Wednesday, January 5, 2011

Asri: Bunuh pengkritik Raja Melayu, cadangan hina

Jan 5, 11 12:53pm

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata kepercayaan sesetengah pihak bahawa adalah haram untuk mengkritik atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan Raja-Raja Melayu, seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan para Nabi.

Sebaliknya, kata Dr Asri, Raja-Raja Melayu bukanlah Nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik.

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pc“Sedang para al-Khulafa al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka.

“Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Dr Asri, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi Muhammad SAW dan membantah keputusan baginda seperti yang berlaku ke atas Umar ketika perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tambahnya, Nabi tidak membunuh beliau.

conference of rulers majlis raja rajaJusteru, katanya, cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik agar golongan yang mencadangkan pengkritik Raja-raja Melayu dihukum gantung, sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau semua maksiat yang lain.

Dosa besar

“Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain,” katanya.

Menurut Dr Asri, baginya, pencadang hukuman tersebut adalah pengampu yang melebihi had.

NONE“Jika dia Muslim, dia seorang yang 'kering perasaan' dan tidak takutkan Allah mengenai 'darah orang lain'. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak.

"Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, dua pertubuhan bukaan kerajaan - Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mahu ADUN Seri Muda dari PKR,Shuhaimi Shafiei dihukum gantung kerana didakwa cuba mencetuskan “peperangan ke atas Raja-raja Melayu”.

NONEShuhaimi antara lain, dalam blognya menulis - jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, Shuhaimi didakwa seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan majlis mesyuarat berkenaan atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

http://malaysiakini.com/news/152465

Tinggal bayi bawah pokok

Tinggal bayi bawah pokok

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Shamsul Munir Safini

DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.
DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dipercayai berusia enam hari ditemui masih bernyawa dalam sebuah beg galas berwarna hitam ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa di sini, semalam.

Difahamkan, bayi malang itu ditinggalkan di kawasan berkenaan lebih sejam sebelum ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bayi lelaki terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan hampir lemas kerana ditinggalkan dalam beg galas yang tertutup, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Saksi kejadian, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata ketika kejadian, dia dan rakannya, Nizul Ahmad, 21, baru pulang dari tempat kerja apabila ternampak sebuah beg galas ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sekolah berkenaan.


“Curiga dengan keadaan beg itu, saya kemudian meminta Nizul melakukan pemeriksaan. Sebaik membuka beg galas itu, kami mendapati kandungannya adalah tuala putih sebelum segera meletakkannya semula.


“Sebaik meletakkan beg itu, kami terdengar suara bayi menangis membuatkan kami terkejut dan berpandangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.

Katanya, dia dan Nizul kemudian membuka semula beg galas itu sebelum terkejut apabila mendapati seorang lelaki bayi cukup sifat berada dalam beg berkenaan.

“Keadaan bayi itu agak lemah menyebabkan kami segera menahan beberapa kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal.

“Kami bernasib baik apabila sebuah kenderaan polis kebetulan melalui kawasan itu.

“Sebaik menahan kenderaan itu, kami segera memaklumkan penemuan berkenaan dan anggota polis terbabit segera menghubungi pihak berkaitan,” katanya.

Sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian sebelum bayi lelaki itu dihantar ke HKL untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Saya berbangga dengan keberanian dan keprihatinan kedua-dua saksi kejadian yang bertindak pantas memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Tindakan mereka berjaya menyelamatkan satu nyawa. Saya berharap tindakan mereka akan menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Oleh itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tinggalbayibawahpokok/Article

Pinjam 'koperasi along'

Pinjam 'koperasi along'
Oleh Yusmizal Dolah Aling

SERIUS...Md Yusof dan Nadzim mendengar aduan mangsa sindiket terbabit.
SERIUS...Md Yusof dan Nadzim mendengar aduan mangsa sindiket terbabit.

KUALA LUMPUR: Ceti haram atau along dikesan menggunakan taktik baru menipu kakitangan awam dengan mengumpan mereka mendapatkan pinjaman mudah daripada koperasi tertentu sebelum melaburkan wang dipinjam itu dalam skim pemasaran berperingkat (MLM) yang membabitkan pelaburan terkumpul berjumlah hampir RM1 bilion, sejak tiga tahun lalu.

Kakitangan awam yang terpedaya janji manis along terbabit hanya perlu menyediakan dokumen tertentu untuk mendapatkan pinjaman mudah dan menyedari mereka tertipu selepas menyemak dengan koperasi mengenai jumlah sebenar pinjaman, malah terkejut dengan kadar faedah pinjaman tidak masuk akal yang dikenakan.

Sindiket terbabit menggunakan orang tengah untuk memujuk kakitangan kerajaan supaya membuat pinjaman daripada koperasi kononnya bagi melabur dalam skim MLM yang menjanjikan pulangan berlipat ganda, sedangkan hakikatnya skim berkenaan disenaraihitamkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, semua urusan permohonan pinjaman seperti borang koperasi dan dokumen lain diuruskan dalang terbabit yang hanya menghubungi peminjam untuk mengeluarkan wang menerusi draf bank yang dipindahkan ke akaun milik sebuah syarikat.


Kegiatan itu dikesan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selepas menerima aduan orang ramai yang tertipu dengan sindiket terbabit menerusi tawaran pinjaman dan diluluskan tidak sampai 24 jam.


Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin, berkata sindiket itu dipercayai menggunakan cap jari dan tandatangan palsu mangsa untuk memohon pinjaman selain menawarkan satu skim pelaburan kononnya pemohon akan mendapat keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat.

Katanya, kumpulan terbabit turut menjadikan kecanggihan teknologi maklumat untuk mendapatkan maklumat peribadi orang ramai yang diperoleh menerusi laman sosial Facebook dengan menjadikan penjawat awam di Lembah Klang sebagai mangsa.

Menurutnya, mangsa akan diperdaya dengan dakwaan kononnya pinjaman itu mendapat kelulusan kerajaan dan menunjukkan bukti koperasi sebagai badan yang dipertanggungjawabkan menguruskan kewangan itu sehingga diluluskan.

“Ramai di kalangan mereka (dalang) terbabit bergelar jutawan hasil daripada kadar caj pinjaman dan imbuhan tinggi yang dikenakan kepada pemohon. Mereka mengaku menjadi ejen koperasi, tetapi ramai yang tidak tahu, SKM sudah mengeluarkan arahan untuk melarang penggunaan ejen oleh mana-mana koperasi di negara ini.

“Berdasarkan aduan, ada peminjam yang dikenakan caj 12 peratus iaitu kadar yang terlalu tinggi jika dibandingkan caj biasa yang diterima koperasi sebanyak satu peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengadakan pertemuan dengannya untuk menyelesaikan satu kes terbaru membabitkan penipuan pinjaman bernilai RM111,000.

Menurut Md Yusof, pemantauan pihaknya juga mendapati rata-rata peminjam yang menjadi mangsa adalah penjawat awam yang baru bekerja dan tidak tahu membezakan antara skim yang dibenarkan atau didalangi pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.

“Kami percaya sindiket menggunakan koperasi tertentu ini didalangi along yang turut menawarkan skim cepat kaya untuk menipu orang ramai yang terpedaya helah licik mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai terutama penjawat awam yang terpedaya dengan tawaran sindiket terbabit yang mengakibatkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman yang tinggi.

Md Yusof berkata, mana-mana koperasi yang terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 64 dan 66 Akta Koperasi dan jika sabit kesalahan, tindakan menggantung, membubar atau memecat ahli lembaga koperasi berkenaan akan diambil.

