Sunday, August 10, 2008
Olimpik: Brunei balik awal sebab gagal daftar atlet
Sabtu, 09 Ogos 2008
BEIJING: Brunei disingkirkan daripada Sukan Olimpik selepas gagal mendaftarkan sebarang atlet bertanding dalam mana-mana acara, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam ini.
“Ia sesuatu yang amat memalukan dan menyedihkan kepada atlet kerana tidak dapat bertanding disebabkan pasukan mereka tidak mendaftarkan nama mereka,’’ kata jurucakap IOC, Emmanuelle Moreau dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Moreau, IOC memberi tempoh hingga tengah hari tadi untuk negara itu mendaftarkan nama atlet mereka, namun ia tidak muncul.
Dua atlet yang sebelum ini dijadual membawa cabaran Brunei di Olimpik Beijing adalah perenang 15 tahun, Maria Grace Koh dan atlet lontar peluru, Mohd. Yazid Yatimi Yusof.
Dengan keputusan terbaru ini bermakna hanya 204 buah negara akan mengambil bahagian pada Temasya yang dibuka secara rasmi malam ini, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos.
Sultan Hassanal Bolkiah menjadi salah seorang tetamu diraja yang dijemput menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.
http://klpos.com/
Ya Allah, kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu
Oleh Mohd Asri Zainul Abidin
Ahad, 10 Ogos 2008
MENENTUKAN pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah.
Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya.
Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.
Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).
Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta.
Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan.
Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar.
Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).
Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan.
Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.
Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah.
Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia).
Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).
Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong.
Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul.
Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.
Pengganas
Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas.Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika.
Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika.
Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika.
Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika.
Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata.
Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan. Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak.
Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika.
Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.
Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri.
Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya.
Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta.
Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).
Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya.
Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri.
Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW.
Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.
Kegilaan kuasa
Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”.
Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan.
Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain.
Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.
Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT.
Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan. Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi.
Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. T
anggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat.
Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan.
Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’.
Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.
Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa.
Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya.
Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!
Penulis merupakan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Rencana ini dipetik daripada kolum Pena Mufti Mingguan Malaysia - Pengarang
http://klpos.com/
‘Saya rugi 2 tahun’
SELEPAS dua tahun dibelenggu penggantungan, atlit angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim tampil di Sukan Olimpik Beijing untuk mengukur setakat mana keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi.
Badang berusia 27 tahun itu yang beraksi dalam kategori bawah 56kg akan turun di Gimnasium Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing dalam saingan Kumpulan A pada jam 7 malam ini. Ikuti wawancara dengannya.
“JIKA masa boleh diputar kembali, saya mahukan tempoh dua tahun saya yang hilang kerana penggantungan itu dipulangkan. Tempoh dua tahun itu cukup merugikan dan begitu mengecewakan saya. Sepanjang tempoh itu tidak banyak yang boleh saya lakukan. Saya tidak boleh berlatih secara serius dan tidak boleh mengangkat bebanan yang sepatutnya.
Saya langsung tidak boleh memberi tumpuan 100 peratus sebab tiada kejohanan, apatah lagi kebajikan saya juga diabaikan, mujurlah ada Majlis Negeri Pahang yang prihatin memberi elaun. Saya benar-benar patah hati dibuatnya. Atas sebab itulah, saya rasa lebih baik tumpukan perhatian terhadap perniagaan katering saya ketika itu.
