Kusta kembali menjadi penyakit yang digeruni oleh penduduk Mumbai apabila semakin ramai dikesan menghidap penyakit itu.
SMITA berasa terlalu kecewa selepas mendapat tahu beliau menghidap penyakit kusta. "Saya rasa sangat sedih dan tidak tahu bagaimana harus menempuhnya," katanya sambil mengesat air mata.
Suri rumah berumur 42 tahun itu didiagnosis menghidap kusta pada tahun 2007 selepas menemui luka-luka di muka, lutut dan beberapa bahagian lain-lain di badannya.
Smita mengalami simptom lain seperti hilang upaya menggerakkan tangan membuatkan beliau sukar untuk menjamah makanan, membasuh dan memasak.
Smita meminta agar namanya tidak didedahkan kerana takut stigma masyarakat, kehidupannya di Mumbai dan sumber kewangannya yang bakal terjejas akibat penyakit yang dihidapinya.
Dia tidak menyangka penyakit kusta itu boleh menjangkitinya sedangkan penyakit itu secara rasmi telah dihapuskan daripada Mumbai pada tahun 2004 dan seluruh negara pada tahun 2005.
Namun, ia bukanlah satu kes terpencil. Menurut pegawai kesihatan awam, terdapat lebih daripada 1,145 kes baru kusta di Mumbai sejak Februari 2008 hingga Mac 2009. Satu peningkatan daripada 1,070 kes pada tahun 2007 dan 2008.
Kebanyakan kes berlaku adalah di kawasan sesak dengan rakyatyang miskin. Lebih separuh kawasan Mumbai kebanjiran dengan pekerja asing. Ini menyebabkan penyakit ini berada di luar kawalan.
Kelaziman kusta yang berlaku di Mumbai pada masa ini adalah 0.53 kes setiap 10,000, di bawah aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu kes bagi setiap 10,000 orang.
Dr. Ramaswamy Ganapati, seorang pesara yang mengetuai Projek Kebajikan Kusta memberitahu: "Apabila anda pergi ke kawasan tersebut, baru anda sedar masalah yang dihadapi adalah sangat tinggi. Ia berkemungkinan tiga hingga empat kes setiap 10,000 orang," katanya.
Pertubuhan Penyelidikan Perubatan di Mumbai (FMR) juga memberitahu, kes kusta yang berlaku adalah lebih tinggi daripada jangkaan statistik yang disasarkan oleh kerajaan.
Bukti mengenai penyakit ini tidak sukar untuk dicari. Sesetengah bandar mempunyai ramai pengemis yang menanggung derita luka kusta yang menakutkan.
Pengemis ini biasanya menunggu kenderaan berhenti untuk meminta derma atau membuat pertukaran wang kecil.
Kusta secara perlahan-lahan menghasilkan jangkitan bakteria yang memberi kesan kepada kulit, saraf periferal dan membran mukus pada hidung, kerongkong dan mata.
Kesannya, ia mencacatkan kulit, merosakkan saraf dan menyebabkan para penghidapnya beransur-ansur lemah.
Ganapati dan FMR menyalahkan peningkatan kes kusta.
Ini termasuklah beberapa program khusus untuk menghapuskan penyakit itu. Jelasnya, para doktor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan satu aliran peningkatan dalam kes kusta di Mumbai.
Beliau juga mengingatkan penduduk India dengan populasi lebih 10 juta orang itu bahawa penyakit kusta bakal merebak dan meningkat.
Sementara itu, sebuah badan kebajikan yang dikenali sebagai Amanah Kusta Bombay yang ditubuhkan oleh Ganapati menggunakan khidmat dua orang doktor sepenuh masa dengan bantuan pelajar perubatan untuk merawat kusta di sana.
Setiap hari para doktor di Amanah Kusta Bombay melihat sebahagian daripada 30 orang pesakit kusta bersilih ganti duduk di bawah kanopi plastik menunggu masa untuk dirawat.
Termasuklah Smita, yang hadir untuk menjalani rawatan di badan kebajikan tersebut selepas beliau didiagnosis menghidap kusta.
Semua pesakit kelihatan cukup sihat selepas menjalani rawatan meskipun terdapat kesan parut dan kecacatan kulit akibat jangkitan penyakit tersebut.
"Banyak kerja yang harus dilakukan dalam menghadapi kes sebegini," kata Dr. Vivek Pai sambil membetul dan meluruskan otot-otot tangan kanan Smita.
"Jika kita dapat merawat pesakit dalam masa enam bulan selepas mereka dijangkiti, kita boleh menghilangkan kesan pada saraf dan otot mereka, tetapi jika selepas setahun berkemungkinan ia sukar atau mustahil.
Pai bersetuju dengan Ganapati bahawa kurangnya tumpuan pada kusta menyumbang kepada peningkatan penyakit tersebut.
Walaupun ia melibatkan pengurangan hanya satu peratus, namun ia memudahkan rawatan penyakit ini.
Menurut WHO dan statistik kerajaan Mumbai, penyakit kusta jatuh satu kes dalam 10,000 sebagai tanda aras di India pada tahun 2005, tetapi masih ada lagi 138,000 kes baru mengenai kusta yang akan muncul pada tahun 2007 hingga 2008.
"Peningkatan kes ini terjadi disebabkan pengesanannya dihentikan. Banyak laporan mengenai kes kusta, malangnya tiada sebarang tindakan yang dibuat," kata Pai.
Untuk Smita, sedikit ubat digunakan dalam memulihkan penyakit kustanya. Walaupun telah dirawat selama dua tahun, beliau masih memerlukan rawatan fisioterapi untuk membaik pulih sarafnya yang rosak dan kecacatan tangan kanannya.
"Pasti ada cahaya di hujung terowong biarpun ia memakan masa yang panjang. Begitu juga dengan penyakit kusta, akhirnya berjaya diatasi," kata Ganapati. - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm