut.

Ustaz Nasharuddin menghadiahkannya pada tahun 2007 ketika datang ke Marawi dan merupakan rakan akrab kepada Peguam Hak Asasi Manusia Marawi Blo Umpar Adiong.

"He's very good. Also this man, this and this man. (Dia baik, begitu juga orang ini dan ini. Saya kenal mereka," kata Anwar yang membelek akhbar Harakah yang saya bawa walaupun dia tidak faham bahasa melayu. Gambar yang dibeleknya Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Kamaruddin Jaffar.Sebilangan pemimpin Bangsamoro juga difahamkan mengenali tokoh-tokoh dalam PAS.

Sedang sibuk merakamkan gambar ketika Husin melakukan sembelihan, seorang lelaki lengkap beruniform dan bersenjata dikenali sebagai Samo menghampiri kumpulan kami. Setelah bersalam, beliau menjelaskan bahawa Datuk Bandar Marawi City Sultan Fahad 'Pre' Salic mengarahkankan Ketua Polis,beliau dan beberapa anggota polis memantau dan menjaga keselamatan kami sepanjang menjalankan ibadah korban dan akikah di bandar ini.

Bermula dari situ, dua lokasi yang kami pergi kemudiannya diiringi oleh anggota polis. Sebenarnya sejak rombongan kami tiba di Minadanao sejak 7 Disember lalu, sentiasa ada sahaja anggota tentera atau polis mengekori dan memerhati pergerakan kami daripada jarak jauh.

Selesai tugas lewat petang, kami kemudiannya berangkat ke Cagayan De Oro jam 4.00 petang dan perjalanan memakan masa tiga jam lagi. Penat sangat. Terencat sikit waktu rehat, tidur dan makan akibat jadual yang begitu padat.

Dalam jeep sambil sembang-sembang dengan pemandunya Abu Khalid tentang perkembangan terkini, saya mencatit sesuatu di nota. Katanya pertempuran yang berlaku di Basilan, menyebabkan ramai anggota tentera Filipina terbunuh.Lazimnya pejuang Mujahidin akan melakukan serang hendap.

"Bagaimana dengan Tatapan, tempat yang kami lalui semalam. Tahu apa terjadi?" tanya saya lalu dia menggeleng kepala. Beliau kemudian menjelaskan kerajaan Filipina sedang menawarkan kira-kira 5 juta Peso kira-kira RM350,000 kepada sesiapa yang menangkap salah seorang daripada tiga Komander MILF antaranya Komander Bravo.

"Kumpulan Abu Sayaff bagaimana? Benarkah mereka suka menculik orang?" Tanya saya kepadanya.

"Takk...yang rajin menculik dan jadikan orang awam tebusan ada dua kumpulan Komunis di Filipina ini tetapi mereka sering menuduh Abu Sayaff bertanggungjawab.

Sampai di Cagayan De Oro jam 7.00 malam, semua hotel yang berhampiran, habis ditempah. Nyaris sebuah hotel, Will Shire Inn ada kekosongan dan berhampiran dengan sebuah bangunan kedai yang digunakan sebagai masjid dan di depannya sebuah satu-satunya warung Islam.


Kami 'check -in' jam 10.30 malam. Saya ditempatkan bersama lima yang lain.Ketika itu Dr. Faizol dalam keadaan yang agak teruk. Gastrik dan pening katanya. Beliau terlentang dan cuba melelapkan mata.

"Tiada ubatkah? Selalunya doktor ada bawa ubat 'spare'." "Tak ada..sebab semua ubat yang saya bawa telah kita serahkan di khemah pelarian perang kesemuanya. Tak ada satu pun yang tinggal." Subhanallah ikhlasnya hati sampai untuk kegunaan sendiri pun tidak ada, bisik hati saya.

11 DISEMBER - Sehari sebelum pulang ke Malaysia

Rakan-rakan kebanyakan berjalan kaki untuk solat subuh di Masjid berhampiran kira-kira jam 4.30 pagi Saya dan Dr Faizol hanya di bilik penginapan.Lepas solat terus terbabas, penat.

Kami bersarapan di Maharlika Balik Islam, sebuah warung kepunyaan Ahmad Salleh, seorang pendakwah Islam Bangsamoro. Jangan terkejut, walaupun ianya terpencil dan layak digelar kedai mini namun di dalamnya sarat dengan rahsia yang tersirat.

Dalam kedai kecil ini yang hanya boleh memuatkan 6 orang pelanggan, 1 tukang masak dan 1 pelayan dalam satu masa namun mempunyai sebuah bilik kecil seumpama konti untuk mengendalikan siaran radio yang dikenali sebagai DXMR 105.8 FM, Radio Islam. Wah! Kendalikan radio di kedai makan.

Manakala terdapat puluhan buku-buku rujukan agama seperti mimi perpustakaan dan di sini jugalah operasi akhbar Islam pertama di Filipina diberi nama 'The Banner of Islam - The First Islamic Newspaper in the Filipina' dilakukan.

"Wah! Ada kembar Harakah di sini rupanya. Mana Ketua Pengarangnya?," tanya saya dalam bahasa Inggeris sepatah-sepatah pada pelayan yang hanya dikenali sebagai Makcik Fatimah berusia kira-kira 50an. Dia menggeleng sambil menunjukkan aksi tangan mencantas lehernya.

"Hah kena potong leher? Mati?!" tanya saya kaget. Mat Amin dan Azhan yang ada bersama tergelak melihat gelagat saya.

"Azamin....Azamin..dia kata orang itu pergi sembelih lembulah, Korban!," kata Mat Amin menjelaskan sambil saya tergelak. Makcik itu mengangguk.

Keadaan warung itu sedikit suram, lalu saya dengan isyarat tangan serta berkata "Lamp! Lights!" untuk makcik itu membuka lampu kalimantan di kedainya. Dia mengangguk lagi, lalu membawa sebekas kuih apam kepada kami.

Aduhai, masalah bahasa nampaknya. Kasihan makcik itu, bersusah payah dia memahami permintaan kami dan sedaya upaya melayan yang terbaik.

"Alhamdullilah kita dah sempurnakan tugas kita. Walaupun banyak kelemahan yang perlu diperbaiki namun hajat orang ramai kita dah tunaikan," Husin tiba-tiba bersuara.
Umpama menutup majlis, kami masing-masing meluah segala isi hati yang terbuku.Ada yang sedih dan mahu lakukan sesuatu perubahan malah ada yang mahu datang lagi.
Kami kemudiannya bersiap-siap pula ke Cagayan De Oro Airport untuk menaiki kapal terbang ke Manila, Filipina.

Lewat jam 4.30 petang, kapal terbang meluncur laju ke ruang angkasa untuk sampai ke Manila dan esoknya 12 Disember, kami akan menjejak semula ke tanahair membawa 'khabar sedih' penderitaan umat Islam untuk dijadikan iktibar rakan-rakan dan kaum keluarga, betapa kehidupan kita jauh lebih baik daripada mereka di sana.

Di dalam kapal terbang, fikiran saya mula menerawang. Kerisauan dan kegembiraan caca marba, bercampur aduk. Apa khabar ibu, isteri dan anak-anak. Selepas itu tanggungjawab yang berat menanti saya selaku Penolong Pengarang Harakahdaily.

Resah saya seketika apabila sejumlah 543 keping gambar berjaya dirakamkan, 4 wawancara penuh, 20 biji bateri digunakan, 4 buah buku nota, 3 kaset rakaman, RM150 untuk kredit telefon bimbit yang kini tinggal hanya RM20.00 telah diguna pakai, 4 kali mengikuti penerbangan, 5 kali menaiki pacuan empat roda, 4 buah pusat khemah pelarian dilawati, sejumlah 32 lembu dan 80 kambing berjaya dikorbankan, belasan ribu ringgit telah didermakan kepada hampir lebih 10 pemimpin Bangsamoro dan penjaga rumah anak-anak yatim ditemui apatah lagi perjalanan penuh sejarah ini dibiayai pula oleh Harakah.

Gelisah membayangkan bagaimanakah dengan kelengkapan 'senjata-senjata ini' dan 'data maklumat' yang ada di kepala selama 6 hari, kira-kira 120 jam mampu saya 'cernakan' serta dipersembahkan dengan terbaik untuk tatapan pembaca Harakah dan Harakahdaily.Mana yang kurang mohon dimaafi.

Begitu terhutang budi kepada Harakah dan AMAL yang memberi peluang cukup indah nan manis bagi saya secara tidak langsung bermuhasabah diri, bahawa jauh di sudut dunia, ada saudara yang hidup beralasakan tanah berbumbungkan langit malah tidak mampu untuk berhibur jauh sekali bersantai lantaran kepayahan yang sangat menghimpit.

Mereka, kais pagi belum tentu dapat makan pagi.Kais petang untuk makan malam berbanding kita, yang Allah lipat-gandakan rahmat yang patut disyukuri nikmat. Takbir! - azm

(Sebarang kritikan dan pandangan bolehlah dimajukan kepada saya di email azaminamin@yahoo.com Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )

(Yang mengikuti perjalanan enam hari Misi AMAL ke Mindanao dan tulisan ini merupakan bahagian akhir rakaman kisah pahit manis di sana)


http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=018971&Itemid=35

PKR P Pinang gugur Mohd Fairus dari jawatan timbalan pengerusi



Jimadie Shah Othman Jan 23, 09 11:06am

PKR Pulau Pinang membuat rombakan drastik dalam jawatankuasa perhubungan negerinya dengan menggugurkan dua daripada tiga timbalan pengerusinya, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Seorang lagi timbalan pengerusi PKR negeri yang digugurkan ialah exco kerajaan negeri, Law Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BukitTambun.