“Kami juga mengambil tindakan membekukan kod Biro Pemotongan Angkasa (BPA) yang diberikan kepada koperasi terbabit bagi menghalang mereka daripada menjalankan kegiatan baru dan hanya boleh menjalankan urusan sedia ada seperti pungutan hutang.

“Kebanyakan ejen ini agresif, mereka akan buat apa saja untuk menarik peminjam kerana imbuhan yang menanti adalah tinggi. Justeru, kami menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat pinjaman, sebaliknya merujuk kepada SKM terlebih dulu bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai status koperasi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Pinjamkoperasialong/Article

Penduduk terkilan

KEPALA BATAS: Orang ramai menyifatkan kekurangan bekalan minyak masak peket sekitar pekan ini dan Seberang Prai sebagai cubaan pihak tertentu untuk menaikkan harga bahan berkenaan.

Mereka juga menolak kemungkinan kekurangan bekalan minyak masak peket berikutan majlis kenduri sempena musim cuti sekolah lalu atau pembelian panik kerana menyangka harga barang kawalan itu akan naik.


Peniaga, Noor Hasni Saad, 45, berkata, dia yakin kekurangan bekalan minyak sebagai cubaan pihak tertentu untuk memastikan harga bahan itu naik.

Katanya, jika orang ramai membeli minyak masak untuk majlis kenduri, bekalan bahan itu tidak akan berkurangan tiba-tiba.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendudukterkilan/Article/index_html

Belian panik antara punca cepat habis

MELAKA: Masalah belian panik kalangan pengguna dikenal pasti antara punca berlaku kekurangan bekalan minyak masak khususnya membabitkan minyak masak satu kilogram (kg), di beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Sungai Udang dan Selandar.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit dan pasar mini termasuk pasar raya di kawasan Sungai Udang di sekitarnya mendapati bekalan minyak masak membabitkan paket satu kg yang dijual pada harga RM2.50 sepeket sudah kehabisan.


Seorang pekerja di sebuah pasar raya yang enggan dikenali berkata, bekalan minyak masak sudah kehabisan dan masalah kekurangan berkenaan mula dikesan kira-kira dua minggu lalu apabila pihak pembekal tidak dapat menghantar bekalan dikehendaki.

“Saya difahamkan pembekal memberi alasan kehabisan stok untuk diedarkan. Keadaan ini menyebabkan pihak pasar raya terpaksa mengehadkan pembelian dua botol bagi satu keluarga.


“Begitupun, ada pelanggan yang membeli lebih daripada dua botol. Sehingga hari ini semua bekalan minyak sawit sudah habis dan hanya ada minyak campuran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belianpanikantarapuncacepathabis/Article/index_html

Pemborong, peruncit kehabisan bekalan

KUALA LUMPUR: Biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan minyak masak negara ini mencukupi, tinjauan sekitar ibu kota mendapati sebaliknya.

Ini berikutan rungutan pemborong mahupun peruncit yang tidak memperoleh bekalan bahan itu. Malah, mereka menganggap kekurangan komoditi itu adalah terburuk dalam sejarah biarpun ia pernah berlaku beberapa kali sehingga mengakibatkan mereka dimarahi pelanggan. Kelmarin, Timbalan Menteri, Datuk Tan Lian Hoe memberi jaminan harga minyak masak tidak dinaikkan dan bekalannya mencukupi serta tindakan diambil termasuk menyelaraskan dengan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.


Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota mendapati kebanyakan kedai runcit dan pemborong kehabisan bekalan barang kawalan itu berikutan pesanan yang dibuat sejak November lalu dihantar dalam kuantiti yang sedikit oleh pembekal. Malah, ada antara peruncit tidak sedar berlakunya peningkatan harga bekalan daripada pembekal. Tinjauan juga mendapati minyak masak kampit satu kilogram (kg) menjadi pilihan pengguna domestik habis di pasaran. Bagaimanapun, beberapa jenis minyak masak 5kg terutamanya yang berjenama masih terdapat di pasar raya tetapi dihadkan pembeliannya dua botol setiap pembeli. Pemborong, Chong Yoke Ching, 53, berkata pelbagai rungutan didengar apabila pelanggan sehingga memaksanya mengehadkan penjualan minyak masak iaitu 1kg untuk pengguna domestik dan minyak masak dalam botol 5kg untuk peniaga.

“Kami kasihan mendengar keluhan pelanggan kerana kebanyakannya peniaga makanan, namun tiada apa yang mampu dilakukan kerana kami sendiri tiada bekalan,” katanya, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemborong_peruncitkehabisanbekalan/Article/index_html

Polis palsu tumpas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

RAMPAS...Amiruddin menunjukkan alat renjatan elektrik dan kad polis yang digunakan suspek.
RAMPAS...Amiruddin menunjukkan alat renjatan elektrik dan kad polis yang digunakan suspek.

AMPANG: Dua sahabat karib yang giat menjalankan kegiatan samun dengan menyamar polis tumpas selepas seorang daripada mereka ditahan awal pagi akhir bulan lalu.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 30-an aktif menyamar polis sejak lebih setahun lalu dengan memakai jaket polis dan menunggang sebuah motosikal bagi mencari sasaran mereka.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan paling dikehendaki polis berhubung kegiatan penyamaran itu. Katanya, pada 30 Disember lalu kira-kira jam 3.30 pagi, suspek berkeliaran di Pandan Perdana, Ampang, di sini, sebelum cuba memperdaya seorang pelajar yang melalui kawasan itu.

“Suspek menahan kereta mangsa yang berusia 21 tahun itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu menjalankan pemeriksaan.


“Ketika pemeriksaan, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan dua telefon bimbit dan wang RM20,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.


Menurutnya, ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis yang melalui kawasan itu melihat gelagat suspek mencurigakan.

Suspek yang terkejut sejurus melihat kehadiran kereta peronda berkenaan melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas dan seorang lagi meloloskan diri.


“Pemeriksaan polis menemui alat renjatan elektrik, sebilah pisau lipat dan sekeping kad tertera logo polis dipercayai digunakan mereka untuk menyamun.

“Selain itu, kami (polis) turut merampas sebuah motosikal yang digunakan mereka. Malah, siasatan lanjut mendapati motosikal itu motosikal curi yang dilaporkan hilang di Salak Selatan,” katanya.


Amiruddin berkata, suspek yang paling dikehendaki itu berkaitan kes penyamaran polis di Cheras, di sini, direman sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan.


Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan percaya suspek akan ditahan dalam tempoh terdekat.


“Kami percaya dengan penahanan suspek itu, kami menyelesaikan lebih tujuh kes samun membabitkan penyamaran polis sepanjang tahun lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Polispalsutumpas/Article/index_html

'Mereka dengki saya'

P ARIVALAGAN mendakwa pemecatannya sebagai jurulatih karate negara dipercayai didalangi lima ahli Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang mendendaminya selain berhasrat menyingkirkannya.

Arivalagan yang sudah menjawat jawatan itu sejak 2005 mendakwa kontraknya tidak dilanjutkan berkuatkuasa 31 Disember lalu.


Lebih mengecewakan, kelompok kumpulan yang tidak menyukainya itu bukanlah mereka yang arif mengenai sukan karate tetapi menduduki kerusi jawatankuasa itu selepas menang dalam pemilihan persatuan.

“Mereka dengkikan saya sedangkan mereka sebenarnya tidak terlalu arif dalam sukan karate. Apakah pencapaian saya selama ini tidak cukup? Adakah saya selalu gagal membimbing anak buah saya? Jawapannya pasti tidak.


