Saturday, June 5, 2010

Nyaris ke Lombok

Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/06/05

KULIM: “Adam tiba-tiba memasuki teksi yang saya naiki dan menyuruh pemandu membawa kami ke stesen bas Kulim.

“Dalam perjalanan itu, Adam memberitahu yang dia ingin ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakannya,” kata pelajar tingkatan satu, Siti Nur Hidayah Mohd Razi ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Remaja berusia 13 tahun itu pada mulanya berniat untuk lari dari rumah tetapi bertukar mimpi ngeri apabila jirannya seorang warga Indonesia berasal dari Lombok yang hanya dikenalinya dua minggu lalu tiba-tiba memasuki teksi dinaikinya untuk ke bandar Kulim.


Seperti lagak seorang hero dalam filem hindi, warga Indonesia itu memujuk Hidayah agar tidak risau dan akan membantunya menyelesaikan masalah selepas tiba di Kuala Lumpur.


“Dia memujuk saya untuk mengikutnya ke Kuala Lumpur. Saya mengikutnya kerana tiada hala tuju ketika itu,” katanya yang menceritakan pengalaman pertamanya lari dari rumah. Seolah-olah dipukau, Hidayah yang keluar rumah tanpa memakai pakaian sekolah kira-kira jam 7 pagi kelmarin, mengikuti Adam ke stesen bas itu untuk mendapatkan tiket ke Kuala Lumpur pada jam kira-kira 9 pagi.


Bagaimanapun, hajat warga Indonesia itu untuk melarikan Hidayah tidak kesampaian apabila wang yang dibawanya tidak mencukupi dan penjual tiket bas yang mengesyaki tingkah laku mencurigakan lelaki itu kemudian bertindak menghubungi polis.


“Dia hanya mempunyai RM35 ketika itu dan tidak cukup untuk beli dua tiket bas ke Kuala Lumpur. Ketika menunggu di stesen bas, dua orang polis datang memeriksa Adam dan saya,” kata anak sulung dari enam beradik itu.


Pihak polis yang tiba kemudian membawa Hidayah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.


“Saya sangat takut ketika dibawa ke balai polis kerana tidak membawa kad pengenalan dan selepas disoal siasat pegawai polis, saya memberitahu tujuan saya ialah untuk lari dari rumah,” katanya. Polis yang berjaya menjejaki keluarga remaja itu kemudian mempertemukan Hidayah dengan ibu bapanya di IPD Kulim, kira-kira jam 11 pagi.

Hidayah berkata, dia bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa warga Indonesia itu dan berjanji tidak akan lari dari rumah lagi. Sementara itu, ibu mangsa, Azlina Azmi berkata, dia sangat terkejut dan cemas kerana polis datang menjemputnya bersama suami di tempat kerjanya di sebuah kilang yang terletak berhampiran rumahnya.

“Saya sangat risau dan suami tidak menceritakan apa berlaku. Ketika sampai di IPD Kulim barulah saya tahu Hidayah cuba lari dari rumah dan ditahan bersama seorang warga Indonesia yang juga jiran saya,” katanya. Azlina berkata, ketika itu suaminya menjadi sangat marah dan mula menyoal warga Indonesia itu yang dipercayai buruh ladang kelapa sawit.


"Kami langsung tidak mengesyaki Hidayah akan lari dari rumah kerana kami keluar awal untuk bekerja dan dia pula memberitahu akan ke sekolah. "Tambah pelik ialah dia sanggup mengikuti warga Indonesia itu kerana saya tidak pernah melihat mereka bercakap sebelum ini," katanya. Azlina berkata, dia bersyukur kerana niat warga Indonesia itu mahu membawa anaknya ke Kuala Lumpur akhirnya memerangkap mereka sehingga ditahan polis.


Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis menerima panggilan dari orang awam yang mengesyaki tingkah laku pasangan itu dan sebuah kereta peronda dihantar untuk memeriksa.