Tapi, sebagai atlit, semangat untuk beraksi di Olimpik tetap membaradi sanubari saya. Itulah saya rasa impian setiap insan yang menjadi ahli sukan - untuk bergelar Olimpian. Atas dasar itulah saya mengetepikan perasaan kecewa itu dan bekerja keras untuk layak walaupun saya boleh dikatakan agak terlambat dan mempunyai masa singkat ke Beijing. Bayangkan saya hanya mula berlatih secara serius pada Mei 2007 dan layak Mei lalu. Bukan mudah tapi itulah hakikatnya, saya layak dalam tempoh setahun. Mungkin saya berada di tempat terakhir 11 keseluruhan peserta yang layak, tapi saya bangga kerana tiada siapa boleh menafikan hakikat yang saya layak berdasarkan merit dan bertanding di bawah Kategori A.(Amirul layak selepas berada di kedudukan ke-11 dunia berdasarkan pencapaiannya di kejohanan kelayakan di Jepun, Mei lalu. Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan itu).Tapi, di Olimpik ini, saya tidak berani berjanji apa-apa. Kebanyakan lawan saya sudah lama bersedia ketika saya terlepas dua tahun. Kelebihan buat mereka dan kekurangan buat saya. Saya sebenarnya berada dalam keadaan baik sebelum penggantungan itu.Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan, saya boleh berada dalam kelas sama dengan pencabar saya jika tidak kerana penggantungan itu kerana sukan angkat berat ini memerlukan latihan dalam tempoh lama secara berterusan.Mengenai pencabar saya di Olimpik, saya rasa kami tidak banyak berbeza. Mungkin ada tiga atau empat atlit lain di atas saya seperti dari Indonesia, Korea Selatan dan tuan rumah, China, tapi saya tidak melihat itu sebagai sesuatu yang menghalang semangat saya. Dalam angkat berat, saingan sentiasa sengit dan apa saja boleh terjadi pada hari pertandingan. Untuk hari ini, jurulatih Xin Hui menyuruh saya mengangkat jumlah maksimum, bermakna saya akan pergi untuk angkatan keseluruhan 262kg melalui angkatan pertama saya.” (Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan kelayakan di Jepun Mei, lalu).
Nelayan jadi lanun diesel subsidi
LAKONAN semula seorang nelayan yang memerhatikan kerja-kerja memindahkan diesel subsidi di sebuah jeti di sebuah negeri di Pantai Timur baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - Diesel subsidi yang sepatutnya disediakan untuk golongan nelayan rupa-rupanya telah dijadikan sumber rezeki mudah kepada segelintir nelayan yang menjadi 'lanun' menyeludup bahan api itu.
Kegiatan haram itu terbukti melalui penyamaran wartawan Kosmo! Ahad sebagai nelayan di sebuah jeti nelayan di sebuah daerah di Pantai Timur yang telah sekian lama menjadi pusat perdagangan diesel di kalangan nelayan.
Menariknya, usaha untuk mengesan aktiviti pada hari pertama menemui kegagalan apabila kumpulan tonto yang mengawal kegiatan tersebut telah memaklumkan kepada semua nelayan terbabit tentang kedatangan orang luar.
Mereka memang tidak menduga kedatangan wartawan Kosmo! Ahad tetapi dari apa yang didengari, orang luar yang dimaksudkan ialah pegawai penguat kuasa dari Kuala Lumpur mahu membuat tinjauan di jeti tersebut.
Sejak pukul 3 pagi lagi, wartawan Kosmo! Ahad telah menunggu di jeti tersebut dengan sebuah bot pemancing yang disewa khas hinggalah matahari terbit, tiada apa yang berlaku seperti lazimnya.
Difahamkan, aktiviti penjualan diesel itu berlaku sebelum fajar menyingsing dan melibatkan lebih 20 orang pada satu-satu masa.
Modus operandi mereka bermula awal pagi apabila golongan nelayan laut dalam yang terdiri daripada kategori B, C dan C2, mengambil minyak tersebut di jeti-jeti pengisian minyak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bagaimanapun, selepas mengisi diesel pada tahap yang paling maksimum, mereka menghalakan bot ke tengah laut kononnya ingin keluar menangkap ikan tetapi sebenarnya mereka menuju ke jeti-jeti persendirian dan menuangkan kembali diesel yang diperoleh ke dalam tangki yang disediakan khas untuk tujuan tersebut.
Pada malam kedua, usaha wartawan Kosmo! Ahad berhasil apabila jeti tersebut mula dikunjungi 'peraih' sekitar pukul 1 pagi untuk menukar tong-tong yang telah diisi diesel pada siang sebelumnya dengan tong kosong.
Sebaik sahaja selesai, bot-bot peraih ini akan segera meninggalkan jeti menuju ke destinasi masing-masing.
Hubungan yang terjalin antara nelayan dan peraih minyak subsidi curi memang sedia rapat kerana tiada tawar menawar berlaku.
Peraih-peraih ini akan membawa diesel yang dibeli untuk pasaran negeri tertentu seperti Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran semasa.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, minyak diesel tersebut dijual pada harga RM1.50 seliter sedangkan harga subsidi cuma RM1 sahaja dan 'peraih minyak' pula menjual kepada orang lain pada harga RM2 berbanding harga pada pasaran sebenar iaitu RM2.58 seliter.