“Selain kelima-lima individu ini, saya yakin anggota Makaf lain masih mahu saya memegang jawatan ini berdasarkan pencapaian semasa pasukan kumite.


“Walaupun sedar ia sudah lama berlaku, saya ketepikan semua masalah ini dan tidak mencampur adukkannya ketika membimbing skuad negara,” katanya.

Selepas negara dikejutkan dengan pengunduran jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, P Arivalagan pula menerima tamparan apabila dipecat.


Selama Arivalagan bertindak sebagai jurulatih kumite, sentuhan bekas atlet negara itu tidak pernah mengecewakan apabila terbaru dia berjaya membimbing R Puvaneswaran meraih emas di Sukan Asia Guangzhou dengan kumite menyumbang dua lagi perak.

Sebelum itu, berderet sudah anak buah Arivalagan melakar kejayaan termasuk meraih lima emas pada Sukan Sea Laos dan tugasnya itu tiba-tiba saja bakal diganti jurulatih daripada Iran.


Apa yang membimbangkan Arivalagan ketika ini, kemelut melibatkan pemecatannya itu merebak kepada barisan atlet negara yang enggan berlatih selepas mengetahui kedudukannya.


“Anak buah saya kecewa dengan keputusan ini. Sehingga pagi tadi (semalam) mereka bertekad enggan berlatih sebagai tanda memboikot keputusan Makaf.


“Bagaimanapun, saya berjaya memujuk mereka dan akhirnya kami dapat menjalankan latihan singkat sekitar setengah jam saja. “Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, saya bimbang tindakan ini akan berterusan,” katanya.


Yang pasti, Arivalagan kini menunggu panggilan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengetahui situasi sebenar dan selama itu juga, dia bertekad untuk melatih atlet kumite negara seperti biasa.


Sementara itu, Setiausaha Agung Makaf, Clement Soo menyerahkan perkara itu kepada barisan exco Makaf yang akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.


“Pada pandangan saya pertimbangkanlah sumbangan Arivalagan selama ini. Kita perlu bersikap adil kepada individu yang seringkali mengharumkan nama negara.


“Janganlah layan beliau dengan cara begini, apabila tidak diperlukan ditendang begitu saja,” katanya yang menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak.


Ditanya hasratnya untuk turut berundur, Clement berkata, sekiranya pandangannya itu tidak dapat diterima barisan exco Makaf, beliau bersedia melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 21 tahun itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekadengkisaya/Article/index_html

Atlet karate ugut keluar skuad negara

MAJORITI atlet karate bersetuju keluar dari skuad kebangsaan sekiranya Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) kekal dengan keputusan tidak menyambung kontrak jurulatih kebangsaan, P Arivalagan.

Salah seorang atlet, L Kunaselan berkata, dia dan rakan lain terkejut serta kecewa dengan tindakan Makaf dan berharap badan induk itu mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.


“Arivalagan sudah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya.

Kunaselan berkata, mereka sudah berbincang dan mengambil keputusan menarik diri jika Makaf kekal dengan keputusan menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.


Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai Makaf, esok, bagi membincangkan isu Arivalagan.


Kunaselan, antara empat nama awal yang disenaraikan menggalas cabaran negara ke Sukan Asia Incheon 2014, berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

“Tidak wajar Makaf memberi alasan mengambil jurulatih Iran dengan tujuan meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi.


“Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia Guangzhou. Tidak adil jika jasanya tidak dinilai Makaf,” katanya.

Di Guangzhou, Malaysia di bawah bimbingan Arivalagan memenangi dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.


Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan Sea 2007 dan Sukan Sea 2009.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atletkarateugutkeluarskuadnegara/Article/index_html

'Kami sedia terima Bun'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

IMBAS KEMBALI...Misbun memberi tunjuk ajar  kepada peserta Kem Bakat Nusa Mahsuri di Kompleks Belia dan Sukan Larkin, pada 18 Julai 2009.
IMBAS KEMBALI...Misbun memberi tunjuk ajar kepada peserta Kem Bakat Nusa Mahsuri di Kompleks Belia dan Sukan Larkin, pada 18 Julai 2009.

KEMELUT menimpa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akibat peletakan jawatan jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek terus mencipta spekulasi mengenai kemungkinan kelab badminton profesional Nusa Mahsuri akan kembali melatih pemain elit, malah dikatakan mampu membentuk pasukan lebih kuat.

Hal itu tidak dinafikan Penasihat Nusa Mahsuri, Jalani Sidek (gambar) yang menggambarkan Misbun akan kembali ke kelab itu selepas meletak jawatan di BAM.


“Saya tidak nafikan kami akan membentuk semula pasukan profesional di Nusa Mahsuri. Saya bukan mahu mengambil kesempatan atas kemelut yang berlaku tapi mengapa perlu sia-siakan kemahiran Misbun, lebih baik dia kembali bersama kelab,” kata Jalani ketika ditemui di Banting, kelmarin.

Jalani ternyata tidak senang dengan apa berlaku di BAM bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai apa sebenarnya yang berlaku kerana sebagai “orang luar” dia tidak mahu campur tangan.


Namun dia dapat berasakan bahawa Misbun amat terasa dengan tindakan seorang pegawai BAM dan menganggap abangnya sudah berputus asa.


Begitupun dia mengingatkan walau apapun berlaku kepada Misbun, Nusa Mahsuri sentiasa bersedia menggunakan khidmat jurulatih berpengalaman itu.

“Saya nak ingatkan BAM bahawa Misbun dan Rashid (Sidek) adalah jurulatih Nusa Mahsuri, mereka dipinjamkan ke badan induk atas nama negara. Kalau BAM tidak perlukan lagi, kita sedia ambil semula,” kata Jalani.


Jalani juga tidak menolak kemungkinan Datuk Lee Chong Wei yang dilapor mahu mengikut jejak Misbun akan turut menyertai Nusa Mahsuri sekali gus membentuk pasukan mantap di kelab profesional itu.

“Kalau Chong Wei keluar, saya pasti ramai lagi pemain akan keluar dari BAM.”

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KamisediaterimaBun/Article/index_html

Nadzmi jumpa Misbun hari ini

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia Datuk Mohd Nadzmi Salleh akan mengadakan perjumpaan dengan semua pihak bagi menyelesaikan isu peletakan jawatan jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek hari ini.

Pertemuan membabitkan pegawai BAM dan Misbun itu akan berlangsung di pejabat persatuan itu di Bukit Kiara.

Nadzmi ketika dihubungi berkata jika majoriti bersetuju dengan keputusan Misbun, beliau akan mengikut kehendak majoriti.

“Saya akan berjumpa dengan semua pegawai BAM esok (hari ini) untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka terima atau tidak dan saya akan akur dengan keputusan majoriti,” kata Nadzmi yang terkejut dengan keputusan Misbun.


“Tak ada gunanya saya pujuk jika dia tidak seratus peratus ikhlas. Tapi saya tidak pernah terima sebarang aduan tidak berpuas hati datang daripadanya (Misbun).”

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/NadzmijumpaMisbunhariini/Article/index_html

Kenny nafi jadi punca

TEKA-teki mengenai punca sebenar peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih perseorangan negara masih menjadi persoalan.

Selepas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk James Selvaraj menafikan dia menjadi puncanya, kini wujud pula andaian mengatakan pengurus besar persatuan itu Kenny Goh menjadi dalang.


