Saturday, June 12, 2010

Hikmah lepas cerai

Oleh Aniza Zainudin
am@hmetro.com.my
2010/06/12

KUALA LUMPUR: “Kehadiran lima anak membuatkan saya bangkit dan bekerja keras bagi menampung kehidupan yang sebelum ini ditanggung bekas suami,” kata penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu yang menyertai program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-Kit), bidang terapi spa.

Peserta, Puteri Sharron Aldila Abd Shukor, 41, berkata selepas bercerai pada 2008, dia menyedari sukar mendapat pekerjaan profesional berikutan faktor umur lantas memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan, yang rata-rata pelanggan adalah rakannya sendiri sebelum ia berkembang.


“Sebelum ini, saya sering membantu bekas suami berniaga katering dan dari situ saya mendapat pengalaman.


“Kemudian, saya berminat untuk belajar teknik urutan sebelum menyertai program I-Kit dianjurkan Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya pada 19 Oktober tahun lalu,” katanya.


Puteri Sharron Aldila adalah antara 25 peserta I-Kit diraikan dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Program I-Kit, bidang Terapi Spa, yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd, di sini, semalam.


Menurutnya, program yang berlangsung selama enam bulan dan berakhir 30 April lalu, memberi pendedahan sebenar mengenai teknik terapi termasuk anatomi manusia.


Selepas tamat pengajian, dia memulakan perniagaan terapi spa secara bergerak dan mampu mengurut empat pelanggan dalam tempoh sehari.


Sementara itu, rakannya, Che Asita Yahaya, 49, berkata, sudah bekerja sebagai tukang urut sejak 12 tahun lalu.


Namun selepas bercerai, dia nekad mendalami bidang itu dan pada 2008 dia mengikuti kursus anjuran Universiti Teknologi Malaysia.


Berbangga dengan pencapaiannya, Che Asita kini bergelar pengajar di sebuah spa dan bakal mengikuti Diploma Pengamal Perubatan Melayu, Julai depan. Sementara itu, Wan Hasmah turut berbangga dengan pencapaian peserta yang sudah memulakan perniagaan sama ada secara sepenuh masa dan sambilan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hikmahlepascerai/Article

Minda: Cemburu melampau robek kebahagiaan

Oleh Hariyati Ariffin

2010/06/12

KATA orang tua cemburu itu tandanya sayang. Pepatah Perancis pula menyebut, tidak ada cinta jika tidak cemburu. Malah, cemburu adalah asam garam kehidupan setiap manusia.

Secara umumnya sikap cemburu ada pada semua manusia dan ia lebih ketara melanda pasangan yang sudah berkahwin dan yang bercinta.

Cemburu jika dilihat dari sudut positif ia membangun dan menyuburkan sesuatu perhubungan, tetapi apabila ia dikaji daripada aspek negatif banyak kemusnahan akan terjadi kerana manusia tidak dapat mengawal emosi marah, dendam dan sakit hati.


Namun, sejak kebelakangan ini melalui kes-kes yang dilaporkan di media massa membabitkan kes cemburu lebih cenderung ke arah negatif dan memerlukan perhatian serius.

Dalam kes berkenaan cemburu sering mengundang padah, menyebabkan perbalahan dalam rumah tangga, perceraian dan paling menakutkan jenayah seperti penderaan, keganasan fizikal, pembunuhan dan jenayah lain yang berkait rapat dengan persoalan cemburu dan sakit hati terhadap pasangan.


Lebih lima tahun lalu kes seorang isteri dari Kelantan, Siti Khalifah Sulung, 53, yang menyimbah asid ke muka suaminya Tuan Azman Tuan Ludin, 32, sehingga cacat kerana mempunyai hubungan dengan wanita lain adalah juga berpunca daripada faktor cemburu yang tidak dapat dikawal.

Rasa tidak puas hati Siti Khalifah yang berasa suaminya mungkir janji pada cinta mereka membuatkan dia tergamak mencacatkan wajah suami. Akhirnya wanita yang membuat hubungan dengan suaminya meninggalkan Tuan Azman kerana kecacatan seumur hidup yang dialaminya.