Tempat Mohd Fairus digantikan oleh Dr Mansor Othman manakala Law digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Tan Hock Leong.

Bagaimanapun Mohd Fairus dilantik sebagai ahli jawatankuasa jemputan.

Manakala Datuk Zahrain Mohamed Hashim kekal sebagai pengerusi PKR negeri dan Adun Batu Uban, S Raveentharan kekal sebagai timbalan pengerusi negeri.

Jawatan ketua Pemuda PKR negeri yang kosong sebelum ini diisi ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Mustafa Kamal kekal

Mustafa Kamal Mohd Yusoff mengekalkan jawatan setiausaha perhubungan negeri, manakala Mohamed Fauzi Noordin kekal sebagai penolong setiausaha.

Dua lagi penolong setiausaha merupakan muka baru iaitu, Lim Boo Chang dan M Nyanasegaran.

Mustafa Kamal menggantikan exco kerajaan negeri, Abdul Malik Kassim dalam satu rombakan yang dibuat selepas pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos tahun lalu.

Manakala Diong Chong Mee dilantik sebagai timbalan ketua Wanita negeri.

Ketika dihubungi hari ini, Zahrain berkata, mesyuarat perhubungan negeri memutuskan bahawa semua exco kerajaan negeri dari PKR, tidak boleh memegang jawatan tertinggi parti di peringkat negeri.

Katanya, ia melibatkan jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan ketua penerangan.

Mantap prestasi

Menurutnya, rombakan itu bertujuan untuk memantap prestasi jawatankuasa perhubungan negeri.

"Ia dilakukan supaya exco dapat memberi fokus kepada urusan kerajaan negeri," tambahnya.

Bagaimanapun, perubahan drastik mencetuskan andaian bahawa ia ada kaitan dengan prestasi Mohd Fairus yang dikritik oleh banyak pihak, termasuk mendapat teguran ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenainya, Zahrain berkata ia tiada kaitan dengan isu tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu spekulasi semata-mata.

"Saya tidak ada menerima aduan rasmi berhubung perkara itu," katanya.

Beliau mengakui ia adalah keputusannya tetapi telah dipersetujui oleh semua pihak, termasuk Anwar sendiri.

Tidak puas hati

Sementara itu, Bernama memetik Zahrain melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak berbincang dengan PKR terutamanya mengenai pelantikan penjawat sesuatu jawatan, umpamanya, langkah Ketua Menteri Lim Guan Eng melantik bekas
pemimpin Gerakan Datuk Lee Kah Choon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Lembaga investPenang, iaitu badan pelaburan kerajaan negeri.

"Kita hanya dimaklumkan oleh Ketua Menteri mengenai perkara itu tetapi tidak dibawa berbincang. Jadi, kita mahu supaya beliau ambil kira kedudukan wakil ari PKR," katanya.

Pada mesyuarat malam tadi, PKR bersetuju supaya jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan juga Majlis Perbandaran Seberang Perai, ahli majlis serta pegawai daerah disandang oleh orang politik.

Zahrain berkata PKR merancang mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran pada Mac ini untuk mencari dana parti dan juga akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan St Anne di sini pada 1 Februari ini.


http://www1.malaysiakini.com/news/97023

Umno KT tidak kuat, kata Wanita bahagian...


Muda Mohd Noor Jan 23, 09 3:17pm

Seorang pemimpin Wanita Umno bahagian di Terengganu mendakwa Umno bahagian Kuala Terengganu tidak mempunyai kekuatan yang cukup ketika menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Ketua Wanita Umno bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, Umno Kuala Terengganu boleh diibaratkan seperti kuat di atas tetapi lompang di bawah.

“Akar umbi Umno di bahagian itu tidak kuat untuk mempengaruhi pengundi di kawasan mereka supaya mengundi Barisan Nasional (BN).

“Bukan sayap Wanita sahaja tetapi semua sekali dari atas ke bawah. Isu ini telah mempengaruhi pengundi di kampung termasuk ahli Umno.

“Ada yang mempunyai agenda peribadi, bila tidak terplih menjadi calon, mereka mula mencantas calon, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Yang lain pula mengaku mereka tidak kenal Wan Ahmad Farid. Bayangkan ahli Umno sendiri tidak kenal dengan kita.

“Ini maklum balas yang kita perolehi dari bancian dan kempen semasa pilihanraya kecil ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tiada sambutan

Zaitun berkata, laporan yang dibuat Umno Kuala Terengganu terhadap kecenderungan pengundi bertentangan dengan realiti sebenar.

Katanya, mereka termasuk penyokong Umno dilaporkan akan mengundi BN, tetapi akhirnya mengundi calon pembangkang.

Semalam ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad mendakwa program anjuran pergerakan itu semasa berkempen dalam pilihanraya kecil itu kurang mendapat sambutan.

Katanya, ada program anjuran Wanita Umno yang cuma dihadiri oleh dua tiga orang sahaja walaupun sasaran ialah 15 orang.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Zaitun berkata: ‘Banyak tempat juga orang tidak pergi ke program Umno.”

“Orang tidak pergi kerana Umno di tempat berkenaan tidak kuat. Ada pengundi kata, mereka tidak pergi program Umno kerana tidak suka dengan beberapa pemimpin Umno negeri.

“Maklum balas yang kita perolehi ialah ramai penyokong Umno tidak mengundi. Ramai juga pengundi luar yang tidak balik.

Wanita kerja kuat

“Saya rasa ini protes kepada Umno,” katanya.

Zaitun berkata, sikap pemimpin BN yang menggunakan isu-isu peringkat nasional tidak mempengaruhi pengundi Kuala Terengganu.

Mereka, katanya hanya mahu tahu mengenai isu semasa yang berlaku di tempat mereka.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno bahagian Kuala Terengganu, Jannah Zaleha Nik ketika dihubungi berkata, ahli-ahlinya bekerja sedaya upaya untuk memenangkan BN.

Katanya, beliau dan ahli pergerakan itu kecewa jika ada pihak tertentu menuduh mereka bekerja sambil lewa.

“Semua orang tahu, Wanita adalah tulang belakang kepada parti,” katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/97047

K'jaan S'gor akan siasat dokumen 'bocor'


Jan 23, 09 4:12pm

Kerajaan negeri Selangor akan menyiasat mengenai kesahihan dokumen-dokumen yang diperolehi oleh pihak-pihak yang membuat dakwaan bahawa dana kerajaan negeri digunakan untuk membeli 46 ekor lembu korban yang disumbangkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

"Kerajaan negeri juga bimbang dengan kesahihan dokumen-dokumen yang diperolehi oleh pihak-pihak yang membuat tuduhan liar ini," kata Setiausaha Politik kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Demi ketelusan dan kebertanggungjawaban, pejabat menteri besar akan menyiasata tentang kesahihan dokumen tersebut serta asal dokumen tersebut diperolehi," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Buruk reputasi

Bagaimanapun, semalam Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Nik Nazmi berkata, kekeliruan yang timbul akibat laporan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan reputasi kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Namun, katanya, kerajaan negeri, khususnya menteri besar, tidak akan tunduk kepada "serangan politik murahan dan akan terus komited dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor.

Nik Nazmi juga mengulangi bahawa tiada dana kerajaan negeri digunakan untuk membeli 46 lembu korban bagi kawasan Bandar Tun Razak.

Sebaliknya, kata beliau, lembu-lembu itu diderma oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), iaitu:

*Selangor Industrial Corporation Berhad (SIC) - lima ekor bernilai RM12,000.

*Selaman Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.

*Damansara Impian Sdn Bhd - enam ekor bernilai RM14,400.

*Pembinaan K K Wong Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.

*PKNS Infra Berhad - lima ekor bernilai RM12,000.

*Mas Ehsan Develompment Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.

*PKNS Engineering & Construction Berhad - lima ekor bernilai RM12,000.

Tiada arahan MB

Nik Nazmi berkata, kerajaan juga telah dimaklumkan oleh PKNS bahawa SIC Berhad telah membayar RM110,000 kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang membekal lembu korban itu.

"Syarikat (tersebut) kemudiannya menghadar 'debit note' kepada enam syarikat yang lain untuk bayaran.

"Tiada arahan dari menteri besar kepada PKNS atau SIC Berhad untuk menderma lembu korban ke kawasan Bandar Tun Razak.

"Hanya selepas keputusan dibuat untuk menderma lembu di kawasan Bandar Tun Razak, PKNS telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa syarikat yang ingin menderma lembu bagi tujuan kegunaan sempena Hari Raya Korban," katanya.