Mungkin juga andaian itu timbul selepas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam Arena Metro Isnin lalu mengeluarkan kenyataan bahawa ada pegawai yang hanya pandai cakap tetapi tidak ada pengetahuan dalam sukan, apa lagi Kenny bukanlah individu yang ada latar belakang sukan.

Kenny yang dihubungi bagaimanapun menganggap Chong Wei tidak patut mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana menurutnya pemain itu tidak berada dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan yang diadakan Rabu lalu.


“Dia tidak patut beri komen begitu kerana dia tiada dalam mesyuarat,” kata Kenny bagaikan memberi gambaran punca 'retak menanti belah' itu bertitik tolak dalam mesyuarat minggu lalu yang membabitkan jawatankuasa dan jurulatih.


Namun bila ditanya adakah dia menjadi punca peletakan jawatan Misbun, Kenny berkata: “Biarkan apa orang nak cakap pasal saya. Mereka juga tiada dalam mesyuarat itu. Saya hanya beri pendapat dalam mesyuarat, saya tidak tahu jika itu menjadi puncanya, lebih baik tanya Misbun sendiri.” Kenny juga berkata bahawa selama ini tidak pernah timbul isu membabitkannya dengan Misbun.

“Saya sudah lama bersama persatuan, kalau betul sayalah puncanya kenapa baru sekarang perkara ini berlaku,” kata Kenny lagi.


“Sekarang saya hanya mahu perkara ini selesai dengan seberapa segera, dengan cara terbaik demi kepentingan negara. Biarlah kami selesaikan secara dalaman supaya memberi kedua-dua puas hati,” kata Kenny enggan mengulas lebih lanjut kemelut itu.

Sementara itu Setiausaha Kehormat, Ng Chin Chai berkata cara terbaik adalah Presiden Datuk Mohd Nadzmi Salleh bertemu sendiri dengan Misbun.


“Saya tidak mahu komen kerana tiada kebaikan menyalahkan sesiapa ketika ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kennynafijadipunca/Article/index_html

Program 2012 tak terjejas

PROGRAM Road To London 2012 yang bernilai ratusan jutaan ringgit tidak terjejas meskipun pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei memilih untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun, apa yang membimbangkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar) adalah siapa akan menjadi rakan sepelatih Chong Wei, jika pemain nombor satu dunia mahu mengikut jejak langkah jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.


“Program tidak akan terjejas jika dia boleh mengekalkan tahap permainan biarpun keluar BAM. Apa yang saya bimbangkan adalah rakan sepelatih. “Chong Wei ada Misbun tapi siapa pula rakan sepelatihnya kalau dia keluar daripada BAM, jadi dia kena fikir perkara itu,” katanya.

Juara Seluruh England 2010 itu sebelum ini dikhabarkan akan mengikut jejak Misbun meninggalkan BAM selepas jurulatih itu meletak jawatan.


Isu itu bagaimanapun belum diselesaikan kerana Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh belum bertemu dan berbincang dengan Misbun.


Zoklples berkata, jika Chong Wei memilih untuk mengikut jurulatihnya, Misbun, MSN tidak akan menghalang dan melihat keputusan itu dari sudut positif.

BAM sebaliknya harus kekal positif andai Chong Wei mahu mewakili negara dalam apa sahaja kejohanan sekalipun dengan memberi kebenaran untuk beraksi tanpa perlu menyekat penyertaannya.


“Kita ambil saja Indonesia sebagai contoh. Tiada satu pemain bernaung di bawah PBSI (Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia) tapi bila pertandingan PBSI menguruskannya.

“Lebih banyak kelab lebih baik dan mungkin mempertingkatkan lagi kemajuan sukan itu tapi apa membimbangkan saya sekarang ini adalah rakan sepelatih. Chong Wei harus fikirkan perkara itu jika memilih keluar dari BAM,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Program2012takterjejas/Article/index_html

Teoh tidak bunuh diri - koroner

05/01/2011 4:42pm

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner hari ini membuat keputusan bahawa kematian setiausaha politik kepada seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock pada 2009, bukan disebabkan pembunuhan diri.

Dalam keputusan, Koroner Azmil Muntapha Abas, yang mendengar inkues itu mulai 29 Julai 2009 juga berkata, tidak ada pihak ketiga yang terbabit dengan kematian tersebut.

Teoh ketika itu berusia 30 tahun ialah setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah dan ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima, koridor Plaza Masalam, di sini, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Inkues itu diadakan kerana kematian Teoh menimbulkan banyak persoalan khususnya apabila beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM mengenai dakwaan menyalahgunakan peruntukan kerajaan Selangor. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_06.htm

Pengurusan BAM jadi punca?


KEPUTUSAN Misbun (kanan) meletak jawatan sebagai jurulatih badminton negara terus menjadi persoalan.


APA agaknya punca sebenar sehingga jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek membuat keputusan untuk meletak jawatan?

Persoalan itu terus menjadi topik perbualan hangat pelbagai pihak.

Malah, ada yang membuat pelbagai andaian terhadap keputusan mengejut yang dibuat Misbun itu sejurus beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disember lalu.

Sudah pasti, Misbun ada alasan yang cukup kukuh mengapa beliau bertindak demikian di saat skuad badminton negara dalam persiapan memburu pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.

Bagaimanapun ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan yang dilakukan Misbun itu adalah disebabkan rasa kurang senangnya dengan corak pengurusan BAM ketika ini.

Menurut Rashid, sebelum ini mungkin Misbun ada perancangannya yang tersendiri dalam melaksanakan program-program di bawah kendaliannya dan begitu juga dengan BAM.

"Jadi... bila kedua-dua pihak sudah tidak sehaluan, mungkin disebabkan itulah Misbun membuat keputusan untuk meletak jawatan kerana beliau tidak mempunyai pilihan memandangkan badan induk itu lebih berkuasa.

"Misbun hanya makan gaji dan bila sudah tidak tahan, baik dia letak jawatan," jelas Rashid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya sama ada benar ataupun tidak Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj merupakan faktor utama peletakan jawatan Misbun, Rashid menjelaskan: "Saya tidak fikir ia ada kena mengena dengan perkara tersebut.

"Jawatan yang James sandang ketika ini bukanlah sepenuh masa dan beliau banyak lagi komitmen lain di luar sana. Keputusan-keputusan yang dilakukannya pun banyak bergantung kepada perse- tujuan pihak pengurusan BAM.

"Memang ada masalah-masalah berbangkit sebelum ini, namun selepas beberapa kali melakukan perbincangan, ia masih belum mampu untuk diselesaikan.

"Perkara itu juga mungkin mempengaruhi keputusan Misbun untuk meletak jawatan," kata Ra- shid yang merupakan adik bongsu Misbun.

Andai dibuat penilaian berdasarkan kenyataan yang diberikan Rashid itu, jelaslah bahawa pengu- rusan BAM sebenarnya mengalami kemelut dalaman yang serius ketika ini.

Jika tidak, mana mungkin Mis- bun membuat keputusan mengejut untuk meletak jawatan selepas beliau berjaya menjadikan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain ranking No.1 dunia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm

'Selesai masalah dengan bijak'





SEMUA permasalahan yang timbul dalam persatuan-persatuan sukan di negara ini perlu ditangani dengan bijaksana bagi mengelak atlet menjadi mangsa keadaan.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar).

“Kalau boleh, saya mahu kerajaan kurang campur tangan (dalam menyelesaikan masalah yang timbul). Kita (Kementerian Belia dan Sukan) mahu memberi kebebasan kepada persatuan-persatuan sukan membuat keputusan dan membina sistem yang baik dalam bidang sukan mereka.