“Setelah pemeriksaan dibuat, pasangan itu dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut dan lelaki warga Indonesia itu ditahan kerana tiada dokumen lengkap,” katanya sambil menambah Hidayah diserahkan semula kepada keluarganya selepas soal siasat dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/NyariskeLombok/Article

Pengasuh bayi cuai

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/05

KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia tujuh bulan menjadi korban kerusi bayi (walker) kesayangannya apabila meninggal dunia akibat terjatuh daripada kerusi berkenaan ketika berada di rumah pengasuhnya di Pangsapuri Sri Nilam, Bandar Baru Ampang.

Lebih menyedihkan, kejadian itu hanya disedari bapa bayi terbabit, Nasir Rajali, 27 ketika dia menjemput anak tunggalnya itu, Nasrul Hakim Nasir kira-kira jam 6 petang, Rabu lalu sedangkan pemeriksaan doktor mendapati mangsa terjatuh empat jam sebelum itu.


Ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), Nasir berkata, sejurus mendapati anaknya kekejangan, dia bergegas membawanya ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan namun anaknya dipindahkan ke HKL kerana tidak sedarkan diri.


“Pengasuh terbabit menghantar SMS ketika saya di dalam bas sewaktu pulang daripada kerja memberitahu anak saya mengalami kekejangan.


“Namun saya tidak menyangka keadaannya serius hingga saya tiba di rumahnya dan mendapati Nasrul bukan saja kekejangan, malah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,”
katanya sebak.


Nasir berkata, dia terkilan kerana pengasuh terbabit tidak mengambil tindakan pantas dengan menghubungi ambulans atau terus menghubunginya sedangkan pemeriksaan doktor mendapati bayi itu terjatuh lebih awal.


“Saya percaya kejadian ini berlaku akibat kecuaian pengasuh itu, apatah lagi dia enggan bertanggungjawab serta berdolak-dalik ketika meminta penjelasan.


“Selepas dua hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi serta menjalani pembedahan membuang ketulan darah beku di kepalanya, anak saya akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi (semalam),”
katanya yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara.


Sementara itu, isteri Nasir, seorang warga Indonesia dikenali sebagai Seriyanti, 22, yang ditemui seolah-olah bingung dan hanya mengusap jenazah bayinya ketika menunggu untuk dibedah siasat.


“Pada pagi kejadian, Nasrul memeluk dan mencium saya berkali-kali serta makan dengan penuh berselera. Pada petang pula, saya dimaklumkan dia tidak sedarkan diri dan hari ini dia meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, siasatan awal mendapati bayi itu dikatakan terjatuh ketika bermain sendirian di rumah pengasuhnya ketika wanita berusia 40 tahun itu sedang masak di dapur.

“Buat masa ini, polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut tetapi siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya termasuk kemungkinan didera.


“Setakat ini, doktor yang merawatnya mengesahkan bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala disebabkan hentakan kuat kerana terjatuh dan tiada sebarang kesan penderaan ditemui pada tubuhnya, “
katanya yang menunggu laporan bedah siasat dijangka diperoleh hari ini.


Abdul Jalil berkata, pihak hospital sebelum ini membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana mengesyaki ada unsur penderaan terhadap bayi berkenaan tetapi siasatan setakat ini mendapati tiada kaitan unsur jenayah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pengasuhbayicuai/Article

Maut didera

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/05

KUALA LUMPUR: Ibarat tahanan! Itulah yang boleh digambarkan nasib kanak-kanak malang, Hazrieq Naufal Abdullah, 3, yang maut akibat didera teman lelaki ibunya di rumah mereka di kondominium di Sentul.

Selain sering dibiarkan keseorangan di rumah dengan dibekalkan sebotol susu, kanak-kanak itu menjadi mangsa panas baran penganggur berusia 25 tahun.


Menurut rakan ibu mangsa yang enggan dikenali, ketakutan dan trauma pada kanak-kanak itu jelas kelihatan apabila dia sendiri pernah melihat keadaan kanak-kanak itu diam, hanya dengan isyarat jelingan daripada teman lelaki ibunya ketika keluar bersama baru-baru ini.