Akibat perbuatannya, Siti Khalifah merengkok dalam penjara selama lima tahun kerana hilang pertimbangan dalam mempertahankan kasih yang telah dikongsinya bersama Tuan Azman selama 12 tahun.

Berita gempar yang mendapat liputan meluas media massa itu setidak-tidaknya membuka mata suami yang cuba berpoligami tanpa pengetahuan isteri atau tidak menghormati hak isteri serta memungkiri perjanjian yang mereka buat sewaktu mula-mula berkahwin dulu.

Kisah ini agak trajis kerana cinta membuat manusia hilang pertimbangan dan dengan perasaan kasih yang terlampau serta cemburu mendorong manusia membuat tindakan di luar kewarasan.

Jika diteliti banyak teladan yang diperoleh masyarakat kerana sikap segelintir lelaki yang sering memungkiri janji apabila sudah dapat apa yang diidamkan atau apabila isteri mula melalui fasa ‘berumur’, suami sanggup mengecewakan isteri sehingga mengundang kemarahan tidak terkawal.

Alasan lelaki berkahwin lagi atau mempunyai wanita lain kadangkala amat mengecewakan dan sukar diterima wanita. Namun, kerana ia dibenarkan dalam agama, isteri ada kalanya terpaksa akur walaupun di dalam hati memberontak.


Sememangnya lelaki bertuah kerana mereka boleh berkahwin empat (bagi lelaki Islam). Namun keadilan dan kebijaksanaan melayari dua bahtera bukan perkara mudah dilaksanakan. Hati isteri pertama perlu dijaga dan kadangkala layanan suami yang berat sebelah boleh membuatkan isteri berasa rendah diri dan terhina.

Ini adalah antara faktor menyebabkan perlakuan tidak rasional dilakukan isteri.

Selain kisah dalam negeri, kes Loretta Bobbit dari Britain juga tidak kurang hebatnya membuatkan masyarakat tidak lagi memandang wanita sebagai spesies lemah dan boleh dipermainkan. Dalam kes itu, Loretta nekad memotong kemaluan suaminya yang curang.

Ini juga gara-gara sakit hati dan cemburu yang tidak dapat dikawal.

Berita disiarkan media di seluruh dunia itu turut menggemparkan lelaki dan menjadi teladan buat mereka yang cuba berlaku curang. Kedua-dua kes di atas membabitkan wanita dan perlakuan tega (sampai hati) mereka menyeksa suami kerana terlalu sakit hati dan cemburu memberikan satu perspektif baru dalam perkahwinan serta membuka mata pihak tertentu mengenai kesan dan akibat cemburu.

Apabila kes seumpama ini semakin banyak berlaku, isu cemburu bukan lagi sesuatu yang remeh dan tergolong dalam masalah keluarga, malah dengan beberapa siri kejadian dalam konflik rumah tangga yang membabitkan perlakuan ganas serta jenayah ia dipandang serius oleh kaunselor perkahwinan dan pihak berkaitan.


Kajian psikologi ada menyebut wanita lebih kuat cemburu daripada lelaki kerana sikap wanita inginkan belaian dan sentiasa bimbang kasih sayang dan perhatian yang mereka peroleh dikongsi dengan orang lain, mereka juga takut kehilangan pasangan.

Di negara kita ada kajian yang menyatakan 99 peratus wanita tidak setuju bermadu kerana bimbang suami tidak dapat berlaku adil selain tekanan mental dan emosi yang terpaksa mereka lalui.


Apakah cemburu? Cemburu dapat didefinisikan sebagai ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain seperti suami isteri dan kekasih.

Pakar motivasi, Dr Rubiah K Hamzah berkata, wanita biasanya cemburu apabila mereka mendapati ada saingan untuk mengambil hak mereka umpamanya suami atau kekasih. Mereka tidak rela berkongsi kasih, ranjang dan segala yang pernah diperoleh bersama pasangan mereka.

Mereka juga berasa ada kekurangan dalam diri sehingga suami atau pasangan mencari orang lain. Atas sebab terancam dengan faktor ini, wanita memberontak dan melakukan tindakan di luar rasional.