Menurut Nik Nazmi, semua perancangan awal menderma lembu korban itu dibuat di peringkat PKNS dan syarikat-syarikat terbabit tanpa melibatkan mana-mana penggunaan dana kerajaan negeri ataupun atas arahan menteri besar atau pegawai-pegawainya.

http://www1.malaysiakini.com/news/97055

Pulih BN: Buat tiga perkara ini - Khir Toyo



22 Jan 2009 9:26PM

SA: Calon Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini menggariskan tiga perubahan yang perlu dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) untuk meraih kembali sokongan rakyat.

Beliau berkata perubahan itu membabitkan dalam BN sendiri, pentadbiran kerajaan dan dasar ekonomi.

Antara perubahan yang patut dilakukan dalam BN ialah membuka keanggotaan kepada parti-parti yang berminat menyertainya, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi pentadbiran kerajaan pula, beliau mencadangkan jumlah kakitangan kerajaan ditambah bagi membolehkan masalah yang dihadapi rakyat dapat diatasi segera dan lebih berkesan.

Sebagai contoh, Petaling Jaya sebuah kawasan perbandaran yang besar dan akan dapat ditadbir dengan lebih berkesan jika pentadbirannya dipecahkan kepada tiga atau empat daerah, katanya. / Bernama

http://www.klpos.com/news/2009/01/22/4.html

Serban besar bakul pun tak semestinya dianggap lebai - Nik Aziz



22 Jan 2009 9:25PM

KB: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju pakaian serban digantikan dengan topi keledar bagi penunggang motosikal yang mahu memakainya, jika ia didapati boleh mencegah daripada kecederaan apabila berlaku kemalangan.

Mursyidul Am PAS itu berkata, jika serban dipakai dengan ikatan kemas dan boleh mencegah kecederaan, ia boleh digantikan dengan topi keledar yang dianggap lebih selamat.

Malah, katanya, topi keledar yang keras itu tidak selamat jika tidak dipakai kemas dan diikat dengan betul.

"Kadang-kadang serban dan semuntal yang diikat kemas lebih selamat, kerana ia lembut apabila berlaku hentakan kuat berbanding topi keledar yang keras itu.

"Topi keledar pun jika tidak dipakai dengan kemas dan diikat dengan betul boleh menyebabkan penggunanya tidak selamat apabila berlaku kemalangan, kerana mudah tercabut atau kecederaan dalaman akibat hentakan kuat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh di sini, pada dua hari lalu dijatuhi hukuman denda RM90 atau penjara dua hari kerana didapati bersalah tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal sebaliknya memakai serban.

Bagaimanapun, pelajar pondok terbabit, Ahmad Nasir Darus, 28, memilih untuk menjalani hukuman penjara dua hari.

Nik Abdul Aziz berkata, umum mengetahui berapa ramai penunggang motosikal yang terbunuh akibat nahas jalan raya walaupun mereka memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal.

Katanya, soal ia merupakan pakaian pak lebai atau golongan haji tidak berbangkit walaupun undang-undang dan peraturan jalan raya mengklasifikasikan begitu dan beliau tidak mahu campur urusan agama dengan peraturan jalan raya.

"Cuma bagi saya, mereka yang memakai pakaian serban tidak harus dikenakan tindakan, jika ia dipakai dan diikat dengan kemas," katanya.

Menurut Nik Aziz, serban bermakna dalam bahasa Melayu asal ialah ikatan kain kepala, seperti juga semuntal bagi pakaian tradisi orang Melayu Kelantan sedikit masa dulu.

Beliau berpendapat, jika masyarakat keturunan Sikh yang memakai serban dan boleh dikecualikan daripada undang-undang jalan raya, tidak ada sebab orang Islam yang memakai serban tidak boleh dikecualikan daripada peraturan itu.

"Saya tidak mahu ganggu soal agama. Lebai atau jahil, bukan boleh dinilai pada pakaian kerana ini mengikut tafsiran masing-masing, kerana ada orang lebai atau haji tetapi tidak pakai serban atau kupiah, dan ada juga yang pakai serban sebesar bakulpun tetapi tidak dianggap lebai," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula peraturan itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul seperti apa yang terjadi kepada kes berkenaan. / Bernama

http://www.klpos.com/news/2009/01/22/3.html

Tanya pasal lembu, ini jawab Khalid


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


22 Jan 2009 9:16PM

SA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan tuduhan yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak).

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di tingkat 20, bangunan SUK di sini petang semalam.

Kerajaan negeri katanya sentiasa berpegang teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawab secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

"Saya peka dengan tuduhan ini yang dilemparkan tentang menyalahgunakan kuasa dalam isu pembelian 46 lembu untuk program korban diperingkat Perlimen Bandar Tun Razak untuk 46 buah surau dikawasan itu.

"Lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri"
tambahnya ketika diminta mengulas tuduhan ini.

Tegas beliau, dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk membeli lembu-lembu tersebut. Sebaliknya, lembu itu telah didermakan oleh enam anak syarikat dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat.

"Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan kes ini dan berharap perjalan penyiasatan ini dapat dilakukan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh pihak yang mempunyai agenda politik,"
katanya.

Sebelum itu satu aduan telah dibuat oleh Gerak kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Aduan dibuat melalui Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Menteri Besar itu telah menggunakan wang kerajaan untuk pembelian lembu untuk dikorban dalam hari raya haji Disember lalu.

Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri dan aduanditerima oleh Pengerusi SPRM Selangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pagi semalam. / Harakah

http://www.klpos.com/news/2009/01/22/2.html

Kisah anak bangsawan dan anak kampung dalam Umno


Nasib umat Melayu yang miskin dan melarat akan berubah jika dipimpin oleh orang yang menghayati denyut nadi mereka




22 Jan 2009 9:12PM



Oleh Mohd Sayuti Omar

SALAH satu sebab yang dikenal pasti kenapa BN tewas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu lalu ialah kerana masalah calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Kebencian orang Umno terhadap sikap eletis dan sombong Wan Farid bukan saja dari kalangan Umno lelaki, tetapi dari kalangan Umno wanita juga begitu.

Menurut Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad, mereka menyedari kebencian itu ketika merayu undi untuk Wan Farid pada hari mengundi berkenaan.

Katanya ada wanita terang-terangan memberi tahu perayu undi BN mereka tidak akan pilih BN kali ini kerana mencalonkan Wan Farid.

“Tak ada calon lain lagi ke nak calon, asyik anak Datuk Wan Salleh saja,” begitulah kira-kira komen seorang pengundi wanita seperti mana dilaporkan kepada perayu undi BN hari itu dan dipetik sebagai dikatakan oleh Ramlah Adam.

Mungkin yang berkata itu tidak ramai dan ini kes terpencil. Namun walaupun begitu alasan itu nampaknya menjadi kenyataan apabila BN kalah alasan dominannya kerana mencalonkan Wan Farid. Memahami kepada protes wanita itu jelas bahawa mereka tidak mahu muka sama yang dicalonkan, iaitu anak-anak Datuk Wan Salleh.

Sebelum ini abang Wan Farid iaitu Wan Hisham menjadi Adun Ladang dan dicalonkan lagi dalam pilihan raya, tetapi kalah. Apakah mesej yang cuba hendak ditunjukkan oleh wanita itu apabila beliau menyebut “tak ada orang lain lagikah selain anak Datuk Salleh?”

Pertama ialah mungkin kerana Wan Farid itu adik kepada Wan Hisham. Mungkin kesalahan dan dosa Wan Hisham menyebabkan Wan Farid yang belum berdosa pun terheret sama.

Tetapi di sini ia bukan yang hendak ditimbulkan tetapi protes itu boleh difahami bahawa mereka mungkin tidak mahu Umno kerana asyik mencalonkan mereka dari ‘geluk’ atau kubang yang sama saja.

Mungkin protes itu mereka ingin menyatakan keinginan mereka memilih kalangan mereka bukan anak bangsawan menjadi pemimpin atau wakil rakyat mereka.

Mungkin juga pengundi wanita di Kuala Terengganu sudah muak dengan gelagat anak-anak bangsawan di negeri itu. Maklumlah anak bangsawan mereka tidak pernah turun ke laut.

Tidak pernah tarik pukat apalagi untuk menjahit pukat atau mengala perahu rosak. Mungkin kerana keasingan itu menyebabkan mereka merasakan anak bangsawa tidak dapat membela nasib orang miskin macam mereka.

Jadi mereka mahukan orang seperti mereka, yang susah, pernah merasai penderitaan dan kesengsaraan rakyat. Iyalah kalau anak bangsawan mana mereka mereka iitu semua. Kalau mereka tidak merasai jerit perih rakyat macam mana mereka hendak memperjuangkan rakyat kerana mereka tidak merasainya.

Kalau pun mereka melaung ingin membela rakyat, merubah nasib rakyat itu hanya laungan dan slogan saja hakikatnya kosong.

Sekiranya protes wanita itu menjadi satu protes umum ini bermakna kedudukan anak-anak bangsawan di dalam Umno tercabar. Mungkin rasa gah mereka sebagai anak bangsawan tidak akan laku lagi di masa akan datang.

Dalam Umno hari ini bukan saja Wan Farid dan Wan Hisham sebagai anak bangsawan. Tetapi masih ramai lagi. Kakau boleh disenaraikan Najib Razak, Hishamuddin Hussein, Jamaluddin Jarjis, Muhyiddin Yassin, Mukhari Mahathir, Syed Hamid Albar adalah antara anak-anak bangsawan.