Katanya, ibu kanak-kanak berusia 23 tahun pernah meminta tolong menetap di kediamannya bagi melarikan diri daripada cengkaman teman lelakinya yang panas baran.


“Ibu Hazrieq sering mengadu tidak tahan dengan sikap teman lelakinya yang panas baran. Setiap kali dia keluar bekerja, Hazrieq ditinggalkan bersama teman lelakinya itu yang tidak bekerja sejak berhenti berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan.


Ibu Hazrieq dilarang mempunyai kunci pendua rumah. Apabila pulang bekerja dia bermain dengan anaknya menerusi pintu jeriji sehingga teman lelakinya pulang,” katanya.


Difahamkan, ibu kanak-kanak malang itu menjadi ibu tunggal sejak mangsa dilahirkan Disember 2007 dan bapanya tidak dapat dikesan sehingga kini.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu maut akibat mengalami hentakan kuat di kepala.


“Bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu ‘blunt taruma to the head’ (hentakan objek tumpul di kepala), namun tiada sebarang unsur seksual berlaku ke atasnya.


“Selain itu polis tidak menolak kemungkinan penderaan berlaku untuk beberapa tempoh berdasarkan kesan lebam lama pada tubuh mangsa,”
katanya.


Katanya, polis meragui keterangan ibu dan teman lelakinya mendakwa mangsa jatuh di pangsapuri tempat kediaman mereka.

“Buat masa ini kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari mulai hari ini hingga 10 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.


Dalam kejadian Khamis lalu, kanak-kanak itu dibawa ke klinik berdekatan kediamannya di Sentul oleh kedua-dua suspek, namun dipindahkan ke Hospital Selayang kerana tidak sedarkan diri.


Doktor yang memeriksa kanak-kanak itu mendapati dia meninggal dunia sejurus selepas tiba di hospital dan lebih mengejutkan, terdapat beberapa kesan lebam dipercayai akibat didera ditemui di muka, lengan kanan, belakang badan serta kesan luka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautdidera/Article

Umpan karaoke

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/06/05

AMPANG: Pemandu teksi durjana yang juga perogol bersiri membabitkan sekurang-kurangnya 10 pelajar sekolah sekitar daerah Ampang Jaya di sini, dikesan kerap menggunakan taktik membelanja mangsa ke pusat hiburan karaoke secara percuma sebagai umpan awal sebelum memperkosa mangsa.

Pemandu teksi berusia 54 tahun itu didakwa turut menggunakan pil khayal dipercayai Eramin 5 untuk membuatkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Taman Muda, Ampang di sini untuk diperkosa.


Seorang mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, dia bersama dua rakan sebelum ini berkenalan dengan pemandu teksi terbabit yang kerap menawarkan mereka perkhidmatan teksi percuma ke mana-mana destinasi dikehendaki.


“Pemandu teksi itu kerap menggunakan pendekatan psikologi selain pandai mengambil hati kami yang menyangka dia benar-benar pak cik budiman. Malah, kami tidak perlu membayar sesen pun tambang teksi setiap kali menggunakan perkhidmatannya.


“Kami hanya perlu menghubungi telefon bimbitnya dan pemandu teksi terbabit akan datang mengambil kami di rumah. Malah, dia kerap membelanja kami menyanyi di karaoke selain diberikan pil khayal untuk berseronok,” katanya ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang di sini untuk membuat laporan berhubung kes rogol dan cabul oleh suspek, petang semalam.


Mangsa yang berusia 17 tahun datang membuat laporan polis bersama dua rakannya yang turut menjadi mangsa cabul pemandu teksi terbabit pada Ogos tahun lalu, “Saya sebelum ini takut membuat laporan polis kerana pernah diugut rakaman klip video kami ketika diperkosa akan disebarkan kepada umum sekiranya kami membuat laporan polis.