Kebimbangan dan ketakutan suami tidak berlaku adil, terpaksa berkongsi ranjang dan kasih sayang dengan wanita lain menyebabkan wanita cemburu dan ada kalanya bertindak di luar batasan.

Bagi menangani masalah ini, Dr Rubiah menasihatkan wanita supaya lebih positif apabila berhadapan masalah cemburu dan sakit hati ekoran pasangan mereka mempunyai orang lain. Jangan melihatnya sebagai negatif sebaliknya hadapi semua ini dengan sabar dan tabah. Mereka harus bersaing dengan cara sihat bukan melakukan sesuatu yang boleh memberi impak buruk kepada mana-mana pihak.


Jika ada suami atau pasangan tidak bertanggungjawab wanita perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal serta boleh berdikari dengan adanya pasangan atau tidak.

“Sekarang mungkin berpisah hidup, tapi suatu masa nanti dia akan pergi juga. Suami bukan hak mutlak isteri dan akan hidup selamanya dengan kita. Sikap terlalu sayang wanita pada suami dan takut kehilangan pasangan menyebabkan mereka ada kalanya tidak dapat berfikiran rasional dan tidak dapat melihat potensi serta kekuatan yang mereka ada,” katanya.

Dr Robiah juga menjelaskan akibat cemburu juga wanita tidak dapat menjalani hidup dengan tenang. Perlakuan dan sikap sakit hati kerana cemburu mengundang kemusnahan hidup dan merobek kebahagiaan rumah tangga.

Akhirnya menjadi mangsa adalah anak-anak yang terbiar kerana wanita terlalu melayan perasaan sehingga hilang kekuatan dan fokus dalam mengharungi kehidupan rumah tangga dan akhirnya mengabaikan tanggungjawab dan amanah menjaga anak-anak.

Mereka harus belajar mengawal emosi dan membuat penyerahan diri kepada Allah. Kehidupan harus diteruskan walau apa terjadi.


Dr Rubiah berkata, wanita harus berdikari dan kurangkan pergantungan pada suami. Jika mereka kuat dan dapat menjalankan kehidupan dengan lebih positif insya-Allah masalah cemburu dan sakit hati tidak timbul dan apabila mereka reda, hidup akan lebih tenang dan diredai Allah.


Natijahnya, dalam hal ini wanita perlu bijak menangani dan mengawal perasaan cemburu. Jangan sampai cemburu memusnahkan hidup dan masa depan diri dan keluarga. Berfikiran positif, serahkan segalanya kepada Allah kerana banyak hikmah yang terkandung dalam setiap dugaan yang Allah berikan.

Justru, tidak salah cemburu jika bertempat, bagaimanapun jangan pula terlalu cemburu buta dan selalu bersangka buruk terhadap suami, kerana sifat cemburu ibarat api dalam sekam yang memakan diri.

Jika kita bersangka buruk pada suami atau pasangan kita dengan membuat andaian mereka ada wanita lain mungkin ia akan menjadi satu doa yang suatu hari nanti tidak mustahil menjadi kenyataan.

Memang menjadi lumrah sejak dulu musuh wanita adalah wanita sendiri.

Bagi wanita, jika mereka ingin berkongsi kasih dengan wanita lain, hormati hati wanita yang pernah bertakhta di hati suami mereka suatu masa dulu. Jangan membina kebahagiaan di atas penderitaan dan air mata wanita lain.

Ingatlah jika anda pernah mengecewakan seorang wanita kerana persaingan mendapatkan suaminya tidak mustahil suatu hari nanti anda juga akan menerima nasib sama. Kehidupan ini ibarat roda, sekali di atas sekali di bawah, kita akan rasa juga apa orang lain pernah rasa.

Penulis ialah pensyarah UiTM, Shah Alam

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Cemburumelampaurobekkebahagiaan/Article

Merokok nak cantik

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
2010/06/12

KUALA LUMPUR: Satu kajian mengenai gejala merokok di negara ini menemui fakta mengejutkan apabila jumlah kanak-kanak perempuan mula merokok pada usia di bawah 10 tahun didapati satu kali ganda lebih ramai berbanding kanak-kanak lelaki.