“Bagaimanapun, kerajaan berhak untuk mengambil tahu apa punca atau sebab isu seperti ini berlaku. Saya tidak mahu ia mengganggu kemajuan sukan kita di masa depan,” katanya merujuk kepada isu P. Arivalagan yang kontraknya sebagai jurulatih karate tidak diperbaharui oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan akan digantikan oleh jurulatih luar negara serta isu tindakan mengejut Datuk Mis- bun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih badminton kebangsaan.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya semalam selepas majlis pelancaran pasu- kan rali Proton R3 dan penyera- han Jalur Gemilang kepada pasukan berkenaan yang akan menyertai Kejohanan Rali Antara Benua (IRC) dan Kejohanan Rali Asia Pasifik.

Mengenai isu peletakan jawatan Misbun, Ahmad Shabery berkata, beliau sedang memikir- kan cara bagaimana isu berke- naan dapat ditangani.

“Saya masih menunggu untuk berbincang dengan Datuk Nadz- mi Salleh, (Presiden Persatuan Badminton Malaysia) untuk berbincang mengenai apa yang berlaku.

“Saya ingatkan dapat bertemu beliau di sini (Pusat Kecemerla- ngan Proton) untuk berbincang. Kita akan adakan pertemuan dalam masa terdekat.

“Selama ini kita hanya menggunakan satu model – semua pemain, semua jurulatih mesti mengikut sistem BAM. Kita mungkin akan cari satu sistem yang lebih liberal dengan membenarkan mana-mana perseorangan atau jurulatih untuk mempunyai sistemnya sendiri,” kata- nya.

Ahmad Shabery berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat bergantung kepada perbincangan beliau dengan Nadzmi dan Misbun nanti.

Mengenai isu Arivalagan pula, Ahmad Shabery berkata, beliau akan mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan laporan mengenainya.

“Tahun lepas, karate antara sukan yang menunjukkan kemajuan dan membawa kejayaan cemerlang pada Sukan Asia.

“Apabila timbul perkara-perkara seperti ini, kita hendak tahu adakah ini membawa kebaikan (mendapatkan khidmat jurulatih luar negara) atau wujud faktor- faktor yang lain,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Tinggalkan skuad negara


ARIVALAGAN (kiri) telah banyak mengorbankan tenaga untuk melahirkan atlet berwibawa.


ATLET karate negara mengancam untuk meninggalkan skuad kebangsaan jika Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kekal dengan keputusan mereka memecat jurulatih kebangsaan, P. Arivalagan.

Majoriti atlet karate negara bersetuju untuk berbuat demikian jika jurulatih yang telah banyak membantu mereka meraih kejayaan kepada negara disingkirkan.

Salah seorang atlet, L. Kunaselan berkata beliau dan rakan-rakanya terkejut serta kecewa dengan tindakan yang diambil oleh MAKAF dan berharap badan induk itu akan mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.

“Arivalagan telah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya semalam.

Kunaselan berkata, mereka telah berbincang sesama sendiri dan mengambil keputusan untuk menarik diri jika MAKAF masih kekal dengan keputusannya untuk menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai MAKAF Khamis ini bagi membincangkan isu Arivalagan.

Kunaselan antara empat nama awal yang disenaraikan untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Beliau berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

Katanya, adalah tidak wajar bagi MAKAF memberi alasan mengambil jurulatih dari Iran bagi tujuan untuk meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia, Guangzhou pada November lalu. Adalah tidak adil sekiranya jasa beliau tidak dihargai oleh MAKAF,” katanya.

Pada Sukan Asia 2010 Di Guangzhou, skuad karate negara di bawah bimbingan Arivalagan menang dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R. Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.

Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan SEA 2007 dan Sukan SEA 2009.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Karam Singh buat penjelasan




KUALA LUMPUR - Wartawan penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), Karam Singh Walia (gambar) menafikan dia mabuk semasa didakwa mengeluarkan kenyataan berbau perkauman di sebuah restoran di Klang baru-baru ini.

Katanya, dia masih waras dan sedar apa yang diperkatakan ketika kejadian itu.

Menceritakan semula insiden itu, Karam berkata, dia pada mulanya menegur sikap sekumpulan remaja yang meletakkan motosikal dengan sesuka hati di hadapan sebuah restoran India Muslim.

"Saya marah mereka dan mengatakan 'letak motosikal tidak pakai otak, bodoh punya orang'. Saya ulangi perkataan yang sama selepas duduk di dalam restoran sambil memesan makanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Karam berkata, tidak lama kemudian salah seorang penunggang motosikal terbabit telah menuduhnya menghina orang Melayu menyebabkan kira-kira 20 orang lelaki lain mengepungnya.

Apabila merasakan keselamatannya terancam, dia lantas meminta maaf kerana tidak mahu meneruskan perbalahan dan cuba meredakan keadaan.

"Ketika itu saya malu dan tertekan kerana bersama saya ialah anak saudara yang baru pulang dari England dan saya bimbang dia dicederakan. Sebab itu saya memohon maaf kepada kumpulan itu," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Bayi lelaki masih bernyawa ditemui





SHAH ALAM – Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemui di dalam sebuah beg di sebuah jalan di Tasik Titiwangsa, berhampiran Istana Budaya, di sini, semalam.

Lebih menyedihkan, bayi yang hanya dibalut dengan sehelai kain putih itu ditinggalkan di kawasan terpencil.

Bayi malang yang lahir tidak cukup bulan itu ditemui seorang wanita berusia 23 tahun, kira-kira jam 1.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad (gambar) berkata, sebelum itu, wanita tersebut curiga dengan isi kandungan beg berwarna hitam yang dilihat seakan-akan bergerak.

Katanya, wanita itu kemudiannya meminta bantuan polis bantuan Pos Malaysia yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata, wanita dan polis bantuan itu seterusnya membawa bayi tersebut ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Doktor yang merawat bayi itu memaklumkan bayi tersebut lahir tidak cukup bulan, berusia enam hingga tujuh bulan.

“Bayi itu dilaporkan stabil dan masih diberi rawatan rapi,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam.

Katanya, bayi seberat satu kilogram dan tidak diketahui identitinya itu dipercayai baru dilahirkan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8585661.asp

Wabak FMD dikesan di lima negeri Semenanjung

PUTRAJAYA - Lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu dikesan mempunyai wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang ternakan lembu tenusu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, wabak itu masih dalam keadaan terkawal.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi membantu penternak yang terjejas akibat wabak berkenaan, termasuk pemberian wang tunai, lembu tenusu serta perubatan.

Dr Abdul Aziz turut menafikan laporan bahawa lebih 20 pusat ternakan terjejas akibat wabak FMD di Negeri Sembilan.

"H anya empat pusat di negeri itu terjejas akibat penyakit yang boleh menjangkiti semua ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan babi, tetapi tidak berjangkit kepada manusia.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menyasarkan 2016 bagi mencapai status bebas FMD.

"Sehubungan itu, Pusat Kuarantin Antarabangsa (IQC) perlu dibina bagi membendung penularan wabak seperti FMD dan penyakit lain yang menyerang ternakan kerana ia mampu menjejaskan ekonomi negara.

"IQC akan dijadikan penempatan sementara ternakan dari luar negara bagi membina imunisasi haiwan tersebut, selain memantau kehadiran wabak penyakit.