“Ugutan itu menyebabkan kami tertekan dan terpaksa menjadi hamba seks pemandu teksi terbabit yang menghubungi kami dan memaksa melakukan hubungan seks dengannya,”
katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Ampang, semalam.


Menurutnya, seorang remaja perempuan tidak dikenali turut didakwa menjadi dalang perbuatan jijik itu apabila merakam video setiap mangsa yang diperkosa atas arahan pemandu teksi terbabit.


Dia yang pernah dirogol tampil membuat laporan polis selepas dipujuk rakan lain kira-kira jam 4.30 petang.


Tiga mangsa terbabit bertemu Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan dan pegawai penyiasat kes terbabit sebelum keterangan lanjut direkodkan.


Sehingga kini enam mangsa sudah tampil membuat laporan sejak suspek diberkas polis, Isnin lalu. Dipercayai sekurang-kurangnya 10 remaja sekolah pernah menjadi mangsa pemandu teksi terbabit yang pernah bekerja sebagai wartawan sambilan sebuah akhbar berbahasa Cina di Johor Bahru, sebelum ini.

Sementara itu, Abdul Jalil yang dihubungi berkata, pihaknya dalam proses mengambil keterangan tiga remaja perempuan terbabit bagi memastikan sama ada maklumat diberikan tepat dan ada kaitan dengan pemandu teksi ditahan itu.


“Setakat ini hanya tiga mangsa yang benar-benar dikenal pasti pernah menjadi mangsa dan saya yakin sekurang-kurangnya 10 remaja wanita pernah dicabul pemandu teksi itu. Saya harap amngsa lain turut tampil membuat siasatan polis,” katanya.


Difahamkan aktiviti jahat pemandu teksi itu terbongkar selepas dua pelajar yang datang dari sekolah sama di Pandan Indah, membuat laporan polis pada 20 Mei manakala mangsa ketiga berbuat demikian pada 29 Mei lalu.


Menurutnya, polis kemudian memasang jerat di perhentian teksi di Jalan Imbi, di sini, selama tiga hari dan menangkap suspek kira-kira 9.30 malam Isnin selepas berlaku pergelutan.

Polis kemudian menemui telefon bimbit suspek yang mengandungi rakaman mangsa menjerit, menangis dan merayu kepada pemandu teksi ketika diperkosa.


Rakaman video itu digunakan suspek sebagai bahan ugutan dan menjadikan enam pelajar sekolah menengah sebagai hamba seks sejak setahun lalu. Hasil siasatan mendapati teksi milik lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dikatakan kerap menukar nombor teksi terbabit setiap kali melakukan jenayah seksual itu.


Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan di Balai Polis Daerah Ampang Jaya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Umpankaraoke/Article

Jual tubuh demi kekasih

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
2010/06/05

KUALA TERENGGANU: Penangan cinta siber bukan saja menyebabkan seorang wanita hanyut diulit mimpi indah, malah sanggup menjual tubuhnya kepada seorang kenalan lelaki akibat terdesak mendapatkan duit membeli tiket pesawat bagi membolehkannya bertemu kekasih berketurunan Arab di Timur Tengah.

Malangnya, selepas tubuhnya diratah rakan terbabit, wang dijanjikan untuk membiayai kos membeli tiket penerbangan dan perbelanjaan ke Arab Saudi tidak ditunaikan, malah dia kini tertekan dengan kesilapannya terlalu mudah menyerahkan tubuh.

Kisah itu diceritakan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ita, 35, yang kini hilang arah tujuan dan tertekan akibat terlalu terdesak mencari cinta selain sumber kewangan untuk bertemu kekasihnya itu. Menurutnya, cinta gila itu bermula selepas dia mengenali lelaki warga asing terbabit menerusi sebuah laman sosial di Internet sebelum termakan pujuk rayu kekasihnya itu supaya datang bertemunya untuk membincangkan hal perkahwinan.