Bapak mereka adalah orang kenamaan. Kasut bapa mereka orang tolong lapkan air minum bapa mereka orang tolong tuangkan. Mereka ini di zaman kanak-kanaknya tidak pernah turun ke bendang dan mengharungi selut. Mereka tidak pernah digigit pacat dan digigi nyamuk.

Adalah elok juga kalau para marhaen yang pelahap dalam Umno yang selama ini menjadi abdi bangkit membela diri mereka. Untuk apa mereka mengambalikan legasi orang-orang bangsawan itu memimpin mereka sedang berlambak anak-anak orang miskin yang berbakat dan berkalibar.

Apakah tidak cukup berkemampuan orang-orang seperti Mohamad Khir Toyo, Zahid Hamid, Shafei Afdal, Muhammad Mohd Taib, Alwi Che Amat, untuk diangkat menjadi pemimpin. Dari segi status mereka sebagai orang kampung dan latar belakang hidup mereka mereka begitu hampir dengan orang kampung.

Adalah elok kalau dalam pemilihan Umno pada Mac ini kalau ahli Umno yang membuat penilaian semula berhubung ciri-ciri pemilihan pemimpin dalam parti itu. Janganlah terlalu taksub dan memuja kaum bansgawan yang tidak pernah pun simpati kepada nasib kaum marhaen.

Saya cukup yakin nasib umat Melayu yang miskin dan melarat akan terubah kalau mereka dipimpin oleh orang yang pernah menghayati denyut nadi mereka.

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2009/01/22/1.html

3 Exco digugur rombakan PKR Pulau Pinang



Jumaat Januari 23, 2009

BUKIT MERTAJAM: Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menggugurkan tiga anggota exco kerajaan negeri daripada barisan jawatankuasa badan itu bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri.


Mereka terdiri Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin dan anggota exco Law Choo Kiang, kedua-duanya Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, dan seorang lagi anggota exco, Abdul Malik Abul Kassim, yang juga setiausahanya.


Ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu di sini malam tadi, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata mesyuarat itu bersetuju melantik Ketua Bahagian PKR Balik Pulau, Dr Mansor Othman dan Timbalan Speaker Tan Hock Leong bagi menggantikan Mohammad Fairus dan Law manakala tempat Abdul Malik pula kini disandang oleh Mustafa Kamal Mohd Yusoff, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR negeri.


Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Uban, Raveentharan a/l Subramaniam kekal sebagai Timbalan Pengerusi yang ketiga.


Anggota Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dilantik sebagai Ketua Penerangan, Anggota Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda PKR negeri dan Norhayati Jaafar sebagai Ketua Wanita Negeri.


Zahrain berkata, sebuah jawatankuasa diketuai Dr Mansor ditubuhkan untuk memantau prestasi semua exco, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anggota Parlimen dan Ahli Majlis daripada parti itu.


"Kalau prestasi mereka tidak baik dan tidak berubah, kita akan gugurkan mereka pada penggal akan datang," katanya.


Zahrain juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak berbincang dengan PKR terutamanya mengenai pelantikan penjawat sesuatu jawatan, umpamanya, langkah Ketua Menteri Lim Guan Eng melantik bekas pemimpin Gerakan Datuk Lee Kah Choon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Lembaga investPenang, iaitu badan pelaburan kerajaan negeri.


"Kita hanya dimaklumkan oleh Ketua Menteri mengenai perkara itu tetapi tidak dibawa berbincang. Jadi, kita mahu supaya beliau ambil kira kedudukan wakil dari PKR," katanya.


Pada mesyuarat malam tadi, PKR bersetuju supaya jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan juga Majlis Perbandaran Seberang Perai, ahli majlis serta pegawai daerah disandang oleh orang politik.


Zahrain berkata, PKR merancang mengadakan majlis makan malam secara besar-besaran pada Mac ini untuk mencari dana parti dan juga akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan St Anne di sini pada 1 Feb ini. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/23/mstar_mutakhir/20090123113551&sec=mstar_mutakhir

Tuduhan rasuah: Umno ambil langkah susulan politik wang



Jumaat Januari 23, 2009

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB



PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Umno akan mengambil tindakan susulan berhubung tiga ahlinya termasuk seorang Naib Ketua Bahagian yang didakwa semalam kerana dipercayai terlibat dalam politik wang, selepas mendapat laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd. Harafizam Harun berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan di bawah tata etika Umno atau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk membuat keputusan.


"Kita boleh ambil tindakan di bawah tata etika atau kedua, memaklumkan perkara itu kepada MT untuk mereka buat keputusan dalam mesyuarat mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Semalam, tiga individu didakwa termasuk Naib Ketua Umno Beruas, Azman Noh, 42 di Ipoh dan seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Junaidi Abdul Hamid, 46, di Kuala Lumpur.


Manakala, seorang lagi adalah Ketua Umno cawangan Kampung Panchor yang juga seorang kontraktor, Johari Ibrahim, 46, didakwa di Melaka.


Kesemua mereka didakwa kerana dipercayai memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno Bahagian baru-baru ini.


Sementara itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno turut menyerah diri di SPRM cawangan Temerloh semalam bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno Mac ini.


Mohd Hafarizam berkata, dakwaan tersebut adalah yang kedua melibatkan ahli Umno yang dibuat SPRM di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.


Dakwaan pertama dibuat oleh badan itu (yang dahulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR)) pada September lalu melibatkan Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang.


Mohd Nor, seorang ahli perniagaan dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua tuduhan memberi rasuah berbentuk suapan wang ringgit bagi membolehkannya dicalonkan sebagai Ketua Umno bahagian itu bagi sesi 2008 hingga 2011.


Beliau berkata, memandangkan kes ini melibatkan rasuah dan bukan lagi jatuh di bawah isu tata etika, SPRM mempunyai kuasa penuh terhadap kes ini.


Katanya, kerjasama dengan SPRM akan tetap diteruskan bagi menghapuskan gejala politik wang dalam Umno terutamanya menjelang pemilihan parti Mac ini.


"Selain itu, dengan pertambahan 12 ahli Lembaga termasuk lapan bekas pegawai BPR, kita yakin, usaha kita untuk menghapuskan gejala itu akan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif," katanya.


Ditanya sama ada akan lebih ramai lagi ahli Umno yang akan didakwa selepas ini, Mohd Hafarizam berkata, perkara itu terlalu awal untuk diramalkan.


"Dalam hal ini, jika ada laporan terus kepada SPRM, mereka akan siasat dan jika didapati tidak ada kes, mereka akan kembalikan kepada kita untuk tindakan susulan.


"Jika laporan itu dirujuk kepada Lembaga Disiplin, kita akan teliti dan jika ia berkaitan politik wang, kita akan rujuk kepada SPRM," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/23/mstar_berita/20090123103127&sec=mstar_berita

MBAS roboh sarang pelacur


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my



ALOR STAR: ‘Riwayat’ sarang pelacuran di Lorong Petani, Jalan Teluk Wanjah di sini yang beroperasi sejak 50 tahun lalu berakhir semalam apabila ia dirobohkan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) bagi membendung gejala maksiat yang berleluasa.

Kawasan sepanjang kira-kira 750 meter di atas tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terkenal dengan aktiviti pelacur murahan itu sudah beberapa kali dirobohkan pihak berkuasa, tetapi ia tetap aktif.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan mengenai kegiatan pelacuran di situ yang menjadi tumpuan ramai termasuk warga emas yang hanya membayar RM17 bagi tempoh 20 minit melakukan hubungan seks dengan pelacur di situ.

Selain itu, kawasan itu dikawal tonto yang memberi maklumat sekiranya pihak berkuasa datang ke situ untuk melakukan serbuan.

Sarang pelacuran dalam kebun pisang itu hanya menempatkan sebuah rumah, dua pondok serta beberapa khemah sebagai tempat pelacur terbabit memberikan perkhidmatan mereka sama ada siang atau malam.

Pengarah Operasi Runtuh MBAS, Md Nayan Bahari, berkata kawasan itu kini diserahkan kepada kontraktor yang menjalankan kerja pembersihan bagi pembinaan landasan berkembar KTMB.

Beliau berkata, operasi merobohkan kawasan itu membabitkan 10 agensi termasuk MBAS, Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), pejabat daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), KTMB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Operasi yang disertai 150 orang bermula jam 8 pagi itu dilakukan dengan menebang pokok serta merobohkan sebuah rumah serta dua pondok termasuk beberapa khemah dalam kebun pisang yang dijadikan tempat melakukan kegiatan maksiat itu.

“Ketika operasi, semua pelacur yang tinggal di kawasan itu tiada apabila polis sudah membuat pemantauan awal pagi semalam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, tujuan operasi itu untuk membendung gejala maksiat di kawasan itu terus menular kerana bilangan pelacur terus bertambah setiap malam.

Katanya, sepanjang pemantauan di situ oleh pihaknya malam kelmarin, aktiviti pelacuran berjalan seperti biasa sehingga kawasan itu dikosongkan pagi semalam.

Penduduk yang dikenali sebagai Hashim, 50-an berkata, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu lega apabila pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya dalam menangani masalah pelacuran di kawasan itu.

Katanya, sebelum ini, penduduk kurang selesa apabila aktiviti pelacuran di situ mencemarkan kawasan termasuk pandangan orang ramai terhadap penduduk di kampung itu.

“Sekarang semuanya selesai dan dapat kami hidup selesa kerana kawasan ini amat terkenal dengan aktiviti maksiat sejak negara kita merdeka,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084639/Article/index_html

Pondok buruk tempat berteduh


am@hmetro.com.my


Tiga beranak harap bantuan JKM RM300 sebulan, rumah tiada bekalan asas

PORT DICKSON: Akibat kedaifan hidup, sebuah keluarga tinggal di pondok buruk dalam ladang kelapa sawit di Kampung Jawa, Bukit Pelanduk, dekat sini, tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik sejak dua tahun lalu.

Malah, Goh Ah Chee, 71, bersama isterinya, Jenifer Kaban, 49, dan anaknya Goh Hock Lay, 8, bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan turut menumpang di tanah milik penduduk, Ali Napi, 74.

Goh yang berasal dari Tanjung Sepat, Selangor, berkata sebelum ini, dia bercucuk tanam sebagai hasil pendapatan tetapi kini tidak bekerja kerana sudah berusia dan mengharap belas ihsan jiran selain bantuan bulanan JKM.

Menurutnya, dia pernah berkahwin sebelum ini tetapi isteri pertamanya meninggal dunia dan mempunyai tiga anak tinggal berasingan, tetapi tidak meminta bantuan kerana mereka hidup susah lalu mengambil keputusan menetap di tempat tinggal sekarang.

“Inilah tempat kami berteduh sejak dua tahun lalu. Anak-anak bersama isteri pertama tidak banyak membantu saya kerana kehidupan mereka susah, jadi saya tidak mahu menjadi beban mereka.

“Kami bercucuk tanam secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri selain mendapat simpati daripada pihak yang prihatin,” katanya.

Jenifer yang berasal dari Surabaya, Indonesia menetap di negara ini hampir 11 tahun lalu, berkata dia sudah sembilan tahun mendirikan rumah tangga bersama Goh.

Katanya, anak mereka bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yik Chaoh, Bukit Pelanduk, namun semua perbelanjaan persekolahan itu adalah percuma kecuali alat tulis yang perlu dibeli.

“Ali banyak membantu kami dalam bentuk tenaga dan wang ringgit dan kami berterima kasih kepadanya,” kata Jenifer.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr Yeow Chai Thiam yang melawat keluarga itu, berkata biro kebajikan parti berkenaan sedang berusaha mencari penaja bagi membantu keluarga itu.

Beliau turut memuji sikap dan keprihatinan Ali membantu keluarga berkenaan walaupun dia sendiri berada dalam serba kekurangan.

“Ini contoh terbaik dalam menyemai perasaan harmoni dan toleransi tanpa mengira kaum dapat memupuk semangat kekeluargaan serta perpaduan antara kaum,” katanya.

Menurutnya, sumbangan atau derma boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di talian 019-6616999 atau 06-6672624.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084825/Article/index_html

Lima Geng Sahabat dicekup


KUALA LIPIS: Lima lelaki warga Indonesia dikenali Geng Sahabat yang terbabit dalam kejadian samun di Kampung Bapong, Padang Tengku, di sini, dan mencederakan seorang peniaga kedai runcit, Isnin lalu, berjaya dicekup polis dalam sekatan jalan raya di Raub, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata selepas kejadian di kampung berkenaan, polis melancarkan gerakan besar-besaran memburu penjenayah terbabit termasuk mendapatkan bantuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan IPD Jerantut.

Menurutnya, sepasukan anggota IPD Raub yang membuat sekatan jalan raya di Tras kemudian menahan dua motosikal ditunggangi dua lelaki warga Indonesia, kira-kira jam 7.20 pagi.

Katanya, polis yang memeriksa motosikal itu menemui pemotong besi, pemutar skru, dua telefon bimbit dan RM25 dalam raga kenderaan itu sebelum menahan seorang lagi penunggang, kira-kira jam 8.40 pagi di lokasi sama.

Beliau berkata, tiga lelaki terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah selain gagal memberi keterangan mengenai semua barangan ditemui ketika disoal siasat.

“Siasatan lanjut mendapati, dua motosikal ditunggangi lelaki terbabit milik jiran mangsa samun di Kampung Bapong dilaporkan hilang sebelum itu.

“Tiga lelaki terbabit mengaku bersahabat mendedahkan dua lagi tempat tinggal rakan di rumah kongsi di Batu 3, Jalan Raub-Lipis sebelum polis membuat serbuan,”
katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan dua lagi suspek di rumah kongsi berkenaan dibawa ke IPD Kuala Lipis untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 379 (a) kerana mencuri kenderaan bermotor.

Dalam kejadian Isnin lalu, peniaga berusia 57 tahun itu cedera di kepala akibat ditetak dengan pisau rambo selepas cuba melawan lima penyamun terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, lima penyamun memecah masuk rumah mangsa selepas memotong jeriji tingkap dapur dan mengikat anak serta pembantu rumah mangsa.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123084912/Article/index_html

‘Isteri saya tak pernah daftar’


Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my



PASIR GUDANG: “Isteri saya tidak pernah mendaftar dan tidak pernah mengundi, jadi bagaimana mereka boleh panggil dia balik mengundi di Kuala Terengganu,” kata seorang bekas anggota polis yang mendakwa menerima surat Rayuan Kepada Perantau daripada sebuah parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

Paling membingungkan lelaki berusia 46 tahun yang hanya mahu dikenali Shan itu ialah isterinya yang berasal dari Sarawak itu turut dianggap ‘anak perantau Kuala Terengganu’ sedangkan mereka hanya tinggal di bandar itu selama enam tahun sahaja bermula 1990.

Menurut Shan, isterinya yang berusia 43 tahun itu menerima sepucuk surat merayu anak perantau supaya pulang membuang undi daripada sebuah parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu, yang dialamatkan ke rumahnya di Taman Kota Masai.

“Memang kami pernah tinggal di negeri itu ketika saya bertugas di sebuah balai polis di Kuala Terengganu dari 1990 hingga 1996, selepas itu saya bersara dan kini kami bermastautin di Kota Masai.

“Tetapi apa yang isteri saya tegaskan, dia tidak pernah mendaftar sebagai pengundi bahkan sehingga hari ini pun isteri saya tidak pernah mengundi.

“Jadi bagaimana nama isteri saya muncul dan dipanggil pulang sebagai anak perantau,” katanya, semalam.

Antara isi kandungan surat yang diterima Shan pada 18 Januari lalu itu ialah rayuan presiden parti itu kepada anak perantau supaya pulang dan memberi sokongan kepada calon mereka sambil mengajak bersama untuk meneruskan kebangkitan umat selain memaparkan gambar presiden dan calon yang bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Malah tempat dan saluran mengundi turut tertera dalam surat yang ditandatangani oleh presiden parti politik berkenaan. Ini menunjukkan rekod dan maklumat peribadi isteri saya ada pada mereka (parti politik),” katanya.

Shan berkata, timbul pelbagai persoalan terutamanya berkaitan bagaimana segala maklumat seperti nombor kad pengenalan dan alamat terbaru isterinya diperoleh dan berada dalam rekod parti politik berkenaan.

“Adakah ini satu daripada cara mereka untuk mewujudkan pengundi hantu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123085600/Article/index_html

Sukar cari penumpang


Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my



Pemandu teksi, kereta sewa mengeluh pendapatan terjejas

MELAKA: Sebahagian besar pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini mengeluh akibat memperoleh pendapatan yang berkurangan serta sukar mendapat pelanggan berikutan kesan daripada kemelesetan ekonomi yang melanda dunia ketika ini dan sikap berjimat cermat orang ramai.

Difahamkan, kebanyakan pemandu teksi dan kereta sewa terbabit mendakwa hanya mampu memperoleh pendapatan purata harian antara RM50 hingga RM60 sahaja yang terpaksa ditolak dengan kos minyak.

Pemandu kereta sewa, Jaafar Selamat, 54, dari Tengkera, mendakwa sejak kebelakangan ini, dia sukar mendapat penumpang dan terpaksa menunggu sehingga tengah hari walaupun sudah memulakan kerja sejak jam 8 pagi setiap hari.

Katanya, kadang kala dia hanya mendapat dua perjalanan sahaja dalam sehari, tetapi agak bernasib baik pada hujung minggu apabila mampu memperoleh pendapatan sekitar RM100 jika mendapat penumpang warga asing.

“Pada masa ini, saya berasa memang sukar mendapatkan penumpang walaupun untuk jarak dekat, malah penumpang yang hendak pulang jauh dari bandar pula cuma sekali-kali sahaja diperoleh.

“Bayangkanlah, kalau setiap perjalanan caj tambang yang dikenakan sebanyak RM10 atau paling tinggi RM15 berdasarkan pada jarak perjalanan (trip), sudah tentu pendapatan kami tidak mencukupi jika hanya mendapat dua trip sahaja setiap hari,”
katanya ketika ditemui di perkarangan Terminal Teksi di Melaka Sentral, semalam.

Sementara itu, rakannya, Pahmi Sabtu, 60, dari Limbongan, berkata dia hanya memperoleh pendapatan antara RM40 hingga RM50 sehari dan kini semakin teruk apabila penumpang untuk perjalanan jauh seperti Johor atau Kuala Lumpur amat jarang diperoleh.