Lebih membimbangkan, kajian dilakukan Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS ke-2) itu mendapati kanak-kanak perempuan terbabit merokok disebabkan faktor ingin cantik selain pengaruh daripada rakan sebaya dan tekanan perasaan.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kajian pada 2003 itu mendapati peratusan kanak-kanak perempuan merokok adalah 29 peratus berbanding lelaki sebanyak 15 peratus dan peratusan keseluruhan perokok di bawah umur 10 tahun membabitkan 16 peratus daripada keseluruhan perokok di negara ini.

“Kajian ini amat membimbangkan dan jumlahnya mungkin akan meningkat jika tiada peranan serta langkah pencegahan bersungguh-sungguh diambil semua pihak bagi menangani masalah ini,” katanya selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 peringkat Institut Perubatan Respiratori (IMR) di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, pelbagai pihak khususnya ibu bapa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan tabiat buruk itu kerana penggunaan tembakau dijangka boleh mengakibatkan kematian total 250 juta remaja di seluruh dunia.


“Ramai wanita terutama remaja beranggapan merokok boleh mengurangkan berat badan berikutan iklan dan promosi yang tidak beretika. Walhal ia hanya untuk mengelirukan generasi muda untuk merokok.


“Merokok sebenarnya tidak janji kecantikan fizikal, malah bawa keburukan dan bahayakan kesihatan,”
katanya.


Beliau berkata, seperti perokok lelaki, perokok wanita turut terdedah dengan risiko barah termasuk kanser paru-paru, mulut, tekak, kerongkong, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing. “Wanita merokok bermula sejak remaja berdepan risiko putus haid dua hingga tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya, selain masalah ketidaktentuan haid seperti pendarahan tidak normal serta haid tidak teratur,” katanya.


Menurutnya, mengatasi gejala itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk menganjurkan kempen kesedaran bahaya merokok.


“Perhatian yang diberikan ibu bapa semata-mata tidak cukup kerana remaja banyak masa dihabiskan di luar iaitu sekolah atau bersama kawan-kawan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merokoknakcantik/Article

'Jangan cari aku'

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/06/12

MASJID TANAH: “Jangan cari aku, biarkan aku hidup sendiri. Mulai sekarang aku tak nak menyusahkan emak lagi,” itulah sebahagian luahan seorang remaja perempuan dalam sekeping nota sebelum meninggalkan rumahnya di Kampung Permatang Darat, dekat sini, sejak seminggu lalu.

Remaja itu, Nur Izatul Amirah Yohanis, 16, yang menuntut di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, dipercayai menghilangkan diri kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu ketika ibunya, Zainap Mohd Yusup, 44, sedang tidur.


Anak sulung daripada dua beradik itu juga kerap ponteng sekolah akibat pengaruh rakan sebaya, malah sanggup menipu ibunya semata-mata ingin memenuhi kehendak teman lelaki berasal dari Sabah yang baru dikenali menerusi sebuah laman sembang sosial.


Menceritakan semula kejadian itu, Zainap yang juga seorang ibu tunggal, berkata dia hanya menyedari anaknya hilang kira-kira jam 5 pagi apabila terjaga daripada tidur.


Menurutnya, dia cuba mencari Nur Izatul di biliknya, namun terkejut apabila dia tiada di tempatnya dan sebahagian pakaian turut dibawa bersama.


“Saya tersentak selepas memeriksa almari pakaian apabila terjumpa sekeping nota yang diletakkan di atas almari solek meminta jangan mencarinya lagi kerana mahu hidup bebas di luar serta berdikari mencari duit untuk membeli keperluan sendiri tanpa menyusahkan orang lain.


“Pada malam Nur Izatul hilang, jiran sebelah rumah ada beritahu melihat sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih berlegar-legar di hadapan rumah lebih 10 kali seperti menunggu seseorang.


“Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya berkali-kali dan dapat bercakap dengannya walaupun untuk seketika. Dia memberitahu akan pulang ke rumah tidak lama lagi sebelum memutuskan talian tanpa memberitahu di mana dia berada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Zainap berkata, anak sulungnya itu agak keras kepala kerana dia mahu mendapatkan segalanya sama seperti rakan sedangkan keluarganya tidak berkemampuan kerana hanya menjual nasi lemak untuk menyara kehidupan.