Ita mengakui termakan pujukan kekasihnya itu lalu membuat keputusan berangkat ke Arab Saudi, tetapi disebabkan sumber kewangan terbatas, dia berusaha mendapatkan pinjaman peribadi di beberapa institusi kewangan. “Selepas beberapa kali mencuba di beberapa institusi kewangan mereka menolak permohonan saya dengan mengatakan saya tidak layak kerana bergaji kecil.


“Kekasih pula asyik mendesak supaya segera ke Arab Saudi untuk bertemunya menyebabkan saya tertekan sebelum menceritakan masalah kepada seorang rakan lelaki yang menetap di Kuala Lumpur,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Dia berkata, rakannya itu menunjukkan simpati sebelum menghubungi semula beberapa hari kemudian dengan menawarkan bantuan kewangan. “Pada mulanya saya gembira kerana dia sudi membantu namun terkejut apabila dia meletakkan syarat supaya saya menyerahkan tubuh sebelum permintaan saya itu dipenuhi secara percuma,” katanya. Wanita itu berkata, akibat terdesak dan terpengaruh dengan janji manis lelaki terbabit, mereka bertemu di sebuah hotel di negeri ini dan melakukan hubungan terlarang itu.


“Selepas hubungan seks tanpa rela diadakan dengan lelaki yang saya anggap rakan itu, dia berjanji memasukkan wang saya perlukan. Malangnya, selepas beberapa minggu menunggu dan memeriksa akaun bank, wang dijanjikan tiada.


“Luluh hati saya apabila saya mendapati ditipu, malah lelaki terbabit ketika dihubungi beberapa kali memberikan pelbagai alasan seolah-olah cuba mengelak menunaikan janjinya. “Saya sedar apa saya lakukan itu tidak bermoral, tetapi kerana cinta, diri saya hilang pertimbangan sehingga sanggup mengorbankan kesucian diri semata-mata untuk bertemu kekasih yang dikenali sejak sebulan lalu. “Kehangatan dan kemaruk cinta siber membuatkan saya menghabiskan empat hingga lima jam sehari melayari Internet untuk berhubung dengan kekasih saya itu yang berusia 30 tahun yang mendakwa dirinya bekerja di sebuah hotel di Arab Saudi,” katanya.


Menurutnya, kekasih warga Arab itu bukan saja pandai bermain kata, malah berjanji mendirikan rumah tangga dengannya menyebabkan dia gelap mata selepas dikecewakan beberapa lelaki tempatan sebelum ini.


Ita berkata, dia berbuat demikian kerana bimbangkan kekasihnya itu berubah hati dan untuk mengelakkan diri dikecewakan sekali lagi sehingga nekad melakukan apa saja asalkan dapat memenuhi permintaannya.


“Saya tidak mahu dikecewakan lagi, namun tidak menyangka jadi begini. Saya sendiri tidak tahu apa akan jadi selepas ini terutama selepas menjual diri hanya semata-mata untuk mendapatkan wang belanja ke Arab Saudi bagi bertemu kekasih.


“Takut nanti kekasih di Arab Saudi itu yang sebelum ini berjanji mahu berkahwin dengan saya turut mempermain dan meninggalkan saya dengan pelbagai alasan,”
katanya.


Menurutnya, dia tampil menceritakan kisah hidupnya itu sebagai pengajaran kepada semua wanita supaya tidak mudah terpedaya janji manis lelaki yang berpura-pura prihatin, malah perlu berfikir sebelum mengambil jalan singkat untuk menagih cinta Internet kerana ia tidak pasti.

Anak belasah bapa mahu solat Zuhur

2010/06/04

YAN: Seorang anak layak digelar ‘anak setan’ kerana tergamak membelasah bapanya yang bersiap untuk menunaikan solat Zuhur di rumahnya di Kampung Kuala Sedaka, di sini, Selasa lalu, hanya kerana menegur tingkah laku anaknya yang sering keluar malam selain terbabit dengan dadah.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Mohd Nasir Ismail, berusia 50-an tergamam selepas ditarik anak lelaki dan adik iparnya sebelum ditumbuk dan dipukul.