"Ternakan akan ditempatkan di IQC sekurang-kurangnya dua bulan, sebelum dibawa ke pusat ternakan," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai lembu tenusu dekat sini hari ini.

Kos pembinaan IQC dianggarkan kira-kira RM10 juta dan ia perlu dibina di lokasi terpencil seperti pulau, dengan keluasan 8.0937 hektar.

http://www.sinarharian.com.my/bterkini/8091.asp

Ugut sebar gambar lucah jika tolak permintaan





KUALA LUMPUR – Gara-gara menjalin hubungan dengan lelaki baru dikenali menerusi ruangan mencari kenalan dalam sebuah majalah, seorang gadis berusia 15 tahun diperangkap dan menjadi mangsa pemuas nafsu lelaki terbabit.

Perkenalan singkat antara mangsa dengan lelaki berusia 37 tahun itu sejak akhir November tahun lalu, bermula dengan perbualan melalui telefon sebelum kedua-duanya kerap keluar makan bersama.

Difahamkan suspek yang bekerja sebagai penjaga kafe siber itu, semakin berani dan kerap mengajak mangsa ke hotel di sekitar ibu negara untuk mengadakan hubungan seks.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan awal menunjukkan suspek dan mangsa sudah beberapa kali bertemu di hotel untuk tujuan tersebut.

“Bagaimanapun mangsa mendakwa sikap suspek mula berubah selepas dia gagal meminjamkan RM1,000 kepada suspek.

“Suspek turut mengugut akan menyebarkan gambar bogel mangsa jika permintaannya tidak ditunaikan,” katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, semalam.

Chin Wah berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu membuat laporan polis Ahad lalu dan suspek ditahan kira-kira jam 3 petang.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol kerana mangsa masih di bawah umur.

“Suspek sedang direman bagi membantu siasatan berhubung kes,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Chin Wah berkata, seorang pemandu teksi turut ditahan kerana mencabul seorang wanita berusia 20-an yang menaiki teksinya di Bangsar.

Beliau berkata, mangsa mendakwa suspek berusia 37 tahun itu cuba mengajaknya untuk berjalan-jalan dan makan, namun ditolaknya.

“Suspek mengambil kesempatan meraba mangsa. Dia ditahan selepas kita menerima laporan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8584444.asp

Penghakiman terbuka: Teoh tak bunuh diri atau dibunuh

Penghakiman terbuka: Teoh tak bunuh diri atau dibunuh
Aidila Razak
Jan 5, 11
3:09pm

Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini membuat penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh Beng Hock, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Beliau memutuskan punca kematian Teoh bukan kerana bunuh diri mahupun dibunuh.


NONEMenurutnya, masih ada isu-isu yang belum diselesaikan pada kes bunuh diri dan menegaskan bahawa untuk menentukannya secara telahan adalah tidak boleh diterima.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.

Azmil berkata, ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher Teoh berlaku sebelum dia jatuh, tetapi tidak ada bukti untuk mengesahkan bahawa kecederaan itu menyumbang kepada kematiannya.

Azmil, yang mendengar inkues itu mulai 29 Julai, 2009, juga berkata tidak ada pihak ketiga yang terbabit dengan kematian tersebut.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sesak dengan penyokong dan media bagi mendengar keputusan inkues berhubung kematian pembantu exco kerajaan negeri Selangor Teoh Beng Hock yang mati dua tahun lalu.

teoh lee lan in teoh beng hock inquest verdictMendiang Teoh dijumpai tidak bernyawa ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selepas terjatuh dari tingkat lima pejabat SPRM Shah Alam.

Kira-kira jam 2 petang, ibubapa dan adik perempuannya hadir di perkarangan mahkamah.

Sementara itu, penyokong-penyokongnya menaikkan kain rentang serta melaungkan 'Justice For Beng Hock'.

Tidak kurang juga yang memakai bunga kekwa putih di baju mereka.

Manakala peguam-peguam yang mewakilinya pelbagai pihak pula hadir kira-kira jam 2.30 petang.

Kelihatan juga di perkarangan jumlah anggota polis yang luar biasa ramainya dan sekatan jalan di beberapa jalan utama menuju ke mahkamah.

[Berita penuh menyusul]

http://malaysiakini.com/news/152492

Shukor: Saya sokong kembali kuasa sultan, bukan MB

Abdul Rahim Sabri
Jan 5, 11
4:32pm

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus mengulangi pendiriannya bahawa beliau menyokong usul untuk mengembalikan kuasa kepada sultan untuk melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menyokong usul kerajaan negeri untuk meminta perlembagan untuk memberi kuasa yang sama diberikan kepada menteri besar.

"Saya bersetuju kuasa itu diberi kepada sultan, (tetapi) tidak kepada menteri besar. Mengikut undang-undang, pelantikan itu melalui perkenan Tuanku, mengapa nak ubah-ubah.

"Kenapa nak samakan kuasa sultan dengan menteri besar. Buat apa saya nak sokong... mengapa nak tambah kuasa pada menteri besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdul Shukor diminta mengulas kenyataan Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim yang memetik kenyataannya dalam Berita Harian semalam sebagai berkata "jika wakil rakyat BN bersetuju dengan pindaan itu, mereka akan menyokong usul tersebut".

"Saya tak sebut atau sokong usul yang (bakal) dikemukakan...," kata beliau yang juga ADUN Kuang dan ketua Umno bahagian Selayang.

Semalam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan khas dengan ADUN dan ahli parlimen Selangor bagi memberi penjelasan mengenai cadangan untuk memanggil sidang DUN tergempar hujung bulan ini.

Pertemuan itu adalah bertujuan menjelaskan cadangan meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Keputusan itu dibuat setelah perjumpaan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam kelmarin untuk menyelesaikan pertikaian isu pelantikan setiausaha kerajaan negeri yang baru Datuk Mohamad Khusrin Munawi 1 Januari lalu.

Khalid dilaporkan berkata Sultan Sharifuddin bertitah baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

http://malaysiakini.com/news/152505

Tenang bakal jadi medan perang Interlok

Jimadie Shah Othman
Jan 5, 11
1:01pm

Selain pertembungan Pakatan Rakyat dan BN, pilihan raya kecil Tenang pada 30 Januari nanti juga bakal menjadi medan kempen untuk kumpulan pro dan anti novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husain.

Sebagai reaksi kepada Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) yang mahu turun dan meletakkan calon sendiri di DUN itu, NGO penulis - Kumpulan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) - mengumumkan rancangan mereka 'berkempen' di kawasan itu.

dinsman artist and politics 220408 04"Kita akan adakan forum di Tenang. (Kita) bukan hendak berkempen, tetapi mereka sudah guna (isu itu), (dan hendak) letak calon," kata presiden PAKSI Che Shamsudin Othman (kiri) yang mempertahankan novel itu sebagai "rakaman realiti yang cukup baik".

Pada 30 Disember lalu, PRIMA mengancam meletakkan calon di Tenang jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Interlok yang didakwa memberikan gambaran salah terhadap masyarakat Indian, berhubung sistem kasta dan istilah "pariah".

Ketua penerangannya AP Raja Retinam juga memberitahu Malaysiakini, mereka turut merancang melancarkan protes di Putrajaya dan di Johor Bahru berhubung perkara itu.

Belum pun reda, sebuah lagi gabungan NGO India semalam mengancam mengadakan upacara membakar novel itu jika ia tidak ditarik balik sebagai teks sastera untuk pelajar tingkatan lima.