Menurutnya, dia juga pernah diperdaya anaknya apabila meniru tanda tangan seorang guru dengan mendakwa dirinya perlu menghadirkan diri dalam satu program di pusat bandar sedangkan dia sebenarnya pergi berseronok dengan teman lelaki yang baru dikenalinya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Katanya, sebelum itu,Nur Izatul mengikuti kelas tambahan di pekan pada hujung minggu, tetapi selepas mendapat surat peringatan kerana kerap ponteng menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu walaupun dinafikan gadis berkenaan.

“Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa dengan sikapnya yang selalu ponteng sekolah akibat bercampur dengan rakan.


“Ibu mana yang tidak risau apabila anaknya tak balik... malah pernah beberapa kali orang ternampak dia pergi ke pusat bandar bersama teman lelakinya dan sebaik habis waktu kelas tambahan barulah dia pulang ke rumah, kadang kala sampai lewat malam,”
katanya.


Berikutan itu, katanya, dia memohon kerjasama daripada orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Nur Izatul berada agar dapat menghubunginya di talian 014-3808084 kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jangancariakuq/Article

Tak tahan tubuh mulus

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/06/12

KUALA LUMPUR: Seorang wanita awal 20-an terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya lebih 48 jam apabila dia bukan saja dijadikan tebusan selepas diculik, malah dirogol sekumpulan empat lelaki tidak dikenali.

Difahamkan, kumpulan penculik amatur itu tidak dapat menahan nafsu selepas melihat kecantikan mangsa walaupun mereka dikatakan sedang berunding untuk mendapatkan RM100,000 sebagai wang tebusan daripada keluarga mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Selasa lalu, mangsa bersama abangnya berusia lewat 20-an dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Rimbunan, Sentul, di sini, sebelum dia diculik sekumpulan empat lelaki menaiki sebuah kereta.

Difahamkan, mangsa diculik dalam kawasan kurang 50 meter dari rumahnya dan menurut sumber, abangnya tidak diculik, sebaliknya diugut merahsiakan kejadian itu sekiranya mahu adiknya selamat.

“Malah, seorang daripada suspek mendakwa akan menghubungi keluarga mangsa untuk berunding mengenai pembebasannya,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan itu dikatakan menghubungi keluarga mangsa pada malam kejadian sebelum mengarahkan mereka menyediakan wang tebusan RM100,000.

“Suspek yang menghubungi keluarga mangsa berulang kali memberi amaran supaya mereka tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. Malah, kumpulan penculik itu hanya memberikan masa dua hari kepada keluarga mangsa menyediakan wang tebusan.

“Namun, ahli keluarga mangsa yang buntu mencari wang seperti diminta melaporkan kejadian berkenaan kepada polis,”
katanya.

Sumber berkata, ahli kumpulan terbabit sekali lagi menghubungi keluarga mangsa pada Rabu lalu kira-kira jam 11 pagi untuk melakukan rundingan.

“Ahli keluarga mangsa membuat tawaran untuk membayar wang tebusan sebanyak RM28,000 selain merayu kepada penculik terbabit agar melepaskan mangsa. Suspek bersetuju dengan tawaran itu dan menetapkan lokasi bagi mengambil wang tebusan dan membebaskan mangsa,” katanya.

Sumber berkata, kumpulan penculik amatur itu sekali lagi menghubungi keluarga mangsa dan mengatur pertemuan di pusat beli-belah Kota Raya, di sini kira-kira jam 3 petang, Khamis lalu.

“Sebaik mendapat maklumat itu, polis dengan kerjasama keluarga mangsa merancang memerangkap penculik terbabit dengan abang mangsa diberi tanggungjawab membawa wang tebusan ke lokasi dan masa ditetapkan.

“Selepas pasti keadaan selamat, polis yang menyamar sebagai orang awam membuat serbuan dan menahan semua suspek,”
katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan wanita itu dirogol.

Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan kejadian itu dan penahanan semua suspek.

“Semua suspek berusia antara 20 dan 30 tahun kini direman selama sembilan hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan.

“Kami juga mendapat semula wang tebusan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 3 Akta Culik,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taktahantubuhmulus/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...