"Sejak subsidi diesel diperkenalkan, kegiatan ini semakin serius, kami nelayan yang benar-benar jujur selalu kecewa kerana bekalan diesel kerap habis," kata seorang nelayan yang cuma ingin dikenali sebagai Zamri.
Menurut Zamri, selain di darat, urusan jual beli turut dilakukan di kawasan perairan yang melibatkan nelayan asing seperti Thailand dan Singapura.
http://www.kosmo.com.my/
Racun kecantikan - Produk kosmetik kaki lima nipiskan kulit muka
berita@kosmo.com.my
TIDAK ramai yang menyedari kesan sampingan akibat penggunaan kosmetik jalanan. - Gambar
“TIDAK sampai tiga hari guna krim tersebut, muka saya mula mengelupas dan pedih setiap kali terkena air,” ujar Sarah (bukan nama sebenar) sebak.
Lebih memeritkan apabila tompok-tompok merah sebesar tapak tangan bayi jelas kelihatan di wajahnya hinggakan beliau sentiasa tertekan apabila perlu berjumpa dengan orang ramai.
“Lepas dua bulan, suami saya suruh berhenti menggunakan produk itu bila keadaan wajah saya jadi lebih teruk. Namun walaupun telah berhenti, kesannya masih ada,” luah Sarah yang menjadi mangsa produk kecantikan jalanan.
Bagi Nazlim (bukan nama sebenar) yang turut menjadi mangsa produk jalanan ini, situasinya lebih buruk apabila mukanya membengkak selepas seminggu memakai sejenis krim malam.
“Bahagian mulut dan mata bengkak sampaikan saya tidak boleh bercakap kerana terlalu sakit di bahagian mulut,” katanya.
Sarah, Nazlim malah ratusan lagi mangsa yang tertipu dengan produk kecantikan yang dijual dengan berleluasa di kaki lima mahupun secara langsung, kini berada dalam dilema apabila kecantikan yang diinginkan bertukar sebaliknya.
Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa kaki lima sekitar ibu negara terutama Kota Raya, Chow Kit dan Masjid India memberi gambaran betapa penjualan produk kecantikan ini semakin meningkat.
Di sekitar Kota Raya sahaja, kira-kira 30 peniaga produk kecantikan menjual barangan daripada pelbagai negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia dan juga buatan tempatan.
Produk seperti pembersih muka, krim pemutih, krim jerawat dan jeragat serta krim malam turut dijual pada ‘harga berpatutan’.
Namun meskipun produk ini diragui keberkesanan malah kandungan bahan kimianya, ia terus dijual secara berleluasa dan tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
Wanita-wanita warga asing ini cukup licik. Antara cara melindungi produk mereka daripada dirampas ialah dengan memberi barangan itu tanpa kotak kepada pelanggan.
Kotak itu sebaliknya disimpan di dalam sebuah beg khas dan tidak sekali-kali diberikan kepada pembeli.
Penjual dipercayai cuba menyembunyikan sesuatu dan cara ini mungkin strategi mengurangkan kerugian apabila diserbu oleh pihak berkuasa.
Golongan pembeli yang terdiri daripada warga asing dan tempatan tidak terlepas daripada dipengaruhi mengunakan produk ini.
Menyentuh mengenai harga, barangan penjagaan wajah tersebut dijual kadangkala mencecah sehingga RM100. Di sesetengah tempat pula hanya RM5 bagi satu produk.
Seorang peniaga di situ mendakwa, produk yang dibekalkan dari Indonesia itu digunakan bukan sahaja oleh masyarakat tempatan.
“Orang Melayu, Cina, Bangladesh atau Filipina sekali pun ada yang membeli produk ini dan ia bergantung kepada kepandaian peniaga memujuk,” ujar wanita dari Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Charmine.
Charmine yang telah meniaga di Kota Raya selama lima tahun memberitahu, pada mula dia hanya membantu seorang rakannya. Namun apabila melihat sambutan yang menggalakkan, dia terus menjualnya sendiri.
“Pelanggan tidak kira lelaki atau perempuan namun barangan dari Indonesia memang laris,” katanya.
Pembungkusan diragui
FAHAMI label kandungan sebelum membeli. - Gambar hiasan
KANDUNGAN belum tentu selamat dan cara pemprosesan turut diragui menjadikan produk kosmetik jalanan seumpama bom waktu kepada mereka yang gemar menggunakannya.