Katanya, bagi mengatasi masalah pendapatan, dia sanggup memandu teksinya ke mana sahaja asalkan ada penumpang memandangkan keadaan semakin sukar akibat kesan kegawatan ekonomi.

“Jika ada penumpang yang hendak menaiki teksi untuk perjalanan jauh, mereka boleh dianggap seperti kes kecemasan kerana pengguna yang tidak mempunyai hal begitu penting sudah pasti akan menaiki bas ekspres yang jauh lebih murah tambangnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123091510/Article/index_html

Perogol minta tambang


Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my



Pemandu perkosa gadis tangan bergari dalam teksi, cuba langgar bapa saudara mangsa

PETALING JAYA: Bukan hanya trauma selepas perawannya diragut, seorang gadis mangsa rogol pemandu teksi bernafsu haiwan itu juga dikatakan tergamam dan hanya mampu menjerit sekuat hati apabila bapa saudara yang datang untuk menyelamatkannya nyaris maut dilanggar pemandu teksi itu.

Lebih menyeksakan, apabila tangan mangsa turut digari ketika dirogol.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa berusia 28 tahun yang baru tamat waktu bekerja di pejabatnya di Bandar Utama, di sini, dikatakan menahan sebuah teksi untuk pulang.

Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa terus menaiki teksi dipandu seorang lelaki berusia 30-an. Bagaimanapun mangsa mula gelisah berikutan teksi berkenaan menghala ke sebuah kawasan gelap dan sunyi.

Wanita itu bukan hanya digari dan dirogol, malah dipukul dan selepas itu dihantar pulang ke rumahnya di Seksyen 17, di sini.

Menurut sumber, mangsa bagaimanapun tidak terus dilepaskan apabila suspek turut mengarahkannya membayar tambang teksi berkenaan.

“Menyedari peluang yang ada, mangsa membuat helah untuk masuk ke rumah bagi mendapatkan wang bagi menjelaskan tambang teksi.

“Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah, mangsa yang ketakutan terus mengadu hal berkenaan kepada bapa saudaranya berusia 41 tahun yang kemudian meluru ke arah teksi berkenaan untuk menahan suspek,”
katanya.

Menyedari kejadian itu, suspek yang panik kemudiannya melawan menyebab berlakunya pergelutan dan pemandu itu cuba melanggar bapa saudara mangsa.

Difahamkan, suspek turut melanggar beberapa lagi kenderaan yang diletakkan di tepi jalan ketika melarikan diri.

Berdasarkan maklumat daripada mangsa, suspek turut menyimpan sebilah pisau serta memiliki jaket yang tertera lambang polis dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Mangsa sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 dan 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

“Kami juga sedang giat memburu pemandu teksi berkenaan sejurus menerima laporan yang dibuat mangsa,” katanya.

Siasatan polis sehingga kini berjaya mengenal pasti jenis kenderaan yang digunakan suspek dan sedang giat memburunya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123092543/Article/index_html

Ahli MT disiasat 8 jam


Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad, Zaitie Satibi, Nor Azura Abdul Jalil dan Shamsul Kamal Amarudin
am@hmetro.comm.my


KUANTAN: Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bekas setiausaha politik menteri, disoal siasat selama lapan jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh, semalam, berkaitan satu kes rasuah politik.

Sumber SPRM memberitahu, pemimpin berusia 40-an itu, tiba di pejabat SPRM seorang diri dengan menaiki kereta Mercedes dan mula disoal siasat kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurut sumber itu, pemimpin berkenaan yang juga calon untuk ahli MT pada Perhimpunan Agung Umno, Mac ini memberi kerjasama baik sepanjang sesi soal siasat berkenaan.

Difahamkan, beliau keluar dari pejabat SPRM kira-kira jam 5.30 petang dan usaha mendapatkan komennya gagal kerana beliau enggan mengulas ketika dihubungi menerusi telefon bimbitnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Sutinah Sutan, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil pemimpin berkenaan untuk membantu siasatan kes berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana bimbang mengganggu siasatan.

Beliau turut mengesahkan setakat ini, SPRM negeri sudah memanggil lebih 35 individu termasuk ahli Umno Temerloh dan Maran untuk memberi keterangan berhubung dakwaan politik wang.

“Bukan semua saksi ditahan itu ahli Umno, malah mereka yang bukan ahli juga dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau juga enggan menamakan individu yang akan didakwa kerana terbabit dengan kegiatan itu.

Akhbar semalam melaporkan SPRM menahan 12 ahli Umno, termasuk seorang wanita berhubung kegiatan politik wang dalam beberapa siri serbuan di sekitar Maran dan Temerloh.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, dipercayai perwakilan bahagian yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno, Mac ini, dikatakan diberi wang antara RM300 hingga RM500 seorang.

Pembahagian wang itu dikatakan atas arahan seorang Ketua Umno bahagian berusia sekitar 40-an yang akan bertanding sebagai ahli MT.

Sementara itu, di ibu negara, seorang guru kanan sekolah rendah di Raub, Pahang, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam, atas dua tuduhan memberi rasuah berjumlah RM400 ketika pemilihan Umno Bahagian Raub, tahun lalu.

Tertuduh, Junaidi Abdul Hamid, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kosbiahanin Arifin.

Dia didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai kepada dua anggota Umno, Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad masing-masing RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno Bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian Raub.

Junaidi dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, kira-kira jam 8 malam, 13 September 2008.

Di Perak, Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Azman Noh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seorang perwakilan supaya mengundinya dan dua pemimpin lain bagi tiga jawatan tertinggi bahagian berkenaan Oktober lalu.

Azman, 42, yang juga seorang kontraktor, dituduh memberi suapan kepada Davad @ Daud Parman, sebagai dorongan supaya mengundi tertuduh bagi jawatan Naib Ketua, Abd Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Bahagian dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua pada mesyuarat pemilihan Umno Beruas pada 12 Oktober lalu.

Tertuduh yang memakai sut lengkap ketika prosiding semalam, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat 10A, Kampung Sungai Ramai, Ayer Tawar, dalam daerah Manjung, kira-kira jam 12 malam pada 11 Oktober lalu.

Di Melaka, Ketua Umno cawangan Panchor, Alor Gajah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM200 kepada seorang perwakilan sebagai dorongan untuk mengundi calon Ketua Umno bahagian Alor Gajah pada mesyuarat pemilihan bahagian itu, November lalu.

Tertuduh, Johari Ibrahim, 45, seorang kontraktor dari KM 22.5 Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka membuat pengakuan itu apabila kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, Johari didakwa memberi rasuah RM200 kepada Nadiah Roslan kira-kira jam 12 tengah hari pada 1 November 2008 sebagai dorongan supaya mengundi calon Ketua Umno bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Kadir Daud.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 (b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123092717/Article/index_html

Minda: Tilik bintang jejas tauhid


Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus


BUDAYA ramalan sebenarnya bukan milik masyarakat tertentu tetapi sudah wujud dalam budaya lain, misalnya Arab pada zaman jahiliyah yang amat terpengaruh dengan tilikan tukang ramal.

Masyarakat Barat juga terdorong untuk mempercayai ramalan horoskop.

Mereka membahagikan individu mengikut bintang melalui tarikh lahir seperti Aries, Pisces dan sebagainya.

Melalui bintang ini mereka membuat ramalan yang bakal berlaku kepada individu berkenaan sepanjang tahun dan bulan, bahkan setiap hari.

Ramalan horoskop turut diberikan ruangan khusus dalam media yang membuktikan ia memiliki pengaruh besar dalam masyarakat.

Jika diteliti asal-usul ilmu ramalan ini, sebahagian besar berpandukan kepada pergerakan bintang di langit atau dipanggil ilmu astrologi. Itulah sebabnya dalam masyarakat Melayu, tukang ramal dikenali ahli nujum.

Perkataan nujum berasal daripada perkataan Arab ‘najm’ yang bermaksud bintang.

Menurut Imam Ibnu Taimiyah, tanjim adalah meramal kejadian di bumi berdasarkan petunjuk keadaan bintang.

Sekiranya kita menyemak firman Allah dalam al-Quran, kita dapati terciptanya bintang di langit dan pergerakannya bukan berperanan untuk menentukan kebaikan atau keburukan perjalanan hidup makhluk Allah di atas muka bumi ini.

Peranan bintang adalah sebagai perhiasan di langit, penunjuk arah perjalanan dan sebagai pelempar syaitan.

“Dan demi sesungguhnya! Kami menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.” (al-Mulk: 5)

“Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.” (an-Nahl: 16)

Seorang tabiin terkemuka Imam Qatadah berpendapat, bagi sesiapa yang melihat hikmah kejadian bintang itu selain tiga perkara di atas, termasuk untuk menetapkan atau meramalkan apa yang bakal berlaku, menyanggahi syarak.

Ilmu ramalan sebegini mencemari tauhid dan boleh membawa kepada syirik kerana seseorang yang mengamal atau mempercayainya akan menyandarkan sesuatu kejadian kepada kekuasaan selain Allah.

Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak Allah semata-mata.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang beriman bertawakal.” (at-Taubah: 51)

Menyandarkan sesuatu musibah itu berkaitan gerakan dan kedudukan bintang adalah perbuatan tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan Allah tanpa faktor lain mempengaruhi keputusan-Nya.

Barangkali ada yang menganggap terdapat tilikan daripada ahli nujum benar-benar menjadi realiti.

Tilikan benar bukan berdasarkan ilmu yang benar cuma secara kebetulan. Ia bertepatan dengan takdir ditetapkan Allah.

Kadang-kadang tilikan mereka dibantu jin yang membisikkan ke telinga pengikutnya dan bisikan jin walaupun kadangkala benar tetapi kebanyakannya dusta, bahkan bertujuan memporak-perandakan hidup manusia.

Aisyah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu kemudian kami dapati ia adalah benar.

Rasulullah menjawab: “Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Rasulullah s.a.w mencela dengan keras ilmu astrologi dan memberi amaran ia termasuk dalam ilmu sihir yang diharamkan.

“Sesiapa mempelajari sebahagian daripada ilmu nujum (mengkaji bintang-bintang untuk membuat ramalan), maka dia mempelajari sebahagian daripada sihir. Semakin bertambah (ilmu yang dia pelajari), semakin bertambah pula (dosanya).” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a)

Antara perkara amat dikhuatiri baginda sekiranya menimpa umatnya ialah menularnya budaya mempercayai ramalan ahli nujum.

“Aku khuatir tiga hal pada umatku, kezaliman di kalangan imam, percaya kepada nujum dan dusta terhadap takdir.” (Hadis riwayat Ibnu Asakir daripada Abu Mihjan dan Imam as-Suyuthi)
Rasulullah s.a.w juga menyatakan, mereka yang menemui tukang ramal, termasuk mereka yang menggunakan ilmu astrologi dan mempercayai ramalannya, solatnya tidak diterima selama empat puluh hari, sebagaimana dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim.

Menurut baginda, mempercayai tukang ramal dan ahli nujum satu daripada perkara berbentuk kekafiran, disabdakannya dalam hadis riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya.

Sewajarnya umat Islam menghindarkan diri daripada bertemu tukang ramal, membaca dan mempercayai ramalan menurut ilmu astrologi sebegini.

Kita wajib meyakini segala ilmu mengenai perkara ghaib seperti bakal terjadi pada masa hadapan hanya milik Allah.

Sekiranya umat Islam meletakkan makhluk lain seperti peredaran bintang sebagai punca terjadinya sesuatu perkara, ia termasuk dalam kategori perbuatan syirik dan ternyata syirik satu perbuatan zalim.

Namun, kajian pergerakan bintang, bulan dan matahari bagi menentukan arah angin, arah kiblat, arah sesuatu tempat, keadaan cuaca, kiraan hari, taburan hujan dan sebagainya yang mengikuti kaedah saintifik adalah dibenarkan.

Dalam erti kata lain, Islam mengiktiraf penggunaan bintang dalam bidang astronomi dan ilmu falak.

Penulis ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123094106/Article/index_html

Jangan malu buat laporan


KUALA LUMPUR: Wanita bekerjaya yang menjadi mangsa seks rakus ‘Datuk' kasanova berstatus jutawan tidak perlu malu sebaliknya perlu segera tampil memberikan kerjasama kepada polis bagi memastikan lelaki terbabit ditahan segera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin, berkata sukar bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan jika tidak ada laporan atau aduan rasmi dibuat di balai polis.

Beliau berkata, mereka yang menjadi mangsa lelaki terbabit tidak perlu bimbang atau gentar kerana setiap maklumat yang diperoleh adalah sulit.

“Jika mangsa (wanita bekerjaya) mendapati diri mereka terperdaya, mereka tidak perlu tunggu lama sebaliknya segera memberikan maklumat kepada polis bagi membolehkan tindakan susulan.

“Angka (mangsa Datuk kasanova) yang dilaporkan besar, tetapi lebih penting perlu ada seseorang yang tampil membuat aduan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam berkaitan penangan ‘Datuk’ berstatus jutawan menjerat wanita berjawatan tinggi bukan saja menyebabkan mangsa nekad melakukan pengguguran haram, malah ada suami mangsa cuba membunuh diri selepas tidak dapat menerima hakikat isteri tersayang dinodai lelaki lain.

Datuk kasanova berusia 40-an terbabit memiliki citarasa pelik iaitu hanya memerangkap wanita sudah berkahwin dan memiliki kedudukan dalam syarikat terutama bertaraf antarabangsa bagi mendapatkan habuan seks tanpa mengira bangsa.

Dia licik memerangkap mangsa dengan menawarkan pelbagai hadiah bernilai tinggi selain percutian di beberapa pulau peranginan terkenal di luar negara.

Kisah tidak bermaruah Datuk yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Sumbang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

Beliau berkata, lebih 60 wanita bekerjaya dan memiliki kedudukan dalam syarikat korporat menjadi mangsa lelaki yang menggunakan nama samaran, Datuk Azlan.

Ketika ditanya mengenai sikap mangsa yang malu untuk membuat aduan polis, Bakri berkata, mereka yang menjadi mangsa termasuk dirogol atau dicabul memang malu untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, katanya, perasaan itu perlu diketepikan bagi membolehkan suspek yang didakwa mangsa ditahan secepat mungkin.

“Kami tidak boleh sekadar memberikan kenyataan tanpa memberikan fakta tepat kepada polis kerana ia hanya akan menyukarkan tindakan yang hendak dilakukan.

“Lebih penting, mangsa yang berasa diri mereka diperdaya lelaki terbabit tampil membuat laporan,”
katanya.

Tanpa menafikan kewujudan kewujudan golongan terbabit dalam masyarakat, Bakri meminta wanita bekerjaya yang sudah berkahwin tidak menjalinkan hubungan dengan lelaki lain kerana ia boleh memberikan kesan buruk, bukan saja kepada keluarga, malah masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123094727/Article/index_html

Perkosa gadis sunti jiran


GOMBAK: Rahsia kemurungan seorang kanak-kanak yang biasanya menyambut kepulangan ibu dengan ceria dan senyuman akhirnya terjawab apabila mangsa mengadu menjadi mangsa rogol jiran.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu bukan hanya menjadi mangsa angkara nafsu jirannya itu, malah turut dipukul ketika meronta untuk melepaskan diri.

Suspek berusia 40-an itu merogolnya dalam kejadian di sebuah rumah penempatan sementara di Batu Caves di sini pada jam 10.30 pagi kelmarin.

Perasaan curiga ibu mangsa juga mula timbul selepas melihat pakaian anaknya yang carik ditambah dengan wajah murung dan tangisan akibat menahan sakit.

Difahamkan, suspek tidak berhati perut itu menekap mulut mangsa untuk mengelakkannya menjerit dan perbuatan terkutuknya itu disedari orang ramai.

Lebih mengejutkan apabila ibu mangsa yang memeriksa kemaluan mangsa sejurus anaknya itu mengadu sakit hampir pengsan apabila melihat kesan kecederaan yang dialami.

Ibu bapa mangsa yang berang dengan kejadian itu memanggil suspek berkenaan bagaimanapun, dia yang berlagak selamba menafikan dakwaan kanak-kanak berkenaan dan menganggap mangsa sengaja mereka cerita.

Bagaimanapun, suspek seorang warga Indonesia mula panik dan menggeletar apabila ibu bapa mangsa memanggil polis dan dia akhirnya mengaku melakukan perkara terkutuk itu sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah berikutan kedua ibu bapanya keluar bekerja manakala kakaknya pelajar tingkatan lima berada di sekolah.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata suspek yang menyedari mangsa berseorangan di rumah berpura-pura kononnya untuk melihat kanak-kanak berkenaan, tetapi selepas menyedari peluangnya untuk melakukan niat jahatnya terbuka dia terus dan merogol kanak-kanak itu.

“Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan terhadap kemaluan mangsa mendapati terdapat kesan koyakan serta kecederaan serius dipercayai akibat dirogol.

“Selain itu kami turut mengambil sampel air mani dari pakaian mangsa untuk ujian makmal,”
katanya.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat itu, polis menahan lelaki berkenaan yang juga jiran kepada mangsa untuk membantu siasatan.

“Polis akan menjalankan siasatan mengenai kes ini dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kami sedang menunggu laporan ujian makmal manakala suspek dan mangsa sudah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123095238/Article/index_html

Tiga ahli Geng Black curi motor dicekup


KUALA LUMPUR: Kegiatan sekumpulan Mat Rempit yang aktif melakukan samun bermotosikal di sekitar ibu negara dan beberapa daerah di Selangor terbongkar apabila tiga ahli Geng Black diberkas polis dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.

Difahamkan, kumpulan samun dianggotai sembilan lelaki berusia 20-an itu beroperasi pada waktu malam dengan berkumpul di beberapa lokasi pilihan di ibu kota terutama di Dataran Merdeka dan sebuah kedai makanan laut di Bukit Bintang, di sini.

Semua Mat Rempit itu akan melepak di kawasan berkenaan sehingga tengah malam sebelum memulakan misi memburu mangsa di lokasi terpencil atau kawasan perumahan dengan menunggang motosikal.