Bakar novel

Dalam satu sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) di ibu negara hari ini, Che Shamsudin berkata penyertaan PAKSI dalam pilihan raya itu bukan untuk tujuan politik tetapi "untuk menjelaskan keadaan seni" yang sebenar.

Bagaimanapun, menurut penyajak terkenal dan pelopor teater absurd itu, butiran lanjut meliputi ahli panel terlibat dan tarikh program itu masih di peringkat perbincangan.

azlanChe Shamsudin dan beberapa seniman, termasuk Sasterawan Negara A Samad Said sebelum ini pernah beberapa kali terlibat berkempen dalam beberapa pilihan raya kecil bagi memperjuangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ketika itu.

Sementara itu, diminta mengulas rancangan pembakaran Interlok sebagai tanda bantahan, Che Shamsudin berkata mereka tidak boleh membuat apa-apa berhubung perkara itu.

"(Malangnya) karya seni, orang tidak melihatnya sebagai seni, tetapi alat politik. PAKSI tidak boleh buat apa-apa (jika mereka ingin membakarnya).

"Setakat ini kita hanya menyatakan sikap kita," katanya sambil memberitahu belum memikirkan tindakan tegas kepada penentang novel Interlok.

Hadir sama dalam sidang media itu, pengasas portal sastera siber eSastera Prof Dr Ir Wan Abu Bakar, Pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa Pustaka Hasni Abas serta penulis terkenal Razali Endon dan Kassim Muhammad.

Kesemua mereka turut bergiat aktif dalam PAKSI - NGO penulis yang dilihat rapat dengan pembangkang.

http://malaysiakini.com/news/152464

'Bantah Interlok tanda perkauman makin teruk'

Jimadie Shah Othman
Jan 5, 11
12:46pm

Penentangan terhadap novel Sasterawan Negara Abdullah Husain, Interlok oleh NGO tertentu melambangkan pemikiran dan prasangka perkauman lebih teruk di negara ini, dakwa sekumpulan sasterawan.

Presiden kumpulan itu - Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) - Che Shamsudin Othman berkata, masing-masing berfikir untuk kepentingan politik sendiri, bukan untuk kepentingan nasional.

"Berbanding dengan dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya," katanya yang terkenal dengan nama pena Dinsman.

Kewajaran buku itu dijadikan teks sastera tingkatan lima hangat diperdebatkan selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, ia akan ditarik balik.

Tindakan itu terus mencetuskan debat apabila beberapa NGO India seperti Yayasan Tamil, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan berkongsi pendapat itu, malah terdapat cadangan untuk mengeditnya, berdemonstrasi, membakar Interlok dan 'turun' di DUN Tenang.

Manakala, NGO penulis dan Melayu pula, seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) pula tetap menafikan adikarya Abdullah itu sebagai "sensitif"

Dalam sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini, Che Shamsudin mempersoalkan kenapa terdapat pihak yang baru tersinggung sedangkan novel itu sudah beredar lebih 40 tahun dalam pasaran.

"Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahu pun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul," katanya sinis.

Stereotaip Melayu dan Cina juga

Malah, menurut Che Shamsudin, kandungan novel yang ditulis pada tahun 1967 itu "cukup baik" bagi menceritakan zaman pramerdeka dan bagi memahami asal-usul terbentuknya masyarakat Malaysia seperti komposisi hari ini.

"Jika dilihat pada pengenalan di kulit belakangnya juga, disebut 'novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep 1Malaysia'," kata Che Shamsudin.

Beliau juga mempersoalkan kenapa satu kaum sahaja yang mesti terasa sedangkan novel itu turut menceritakan stereotaip Melayu yang bodoh dan malas dan watak Cina yang hendak menjual anak perempuan ketika zaman perang dunia pertama.

Hadir sama dalam sidang media itu, pengasas portal sastera siber eSastera Prof Dr Ir Wan Abu Bakar, Pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa Pustaka Hasni Abas serta penulis terkenal Razali Endon dan Kassim Muhammad.

Mengenai penggunaan perkataan "paria", Hasni pula berkata, ia tidak melambangkan keseluruhan cerita, bahkan cuma digunakan sekali sahaja.

Selepas membaca kembali perenggan di halaman 211 itu, Hasni kembali menyoal kepada pemberita:

"Adakah saudara-saudari semua terasa?

"Hanya ini sahaja perenggannya (yang guna perkataan paria)," kata Hasni yang juga antara penggerak utama kempen menentang dasar Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini.

Perenggan itu menceritakan bagaimana sekumpulan penumpang India dalam dek kapal daripada Nagapatan ke Pulau Pinang pada tahun 1910 berasa senang bergaul kerana semuanya tahu berbahasa Tamil dan tergolong dalam satu kasta paria.

http://malaysiakini.com/news/152462

Interlok: Novel rasis menghina kaum India?

Jan 5, 11 11:06am

Lazimnya, jarang sekali karya sastera, khususnya novel Melayu mendapat perhatian sebegitu meluas daripada masyarakat umum di negara ini seperti yang diperoleh Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husain.

NONETetapi malangnya semua perhatian berkenaan atas sebab yang tidak sepatutnya.

Banyak pihak tampil membidas Interlok yang dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk tingkatan lima. Ia dikatakan sebagai karya berbentuk 'rasis' serta menyemai bibit-bibit unsur penghinaan.

Buku setebal 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Ia dibahagikan kepada empat buku, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bahagian kedua tentang Cing Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum semua itu dirangkum dalam bab terakhir.

Ia juga merangkumi sekurang-kurang tiga generasi yang mengambil latar sekitar 1910 dan berakhir pada latar masa 1957 ketika negara menyambut kemerdekaan.

Walaupun semua keempat-empat bahagian buku itu mempunyai kandungan yang kontroversial, namun bab yang mendapat publisiti meluas sekarang adalah yang berkisar mengenai keluarga Maniam.

India melenting!

Tidak seperti kaum lain di negara ini, yang melenting adalah hanya kaum India!

Bermula dengan bidasan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan ia diperpanjangkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam yang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu.

azlanPersekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dalam kenyataan medianya mendakwa Interlok memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'paria' yang digunakan.

Buku mengenai Maniam itu bermula apabila lelaki berusia 30 tahun itu yang berbadan tegap dan bertulang rangka besar meninggalkan kampungnya di Tricur, Kerala, India kerana tidak tahan dicengkam kemiskinan.

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasaldari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)

Sekumpulan masyarakat India di negara ini mempertikaikan kebijaksanaan Abdullah yang mengolah ceritanya dengan fakta-fakta sejarah dan hakikat sistem kasta yang membelenggui masyarakat di India ketika itu.

Maniam digambarkan gembira dengan peluangnya mendapat pekerjaan dan begitu serasi bukan sahaja dengan cuaca di Malaya yang hampir sama dengan kampung halamannya, tetapi juga makanan seperti kari yang digemari penduduk tempatan menepati citarasanya.

Di sini, pekerjaan yang membezakan kasta tidak ada.
(halaman 216)

Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. (halaman 218)

Di negeri ini, orang daripada kasta Brahma memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu.

Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219)

Tidak puas hati

Bagi kumpulan masyarakat India, perenggan-perenggan di atas terlalu sensitif dan mereka tidak berpuas hati denggannya.

Cerita itu disambung mengenai kebahagian yang dikecapi oleh Maniam bagaimapun tidak lama, apabila orang kampungnya, Raman dan Suppiah datang membawa khabar berita, bahawa isterinya Ambika sudah mengikut lelaki lain.