Demikian tegas pensyarah Jabatan Farmakognosis/Kimia Farmaseutikal di Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zhari Ismail. Beliau meminta masyarakat menyedari bahaya menggunakan produk itu.
Sebab itulah amat penting bagi pengguna memilih produk yang didaftarkan.”
Keberkesanan dan keselamatan ubatan atau dadah, ujar beliau, terutama yang dipasarkan secara terbuka di luar farmasi haruslah mengikut piawaian dan selamat digunakan.
SEBAHAGIAN besar produk jalanan dijual bebas oleh peniaga warga asing. - Gambar hiasan
Seandainya dibeli di kaki atau pengedar yang tidak diketahui kesahihannya, pelbagai kesan akan timbul malah kadangkala boleh membawa maut.
Di samping itu, pencemaran bahan dan penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap kesihatan walaupun herba atau ubat tersebut telah digunakan turun-temurun.
“Di jalanan, soal pembungkusan waima asal-usul pengeluar produk tidak dapat dikenal pasti malah harga yang ditawarkan belum tentu berbaloi dengan kesan jangka panjang penggunaan produk tersebut,” jelasnya.
Tambah Zhari lagi, secara am, sekiranya maklumat mengenai bahan serta identiti pengeluar tidak disertakan bersama produk, ia menandakan seolah-olah syarikat tersebut cuba ‘menyembunyikan’ sesuatu.
“Bahan seperti asid, raksa atau logam berbahaya seringkali digunakan dan kita tidak mahu pengguna terus tertipu dengan produk jalanan ini,” tegasnya.
Selain raksa, plumbum di dalam produk jalanan, lemak babi pun ada
KOSMETIK didefinisikan sebagai sebarang inti bahan atau persediaan khusus untuk dihubung dengan bahagian luaran tubuh bagi tujuan membersih, mewangi, mengubah atau membetulkan keadaan.
Bahagian terbabit termasuk sistem kulit, rambut, kuku, mulut atau organ kemaluan. Bahan berkenaan juga dihasilkan untuk melindungi atau memastikan badan berada dalam keadaan baik.
Namun keghairahan beberapa pihak dalam mengeluarkan serta memasarkan produk kecantikan mungkin mengundang bencana apabila kandungannya tidak mengikut piawaian pihak berkuasa.
Menurut Pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, bahan kimia yang terdapat di dalam bahan perawatan wajah yang dijual di jalanan sebenarnya amat menakutkan kita.
“Kajian CAP mendapati kandungan raksa di dalam produk tertentu melebihi dua peratus manakala hidrokuinin yang digunakan sebagai agen pemutih wajah melebihi 0.5 peratus daripada bahagian persejuta,” katanya.
Hidrokuinin ialah sejenis peluntur turut berperanan menghakis kulit.
Lebih membimbangkan, ada di antara produk tersebut menggunakan lemak babi.
Justeru, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 terhadap peniaga yang didapati menjual kosmetik palsu serta produk berbahaya tersebut secara terbuka.
Tambah Hatijah, pihak berkuasa sentiasa tegas dalam hal ini kerana penjualan kosmetik tiruan atau barangan palsu lain jelas bertentangan dengan akta tersebut.
“Peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Tambah beliau, pemilik kilang atau syarikat yang didapati bersalah mengeluarkan barang tiruan termasuk kosmetik, boleh didenda sebanyak RM250,000.
PIHAK berkuasa perlu lebih tegas menangani penjualan kosmetik yang diragui tahap keselamatannya. – Gambar hiasan
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan penjualan produk kosmetik tiruan .
Malah modus operandi seperti penggunaan pengintip dan kerap bertukar lokasi perniagaan untuk mengelakkan daripada ditangkap pihak berkuasa tidak lagi berkesan.
“Peningkatan peniaga produk kecantikan tiruan ini mungkin berpunca daripada satu sindiket dan pihak berkuasa tidak akan membiarkannya.
“Rampasan serta serbuan adalah buktinya,” ujar sumber di KPDNHEP ketika dihubungi.
Warisan senjata tajam identiti Sarawak
JAUH di pedalaman, seorang penghuni Rumah Panjang Banyan di Kampung Sungai Sugai, kira-kira 150 kilometer dari Sibu, tidak menduga kemahiran yang dipelajari pada usia muda berguna untuk meneruskan kehidupan.
Kepandaiannya membuat pelbagai jenis parang dengan tangan sendiri sememangnya mengagumkan. Ia pastinya bukan dipelajari dalam tempoh sehari dua.