Difahamkan, sebelum ini, mangsa menegur anak lelakinya yang berusia 20-an dan bekerja sebagai petani kerana sering keluar hingga lewat malam selain terbabit dengan dadah.


Berikutan kejadian itu, mangsa lebam di kaki, tangan dan badan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Yan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.


Seorang keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali memberitahu, mangsa yang sudah berpisah dengan isterinya tinggal berseorangan di rumah itu kerana semua anaknya tinggal dengan bekas isterinya.


“Saya diberitahu, beberapa hari sebelum kejadian, dia menegur anaknya yang sering dilihat keluar hingga lewat malam dan dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah. Namun, anaknya tidak berpuas hati hingga tergamak melakukan perbuatan biadap itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu, berkata suspek yang berusia 20-an dan 30-an ditahan di rumah sama sejurus selepas mangsa membuat laporan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AnakbelasahbapamahusolatZuhur/Article

Tusuk leher ayah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/06/04

KUALA LUMPUR: Angkara anak durjana, seorang bapa berusia awal 40-an cedera parah di leher selepas ditikam dengan gunting ketika bergelut di rumah mereka di Jalan 9, Jinjang Utara di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa ditikam menggunakan gunting selepas suspek yang berusia awal 20-an hilang pertimbangan kerana dilarang menghisap dadah jenis syabu di kediaman berkenaan.


Sebelum kejadian kira-kira jam 6 petang, bapa terbabit bertengkar dengan anaknya sehingga dua beranak terbabit bergelut.


Menurut sumber, selepas bergelut kira-kira 20 minit, suspek tiba-tiba meluru masuk ke biliknya.


“Suspek kemudian mengambil sebilah gunting sebelum menerkam ke arah bapanya dan menikam lelaki berkenaan sebaik keluar dari bilik berkenaan.


“Mangsa yang terkena tikaman di leher terjatuh sebelum menjerit meminta tolong,”
katanya.


Sumber itu berkata, suspek tidak mempedulikan keadaan bapanya walaupun lelaki itu berlumuran darah, sebaliknya dia dikatakan seperti dirasuk hantu apabila terus membelasah bapanya.


“Bagaimanapun, jeritan bapa mangsa didengari jiran sebelum seorang daripada mereka segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.


Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa yang berlumuran darah terbaring di atas lantai di ruang tamu rumah berkenaan.


Menurut sumber itu, suspek yang tersentak dengan kehadiran pihak berkuasa dikatakan kaku dan tidak mampu melarikan diri.


“Suspek kemudian diberkas sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk siasatan, manakala bapa mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran untuk rawatan kecemasan,” katanya.

Difahamkan, keadaan mangsa agak serius, namun kepantasan pihak berkuasa membawanya ke klinik menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan.


Mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah, semalam selepas doktor yang merawatnya berpuas hati keadaannya sudah stabil.


Sumber itu berkata, suspek ialah seorang penagih dadah tegar dan tinggal berdua dengan bapanya di rumah berkenaan.


Difahamkan, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Keperawanan diragut lepas bersiar-diar

2010/06/04

BATU PAHAT: Seorang pelajar perempuan tidak menduga kesudiannya keluar bersiar-siar bersama seorang lelaki, bukan saja berakhir dengan mahkota keperawanannya 'diragut' malah dia dijadikan hamba seks selepas rakaman perbuatan terkutuk itu dijadikan bahan ugutan.

Peristiwa hitam dalam satu kawasan paya bakau berhampiran pekan Senggarang, dekat sini, turut dirakam lelaki durjana itu menggunakan telefon bimbitnya sebelum pelajar terbabit sering dipaksa melakukan hubungan seks bagi mengelakkan rakaman itu disebarkan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, proses perkenalan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Senggarang bersama lelaki berkenaan, didakwa berlaku secara biasa.

"Proses perkenalan mereka didakwa berlaku secara biasa dan pelajar terbabit dikatakan bersetuju dengan pelawaan penganggur berkenaan untuk keluar bersiar di sekitar bandar ini.