Esakan Maniam berhenti dan dia mengesat air matanya. Barulah Suppiah, orang yang berair muka seperti keanak-anakan itu bercerita. Isteri Mania, Ambika sudah amat melarat hidupnya. Dia sudah mulai makan pucuk-pucuk kayu. Tukang pinjam wang sudah tidak membenarkan dia tinggal di rumah itu lagi kerana rumah itu sudah menjadi haknya dan lembu Maniam itu diambilnya.
(halaman 221)

Malah, Maniam yang tidak berpelajaran, setiap bulan mengirim wang kepada rakannya di India, Pillay supaya diberikan kepada isterinya. Pillay bukan sahaja gagal menunaikan amanah itu tetapi juga melarikan isteri sahabatnya itu.

NONEAkibat tertekan dengan berita itu dan menanggung malu yang besar, Maniam mengambil keputusan meninggalkan Pulau Pinang dan merayau dari satu kebun ke satu kebun sehingga dia tercampak di kebun orang putih di Cangkat Lima.

Dia berjaya mendapat pekerjaan dari tandil kebun kelapa itu - juga seorang India dari Madras, Perumal dan akhirnya berkahwin dengan anak perempuannya Malini dan hidup dengan bahagia, tanpa memberitahu latar perkahwinannya dengan Ambika.

Akibatnya, kebahagian itu tidak berkekalan - Suppiah kemudiannya datang ke kebun itu dan membawa cerita bahawa Maniam pernah berkahwin dan meninggalkan isterinya.

Akibatnya beliau diusir dari ladang itu dan semasa meninggalkan estet berkenaan, Maniam diserang dan cuba dibunuh oleh orang yang tidak dikenali. Mujur kehadiran seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkannya.

Sekilas pandang, tidak dapat dinafikan mungkin ada petikan yang menguris hati dan dikatakan berbaur perkauman, namun kita tidak boleh melihat ayat terpencil atau isu yang diambil di luar konteks novel. Tindakan seumpama itu, hanya menidakkan niat suci dan murni pengarang untuk menyatukan masyarakat Malaysia melalui karyanya itu.

Perlu dibaca menyeluruh

Interlok perlu dibaca secara menyeluruh. Untuk menuduh Abdullah sebagai penulis rasis dan menghina masyarkat India serta membakar karya sasterwan negara itu, sesuatu tindakan melampau.

Pandangan tajam Abdullah Hussain membidas keadaan ketika itu, juga tidak terkecuali ke atas masyarakat Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh dan malas.

Setelah guru besar itu berlalu, Pak Musa ketwa terkekeh-kekeh, diikuti oleh Mak Limah. Dia amat gembira kerana menipu guru besar itu.

“Buat apa sekolah? Tengok tu, tahu membaca dan menulis pun aku yang tak bersekolah ini dapat tipu bulat-bulat.”


Masyarakat Cina pula digambarkan bermata duitan dan sentiasa tidak ikhlas serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang.

Ini jelas dipaparkan dalam Buku Dua - Keluarga Cing Huat. Menghiasi halaman utamanya, dimasukan pepatah Cina yang berbunyi: “Kalau tak berwang, ke mana pergi terbuang.”

azlanLee Kim Lock yang melarikan diri dari tanah besar Cina akibat hasil tanaman mereka diserang belalang sanggup melakukan apa sekali perkerjaan pun termasuk mengangkat najis manusia.

Selain itu, demi wang, ikatan persaudaraan tidak penting. Malah mereka menikam satu sama lain seperti yang berlaku antara Paman Kok Leng yang menipu keluarga Cina yang dibawanya masuk ke Malaya. Hubungan adik-beradik juga menjadi tegang kerana wang.

Yew Hock lebih percayai oleh bapanya. Dia patuh pada ajaran bapanya, menimbang barang selalu kurang, berjual beli selalu bertegang urat.

Watak positif

Di sebalik watak dan nilai negatif yang ditunjukkan pengarang, pada novel ini menonjolkan watak positif untuk memberi keseimbangan dan memperlihatkan nilai terbaik bangsa dimanfaatkan untuk perpaduan kaum.

Dia terlalu memandang rendah kepada orang Melayu. Dia tidak pernah menganggap mereka manusia beradab seperti dia. Dia selalu mengatakan bahawa mereka malas. Dia mahu menarik keuntungan sahaja daripada mereka. Kalau mereka memberi keuntungan wang kepadanya, dia berbuat baik, kalau tidak dia menganggap mereka seperti sampah. Sekarang baru terasa bahawa kata-kata anaknya itu benar. Orang Melayu itu pun manusia juga. Mereka seperti kita, bukan orang biadap.
(Halaman 321)

Satu lagi contoh pada novel ini yang menonjolkan watak positif, bangsa berlainan yang cuba menghormati satu sama lain, boleh dilihat pada petikan ini.

Maniam menyusun jari kedua-dua belah tangannya memberi hormat kepada Mak Limah. Mak Limah tidak tahu apa-apa yang mesti dibuat. Dia melihat Seman dan ketika dia berpaling semula, Maniam telah berjalan jauh sambil menyeret basikalnya.

“Baik orang India tu, Seman,” kata Mak Limah ketika mulai menggobek sirih.


Selain itu, Abdullah Hussain juga cuba memecahkan tembok kasta dengan memperlihatkan bagaimana Maniam diterima bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga penduduk tempatan.

Setelah bapanya meninggal, di kebun yang jauh dari kampungnya itu dia menemui seorang bangsa asing yang dapat dianggapnya sebagai bapanya. Hanyalah kerana berlainan agama dan bangsa yang memisahkan mereka, tetapi dalam pergaulan sebagai manusia Maniam memperlakukannya sebagai anak dan dia menganggap Maniam sebagai bapanya. (Halaman 316)

Justeru, mendakwa Interlok menghina kaum India bukan sahaja tidak tepat tetapi membawa malapetaka terhadap niat murni sasterawan negara itu cuba menegakkan hakikat bahawa masyarakat india memang tahu mengenang budi.

“Orang perempuan Melayu dari Kampung Nyiur Condong juga ada ditahan di sini. Dia ditahan bersama-sama papa, tapi belum disoal siasat lagi,” kata Ramakrrisynan.
“Anaknya mana?” tanya Maniam.

“Anaknya juga ada di sini, tapi tak ditahan. Dia mahu tolong ibunya.”

“Engkau tolonglah dia, Rama. Dia itu macam saudaraku sendiri. Suaminyalah yang menolong menyelamatkan aku dulu.'
(Halaman 359)

Kaki kayu

Kisah bangsa Melayu, Cina dan India dalam novel ini sebenarnya dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti terkandung pada bab akhir.

Cerita diakhiri secara simbolik. Yew Seng yang terpaksa dipotong kakinya.

Waktu Yew Seng masih di dalam rumah sakit beberapa tahun yang lalu, mereka dari pekan itu dan dari kampung sekitarnya telah mengumpulkan wang untuk membeli kaki kayu tersebut, tetapi Cing Huat berkeras menolaknya. Dia mahu membeli sendiri. Dia ada wang. Dia tidak mahu menyusahkan orang ramai kerana anaknya itu, tetapi Lazim dan Raman pun berkeras juga. Mereka mahu menolong Yew Seng. Keputusan terakhir diserahkan kepada Yew seng, dan dia memilih kaki kayu yang akan diserahkan oleh masyarakat Melayu dan India. Masyarakat Cina di pekan itu ikut sama kemudian. Itulah khaki kayu yang digunakan oleh Yew Seng sekarang. (Halaman 418)

http://malaysiakini.com/news/152455

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...