Namun selepas 30 tahun mengusahakan parang beridentitikan Sarawak, seni tangan Tadong Mit, 53, dicari-cari penggemar parang hiasan.
Terkenal dengan panggilan Pak Tadong, kemahiran membuat parang dipelajari beliau daripada beberapa orang lama yang kini semuanya sudah meninggal dunia.
Beliau merupakan satu-satunya pewaris yang masih pandai membuat parang.
“Saya buat parang dengan kreativiti sendiri dan menggunakan kaedah tradisional. Bahan untuk membuatnya saya peroleh daripada besi terpakai kerana ia lebih jimat,” katanya.
Jenis-jenis parang yang dihasilkan dan terkenal di negeri ini termasuklah parang nyabor, parang ilang, pedang, parang panjang dan parang pendek di samping pisau penoreh getah.
Setiap parang dijual mengikut saiz, jenis dan kehalusan pembuatannya, biasanya antara RM130 hingga RM250. Tempahan banyak diterima sewaktu masyarakat memulakan penanaman padi.
Ini kerana pada waktu itu parang tajam diperlukan untuk merimba hutan atau kawasan pertanian. Ada juga yang menempah parang untuk dijadikan perhiasan rumah.
“Parang yang saya hasilkan mungkin telah dijual di seluruh Sarawak. Ada juga individu dari Semenanjung yang membelinya. Namun tempahan yang paling banyak diterima ialah pisau toreh.
“Ini memandangkan ramai penduduk di sekitar Sibu yang bekerja menoreh getah,” ujarnya. Walaupun pisau itu ada dijual di pekan, namun mereka terus menempah daripada Pak Tadong. Apa tidaknya, parang beliau dibuat mengikut cita rasa penoreh getah dan selesa digunakan.
Pak Tadong juga memiliki sebuah bengkel khusus yang dibina di tanah kebun miliknya.
KEMAHIRAN membuat parang tradisional turut menjadikan Sarawak kaya dengan pelbagai warisan asli. - Gambar hiasan
Untuk ke sana dari kediaman Pak Tadong, mengambil masa 30 minit berjalan kaki, termasuk terpaksa melalui dua batang anak sungai dan sebatang sungai besar serta meredah anak bukit dan belukar.
Tambahnya, jika hujan lebat, dia tidak pergi ke bengkel kerana paras air akan naik manakala arus deras menyukarkan beliau untuk menyeberang.
“Saya ke bengkel setiap hari namun jika hujan lebat, saya tidak ke sana. Sebolehnya, saya ke bengkel seawal pagi untuk melakukan kerja membuat parang.
“Sebelah malam pula banyak dihabiskan untuk menghaluskan parang yang telah siap,” ujar Pak Tadong.
Dalam pada itu, anak lelakinya, Serang Tadong, 28, mahu mewarisi kepandaian bapanya sebagai tukang besi, sekali gus menyambung tradisi keluarga mereka dalam membuat parang yang beridentitikan warisan negeri Sarawak.
“Pada masa ini, saya sedang mempelajari kemahiran ayah dan membantunya menyiapkan tempahan. Walaupun susah, kemahiran itu jika tidak dipelajari akan hilang begitu sahaja,” katanya.
Serang berkata, bapanya tidak pernah jemu untuk menghasilkan senjata itu meskipun menyedari pendapatannya tidak seberapa.
TADONG (kanan) bersama anaknya bangga dalam meneruskan tradisi pembuatan parang tradisional di Bumi Kenyalang.
Disebabkan bukan setiap hari bapanya menerima tempahan malah kadang-kadang tiada langsung, mereka sekeluarga turut mengusahakan kebun lada dan getah untuk menambah pendapatan.
“Walaupun pendapatan daripada membuat parang tidak menentu, yang penting kemahiran itu harus dipelajari dan diwarisi oleh generasi muda seperti saya.
“Jika tidak, 10 atau 20 tahun nanti, kita tidak akan dapat melihat jenis-jenis parang beridentitikan negeri ini lagi, walhal kita adalah anak muda yang mampu untuk mempertahankannya,” ujar Serang.
http://www.kosmo.com.my/
Saya bukan berbogel - Charm V.E
Dari corong telefon kedengaran sayup, tegas bersulam nada kurang senang lahir daripada jiwa seorang Charma Adizalilullah Abdul Khalik atau Charm. Anggota grup V.E ini sudah dapat menebak apa yang ingin saya ajukan.