"Ketika dalam perjalanan pulang, lelaki terbabit didakwa membawa pelajar berkenaan ke kawasan pantai, sebelum memintanya membuka pakaian dan mengadakan hubungan seks dalam kawasan paya bakau berhampiran.

"Tidak cukup dengan tindakannya merogol pelajar itu, penganggur terbabit didakwa turut menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam adegan seks,"
katanya.

Sebulan nikah sudah derita

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/04

KUALA LUMPUR: Baru sebulan mendirikan rumah tangga, namun seorang wanita tidak sedikit pun merasai kemanisan alam bersuami isteri, malah sebaliknya didera secara fizikal dan mental oleh suaminya hampir setiap hari.

Justeru kehidupan wanita berusia 34 tahun itu umpama dalam neraka apabila diperlakukan seperti haiwan termasuk dipukul, diterajang dan dimaki-hamun, biarpun kesalahan dilakukannya kecil.


Antara penyeksaan sadis terpaksa ditempuh pengantin baru itu dipaksa menjamah ikan mentah diletakkan atas kain telekung ketika dia mahu menunaikan solat oleh suaminya yang kejam.


Tidak cukup dengan itu, mangsa ditendang hingga terguling, ditarik rambut selain dipukul dengan kayu sehingga jatuh pengsan di dalam bilik air.


Selain penderaan fizikal, mangsa turut diseksa secara mental apabila dia dipanggil pelbagai gelaran keji termasuk penghinaan melampau terhadap keluarganya oleh lelaki terbabit yang dikatakan panas baran.


Menurut sumber, kemuncak penderaan terhadap wanita berkenaan berlaku kira-kira jam 10 pagi, Sabtu minggu lalu ketika mangsa dan suaminya berada di rumah mereka di Taman Kosas, Ampang.


“Ketika itu, mangsa di panggil suaminya yang berada di dapur sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba menarik rambut wanita berkenaan tanpa sebarang sebab.


“Selain menarik rambut, suaminya menampar pipi wanita berkenaan walaupun mangsa berulang kali merayu supaya tidak diperlakukan sedemikian,”
katanya.


Menurutnya, selepas puas merayu, wanita terbabit dilepaskan, namun ketika dia mahu mengerjakan solat Zuhur, suaminya sekali lagi bertindak kejam dan melampaui batas kemanusiaan apabila menarik mangsa sehingga terjatuh.


“Lelaki itu merampas kain telekung mangsa sebelum dia mengambil ikan yang masih mentah dan meletakkannya di atas kain terbabit.


“Suaminya memaksa mangsa menjamah ikan mentah terbabit, namun wanita berkenaan enggan bernuat demikian. Lelaki itu mula berang sebelum dia mengambil kerusi dan mengugut mencederakan isterinya itu,”
katanya.

Katanya, selepas puas menyeksa isterinya, lelaki terbabit keluar dari rumah sebelum pulang semula kira-kira jam 9 malam.


“Ketika itu, wanita terbabit berehat di rumah dan sejurus suaminya pulang lelaki berkenaan tanpa sebarang sebab menendang perut mangsa sehingga wanita terbabit terguling berhampiran katil.


“Tidak cukup dengan itu, suaminya menarik rambut mangsa sehingga tercabut sebelum wanita itu dipukul dengan kayu hingga pengsan ketika berada di dalam bilik air,”
katanya.


Sumber itu berkata, mangsa diheret keluar dari bilik air oleh suaminya sebelum lelaki itu menyimbahkan air ke muka untuk menyedarkannya daripada pengsan.

“Sejurus sedar, wanita itu diugut bunuh suaminya, sebelum dia yang takut dengan segala ancaman dan penderaan dilakukan lelaki terbabit membuat laporan polis.


“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang akibat kecederaan dialaminya,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, mengesahkan menerima laporan dibuat wanita terbabit.