Sejurus sasaran dikenal pasti, lima daripada mereka yang bertopi keledar penuh akan menyerang dan menyamun mangsa, manakala selebihnya ditugaskan mengawasi keadaan sekeliling serta kehadiran pihak berkuasa.

Sekiranya mangsa berdegil dan cuba melawan, penjenayah berkenaan akan bertindak ganas dengan mencederakan mangsa menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu terbongkar apabila tiga daripada mereka berusia 20 hingga 28 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 30 Disember 2008 dan 4 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata melalui maklumat dan risikan, pihaknya menahan dua lelaki dipercayai ahli kumpulan itu di sekitar Wangsa Maju, kira-kira jam 5.30 pagi.

“Hasil soal siasat selama empat hari seterusnya membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek di Selayang dan semua mereka bekerja sebagai budak penghantar surat serta mekanik penghawa dingin.

“Kami (polis) mengenalpasti enam lelaki termasuk ketua kumpulan itu yang digelar ‘Black’ dan sedang mempergiatkan usaha memburu mereka untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123095352/Article/index_html

Perginya ikon pop 1970-an


Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my


Mula diperkenalkan pada tahun 1977 dan disiarkan pada 1978 hingga 1984, Fantasy Island menjadi kegilaan dan ikutan masyarakat dunia ketika itu.



--------------------------------------------------------------------------------


UNGKAPAN "Saya Mr. Roarke, tuan rumah anda. Selamat datang ke Fantasy Island" dan "The plane! The plane!"...laung seorang pembantu resort menyambut tetamu. Sudah pasti kata-kata keramat itu tidak akan dilupakan peminat siri drama terkenal tahun 1970-an, Fantasy Island yang menjadi antara siri drama paling banyak ditonton ketika itu.

Drama bersiri tujuh musim itu mengisahkan sebuah resort yang mampu merealitikan impian pengunjungnya. Drama itu dibintangi oleh Ricardo Montalban sebagai Mr. Roarke yang sinonim dengan sepasang sut berwarna putih dan Herve Villechaize sebagai Tattoo yang membawa peranan sebagai pembantu resort.

Mula diperkenalkan pada tahun 1977 dan disiarkan pada 1978 hingga 1984, Fantasy Island menjadi kegilaan dan ikutan masyarakat dunia ketika itu. Drama 60 minit bagi satu episod itu turut dibintangi Christopher Hewett, Wendy Schaal dan Kimberly Beck.


RICARDO Montalban sinonim dengan sepasang sut berwarna putih yang dipakainya dalam drama bersiri Fantasy Island.

--------------------------------------------------------------------------------

Bukan mudah untuk menjadi ikon dan diingati oleh semua lapisan masyarakat dunia sehinggakan setiap ungkapan menjadi siulan peminat sehingga hari ini.

Ekoran memiliki pengikut yang begitu ramai, siri drama itu dilakonkan semula dan ditayangkan pada tahun 1998 sehingga kini. Kali ini, pelakon Malcolm McDowell membawa watak utama.

Tidak dinafikan, Ricardo atau nama sebenarnya, Ricardo Gonzalo Pedro Montalban Merino mula popular melalui drama bersiri Fantasy Island. Populariti drama tersebut membuatkan namanya meniti di bibir peminat seni dunia termasuk di Malaysia.

Tak mahu tukar nama

Dia pernah mengakui bahawa kehadiran pelakon kerdil, Herve Villechaize turut menjadi antara kunci kejayaan siri popular itu.

Dilahirkan pada 25 November 1920 di Mexico City, Ricardo merupakan anak kepada seorang pengurus stor, Jenaro Montalban dan Ricarda Merino. Ibu bapanya adalah imigran dari Sepanyol yang berhijrah ke Mexico. Dia mempunyai seorang abang yang juga pelakon, Carlos Montalban serta seorang kakak, Carmen.


SAKIT tulang belakang dan pendarahan pada leher telah melumpuhkan aktor ini.

--------------------------------------------------------------------------------

Ketika remaja, Ricardo berpindah ke Los Angeles dan tinggal bersama Carlos yang telah dahulu bertapak dalam dunia seni. Kemudian kedua-duanya berhijrah ke New York pada tahun 1940. Tidak lama selepas itu, Ricardo berjaya mendapat watak kecil dalam drama Her Cardboard Lover yang turut dibintangi Tallulah Bankhead.

Bagaimanapun, Ricardo pulang ke Mexico tidak lama selepas itu apabila mendapat tahu ibunya sedang sakit dan tidak akan hidup lama. Di tanah airnya, Ricardo telah menghasilkan beberapa filem Sepanyol dan mula mencipta nama.


RICARDO Montalban bersama pelakon wanita, Rita Morena pada tahun 1984.

--------------------------------------------------------------------------------

Selepas kematian ibunya, Ricardo berhijrah ke Hollywood. Dia pernah memberitahu bahawa pihak studio mahu menukar namanya kepada Ricky Martin tetapi dia menolak. Dalam penglibatan awal di Hollywood, dia sering mendapat watak orang Asia terutama yang berlatar belakangkan negara Jepun seperti filem Sayonara dan Hawaii Five-O: Samurai.

Ricardo kemudiannya mendapat watak utama yang pertama menerusi filem Border Incident yang dilakonkan bersama George Murphy pada tahun 1949. Sepanjang tahun 1950-an hingga 1960-an, dia merupakan satu-satunya pelakon hispanik yang aktif.


BERSAMA isterinya, Georgiana Young.

--------------------------------------------------------------------------------


KEJAYAAN Fantasy Island juga banyak dibantu oleh pelakon kerdil, Herve Villechaize.

--------------------------------------------------------------------------------

Ikon pop paling popular

Tidak dinafikan kariernya semakin bersinar dan menjadi antara ikon pop paling popular ketika itu apabila dia memegang watak Mr. Roarke dalam siri Fantasy Island.


BERSAMA isteri dan empat anak-anaknya.

--------------------------------------------------------------------------------

Selain itu, dia juga dikenali sebagai Khan Noonien Singh dalam filem Star Trek II: The Wrath of Khan dan sanggup menerima bayaran sebanyak RM350,000 sahaja kerana terlalu menyukai watak Khan tersebut.

Ketika membawa watak dalam filem tersebut, terdapat khabar angin yang mengatakan Ricardo menggunakan kostum khas bagi menampakkan dadanya yang sasa. Ini kerana ketika penggambaran filem tersebut, dia sudahpun berusia 60 tahun.

Rakan-rakan yang turut sama dalam penggambaran filem itu mempertahankannya dengan berkata, dada yang sasa seperti yang dilihat dalam filem Star Trek II adalah asli. Manakala Leonard Nimoy di dalam bukunya yang bertajuk I Am Spock, menjelaskan bahawa Ricardo merupakan seorang yang sangat aktif secara fizikal dan sentiasa bersenam. Justeru, katanya, otot-otot yang ditonjolkan di dalam filem tersebut adalah miliknya.

Selain Star Trek II, Ricardo pernah muncul dalam pelbagai genre filem seperti filem aksi, The Naked Gun: From the Files of Police Squad! sehinggalah filem, Planet of the Apes serta siri Spy Kids.

Dia juga pernah muncul dalam filem muzikal, antaranya The Singing Nun pada tahun 1966 yang turut dibintangi Debbie Reynolds. Pada masa yang sama, Ricardo pernah membawakan watak gengster Jepun dalam Hawaii Five-O (1968), Hawaii Five-O: Samurai pada 1968 serta pernah diuji bakat untuk memegang watak utama bergandingan dengan Esther William dalam filem Fiesta.

Mengenai pencapaiannya dalam industri seni, dia pernah dicalonkan bagi kategori Aktor Terbaik (Muzikal) sempena Broadway's pada 1958 dan Tony Award dalam filem Jamaica.

Sebelum dia mencipta nama dan dikenali sebagai pelakon popular, Ricardo telah mengahwini pelakon Georgiana Young pada tahun 1944 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Laura, Mark, Anita dan Victor.

Setelah 63 tahun usia perkahwinan, Georgiana Young de Montalban meninggal dunia pada 13 November 2007 ketika berusia 84 tahun.

Terjatuh dari kuda

Ricardo mengalami kecederaan tulang belakang setelah terjatuh dari kuda ketika penggambaran filem Across the Wide Missouri pada tahun 1951. Kecederaan itu menyebabkannya berjalan tempang, bagaimanapun dia berjaya 'menyembunyikan' kecacatan itu sehingga penggambaran berakhir.

Pada tahun 1993, Ricardo hilang deria rasa di bahagian kaki dan pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami pendarahan di leher, sama seperti kecederaan yang pernah dialaminya sebelum itu. Berikutan itu, Ricardo telah menjalani pembedahan selama sembilan jam setengah di Pusat Perubatan UCLA.

Di sebalik kesakitan itu, aktor ini masih berupaya untuk berlakon dalam siri televisyen terbitan Aaron Spelling bertajuk Heaven Help Us. Dia juga terbang ke San Antonio dua kali sebulan pada tahun 1994 untuk menjalani penggambaran selama dua atau tiga hari.

Penderitaan akibat sakit tulang belakang dan lumpuh sebelah badan berakhir apabila Ricardo meninggal dunia pada 14 Januari 2009. Ricardo menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Los Angeles pada usia 88 tahun kerana sakit tua.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...