Tapi Charm, 31, tenang, dan sesekali keluh kesahnya menandakan dia sangat kesal dengan pelbagai tohmahan yang hinggap pada dirinya. Seumpama tidak pernah sedikit pun dia membuat kebaikan sebelum ini.
Semuanya gara-gara gambar mesranya bersama seorang gadis yang didakwa sebagai kekasih tersebar luas di Internet. Gadis itu juga dikatakan orang ketiga yang menyebabkan rumah tangga penyanyi ini runtuh.
Bagai menyimbah minyak ke dalam api, sensasi Charm menjadi panas apabila Charm menceraikan isterinya, Kiki Karmila dengan talak tiga sejurus Kiki melahirkan zuriat ketiga mereka.
Gadis yang dipercayai berusia awal 20-an dan dikenali sebagai Farah itu kini didakwa merupakan kekasih baru anggota kumpulan vokal berharmoni yang terkenal dengan lagu Pop Yeh Yeh itu.
Malah Charm kini diuar-uarkan sedang merancang untuk bernikah dengan Farah sekitar April tahun depan.
Charm, petang itu, bercakap dalam nada kesal dan enggan mengulas panjang. Katanya dia keberatan memberi sebarang kenyataan dan mahu membiarkan isu peribadinya ini berlalu pergi.
Peribadi, pada pendapat lelaki ini harus disimpan rapi dan bukannya untuk dikongsi bersama umum. Hanya orang yang tidak bertanggungjawab dan kurang cerdik suka mengambil tahu hal orang.
Bagaimanapun Charm sempat memberi sedikit reaksi mengenai kontroversi yang tercetus dalam perbualan singkat kami kerana sedang menghadiri majlis pernikahan adik lelakinya minggu ini.
Mengenai gambar kamu mesra dengan seorang wanita, yang tentunya bukan isteri kamu. Apa komen kamu?
Siapa yang sebarkan gambar itu sebenarnya kurang cerdik. Tapi saya okey sebab saya bukannya berbogel.
Cuma saya rasa kurang adil bila orang sebarkan gambar kami sahaja sedangkan pada waktu itu kami keluar beramai-ramai. Dia kawan saya.
Memang gambar itu mesra dan dia (wanita itu) juga ada ambil gambar seperti itu dengan kawan-kawannya yang lain. Gambar ini sebenarnya diambil selepas saya bercerai.
Macam mana kamu melihat isu ini?
Biarlah orang nak cakap apa. Saya malas nak komen. Biar Tuhan tentukan, saya serahkan pada Tuhan.
Cerai talak tiga dan baru mendapat cahaya mata. Ramai yang lihat kamu nakal dan agak kejam?
Kalau boleh saya tak nak jawab soalan ini. Saya tak nak burukkan lagi keadaan. Tapi saya sahkan memang saya sudah bercerai. - MALIAH SURIP
Filem Mamat Khalid menang besar
PENERBIT filem Anak Halal, Gayathri Sue Pillay (kiri), Mamat Khalid (Pengarah Terbaik) dan Rosyam Nor (Pelakon Lelaki Terbaik) bersama trofi masing-masing pada FFM 21 di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Karya sutradara tersohor, Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) menang besar pada Festival Filem Malaysia 21 (FFM 21) apabila menggondol beberapa anugerah tertinggi festival termasuk Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, dan Pelakon Lelaki Terbaik.
Kemenangan tersebut menyaksikan filem neor ini membawa pulang RM50,000 beserta trofi.
Dominasi kemenangan KMBM bagaimanapun diberi saingan sengit daripada 1957 Hati Malaya yang membawa pulang anugerah bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki, Lagu Tema Asal, Skor Muzik Asal dan Penyunting Terbaik.
Bagaimanapun, sutradara Osman Ali turut mencipta rekod tersendiri apabila Anak Halal merangkul tiga daripada 12 kategori yang dipertandingkan.
Kemenangan tersebut termasuk bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dinobatkan kepada Maya Karin. Maya bagaimanapun tidak hadir kerana sedang menghitung detik bergelar raja sehari di Itali pada 14 Ogos ini.
Sementara itu, filem Wayang milik Dr. Hatta Azad Khan tidak tercicir daripada pengiktirafan apabila membawa pulang Anugerah Kategori Khas Juri dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.