“Bagaimanapun, mangsa menarik kembali laporan dibuatnya itu dan mahu merujuk kes berkenaan ke mahkamah syariah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sebulannikahsudahderita/Article

RM100,000 modal lesap

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
2010/06/04

KUALA LUMPUR: Akibat tertarik dengan tawaran harga kad prabayar yang terlalu murah berbanding di pasaran, seorang peniaga kehilangan hampir RM100,000 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan kad prabayar telefon bimbit.

Mangsa, Mohd Zamri Nordin, 38, terjebak dalam pelaburan itu selepas ditawarkan harga RM8.50 bagi sekeping kad prabayar bernilai RM10 berbanding harga di pasaran RM9.70 oleh sebuah syarikat di Bandar Baru Ampang, Ampang, dekat sini.


“Saya diperkenalkan kepada seorang wanita yang menguruskan syarikat itu oleh seorang rakan sekitar Jun tahun lalu. Tawaran yang diberikan cukup menarik, tambahan pula permintaan terhadap kad prabayar memang sentiasa ada.


“Saya kemudian membuat pelaburan sebanyak RM8,100 untuk membeli beberapa keping kad prabayar bernilai RM10 dan kad itu pada mulanya memang dihantar kepada saya, tetapi lama-kelamaan semakin perlahan dan langsung terhenti,” katanya yang ditemui di sini, semalam.


Mohd Zamri tampil selepas Harian Metro, semalam melaporkan wujud kegiatan penipuan sehingga menyebabkan beberapa peniaga yang baru menceburi perniagaan itu mengalami kerugian besar yang dianggarkan keseluruhannya mencecah RM300,000.


Presiden Kebangsaan Pertubuhan Sukarelawan Seni, Kebudayaan, Sosial dan Pendidikan India Malaysia (PSKSP), Dr N Thanasegeran yang mendedahkan kegiatan itu dilaporkan berkata, setakat ini beliau menerima lima aduan daripada peniaga berbeza yang menjadi mangsa.


Mohd Zamri berkata, apabila penghantaran kad itu terhenti tanpa sebarang sebab, dia segera mendapatkan penjelasan pihak syarikat terbabit.


“Sebaik saya sampai, saya lihat keadaan pejabat itu berselerak dan pekerja mendakwa syarikat mereka diganggu pihak tertentu. Seorang wanita yang bertindak selaku pengurus syarikat itu kemudian mendakwa baki wang saya ‘tersangkut’ tetapi dia sedang berusaha mendapatkannya kembali menerusi saluran undang-undang.


“Dia berjanji akan menyelesaikan masalah itu dan masih menawarkan pelaburan itu kepada saya jika masih berminat. Percaya kepada kata-katanya, saya membuat pelaburan tambahan berjumlah RM30,000 yang dibayar secara ansuran,” katanya.


Menurutnya, pemberian kad dijanjikan tiga kali seminggu, tetapi sekali lagi penghantaran tidak dibuat dengan alasan ada pelabur lain membuat aduan kepada pihak syarikat telekomunikasi mengenai tawaran kad prabayar yang dibuat pada harga tidak munasabah.


“Wanita itu kembali berjanji dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dan memujuk saya membuat pelaburan lebih besar. Dua rakan saya yang ditemui menunjukkan minat dan kami masing-masing mengeluarkan wang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM87,000.

“Saya akhirnya tersedar apabila semua janjinya tidak pernah ditunaikan, malah kini saya didesak rakan selepas wang mereka hangus,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Dengkil, pada 29 Januari lalu.


Menurutnya, apa yang mampu dia buatnya adalah merayu wanita berusia 39 tahun itu membayar kembali wang pelaburan dan hanya menerima beberapa ribu ringgit saja sehingga kini.


“Saya memang tidak puas hati cara dia berniaga dan saya sedar ramai yang sudah terkena. Saya syak wang pelaburan saya turut digunakan sebagai modal pusingannya untuk menipu orang lain,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Dengkil, pada 29 Januari lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM100_000modallesap/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...